Friday, March 23, 2012

BAB 3



Sekali lagi dia menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kalau lapan tahun dulu, dia ke sini untuk melangkah pergi. Tapi hari ini melangkah pulang. Pulang bagaikan Si Camar yang rindukan kampung halaman. Kembali bagaikan sirih pulang ke gagang. Sudah jemu dia menjadi Si Camar yang bersayapkan waktu, bersatukan suram senja dan berlagukan raungan ombak.

Lapan tahun dulu dia pergi. Pergi membawa awan pilu, di kala hati mendung bagaikan awan yang memberat dengan titisan-titisan air. Sehingga terlupa ada cahaya mentari yang menyinari hidupnya selepas itu kerana Allah itu Maha Pengasih, Maha penyayang. Kalau tidak kerana adanya Ibu Rasyidah, Iffa Alwani dan juga Doktor Irdina, barangkali dia akan terus terlupa untuk memikirkan hikmah di sebalik apa yang menimpanya lantaran kerana terlalu memikirkan kesedihan di hati. Dia belajar untuk memendam rasa itu, menguburkan segalanya, menyimpannya di suatu kotak kemudian kunci rapat-rapat dan letakkan kotak itu di sudut tergelap yang ada di hati....ya, dia harus yakin, Allah paling tahu apa yang terbaik buatnya. Sungguh benar indahnya aturan Allah itu tidak dapat dinilai oleh mata hati yang leka dengan persoalan hidup.


“Woiii, berangan!” sergah satu suara. Terlepas majalah ditangannya.




“Assalamualaikum Cik Iffa. Dah lupa beri salam? Main sergah-sergah ni, elok sangatlah ya?” majalah yang jatuh di hujang kakinya, dikutip semula. Wajah Iffa Alwani dipandang. Terlerai rindu, seketika kemudian mereka sudah berpelukan erat.


“Waalaikumussalam warahmatullahhiwabarakatuh” Iffa Alwani tersengih-sengih. Malu sendiri.

“Hmmmm….pandai pun.”

“Dah lama kau sampai?”

“Lamalah jugak. Kalau jemur kain, rasanya dah kering. Kau datang sorang ke? Ibu mana?”



“Soranglah……ibu tengah sibuk masak lauk kegemaran anak angkat kesayangan dia ni. Aku pun dia tak endah tau. Confius aku….macam aku pulak anak angkat dia.”



“Eeh, takkan jelous kut. Kau kan dah lama balik. Dah hilang dah rindu ibu pada kau. Sekarang giliran aku pulak. Jomlah kita gerak, aku dah tak sabar nak jumpa ibu ni. Rindunya dengan masakan ibu.”

Mereka beredar meninggalkan ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Dengan menaiki kereta Honda Civic Hybrid, milik Iffa Alwani, mereka terus menuju pulang ke rumah yang terletak di Taman Bukit Indah, Ampang.

Nurin Ardini berdiri tegak di sisi kereta. Pandangannya ditebarkan ke serata halaman rumah teres dua tingkat lot tepi itu. Sudah banyak perubahannya. Semakin saujana mata memandang. Rindunya dia pada semua yang ada di situ. Benarlah kata orang….hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Pilihan tetap di negara sendiri. Tumbuhan hias yang ditanam menyegarkan pandangan mata, juga membuat nuansa rumah lebih nyaman. Nurin Ardini semakin teruja bila terlihat ada bunga Dandelion di penjuru halaman. Dulu tak ada pun. Dandelion bunga kesukaannya. Semangat Dandelion jadi kekuatan diri. Mungkin ramai yang mengabaikan bunga dandelion tapi baginya bunga itu sangat unik. Mampu bertahan dalam segala bentuk cubaan. Walaupun bentuknya tidak seindah mawar merah yang megah dengan kelopaknya, mungkin tidak harum seperti bunga melati, tetapi dandelion dengan tangkai kecilnya yang sederhana…..mampu memberikan banyak erti dalam kehidupan ini. Apa yang paling disukai, dandelion terus terbang tinggi. Maknanya berusaha mengejar cita-cita setinggi-tingginya. Kemudian mampu memberikan kehidupan baru di tempat yang baru, selalu tumbuh dan berkembang. Dia ingin menjadi seperti dandelion. Dandelion yang jauh terbang tinggi, terus lupa pada kemuning yang sunyi jatuh ke sisi, hatinya layu dan terus pergi.




“Hoiii….dah tak nak masuk ke? Nak berangan je kat sini ke?” bahunya ditepuk dari belakang.

“Hisyy kau ni, Iffa. Aku baru nak nikmati panorama yang dah lama aku tinggalkan. Cantik betul halaman rumah ibu, ya. Aku suka betul, lebih-lebih lagi sudut yang ada dandelion tu.”




"Kau suka dandelion tu? Kau tahu tak pokok tu bersifat dominasi sehingga boleh mengancam spesies yang lain.”

