Saturday, January 29, 2011

~~Bab 5~~

Waktu rehat hari itu, Syuhada di panggil oleh Guru Besar sekolahnya, Encik Abdul Majid. Syuhada tidak merasa apa-apa. Biasalah..ada masa kena berbincang dengan ketuanya tentang setiap aktiviti panitian yang akan dijalankan. Sebagai Ketua Panitia, dia menjadi saluran guru-guru di bawahnya.
“Silakan duduk Cikgu Syuhada” Syuhada menarik kerusi lalu duduk di hadapan Encik Abdul Majid.
“Pekara apa yang cikgu nak bincangkan dengan saya” tanya Syuhada hormat.

Encik Abdul Majid tersenyum. Syuhada sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dalam waktu kerja mereka bersikap professional. Di luar waktu kerja mereka mesra bagaikan satu keluarga. Syuhada sendiri pernah ke rumahnya. Membantu apa yang patut sewaktu majlis perkahwinan anak sulungnya. Sikap ringan tulang Syuhada amat menyenangkan. Kalaulah dia anak lelaki, ingin dijodohkan dengan Syuhada. Malangnya, ketiga-tiga cahaya matanya perempuan.
“Begini, ini ada satu kursus untuk ketua-ketua Panitia Sains di Ilham Resort Tanjung Tuan, Port Dickson. Syuhada kena pergi”
“Bila tu cikgu? Berapa lama?” hati Syuhada gembira. Sudah lama dia tidak pergi kursus.
“Minggu depan. Syuhada kena pergi hari Ahad. Hari Isnin kursus sudah dimulakan. Syuhada akan berada di sana selama seminggu. Oh ya, sebelum pergi, sediakan lembaran kerja yang secukupnya untuk murid-murid yang akan ditinggalkan” Syuhada sekadar mengangguk memahami arahan ketuanya.

Tidak sabar rasanya ingin memberitahu rakan-rakan serumahnya tentang kursus yang akan dihadiri. Seminggu aku tak ada, tentu mereka rindu kat aku, hatinya berbicara sendiri. Tidak pernah dia berkursus dalam jarak sejauh itu. Tidak sabar ingin melihat sendiri Port Dickson yang sering disebut-sebut orang. Indah ke? Bersih ke pantainya? Tunggu …… aku akan datang menyusuri pantaimu.
“Pergi kursus pun kau happy. Kalau aku itulah pekara yang cuba aku elakkan”
“Kau ni Yan..... apalah. Tak ada motivasi langsung. Kita dah lama keluar maktab. Inilah masanya untuk kita mendapat input baru. Taklah berada di takuk yang lama aje” Ruzian tersengih mendengar omelan Syuhada.
“Aku bukannya apa. Malas nak pack barang. Lebih-lebih lagi nak buat presentation …. Tak reti aku” mereka bertiga tergelak mendengar alasan Ruzian.
“Yang kau mengajar hari-hari tu bukan presentation namanya?” Aznah mencelah.
“Itu lain. Itu depan budak-budak, kalau silap pun boleh cover” Ruzian masih lagi tidak mahu mengalah.
“Macam mana Syu nak pergi sana?”  tanya Mazni.
“Dengan keretalah. Syu drive. Kak Maz tanyalah siapa yang kena pergi di sekolah Kak Maz tu. Yan dengan Az pun tanya. Kursus ni untuk semua ketua Panitia di setiap sekolah. Kami boleh pergi sama-sama. Empat orang cukuplah satu kereta”

Mereka mengangguk. Memang begitulah biasanya kalau ada kursus. Lebih-lebih lagi dalam jarak yang jauh begini. Untuk memandu sorang-sorang tentulah tidak memadai. Duit minyak, duit tol lagi. Tuntutan perjalanan berapa sangatlah. Syuhada tidak sabar menanti hari Ahad. Tidak sabar ingin merasa dinginnya angin pantai. Benarkah angin pantai sejuk? Sudah lama dia tidak ke pantai. Kali terakhir ke Pantai Similajau, itupun bersama teman-teman semaktabnya. Rindunya pada Nik. Tentu dia sudah hamil. Sudah hampir setahun dia mendirikan rumahtangga.
Keesokannya, Ruzian balik dari kerja dengan wajah yang mencuka. Yang lain mendiamkan diri. Kalau Ruzian sudah menarik muka begitu, janganlah ditanya. Angin satu badan. Kalau ditanya pun jawapannya pasti menyakitkan hati. Baik tidak payah ditanya.

