Syuhada terjaga dari lenanya apabila terdengar bunyi
burung-burung berkicauan. Selepas solat subuh tadi dia menyambung semula
tidurnya. Bukannya selalu dapat peluang bangun lewat. Bila dihayati, terasa
indah irama kicau sang burung menjadi halwa telinga. Tingkap di biliknya dibuka
luas-luas. Deru angin terasa dingin menyapa kulit pipinya. Sejuk! Melihat
panorama hijau di luar sana, sejuk mata memandang. Berharap agar nyaman udara
pagi yang berhembus lembut mampu mengusir pergi kesedihan hatinya tetapi
olakkan bayu itu tetap menghambat setiap ruang rasa. Terasa hati digigit pilu.
Apabila musibah menimpa, perasaan mula tergugat. Fikiran turut terganggu dan
fikiran bercelaru. Diri seolah-olah diselubungi kegelapan.
Cuti persekolahan sudah masuk minggu kedua. Syuhada kehilangan rentak.
Tidak tahu bagaimana harus dilalui masa yang beredar. Masakan mahu berehat di
atas katil sepanjang masa. Bosan melewati masa yang sentiasa bergerak dan
berlalu. Mengikut pepatah Arab `masa itu
ibarat pedang, jika kita tidak menggunakannya untuk memotong, ia akan memotong
kita`. Mazni dan Ruzian sejak semalam sudah pulang ke kampung masing-masing
kerana kelas tambahan sudah pun berakhir. Syuhada serba-salah sendiri. Hendak
balik ke kampung, khuatir andai Zulhilmi menjejaknya di situ. Hanya semalam
Syuhada balik ke rumah kedua ibu bapanya. Itupun hanya sebentar. Melihat
adik-adiknya yang sibuk dengan urusan masing-masing, dia mengambil keputusan
untuk pulang semula kerumahnya. Tidak
betah tinggal lama-lama di sana. Tambah-tambah lagi dengan sikap ibunya yang
tidak habis-habis menyebut tentang Zulhilmi.
Detik waktu terus bergerak namun Syuhada masih termangu
di tepi tingkap biliknya. Rutin hidupnya yang sentiasa sibuk membuatkan dia
lesu jika tiada kerja yang boleh dilakukan. Masanya banyak terluang untuk satu
minggu ini. Kelas bimbingannya ditangguhkan kerana semua murid-muridnya pergi bercuti bersama keluarga. Terasa hati
dibungkus rindu. Namun tidak pasti rindu untuk siapa. Zulhilmi?...Amat
mustahil! Dan andai rindu itu bukan untuk Zulhilmi, pastilah untuk seorang dia.
Shahrul Riezman! Tiba-tiba Syuhada terkenangkan lelaki itu. Sejak kejadian
tempoh hari … lelaki itu terus menyepi. Tiada lagi panggilan telefon darinya
….. tiada lagi pesanan-pesanan nakal yang dikirimkan.....pesanan yang acapkali
mengusik jiwanya. Jauh hatikah dia? Memang wajar pun berjauh hati. Bukankah dia yang tidak berterus terang? Tapi …. Untuk apa
berterus-terang. Adakah insan lain yang akan memahami segala rentetan ini? Jauh
di sudut hati, dia merasa terkilan yang teramat. Shahrul Riezman tidak harus
tahu! Dan yang pasti lelaki itu bukan sesiapa dalam hidupnya. Baru melihat
sudah menjatuhkan hukum. Menuduhnya bukan-bukan.
Syuhada tersentak dari lamunannya bila telefon bimbitnya
berbunyi. Matanya terarah ke jam di meja kecil tepi katilnya. Sudah pukul
sepuluh pagi rupanya. Dia yang belum mandi lagi, mula merasa rimas. Dia
mencapai telefon bimbitnya yang diletak di sebelah jam itu.
“Hmmm
…. Siapa?” jawabnya malas.
“Syuhada
… ini saya, Cikgu Rosmah” Syuhada tersentak. Cikgu Rosmah? Apa hendaknya? Dari
mana dia dapat nombor telefon ini? Agh,
… tentu pasti dari dia! Kenapa pulak Cikgu Rosmah harus dilibatkan. Syuhada
menggaru hujung keningnya.
“Ya Cikgu. Cikgu apa khabar? Maaf ye, terkasar bahasa
tadi” Syuhada ditimpa perasaan serba salah. Serba salah sebab Puan Rosmah
adalah ibu kepada Shahrul Riezman. Serba-salah atas kejadian yang telah
mengheret sekali anak lelaki kesayangan bekas gurunya itu.
“
Syuhada sedang buat apa?” tanya Puan Rosmah ramah.
