Monday, April 25, 2011

~~Bab 11~~


                    Selepas menunaikan solat Subuh, Syuhada merasa sangat segar. Kedinginan semulajadi yang dirasai amat mendamaikan hati. Hilang segala celaru yang menghuni singgahsana hati. Tidak rugi  bercuti di sini. Dengan menggenakan dress labuh dari kain jean dan bertudung berwarna krim, Syuhada melangkah keluar dari biliknya. Bertemankan sebuah novel di tangannya, dia duduk di kerusinya semalam. Tidak sabar hatinya ingin melihat matahari terbit di ufuk timur. Pasti indah … bisik hatinya. Bukankah yang indah itu sesuatu yang enak dipandang. Menimbulkan  rasa nyaman bila dipandang. Dia tidak mahu ketinggalan menikmati detik-detik itu.
Shahrul Riezman mengeliat. Lega rasanya. Dia memusingkan pinggangnya ke kiri dan ke kanan. Sejurus memandang ke kanan matanya menangkap sekujur tubuh Syuhada. Dia tersenyum. Bagaikan ada rama-rama yang berterbangan di dinding hatinya. Tanpa berfikir panjang dia mengambil kerusi lipatnya lalu berjalan ke arah Syuhada. Bersama gadis itu, rasa sepinya bagaikan terusir pergi. Jika dikhabarkan hatinya sedang sepi......pasti Hatta ketawa guling-guling. Apa yang  Hatta tidak tahu adalah sepi yang sedang dialaminya ini adalah suatu keadaan yang sepi dari perasaan yang kemudiannya member suatu tindakbalas sebagai sesuatu yang hampa.

 “Assalamualaikum …” sapanya mesra. Senyumannya berbunga di bibir. Segar wajah Syuhada ditatap dengan mata lelakinya.
Syuhada mendongak. Sekadar menjawab salam di dalam hati. Arg , Dia lagi !. Lagi-lagi dia.....Keluhnya. Menyibuk betul......
“Saya nak duduk dengan awak kat sini” Shahrul Riezman membuka kerusi lipatnya lalu duduk di sebelah kanan Syuhada. Dia memandang Syuhada. Diam aje? Kenapa dia ni? Wajah tanpa emosi itu ditatap lama.
“Senyap aje” Syuhada memejamkan matanya sambil meletakkan kepalanya di penyandar kerusi. Tidak sudi dia memandang wajah lelaki itu. Tidak ingin mendengar suara lelaki itu. Shahrul Riezman mengambil kesempatan itu menatap wajah Syuhada. Mata yang terpejam itu, alangkah indahnya. Entah mengapa saat itu dia sangat gembira walaupun Syuhada lebih dingin dari ketulan ais. Biar dia sedingin salju. Namun terasa hidupnya lengkap tiba-tiba. Dia semakin yakin dengan mimpinya tidak lama dulu.
“Syuhada” suaranya tercetus perlahan. Syuhada membuka matanya apabila mendengar suara itu. Seketika pandangan mata mereka bertembung. Ada debar di dada. Ada getar yang terasa. Namun Syuhada terus membuang pandang. Matanya ke arah kaki langit. Fajar mula menyingsing. Indah!. Sinaran jingga itu lebih menarik perhatiannya. Betapa besar kurniaanMU!. Betapa insan hanya hamba kerdil yang tidak mampu menduga takdir. Subhanallah!
Shahrul Riezman mula menggaru dagunya. Sukar untuk mentafsir sepi Syuhada. Tidak tahu bagaimana hendak memancing suaranya. Tidak pernah dia jumpa perempuan yang terlalu dingin seperti Syuhada. Tidak berperasaankah dia?
“Kenapa Syu? Awak macam ada masalah” suara Shahrul Riezman kedengaran lagi. Syuhada menoleh sekilas. Dia mengeluh lagi.
“Masalah saya adalah awak. Tak boleh ke kalau tak ganggu saya” keras suara Syuhada. Geram dengan sikap Shahrul Riezman yang buat-buat tidak faham…..buat-buat dungu…atau memang betul-betul dungu.  Aku tak suka kau ada dekat sini …. Jerit hatinya berkali-kali.
“Tak boleh ke kalau kita berkawan, Syu?” Syuhada memeluk tubuhnya sambil memandang Shahrul Riezman tajam. Shahrul Riezman membalas dengan pandangan yang lembut. Akan aku tawan hatimu, Syuhada ….. bukannya susah pun hendak menlembutkan hati seorang wanita….getus hatinya angkuh.
“Carilah orang lain. Buat masa ini saya tidak berhajat hendak menambah koleksi kawan yang saya ada. Saya dah ramai kawan....kalau terlebih ramai, tak terlayan pulak nanti” jawab Syuhada mendatar.
“Saya tak nak kawan dengan orang lain. Saya nak kawan dengan awak” lembut suara Shahrul Riezman. Syuhada mencebik. Dasar lelaki miang! Bila berkata lembut gigi dari lidah!.
“Awak ni kan ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Orang tak nak...orang tak hingin....awak masih terhegeh-hegeh. Tak malu ke?”
“Suka hati awaklah nak kata apa, saya tak kisah. Saya tetap nak kawan dengan awak”
“Ikut suka awaklah. Tapi jangan salahkan saya kalau awak kecewa nanti. Berkawan dengan saya memang membosankan” selesai berkata, Syuhada bangun meluruskan pinggangnya. Tiba-tiba dia mendepangkan tangan membiarkan wajah dan tubuhnya disapa bayu laut yang bertiup lembut. Shahrul Riezman sekadar memerhati. Kalau ikut rasa hati lelakinya, ingin dia dakap tubuh wanita yang kecil molek itu. Hmmmmm...kalau benar dia lakukan seperti apa yang difikirkan... mahu dicampaknya dia ke tengah laut oleh Syuhada.
“Syu ...... panggilnya bila dilihat Syuhada terus berdiri kaku.
Syuhada masih sepi. Membiarkan segala apa yang ada difikirannya dibawa angin lalu. Malas melayan karenah Shahrul Riezman namun lelaki itu terus memburu dengan kata-kata yang sering mencuit hati perempuannya. Sudah lama dia membiarkan hatinya tidak diusik oleh lelaki. Shahrul Riezmankah yang akan menggantikan tempat Zulhilmi? Akan adakah lelaki lain selepas Zulhilmi?
“Hilmi” Syuhada bagaikan baru tersedar bila nama Zulhilmi melintas di kotak ingatannya. Sayu, pilu …. Semuanya terhimpun dalam satu rasa.
Shahrul Riezman terkedu bila mendengar nama lelaki meniti di bibir Syuhada. Hilmi? Siapa lelaki itu? Hatinya tiba-tiba diusik oleh satu rasa. Cemburu !. Hai … untuk apalah menyimpan cemburu pada wanita yang tidak diketahui rahsia hidupnya. Tanpa Syuhada sedari Shahrul Riezman melangkah pergi.