“Aku pergi dengan kau Syu. Tumpang kereta kau” Ruzian bersuara lalu menghempaskan punggungnya ke kerusi rotan di hadapan televisyen. Yang lain terpinga-pinga.
“Tumpang kereta pergi mana?” tanya Syuhada tidak mengerti.
“Pergi Ilham Resort tulah, mana lagi?” mereka bertiga menahan ketawa. Mereka mula mengerti.
“Kenapa kau pulak yang kena pergi. Ketua Panitia Sains sekolah kau mana?” Aznah pula bertanya. Geli hati dia melihat perangai Ruzian. Maklumlah anak manja.
“Kak Imah kan cuti dua bulan. Cuti bersalin. Tak pasal-pasal aku yang kena ganti. Macam dah tak ada cikgu lain kat sekolah tu. Suruhlah SU dia yang pergi” tidak habis-habis Ruzian membebel. Sejak dari sekolahnya tadi.
“Tak apalah Yan. Adalah sebabnya Guru Besar kau suruh kau pergi tu. Mungkin kau kena ajar subjek Sains tak tahun depan” Mazni cuba menenangkan Ruzian.
Memang itulah peranan Mazni dalam rumah itu. Usianya yang lebih tua di antara mereka semua meletakkan dia sebagai pendamai. Adakala sebagai pakar rujuk. Ada tiga hari lagi untuk mereka pergi berkursus di Ilham Resort. Syuhada akan berkongsi kereta dengan Ruzian dan dua orang lagi guru dari sekolah Mazni dan Aznah. Mujurlah Yanti, dari sekolah Mazni boleh memandu. Bolehlah bergilir memandu dengan Syuhada. Syuhada pun bukannya pernah memandu dalam jarak yang jauh. Paling jauh pun ke bandar JB. Itupun terkial-kial mencari parking.
Malam itu, sekembalinya dari kelas bimbingannya telefon berdering menyambut kepulangannya. Mahu tidak mahu Syuhada terpaksa mengangkat. Tidak nampak pun bayang teman-temannya yang lain di tingkat bawah rumpah mereka. Maklumlah jam sudah pukul sebelas malam. Esok pagi hendak kerja pula.

