Saturday, July 30, 2011

Bab 23


“Selepas keputusan STPM diumumkan dulu puas cikgu-cikgu sekolah cari Syu. Pihak sekolah dah sediakan borang IPTA untuk calon-calon yang layak. Tapi Syu tak ada. Terus hilang, sampai semua orang tak dapat nak cari” Puan Rosmah berkata sambil tangannya melipat  sejadah berwarna merah hati yang akan digubah menjadi  kelopak bunga. Terkilan sungguh dia diwaktu itu. Niat untuk membantu pelajar yang seorang ini dulu, tidak kesampaian. Sayang sungguh rasanya bila satu anugerah ini, terabai begitu sahaja.
“Masa tu saya dah kerja, Cikgu. Kerja kilang kat Senai. Setahun bekerja barulah saya isi borang maktab” ujar Syuhada perlahan. Memang waktu itu, dia tidak tahu pun nilai tiga principal A dan dua principal B yang tercatat dalam slip keputusannya.
“Kenapa tak mohon universiti  terus. Dengan keputusan yang Syu dapat, lebih dari layak”
“Cikgu kan tau macam mana keadaan saya masa tu. Banyak yang saya fikirkan. Saya langsung tak ada motivasi diri. Borang maktab tu pun jiran saya yang beri. Kalau tidak mungkin sampai sekarang saya masih kerja kilang” terang Syuhada perlahan.
“Syu kan boleh merujuk kepada guru-guru di sekolah. Ada unit bimbingan dan kaunseling yang boleh membantu” Puan Rosmah terkilan.
“Saya tahu. Tapi pada masa tu yang ada dalam kepala saya ialah duit. Saya nak cari duit. Kalaupun saya dapat masuk universiti pada masa tu, dapat biasiswa ….. cukup ke nak tampung segala keperluan saya nanti?  Perbelanjaannya lebih besar berbanding hanya masuk maktab perguruan. Lagipun saya ada adik-adik yang masih belajar” perlahan getar suara Syuhada mencetus hiba dihati tua Puan Rosmah. Perasaan kasih dan sayang sudah lama bertunas dihatinya buat Syuhada. Tambah-tambah lagi dia memang tidak mempunyai anak perempuan. Kalaulah diberi peluang Syuhada itu menjadi anak perempuannya, alangkah bagusnya. Tentu dia ada tempat untuk berkongsi cerita, menumpang manja. Manja anak lelaki dan manja anak perempuan, lain kesannya.
“Saya faham. Tapi tak apalah. Sekarang pun Syu dah jadi cikgu. Bila nak sambung belajar? Saya rasa elok Syu ambil PJJ, banyak program yang ditawarkan untuk guru-guru bukan siswazah yang ada sekarang. Kalau dah kahwin, dah beranak pinak nanti susah. Mana nak belajar, nak uruskan rumahtangga lagi”  suara Puan Rosmah penuh keibuan. Diam-diam Syuhada menyimpan rasa terharu. Teringat dia akan ibunya di kampung. Kenapa tidak ibunya begitu???? Kenapa kasih sayang ibunya terasa jauh???? Terlalu jauh sehingga tidak tergapai oleh tangannya.
“Niat tu memang ada, cikgu. Tapi nantilah dulu. Mungkin awal tahun depan”
“Atau Syuhada nak kahwin dulu” pertanyaan yang tidak diduga itu membuat hati Syuhada tersentak. Dia mengukir senyuman memandang Puan Rosmah. Kahwin??? Teringat akan majlis perkahwinan yang diusulkan oleh ibunya dan keluarga bekas tunangnya. Teringat pula pada Zulhilmi. Kenapa lelaki itu yang perlu menerima kecelaruan yang diwariskan itu?? Dan kenapa pula dia tidak mampu menerima keadaan Zulhilmi yang seumpama itu?? Aduhhh, banyaknya kenapa! Siapalah dia yang perlu mempersoalkan segala rentetan itu. Memang benarlah hidup ini kembarnya ujian. Datang dan datang lagi tanpa perhentian.
“Syu!” putus lamunannya mendengar nama dipanggil.
“Iye…..” sahutnya terpinga-pinga. Wajah Puan Rosmah dipandang.
“Tak hilang-hilang lagi perangai Syu yang kuat berangan tu ye. Syu ingatkan siapa?” soal Puan Rosmah merisik berita.
“Nak ingatkan sape pulak. Saya tengah fikir macam mana nak susun alat solek  dalam bekas ni” dalih Syuhada. Mustahil dia membuka cerita pada Puan Rosmah.
“Syu dah ada sesiapa ke?” risik Puan Rosmah lagi. Syuhada mengerutkan dahinya sambil memandang Puan Rosmah hairan. Soalan apa ni?
“Siapalah nakkan saya ni, cikgu”
“Kalau ada orang nak?” Puan Rosmah bertanya lagi. Syuhada menarik segaris senyum disudut bibirnya. Kalau ada orang nak??? Hisyy...nak merisik aku ke ni? Aduhhh, janganlah tanya soalan yang pelik-pelik macam ni.
“Sanggupkah dia terima saya seadanya, cikgu? Menerima segala kekurangan dan ketidakberadaan saya ini” tutur Syuhada perlahan. Berharap agar Puan Rosmah tidak melanjutkan isu `kalau ada orang nak` itu.