Syukur … dia dah pergi, cetus hati Syuhada bila mendengar derap langkah yang semakin menjauh di belakangnya. Syuhada duduk semula lalu membuka novel yang dipegangnya sejak tadi. Sedang dia asyik membaca, datang seorang pelayan resort bersama troli yang berisi hidangan pagi.
“Eh, maaf  Encik. Saya tak ada  buat pesanan pun. Mungkin Encik salah tempat” pelayan itu tersenyum.
“Ini bilik B21 kan? Betullah. Ada seorang lelaki yang buat pesanan ini”
“Siapa?” Syuhada keliru. Pemuda di hadapanya sekadar mengangkat bahu lalu melangkah pergi. Syuhada memandang hidangan di hadapannya. Perutnya belum terasa lapar. Seleranya belum terbuka.
“Saya harap hidangan ini menepati selera awak” lelaki itu duduk di hadapan Syuhada. Syuhada memandang geram.
“Hati saya baru saja lega bila awak pergi. Buat apalah awak datang sini lagi?” Syuhada menyandarkan tubuhnya di kerusi sambil  memandang  lelaki di hadapannya dengan tajam.
“Jantung saya boleh gugur tau bila awak pandang macam tu. Awak ni saja nak goda saya ke?” Shahrul Riezman mengusik. Sengaja membakar hati Syuhada.
Excuse me Encik Shahrul Riezman. Nak goda awak? Tak pernah jadi agenda dalam hidup saya pun” Syuhada berkata sebal.
“Yalah tu. Tapi cara awak merenung saya, macam nak menggoda aje” Shahrul Riezman sengaja memancing amarah Syuhada. Hatinya terhibur melihat rona merah di wajah wanita itu bila marah.
“Awak tergoda ke? Itu baru saya pandang, belum yang lain-lain lagi” terlepas ketawa Shahrul Riezman mendengar jawapan yang tidak diduga dari Syuhada . Syuhada menjeling tajam.
“Yang lain-lain lagi, tu apa?” sengaja dia mengusik.
Syuhada menggigit bibirnya sendiri. Terlepas cakapkah aku? Argh, lelaki ! Gatal tak sudah-sudah. Shahrul Riezman terus merenung tajam. Gembira hatinya bila Syuhada sudah mahu bercakap dengannya. Biarlah bicaranya sepedas cili kampung. Tak kisah asalkan ada suara yang menjadi halwa telinganya.
“Saya rasa awak tentu lebih arif. Lelaki seperti awak tentu lebih banyak pengalaman, kan?” Syuhada berkata sinis. Shahrul Riezman ketawa lagi. Dia tahu Syuhada sengaja mengenakannya.
“Awak ada pengalaman dengan lelaki seperti saya ke?” tanya Shahrul Riezman menduga. Sudah lama dia ingin tahu. Sejak mengenali Syuhada, satu sikapnya yang dapat ditafsir ialah prajudis terhadap lelaki. Anti lelaki ke dia ni? Atau pernah kecewa?
“Tak ada kena mengena dengan awak” Syuhada masih lagi dengan sikap selambanya.
“Tak apa …….. nanti saya akan tahu juga. So …”
So?”
Friends” aju Shahrul Riezman sambil menghulurkan tangan kanannya pada Syuhada.
Syuhada membiarkan huluran tangan itu disambut angin lalu.
“Syuhada …” Syuhada mengangkat wajahnya lalu menatap lelaki di hadapannya. Lama. Bagaikan mencari sejalur keikhlasan di wajah itu. Bukan baru kali ini mereka bertemu. Sudah banyak kali bertemu dalam kebetulan. Namun baru kali ini Syuhada berkesempatan menilai seraut wajah itu. Syuhada tersenyum nipis.
“Kita ni adik abang ke, perlu bersalam bagai?”
Shahrul Riezman terkedu. Dia terlupa. Fikirnya Syuhada seperti gadis-gadis lain yang kerap ditemui. Akhirnya dia ketawa kecil untuk menutup malunya.
“Maknanya, mulai sekarang kita jadi kawan. Awak tak akan menyesal jadi kawan saya” Shahrul Riezman berkata sejurus selepas huluran tangannya ditarik.

Syuhada akur.  Apa salahnya berkawan … sekadar mengisi ruang kosong yang ada. Asalkan rutin hidupnya tidak diganggu.
“Sekarang, kita makan dulu” ujar Shahrul Riezman sambil tersenyum. Bahagia rasa hatinya.
Untuk pertama kalinya Syuhada membalas senyuman itu dengan ikhlas. Biarlah … tak luak apa pun kalau berkawan dengan dia. Jangan dia perasaan sudahlah ….. bisik hati Syuhada. Sudah letih dia bertekak dengan lelaki itu setiap kali mereka terserempak. Kali ini biarlah dia mengalah. Mengalah dengan menerima Shahrul Riezman sebagai kawannya.
“Dah sudah ke? Sikitnya awak makan” tegur Shahrul Riezman bila dilihatnya Syuhada menolak pinggannya ke tepi.
“Saya tak biasa breakfast seawal ini. Tapi sebab nak jaga hati awak, saya pun makanlah”
“Nak jaga hati saya? Awak ni kiranya masih ada lagi nilai-nilai murni dalam hati awak tu ye” Shahrul Riezman mengusik lagi.
“Awak ingat saya ni apa?”
“Tapi sebelum ni …. Tak pernah pun awak fikirkan perasaan orang lain. Dia orang tu kecik hati ke, sakit hati ke … awak main belasah je” ejek Shahrul Riezman.
Syuhada membulatkan matanya memandang Shahrul Riezman. Lebih-lebih pulak mamat ni. Suka-suka hati dia  nak mengutuk aku........
“Amboi-amboi sedapnya mulut awak bercakap. Cuma hati dan perasaan awak aje yang tak pernah saya fikirkan. Hati orang lain, perasaan orang lain tetap saya ambil kira” Syuhada membela diri.
“Kenapa tak pernah fikirkan hati dan perasaan saya” Shahrul Riezman menduga lagi. Bebola matanya mencari reaksi pada wajah itu. Namun wajah itu tetap selamba. Seperti hari-hari kelmarin.
“Untuk apa?” pertanyaan Syuhada membuatkan Shahrul Riezman sendiri terkedu. Hajat hendak menduga, rupanya hati sendiri terduga.
 Shahrul Riezman membiarkan soalan itu tidak berjawab. Sementara Syuhada pula tidaklah beria-ia dengan soalan itu. Namun jauh disudut hatinya mula merasai kehadiran lelaki ini. Kebetulan yang melampau di antara mereka tidak diketahui apa hikmahnya.
            “Awak fikirkan apa?” akhirnya Sharul Riezman memecahkan kebisuan di antara mereka.
            “Awak” Syuhada memberanikan diri memandang tepat ke anak mata Shahrul Riezman. Shahrul Riezman membalas sambil tersenyum lembut.
            “Kenapa?” Shahrul Riezman bertanya perlahan sambil mendekatkan mukanya ke muka Syuhada. Syuhada menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Menjauhkan jarak di antara mereka walaupun di dadanya mula dipalu debar.
            “Entah. Pelik !”
            “Apa yang pelik?”
            “Kita, Hmm … maksud saya kenapa awak suka mengekori saya?” Shahrul Riezman mengerutkan dahinya.
            “Awak rasa macam ru?”
            “Ya”
            “Awak tak rasa suka ke dapat jumpa saya. Bukan senang kita nak jumpa. Ada orang tu asyik mengelak saja. Saya suka tau dapat jumpa dengan awak” Shahrul Riezman merenung Syuhada. Syuhada selamba.
            “ Encik Shahrul Riezman, saya tahu apa yang awak nak dari saya. Tapi tak ada apa-apa yang ingin saya tawarkan pada awak. So, just leave me alone”
            “Apa yang saya nak dari awak?” Shahrul Riezman tersenyum nakal. Bahagia hatinya dapat mengusik Syuhada. Syuhada menggigit bibirnya. Geram.
            “Okay, apa yang awak nak dari saya?”
            “Saya nak awak. Hidup dengan awak. Be my wife, Syu” bicara Shahrul Riezman yakin. Lahir dari hatinya yang ikhlas. Syuhada membuang pandang ke laut lepas sambil mengeluh. Kali kedua Shahrul Riezman menawarkan padanya ‘be my wife’. Bersungguhkah dia? Argh, lelaki ini.....tak tahu pun asal usul aku, buruk baik aku....senang-senang nak offer aku jadi bini dia......dah terdesak sangat agaknya.

