Wednesday, June 22, 2011

~~Bab 18~~


Tanpa tujuan dan tanpa perasaan, Syuhada terus memandu menyusuri jalan raya yang agak sunyi. Tidak banyak kenderaan yang berada di jalanraya waktu-waktu petang begitu. Tubuh dan mindanya terasa cukup letih dengan apa yang berlaku sebentar tadi.  Namun kali ini, dia yakin dia tidak akan mengalah.  Dia yakin dia mampu menghadapinya. Bukan hatinya tidak sunyi tanpa kehadiran lelaki yang mampu menghangatkan jiwanya. Namun dia terpaksa menghumbankan jauh-jauh perasaan itu lantaran ingatannya masih begitu mendalam terhadap nasib Zulhilmi. Dia sering menyalahkan dirinya di atas kecelaruan yang dialami oleh  lelaki itu. Biar rasa bersalah dan simpatinya menggunung pun terhadap lelaki itu, tidak mungkin  untuk dia menerima semula dalam hidupnya sekali lagi.
                        Kenyataannya kini, Zulhilmi sudah sembuh. Benarkah dia sudah sembuh? Bolehkah sembuh seratus peratus? Benar-benarkah lelaki itu tidak akan melepaskannya? Tidak sampai empat puluh lima minit memandu, Syuhada sudah sampai di Bandar Pontian. Dia meletakkan kereta di tempat letak kereta lalu berjalan menuju ke KFC. Perutnya terasa lapar kerana dirumah ibunya tadi dia tidak menjamah sebutir makanan pun. Orang tidak ramai, membuatkan Syuhada merasa selesa. Dia memesan segelas orange juice dan kentang goreng lalu mengambil tempat di tepi cermin kaca berhampiran jalan. Di situlah kali pertama dia bertemu dengan Shahrul Riezman. Tiba-tiba dia teringatkan lelaki itu. Ada  satu perasaan halus melintas dihatinya bila terkenangkan kata-kata dan perhatian lelaki itu. ....hmmmm sesuatu yang dinamakan perasaan itu, memang sukar untuk dimengerti. Sekelipan ia boleh berubah.

