Friday, June 10, 2011

~~Bab 17~~


Panggilan telefon dari ibunya sebentar tadi benar-benar mengganggu fikiran Syuhada. Mengusik damai dihatinya. Minggu lepas kan aku sudah balik …… minggu ni pun nak suruh aku balik, getus hatinya. Hendak dibantah, wanita itu ibunya. Diturut semua kemahuannya, hati sendiri dijeruk rasa. Geram hatinya bila dipaksa-paksa begitu. Bukan ibunya tidak tahu kerjanya yang berlambak tidak pernah habis itu. Entah apa lagi mahunya. Kalau begitu kuat desakkannya....sudah tentu ada sesuatu yang dimahunya. Arghhhhh.......dia terasa ingin menjerit sekuat hati.....biar semua yang terbuku dalam lubuk hatinya.

“Kau ni kenapa Syu?” tanya Mazni bila melihat kawan serumahnya itu merunggut tidak tentu pasal. Wajah kelat Syuhada dipandang sedari tadi. Terkumat kamit bibir sahabatnya itu, namun tidak tahu apa biji butir yang keluar dari mulut Syuhada.
“Mak Syu tu lah Kak Maz. Dia paksa Syu balik esok. Minggu lepas kan Syu dah balik. Bosanlah. Penat tau balik tiap-tiap minggu. Lagipun banyak kerja yang kena Syu siapkan” luah Syuhada tanpa sedar.
“Hisyyy tak baik Syu cakap macam tu. Adalah halnya tu, kalau tidak, takkan dia suruh Syu balik. Lagipun bukannya jauh sangat pun, tak sampai pun satu jam. Jangan-jangan ada orang nak pinang Syu tak?” seloroh Mazni. Syuhada menarik muka.
“Siapalah nakkan Syu. Anak orang tak berharta, rupa pun tiada” ujar Syuhada selamba. Ada waktu dia menyesali nasib keluarganya. Lumrah manusia, bila tidak berharta lantas dihina. Yang berharta terus sahaja dipandang mulia biar buruk laku sekalipun. Macamlah harta yang mengangkat darjat seorang manusia. Tetapi tidak boleh juga menyalahkan orang yang berharta sepnuhnya. Ada ketika sikap dan tingah laku orang yang kurang berharta ini agak memualkan.
“Balik sajalah Syu. Tak baik kecikkan hati mak tau” nasihat Mazni disimpan kemas dalam hatinya. Betullah tu......tempat seorang ibu memang teratas. Darjat seorang ibu adalah tiga kali lebih tinggi dari seorang ayah.

Bila wira 1.5 milik Syuhada memasuki Kampung Haji Hamid, banyak mata yang memandang. Tidak kurang juga yang berbisik-bisik sesama sendiri. Syuhada sedar. Sudah lama dia sedar. Sejak balik dari Sarawak tiga tahun yang lalu, semua orang menyalahkannya apabila Zulhilmi terus hilang dirinya sehingga kini. Semua orang menuduhnya. Dialah punca segala kemelut dalam hidup lelaki itu.  Diakah yang bersalah? Persoalan itu sering menghantui fikiran Syuhada. Tetapi bukankah salah seorang emak saudara Zulhilmi pun berkeadaan seperti itu??....Hilang kewarasan diri apabila suaminya meninggal dunia. Lantas, apakah suaminya yang bersalah kerana meninggal dunia?

Kereta yang dipandu oleh Syuhada mula memasuki perkarangan rumahnya. Matanya tertumpu pada Honda CRV di sudut halaman rumahnya. Kereta siapa pulak ni? Mustahil  along  beli kereta? Masakan terlalu cepat hidupnya berubah? Belum pun sempat Syuhada keluar dari keretanya, Zainab sudah tercegat di hadapan pintu rumahnya. Tidak sabar dia dengan sikap sambil lewa Syuhada. Sudah lama tetamu yang datang bertandang ke rumah mereka, menunggu untuk berjumpa dengan Syuhada.

Setelah menyalami tangan ibunya, Syuhada melangkah perlahan masuk ke rumahnya. Tidak dihiraukan tetamu yang ada. Menonong saja dia membawa diri ke dapur. Berbual-bual dengan adik-adiknya lebih mendamaikan dari memandang wajah keruh ibunya.