Puan Rosmah terkedu. Syuhada masih lagi seperti dulu. Sentiasa merasa rendah diri. Teringat dia sewaktu Syuhada menjadi anak muridnya dulu. Gadis itu tidak mempunyai ramai kawan. Sering menyendiri dan banyak masa terluangnya dihabiskan dengan membaca buku. Tidak pernah jumpa dia tanpa buku ditangannya. Jarang sekali dia nampak Syuhada di perpustakaan untuk mengulangkaji secara berkumpulan. Dia tidak meletakkan diri dimana-mana group study. Dan apa yang cukup menyayatkan hatinya, Syuhada sudah berkerja sewaktu dia di tingkatan dua. Bilakah masanya Syuhada mengulangkaji pelajarannya?.. Tidak penatkah dia?... Namun soalan itu hanya berlegar di hatinya. Mungkin berkat segala kesukaran itu, dia dibalas dengan kejayaan diluar jangkaan.

              “Orang tua Syu masih ada?” tanya Puan Rosmah tanpa menjawab soalan Syuhada tadi.
              Alhamdulillah, syukur……ucap Syuhada dalam hati.
              “Ada. Mak dan ayah masih ada. Masih tinggal di kampung yang sama”
              “Kenapa Syu tak duduk dengan mereka? Bukannya jauh sangat pun kalau berulang alik, kan?” Puan Rosmah bertanya lagi. Hairan dia bila memikirkan Syuhada lebih sanggup tinggal bersama kawan-kawan walaupun rumah kedua orang tuanya tidaklah jauh mana. Dia benar-benar ingin tahu tentang hidup Syuhada.
              Agak lama Syuhada membiarkan soalan itu tidak berjawab. Hatinya libang libu bila mengenangkan kedua emak dan ayahnya. Bukan dia tidak mahu tinggal bersama mereka. Siapa yang tidak mahu sentiasa berdekatan dengan emak dan ayah. Siapa yang tidak mahu berbuat baik dengan mereka selagi mereka ada. Siapapun tahu bahawa berbuat baik kepada kedua ibubapa merupakan ibadat yang wajib dan kedua besarnya atau mulianya selain dari menyembah Allah swt. Dalam  agama Islam sendiri, ianya merupakan perintah secara langsung dari Allah swt.  Memuliakan kedua ibubapa adalah satu amal yang paling tinggi darjatnya setelah mentauhidkan Allah swt.   Jika kita melanggar kewajipan berbuat baik terhadap keduanya, maka kita telah melakukan dosa kerana perintah Allah swt. Syuhada tahu itu. Tazkirah yang sering diselitkan oleh Utazah Maimunah dalam kuliah subuhnya masih berbekas sehingga kini.

              Puan Rosmah mengangkat kepala memandang Syuhada yang tiba-tiba diam. Hairan melihat raut wajah wanita itu yang tiba-tiba berubah.

              “Awak tak apa-apa, Syu?” soalnya.
              Syuhada menarik senyum biar dia yakin benar senyumannya itu berasa tawar. Tawar setawar-tawarnya.
              “Tak…..sebenarnya saya lebih suka berdikari, cikgu. Duduk sendiri kadang-kadang melatih kita menjadi lebih matang. Lagipun saya duduk dengan kawan-kawan. Macam duduk dengan keluarga jugak”

              Puan Rosmah angguk kepala. Anak muda zaman sekarang sememangnya ramai yang tidak betah duduk dengan orang tua. Hatta ibubapa sendiri. Syukur anaknya tidak begitu biarpun masing-masing sudah ada rumah sendiri.