“Tak
ada apa Cikgu. Tengah bosan ni. Maklumlah cuti, nak berjalan pun kawan-kawan
semua dah balik kampung. Tinggallah saya sorang” luah Syuhada jujur.
“Kalau
macam tu, bolehlah tolong saya” beria-ia benar Puan Rosmah mengajak.
“Tolong
apa tu, cikgu?”
“Tolong
saya siapkan gubahan untuk hantaran. Saya tau Syu boleh buat kan” ajak Puan
Rosmah penuh harap.
Lama
Syuhada terdiam. Gubahan hantaran? Gubahan untuk siapa? Shahrul Riezmankah? Ada
satu perasaan ngilu yang menyentuh tangkai hatinya namun dia tidak mengerti
apakah perasaan itu. Mengapa pelik benar rasa hatinya bila mengingatkan lelaki
itu meski telah berkali-kali dia menyakinkan diri bahawa Shahrul Riezman bukan
sesiapa dalam hatinya. Ada apa dengan Shahrul Riezman sebenarnya?
“Boleh tak Syu? Daripada Syu bosan duduk rumah
sorang-sorang, baik Syu datang sini tolong saya” suara di hujung talian
mengejutkan Syuhada. Syuhada serba salah. Hendak ditolak, dia sudah terlepas
cakap tadi. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Syuhada bersetuju juga.
Tidak sukar untuk Syuhada mencari rumah Puan Rosmah melalui alamat yang diberi.
Taman Kristal. Dia sudah terlalu biasa keluar masuk taman itu. Ada diantara
pelajar-pelajarnya yang tinggal di taman itu. Salah sebuah rumah pelajarnya
menjadi tempat mereka berkumpul untuk kelas tambahan itu diadakan. Tidak diduga pula Shahrul Riezman
tinggal di kawasan yang sama. Dekat sahaja rupanya. Selang dua malam dia
melintasi hadapan rumah ini. Tidak pernah
perasan pulak kereta Shahrul Riezman terparkir di garaj keretanya.
Syuhada memberhentikan keretanya di hadapan sebuah rumah
yang bercat kuning air. Lama dia duduk mendiamkan diri di dalam keretanya.
Hatinya berdebar tiba-tiba. Seraut wajah itu melintas dilayar matanya.
Bagaimana kalau terserempak dengan
lelaki itu nanti? Berbolak-balik dia jadinya. Syuhada memandang jam
ditangannya. Baru pukul sebelas setengah pagi. Agh… tentu dia masih berada di tempat
kerjanya. Syuhada keluar dari keretanya apabila terpandang Puan Rosmah sedang
membuka pintu utama. Puan Rosmah mengamitkan tangannya menyuruh Syuhada masuk.
Syuhada menarik nafas panjang lalu dilepaskan satu-satu.... menenangkan hatinya
sendiri. Semoga tiada takdir yang bakal menjeratnya hari ini.
“Apa khabar, Cikgu?” tanya Syuhada sopan sambil menyalami
tangan Puan Rosmah.
“Baik. Syu pulak macam mana? Saya tengok, Syu makin
kurus. Kerja kat sekolah banyak sangat ke?” tanya Puan Rosmah sambil mengajak
Syuhada masuk.
“Mana ada, Cikgu. Saya memang macam ni” Syuhada menafikan
walaupun hatinya bimbang. Bimbang sekiranya Puan Rosmah terus bertanya perihal
dirinya. Tiada apa yang indah untuk diceritakan.
Mereka terus
menuju ke ruang tamu. Syuhada dapat melihat beberapa bekas gubahan hantaran
yang telah siap digubah....dihias indah dengan bunga-bunga plastik.....bunga
ros berwarna ungu dan putih. Terpesona matanya memandang. Sementara
sebahagiannya lagi masih belum diusik. Sekali lagi hatinya tersentuh. Disentuh
oleh suatu rasa yang terlalu sukar untuk diterjemah maknanya. Benarkah?
“Kenapa berdiri aje, Syu? Marilah sini tengok barang-barang ni. Syu
tentu banyak idea untuk gubah barang-barang ni” kata Puan Rosmah sambil
mengajak Syuhada duduk disebelahnya. Mata tuanya dapat melihat keresahan di
wajah Syuhada.
“Manalah saya reti nak gubah semua ni, Cikgu” Syuhada
berkata sambil mengukir senyuman. Sekadar mengambil hati Puan Rosmah. Sedangkan
hatinya memang tidak berkeinginan untuk melakukan kerja-kerja itu. Terasa berat
untuk menyentuh segala jenis barang yang ada dihadapannya.
“Alah, masa sekolah dulu kan Syu selalu menang
pertandingan gubahan. Sekarang ni tentu lebih kreatif kan?”