“ Haa Bie, yang kau tersenyum-senyum ni, kenapa?” herdik Syuhada pada Rubiah, adiknya yang masih tersengih-sengih. Sudahlah hatinya panas sedari pagi tadi, dilihatnya pula Rubiah tersenyum-seyum kambing seperti menyindirnya.
“Apalah akak ni, orang datang menetapkan tarikh pun lambat balik” Syuhada tersentak. Lama paras Rubiah dipandang. Menetapkan tarikh? Siapa? Tarikh apa? Belum sempat dia membuka mulut, dia telah dipanggil oleh Zainab. Hatinya panas tiba-tiba.

Syuhada melangkah ke ruang tamu dengan perasaan berbuku. Sudahlah dipaksa balik ke kampung, dipaksa pulak berjumpa dengan tetamu yang langsung tidak dikenali. Siapa yang tidak marah. Dari belakang, Syuhada memandang ke arah empat orang tetamu ibunya. Dua orang wanita dan dua orang lelaki. Lelaki yang seorang itu macam aku kenal, desis hatinya. Dengan jeans biru dan T-shirt kelabu serta bertudung putih, Syuhada duduk di sebelah ibunya. Syuhada memandang pada tetamu yang duduk bertentangan dengannya. Syuhada mengangkat wajahnya memandang tetamu yang duduk dihadapannya seorang demi seorang. Ya ALLAH ….. apa dia buat kat sini? Benarkah dia? Dia sudah sembuh? Bila???? Wajahnya mula merona merah. Segala jenis rasa mengasak dinding hatinya. Dia tidak tahu bagaimana dia harus bereaksi. Haruskah berteriak gembira??? Atau memang sudah tiada kesan langsung dengan kehadirannya semula? Sesungguh dia tidak tahu apakah jenis perasaan yang sedang menghuni ruang hatinya dikala itu. Samar-samar segala kenangan itu bertamu diruang legar ingatannya, satu persatu.

“Baru sampai?” tegur suara itu. Masih seperti dulu……..menampar-nampar dinding telinganya. Wajah lelaki yang  bertanya itu, direnung tajam.
“Kenapa datang?” keras dia bertanya. Zainab menyiku Syuhada sambil tersenyum manis pada tetamunya. Dia tahu Syuhada marah. Bila Syuhada marah, tiada siapa yang boleh menahan kemarahannya. Namun, biarlah Syuhada dengan perasaan marahnya.

Rahmah dan Mustika serta suaminya  tersenyum memandang Syuhada. Syuhada membalas senyuman mereka. Namun hatinya dipalu seribu persoalan. Sama sekali tidak diduga akan kehadiran mereka. Untuk apa datang lagi? Kenapa baru sekarang muncul? Setelah semuanya sudah terlerai?

