Fikiran Shahrul Riezman melayan jauh sementara
menunggu mata pancingnya mengena dimakan ikan. Sengaja dia mengambil cuti seminggu. Lagipun sudah
lama dia tidak mengambil cuti. Penat memikirkan masalah kerja. Apatah lagi
akhir-akhir ini perasaan lelakinya seringkali terganggu. Bagaikan ada sesuatu
yang hilang dari dirinya. Mengasak nalurinya. Mengetuk-ngetuk pintu hatinya
agar mengisi ruang-ruang yang kosong.
Di pandangnya jauh ke hadapan. Ternampak
bangunan-banguanan tinggi negara kecil di seberang tambak sana. Negara batu. Alangkah
meriahnya suasana di sana. Lampu-lampu bergemerlapan. Tetapi mengapa hatinya
diusik sepi? Sepi sekeping hati yang tidak boleh diubat dengan gelak ketawa
teman-teman. Mengapa hatinya terus diasak resah? Resah memikirkan seorang
dia. Angau ! …. Kata hati. Dilamun cintakah
aku? Shahrul Riezman mengeluh. Bercinta di angin lalu. Entahkan bersambut
entahkan tidak!.
Deru ombak di paya bakau terasa
mendamaikan. Damai dalam sepi. Sesekali chalet yang dibina di atas air itu
terbuai mengikut alunan ombak. Terasa seperti duduk di dalam buaian. Bagai
diwaktu kecil-kecil dulu…..lena didalam buaian. Suasana sunyi, tenang dan nyaman.
Alangkah bahagianya kalau Syuhada ada bersama. Sama-sama menghayati indahnya
ciptaan ALLAH. Shahrul Riezman menoleh ke kiri dan kanannya. Syu….entah mengapa
hatinya berbisik. Ramai juga yang berkunjung. Terutamanya kaki pancing
sepertinya. Kebanyakan chalet diterangi lampu menandakan telah dihuni oleh
pelanggan.
Tiba-tiba bebola mata Shahrul Riezman
terhenti pada sekujur tubuh yang sedang duduk bersilang kaki di atas sebuah kerusi
kayu bercat putih. Macam kenal. Tapi mungkinkah? Buat apa dia di sini? Tanpa
sedar kaki Shahrul Riezman mula mengorak langkah. Betul ke dia? Diakah itu? Lama Shahrul Riezman berdiri di
belakang gadis itu. Merenung dalam diam.
“Assalamualaikum” sapa Shahrul Riezman
perlahan.
Gadis di hadapannya kelihatan terperanjat.
Dia menoleh ke belakang. Sejurus terpandang wajah lelaki di hadapannya, dia
pantas berdiri.
“Berdosa tau tak jawab salam” Shahrul
Riezman bersuara lagi. Terasa hendak ketawa melihat wajah terkejut di
hadapannya. Macam ternampak hantu!. Teruk sangat ke aku ni?....
“Waalaikummussalam” dia menjawab sepatah.
“Syu buat apa dekat sini?” Shahrul Riezman
melangkah ke depan lagi. Baru jelas wajah ayu itu di matanya. Terubat rindunya.
Lerai segala resah. Tidak menyangka kedatangannya ke tanjung yang menjadi
penghujung benua Asia ini membawa seribu rahmat. Satu kebetulan yang memang
amat dinantikan.
“Patutnya saya yang tanya soalan itu”
Syuhada berkata hambar. Ketenangan yang baru dikecapi terasa bagaikan diragut.
‘Sejauh ini kau mengekori aku, lelaki!’
keluh hatinya meluat. desis hatinya meluat.
“Awak seorang saja ke?” Shahrul Riezman
menoleh ke kiri dan kanan. Mencari kalau-kalau ada orang yang dikenali bersama
Syuhada. Namun tiada sesiapa yang dikenali di situ. Hanya Syuhada seorang. Buat apa dia
sorang-sorang Hairan.....apa
yang dia buat seorang diri di sini.kat sini. Hatinya tertanya-tanya.