Puas Iffa Alwani melarang ibunya menanam spesies itu di sudut halaman rumah mereka. Tapi Ibu Rasyidah tetap berkeras mahukannya. Tidak menyangka, Nurin Ardini juga sukakannya. Ada apa dengan dandelion????? Dandelion hanyalah penari dalam angin. Dandelion tidak pernah nampak gagah dimatanya. Ia hanya mampu melambai pasrah ke mana pun ditiupkan angin. Tangkainya yang lentur hanya mampu mengikuti jejak ke mana pun mentari memanggilnya. Entah apa istimewanya dandelion di mana Ibu Rasyidah dan Nurin Ardini.




“Tapi kau jangan lupa, dandelion adalah bunga yang banyak memberi madu ketika mekar bunga yang lain hampir berakhir. Memanglah boleh mengancam spesies yang lain sehingga ada usaha menghapuskan dandelion di Gunung Kinabalu. Tapi ibu tanam untuk tujuan perhiasan laman….boleh dikawal kan. Sudut itu pun terhalang dari tiupan angin.” Nurin Ardin tetap mempertahankan bunga kesukaannya. Dandelion hanyalah bunga kecil namun tidak pernah gentar melawan tiupan angin.




“Cukuplah tu dengan dandelion kau. Jom masuk. Ibu dah tak sabar nak jumpa kau.” Iffa Alwani menarik tangan Nurin Ardini menuju ke muka pintu.




“Assalamualaikum, ibu?” Nurin Ardini memeluk Ibu Rasyidah dari belakang. Ibu Rasyidah yang sedang mencuci sesuatu di sinki terkejut. Pantas dia menoleh ke belakang.




“Ya Allah Dini. Dah sampai pun anak ibu. Rindunya ibu pada Dini.” Mereka erat berpelukan.



“Dini pun rindu pada ibu. Ibu apa khabar?” tubir mata Nurin Ardini terasa hangat. Sehangat rindunya pada Ibu Rasyidah.

Lapan tahun dia di luar negara. Tidak sekali pun dia pulang menjenguk Ibu Rasyidah. Hanya Ibu Rasyidah yang ada ketikanya mengunjungi dia di sana. Itupun sewaktu Iffa Alwani masih berada bersamanya.




“Ibu sihat. Baru sekarang Dini balik. Ibu ingat ibu tak akan dapat jumpa Dini lagi”



“Dini tetap balik untuk ibu” sebak sudah dada Nurin Ardini.



“Dini balik terus kan? Tak balik sana lagi, kan?” soal Ibu Rasyidah meminta kepastian.

Dia sedar Nurin Ardini sudah semakin matang. Sudah ada kehidupan sendiri. Berbeza benar dengan Nurin Ardini yang dulu. Nurin Ardini yang hampir-hampir rebah diduga takdir.
“Insyaallah Dini terus di sini. Eleh ibu, buat-buat tanya pulak. Padahal dia dah susun strategi dengan Doktor Irdina.” Usik Nurin Ardini. Kalau tidak kerana Doktor Irdina, mungkin belum terbuka hatinya untuk kembali ke tanah air.




“Amboi-amboi dua beranak ni. Lupa terus pada insan yang terpinggir ni, ya. Ibu pun, Iffa dah macam anak tiri ni. Kecik hati Iffa tau.” Suara Iffa Alwani mencelah.

Mengekek Ibu Rasyidah dan Nurin Ardini ketawa.


“Alamak ibu……ada orang merajuklah. Macam mana ni? Mana bakal menantu ibu tu……” seloroh Nurin Ardini mengusik Iffa Alwani.


“Banyaklah kau punya bakal menantu ibu……bila nak makan ni??? Iffa dah kebulur ni. Dari tengah hari tak makan apa-apa tau.”
“Kesiannya anak ibu. Dah kebulur ya?? Jom kita makan. Ibu masak semua lauk kegemaran Dini.”
“Tengok tu…..Dini lagi.” Iffa Alwani pura-pura merajuk lagi.
“Bukan ke lauk kegemaran Dini…..lauk kegemaran Iffa jugak?” soal Ibu Rasyidah selamba.

Rajuk Iffa Alwani tidak ke mana. Tidak pernah diantara mereka menyimpan cemburu dan sakit hati antara satu sama lain.



“Eh, ya ke?” Iffa Alwani pura-pura terkejut.



“Kalau bukan, kau duduk diam-diam je kat situ. Biar aku dengan ibu je yang makan. Lagipun aku dah lapan tahun tak makan masakan ibu. Kau dah selalu kan?” usik Nurin Ardini pula.

