Hari minggu datang lagi. Hari kedua dalam
cuti pertengahan penggal persekolahan. Hari yang ditunggu oleh semua golongan guru.
Namun begitu ramai diantara guru-guru terutama yang mengajar kelas-kelas
peperiksaan terpaksa mengorbankan cuti
mereka di minggu pertama. Mereka perlu mengadakan kelas tambahan untuk
pelajar-pelajar mereka. Syuhada, Ruzian dan Mazni menghadapi situasi yang sama.
Hanya Aznah yang terlepas dari tanggungjawab itu. Itu pun kerana dia merupakan
ustazah di sekolahnya.
Sejak dari pukul sepuluh pagi tadi mereka
berada di Summit, Batu Pahat. Mazni yang beria-ia mengajak Syuhada dan Ruzian
ke komplek membeli belah itu. Bosan katanya bila seharian duduk terperap di
rumah. Syuhada lebih suka menghabiskan masanya di Popular Book Store. Sedangkan
Mazni dan Ruzian masih lagi berlegar-legar di tingkat dua. Dari tadi Syuhada
leka membelek buku Motivasi ‘Nak Ke Tak Nak’ tulisan DR.HM TUAH ISKANDAR
Al-Haj . Hendak dibeli terasa tidak berbaloi
kerana buku itu sudah ada di perpustakaan sekolahnya. Dia sendiri sudah
beberapa kali membacanya. Ada beberapa bab di dalam buku itu yang benar-benar
menarik minatnya. Dan bab itulah yang sedang dibacanya sekarang sehingga dia
langsung tidak menghiraukan keadaan
sekeliling.
“Maaf
Cik, boleh saya tumpang lalu?” Syuhada mengangkat mukanya bila terdengar
suara seorang perempuan. Lama dia memandang wajah dihadapannya. Macam kenal.
Tidak mungkin pelanduk serupa.
“Ini Cikgu Rosmah kan?” tanya Syuhada
meminta kepastian. Perempuan dihadapannya memandang Syuhada agak lama.
“Ya. Saya Cikgu Rosmah. Cik ni macam saya
kenal. Tapi sapa ye?”
“Cikgu tak kenal saya lagi? Saya Syuhada,
pelajar cikgu sejak tingkatan empat lagi” jelas Syuhada sambil menyalami dan tunduk
mencium tangan Puan Rosmah. Gembira hatinya dapat bertemu semula dengan salah
seorang guru yang dikaguminya.
“Syuhada?
Ye, ye, saya ingat. Diantara lima orang pelajar terbaik masa
STPM 1999 kan? Hampir tujuh
tahun kita tak jumpa. Mari kita cari tempat yang lebih selesa. Boleh berbual
panjang” ajak Puan Rosmah gembira. Selepas Syuhada mengambil keputusan STPMnya
tujuh tahun lalu, dia cuba menjejaki anak muridnya ini namun tidak berjaya.
Takdir Tuhan, mereka bertemu semula selepas tujuh tahun. Anak muridnya ini
sudah banyak berubah. Baik dari segi penampilan mahupun raut wajah.
Mereka sekadar ke Keanny Rogers di tingkat kedua. Selepas memesan minuman dan sedikit
makanan ringan, Syuhada kembali mendapatkan Puan Rosmah. Teruja dia untuk
berbual panjang dengan bekas gurunya itu. Mereka duduk di meja yang agak jauh dari pelanggan lain. Lebih selesa untuk
mereka berbual.
“Cikgu masih tinggal di rumah dulu?” tanya
syuhada selepas mereka bertanya khabar masing-masing.
“Selepas suami saya pencen, kami pindah ke
Pontian. Saya pun dah pencen tahun lepas. Tak payahlah panggil saya cikgu lagi.
Dah tak jadi cikgu pun”
“Eh, mana boleh cikgu. Gelaran tu kekal sampai bila-bila. Kerana
jasa guru-guru yang mendidiklah, telah mewarnakan perjalanan hidup saya hingga
ke tahap ini” luah Syuhada bersemangat.
“Syuhada kerja apa sekarang? Saya tengok
bukan main bergaya lagi. Berubah
hampir sembilan puluh lima peratus. Cuma tahi lalat dan lesung pipit tu je tak
berubah. Kalau tidak kerana tahi lalat itu, saya pun tak kenal” Puan Rosmah
suka melihat penampilan Syuhada sekarang. Memang berbeza dari zaman
persekolahan dulu. Diam-diam dia menyimpan impian. Impian seorang
ibu!......Wanita ini memang selalu menyejukkan hatinya sejak dulu…sejak dia
masih bergelar pelajar sekolah.