            “Hai, sorang aje” Syuhada menarik nafas dalam-dalam. Sewaktu memandang wajah di hadapannya, nafasnya dilepaskan panjang. Saat dia ingin sendiri, ada sahaja yang mengganggu. Senyuman Ruzian semakin lebar. Dia tahu, kalau Syuhada ada masalah, macam itulah gayanya. Mencari kekuatan dan ketenangan melalui helaan nafasnya.
            “Kau ni tak boleh nampak aku senang. Kat mana aku ada, kat situlah kau sibuk nak interframe” protes Syuhada geram. Senyuman Ruzian kian lebar melihat Syuhada yang tidak selesa dengan kehadirannya. Arggh, Syuhada memang begitu!. Ada masalah, dipendam seorang diri. Sakit jiwa karang baru tahu.
            “Kau senang ke sekarang? Tapi muka tu …macam cengkodok basi je aku tengok” Ruzian tersenyum. Pelik melihat sahabatnya yang seorang ini. Kata balik kampung tapi ada terconggok dekat sini. Syuhada mengeluh. Terasa beratnya beban yang dihadapi kali ini. Mampukah aku?  .....Menepis segala kemahuan mereka?. Insyaallah ada jalannya. Ruzian masih memandang wajah keruh di hadapannya.
            “Apa masalah sebenarnya? Ceritalah pada aku. Sekurang-kurangnya lega sikit perasaan kau tu. Kau simpan sorang-sorang, tak baik tau untuk kesihatan” sekali lagi Syuhada mengeluh. Ruzian pun satu, masa aku tengah serabut, sibuk pulak dia bertanya......omel hatinya. Kalau kemaruk sangat hendak mengorek rahsia pun, nanti-nantilah.
            “Tak baik tau mengeluh macam ni. Allah marah. Baru sikit dugaan yang diberi, kau dah mengeluh tak habis-habis” Ruzian bersuara lagi.
            “Entahlah Yan.  Eh, kau sorang je ke? Mana kak Maz dengan Az?” Syuhada cuba menukar hala pertanyaan Ruzian.
            “Dia orang tak ikut. Aku keluar seorang je. Kau ni kenapa sebenarnya?. Tak jadi balik kampung ke?” soal Ruzian lagi.
            “Dari kampunglah ni. Tiba-tiba teringat KFC..tu yang terus ke sini. Rasa rindu pulak kat KFC ni” jawab Syuhada berseloroh. Mereka ketawa akhirnya.
            “Rindu kat KFC ke......rindu kat mamat yang selalu melepak kat sini?” usik Ruzian yang tiba-tiba teringat pada Shahrul Riezman yang agak kerap bertandang ke KFC ini.
            “Mamat mana pulak ni? Macam-macamlah kau ni” Ruzian masih lagi ketawa.
            “Aku rasalah....kau duduk melepak kat sini semata-mata mengharap terserempak dengan mamat romantik tu, kan” usik Ruzian dihujung tawanya. Syuhada mengerutkan dahinya tanda tidak faham.
            “Mamat romantik??? Sape pulak yang kau nak gosipkan dengan aku kali ini?” Ruzian ketawa lagi bila Syuhada menayangkan wajah blurrrnya itu.
            “Kura-kura dalam perahu pulak. Shahrul Riezmanlah. Kau kan selalu terserempak dengan dia. Kut-kut lah kau mengharap dapat terserempak dengan dia hari ini. Tu yang sanggup makan sorang-sorang kat sini” Ruzian sudah tersenyum-senyum melihat wajah tidak puas hati sahabatnya itu.
            “Eieee, tolonglah! Tak kuasa aku mengharap dia tiba-tiba muncul depan aku. Bukan dia boleh selesaikan masalah aku pun. Tambah serabut adalah”  ujar Syuhada geram. Sudahlah serabut dengan kes Zulhilmi dikampung tadi. Ini tidak pasal-pasal, nama Shahrul Riezman jadi topik pula. Baru sebentar tadi dia terkenangkan lelaki itu, kini namanya disebut-sebut pula. Tidak pasal-pasal tersedak pulak lelaki itu nanti. Dua orang lelaki yang hadir dalam hidupnya dengan dua dimensi yang berbeza.
            “Manalah tau....kau rindu kat dia” usik Ruzian lagi.
            “Kau jangan mengarut, boleh tak? Tak pasal-pasal aku nak rindukan dia....macamlah tak ada kerja lain”
            “So...apa yang dah jadi kat kampung?” Ruzian masih tidak puas hati. Pasti ada sesuatu. Kalau tidak masakan wajah Syuhada sekeruh itu. Masakan Syuhada yang tidak pernah melepak....sanggup buang masa dekat sini. Lama Syuhada menatap wajah Ruzian. Hendak buka cerita atau tidak. Hatinya berbolak balik.
            “Kau tahu Yan, Si Zulhilmi tu … dia bawak keluarga dia jumpa parents aku. Dia kata nak tetapkan tarikh perkahwinan kami. Tak masuk akal betul” jawab Syuhada lambat-lambat. Namun ada rasa lega  dihatinya bila dapat melepaskan beban yang maha berat itu. Sungguh kali ini dia tidak mampu menyimpan masalah itu seorang diri. Lama Ruzian terdiam. Dia sendiri merasa terkejut. Bukankah kisah Syuhada dan Zulhilmi sudah lama berakhir? Macam mana pulak ada episod baru ini?
            “Zulhilmi bekas tunang kau tu ke? Dia dah baik? Betul ke?” tanya Ruzian bagai tidak percaya. Sudah bertahun lelaki itu pergi dari hidup Syuhada, sekarang muncul semula. Aduhhhh….macam dalam dramalah pulak. Drama bersiri!
            “Entah. Tapi aku tengok tadi macam normal aje. Aku betul-betul keliru? Tak percaya yang dia boleh ada depan mata aku semula. Aku ingat tak akan jumpa dia lagi sampai bila-bila” Syuhada menyedut orange juice di hadapannya. Wajah tegang Zulhilmi sekali lagi menjelma di ruang matanya.
            “Dia datang menetapkan tarikh perkahwinan korang berdua?” sekali lagi Ruzian meminta kepastian.
            “Iye. Dia kata kami akan jadi suami isteri tak lama lagi. Lawak betullah. Entah sampai bila dia nak bermimpi” ujar Syuhada sambil tergelak kecil. Namun jauh disudut hatinya, kebimbangan itu tetap ada.
“Bukan ke korang dah putus tunang?” tanya Ruzian tidak faham.
“Memang pun. Janji dua tahun, kalau ikutkan, hari ini dah hampir mencecah tiga tahun. Entah janji mana yang ditagih” jelas Syuhada.
            “Habis tu kau macam mana?” Ruzian pula yang kalut. Syuhada menggelengkan kepalanya melihat telatah sahabatnya yang cepat gabra ini.
            “Tak payah fikirlah. Apa saja yang boleh dia buat? Nak paksa aku kahwin dengan dia? Kalau aku tak setuju, tentu pernikahan itu mustahil terjadi, kan?” jawab Syuhada mudah. Malas dia mengusutkan fikirannya dengan persoalan Zulhilmi yang tidak pernah boleh diterima oleh akal logiknya. Permintaan dari keluarga Zulhilmi memang tidak masuk akal. Setelah hampir setahun ikatan itu terputus, tiba-tiba datang semula untuk menetapkan tarikh perkahwinan.