“Itu dulu, Cikgu. Sekarang ni dah lama saya tak buat
benda-benda macam ni. Kekok pulak
rasanya”
“Tak apa. Kita buat sama-sama. Kita yang buat dia, tentu
jadi”
Syuhada tidak ada
pilihan lain. Hendak tak hendak dia terpaksa menunjukkan kepakarannya dalam
kerja gubah-mengubah. Kalau diikutkan, bukan perlu sangat digubah barang-barang
itu. Bekasnya sahaja sudah kelihatan
cantik dan mewah. Mereka melakukan
kerja-kerja mengubah itu bersama-sama sambil berbual-bual tentang isu-isu
semasa terutama isu pendidikan. Segala macam dasar pendidikan mereka bualkan
sehingga tidak sedar ada sepasang
mata asyik memerhati dari arah pintu dengan perasaan yang bercampur baur.
Tatkala melihat kereta yang terparkir di luar sana, dia sudah dapat meneka
siapa yang datang. Patutlah beria-ia benar ibunya meminta nombor telefon wanita
itu malam tadi. Secret mission apa
pulak yang mama buat ni, soal hati kecilnya. Kaki melangkah namun hati
bergelodak. Rasa rindu, rasa keliru dan rasa geram … menjadi satu dalam
hatinya.
“Eh, Man! Bila sampai? Kenapa tak bagi salam? Terkejut
mama” Puan Rosmah terkejut dengan kehadiran Shahrul Riezman yang tiba-tiba itu.
Kebelakangan ini, jarang anaknya itu
balik waktu tengah hari. Bila tanya, sibuk katanya. Mimpi apa dia hari ini?
Tiada pesan, tiada kata.....tiba-tiba muncul. Kerana Syuhadakah?
Syuhada apatah lagi. Mahu gugur tangkai hatinya saat
mendengar nama Shahrul Riezman dibibir Puan Rosmah. Dia sudah berkira-kira
untuk meninggalkan rumah itu sebelum waktu pejabat berakhir nanti untuk
mengelakkan diri terserempak dengan lelaki itu. Tetapi sekarang … lelaki itu
sudah berada di hadapannya! Berdiri
tegak sambil merenung tajam kearahnya. Masih ada sisa-sisa kemarahan dalam
sinar yang tajam menikam terus ke jantung itu. Alamak....jantungnya sudah
kehilangan rentak. Dia cuba bersikap tenang di atas pertemuan yang tidak diduga
itu. Tetapi ALLAH sahaja yang tahu betapa berkocaknya hatinya diamuk resah.
Diam-diam Puan Rosmah memerhati wajah dua insan di hadapannya. Reaksi mereka
terlalu berbeza dengan pertemuan seminggu yang lalu. Agh, orang muda! Merajuk
kan asam garam dalam percintaan…. Fikirnya. Tapi … benarkah mereka bercinta?
“Mama tak tahu Man nak balik. Man duduk dulu ye, mama
siapkan makanan. Nanti kita boleh makan bersama-sama” Puan Rosmah bersuara
apabila dilihatnya kedua-dua anak muda di hadapannya berwajah tegang. Langsung
tidak bertegur sapa. Hanya pandang memandang. Mungkin hanya mereka yang faham
bahasa mata. Tetapi kenapa agaknya kedua-dua mereka memandang dengan pandangan
mengancam. Macam orang bergaduhlah pulak. Syuhada mengangkat muka.
“Saya tolong Cikgu, ye?” perlahan suaranya. Untuk apa
dihiraukan Shahrul Riezman dengan pandangan mengancamnya. Dia datang atas
undangan Puan Rosmah. Tidak ada kaitan langsung dengan lelaki itu. Cehhh....dia
ingat aku gerunlah dengan dia!
“Eh, tak payah. Syu siapkan yang ini ye. Tinggal sikit
lagi ini” larang Puan Rosmah sambil meninggalkan mereka. Suasana kembali sepi.
Sesi pandang-memandang pun tidak ada. Syuhada memang betul-betul tidak
menghiraukan kewujudan makhluk dihadapannya.
Syuhada mengeluh
dalam hati walaupun sering dia cuba menahan diri daripada sifat gelisah dan
beremosi.....menahan lisan dari mengeluh.
Shahrul Riezman duduk di atas sofa betul-betul di hadapan Syuhada.
Syuhada yang bersimpuh di atas lantai, dihujung kakinya, merasa sangat tidak selesa. Macamlah tidak
ada kerusi lain....hatinya mengerutu dalam diam. Lama mereka membiarkan suasana
dibungkus sepi. Syuhada perasaan yang dirinya sedang direnung tajam. Dia
langsung tidak berani mengangkat wajah. Bimbang dengan rasa hatinya sendiri.