“Berubah ke cikgu? Dulu saya tak cantik
kan? …. Jerawat pun penuh
satu muka. Maklumlah dulu tu zaman gerhana, gerhanalah penampilan saya.
Sekarang ni bulan cerah, cerahlah saya. Kan cikgu selalu kata …. Persekitaran mempengaruhi personaliti seseorang
individu. Sekarang saya sudah berada di persekitaran yang lebih selesa. Dikelilingi
oleh orang-orang yang ada personaliti. Alahamdulillah” luah Syuhada senang
hati.
Puan Rosmah ketawa senang dengan kata-kata
Syuhada. Memang dia selalu berkata kepada murid-muridnya dahulu ‘kalau hendak menjadi
individu yang pandai, carilah kawan-kawan yang pandai, kalau hendak berjaya,
duduklah di kalangan mereka yang berjaya’.... Syuhada masih ingat semua itu.
“Syuhada kerja apa?” Puan Rosmah mengulang
soalannya tadi.
“Oh ya …. Tadi tu tak menjawab soalan kan,
cikgu? Saya mengajar di Sk Bandar”
“Cikgu jugalah ye. Tapi saya rasa ….
Syuhada boleh capai lebih dari itu kalau.....” bicara Puan Rosmah terhenti bila
telefon bimbitnya berbunyi. Puan Rosmah menjawab panggilan itu sebentar.
Syuhada hanya memerhati. Dalam diam dia kagum dengan Puan Rosmah. Cikgunya itu
masih kelihatan sihat dan muda walaupun sudah pencen. Dia amat menghargai Puan
Rosmah …… seorang guru yang sering membakar semangatnya. Guru yang sentiasa
memberi kata perangsang buatnya untuk meneruskan sekolah biarpun dihimpit
bermacam kesukaran.
“Anak saya Syuhada. Dia ada di tingkat
atas. Kejap lagi sampailah
dia ke sini. Bolehlah saya kenalkan dengan awak” kata Puan Rosmah setelah
selesai bercakap di telefon.
“Anak Cikgu yang pinjamkan buku-bukunya
pada saya ke, cikgu?” tanya Syuhada teruja. Di ruang matanya terbayang seorang
pemuda yang sering memerhatikannya sewaktu dia berusia lima belas tahun dulu.
Puan Rosmah mengangguk.
“Kenapa Syuhada tidak masuk universiti
terus lepas STPM dulu?” tanya Puan Rosmah. Jauh disudut hatinya merasa sedikit
terkilan kerana Syuhada hanya meneruskan pelajarannya di Maktab perguruan
sedangkan dengan keputusan yang diperolehi, dia layak untuk mendapat tempat yang
lebih baik.
“Ini pun dah seribu syukur, cikgu. Saya
masuk maktab pun setahun lewat dari kawan-kawan yang lain. Saya kerja dulu”
jelas Syuhada. Memang jauh disudut hatinya, dia pun terkilan. Namun apakan
daya. Tetapi setiap percaturan yang telah ditetapkan olehNYA pasti ada hikmah.
“Syuhada dah kahwin?” Syuhada tersentak
dengan pertanyaan itu. Kahwin lagi?....Tidak habis-habis dengan isu
perkahwinan. Atau dalam usia sepertinya, memang perkahwinan adalah topik yang
paling relevan diperkatakan. Mentaliti masyakarat tentang isu yang satu ini
memang belum pernah berubah. Hatinya tersentak sekali lagi bila terpandangkan lelaki yang berdiri di belakang
Puan Rosmah. Pandangan mata mereka bersatu. Dia pun ada di sini?....Menyibuk
betul! Tidak cukup dibandar Pontian, sampai ke sini si mamat ni mengekori
aku?......... hati Syuhada merunggut jengkel. Tapi betul ke dia mengekori
aku??? Atau sekali lagi Kak Maz menjadi informer
dia??