“Syu dari mana?” tanya Rahmah cuba mengambil hati Syuhada.
“Syu dari rumah sewa Syu, kuarters guru” Syuhada menjawab perlahan. Kalau boleh dia tidak ingin memberitahu tempat kediamannya. Dia tidak mahu mereka tahu apa-apa pun tentang dirinya. Tiada gunanya lagi.
“Kenapa tak duduk sini?” tanya Rahmah lagi.
“Syu ada buat part time selain mengajar. Di Bandar peluangnya lebih banyak” jelas Syuhada malas. Untuk apa lagi mengambil tahu?
“Hilmi selalu bertanyakan Syu. Beria-ia dia suruh kami datang ke sini” Rahmah bersuara lagi. Dan kata-katanya itu membuatkan Syuhada semakin gelisah. Apatah lagi dengan renungan sepasang mata itu. Untuk apa lagi bertanyakan dirinya?? Kenapa baru sekarang sibuk hendak bertanya?.
            “Maafkan saya mak cik. Kehadiran mak cik sekeluarga di luar jangkaan saya. Tapi saya rasa semuanya dah selesai. Tidak ada apa-apa yang tertinggal lagi, kan?” Syuhada bersuara lembut namun tegas. Sesekali dia menjeling lelaki yang gelisah di tempat duduknya. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Gembirakah dengan pertemuan tidak diduga ini? Atau masih ada rasakah dihatinya pada lelaki itu? Apakah dia masih mengharap pada lelaki ini? Dia keliru!
            “Kami faham Syuhada” Syuhada memandang wajah Rahmah lama. Baguslah kalau faham. Kemudian dia mengalihkan pandangannya pada lelaki di hadapannya. Kenapa sedari tadi dia tidak bersuara? Syuhada mengharapkan lelaki itu berkata sesuatu. Meleraikan seluruh persoalan yang sering membelenggu hatinya selama ini. Tetapi lelaki itu masih diam. Diam seribu bahasa. Sudah terlalu lama mereka tidak berjumpa. Hampir tiga tahun . Apakah aku masih mengharapkannya? Apakah aku ingin dia kembali?? Tanya hati Syuhada berkali-kali.
            Selepas itu mereka terus berbual. Langsung tidak menyentuh tentang hubungan Syuhada dan Zulhilmi. Syuhada masih membatu di tempat duduknya. Kelu lidahnya untuk bersuara di hadapan lelaki yang dulunya begitu mesra dihatinya. Begitu diharap akan kehadirannya. Begitu dirindui.....tetapi hari ini??
           
“Kami tunggu di luar” Rahmah bersuara apabila melihat Zulhilmi masih tidak bergerak-gerak. Masih membatu ditempat duduknya sambil sesekali merenung wanita dihadapannya.

            Mereka beredar ke luar. Tinggallah Zulhilmi dan Syuhada. Zulhilmi merenung Syuhada tajam. Syuhada membalas, juga dengan pandangan mengancam. Sesungguhnya dia tidak menduga hari ini akan berlaku dalam hidupnya. Pernahkah dia mengharap? Inikah yang aku harapkan? Soal hatinya berkali-kali.
            “Awak buat saya malu, Syu” Syuhada keliru mendengar ayat itu. Malu?.....Siapa yang seharusnya malu? Kenapa pulak dia hendak malu?? Bukan dia yang berhadapan dengan orang sekeliling bila perihal mereka diperkatakan.
            “Malu? Apa maksud awak Hilmi? Siapa suruh awak datang?” Syuhada bersuara kaku. Cuba menahan kemarahannya yang muncul tiba-tiba. Zulhilmi tidak berhak berkata begitu. Selama ini siapa yang menanggung malu? Hanya dia seorang yang menghadapi segala kata cemuh dari masyarakat setempat. Dia  di mana waktu itu?
            “Saya tak perlu izin sesiapa untuk berjumpa dengan tunang saya” kedengaran suara itu begitu sinis. Syuhada memandang tepat ke wajah lelaki di hadapannya. Semakin keliru dia rasakan. Tunang saya?? Aku ni masih tunang dia ke??? Apa yang pasti nada suara Zulhilmi tidak sama seperti dulu. Tiada kelembutan seperti dulu. Tidak menyentuh hatinya seperti dulu. Memang lelaki ini sudah benar-benar berubah. Wajah jernihnya dulu pun sudah tiada.
            “Tunang? Mereka tak beritahu ke kita dah tak ada apa-apa hubungan? Ikatan pertunangan kita dah putus Hilmi. Sudah lama putus! Kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi” Syuhada cuba mengawal nada suaranya. Amarahnya sudah berada dipuncak.
“Siapa yang putuskan? Saya tak pernah putuskannya. Dan tak akan ada siapa yang berhak untuk memutuskannya. Awak masih tunang saya dan kita akan berkahwin dalam masa terdekat. Kita akan jadi suami isteri tak lama lagi” kepala Syuhada merasa sakit tiba-tiba menghadapi situasi begini. Zulhilmi sudah menjadi orang lain. Tiada pertimbangan dan tolak ansur.
“Maaf. Syu tak akan tarik balik keputusan Syu. Kita dah putus tunang Hilmi. Kita tak mungkin berkahwin. Perasaan kita dan apa yang kita mimpikan dulu semuanya sudah berakhir” Syuhada mendengar Zulhilmi ketawa. Syuhada menahan rasa. Lelaki ini benar-benar sudah berubah. Hanya satu yang dia yakini kini....dia pernah menyimpan lelaki ini dalam lubuk hatinya yang paling dalam dan bila sekali dia cuba untuk melupakan, tidak mungkin dia berpaling lagi.
“Awak tetap tunang saya selagi saya tidak melepaskan awak” suara Zulhilmi kedengaran mengancam.
“Dan saya dah lama singkirkan awak dari hati saya...dari hidup saya” balas Syuhada keras. Kalau Zulhilmi berkeras, dia akan mengikut rentak yang sama. Untuk mengalah, tidak sama sekali. Cukuplah sekali dia merasa terpinggir. Cukuplah sekali dia terluka dibiar sendiri.
“Saya akan pastikan yang kita akan berkahwin pada hari yang akan saya tetapkan nanti” sambung Zulhilmi lagi angkuh.
“Jangan mimpi! Kalau saya tak pergi rumah awak untuk putuskan pun, tempoh tunang   dah jauh tersasar....melebihi tempoh yang awak janjikan dulu. Kalau ikut perjanjian pun, kita memang dah tak ada apa-apa ikatan lagi. Awak kena terima hakikat Hilmi” balas Syuhada dengan harapan Zulhilmi mengerti dan tidak terus bermimpi. Kedengaran Zulhilmi mendengus kasar. Tidak puas hati dengan kata-kata dari wanita yang masih dianggap tunangnya.