Teringat kembali kepada Zulhilmi. Lelaki itu pun dulu beria-ia padahal mereka baru kenal tiga bulan. Sehingga akhirnya dia sendiri yang terikat dengan janji yang entah apa-apa.
            “Kenapa saya, Riezman?. Pergilah cari orang lain yang lebih besedia jadi isteri awak. Jangan buang masa mengejar saya” luah Syuhada tanpa menoleh ke arah Shahrul Riezman.
“Hati ini yang memilih dan takdir yang menentukan” Shahrul Riezman menunjukkan  jari telunjuknya ke dada.
Syuhada memandang sekilas. Terkesan dengan perkataan ‘takdir yang menentukan’ dihatinya. Pertemuaan yang sering tidak diduga ini … takdirkah yang menentukan? Takdir juga yang menentukan perjalanan hidupnya dan Zulhilmi begitu. Tiba-tiba rona wajahnya berubah mendung. Shahrul Riezman terkesima melihat perubahan yang tiba-tiba itu. Seperti ada sesuatu yang tersembunyi jauh di sudut hati Syuhada dan dia terlalu ingin tahu apakah sesuatu itu. Bening matanya seperti ada luka yang maha dalam.

            “Syuhada” Shahrul Riezman memanggil perlahan. Syuhada mengangkat wajah  bertatapan dengan lelaki di hadapannya.
            “Kenapa Syu? Awak nampak muram. Kalau awak tak suka dengan kata-kata saya tadi, just ignore it. Tapi please, terimalah saya sebagai kawan awak” Syuhada sekadar mengangguk.
Kali pertama dia merasa ikhlas menerima kehadiran Shahrul Riezman. Hanya sebagai kawan, tak apalah …… bisik hatinya.
            “Awak holiday sorang aje? Mana kawan-kawan yang lain?”
“Taklah, saya kan holiday dengan awak. Tak kan dia orang nak ganggu” terasa diri dipermainkan, Shahrul Riezman merenung tajam gadis di hadapannya. Kasihnya menggunung tetapi tidak terluah. Dia kagum dengan Syuhada …. Moodnya boleh bertukar sekelip mata.
            “Boleh tolong tak?” Syuhada bersuara perlahan. Menahan getar yang tiba-tiba datang. Shahrul Riezman mengecilkan matanya.
“Tolong jangan pandang saya macam tu” pecah ketawa Shahrul Riezman. Syuhada menggigit bibirnya. Geram.           
“Kenapa? Bukan ke yang indah itu untuk dinikmati. Saya sedang menikmati keindahan itu” lembut suara Shahrul Riezman. Suka betul dia memandang wajah Syuhada ketika itu.
            “Yang indah .. itu. Cuba pandang sebelah timur sana. Cahaya jingga matahari  yang sedang naik. Saya suka tengok pemandangan itu. Sebab tu pagi-pagi lagi saya dah tunggu dekat sini” Shahrul Riezman menoleh memandang ke arah timur yang ditunjukkan oleh Syuhada. Dalam diam dia merasa aneh. Sebentar kemudian dia menatap Syuhada semula.
            “Atau awak takut jatuh cinta pada saya” cetusnya perlahan. Syuhada mendengar namun wajahnya selamba. Debar yang diusir pergi, singgah lagi dihatinya. Jatuh cinta pada Shahrul Riezman? Mungkinkah? Masih adakah perasaan cinta  dihatinya? Setelah diri dipermainkan oleh sandiwara hidup Zulhilmi?
            “Lepas ni temankan saya, boleh?” Shahrul Riezman bertanya lagi. Peluang yang ada tak mungkin dia lepaskan.        
“Ke mana?” tanya Syuhada acuh tak acuh.
 “Pergi memancing dekat pulau sana tu” Syuhada berfikir sejenak. Kemudian memandang wajah Shahrul Riezman yang masih menunggu jawapannya.
“Ada extra pancing? Saya suka juga memancing”
            “ Ada tapi dalam boot kereta. Saya ambil sekarang. Awak pergi tukar skrit tu dengan seluar. Nak pergi sana tak boleh pakai skrit” Shahrul Riezman bersuara tegas. Cuba menutup rasa gembira yang tak terhingga. Dia tidak menyangka Syuhada akan setuju.      
“Tahu. Kalau pakai macam ni memang cari penyakit. Lebih-lebih lagi pergi dengan awak. Entah boleh diharap, entah tidak” terlepas lagi ketawa Shahrul Riezman mendengar kata-kata Syuhada. Tidak habis-habis dengan buruk sangka! Prajudis!....
“Pasti boleh. Saya pelindung awak. Seekor nyamuk pun tak akan gigit awak” suara Shahrul Riezman terlalu perlahan namun jelas dipendengarannya. Debar dihati mengasak lagi.
“Iyelah tu........kata memang manis kan?”
“Tak rasa lagi dah tau manis.....hmmm hebatlah deria rasa awak” Shahrul Riezman tersenyum-senyum.
“Hisyyy.....sudahlah awak, saya nak tukar baju ni”.