“Buat apa datang?” Shahrul Riezman bertanya kaku. Syuhada
sudah mengagak. Mustahil Shahrul Riezman akan bersorak gembira dengan kehadirannya. Mustahil juga
dia tertunggu-tunggu akan pertemuan mereka.
“Cikgu telefon suruh datang” dia menjawab perlahan. Masih
lagi tidak memandang lelaki itu. Untuk apa dipandang andai hanya mengundang
rasa tidak selesa?
“Bukan
sengaja nak ambil perhatian mama?” Shahrul Riezman bertanya sinis.
“Tak
ada sebab untuk itu” Syuhada menjawab selamba. Namun hatinya geram dengan
tuduhan melulu itu. Suka-suka hati dia je....
“Ada! Setelah saya mendiamkan diri, tak layan awak, tentu
mama yang jadi sasaran, kan?” Shahrul
Riezman masih lagi belum merasa puas. Sakit hati Syuhada mendengarnya.
Dia memberanikan diri menentang wajah di hadapannya. Wajahnya mula merona
merah. Marah!
“Perlu ke saya buat macam tu?” soalnya geram.
“Perlu! Hidup awak kan penuh agenda” tanpa sedar
kata-kata itu memang sangat menguris hati Syuhada.
“Tolonglah Riezman. Saya tak pernah pun tergila-gilakan
awak. Tak perlu saya gunakan sapa-sapa untuk menarik perhatian lelaki seperti
awak” Syuhada sedaya upaya mengawal nada
suaranya, bimbang didengari Puan Rosmah. Shahrul Riezman mula tersenyum melihat
rona merah di wajah Syuhada. Teringat dia pada musim-musim awal pertemuan
mereka. Wajah sebegitulah yang mengamit rindunya di saat mata ingin dipejamkan.
Rona merah diwajah itulah yang mencuit hati lelakinya. Membuatkan dia
terkenang-kenang.
“Ye
ke? Tapi saya tengok awak beria-ia sangat buat baik dengan mama saya” Shahrul
Riezman masih galak menyimbah minyak.
“Salah
ke? Puan Rosmah kan cikgu saya” tidak puas hati sungguh Syuhada dengan sikap
Shahrul Riezman kali ini.
“Tapi
cikgu awak tu mama saya” alasan yang tidak boleh diterima oleh Syuhada. Kalau
mama dia sekalipun kenapa????
“Pernah
ke saya terhegeh-hegeh nakkan awak sebelum ini?” pantang Syuhada bila ada orang
menghulur tali.
“Awak
tak ke? Kalau tak, masakan sanggup dating
dengan saya walaupun tahu status diri” Shahrul Riezman mula menyalakan api.
“Dating?? Sawan ke hilang ingatan? Bila
masa kita dating? Bukan ke awak yang
selalu menyibuk mengejar saya? Bukan ke awak yang selalu perangkap saya? Pernah
ke saya dengan rela hati ikut awak keluar?” api yang Shahrul Riezman nyalakan
kian marak. Syuhada meniup sama sehingga haba disekitar ruang tamu itu sudah
melebihi dua puluh lapan darjah celcius.
“Awak
kejam, Syu” tuduh Shahrul Riezman tanpa timbang tara.
“Perlu
kejam untuk orang seperti awak. Awak yang menggadai hati sendiri, bila tak
mampu nak tebus balik….kenapa salahkan orang lain?” sinis kata-kata Syuhada
memanaskan cuping telinga Shahrul Riezman.
“Sepatutnya
awak happy sebab dah berjaya
mencalar-balarkan hati saya, tapi saya tengok awak macam merana je? Tak kan ada
tunang pun makan hati kut? Atau merana sebab rindukan saya?” Shahrul Riezman
menduga riak wanita dihadapannya. Itulah sebenarnya yang berada di hati. Melihat riak di wajah
Syuhada sebenarnya dia keliru. Mengapa tiada riak bahagia pun di wajah wanita
itu. Bukankah mereka bakal berkahwin tak lama lagi? Bukankah wanita yang bakal
menjadi raja sehari harus berseri-seri wajahnya? Ke mana seri di wajah Syuhada
menghilang?
“Riezman” Syuhada memanggil nama itu perlahan. Shahrul Riezman menoleh ke arahnya sambil mengangkat
keningnya. Rindunya dia pada seraut wajah itu!
“Pasal hari tu..... saya minta maaf. Tak pasal–pasal
bibir awak yang bengkak” ujar Syuhada perlahan. Tidak guna bertekak dengan lelaki ini. Sementelah berada
di rumahnya. Dan Puan Rosmah itu bekas guru kelasnya. Esok-esok mereka pasti
akan berjumpa lagi.