“Dia akan kahwin dengan saya, mama. Tak
lama lagi” lelaki itu menjawab bagi pihak Syuhada sambil tersenyum-senyum
mengusik. Ada riak terkejut di wajah
Puan Rosmah. Apatah lagi Syuhada. Wajahnya mula merona merah. Malu pada Puan
Rosmah. Berdebar dengan kata-kata itu. Biarpun kata-kata itu hanya dianggap
gurauan melampau, namun tetap ada debaran yang singgah dihatinya. Teringat dia
perbualannya dengan Mazni minggu lepas. Lelaki inilah yang dicalonkan oleh
Mazni untuk menjadi pengantin lelakinya dalam usaha untuk melepaskan diri dari
Zulhilmi. Lelaki itu berwajah selamba namun serius sambil menarik kerusi duduk
di sebelah Syuhada. Syuhada mula merasa resah. Gelisah bila dirinya terus diperhati
oleh Puan Rosmah. Shahrul Riezman memanggil Puan Rosmah, mama?.....maksudnya?
“Mama tak faham, cuba jelaskan Man. Syuhada ni ke yang Man sebut-sebut selalu”
tanya Puan Rosmah mahukan kepastian.
“Yes
mama. Inilah calon
menantu yang selalu Man janjikan dengan mama” jawab Shahrul Riezman sambil
menjeling Syuhada dengan ekor matanya. Terasa seperti mahu luruh jantung
Syuhada. Shahrul Riezman anak Puan Rosmah? Lelaki yang sering memerhatikannya
dengan sorotan mata yang tajam bertahun dulu adalah Shahrul Riezman? Satu lagi
kebetulan yang betul-betul mengelirukannya. Calon menantu?????.......kenapalah
terlalu kerap kata-kata mengarut dari lelaki ini hinggap dicuping telinganya?
“Syuhada ke yang cakap dengan saya di
telefon tempoh hari?” tanya Puan Rosmah masih lagi belum mahu percaya.
“Kalau yang bercakap dengan mama Riezman
masa kami lunch dekat Kayu Ara Resort
tempoh hari, memanglah saya cikgu. Tapi
saya tak tahu Riezman ni anak cikgu” jawab Syuhada perlahan. Dadanya ditampar
dengan seribu satu macam perasaan.......yang banyaknya perasaan malu. Malu pada
lelaki ini. Lelaki ini pernah melihat dia dalam keadaan yang tidak sempurna. Daif!.
Malu
juga pada Puan Rosmah. Secara tidak langsung dia telah berkawan dengan anak
bujang bekas gurunya itu. Berkawan??? Benarkah mereka berkawan.
“Cikgu? Syu panggil mama, cikgu?” tanya
Shahrul Riezman geli hati sambil memandang wajah Syuhada.
“Yelah. Puan Rosmah kan cikgu saya”
Syuhada cuba berlagak selamba walaupun sebenarnya dia malu dengan bekas cikgunya.
Malu yang teramat sangat. Entah apalah agaknya anggapan Puan Rosmah nanti.
“Ehh..kejap-kejap....macam mana mama boleh
kenal dengan Syu?” Shahrul Riezman pula yang keliru.
“Cuba Man tengok betul-betul Syu ni. Man
tak ingat dia ke?” tanya Puan Rosmah pula. Shahrul Riezman memandang wajah
Syuhada lama. Menilik setiap demensi wajah wanita itu. Sinar redup mata itu dan
tautan kening yang menarik itu bukankah milik seseorang yang dia kenali.
“Syu ni ke murid yang mama........”
Shahrul Riezman terdiam lama. Terasa ada sesuatu yang indah dihatinya.
Keindahan yang hanya dia seorang tahu apa maknanya. Terasa ada sebuah taman
yang dihiasi mekar wangian bunga sedang terbina di relung-relung hatinya.
Terukir sebuah senyuman dibibirnya.
“Yang apa?” Puan Rosmah pelik bila
tiba-tiba Shahrul Riezman terdiam lama. Shahrul Riezman tersenyum lagi. Wajah
Syuhada dipandang sepenuh hati. Awaklah wanita itu, Syu..........
“Hiesyyy...awak ni kenapa? Pelik betul
senyuman awak tu. Ni adalah benda nak mengenakan saya” Syuhada serba tidak kena
dengan pandangan aneh Shahrul Riezman. Hatinya mula diserbu dengan rasa yang
suhunya sekejap sejuk dan sekejap hangat. Rasa macam hendak demam pulak.