            Mereka beredar setelah berjanji untuk bertemu semula setengah jam kemudian. Syuhada menukar dressnya dengan seluar jean dan T-shirt longgar. Disapunya losyen penahan cahaya matahari dilengannya untuk mengelakkan sun-burn. Bila dia membuka pintu, Shahrul Riezman sudah berdiri di hadapan pintu biliknya. Syuhada tersenyum. Ikhlas. Dan entah untuk kali keberapa, Shahrul Riezman terpanar. Gelodak rasa di hati kian membara.

            “Cepatnya. Parking kereta dekat mana?”      
“Tak sabar nak memancing dengan awak” Syuhada tergelak kecil. Yelah tu … desis hatinya.
Shall we …” Syuhada mula mengorak langkah. Shahrul Riezman menuruti langkahnya.
“Wanginya awak. Awak pakai minyak wangi apa ni, Syu?”
            Langkah Syuhada terhenti. Seingatnya, dia tidak memakai minyak wangi. Bukannya dia tidak tahu hukum seorang perempuan memakai minyak wangi kalau bukan untuk suaminya.
“Kenapa?” tanya Shahrul Riezman pelik.
“Eh, wangi ke saya? Berdosa pulak rasanya” nada suara Syuhada separuh kesal.
“Berdosa kenapa pulak ni ?” Shahrul bertambah pelik.
“Yelah, kitakan bukan muhrim. Haram seorang perempuan menarik perhatian lelaki yang bukan muhrimnya dengan bau wangian” Shahrul Riezman tergelak. Walaupun apa yang dikatakan oleh Syuhada di akui kebenarannya namun dia tetap pelik dengan seorang Syuhada.       
“Dahlah, saya bergurau aje tadi. Jomlah kita pergi. Matahari semakin tinggi tu, nanti seekor ikan pun tak dapat”
            Mereka melangkah menuju ke arah bot yang disediakan oleh pihak chalet. Syuhada gembira bukan main. Sejak balik dari Sarawak, inilah kali pertama dia menaiki bot. Teringat dia semasa menjalani praktikum  di Kapit. Sebulan sekali dia akan menaiki feri untuk ke Sibu. Pengalaman di jalan raya tak sama dengan pengalaman di jalan air. Sepuluh minit kemudian, mereka sampai ke tempat yang dituju. Tiada apa yang menarik di Pulau Penambang yang terletak betul-betul berhampiran dengan Singapura. Kali pertama Syuhada menjejakkan kaki ke situ. Kelihatan sekumpulan lelaki sedang memancing tidak jauh dari mereka. Tiba-tiba Syuhada bagaikan baru tersedar.

            “Ya Allah, Riezman, sepatutnya saya tak ikut awak ke sini” suaranya perlahan. Shahrul Riezman mengerutkan dahinya tanda tidak faham.     
“Kenapa?”      
“Tengok tu. Semuanya lelaki. Saya sorang perempuan……” Shahrul Riezman tergelak sebelum sempat Syuhada menghabiskan kata-katanya.
“Takut ke ?” tanya Shahrul Riezman tersenyum-senyum.
“Saya nak baliklah. Pak Cik bot tu masih ada lagi” Syuhada memusingkan tubuhnya namun belum sempat dia memanggil  lelaki yang membawa bot tadi, lengannya sudah disambar Shahrul Riezman. Wanita itu terperanjat bukan kepalang. Macam-macam perkara buruk terlintas di kepalanya. Bukannya dia kenal sangat dengan Shahrul Riezman. Shahrul Riezman memandang tepat ke arah anak mata Syuhada. Syuhada semakin cemas.
            “Saya kan ada. Apa yang hendak ditakutkan. Maruah awak tanggungjawab saya, Syu” Shahrul Riezman bersuara lembut. Cuba mewujudkan rasa yakin dalam diri Syuhada. Dia pun perasaan keadaan itu. Namun dia yakin Syuhada akan selamat bersamanya. Syuhada mulai senyum bila ternampak sebuah bot sedang menghampiri pulau itu. Ada tiga orang perempuan di dalam bot itu. Lega hatinya.
            “Pakar motivasi kata, jangan percaya pada orang yang kata percayalah” katanya selamba. Wajah cemasnya tadi sudah bertukar kepada ceria. Hajat untuk memancing pasti tercapai.
            “Itu pakar motivasi kata. Kalau Shahrul Riezman yang kata, memang boleh percaya”
            “Yelah tu. Dah … jom kita ke batu besar tu. Saya dah tak sabar nak dapat ikan ni” mereka mula mengorak langkah menuju ke arah batu besar yang ditunjukkan oleh Syuhada.