                        Dari luar terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan. Syuhada merasa lega. Dia mengharapkan agar Zulhilmi cepat beredar. Rasa hatinya kian lemas berhadapan dengan lelaki yang sudah berubah keraktor ini. Tiba-tiba Zulhilmi bangun lalu duduk di sebelahnya. Syuhada merasa kian gelisah.

            “Walau apapun, awak akan tetap menjadi milik saya” bisik Zulhilmi keras di telinga Syuhada. Syuhada tergamam. Memandang wajah Zulhilmi yang tersenyum. Kali ini hatinya kembali disentuh. Senyuman itulah yang menambat hatinya dulu. Senyuman itulah yang mengusik lenanya sehingga dia sanggup menerima lamaran dari lelaki itu dulu.
“Saya masih sayangkan awak.......tak seinci pun berkurang” sambung Zulhilmi lagi.
“Kenapa baru sekarang?......Setelah saya kehilangan seluruh rasa yakin dan percaya pada awak! Setelah saya cukup kuat untuk hidup tanpa awak? Saya tidak perlukan awak lagi dalam hidup saya” Syuhada tetap mempertahankan pendiriannya.
“Masa tidak mengubah apa-apa Syu. Hati dan perasaan saya masih menjadi milik awak. Saya tetap perlukan awak. Keluarga saya akan menguruskan segala-gala” putus Zulhilmi lalu melangkah keluar. Syuhada meraup muka apabila Zulhilmi melangkah keluar. Walau apapun yang pernah dia lalui, lelaki itu pernah ada dalam hatinya. Pernah hidup dalam perasaannya.

            Kepulangan mereka membuatkan Syuhada termangu sendiri. Dia masih belum berganjak dari kerusinya. Dia terkenang pertemuan pertama mereka sehinggalah kepada segala rentetan hubungan mereka. Berkali-kali Syuhada mengeluh di dalam hati. Apa yang harus aku lakukan? …. Tanya hati kecilnya.
           
            Zainab melangkah masuk ke dalam rumah semula setelah tetamunya hilang dari pandangan mata. Dia duduk di hadapan Syuhada. Ada waktu dia langsung tidak mengerti tindak tanduk Syuhada. Syuhada tidak pernah menceritakan keadaan keluarga Zulhilmi sebelum ini. Anaknya yang bertubuh kecil molek itu terlalu keras hatinya. Terlalu perahsia.