“Hello” lemah suara Syuhada.
“Syuhada, saya ni”
“Yelah saya. Tapi siapa?” Syuhada bersuara jengkel. Tak belajar agaknya teori pekhidmatan di kuanter. Saya ni …… dia fikir aku kenal dengan suara dia. Ceh!.
“Shahrul”
“Awak lagi? Apa yang awak nak lagi?” sejak hari itu setiap malam lelaki itu menelefon dia. Sampaikan kadang-kadang dia menyampah. Tak reti bahasa betul. Aku tak layan pun, masih nak cakap lagi dengan aku. Dasar muka tembok.
“Saya nak berbual dengan awak. Awak baru balik ke?” Shahrul Riezman tidak menghiraukan sambutan dingin Syuhada. Bagi dia, dapat mendengar suara walaupun sekejap  sudah memadai.
Baru balik? Dia tahu ke aku keluar tiap-tiap malam? tanya hati kecil Syuhada. Siapa dia ni sebenarnya? Pening dia memikirkan tentang lelaki yang seorang ini. Hendak kata kenal rasanya tidak. Entah dari mana Shahrul mendapat nombor telefon rumahnya pun, Syuhada tidak tahu. Malah dia tidak pernah bertanya tentang itu.
“Saya penat Encik Shahrul” Syuhada menutup mulutnya yang terbuka besar. Sejuk rasa tubuhnya. Kerap benar hujan kebelakangan ini. Tidak mandilah aku malam ini.
“Awak nak tidur ke Syu?” tanya Shahrul Riezman lembut.
Hati Syuhada tersentuh tiba-tiba. Syu …… mesra terasa. Hatinya bergetar. Sudah terlalu lama dia merindukan panggilan itu dari seorang lelaki.
“Syu, kita lunch sama esok” suara di hujung talian menyedarkan Syuhada.
Sorry, saya tak kenal awak” Syuhada cuba menutup getar di hatinya.
“Tak apa, saya kenal awak” dalam hati Shahrul Riezman berdoa agar Syuhada menerima ajakannya. Sudah lama dia mengidamkan pertemuan antara mereka berdua.
“Kenal hanya di sebelah pihak, tidak memberi apa-apa makna. Entah-entah awak ni perompak bersiri” Shahrul Riezman ketawa mendengar kata-kata Syuhada. Lucu betullah dia ni. Ada ke dia kata aku perompak bersiri.
“Suara saya ni macam perompak bersiri ke?” tanya Shahrul Riezman di hujung ketawanya.
“Lelaki!. Mereka boleh cipta macam-macam suara. Lebih-lebih lagi orang macam awak ni yang saya tak kenal langsung……”
“Syu, kan saya kata kita saling mengenali tapi awak tu yang tak nak beri saya peluang”
“Dah jauh malam, saya nak tidur. Kalau awak masih lagi nak berbual, check your list dan carilah mana-mana perempuan yang sesuai”

Seperti malam-malam sebelumnya, Syuhada memutuskan talian tanpa sebarang pamitan. Dia menaiki anak tangga lantas terus masuk ke biliknya. Tanpa menukar baju dia terus merebahkan tubuhnya di atas katil. Dia benar-benar letih.
Shahrul Riezman mendengus marah. Dia merasa tercabar dengan kata-kata Syuhada. Dia fikir aku siapa? Kaki perempuan? Shahrul Riezman menahan rasa. Semakin hari dia merasa Syuhada semakin dekat di hatinya. Semakin sukar untuk dia mendekati Syuhada, semakin kuat keinginannya.
~~Bab 6~~
  Sudah seminggu Shahrul Riezman seperti orang tidak betul. Kerja-kerjanya pun banyak terganggu. Terasa ada sesuatu yang hilang dari hatinya. Sudah puas dia bertanya, tapi jawapannya tetap hampa. Bila dihubungi, jawapannya tetap tidak ada. Ke mana dia pergi tidak pula diberitahu. Kacau jiwanya.

            “Saya dah tolong awak apa yang patut, Man. Yang lain-lain tu awak kenalah usaha sendiri” jawab Mazni suatu hari bila Shahrul Riezman menghubungi Syuhada seperti biasa.
            “Tak kan awak tak boleh bagi klu sikit pun, Maz. Dah dekat seminggu dia tak ada. Dia pergi mana? Dia sakit ke?” Mazni menahan ketawa di hujung talian. Betul-betul angau mamat seorang ni. Kesian kau Shahrul Riezman. Jadilah kau pungguk!!
“Syu pesan, jangan beritahu apa-apa pada orang yang dia tidak kenal”  
“Kan saya dah cerita pada awak. Kami saling mengenali. Awak ni betul-betul buat saya bingung” keluh Shahrul Riezman.
            “Yang awak bingung kenapa? Syu tu bukan your girlfriend pun. Malah dia sendiri kata dia tak kenal awak” Mazni main tarik tali pula.
            “Tak kan sikit pun awak tak boleh tolong” rayu Shahrul Riezman lagi.
            “Bukan saya tak nak tolong, Man. Syu kawan saya, saya tahu dia macam mana. Tentu dia tak suka awak tahu perihal dia melalui orang tengah. Esok lusa awak cubalah lagi ya”
            
            Shahrul Riezman menggaru kepalanya yang tidak gatal. Walaupun tidak puas hati dia akur dengan kata-kata Mazni. Tunggu sahaja kepulangan Syuhada yang entah ke mana. Entah bila dia akan balik.