“Saya dah maafkan. Tapi saya perlukan penjelasan”
tersentuh hati lelakinya mendengar ucap maaf itu. Bagaikan ada cecair salju
mengalir ke dalam relung-relung hatinya. Sejuk! Memang benar sebuah kemaafan
mampu memadamkan api amarah dan dendam.
“Cikgu tak tanya ke kenapa bibir awak bengkak hari itu?
Tentu cikgu fikir yang bukan-bukan pasal saya”
Syuhada bertanya tanpa menghiraukan kata-kata Shahrul Riezman tadi.
Penjelasan? Penjelasan apa yang perlu diberi? Dia tidak mempunyai apa-apa
penjelasan buat masa ini.
“Tanya” Shahrul Riezman menjawab sepatah.
“Habis tu awak kata apa?” Syuhada bertanya ingin tahu.
“Saya kata ……. Hmmm, love
bite” Shahrul Riezman berkata perlahan sambil mengukir senyuman menggoda.
Syuhada membulatkan matanya. Tindakan spontannya membuatkan Shahrul Riezman
ketawa.
“Betul sangatlah tu” memang betul-betul kena sampuk Si
Shahrul Riezman ni. Kena sampuk dengan hantu tengah hari. Love bite konon! Love bite
hantu raya!
“Betullah. Tak kan saya nak cakap kena penumbuk dengan
tunang awak. Mahu mengamuk mama sebab saya kacau tunang orang” jelas Shahrul
Riezman bersungguh. Syuhada sekadar mencebik. Macamlah aku percaya sangat…….getus
hatinya geram.
“Apa
khabar tunang awak?” tanya Shahrul Riezman tanpa rasa.
“Hmmm……tanyalah
sendiri” malas Syuhada melayan.
“Bak
sini nombor dia. Biar saya call tanya
dia”
“Carilah
sendiri”
“Kalau
saya dapat?”
“Awak
nak cakap apa dengan dia?”
“Saya
nak mintak dia lepaskan awak untuk saya” bisik Shahrul Riezman perlahan.
“Awak
lagi kejam…. Selfish”
Shahrul
Riezman memandang Syuhada lama. Selfish….bergema
perkataan itu dalam kepalanya.
“Bahagia awak ada dengan saya, Syu” tuturnya perlahan.
Amat perlahan namun amat jelas pada pendengaran Syuhada. Hati bergetar tetapi
dia tetap menidakkan hati yang mula tersentuh.
“Jangan melankolik sangat boleh tak?.....saya tak boleh
nak layan lah”
“Sukar untuk buang rasa ini bila ia sudah bertapak di
sini” Shahrul Riezman menunjukkan dadanya. Syuhada menyimpan rasa saat
pandangan mata mereka bersatu. Entah untuk kali ke berapa, hati tersentuh lagi.
Rasa yang sudah bertapak di situ?????
Puan Rosmah menghampiri mereka sebelum sempat Syuhada
membalas kata-kata Shahrul Riezman. Suka hatinya mendengar gelak ketawa Shahrul
Riezman tadi. Bahagia si anak, bahagialah dirinya. Sudah seminggu rumah mereka
sepi dari gelak ketawa Shahrul Riezman.
“Makanan
dah siap, mari kita makan” ajak Puan Rosmah kepada mereka.
“Cikgu,
saya balik dululah. Lain kali saya datang lagi” kata Syuhada sambil berdiri.
“Makan
dulu Syuhada. Saya memang dah masak untuk Syu tadi. Tak sangka pulak Man balik.
Rezeki kita makan sama-sama hari ini” Syuhada serba salah
dengan permintaan itu. Satu situasi yang amat sukar bagi dirinya. Kalaulah
lelaki ini tidak ada, mustahil dia menolak ajakan Puan Rosmah disaat perutnya
sudah mendendangkan lagu berirama keroncong.
“Marilah, Syu. Tak baik tau tolak rezeki” ajak
Shahrul Riezman pula. Kali ini nadanya lembut. Syuhada memandang dengan hati
yang hangat bergetar. Namun dia sudah
tidak kuasa untuk memikirkan apa-apa. Puan Rosmah menarik tangan Syuhada ke
ruang makan. Syuhada terpaksa menurut.
Puan Rosamah duduk di kepala meja dan menyuruh Syuhada
duduk di kerusi berhampiran dengannya. Tanpa disuruh, Shahrul Riezman duduk di
sebelah Syuhada. Begitu hampir sehingga terhidu aroma yang dipakai dideria
baunya. Diam-diam Syuhada
menyimpan debar. Haru sungguh. Aduhai hati....duduk diam-diam sudahlah.
Janganlah berlari tanpa irama....sekejap laju, sekejap perlahan. Betul-betul
tak boleh nak handle.