“Jadi....... mama dah jumpalah murid
kesayangan mama ye” dia tidak menyangka
inilah gadis yang sentiasa dicari sejak kembali dari luar negeri dulu. Patutlah
sorotan mata itu macam pernah dilihat. Patutlah dia mempunyai perasaan yang
sama sewaktu menatap gambar seorang gadis yang terdapat dalam majalah sekolah
ibunya....... Syuhada dan gadis itu adalah orang yang sama.
“Syu dengan Man ni dah lama berkawan ke?”
tanya Puan Rosmah sambil memandang wajah kedua-duanya.
“Sebenarnya bukan berkawan pun cikgu. Cuma
selalu jugak kami terserempak kat bandar. Sekolah tempat saya mengajar kan kat
tengah-tengah bandar” ujar Syuhada menjelaskan keadaan. Memang betul pun dia
tidak berkawan dengan Shahrul Riezman.
Dia sendiri tidak tahu apa nama yang sesuai untuk hubungan antara mereka.
“Ehh, tak payahlah Syu panggil mama saya
cikgu. Pelik benar bunyinya” pinta Shahrul Riezman tiba-tiba.
“Kenapa pulak pelik, Puan Rosmah ni kan
bekas guru saya. Cikgu tak kisah kan?” bantah Syuhada tidak puas hati. Aku
punya sukalah nak panggil apa! Puan Rosmah menggelengkan kepalanya sambil
tersenyum bahagia.
“Itu dulu. Sekarang ni, mama kan bakal ibu
mertua Syu” ujar Shahrul Riezman selamba membuatkan Syuhada terkedu malu. Wajahnya
mula berona merah. Shahrul Riezman sudah mula membuat perangai tidak betulnya
itu.
“Awak jangan lebih-lebih boleh tak?”
Syuhada bersuara perlahan namun sempat sampai dipendengaran Puan Rosmah.
Shahrul Riezman kalau bercakap memang tidak bertapis. Apa yang dirasa, itulah
yang diluah.
“Dahlah tu, Man. Mama sebenarnya masih
terkejut dengan semua ini. Syuhada, betul ke awak dengan Riezman …”
“Saya tak tahu dia anak cikgu, kalau saya
tahu ……”
“Kalau Syu tahu, dah lama Syu terima
tawaran saya kan?” Shahrul Riezman cepat-cepat memotong kata-kata Syuhada.
Tanpa sedar Syuhada mencubit tangan Shahrul Riezman geram. Tetapi sepantas
kilat juga Shahrul Riezman menyambar jari-jarinya. Pandangan mereka bersatu
sekali lagi. Namun akhirnya Syuhada tersipu malu bila menyedari pandangan mata
Puan Rosmah masih mlekat memandangnya.
“Maaf cikgu. Saya sebenarnya tak cukup
sabar dengan Riezman ni. Terlebih mengada-ngada” Puan Rosmah ketawa senang.
Melihat keceriaan di wajah Shahrul Riezman, dia yakin dengan kebenaran
kata-kata Shahrul Riezman. Impian yang mula terlakar dimindanya tadi,
hakikatnya telah dilakar terlebih dahulu oleh anak terunanya. Semoga bertemu
jodoh mereka berdua....doanya didalam hati.
“Tawaran apa pulak ni, Man?” Puan Rosmah
terasa ingin tahu. Tidak pernah Shahrul Riezman seramah hari ini melayan
wanita-wanita yang pernah dikenalinya.
“Eh, tak ada apalah cikgu. Dia ni memang
suka merapu” pintas Syuhada pantas. Khuatir juga dia andai Shahrul Riezman
merapu yang bukan-bukan. Lelaki ini bukan boleh diharap sangat. Bercakap ikut
sedap mulut sahaja. Dia memang macam ni ke?? Tapi dulu bukan ke dia Cuma tahu
diam. Hampir-hampir bisu!
Telefon bimbit Puan Rosmah berbunyi lagi.
Butir perbualan Puan Rosmah dengan pemanggil sedikit sebanyak dapat ditangkap
oleh Syuhada. Rupa-rupanya mereka tidak datang berdua.