            Syuhada melangkah menyusuri pantai Batu 4 Port Dickson. Hari terakhir kursus, mereka diberi kelepasan. Terasa lega bila masing-masing tidak perlu lagi memikirkan tentang bengkel dan siapa yang akan membuat presentation. Syuhada melangkah sendirian. Ramai di antara mereka mengambil peluang ini untuk mandi manda. Ruzian pula entah ke mana. Bila berjumpa dengan kawan semaktabnya dulu, dia pula yang terover happy. Lupa pada Syuhada yang sering ditinggalkan bersendirian.

            “Syu, jomlah mandi” Syuhada memandang ke arah suara yang melaung namanya. Ternampak Ruzian yang sudah basah kuyup. Syuhada menghampiri mereka.
            “Jomlah mandi, seronok tau” Ruzian bersuara lagi.                                                                    
            “Tak naklah. Aku tunggu kau kan bawah pokok tu ye”
            “Betul tak nak mandi. Bila balik Pontian nanti jangan menyesal” Syuhada tetap menggeleng.
           
            Ruzian kembali ke tengah bersama rakannya. Manakala Syuhada berjalan ke arah sebatang pokok yang dikatakan tadi. Sudah terlalu lama dia tidak mandi di laut. Sejak balik dari Sarawak rasanya tidak pernah. Sebenarnya dia tidak mempunyai banyak masa malah untuk dirinya sendiri. Bila sunyi, bila bersendirian begitu dia sering terkenangkan memori silam. Sering terfikir ….. kenapa mesti bertemu dengan Zulhilmi? …… kenapa dia terima lamaran Zulhilmi? Menjadi tunang kepada lelaki itu selama tiga tahun sungguh menyeksa batinnya. Keperluan perasaannya tidak pernah diambil kira. Oleh sesiapa pun. Namun jauh di sudut hati dia tidak pernah menyalahkan Zulhilmi. Semasa warasnya Zulhilmi, dia seperti lelaki normal lain yang penuh perhatian.
            Pukul empat petang mereka bertolak meninggalkan Port Dickson. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang lima jam itu terasa lambat untuk sampai ke destinasinya. Lebih-lebih lagi sepanjang pagi mereka menghabiskan masa di pantai. Syuhada yang memandu sesekali menguap. Plaza tol Simpang Renggam baru sahaja mereka lepasi. Kejap lagi sampailah….. bisik hati Syuhada.