“Makanlah Syuhada. Jangan ditengok aje lauk-lauk tu”
tegur Puan Rosmah bila dilihatnya Syuhada hanya menguis-nguis nasi di
pinggannya. Jelas ketara kegelisahan di wajah Syuhada namun Shahrul Riezman
pula dilihatnya ceria. Dua riak wajah yang berbeza namun nampak serasi di mata
tuanya. Ada apa dengan mereka?
“Syu kena makan banyak sikit, Syu tu kurus sangat!” kata
Shahrul Riezman pula sambil meletakkan seketul ayam masak merah ke pinggan
Syuhada. Syuhada terkesima. Puan Rosmah buat-buat tidak nampak.
Shahrul Riezman
perasan dengan perubahan fizikal Syuhada. Gadis itu kelihatan agak kurus.
Tentunya kesan dari peristiwa tempoh hari. Apakah lelaki itu masih tidak
memaafkan Syuhada? Aku sendiri …. Sukar untuk mengerti hati sendiri. Kata maaf
yang disebut tadi sememangnya ikhlas, cuma rasa terkilan bila terasa diri
seolah dipermainkan. Benarkah
Syuhada mempermainkan perasaannya sedangkan selama ini hanya dia yang memburu
wanita ini? Memang benar wanita ini tidak pernah terhegeh-hegeh hendakkan dia.
Adilkah wanita ini yang dipersalahkan? Namun yang pasti, seraut wajah miliknya
masih lagi menghiasi kamar hati. Masih teguh dan utuh ia bertapak di situ.
“Saya boleh ambil sendiri, Riezman” Syuhada menghantar
isyarat sebagai tanda tidak perlu Shahrul Riezman melayan dia begitu.
Sebentar kemudian, Shahrul Riezman mengambil pula seekor
ketam masak lemak lalu diletakkannya di pinggan Syuhada. Syuhada memandangnya
geram. Tak faham Bahasa ke dia ni …
“Tolong kopekkan untuk saya” dia berkata sambil
tersengih-sengih. Syuhada bertambah geram. Mengada-ngada …. Hatinya mengerutu.
Mentang-mentanglah Puan Rosmah ada di sini. Sesuka hati dialah hendak buat apa.
“Kopeklah sendiri!” Syuhada mengangkat ketam itu lalu
diletakkan pula di pinggan Shahrul Riezman.
“Tengok ni mama, keluarkan isi ketam untuk bakal suami
pun tak nak” Shahrul Riezman sengaja bersuara kuat. Bakal suami?....Shahrul
Riezman mengutuk diri sendiri. Mengaku bakal suami pada bunga yang mekar di
laman orang....bunga larangan! Tak ke kerja gila namanya tu. Bukan calang-calang
orang yang berani mengeluarkan kenyataan berani mati seumpama ini. Kalaulah
Puan Rosmah tahu............
Puan Rosmah menggelengkan kepala melihat telatah anaknya
sementara Syuhada pula hanya mendiamkan diri sambil hatinya menjerit pilu.
Bakal suami? Sampai bila kau
hendak bermain kata dengan aku, Riezman ? …… Sampai bila hendak memberi harapan
palsu pada Puan Rosmah?.......Entah apa pula lakonan lelaki itu kali ini.
Bertahanlah hati! Sabar....bukankah sabar itu umpama sinar mentari.
“Dahlah tu Man. Biarlah Syu tu makan. Kalau asyik nak
melayan kerenah Man, hilang seleranya nanti” Syuhada tersenyum mendengar
pembelaan Puan Rosmah ke atas dirinya. Lelaki ini memang tidak boleh diberi
muka. Terlebih mengada-ngada.
“Sukalah tu, mama menangkan dia” Syuhada mematikan
senyumannya bila mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Hisy… macam budak-budak.
Agaknya memang macam ini perangai anak bungsu. Manja ! Manja yang tidak kena pada tempatnya.
“Tak baik usik anak dara orang lebih-lebih, Man. Kalau
dah suka...tunggu apa lagi. Cakap je bila, biar mama masuk meminang” kata-kata
Puan Rosmah membuatkan kedua-dua mereka terkedu. Masuk meminang?? Meminang
tunangan orang?.....Aduhhh, kepala Shahrul Riezman berat tiba-tiba.
“Hah, kenapa diam pulak?”
Mereka tetap tidak bersuara. Memandang hidangan tanpa
kata. Puan Rosmah memandang mereka berdua silih berganti. Memang ada sesuatu
dalam hubungan mereka berdua ini. Namun mata akalnya tidak dapat meneka apa
sebenarnya.
“Syu teruskan makan dengan Man, ye. Saya nak berehat
sekejap. Lepas zohor nanti
kita sambung balik kerja-kerja kita” Puan Rosmah memandang Syuhada. Sengaja dia
ingin memberi ruang kepada dua anak muda yang kelihatan dimatanya sedang
membendung masalah itu.