            Shahrul Riezman memasang umpan di mata kail pancingnya. Syuhada pun melakukan perkara yang sama. Seumur hidupnya inilah kali pertama dia memancing. Dia memang suka melakukan sesuatu yang baru. Boleh dijadikan bahan cerita untuk pelajar-pelajarnya.
            “Sebelum kita campakkan mata pancing ni ke air, kita buat peranjian dulu”
            “Perjanjian apa pulak ni?”
            “Siapa yang paling sikit dapat ikan, kena belanja lunch dan dinner untuk hari ini”
            “Mana boleh macam tu. Ini my firsf experience tau. Awak tentu dah biasa memancing. Mana aci. Dah tentu awak menang” Syuhada memprotes. Dalam diam dia mula menyedari sesuatu. Shahrul Riezman memang mempunyai agendanya sendiri. Tadi sarapan, sekarang memancing. Lepas ni lunch, lepas tu dinner. Agenda yang tersusun.
            “Tak tentu juga Syu. Mungkin ikan tu lebih tertarik pada awak. Maklum saja awak cute” Syuhada ketawa lepas. Ada-ada saja Riezman, fikirnya. Masakan ikan tahu yang memancing itu cute atau tidak.
            Kali pertama Shahrul Riezman melihat Syuhada ketawa. Lesung pipit dikedua-dua belah pipinya jelas terserlah. Ada debar yang mengasak naluri lelakinya. Teringin dia menyentuh pipi yang mulus itu. Bibir yang jarang tersenyum itu begitu menggoda.
            “Tak naklah. Tak fair” Syuhada bersuara perlahan bila menyedari dirinya diperhati. Sebagai seorang wanita yang sudah dewasa, bukan sukar untuk dia mengerti makna renungan lelaki.
            “Ok, kalau tak fair, kita tukar. Siapa yang paling banyak dapat ikan, dia yang belanja” sekali lagi Syuhada ketawa. Akhirnya Shahrul Riezman pun turut ketawa. Bahagia rasa hatinya dapat bersama dengan wanita yang hadir dalam mimpinya. Walaupun semuanya tidak dirancang. Jauh di sudut hati dia yakin ….. inilah jodohnya.
            “Bunyinya lain kan, Riezman. Tapi maknanya tetap sama. Awak saja nak perangkap saya” Syuhada duduk bila merasakan batu itu sesuai untuk diduduki. Shahrul Riezman mengambil tempat disebelahnya sambil menghulurkan mata pancingnya ke air. Begitu hampir sehingga Syuhada dapat menghidu aroma yang dipakainya. Tanpa dipinta debaran itu hadir lagi. Masing-masing membisu melayan perasaan sendiri. Shahrul Riezman dengan rasa bahagia dan Syuhada dengan pelbagai rasa.
            “Awak kerja apa,Syu?” Syuhada berfikir sejenak.
            “Kilang. Operator pengeluaran” jawabnya selamba. Shahrul Riezman menoleh memandang wajahnya dari sisi. Namun seperti biasa, sukar untuk mencari reaksi di wajah itu.
            “Betul ke?” tanya Shahrul Riezman sangsi.
            “Kenapa? Tak percaya atau malu? Maklumlah awak tu manager bank, saya ni siapa kan?” Syuhada tersenyum sendiri dengan kata-katanya.
            “Ke situ pulak. Ada saya cakap macam tu? Boleh pulak cuti. Selalunya orang kerja kilang susah nak cuti”
            “Apa pulak tak bolehnya. Cuti tahun saya banyak lagi. Saya ambillah. Awak pulak? Bank tutup ke?” kata-kata Syuhada mengundang ketawa Shahrul Riezman.
            “Bank tak tutup. Saya yang cuti. Jodoh membawa saya ke sini” suara Shahrul Riezman lembut. Masih lagi menatap wajah selamba di sisinya.
            Lama Syuhada diam. Kebetulan yang terlalu sering ini dianggap jodoh oleh Shahrul Riezman. Tiba-tiba dia merasa batang pancingnya berat. Dengan tenaga yang ada dia merentap batang pancingnya. Ada seekor ikan di mata kailnya. Dia tersenyum gembira memandang Shahrul Riezman yang masih belum mendapat seekor ikan pun. Tanpa meminta bantuan dari Shahrul Riezman, Syuhada cuba mencabut ikan dari mata kailnya. Namun kerana tiada pengalaman, tidak terduga mata kail yang tajam itu tertusuk ke ibu jarinya. Syuhada terjerit kecil. Terasa pedihnya jari apabila tertusuk benda tajam.
            Tanpa membuang masa, Shahrul Riezman menarik tangan Syuhada. Lukanya kecil sahaja dan darah yang mengalir keluar tidaklah banyak mana. Namun didorong oleh perasaan kasih, Syuhada yang terluka dia yang terasa. Setelah mengesat darah yang keluar dengan sapu tangan miliknya, dia menghisap ibu jari Syuhada. Syuhada terkejut bukan sedikit. Debaran menggila dihatinya. Dia cuba menarik tangannya namun pegangan Shahrul Riezman terlalu erat.
            “Kenapa awak buat saya macam ni, Riezman. Awak saja ambil kesempatan” Wajahnya merona merah. Malu, geram …. Bersatu dalam hatinya.
            No, saya bukan ambil kesempatan. Tapi mak saya kata, Kalau kita hisap tempat yang luka macam yang saya buat tadi, akan mempercepatkan pengaliran darah berhenti” Shahrul Riezman berkata sambil tersengih-sengih. Suka benar dia melihat wajah syuhada yang merona merah itu.
            “Saya tak suka awak buat macam tu” sekali lagi Syuhada cuba menarik tangannya. Namun masih lagi tidak berjaya. Lelaki itu masih memegang erat tangannya.
            “Buat macam mana?” usik Shahrul Riezman.
            “Macam tadilah” Syuhada bersuara geram.
            “Itu baru saya hisap jari, belum yang lain-lain lagi …”
            “Awak ….” jerit Syuhada dengan mata membulat.
            “Kalau macam ni, suka?” Shahrul Riezman mengucup tapak tangan Syuhada lembut. Bukan sekali tapi tiga kali. Syuhada menarik tangannya apabila terasa genggaman Shahrul Riezman mulai longgar.
Debaran yang menggila di dadanya, membuatkan Syuhada tidak mampu berkata-kata. Ya, Allah, perasaan apakah ini? Jangan biarkan aku begini. Jangan biarkan perasaan itu hadir lagi dalam hidupku ….. jerit hati kecilnya. Untuk menghilangkan rasa gugup yang amat ketara, Syuhada menghulurkan semula mata pancingnya ke dalam air setelah dipasang umpan.
            “Awak tentu orang kaya, kan Syu?” terdengar lagi suara di sebelahnya. Syuhada keliru mendengar pertanyaan itu. Kenapa mesti timbul soal kaya atau miskin …. Tanya hatinya. Tiba-tiba dia teringatkan Zulhilmi, lelaki yang tidak pernah bertanya tentang itu semua. Aduhai Hilmi … mengapa takdir kita begini? Hatinya merintih. Pedih menusuk sehingga ruang yang paling dalam dihatinya.
            “Kenapa diam Syu? Awak marah saya ke?” Shahrul Riezman bersuara lagi apabila Syuhada hanya membisu. Syuhada menoleh ke sisi … memberanikan diri memandang tepat ke wajah Shahrul Riezman. Dia cuba membuang jauh-jauh perasaan yang berkocak di hatinya.
            “Kaya atau miskin … itu syarat penting untuk jadi kawan awak?” soalnya sinis.
            “Eh,taklah. Bukan begitu. Cuma saya kagum dengan awak. Kerja kilang pun mampu pakai kereta wira” Shahrul Riezman berkata ikhlas.
            “Simpan saja rasa kagum awak tu, saya tak perlukan. Jomlah kita balik. Panaslah” Syuhada mula menggulung tali pancingnya. Kalau boleh dia ingin cepat sampai di biliknya.
            “Nanti dulu. Kita selesaikan dulu hal kita”
            “Hal apa?”
            “Saya tahu awak terasa hati dengan kata-kata saya tadi. Please forgive me. Saya tak bermaksud seperti yang awak sangka” Shahrul Riezman diburu rasa kesal. Setelah hatinya cukup yakin … dia tidak mahu kehilangan jejak lagi.
            “Saya tak sangka apa-apa. Lumrah manusia. Nabi pun pesan, kalau nak berkawan biarlah yang sekufu. Taklah macam ayam dengan itik. Satu pihak cakap A, satu pihak lagi faham B…susah kan?” Shahrul Riezman benar-benar terpukul dengan kata-kata Syuhada yang bersahaja. Dia memandang wajah di hadapannya. Semakin dipandang semakin kuat keinginannya.
            “Jomlah balik. Atau saya balik dulu. Bot dah ada tu” Syuhada mula berdiri. Kelam kabut Shahrul Riezman mengemas alatan memancingnya. Kesal hatinya Tuhan sahaja yang tahu.