            “You all tidur sini boleh tak? Tak laratlah Syu nak hantar” tanya Syuhada apabila sampai di rumahnya. Yanti dan Zaiton berpandangan. Mereka pun keletihan.
            “Tak apalah. Biar Kak Maz yang hantar. Tentu lebih selesa bila dapat berehat di rumah sendiri, kan” mereka tersenyum riang. Selepas mengucapkan terima kasih pada Syuhada mereka masuk ke kereta Mazni.
            “Seronok tak?” tanya Aznah sebaik sahaja Syuhada dan Ruzian duduk meluruskan pinggang di hadapan TV.
            “Kau tanya kawan kita ni seronok ke tak seronok?” sindir Syuhada sambil memandang sekilas ke arah Ruzian.
            “Seronok Az, lebih-lebih lagi aku jumpa kawan satu maktab dulu di kursus tu. Tak puas rasanya bermain di pantai. Teringin aku nak pergi lagi” Ruzian bercerita dengan suara riang.
            “Tulah, dulu beria-ia tak nak pergi. Kata orang tak kenal maka tak cinta. Bila dah cinta terasa sedih hendak berpisah” Aznah bermadah.
            “Kau tahu Az, aku pun dia lupa. Terpaksalah aku membawa diri sorang-sorang”
            Mereka bertiga ketawa serentak. Sebentar kemudian Mazni sampai dengan membawa empat bungkus nasi ayam. Mereka bersorak gembira. Mereka makan sambil bercerita. Sesekali ketawa terburai. Seronok sungguh mereka apabila dapat berkumpul semula. Ada saja cerita yang melucukan. Sudah dua kali Mazni memberi isyarat agar memperlahankan suara. Malu didengar oleh jiran-jiran yang semuanya sudah berkeluarga. Tiba-tiba telefon berbunyi. Mereka berpandangan.
            “Itu mesti untuk Syu. Tiap-tiap malam mamat tu telefon. Aku rasa dia dah angaulah Syu” Syuhada memandang Aznah bingung. Mamat mana pulak ni?
            “Siapa?”
            “Pergilah jawab. Kau tahulah nanti” 
            "Tak nak la...orang tengah sedap-sedap makan ni"
            "kau jawab je la Syu...dah memang untuk kau tu" desak Ruzian. 
             Dengan malas Syuhada bangun. Kacau betullah, orang tengah sedap makan …. Gerutu hati kecilnya.
“Hello” agak kasar dia mengangkat telefon.
“Syuhada. Awak dah balik?” suara di hujung talian ceria. Cepat Syuhada menangkap siapa pemilik suara itu. Dia lagi. Apa lagi yang dia nak ni. Hisyy...tak suka betul!!
“Bila saya yang jawab, saya dah baliklah. Awak ni nak apa? Saya baru je sampai, saya penat tau”
“Awak pergi mana Syu? Kenapa tak beritahu saya?”
Banyak soal pulak mamat ni. Dia ingat dia tu siapa. Nak bagi dia buat apa??
“Buat apa pulak saya nak bagi tau pada awak. Awak husband saya ke?” Syuhada bertanya jengkel. Menyibuk betul.
“Saya kan your future husband....awak dah lupa ke? Awak kenalah bagi tau saya ke mana awak nak pergi. Saya rindu tau”
Terlepas ketawa Syuhada. Rindu!. Kenal pun tidak, nak rindu konon....pirahhhh..Banyaklah dia punya rindu. Dia ingat aku boleh cair dengan ayat dia.
“Saya rasa awak ada masalah  En Shahrul” Syuhada bersuara di hujung ketawanya.
“Masalah saya akan selesai kalau awak sudi jumpa saya. Kita jumpa esok” Shahrul Riezman benar-benar berharap Syuhada akan setuju keluar dengannya.
“Esok saya sibuk. Sekarang ni saya betul-betul penat. saya nak rehat. Nak tidur puas-puas. Boleh kan my future husband?”

Syuhada meletakkan gagang telefon sebelum sempat Shahrul membalas kata-katanya. Future husband konon. Dah hilang akal agaknya. Kalau tak pun, memang pastilah dia ada masalah mental. Tak kuasa aku nak layan. Banyak lagi kerja lain yang boleh aku buat. Syuhada merungut-rungut sambil menuju ke sinki. Tangannya sudah kering dengan sisa makanan. Seleranya sudah mati untuk meneruskan makan. Tambahan pula rakan-rakannya yang lain sudah selesai makan.

“Tak sambung ke Syu? Kau baru makan sikit” Mazni bersuara apabila Syuhada mengambil bungkusan makanannya lalu dimasukkan ke dalam plastik.
“Hilang selera Kak Maz. Kacau betullah dia tu”
“Dia tu siapa Syu?” tanya Ruzian.
“Manalah aku tahu. Tak habis-habis mengacau. Tak ada kerja lain agaknya dia”
“Macam mana dia boleh kenal kau? Tahu nombor telefon, tahu bila waktunya kau ada di rumah. Betul ke kau tak kenal dia?” Aznah pula bertanya. Dia pun sering tertanya-tanya siapa pemanggil misteri itu.
“Entah. Tapi aku memang tak pernah kenal dia. Tak pernah tanya pulak dari mana dia dapat nombor telefon rumah kita. Agh, lantaklah. Buat apa naik fikir. Menyemak kepala otak aku je. Layan dia, lama-lama aku yang jadi mereng. Syu nak naik. Nak tidur”
Syuhada bangun memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan. Sekilas dia terpandang Mazni tersenyum sendiri. Kenapa dengan Kak Maz ni? Malas bertanya dia terus bergerak naik ke biliknya.


No comments:

Post a Comment