“Nampaknya saya terpaksa beredar dulu,
Syuhada. Memandangkan Syuhada dah jadi kawan Riezman, jangan lupa datang ke
rumah saya. Saya tunggu tau” Syuhada sekadar mengangguk sambil berdiri lalu
menyalami dan mencium tangan Puan Rosmah. Shahrul Riezman yang memandang,
terkesima. Sejuk hati lelakinya, walaupun dia tahu perbuatan itu lumrah bagi
seorang murid sebagai tanda menghormati gurunya. Shahrul Riezman turut bangun
sambil menuruti langkah ibunya sehingga ke pintu lif tanpa meninggalkan
kata-kata buat Syuhada.
“Okay Man, mama balik dengan abang dan kak
long kau. Jangan lepaskan gadis sebaik dia dan jangan balik jauh-jauh malam” kata
Puan Rosmah sambil menepuk bahu anak lelakinya. Shahrul Riezman tersenyum
sambil menghantar ibunya pergi dengan pandangan mata. Yesss....mama dah bagi lampu hijau.
Setelah mereka pergi, Syuhada masih lagi duduk
di situ. Termanggu sendiri. Akal dan fikirannya seolah-olah terhenti kaku. Termenung
jauh memikirkan peristiwa sebentar tadi. Langsung tidak terjangkau oleh akal
fikirnya yang dangkal akan kebetulan seumpama itu. Shahrul Riezman? … kenapa
hanya lelaki itu yang hadir dalam takdir hidupnya selepas ikatan pertunangan
antara dia dengan Zulhilmi terputus? Kenapa Shahrul Riezman, anak Puan Rosmah
harus ada dekat dalam hatinya? Haruskah dipertimbangkan kehadiran lelaki itu
dalam hidupnya seperti yang selalu disebut-sebut oleh Mazni? Perlukah diterima tawaran lelaki itu? Be my wife, Syu ...... seakan-akan
bergema frasa itu dibenaknya.
“Tunggu saya ye?” suara lembut itu begitu
hampir di telinganya. Dia terkejut bukan kepalang. Lelaki yang masih tersenyum di
hadapannya dipandang hairan. Aroma yang melekat pada tubuh lelaki itu, tiba-tiba
menggetarkan naluri wanitanya. Syuhada menarik nafas dalam-dalam. Kemudian
dilepaskan perlahan-lahan. Mengapa lain benar rasa hatinya hari ini.
“Tak balik lagi ke? Cikgu balik dengan
siapa?” tanya Syuhada hairan. Shahrul Riezman tersenyum. Baru Syuhada perasaan
lelaki itu mempunyai senyuman yang manis. Baru juga Syuhada perasan, senyuman
itu sama dengan senyuman budak lelaki yang
selalu memandangnya bertahun dulu. Tetapi kenapa baru hari ini perasaan? Bukan Shahrul Riezman tidak
pernah tersenyum pun sebelum ini.
“Mama balik dengan along sekeluarga. Saya
balik dengan awak” wajah wanita di hadapannya dipandang puas-puas. Terlerai
segala rindu. Sudah agak lama mereka tidak berjumpa. Terserempak pun tidak
pernah lagi. Hanya berhubung melalui telefon. Itupun jarang mendapat balasan. Bukannya
senang hendak mendengar suara Syuhada, apatah lagi mengajaknya keluar. Ada sahaja alasan yang tidak
munasabah.
“Saya tak sangka awak anak Cikgu Rosmah” lembut
suara Syuhada menampar pendengaran Shahrul Riezman. Damainya hati.
“Apa bezanya saya anak Cikgu Rosmah atau
bukan?” Shahrul Riezman masih lagi merenung wajah dihadapannya.
“Tak ada bezanya. Cuma saya tak sangka”
“Patutlah sejak kali pertama saya jumpa
awak, saya rasa awak macam ada hutang sesuatu dengan saya” bulat mata Syuhada
mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Hutang???????? Hutang apa?
“Hutang???? Mana pernah saya berhutang
dengan awak” sangkal Syuhada pantas.
“Cuba awak ingat baik-baik......ada tak
barang saya yang awak simpan?”
“Ooooo.....awak nak semula ke harta-harta
awak tu?” sindir Syuhada. Eleh...setakat buku-buku yang sudah tidak ada
nilainya pun sibuk diungkit-ungkit.
“Mestilah. Harta saya tu....sangat-sangat
bernilai tau” jawab Shahrul Riezman bersungguh-sungguh.