            Sepanjang perjalanan mereka membisu. Syuhada hanya memandang ke laut. Sesekali jarinya mencecah air. Hati kecilnya tetap terasa dengan pertanyaan Shahrul Riezman tadi. Kalau Shahrul Riezman tahu keadaan keluarganya ….. yang miskin segala-galanya. Sudahlah miskin harta, tandus pula kasih sayang … entah apa agaknya tanggapan Shahrul Riezman.
            Melihat Syuhada diam, Shahrul Riezman terus dihambat rasa kesal. Akhirnya mereka tiba di chalet. Shahrul Riezman tetap mengekori Syuhada walaupun wanita itu tidak mengendahkannya.

            “Saya tunggu awak pukul 2.00 nanti. Kita lunch sama-sama” Syuhada memandang wajah Shahrul Riezman lama. Lelaki yang mampu mengetarkan naluri wanitanya sebentar tadi tersenyum lembut.
            “Tak payah. Saya mampu bayar makan minum saya sendiri” jawabnya sinis Hati memberontak namun sedaya mungkin dia cuba menepis kata hati.
            “Saya tak kata nak belanja awak. Saya kata …. Kita lunch sama-sama. Awak bayar makanan awak, saya bayar makanan saya” Shahrul Riezman masih cuba memancing mood Syuhada. Dalam hati Syuhada terasa ingin ketawa. Sepanjang pagi bersama, dia sudah dapat menjangkakan tindakan Shahrul Riezman. Pandai bermain kata.
            “Tak apalah. Awak lunch sendiri saya lunch sendiri. Apa pun terima kasih kerana ajak saya memancing tadi. Satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Saya nak masuk ni” kata Syuhada sambil membuka pintu biliknya.
            “Syu, nanti dulu !” agak tinggi suara Shahrul Riezman menghalang langkah Syuhada dari masuk ke biliknya. Syuhada membatukan diri menanti Shahrul Riezman meneruskan kata-katanya.
            “Hubungan kita baru saja bermula, Syu . Kalau sikap awak macam ni susahlah. Saya dah minta maaf tadi. Saya terlepas cakap. Kalau awak nak marah saya, marahlah. Tapi tolonglah jangan mendiamkan diri macam ni” lama-lama Shahrul Riezman geram dengan Syuhada. Hati batu …. Desis hatinya.
            “Awak bercakap tentang hubungan yang mana ni Encik Shahrul Riezman. Kita tak ada apa-apa hubungan dan tak mungkin akan ada hubungan” tegas suara Syuhada. Langsung tidak mempedulikan reaksi kalut di wajah Shahrul Riezman.
            “Kenapa tidak? Awak bukan tunang atau isteri sesiapa” Syuhada memandang Shahrul Riezman tajam. Shahrul Riezman tidak mahu mengalah. Dia membalas pandangan Syuhada. Lama mereka bertatapan.
            “Awak pasti?” tanya Syuhada perlahan lalu meloloskan diri masuk ke biliknya.

            Shahrul Riezman terkesima. Dia meramas rambutnya yang tidak gatal. Kalau selama ini dia tidak pernah merasa tidak dipedulikan oleh mana-mana wanita namun kali ini dia betul-betul merasa tercabar. Seorang Syuhada betul-betul membuat hatinya tidak karuan. 

~~Bab10~~


Fikiran Shahrul Riezman melayan jauh sementara menunggu mata pancingnya mengena dimakan ikan. Sengaja dia mengambil cuti seminggu. Lagipun sudah lama dia tidak mengambil cuti. Penat memikirkan masalah kerja. Apatah lagi akhir-akhir ini perasaan lelakinya seringkali terganggu. Bagaikan ada sesuatu yang hilang dari dirinya. Mengasak nalurinya. Mengetuk-ngetuk pintu hatinya agar mengisi ruang-ruang yang kosong.
Di pandangnya jauh ke hadapan. Ternampak bangunan-banguanan tinggi negara kecil di seberang tambak sana. Negara batu. Alangkah meriahnya suasana di sana. Lampu-lampu bergemerlapan. Tetapi mengapa hatinya diusik sepi? Sepi sekeping hati yang tidak boleh diubat dengan gelak ketawa teman-teman. Mengapa hatinya terus diasak resah? Resah memikirkan seorang dia.  Angau ! …. Kata hati. Dilamun cintakah aku? Shahrul Riezman mengeluh. Bercinta di angin lalu. Entahkan bersambut entahkan tidak!.
Deru ombak di paya bakau terasa mendamaikan. Damai dalam sepi. Sesekali chalet yang dibina di atas air itu terbuai mengikut alunan ombak. Terasa seperti duduk di dalam buaian. Bagai diwaktu kecil-kecil dulu…..lena didalam buaian. Suasana sunyi, tenang dan nyaman. Alangkah bahagianya kalau Syuhada ada bersama. Sama-sama menghayati indahnya ciptaan ALLAH. Shahrul Riezman menoleh ke kiri dan kanannya. Syu….entah mengapa hatinya berbisik. Ramai juga yang berkunjung. Terutamanya kaki pancing sepertinya. Kebanyakan chalet diterangi lampu menandakan telah dihuni oleh pelanggan.
Tiba-tiba bebola mata Shahrul Riezman terhenti pada sekujur tubuh yang sedang duduk bersilang kaki di atas sebuah kerusi kayu bercat putih. Macam kenal. Tapi mungkinkah? Buat apa dia di sini? Tanpa sedar kaki Shahrul Riezman mula mengorak langkah. Betul ke dia?  Diakah itu? Lama Shahrul Riezman berdiri di belakang gadis itu. Merenung dalam diam.
“Assalamualaikum” sapa Shahrul Riezman perlahan.
Gadis di hadapannya kelihatan terperanjat. Dia menoleh ke belakang. Sejurus terpandang wajah lelaki di hadapannya, dia pantas berdiri.
“Berdosa tau tak jawab salam” Shahrul Riezman bersuara lagi. Terasa hendak ketawa melihat wajah terkejut di hadapannya. Macam ternampak hantu!. Teruk sangat ke aku ni?....
“Waalaikummussalam” dia menjawab sepatah.
“Syu buat apa dekat sini?” Shahrul Riezman melangkah ke depan lagi. Baru jelas wajah ayu itu di matanya. Terubat rindunya. Lerai segala resah. Tidak menyangka kedatangannya ke tanjung yang menjadi penghujung benua Asia ini membawa seribu rahmat. Satu kebetulan yang memang amat dinantikan.
“Patutnya saya yang tanya soalan itu” Syuhada berkata hambar. Ketenangan yang baru dikecapi terasa bagaikan diragut.
‘Sejauh ini kau mengekori aku, lelaki!’ keluh hatinya meluat. desis hatinya meluat.
“Awak seorang saja ke?” Shahrul Riezman menoleh ke kiri dan kanan. Mencari kalau-kalau ada orang yang dikenali bersama Syuhada. Namun tiada sesiapa yang dikenali di situ. Hanya Syuhada seorang. Buat apa dia sorang-sorang  Hairan.....apa yang dia buat seorang diri di sini.kat sini. Hatinya tertanya-tanya.
“Boleh tolong pergi dari sini , tak? Saya tak suka ketenangan saya diganggu. Sila beredar Encik Shahrul Riezman!” berterus terang lebih baik. luah Syuhada geram.
Syuhada duduk semula di kerusinya. Hatinya geram. Terasa diri dipermain-mainkan. Shahrul Riezman pula menggaru-garu kepalanya. Sudah tahukah dia?
“Awak dah tahu ke?” Shahrul Riezman menyandarkan tubuhnya dipagar kayu di hadapan Syuhada....menatap Syuhada dengan segenap rasa. Di sini, setiap chalet disediakan pelantar untuk memancing. Satu keistimewaan Tanjung Piai Resort. Bayu yang berhembus amat mendamaikan.
“Apa maksud awak saya dah tahu?” Syuhada bertanya sinis.
“Maksud saya Shahrul Riezman” Suara Shahrul Riezman teragak-agak.
“Tak.Saya tak tahu. Iyelah saya kan hidup umpama katak di bawah tempurung. Hidup-hidup sorang-sorang. Dungu...kolot ...senang-senang boleh kena tipu” keras suara Syuhada menyebabkan dua tiga orang yang melintasi mereka menoleh. Shahrul Riezman terkedu. Garang juga!.