            “Sampai bila kau nak macam ni, Syu?” tanya Zainab tiba-tiba.
            “Macam mana mereka boleh datang sini?” pertanyaan Zainab di balas dengan pertanyaan. Zainab mengerutkan dahinya. Hairan dengan pertanyaan Syuhada.
            “Dulu kau kata dah putuskan pertunangan kau dengan dia. Tapi hari ni mereka datang nak tetapkan tarikh perkahwinan kau. Mak tak fahamlah dengan kau ni, Syu” Sekali lagi Syuhada tersentak. Tetapkan tarikh perkahwinan?  YA ALLAH …. Apa ni?
            “Mak tengok Zulhilmi tu dah baik Syu. Mak tak pernah tahu mereka orang berada. Mak rasa tak salah kau terima dia semula” sekali lagi Syuhada tersentak. Dipandangnya wajah Zainab lama-lama. Mengertilah dia kini. Tentu mereka datang tadi dengan tujuan untuk melobi ibunya.
            “Kami dah putus tunang. Tak mungkin Syu berpatah balik. Dulu pun mak tak suka dia, mak suka kami putus....tapi sekarang kenapa lain pulak?”
            “Selama ni mak tak tahu keadaan keluarga mereka. Kau tak pernah cerita pun siapa Zulhilmi sebenarnya. Hidup kau akan senang  bila kahwin dengan dia nanti” Zainab benar-benar teruja. Mendengar cerita dari Mustika tentang perniagaan keluarga mereka, keluasan tanah yang berekar-ekar, yang menjadi milik keluarga mereka, Zainab telah menanamkan tekad untuk memastikan perkahwinan antara Syuhada dan Zulhilmi akan berlangsung dalam masa terdekat ini, seperti yang diminta oleh pihak lelaki tadi.
            “Sekarang ni pun Syu dah senang. Tak payahlah nak tumpang kesenangan orang lain”
            “Mak bukannya apa Syu, kita dah terlalu lama susah. Sebab tu mak nak anak-anak mak kahwin dengan orang senang. Sekurang-kurangnya hidup kau terjamin. Taklah menderita macam mak ni” suara Zainab kedengaran hiba. Syuhada memandang belas kepada ibunya. Namun, walau apapun alasan … dia tak setuju dengan pandangan dan keputusan ibunya. Menumpang senang orang?? Dia tidak memerlukan itu semua untuk memastikan hidupnya terjamin.
            “Budaya hidup kita tak sama dengan budaya hidup orang kaya mak. Mereka tak mungkin dapat menyesuaikan diri dalam keluarga kita. Dahlah mak. Tak payah nak fikirkan lagi. Perkara ni dah selesai. Tak mungkin ada perkahwinan antara kami” jelas Syuhada rimas.
            “Zulhilmi tu mak rasa boleh. Bertahun-tahun dia sukakan Syu. Sampai sekarang dia masih lagi cari Syu. Tak rugi kalau Syu bagi dia peluang. Dia mengaku dengan mak tadi....dia memang sayangkan Syu” Syuhada sekadar menggelengkan kepalanya. Ibunya tak perlu tahu siapa Zulhilmi sebenarnya. Biarlah dia seorang menyimpan sejarah suka duka perhubungannya dengan lelaki itu.
            “Selepas hampir tiga tahun dia hilang, dia datang hari ini mengaku dia sayangkan Syu dan mak suruh Syu terima dia semula. Tiga tahun dia tinggalkan Syu macam tu aje mak. Langsung tak masuk akal mak nak Syu terima dia semula” Syuhada cuba mengingatkan ibunya tentang apa yang pernah dilakukan oleh lelaki itu. Baginya, dia tidak akan meminta dan mengharap yang hilang itu datang kembali dalam hidupnya. Apa yang diminta hanyalah....biarlah hidupnya dengan hidupnya. Usah diganggu gugah lagi. Dia lebih rela sendiri dari hidup bersama lelaki yang bernama Zulhilmi itu.
            “Tak ada salahnya Syu, asalkan dia masih nakkan Syu” ujar Zainab mudah.
            “Sudahlah mak, Syu tetap dengan keputusan Syu” putus Syuhada geram.
            “Mak yakin Syu boleh bahagia dengan dia” Zainab masih tidak berputus asa memujuk Syuhada.