            Lama mereka terdiam. Sudahnya Ruzian mengajak Syuhada balik bila remang senja sudah mula menampakkan warnanya. Setibanya mereka di rumah, Aznah dan Mazni sedang menonton rancangan kantonis kegemaran mereka. Syuhada duduk tidak bersuara. Dia benar-benar letih, baik fizikal mahupun mental.

            “Kenapa tu, Yan?” tanya Mazni memecahkan kebisuan antara mereka berempat. Tanpa meminta persetujuan dari Syuhada, Ruzian menceritakan masalahnya. Syuhada sekadar membisu. Membiarkan Ruzian menjadi penglipur lara di petang  hari itu. Lagipun memang Ruzian seorang pencerita yang baik. Siap ditambah asam dan garam dalam cerita tersebut.
            “Berat masalah kau kali ini, Syu” cetus Mazni perlahan.
            “Masalahnya tak nampak Kak Maz. Kalau nampak bolehlah kita timbang…baru boleh tahu berapa beratnya” seloroh Syuhada.
            “Hiesyyyy, kau ni! Kau jangan main-main. Kalau mereka serius, macam mana?” marah Ruzian dengan sikap selamba Syuhada. Sedari tadi Syuhada kelihatan tidak terbeban dengan berita baru itu.
            “Kau masih ada hati pada dia ke? Kau sukalah tu dia dah datang semula ye?” tanya Aznah tiba-tiba.
            “Aku pun tak pasti sama ada aku pernah ada hati pada dia atau  aku cuma terikat pada janji” jawab Syuhada.
            “Janji? Janji apa?” soal Aznah ingin tahu.
            “Janji orang pendek akal. Masa tu aku tak matang lagi. Malaslah aku nak cerita kisah-kisah lama ni”
            “Ceritalah. Kau ni selalu cerita sekerat jalan tau” marah Ruzian.
            “Kita orang bertunang selepas aku dapat tawaran ke Sarawak. Dia terlalu mendesak  dan aku pun berjanji yang bukan-bukan. Iyelah, untuk melepaskan diri sampailah dia paksa aku untuk bertunang. Waktu itu yang penting, aku dapat melepaskan diri dari dia” jelas Syuhada.
            “Maksudnya.....kau tak ada perasaan pada dia? Kau tak cintakan dia?” pertanyaan Aznah membuatkan Syuhada terdiam seketika. Akhirnya dia mengeluh panjang. Dia terlalu muda waktu itu. Terlahu naif untuk memahami perasaan sendiri.
            “Entahlah. Aku tak tau apa yang aku rasa waktu itu. Masa tu aku teruja sangat nak pergi ke Sarawak dan dia pulak tiap-tiap hari merayu-rayu sampai aku naik rimas. Jadi jalan selamat,  aku terima dia dan berjanji aku akan balik untuk dia” sambung Syuhada lagi.
            “Dia betul-betul obses dengan kau, kan” luah Ruzian.
            “Terlalu. Dia tak bagi aku pergi Sarawak sambung pelajaran tau. Dia nak kita orang kahwin waktu itu. Gila.....waktu tu aku baru dua puluh tahun. Hendak jadi isteri orang dalam usia semuda itu?.... Sorrylah....aku tak akan korbankan hidup aku untuk seorang lelaki”
            “Jadi sekarang, kau macam mana?” tanya Aznah.
            “Kalau dia datang dalam tempoh tunang kami, aku rela jadi isteri dia. Takkan aku nak mungkir janji kan. Tapi sekarang....hmmm, aku lebih tenang bila dia tak ada”
            “Betul ke kau tak mengharap pada dia lagi?” Aznah masih tidak berpuas hati. Hati sahabatnya yang seorang ini memang sukar untuk ditebak.
            “Tak. Tak pernah” jawab Syuhada ringkas.
            “Cuma satu cara yang dapat mengelakkan kau dari kahwin dengan dia, Syu. Itupun kalau Syu memang betul-betul tak nak kahwin dengan dialah” tiga pasang mata memandang ke arah Mazni.
            “Kau mesti kahwin sebelum dia datang semula menetapkan tarikh perkahwinan” cadang Mazni.
 Aznah dan Ruzian menyokong cadangan Mazni manakala Syuhada semakin pening kepala. Kahwin?.. Hendak kahwin dengan siapa? Gila. Betul-betul gila. Perlukah berkahwin untuk melepaskan diri dari satu rancangan perkahwinan?......tambah kusut fikirannya.
“Betul. Aku sokong” ujar Aznah yakin.
“Kahwin olok-olok kan? Semata-mata nak melepaskan diri dari dia. Lepas tu hidup saya porak peranda seumur hidup. Tak sanggup lagi saya buat kesilapan kali kedua Kak Maz. Cukuplah sekali saya terjebak dalam dunia lelaki”
“Tak semua lelaki macam bekas tunang kau tu, Syu. Ramai lagi lelaki yang baik kat luar sana” pujuk Mazni.
“Nak cari yang baik tu bukannya boleh dapat esok atau lusa. Dahlah, tak payah nak kusutkan fikiran”
“Dah tu kau nak buat apa?” soal Ruzian pula.
“Tak perlu buat apa-apa. Satu kampung dah tahu aku yang putuskan pertunangan kami dulu dan semua orang menyalahkan aku kerana memutuskan ikatan itu dalam keadaan Zulhilmi yang tak sihat. Kau ingat aku nak mengalah setelah semua ahli keluarganya memandang serong pada aku dulu? Jangan harap!”