Syuhada teringat perbualan dengan teman-teman serumahnya semalam. Sewaktu teman-temannya pandai-pandai menggabungjalinkan nama Shahrul dan Riezman.
“Shahrul Riezman!. Eh … aku pernah terbacalah nama itu. Tunggu sekejap, aku cari kad dia” Aznah bergerak menuju ke arah rak bukunya. Syuhada memandang hairan. Shahrul dengan Riezman ….. orang yang sama ke?
“Kau tengok ni Syu. Ini kan kad Shahrul Riezman” Syuhada mencapai kad yang Aznah hulurkan.

                        Encik Shahrul Riezman b. Tahir
                        Branch Manager
Hong Leong Bank
Cawangan Pontian

YA ALLAH … Dia main-mainkan aku rupanya. Eee, geramnya.
“Betul ke Syu?” tanya Ruzian. Tanpa menjawab sepatah pun perkataan, Syuhada menyerahkan kad itu kepada Ruzian. Hatinya sakit. Tiba-tiba dia memandang Mazni yang tersenyum. Syuhada teringat pula peristiwa di Hong Leong Bank bersama Mazni tidak lama dulu.
“Kak Maz dah tahu kan?” Mazni sekadar mengangguk.
“Kenapa tak beritahu pada Syu?”
“Apa salahnya Syu. Dia cuma nak berkawan dengan Syu” Mazni berkata perlahan.
“Mana kau dapat kad ni Az?” tanya Ruzian.
“Dari Syulah. Dalam plastik buku yang dia bagi pada aku. Nasib baik aku tak buang”
Plastik buku? Puas Syuhada cuba mengingati plastik buku yang mana. Bukan sedikit buku yang dia beli. Bila ketikanya Shahrul Riezman memberi kad itu padanya, pun dia tidak ingat.

Kebisuan Syuhada memberi peluang kepada Shahrul Riezman meneliti wajah di hadapannya. Alis mata yang cantik terbentuk, tulang pipinya yang sedikit menonjol … sesuai dengan bentuk wajah yang bujur sirih dan bibirnya yang tidak dicalit sedikit pun lipstick, tetap mempesona. Rambutnya … tak dapat Shahrul Riezman bayangkan. Panjang menguraikah, ikal mayangkah? Alangkah sempurnanya ciptaan ALLAH.
“Woi .. tak ada kerja lain ke? Yang awak masih terpacak dekat sini buat apa? Dari chalet tu sampai sini,  kawasan saya tau. Saya dah sewa” Syuhada bersuara keras. Amarahnya masih bersisa di hati. Shahrul Riezman sekadar tersenyum. Orang tua-tua kata …. Yang keras lawannya lembut. Api lawannya air. Biarlah Syuhada jadi api. Dan dia akan menjadi air yang akan menjirus kemarahan Syuhada.
‘Eh … senyum pulak mamat ni, dah sewel agaknya’.
“Awak tak patut marah saya Syu. First time kita jumpa dekat KFC, saya dah bagi kad saya. Tak sangka awak tak perasaan yang selalu terserempak dengan awak dan yang selalu telefon awak tu orang yang sama” Shahrul Riezman bersuara lembut. Selembut angin yang berhembus malam itu. Nyaman menampar-nampar kulit pipi.
“Awak ni Riezman ke …. Shahrul ke … sapa ke … apa saya kisah. Tak ada kena mengena dengan hidup mati saya. Well, can you leave me alone, Encik Shahrul Riezman” Syuhada memberanikan diri bertentang mata dengan lelaki di hadapannya yang sedari tadi tidak membuang pandang. Lama pandangan mata mereka bertaut. Ada rasa aneh yang menyelinap dalam hati Shahrul Riezman. Dia dapat merasakan antara dia dan Syuhada bagai ada satu ikatan. Tapi dia tidak tahu apakah bentuk ikatan itu? Sorotan mata itu dirasakan terlalu akrab dengan dirinya. Pernah dilihat namun entah di mana dan bilakah waktunya.
Betullah sewel mamat ni. Tengok orang macam nak telan. Eeee … seram. Tak kuasalah nak layan. Syuhada berpaling, berkira-kira untuk masuk semula  ke biliknya. Tanpa diduga, pergelangan tangannya disambar. Satu tindakan refleksi … di bawah sedar Shahrul Riezman  sendiri. Shahrul Riezman sendiri terkejut. Apatah lagi Syuhada. Pantas dia merentap tangannya dari pegangan Shahrul Riezman.
“Awak dah gila ke? Pegang orang sesuka hati. Apa awak ingat saya isteri awak?” Syuhada bersuara kasar.
Dalam rasa terkejut dengan tindakan sendiri, Shahrul Riezman masih lagi mampu tersenyum.
My future wife” bisiknya perlahan. Syuhada menjuihkan bibirnya.
‘Dia ingat ingin sangat aku jadi isterinya. Jadi pungguklah kau!’
“Malang sekali. My future husband pulak dah ada tapi yang pasti bukan awak” Syuhada terus melangkah sebaik sahaja habis berkata-kata. Meninggalkan Shahrul Riezman terpinga-pinga.
Dia sudah dimiliki? Betul ke? Atau kata-katanya hanya untuk menyakitkan hati aku? Kalau betul …? Tapi tak pernah pun aku nampak dia dengan mana-mana lelaki. Kalau pernah pun manalah aku tahu. Bukannya selalu dia ada di depan mata aku. Shahrul Riezman masih belum berganjak dari depan bilik Syuhada dengan hatinya berkata-kata sendiri.
Syuhada mengintai di sebalik tirai langsir. Dia ternampak Shahrul Riezman yang masih belum berganjak dari tempatnya tadi. Pelik dia memikirkan sikap lelaki itu. Entah apa yang dia inginkan darinya. Entah macam mana dia boleh berada di sini. Apakah dia mengekori aku? Atau ini hanya satu kebetulan? Kalau kebetulan …. Terlalu acapkali kebetulan yang melibatkan mereka berdua. YA  ALLAH … sesungguhnya tidak terjangkau oleh akal fikirku akan ketentuanMU. Semakin dicuba untuk menghindari, semakin kerap mereka bertemu.