“Saya masih tak percaya yang awak ni
adalah budak lelaki yang selalu melepak kat warung Pak Sahak dulu” luah Syuhada
bila melihat perwatakan Shahrul Riezman yang sudah jauh berbeza. Memang masa
mampu mengubah segala-galanya. Budak lelaki yang dulu sangat pendiam orangnya, sedangkan Shahrul
Riezman terlebih peramah pula. Peramah yang tidak kena pada tempatnya.
“Tapi awak sukakan saya datang melepak kat
warung tu. Awak tertunggu-tunggu kedatangan saya, kan” usik Shahrul Riezman
sambil tersengih-sengih nakal.
“Eleh....awak je yang perasan. Saya tak
heran pun awak datang ke tidak” balas Syuhada menyampah.
“Tak sangka kan kita dapat berjumpa lagi”
sambung Syuhada lagi.
“Kenapa? Awak tak suka?”
“Saya
akan terkenang memori zaman remaja saya bila melihat awak, melihat Puan Rosmah.
Satu zaman yang ingin saya lupakan terus dari diari kehidupan saya” Syuhada
berkata sambil memusing-musingkan straw di gelasnya. Entah mengapa ada rasa
hiba yang tiba-tiba menjengah kamar hatinya. Sejarah warung Pak Sahak tersimpan utuh direlung hatinya. Kalau boleh,
dia tidak mahu ingat-ingat lagi. Tiada indahnya kenangan itu untuk disimpan
lama-lama dalam kotak ingatannya.
“Syu pandang saya” seru Shahrul Riezman perlahan. Dia
faham apa yang cuba Syuhada sampaikan. Syuhada mengangkat mukanya
lambat-lambat. Lama pandangan mata mereka bertaut. Seolah-olah ada bicara dari
tautan mata itu...yang hanya mereka berdua sahaja mengerti. Hati Syuhada
menyimpan debar.
“Setiap memori ada keindahannya
tersendiri, Syu. Kita mesti hargai setiap apa yang pernah kita lalui dan kita
juga mesti bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang. Jangan rasa rendah diri. Setiap manusia ada
bahagiannya di muka bumi ini. Dan setiap individu dugaannya berbeza dengan
individu lain” luah Shahrul Riezman ikhlas. Syuhada tersenyum mendengar
kata-kata Shahrul Riezman. Tenang sedikit
hatinya.
“Pandai awak bercakap ….. maklumlah anak
cikgu” Syuhada mengusik. Shahrul Riezman ketawa lepas. Ada rasa damai dihatinya
bila mendengar Shahrul Riezman ketawa.
“Tak betul tu. Saya pandai bercakap sejak berkenan
dengan seorang cikgu” Syuhada ketawa kecil bila Shahrul Riezman sudah mula
menunjukkan belangnya semula. Terserlah lesung pipit di kedua belah pipinya.
Shahrul Riezman menyulam Resah. Ketawa Syuhada kedengaran begitu menggoda
ditelinganya.
“Cikgu tu berkenan kat awak tak? Atau awak
saja yang bergendang seorang. Ditimpa perasaan, awak kan memang suka perasan”
Syuhada mengusik lagi. Kali ini Shahrul Riezman memandangnya serius. Keinginannya
bukan mainan pada wanita ini. Kenapa tidak mahu mengerti?
“Dia pun berkenan tapi tak nak mengaku.
Dia menipu hatinya sendiri..... buat-buat tak kisah pada saya sedangkan saya
tahu dia bahagia bila dekat dengan saya” luah Shahrul Riezman perlahan. Syuhada
tunduk bila mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Aku menipu hatiku sendiri ……
benarkah?......Aku bahagia bila dekat dengannya?
“Saya dah lama dekat sini. Tentu Kak Maz
dan Aznah cari. Saya pergi dulu ye, Riezman” Syuhada berdiri sebaik sahaja
habis berkata. Namun Shahrul Riezman sempat menarik pergelangan tangannya.
Syuhada terkesima. Tanpa dipinta, sentuhan itu mengundang getaran yang maha
hebat di hatinya. Bagaikan ada renjatan elektrik yang mengalir deras dalam
salur-salur darahnya.
“Tak payah cari mereka. Saya dah jumpa
tadi. Mereka tahu saya dengan awak” Syuhada menarik tangannya dari pegangan
Shahrul Riezman lalu duduk semula.
“Ini tangan saya tau. Saya tak suka awak
sentuh atau pegang tangan saya sesuka hati awak” ujar Syuhada geram sambil
mengembangkan kelima-lima jarinya dihadapan muka Shahrul Riezman.