Selepas menunaikan solat Maghrib, Syuhada berdoa panjang untuk kesejahteraan Zulhilmi. Sekiranya benar dia sudah sembuh, biarlah terus sembuh. Berdoa juga agar tertutup pintu hati lelaki itu untuk memperisterikannya. Dia benar-benar tidak sudi hidup bersama lelaki itu. Perasaan Syuhada lebih tertekan bila mengingatkan nasib diri lelaki itu. Lelaki itu pernah merana kerana dirinya walaupun dia tidak sedikitpun berniat untuk mengecewakannya. Setelah selesai berdoa dia terbaring di atas katilnya. Kepalanya terasa sakit semula. Sudah lama dia menatap novel ditangannya namun sebaris ayat pun tidak mampu dibaca. Dia buntu.  Mujurlah malam itu dia tidak ada kelas. Syuhada cuba memejam mata. Ingin melupakan segala persoalan yang  berserabut dibenaknya. Namun persoalan itu tetap berlegar di situ. Kalau dulu ada juga rasa rindu yang bertandang saat teringatkan Zulhilmi. Namun hari ini, semuanya berbeza. Ada resah yang tersulam saat wajah lelaki itu hadir di birai matanya. Aduhai ……. Di mana rindu itu? Benar-benarkah aku menginginkan dia sebagai seorang suami dulu? Kalau benar, kenapa tiada rasa bahagia saat dia hadir semula? Atau atas rasa simpatikah aku menerima kehadirannya dulu? Syuhada mengiringkan tubuhnya ke kanan, menghadap ke dinding. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintunya. Syuhada hanya membatukan diri. Sebentar kemudian terdengar  pintu biliknya di buka dari luar. Mazni duduk di birai katil Syuhada. Belasnya melimpah ruah pada sahabat yang sudah dianggap seperti adiknya.