            “Tak mungkin mak......”
            “Kenapa pulak? Dia memang betul-betul sayangkan Syu. Dulu pun Syu yang beria-ia nak bertunang dengan dia walaupun mak halang. Sekarang bila dah ada peluang kahwin dengan dia, Syu tolak pulak”
            “Mak tak faham. Banyak benda dah berlaku mak. Banyak perkara yang Syu tak boleh terima” sukarnya untuk Syuhada memahamkan ibunya.
            “Mak memang tak faham kenapa kau sibuk nak menolak. Tuah dah ada depan mata, kau tolak jugak”
            “Ikatan pertunangan kami dah putus mak. Saya memang dah tak ingin lagi pada Hilmi. Perasaan ini memang dah mati untuknya. Cubalah mak faham” jelas Syuhada lagi
            “Mereka tak terima cara kau putuskan tali pertunangan itu. Lagipun kata mereka, cincin tunang dulu pun masih ada pada kau lagi” balas Zainab pula. Walau apapun dia sudah bertekad akan mengahwinkan Syuhada dengan lelaki yang dipanggil Zulhilmi tadi.
            “Kalau cincin itu jadi masalahnya, nanti Syu pulangkan pada mereka. Kalau Syu tak pergi rumah mereka putuskan ikatan ini sekalipun, Syu tetap bukan tunang dia lagi mak. Dalam perjanjian cuma dua tahun mak. Sekarang dah hampir tiga tahun. Kalau ikut adat sekalipun, Syu dah bebas dari dia” jelas Syuhada panjang lebar. Dia yakin benar yang ibunya tahu dan faham hakikat itu.
            “Tak payah Syu, mak tetap nak kau kahwin dengan Hilmi” putus Zainab tanpa tolak ansur.
            “Kenapa mak beria-ia nak Syu kahwin dengan dia sedangkan tiga tahun lepas maklah orang yang menentang perhubungan kami? Tiga tahun lepas mak tak sukakan dia, kan? Tapi kenapa sekarang mak paksa Syu pulak? Syu tak fahamlah mak” Syuhada cuba mengerti tapi sedari tadi dia tidak dapat mencari jawapan kenapa ibunya boleh menerima kemahuan keluarga Zulhilmi dengan mudah.
            “Mak nak kau hidup senang Syu. Mak tengok Hilmi tu ada segala-galanya. Kau tentu bahagia hidup dengan dia” jelas Zainab sungguh-sungguh.
            “Mak tau tak apa yang dah dia buat pada Syu sepanjang tempoh pertunangan kami dulu? Mak tak ingat ke yang dia tak pernah kisahkan Syu?” soal Syuhada kecewa.
            “Mak tahu. Mak Hilmi dah cerita semuanya tadi”
            “Dah tu, kenapa mak nak paksa Syu lagi?” Syuhada masih tidak faham dengan sikap ibunya.
            “Lupakan saja kisah dulu Syu. Yang penting sekarang dia dah datang semula cari Syu....nak kahwin dengan Syu. Syu pun bukannya muda lagi” Syuhada menggigit bibirnya kuat mendengar kata-kata ibunya. Alangkah mudahnya!....
            “Abah  mana?? Kenapa mak tak ajak abah sekali jumpa dengan mereka, bincang dengan mereka?” soal Syuhada tiba-tiba. Sedari tadi dia tidak nampak kelibat ayahnya, Abdul Rahim.
            “Tak payah kau risaukan tentang abah kau tu. Dia ikut aje apa yang mak putuskan” jawab Zainab mudah. Agrhh, ibu.....memang selalu membelakangkan ayah!. Abdul Rahim seolah-olah tidak wujud dalam hidup Zainab.

            Syuhada diam. Merangka-rangka dalam kepalanya apa yang harus dilakukan selepas mengetahui perkhabaran ini. Perkara pertama, dia harus bercakap dengan ayahnya, Abdul Rahim untuk mengetahui pendirian lelaki itu tentang persoalan ini. Siapa tahu ayahnya akan menyebelahninya.
            “Apapun alasan mak, Syu tetap tak akan terima dia semula. Syu lebih kenal siapa dia. Mak jangan pandai-pandai nak janji apa-apa dengan keluarga dia. Muktamad!” ujar Syuhada keras lalu beredar dari situ.


No comments:

Post a Comment