              “Mak dengan ayah Syu tak kisah ke?”
              Syuhada sekadar menggelengkan kepala. Bukan ibunya tidak pernah bising. Tapi untuk apa duduk sebumbung andai tiap kali bertemu muka, mereka pasti bertegang urat. Dari seremeh-remeh perkara sehingga sebesar-besar isu, dia dan ibunya sentiasa tidak sependapat. Ada sahaja yang tidak kena.  Ada sahaja yang salah.

              “Boleh tak saya susun macam ni, cikgu?” Syuhada menunjukkan bekas yang telah dihias indah yang berisikan alat-alat solek dari jenama Clinique. Walaupun tidak sepenuh hati menyiapkan kerja-kerjanya, namun Syuhada tidak mahu gubahannya tidak sempurna. Baginya hantaran bukan sekadar memberi sesuatu kepada pihak sebelah sana. Ada makna yang lebih dalam dari itu……. Perhatian, kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan. Hantaran itu tanda kasih. Kasih yang diharap terikat sampai kehujung nyawa.

              “Dah cantik tu…… Syu memang ada bakat semulajadi dalam kerja-kerja kraftangan. Tengok ni, apa saja hasil sentuhan Syu, nampak menarik. Cantik!”
              Syuhada ketawa kecil. Macam ni pun cantik……
              “Betullah saya cakap ni. Ketawa pulak”
              “Apanya yang cantik, cikgu. Dah memang bekas ni yang cantik. Kita cuma perlu susun dan tambah aksesorinya saja”
              “Memanglah nampak mudah. Tapi kalau orang lain yang buat, belum tentu jadi macam ni” Puan Rosmah berpuas hati dengan hasil kerja mereka hari itu. Tidak sia-sia dia mengajak Syuhada membantunya. Nah… tengok saja hasilnya. Sangat membanggakan!
              “Bila majlisnya cikgu?” tanya Syuhada tiba-tiba.
              “Riezman tak pernah cerita apa-apa ke?” tanya Puan Rosmah pula.
              Syuhada menggaru hujung keningnya. Kenapa pulak tiba-tiba keluar nama Shahrul Riezman ni? Apa kena mengenanya dengan Shahrul Riezman?.
              “Hari Ahad minggu depan. Syu pergi sekali dengan saya ye”
              Pergi sekali?? Pergi ke mana??
              “Nak hantar ke mana?” soal Syuhada lagi.
              “Orang sini jugak. Sebelah taman je”
              “Insyaallah….kalau tak ada aral melintang, saya pergilah sekali dengan cikgu nanti” janji Syuhada separuh hati.

              Syuhada memandang jarum jam ditangannya. Sudah pukul empat setengah petang. Terlalu ralit mereka menyiapkan kerja-kerja mengubah sehingga tidak sedar hari sudah berganjak ke waktu asar.
              “Balik dululah, cikgu. Dah petang ni”
              “Dah nak balik ke? Apa salahnya lama-lama kat sini. Balik rumah pun bukannya ada sesiapa. Sekejap lagilah Syu” pinta Puan Rosmah. Terasa sayang pula dia hendak melepaskan Syuhada.
              Syuhada serba salah. Bimbang rasa hati untuk menunggu lebih lama. Tidak mahu terperangkap lagi.
              “Eh, saya balik dulu lah, cikgu. Nak singgah bandar sekejap”
              Sudah lama Syuhada tidak menjengah Badan Ilmiah Book Store. Sudah lama juga dia tidak membeli buku baru. Rambang matanya melihat susunan novel-novel melayu. Banyaknya buku baru!.....Baca sinopsis buku ini menarik, baca yang itu lagi menarik. Pening kepalanya hendak membuat pilihan. Sudah hampir dua jam dia berada di dalam kedai buku itu. Ditangannya sudah ada tiga buah buku yang bakal dibeli.
             