Saturday, April 23, 2011

MERANCANG PERUBAHAN


★ ★ “KATAKAN kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi, ‘Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan suatu yang mustahil” ★ ★ 

Ada yang sedih dan kecewa dengan keadaan diri dan kehidupannya ... setelah beberapa lama selepas itu dia masih di tahap yang sama; tanpa sebarang perubahan atau peningkatan. Ramai juga yang bercita-cita tinggi dan mempunyai pengharapan yang besar, namun setalah masa demi masa berlalu tidak ada apa yang dicapainya.

✿ Setiap insan inginkan kejayaan dan kebahagiaan dalam hidupnya tetapi tidak semua daripada mereka yang memahami erti kejayaan dan kebahagiaan. 

✿ Ada yang memahami erti sebenar kejayaan dan kebahagiaan tetapi tidak tahu pula jalan untuk mencapainya. 

✿ Ada pula tahu semua itu tetapi tidak memiliki jiwa yang besar untuk berjuang untuk memperolehi kejayaan dan kebahagiaan tersebut.

✿ Jadi apa bezanya ketiga-tiga golongan ini dengan golongan yang ke 4, iaitu orang yang tidak memiliki harapan dan cita-cita. Tentunya semua mereka tidak berpuashati dengan keadaan hidup mereka namun tidak ada usaha untuk membaiki keadaan dirinya dan kehidupannya.

Bagaimana dengan kita? Jika kita inginkan kejayaan .... maka tentu ada harganya yang perlu kita bayar. Sebagaimana kata-kata Ibn Qayyim: 

★ ★ “kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula” ★ ★ 

Tiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya, Kejayaan tak akan diraih dengan kesenangan dan kenikmatan kerana kesenangan dan kenikmatan itu hanya akan datang selepas kejayaan bukan sebelumnya. Jika kita benar-benar inginkan kejayaan dan kebahagiaan maka kita perlu sanggup menempuh halangan dan rintangannya.

Inilah persoalan besar yang sedang kita hadapi disepanjang kehidupan .... tidak tahu membuat pilihan mana yang baik mana yang tidak. Kalaupun kita telah membuat pilihan tidak sanggup pula kita membayar maharnya/harganya. Kita inginkan kejayaan dengan 'harga yang murah', kita inginkan mencapai kebahagiaan dengan jalan pintas.

Pernah seorang kawan saya berkata: 

|| "Mi! kalau dikedai atau difarmasi ada ubat yang apabila dimakan aku terus jadi baik dan soleh ... tentu aku akan beli walau setinggimanapun harganya." lalu saya menjawab: 

|| "Ya ... kalau ada ubat yang sebegitu ... semua oarang akan membelinya termasuk ketua-ketua perompak atau penyamun kerana secara fitrahnya, semua orang ingin jadi baik tetapi dia tidak cukup kuat untuk membuat pilihan yang betul dan menundukkan hawa nafsunya."

Inilah warna warni kehidupan .... selalu bila nak membeli seseorang akan minta yang paling baik tetapi harganya paling murah, sedangkan sesuatu yang baik tentu tinggi pula harganya. 

Mungkin semua orang tahu dan faham hakikat ini cuma sekadar mencuba nasib ... tetapi wajarkah disepanjang kehidupan kita hanya mencuba nasib sedangkan masa terus berjalan, umur meningkat dan laluan kehidupan kita semakin hampir kegarisan penamatnya.

Oleh itu kita perlu merancang perubahan diri untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan. Kita perlu tahu titik mulanya, arah tujunya, berapa jauh perjalanannya, berapa ongkosnya (uangnya)yang perlu dibelanjakan dan sampai bila kita perlu merancang dan melakukan perubahan.



Abu Umar
___________________
Diptetik dari:

Wednesday, April 20, 2011

~~Tolong Ingatkan Aku

Jangan disusun kata-kata penamat 
Jangan disebut baris ayat keramat 
Biar lenyap diserap sunyi 
Biar senyap yang tak menyepi

Tolong ingatkan aku 
Kisah kau tersedar 
Dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama 
Mari padamkan buku tiga lima 
Biar luka sembuh sendiri 
Biar lupa dimakan hari

Tolong ingatkan aku 
Kisah kau tersedar 
Dengan saku penyeluk masa 
Kau dampingi aku 
Setiap detik jantungku berdetak 
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Bila marah merasuk minda 
Kecewa menyelubungi jiwa 
Aku lupa

Tolong ingatkan aku 
Kisah ku tersedar 
Dengan kasih memeluk rasa 
Ku teringatkanmu 
Setiap detik jantungku berdetak 
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Tolong ingatkan aku kisah kita 
Tolong ingatkan aku 
Kisah ku tersedar 
Dengan kasih memeluk rasa

Tolong ingatkan aku 
Kisah kita   

Tuesday, April 12, 2011

Al Mathurat Wazifah Sughra

Al Mathurat


Kelebihan membaca Al Mathurat:
1. Tidak dihampiri syaitan
2. Rumah dan keluarganya terselemat dari perkara yang tidak diingini.
3. Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat.
4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.
5. Selamat dari segala sesuatu.
6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.
7. Allah berhak untuk meredhainya
8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.
9. Terhindar daripada syirik.
10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.
11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.
12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.
13. Sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh allah hingga ke waktu petang.Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
14.Mengamalkannya umpama mengamalkan Sunnah Rasulullah dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan.
Nabi SAW merupakan insan yang paling tahu mengenai Tuhannya. Ia telah mengajarkan kepada kita ungkapan-ungkapan yang cukup indah dan mendalam dalam bentuk zikir, doa, syukur, tasbih dan tahmid dalam setiap keadaan, dalam urusan yang kecil, besar, mulia dan hina. Rasulullah (s.a.w.) sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan. Justeru kami meminta saudara Muslimin supaya mencontohi sunnah nabi, mengamal dan menghafal zikir-zikir yang diajar oleh nabi (s.a.w.) sebagai cara untuk menghampirkan diri kepada Allah.