“Kau okay ke Syu?” tanya Mazni sambil memegang bahu Syuhada. Syuhada sekadar mengangguk dalam diam. Hatinya sebak tiba-tiba mengenangkan sikap Mazni yang terlalu perihatin dengan masalah dirinya. Kenapalah ibunya tidak berada dipihaknya saat dia betul-betul memerlukan sokongan darinya. Kenapa mesti orang lain yang tidak ada pertalian darah dengannya yang lebih memahami. Lebih mengerti.
“Syu dah fikir apa nak buat?” Mazni terdengar Syuhada mengeluh.
“Dulu Syu rasa betul-betul rela dengan hubungan kami. Tapi bila dia datang, Syu rasa takut. Takut sangat. Syu selalu kalah dengan desakkan dia.  Dengan kehadiran dia kali ini, Syu tak tahu apa pulak yang akan terjadi” Syuhada sudah duduk bersila dengan menyandarkan tubuhnya ke dinding.
“Syu rasa dia masih cintakan Syu?” tanya Mazni berhati-hati. Bimbang kata-katanya nanti tambah menyinggung perasaaan Syuhada. Syuhada diam sambil memandang tepat ke wajah Mazni. Teringat kata-kata Zulhilmi siang tadi `saya masih sayangkan awak....tak siinci pun berkurang’.
“Syu cintakan dia?” tanya Mazni lagi.
“Syu tak tahu apa yang Syu rasa. Sejak mula lagi Syu tak pasti perasaan Syu pada dia. Tapi sekarang untuk terima dia semula...... tak mungkin! Kami dah lama putus hubungan” jawab syuhada perlahan. Sebenarnya dia pun tidak berapa yakin dengan kata-katanya.
“Syu yakin?” tanya Mazni meminta kepastian.
“Kak Mazni, dengar sini. Ini pendirian Syu sejak Syu disogokkan dengan misteri penyakit Hilmi. Kalau pun Syu masih simpati pada dia seperti dulu-dulu, Syu mesti berpijak di bumi yang nyata. Syu tak mungkin dapat terima dia semula setelah  tahu segala-galanya. Tapi Syu tahu, ramai yang menyalahkan Syu . Mereka kata, Syu penyebab kenapa dia jadi macam tu. ” jawab Syuhada panjang lebar. Mazni mengangguk faham. Dalam diam dia turut menyokong pendirian Syuhada.
“Kak Maz rasa, dia akan tetap cari dan nak kahwin dengan Syu. Syu tak boleh main-main dengan orang macam tu. Selalunya mereka nekad”
“Itulah yang Syu risau. Syu langsung tak pernah fikir dia akan datang semula. Kalau Syu tahu dia yang datang siang tadi, Syu tak akan balik”
“Macam mana dengan cadangan Kak Maz siang tadi?” tanya Mazni tiba-tiba. Syuhada diam sejenak. Cuba mengingati cadangan yang telah diusulkan oleh Mazni petang tadi
“Ooooo, pasal Syu mesti kahwin sebelum dia datang semula. Kelakarlah Kak Maz ni. Syu nak kahwin dengan siapa? Tak kan Syu nak iklankan diri Syu kut?” ujar Syuhada sambil tergelak-gelak.
“Nak buat apa iklan. Riezman kan ada. Kak Maz rasa Syu patut pertimbangkan kehadiran dia”
Syuhada terus mendiamkan diri. Sekali lagi watak Shahrul Riezman ditimbulkan. Wajarkah Shahrul Riezman dilibatkan dalam perkara serumit ini dan adilkah lelaki itu menjadi galang gantinya? Dan dia sendiri.....bolehkah kehadiran Shahrul Riezman dipertimbangkan sedangkan lelaki itu terlalu baru dalam hidupnya. Arghhhhh,.....mustahil sangat! Lagi tidak masuk akal.
“Colan lain tak ada ke Kak Maz? Takkan Riezman seorang calon-calonnya?” perli Syuhada.
“Hiesyyy, budak ni! Orang serius, dia main-main pulak. Kak Maz rasa si Riezman tu pun memang sukakan Syu” ujar Mazni lagi.
“Dah cukuplah tu Kak Maz. Baik Kak Maz keluar sebelum saya bertambah mereng” tubuh Mazni ditolak ke muka pintu.
“Fikir kata-kata Kak Maz tadi kalau tak nak jadi isteri si Zulhilmi tu” sempat lagi Mazni memberi pesan.

Kesepian malam mula menyelubungi kawasan perumahan quarters guru yang agak jauh dari jalan besar. Cuma sesekali sahaja kedengaran kenderaan berulang-alik. Memang tempat itu agak sunyi bila menjelang tengah malam. Syuhada teringatkan kenangannya bersama Zulhilmi. Kenangan lama yang tiba-tiba menyengat fikirannya. Segala-galanya hanyalah bermula dengan sepotong janji. Memang senang untuk menutur janji, namun terlalu sukar untuk mengotakan apa yang telah dilafaz. Dalam diam, Syuhada terpaksa mengakui kebodohan diri sendiri. Berjanji membabi buta!
Sedang asyik dia melayan resahnya, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan baru diterima. Syuhada mengambil telefonnya lalu membaca pesanan yang baru diterimanya itu.
Terasa dingin hembusan bayu,
Bayu bertiup membuai lalang;           
Hatiku suram jiwaku layu,
Mata terpejam hati terkenang.

Hmmmmm .... pantun! Berpantunlah pulak si mamat ni. Entah mengapa, biar mulut mengomel namun hatinya terasa senang menerima pantun empat kerat itu.
               



No comments:

Post a Comment