“Kalau macam tu, saya balik dululah Cikgu. Petang nanti saya datang semula. Rumah yang saya duduk tu
bukannya jauh dari sini” Syuhada mula merasa tidak selesa. Resah dihatinya
hadir lagi. Tinggal berdua dengan lelaki ini walaupun untuk waktu yang singkat,
cukup mendera hati dan perasaannya. Ada sesuatu yang terbuku.
“Eeh, tak payahlah! Buat penat je nak berulang-alik. Man, nanti tunjukkan bilik tamu pada Syu, ye.
Syu boleh sembahyang kat situ” Puan Rosmah berkata seraya berlalu meninggalkan
mereka berdua. Syuhada tiada pilihan lain. Terasa seolah-olah kehidupan tidak
banyak menawarkan pilihan buatnya.
Selera Syuhada terputus di situ. Sedangkan Shahrul
Riezman masih lagi laju suapannya. Syuhada
mengeluh perlahan. Dia sendiri merasa hairan kenapa dia harus terjebak dalam
keluarga Puan Rosmah sebegini jauh. Mengenali lelaki ini, menyemarakkan rasa
yang telah lama hilang dari hatinya. Namun kehadiran semula Zulhilmi setelah sekian lama menghilang, menyebabkan
dia merasa serba salah. Apatah lagi setelah Shahrul Riezman mengetahui sedikit
cerita hidupnya. Hatinya tersayat pilu. Malu untuk berkongsi cerita dengan
lelaki yang dipandang tinggi ini.
“Ambilkan saya air, Syu!” Syuhada tersentak. Dia
mengambil segelas air di sebelahnya lalu dihulurkan kepada Shahrul Riezman.
Shahrul Riezman tidak terus mengambil gelas itu, tetapi
dalam diam menatap wajah wanita disebelahnya. Segumpal rindu yang terhimpun
dihatinya ingin dihambur keluar namun apalah dayanya. Bagaikan segumpal awan
berakar mengundang bayang, bayang rasa terpendam cuma. Entah dimana kasih...
dimana sayang, telah ditunggu berkurun lama.
Sewaktu mengambil
gelas dari tangan Syuhada, sengaja dia menyentuh jari jemari wanita itu. Sekali
lagi Syuhada tersentak. Pantas dia menarik tangannya tanpa memandang wajah
Shahrul Riezman.
“Miss you, Syu”
cukup perlahan Shahrul Riezman bersuara namun begitu hampir dan jelas kalimah itu dipendengaran
Syuhada.
Dada Syuhada bergetar hebat. Rindu?... Perlukah rasa itu
hadir lagi? Tanpa dipinta kelopak matanya digenangi air. Untuk apa ada rindu
sedangkan dia semakin menjauh? Untuk apa ada rindu andai jalannya kian berliku.
Shahrul Riezman memang pandai membuat perasaannya terbuai. Tanpa menoleh ke arah Shahrul Riezman,
Syuhada bangun dan terus ke dapur menuju ke sinki. Beberapa biji pinggan
mangkuk kotor yang ada di sinki, dibasuh
sekali. Derap kaki di belakang kembali meresahkannya. Dia ingin cepat-cepat
menghabiskan kerjanya, lalu pergi dari situ. Namun belum sempat berbuat
apa-apa, Shahrul Riezman sudah berada di sebelahnya. Dekat sekali. Sehingga bahu
mereka bersentuhan. Syuhada gelisah.
“Basuhkan pinggan saya, boleh?” pinta Shahrul Riezman
bersahaja.
Tanpa bersuara
Syuhada mengambil pinggan yang dihulurkan. Setelah segalanya selesai, dia
berkira-kira untuk pergi dari situ. Namun Shahrul Riezman menghulurkan kakinya
menghalang pergerakan Syuhada. Syuhada terpaksa akur. Dia berada betul-betul di
hadapan Shahrul Riezman. Ruang dapur basah yang agak sempit itu menyukarkan dia
bergerak jauh dari lelaki itu.
“Tepilah, saya nak lalu” Syuhada bersuara perlahan. Lemas dia dengan sorotan mata Shahrul Riezman yang tajam
itu. Dasar lelaki! Tak habis-habis hendak menggoda. Memang penggoda kelas
atasan ni. Tidak sedikit pun peluang yang ada dibiarkan begitu sahaja.
“Awak selalu macam ni, Syu. Melarikan diri sebelum
perkara yang kita bincangkan selesai” Shahrul Riezman bersuara tidak puas hati.
Sepasang kening yang indah itu ditatap lama. Turun ke mata…. Menatap sinar mata
yang kian pudar cahayanya.