Memang bahagia milik mereka bertiga. Ceria dengan senda gurau. Ada-ada sahaja kata usik mengusik di antara Nurin Ardini dan Iffa Alwani. Lapang dada Ibu Rasyidah melihat keakraban itu. Dia seolah-olah memiliki dua orang anak kembar. Sejak dari zaman persekolahan sehingga kini, mereka tidak pernah berpisah. Iffa Alwani sendiri sanggup menangguhkan pelajaran demi untuk menunggu Nurin Ardini pergi bersama. Tanpa sedar waktu yang berganjak, mereka sudah berusia dua puluh lapan tahun kini. Sudah cukup dewasa sebagai seorang perempuan. Sudah pun mempunyai kerjaya yang agak stabil. Tiada apa lagi yang diharapkan cumalah mahu melihat hidup keduanya berkembang dengan keluarga sendiri.



“Apa khabar Ireland?” tanya Iffa Alwani tiba-tiba. Mereka sama-sama belajar di National University of Ireland, Galway. Cuma Iffa Alwani pulang dulu ke tanah air sebaik sahaja tamat pengajian lima tahun di sana. Sementara Nurin Ardini meneruskan kontrak berkerja di University Collage Hospital, Galway, Ireland selama tiga tahun sebelum digesa pulang oleh Ibu Rasyidah.

Lapan tahun dulu, Ibu Rasyidah memang mencadangkan mereka memilih Ireland memandangkan kedua-duanya mengambil kata sepakat untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan. Selain dari sistem pendidikan dan tenaga pengajar yang hebat, Ireland juga terkenal sebagai sebuah Negara yang mempunyai penduduk yang sangat ramah dan mesra serta suka menolong orang lain tanpa mengira bangsa mahupun agama. Dan ianya terbukti benar, apabila setelah hampir tiga tahun mereka berada di negara itu, mereka dapat merasakan seperti berada di negara sendiri.



“Sebenarnya nak tanya tentang Ireland ke tentang orang yang kau tinggalkan dekat Ireland tu?” balas Nurin Ardini sambil tersengih mengusik.



“Ish, kau ni! Pandai-pandai je buat cerita kan. Sajalah tu nak suruh ibu bukak topik mencari jodoh ni. Aku dah jemu tau, diasak dengan soalan cepu mas macam tu.” Iffa Alwani menjeling Ibu Rasyidah yang baru masuk dari ruang dapur.



“Tak betul ke? Bukan ke ada hati yang kau tinggalkan dekat University Pharmacy.” Nurin Ardini terusan mengusik.



“Ni apa cerita ni bisik-bisik?” Ibu Rasyidah mencelah sambil duduk di hadapan mereka berdua.



“Iffa ni ibu…..nak merisik khabar.” Jawab Nurin Ardini selamba. Kemudian ketawa kecil apabila melihat Iffa Alwani sudah membulatkan matanya.



“Merisik khabar tentang apa?” Ibu Rasyidah mengerutkan dahi tanda tidak mengerti.



“Tak ada apalah, ibu. Tiba-tiba Iffa rindu kat Ireland. Rindu pada Sungai Corrib, pada deruan air di empangan kecil yang ada berhampiran universiti. Deruannya sungguh mendamaikan. Hilang stress belajar.” Cepat-cepat Iffa Alwani memesongkan cerita.

Nurin Ardini melepaskan tawa sementara Ibu Rasyidah terpinga-pinga.



“Empangan kecil tu tetap ada. Esok lusa kalau kau pergi pun, ia tetap kekal kat situ. Tapi betul ke kau rindu kat empangan kecil tu? Deruan air dekat mini air terjun ibu kat luar tu pun mendamaikan.” Nurin Ardini terus menduga.



“Haah lah Iffa. Selama ni tak pernah pun sebut pasal empangan kecil tu. Ibu tak pernah dengar pun Iffa bercerita. Hari ni tak pasal-pasal, rindu pulak. Hairan jugak ibu dengar.” Ibu Rasyidah pula menduga. Semakin deras Nurin Ardini ketawa.



“Tak ada apalah, ibu. Memang betul empangan kecil yang ada di belakang universiti tu mendamaikan. Dini saja yang sengaja nak mengada-adakan cerita. Padahal, dia pun selalu lepak kat situ.” Mencuka sudah wajah Iffa Alwani.



“Eeh, Dini pulak yang disalahkan.” Nurin Ardini berlagak tidak bersalah padahal dialah yang memulakan cerita.



“Sudahlah tu…..kau orang berdua kalau bertekak, tak pernah habis. Makan cepat, hari dah nak senja. Lepas sembahyang, Dini rehat je kat bilik. Esok-esok boleh bersembang.” Arah Ibu Rasyidah. Iffa Alwani menarik nafas lega. Khuatir juga dia, andai Ibu Rasyidah bertanyakan soalan-soalan yang jawapannya tidak pasti.



Tak peduli rapuh ini
Tak peduli gontai ini
Tak peduli sayu ini
Tak peduli kosong ini
….nanti garis waktu itu

No comments:

Post a Comment