“Boleh tolong pergi dari sini , tak? Saya
tak suka ketenangan saya diganggu. Sila beredar Encik Shahrul Riezman!”
berterus terang lebih baik. luah Syuhada geram.
Syuhada duduk semula di kerusinya. Hatinya
geram. Terasa diri dipermain-mainkan. Shahrul Riezman pula menggaru-garu
kepalanya. Sudah tahukah dia?
“Awak dah tahu ke?” Shahrul Riezman
menyandarkan tubuhnya dipagar kayu di hadapan Syuhada....menatap Syuhada dengan
segenap rasa. Di sini, setiap chalet disediakan pelantar untuk memancing. Satu
keistimewaan Tanjung Piai Resort. Bayu yang berhembus amat mendamaikan.
“Apa maksud awak saya dah tahu?” Syuhada
bertanya sinis.
“Maksud saya Shahrul Riezman” Suara
Shahrul Riezman teragak-agak.
“Tak.Saya tak tahu. Iyelah saya kan hidup
umpama katak di bawah tempurung. Hidup-hidup sorang-sorang. Dungu...kolot
...senang-senang boleh kena tipu” keras suara Syuhada menyebabkan dua tiga
orang yang melintasi mereka menoleh. Shahrul Riezman terkedu. Garang juga!.
Syuhada teringat perbualan dengan
teman-teman serumahnya semalam. Sewaktu teman-temannya pandai-pandai
menggabungjalinkan nama Shahrul dan Riezman.
“Shahrul Riezman!. Eh … aku pernah
terbacalah nama itu. Tunggu sekejap, aku cari kad dia” Aznah bergerak menuju ke
arah rak bukunya. Syuhada memandang hairan. Shahrul dengan Riezman ….. orang
yang sama ke?
“Kau tengok ni Syu. Ini kan kad Shahrul Riezman”
Syuhada mencapai kad yang Aznah hulurkan.
Encik Shahrul Riezman b. Tahir
Branch Manager
Hong Leong Bank
Cawangan Pontian
YA ALLAH … Dia main-mainkan aku rupanya.
Eee, geramnya.
“Betul ke Syu?” tanya Ruzian. Tanpa menjawab sepatah pun perkataan,
Syuhada menyerahkan kad itu kepada Ruzian. Hatinya sakit. Tiba-tiba dia
memandang Mazni yang tersenyum. Syuhada teringat pula peristiwa di Hong Leong
Bank bersama Mazni tidak lama dulu.
“Kak Maz dah tahu kan?” Mazni sekadar
mengangguk.
“Kenapa tak beritahu pada Syu?”
“Apa salahnya Syu. Dia cuma nak berkawan
dengan Syu” Mazni berkata perlahan.
“Mana kau dapat kad ni Az?” tanya Ruzian.
“Dari Syulah. Dalam plastik buku yang dia
bagi pada aku. Nasib baik aku tak buang”
Plastik buku? Puas Syuhada cuba mengingati
plastik buku yang mana. Bukan sedikit buku yang dia beli. Bila ketikanya
Shahrul Riezman memberi kad itu padanya, pun dia tidak ingat.
Kebisuan Syuhada memberi peluang kepada
Shahrul Riezman meneliti wajah di hadapannya. Alis mata yang cantik terbentuk,
tulang pipinya yang sedikit menonjol … sesuai dengan bentuk wajah yang bujur
sirih dan bibirnya yang tidak dicalit sedikit pun lipstick, tetap mempesona.
Rambutnya … tak dapat Shahrul Riezman bayangkan. Panjang menguraikah, ikal
mayangkah? Alangkah
sempurnanya ciptaan ALLAH.