“Tak kan awak tak kenal saya lagi. Saya ni kan degil,
keras kepala dan hipokrit. Segala perkara yang saya cakap tak boleh dipercayai.
Maklumlah hipokrit ….. bermuka-muka. Talam bukan saja dua muka....lima enam
muka mungkin” puas hati Syuhada dapat mengeluarkan kata-kata itu.
Shahrul Riezman tersentak mendengar kata-kata Syuhada. Dia teringat akan kata-kata itu. Tuduhan yang dilemparkan
pada wanita itu rupanya meninggalkan kesan di hatinya. YA ALLAH! Shahrul Riezman melurut rambutnya yang tidak gatal. Dia
memerhati wanita di hadapannya lama. Hatinya mula berkata-kata. Ada sesuatu
dalam diri wanita ini yang mampu membuat dia merenungnya tanpa jemu.
“Saya
minta maaf pasal hari tu. Saya betul-betul terkejut. Saya tak bermaksud nak
cakap macam tu. Awak patut faham apa yang saya rasa” luahnya perlahan.
“Ada empat perkara yang tidak boleh ditarik balik,
Riezman. Salah satunya adalah kata-kata yang dilafazkan. Sejuta maaf saya beri
pun tak dapat menghilangkan kesan yang ada di hati ini” Syuhada meletakkan
tangan di dadanya.
Tanpa isyarat Shahrul Riezman mengambil tangan Syuhada
lalu digenggamnya erat. Kesalnya tidak
terhingga. Syuhada terpaku dengan perlakuan yang tidak diduga itu. Lama mereka
berpandangan. Ada rasa aneh dalam hati Syuhada tatkala membalas pandangan
lelaki di hadapannya. Namun bila
teringat akan tujuan dia datang ke situ, perasaan itu menjauh. Semakin lama,
semakin menghilang. Syuhada menarik tangannya dari genggaman Shahrul Riezman.
Namun genggaman Shahrul Riezman terlalu kuat. Dia menahan kepiluan di hatinya.
Dia tidak mahu merangsang perasaan aneh yang membuat dia semakin merasa gelisah
. Syuhada gagahkan diri. Air mata yang ingin jatuh ditahan sedaya mungkin.
YA ALLAH kuatkanlah hati hamba-MU ini. Syuhada kesal
kerana memberi ruang kepada Shahrul Riezman menyentuh tangannya.
“Lepas”
ujarnya sepatah. Namun Shahrul Riezman tetap kaku memegang tangannya.
“Lepaskan”
sekali lagi dia meminta.
“Kenapa
Syu? Kenapa mesti tipu diri sendiri? Tanpa ucapan pun saya tahu, awak rasa apa
yang saya rasa. Kenapa tak nak bagi peluang pada diri kita?” Shahrul Riezman
masih lagi tidak berganjak dari tempatnya.
“Cukuplah tu, Riezman. Tak payahlah bermain kata lagi
dengan saya. Kita harus sedar siapa diri kita. Bukan saya menipu diri sendiri.
Tapi kita sering dimain-mainkan oleh perasaan sendiri” Syuhada bersuara tenang.
Shahrul Riezman mengerutkan dahi tanda tidak memahami
maksud kata-kata itu. Syuhada memberi
isyarat agar Shahrul Riezman memberi laluan kepadanya.
“Betul ke lelaki itu tunang Syu?”
Syuhada terus melangkah tanpa memberi jawapan kepada
soalan itu. Tiada ertinya sekarang. Beberapa langkah kemudian, dia berhenti dan
menoleh semula kearah Shahrul Riezman.
“Hantaran kat depan tu bukan awak punya ye?” soalnya
perlahan.
Shahrul Riezman mengerutkan dahi namun seketika kemudian ada
segaris senyuman terukir disudut bibirnya.
“Kenapa?”
hanya sepatah. Dia nampak Syuhada menggeleng.
“Tanya
je” Syuhada kembali melangkah.
“Mama
kan baru nak masuk meminang. Masakan dah ready dengan barang hantaran” Shahrul
Riezman sudah berada di sebelah Syuhada. Melangkah seiring.
“Awak
takut saya bertunang dengan orang lain?” soalnya sambil mencari riak.
“Mana
ada kisah” perlahan Syuhada menjawab. Namun senyuman Shahrul Riezman kian
melebar. Bagaikan ada rama-rama kecil terbang dan hinggap di kelopak hatinya.
Setelah
Shahrul Riezman balik semula ke pejabatnya, Syuhada dan Puan Rosmah meneruskan
kerja-kerja menggubah. Kalau boleh Syuhada ingin menghabiskan kerja-kerjanya
hari ini kerana dia tidak bercadang untuk datang lagi ke rumah itu untuk hari
berikutnya.
No comments:
Post a Comment