“Sentuh sikit pun nak marah....”
“Habis tu awak nak suruh saya suka,
gembira. Peganglah Riezman....pegang lama-lama...macam tu” potong Syuhada
keras.
Hahahaha......ketawa besar Shahrul Riezman
mendengar kata-kata Syuhada yang agak lucu ditelinganya. Syuhada memang sudah
berubah. Tambah menarik dan lebih menggoda. Menggoda????
“Mana awak jumpa mereka? Saya nak balik
dengan mereka”
“Di tingkat atas tadi, sebelum saya
telefon mama. Saya memang cadang nak cari awak lepas jumpa mama. Tapi tak
sangka awak dengan mama. Tak perlu bimbang Syu, saya dah cakap dengan mereka,
awak balik dengan saya” Shahrul Riezman mengukir senyum melihat raut wajah
dihadapannya berubah. Tentu tidak puas hati.
“Kenapa suka-suka hati buat
keputusan untuk saya. Awak pasti ke saya nak balik dengan awak?” soal Syuhada
geram.
“Apa salahnya balik dengan saya?”
“Salahnya saya tak nak!. Saya datang
dengan kawan-kawan saya, balik pun saya nak dengan mereka. Ada faham?? Aatau orang
bank memang tak faham bahasa mudah macam tu”
“Memang tak faham! Tak sangka awak
ni degil orangnya, ye. Dulu-dulu tu bukan main lemah lembut lagi” Shahrul
Riezman tidak mahu mengalah. Sudah terlanjur berjumpa, apalah salahnya
berlama-lama. Lagipun hari minggu. Bukan ada sesiapa hendak marah pun.
“Awak pun dulu bukan main pendiam
lagi. Macam ada emas kat dalam mulut. Main pandang-pandang je…..tapi sekarang
macam murai tercabut ekor la pulak” balas Syuhada pula.
Hahaha….Shahrul Riezman ketawa lagi.
Sudahnya Syuhada pun turut ketawa. Cukup indah bila mengenang mereka pernah
memiliki memori bersama walaupun waktu itu tiada kata-kata mesra yang
terungkap.
“Jadi……awak balik dengan saya?”
tanya Shahrul Riezman dihujung tawanya.
“Saya ada pilihan lain ke?” soal
Syuhada geram.
“Tak ada. Pilihan awak cuma
satu……balik dengan saya!” jelas Shahrul Riezman tersengih-sengih.
“Kalau cuma ada satu…itu bukan
pilihan namanya. Itu arahan dari lelaki kuku besi” balas Syuhada sakit hati.
“Jangan lupa, awak ada hutang yang belum selesai dengan lelaki kuku besi ni
tau” Syuhada sekadar mencebikkan bibirnya mendengar kata-kata Shahrul Riezman.
“Seksi bibir awak buat macam tu.
Buatlah selalu, saya suka” tidak habis-habis Shahrul Riezman mengusik.
Syuhada membulatkan matanya. Lelaki
ini memang tidak pernah puas mencari pasal dengannya.
“Awak memang tak layak jadi anak
Puan Rosmah tau. Cakap ikut sedap mulut je ye. Ataupun ada fius yang dah tak
berfungsi dalam kepala awak tu” balas Syuhada geram.
“Hmmmm.. kalaulah saya tau awak ni
budak perempuan yang dulu….” ujar Shahrul Riezman tiba-tiba. Syuhada
mengerutkan dahi tanda tidak mengerti.
“Apa awak nak buat?”
“Rahsia” jawab Shahrul Riezman
sepatah sambil tersenyum-senyum.
“Okay, tak kisah. Simpanlah rahsia
awak tu sampai bila-bila. Agak-agak kita nak bermalam kat sini ye?” sindir
Syuhada. Sudah berkali-kali dia memandang jam ditangannya.
“Saya
okay je kalau awak tak kisah” Shahrul
Riezman menjawab selamba. Suka benar dia melihat wajah masam-masam manis
dihadapannya.
Arghhh,…..geramnya!.
Betul-betul dia ini spesies yang selamba badak. Disindir pun tak reti-reti.
“Kalau
awak nak tidur sini, tidurlah sorang-sorang ye. Saya nak balik sekarang”
Syuhada bingkas berdiri, mencapai beg tangannya lalu melangkah pergi.
No comments:
Post a Comment