              “Kat sini rupanya…”
              “Ooooo….. mak engkau jatuh tergolekkk!” terkejut sungguh Syuhada bila tiba-tiba ada suara dihujung telinganya. Pemilik suara itu sudah ketawa terkekeh-kekeh….. Ooo….melatah rupanya perempuan berhati ais ni.
              “Sibuk dekat sini buat apa?” jerkah Syuhada jengkel.
              “Kedai ni awak punya ke?”
              Syuhada menjeling tajam. Sakit hati bila kekhusyukannya memilih buku diganggu. Hisyy, macam tak ada tempat lain nak pergi. Kat mana orang ada,  dekat situlah dia nak menyibuk. Betul-betul mat interframe lah dia ni.
              “Cepatnya balik. Kenapa tak tunggu saya?” soal lelaki itu dihujung ketawanya.
              “Apahal pulak nak tunggu awak? Awak bukan suami saya kan?” hati Syuhada bertambah geram.
              “Dah siap ke kerja-kerja tadi?”
              “Semua beres. Jangan risau”
              “Tak sangka pulak awak pandai buat kerja-kerja macam tu” macam perli je ayat itu kedengaran dicuping telinga Syuhada.
              “Tengok oranglah. Banyak lagi kelebihan yang saya ada, cuma belum tunjuk je dekat awak”
              Kalau kau menjual, aku pun sudi membeli…..desis hati Syuhada.
              “Perghhhh, ayat tak boleh nak layan!.....berlagak ek
              “Kenapa tak ambik wedding planner je, kan senang. Tak payah nak susah-susah suruh cikgu buat tu semua”
              “Mama yang volunteer nak buat tu semua. Dia memang suka buat kerja-kerja lembut tangan macam tu”
              “Untung kan awak dapat mama macam cikgu Rosmah” tutur Syuhada perlahan. Hatinya tersentuh mengenangkan kelembutan dan pengertian yang ada dalam diri Puan Rosmah.
             
              Shahrul Riezman menatap lama wajah Syuhada yang sedang leka membelek sebuah buku. Dia ni memang betul-betul obsess dengan novel melayu.
              “Apa yang bestnya baca buku-buku macam ni?” soal Shahrul Riezman tanpa sedar. Syuhada mengangkat kepala menoleh sebentar ke arah Shahrul Riezman yang entah dari mana tahu dia berada disini.
              “Cubalah baca sekali. Awak akan ketagih untuk baca dan baca lagi”
              “Sampai macam tu sekali. Melampau jugak kalau dah sampai tahap ketagih” Shahrul Riezman menarik sebuah buku. `Sakitnya Sayang`….tulisan Norhayati Berahim.
             
              Derita jiwa itu tidak dapat lagi dibendung……tulisan di kulit buku itu dibaca perlahan. Seketika kemudian buku itu dihulurkan kepada Syuhada. Syuhada memandang tidak mengerti.
              “Yang ini tak nak beli?? Macam menarik je” senang hatinya melihat senyuman dihujung bibir Syuhada.
              “Dah lama beli. Dah baca dua tiga kali” balas Syuhada tanpa mengambil buku yang dihulurkan. Dah dua tiga kali baca…..Shahrul Riezman menggeleng perlahan. Memang betul-betul hantu novel.
              “Memang sakit menyimpan sayang” cetusnya perlahan.
              “Membendung derita lagi sakit”
              “Untuk apa dibendung?? Lepaskan derita itu pergi”
              Mereka saling berpandangan. Ada getar yang menjalar namun perit rasanya.
              “Ada rasa yang akan kekal terkurung sebagai satu hukuman” perlahan kata-kata Syuhada membuatkan Shahrul Riezman diam tidak terkata. Ada apa dengan Syuhada? Kenapa kata-katanya ada ketika terlalu sukar untuk difahami. Satu hukuman?? Apa maknanya??

              Mereka melangkah seiring menuju ke tempat dimana kereta mereka diparkir. Syuhada diam, Shahrul Riezman pun turut diam. Cuaca semakin redup. Angin petang yang menampar, terasa mendinginkan suhu sekitar. Mereka sudah sampai di kereta Syuhada. Syuhada sudah bersedia untuk membuka pintu keretanya namun serba salah bila melihat Shahrul Riezman masih berdiri hampir dengannya.

              “Saya nak balik” ujar Syuhada akhirnya.
              “Awak pergi sekali minggu depan?” soal Shahrul Riezman tiba-tiba.
              “Pergi mana?”
              “Mama tak ajak awak tadi?”
              “Ooo… ada. Insyaallah kalau saya lapang”
              Mereka diam lagi. Hilang kata-kata.  Syuhada sendiri bagaikan kekurangan kosa kata bila berhadapan dengan Shahrul Riezman kali ini.
              “Saya jalan dulu”
              “Okey, take care 
              Shahrul Riezman berlalu bila kereta Syuhada hilang dari pandangannya. Rasa dihati, hanya dia yang tahu.

1 comment:

  1. aisya sofea : rahsia dihati tak siapa yang tahu
    aidah bakri : rasa dihati, hanya dia yang tahu
    i luv shahrul riezman!

    ReplyDelete