“Woi .. tak ada kerja lain ke? Yang awak masih terpacak dekat sini buat
apa? Dari chalet tu sampai sini, kawasan
saya tau. Saya dah sewa” Syuhada bersuara keras. Amarahnya masih bersisa di
hati. Shahrul Riezman sekadar tersenyum. Orang tua-tua kata …. Yang keras
lawannya lembut. Api lawannya air. Biarlah Syuhada jadi api. Dan dia akan
menjadi air yang akan menjirus kemarahan Syuhada.
‘Eh … senyum pulak mamat ni, dah sewel
agaknya’.
“Awak
tak patut marah saya Syu. First time
kita jumpa dekat KFC, saya dah bagi kad saya. Tak sangka awak tak perasaan yang
selalu terserempak dengan awak dan yang selalu telefon awak tu orang yang sama”
Shahrul Riezman bersuara lembut. Selembut angin yang berhembus malam itu.
Nyaman menampar-nampar kulit pipi.
“Awak
ni Riezman ke …. Shahrul ke … sapa
ke … apa saya kisah. Tak ada
kena mengena dengan hidup mati saya. Well,
can you leave me alone, Encik Shahrul Riezman” Syuhada memberanikan diri
bertentang mata dengan lelaki di hadapannya yang sedari tadi tidak membuang
pandang. Lama pandangan mata mereka bertaut. Ada rasa aneh yang menyelinap
dalam hati Shahrul Riezman. Dia dapat merasakan antara dia dan Syuhada bagai
ada satu ikatan. Tapi dia tidak tahu apakah bentuk ikatan itu? Sorotan mata itu
dirasakan terlalu akrab dengan dirinya. Pernah dilihat namun entah di
mana dan bilakah waktunya.
Betullah sewel mamat ni. Tengok orang
macam nak telan. Eeee … seram. Tak kuasalah nak
layan. Syuhada berpaling, berkira-kira untuk masuk semula ke biliknya. Tanpa diduga, pergelangan
tangannya disambar. Satu tindakan refleksi … di bawah sedar Shahrul
Riezman sendiri. Shahrul Riezman sendiri
terkejut. Apatah lagi Syuhada. Pantas dia merentap tangannya dari pegangan
Shahrul Riezman.
“Awak dah gila ke? Pegang orang sesuka
hati. Apa awak ingat saya isteri awak?” Syuhada bersuara kasar.
Dalam rasa terkejut dengan tindakan
sendiri, Shahrul Riezman masih lagi mampu tersenyum.
“My future wife” bisiknya perlahan.
Syuhada menjuihkan bibirnya.
‘Dia
ingat ingin sangat aku jadi isterinya. Jadi pungguklah kau!’
“Malang
sekali. My future husband pulak dah
ada tapi yang pasti bukan awak” Syuhada terus melangkah sebaik sahaja habis
berkata-kata. Meninggalkan Shahrul
Riezman terpinga-pinga.
Dia sudah dimiliki? Betul ke? Atau kata-katanya
hanya untuk menyakitkan hati aku? Kalau betul …? Tapi tak pernah pun aku nampak
dia dengan mana-mana lelaki. Kalau pernah pun manalah aku tahu. Bukannya selalu dia ada di depan mata
aku. Shahrul Riezman masih
belum berganjak dari depan bilik Syuhada dengan hatinya berkata-kata sendiri.
Syuhada mengintai di sebalik tirai
langsir. Dia ternampak Shahrul Riezman yang masih belum berganjak dari
tempatnya tadi. Pelik dia memikirkan sikap lelaki itu. Entah apa yang dia
inginkan darinya. Entah macam mana dia boleh berada di sini. Apakah dia
mengekori aku? Atau ini hanya satu kebetulan? Kalau kebetulan …. Terlalu
acapkali kebetulan yang melibatkan mereka berdua. YA ALLAH … sesungguhnya tidak
terjangkau oleh akal fikirku akan ketentuanMU. Semakin dicuba untuk menghindari,
semakin kerap mereka bertemu.
No comments:
Post a Comment