Sunday, August 14, 2011

Bab 25



Syuhada sampai di rumahnya hampir pukul tiga setengah. Belum ada sesiapa yang sampai. Tanpa membuang masa dia terus memanjat tangga menuju ke biliknya. Solat zohor belum lagi disempurnakan. Ajakan Puan Rosmaagar singgah dirumahnya tadi ditolak baik. Syuhada tidak mahu terserempak lagi dengan Shahrul Riezman. Bimbang akan rasa hatinya sendiri. Bimbang juga dia akan terdorong untuk mengambil kesempatan diatas perasaan Shahrul Riezman terhadap dirinya.
Selepas mandi dan sembahyang, Syuhada turun ke ruang tamu menonton televisyen sementara menunggu kawan-kawannya sampai. Mata tertancap ke kaca TV namun fikirannya menerawang jauh. Mengapa masih wajah itu bermain di hati dan di mata? Sedangkan dia tahu hubungan di antara mereka tidak mungkin terjalin kembali. Mengapa hati ini begitu degil dan enggan melupakan kelukaan saat dia menjadi tunang yang tidak diendahkan dulu?

Syuhada mengulit khayalannya hampir dua puluh minit bila tiba-tiba dia terdengar pintu diketuk dari luar. Terburai segala kenangan. Syuhada bangkit lalu membuka pintu. Aznah dan Ruzian berdiri di hadapan pintu bersama beg besar mereka. Mereka tersenyum gembira sambil saling berpelukan.
“Kau nampak kuruslah Syu. Ada apa-apa yang berlaku ke waktu kami tak ada dekat sini” Aznah bertanya sambil memegang tangan Syuhada.
“Betullah Syu. Bila aku peluk kau tadi, tulang je yang terasa” Ruzian mengiakan kata-kata Aznah.
“Mana ada? Korang tak jumpa aku dua minggu dah. Kau je yang perasan aku kurus, aku tak rasa apa-apa pun” Syuhada menafikan walaupun dalam hati dia turut setuju dengan pendapat rakan-rakannya itu. Banyak baju-bajunya yang mula terasa longgar ditubuhnya.
Memang Syuhada sedar, sejak peristiwa di Punggur tempoh hari, selera makannya berkurang. Entah mengapa hatinya benar-benar terkilan apabila Shahrul Riezman terlibat dalam kejadian tempoh hari.  Lelaki itu tidak harus tahu apa yang berlaku dalam hidupnya.
“Kau langsung tak balik kampung sepanjang cuti?” tanya Ruzian hairan.
“Balik juga tapi tak bermalam. Aku banyak kerjalah yang hendak dibuat”
“Kami pun cikgu juga  Syu. Tapi kami ada banyak masa untuk diri sendiri. Kau ni terlalu menyeksa dirilah” tokok Ruzian lagi.
Syuhada tersenyum sumbing. Menyeksa diri?  Betullah tu ...... menyeksa diri dengan perjanjian yang tidak masuk akal itu. Kesannya sehingga kini dia dikejar janji sendiri.
“Mana ada aku terseksa. Aku bahagialah sekarang ni”
“Bahagia apanya.... kalau muka cemberut macam ni” Aznah menambah.
“Muka cantik macam ni, kau kata cemberut? Melampau betul kau Az. Banyak cara untuk menikmati bahagia. Cara aku menikmati bahagia mungkin tak sama dengan cara kau. Eh, dahlah. Perempuan lain berlumba-lumba nak kurus tau. Ni bila aku baru kurus sikit, kau orang dah bising” ujar Syuhada panjang lebar.
Aznah dan Ruzian saling berpandangan. Memang susah bercakap dengan Syuhada. Ada sahaja jawapannya.

1 comment: