Showing posts with label Bahagia UntukMu. Show all posts
Showing posts with label Bahagia UntukMu. Show all posts

Saturday, December 10, 2011

Blurb


Aku menipu hatiku sendiri… benarkah?
Aku bahagia apabila dekat dengannya?

Kerana sepotong janji, Syuhada menjadi tunangan orang. Malangnya, lelaki itu ‘lari’ daripadanya. Empat tahun jugalah Syuhada terkapai-kapai dalam ikatan tiada makna; lalu Syuhada nekad memutuskan ikatan janjinya.

Lelaki yang tak kenal erti putus asa itu memang merimaskan. Tak faham-faham langsung orang tak suka. Tetapi jika benar tak suka, mengapa ada rasa lain yang bertunas dalam taman hati? ~ Syuhada

Redup sinar mata itu pernah mencuit hati. Kini, sinar mata yang sama masih mendatangkan getar yang hebat di hati. Tetapi, mengapa sinar itu sayu? Terlalu beratkah deritanya?~ Shahrul Riezman

Saat hati mula diulit bahagia, dia terheret ke perkahwinan tanpa rela. Mampukah kita mengecap bahagia, Syu?

Tertikam di sudut kecil sekeping hati… bukan salah sesiapa, cuma aturan takdir -Nya!

****
AIDAH BAKRI membawa kita menyelami hati Syuhada yang terperangkap oleh janjinya sendiri. Setiap orang berhak bahagia; kenapa tidak mahu Mencari Taman di Hati yang membawa kita ke puncak bahagia yang hakiki?

Sunday, August 14, 2011

Bab 25



Syuhada sampai di rumahnya hampir pukul tiga setengah. Belum ada sesiapa yang sampai. Tanpa membuang masa dia terus memanjat tangga menuju ke biliknya. Solat zohor belum lagi disempurnakan. Ajakan Puan Rosmaagar singgah dirumahnya tadi ditolak baik. Syuhada tidak mahu terserempak lagi dengan Shahrul Riezman. Bimbang akan rasa hatinya sendiri. Bimbang juga dia akan terdorong untuk mengambil kesempatan diatas perasaan Shahrul Riezman terhadap dirinya.
Selepas mandi dan sembahyang, Syuhada turun ke ruang tamu menonton televisyen sementara menunggu kawan-kawannya sampai. Mata tertancap ke kaca TV namun fikirannya menerawang jauh. Mengapa masih wajah itu bermain di hati dan di mata? Sedangkan dia tahu hubungan di antara mereka tidak mungkin terjalin kembali. Mengapa hati ini begitu degil dan enggan melupakan kelukaan saat dia menjadi tunang yang tidak diendahkan dulu?

Syuhada mengulit khayalannya hampir dua puluh minit bila tiba-tiba dia terdengar pintu diketuk dari luar. Terburai segala kenangan. Syuhada bangkit lalu membuka pintu. Aznah dan Ruzian berdiri di hadapan pintu bersama beg besar mereka. Mereka tersenyum gembira sambil saling berpelukan.
“Kau nampak kuruslah Syu. Ada apa-apa yang berlaku ke waktu kami tak ada dekat sini” Aznah bertanya sambil memegang tangan Syuhada.
“Betullah Syu. Bila aku peluk kau tadi, tulang je yang terasa” Ruzian mengiakan kata-kata Aznah.
“Mana ada? Korang tak jumpa aku dua minggu dah. Kau je yang perasan aku kurus, aku tak rasa apa-apa pun” Syuhada menafikan walaupun dalam hati dia turut setuju dengan pendapat rakan-rakannya itu. Banyak baju-bajunya yang mula terasa longgar ditubuhnya.
Memang Syuhada sedar, sejak peristiwa di Punggur tempoh hari, selera makannya berkurang. Entah mengapa hatinya benar-benar terkilan apabila Shahrul Riezman terlibat dalam kejadian tempoh hari.  Lelaki itu tidak harus tahu apa yang berlaku dalam hidupnya.
“Kau langsung tak balik kampung sepanjang cuti?” tanya Ruzian hairan.
“Balik juga tapi tak bermalam. Aku banyak kerjalah yang hendak dibuat”
“Kami pun cikgu juga  Syu. Tapi kami ada banyak masa untuk diri sendiri. Kau ni terlalu menyeksa dirilah” tokok Ruzian lagi.
Syuhada tersenyum sumbing. Menyeksa diri?  Betullah tu ...... menyeksa diri dengan perjanjian yang tidak masuk akal itu. Kesannya sehingga kini dia dikejar janji sendiri.
“Mana ada aku terseksa. Aku bahagialah sekarang ni”
“Bahagia apanya.... kalau muka cemberut macam ni” Aznah menambah.
“Muka cantik macam ni, kau kata cemberut? Melampau betul kau Az. Banyak cara untuk menikmati bahagia. Cara aku menikmati bahagia mungkin tak sama dengan cara kau. Eh, dahlah. Perempuan lain berlumba-lumba nak kurus tau. Ni bila aku baru kurus sikit, kau orang dah bising” ujar Syuhada panjang lebar.
Aznah dan Ruzian saling berpandangan. Memang susah bercakap dengan Syuhada. Ada sahaja jawapannya.

Friday, August 5, 2011

Bab 24


              Shahrul Riezman gelisah. Rasa keliru, celaru dan kadangkala biru. Entah mengapa seraut wajah Syuhada,  mengganggu akal fikirannya. Menguasai minda sedarnya. Minda sedar yang sepatutnya mampu menguasai setiap pemikiran. Ia juga sepatutnya mampu memilih apa yang hendak difikirkan atau apa yang tidak hendak difikirkan.  Boleh menerima pemikiran dan juga boleh menolak pemikiran. Dan pada ketika dan saat ini, minda sedarnya hanya memilih Syuhada untuk difikirkan. Ada rasa rindu menjalar ke segenap urat nadi. Ketika hati mempunyai keinginan yang kuat untuk bertemu terhadap sesuatu, seseorang atau kejadian, disitulah rasa rindu muncul. Sebuah sensasi perasaan positif yang dimiliki oleh setiap manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lainnya didunia termasuklah malaikat, jin, haiwan apalagi tumbuhan. Si Romeo menghilangkan rasa rindunya dengan bertemu, Majnun pula dengan syair indah, manakala Rabiatul Adawiyah dengan berserah diri pada sang Pencipta. Hmmm… itulah cara-cara manusia menjinakkan rasa rindu dihati. Tapi Shahrul Riezman?....Tidak tahu apa cara yang harus diaplikasikan untuk menjinakkan rasa itu. Dia melihat jam di tangannya. Baru pukul lapan malam. Spontan dia mencapai telefon bimbitnya lalu cuba menghubungi wanita itu. Namun seperti yang diduga, Syuhada tidak akan menjawab panggilan telefonnya. Merindui tunang orang! YA ALLAH ampunkan dosaku. Namun berdosakah aku menyimpan rasa ini buat dia? Sedangkan rasa yang satu ini seolah-olah sudah sebati dalam jiwanya. Memenuhi setiap ruang relung hatinya.
Terngiang-ngiang di cuping telinganya sendiri tuduhan yang dilemparkan ke atas Syuhada. Baru kini dia merasa kesal  mengeluarkan kata-kata itu. Namun benar seperti kata Syuhada … terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata … inilah padahnya. Hipokrit!...Layakkah Syuhada digelar seperti itu? Tetapi betul ke lelaki itu tunang Syuhada? Kenapa Syuhada nampak seperti ketakutan? Agh, mestilah takut!. Terserempak dengan tunang sendiri sewaktu keluar dengan lelaki lain. Kantoi.....mahu tak mengelabah!

Hari minggu berikutnya, sekali lagi Syuhada dihubungi oleh Puan Rosmah. Sekali lagi Syuhada diajak datang ke rumahnya. Syuhada benar-benar serba salah. Dia tahu hari inilah majlis perkahwinan itu akan berlangsung. Haruskah aku pergi? Dia bertanya pada dirinya sendiri. Dia diajak pergi tanpa menerima kad undangan. Beratnya hati. Pertimbangan akal waras mengatakan tidak wajar pergi. Namun bila memikirkan jasa Puan Rosmah yang terlalu banyak pada dirinya dizaman persekolahan dulu, dia mengetepikan perasaan hatinya. Meminggirkan jauh rasa tidak selesanya. Menidakkan bahawa dia pergi tanpa ada yang menjemput.

Dengan berbaju kebaya biru laut berbunga kuning serta bertudung sedondon dengan warna bunga bajunya, Syuhada pergi ke rumah itu sekali lagi. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia pun memandu keretanya menuju ke rumah Puan Rosmah. Hati dijengah rasa hairan bila melihat keadaan rumah Puan Rosmah. Tidak ada apa-apa pun. Rumah itu kelihatan sunyi sepi. Terlewat ke? Muka jam dipergelangan tangan dipandang sekali lagi. Baru pukul dua belas setengah. Masakan lewat. Sekali lagi dia melihat nombor rumah yang tercatat di tembok pagar rumah itu. Betul!  Majlis perkahwinan itu tidak di buat di sini ke? Hatinya tertanya sendiri. Sebentar kemudian, kelihatan Puan Rosmah keluar dengan berpakaian cantik . Berbaju kurung, bertudung lengkap dan membawa beg tangan. Masih anggun seperti dulu-dulu jugak.

“Kita nak ke mana ni, cikgu?” Syuhada bertanya keliru.
“Ke rumah Hatta lah, hari ni kan majlis persandingan dia dengan Hayati” mereka masuk ke dalam kereta Syuhada. Syuhada menepuk dahinya. Tersasar jauh sangkaan yang membelit jiwanya.
“Hatta ke yang nak kahwin?”
“Laa....Riezman tak bagi tau ke?” hairan Puan Rosmah dengan pertanyaan Syuhada. Syuhada tak tahu  arah tujuan mereka hari ini ke? Sangkanya Syuhada sudah tahu.
“Hantaran yang kita buat hari tu untuk Hatta ke?”
“Yelah. Itu pun Riezman tak beritahu Syu?” Syuhada tersenyum sendiri. Entah mengapa, hatinya yang  sering sendat kebelakangan ini, terasa lapang mendengar berita itu.
“Saya ingatkan anak teruna cikgu yang nak kahwin” cetusnya perlahan.
Puan Rosmah melepaskan tawa. Pelik melihatkan hubungan anak muda berdua ini. Masing-masing sibuk hendak berkias bagai. Sudahnya tersalah tafsir. Jarang yang betul bila terpaksa meneka dalam kesamaran. Suka sangat memendam rasa....sudahnya diri sendiri merana. Bukan dia tidak perasaan perubahan Shahrul Riezman seminggu dua kebelakangan ini.
“Man cakap dia yang nak kahwin ke?” Puan Rosmah menggeleng kepala melihat Syuhada sekadar tersenyum.
“Tak adalah dia cakap. Tapi manalah tau kan. Dia kan dah sampai umur wajib kahwin tu” ujar Syuhada selamba. Puan Rosmah ketawa lagi. Memang pun Shahrul Riezman anaknya itu sudah sampai umur wajib kahwin. Tapi....hai, entahlah. Apalah yang lambat sangat tindakannya.
“Dia dah ajak Syu kahwin ke?” provok Puan Rosmah.
“Hah?” mujur tidak terlepas stereng kereta dari pegangan Syuhada dek terkejut dengan pertanyaan tanpa isyarat Puan Rosmah itu.
“Iyelah... kut korang berdua dah merancang senyap-senyap” tambah Puan Rosmah lagi tanpa peduli dengan warna wajah Syuhada yang sudah merona merah. Malu diterjah begitu.

Syuhada senyap tidak terkata. Malu pun ada. Diterjah dengan soalan tanpa kias, tanpa berlapik...terpercik  juga peluh didahinya. Sepuluh minit kemudian mereka sampai di rumah Hatta. Kemeriahan jelas terasa. Ramai tetamu yang hadir. Mereka tiba sewaktu pasangan pengantin sedang bersanding. Terpukau seketika Syuhada melihat penampilan Shahrul Riezman yang berdiri disisi Hatta di atas pelamin. Bukan pasangan mempelai yang anggun duduk diatas pelamin yang menjadi fokus matanya. Dari jauh dia dapat rasakan yang lelaki itu turut memandang kearahnya.

Syuhada hanya berdiri di satu sudut.  Mula merasa tidak selesa kerana tidak mengenali sesiapa dimajlis itu. Puan Rosmah sudah menghilang ke dalam rumah. Hendak diturut terasa malu. Matanya memandang sekeliling mencari seseorang. Sejak pasangan pengantin itu turun dari pelamin dan beredar ke bilik, mungkin untuk sesi bergambar, dia tidak nampak pun bayang lelaki itu.
“Cari saya ye?” Syuhada terperanjat mendengar suara yang begitu hampir di telinganya.
YA ALLAH … bagus sangatlah perangai yang boleh membunuh ni.
Syuhada memerhati lelaki disebelahnya. Kacak sungguh dia hari ini. Siap berkot dan bertali leher. Maklumlah pengapit pengantin lelaki. Sejuk sedikit hatinya. Lelaki itu pun turut memerhatikan dirinya. Lama mereka berkeadaan begitu. Saling memerhati sambil hati saling memuji. Entah bila kata hati akan bersambut dan melangkah seiring.
“Saya ingat awak yang kahwin” Shahrul Riezman mengerutkan dahi mendengar kata-kata itu.
“Mama tak bagi tau ke?”
Laaa.....memang padanlah dua beranak ni. Si ibu menyangka begini. Si anak pulak menyangka begitu. Sealiran betul. Sehati sejiwa.
“Kalau saya yang kahwin, kenapa?” tanya Shahrul Riezman menduga.
“Saya ucapkan tahniah” jawab Syuhada selamba. Shahrul Riezman ketawa kecil.
“Tak sedih?”
“Pasal apa pulak nak sedih. Gembira adalah. Orang mendirikan masjid, kita wajib rasa gembira tau” jawab Syuhada tanpa perasaan.
“Macam mana nak kahwin, calon isteri belum kata setuju” Syuhada terperangkap dalam renungan Shahrul Riezman. Hatinya berdebar. Dia mula merasa gelisah. Resah bila terasa rahsia hati bagaikan discan. Calon isteri????
“Carilah calon yang boleh jawab....ya, saya terima” Syuhada masih bermain kata.
“Awak dah setuju ke?” Shahrul Riezman sendiri merasa pelik dengan dirinya. Dia tahu Syuhada tunang orang tapi dia tetap merasakan Syuhada akan menjadi miliknya. Satu keyakinan yang dia sendiri tidak tahu entah dari mana datangnya.
“Saya ke calonnya?” Shahrul Riezman memandang geram mendengar soalan Syuhada yang boleh dikategorikan mengada-ngada itu. Sudah geharu, cendana pula........
“Kenapa tak cakap nak datang? Boleh datang sekali tadi” Shahrul Riezman bertanya sambil matanya meratah puas-puas wajah wanita dihadapannya. Seminggu tak jumpa …. Hatinya merindu tiada siapa yang tahu!
“Tak tahu pun nak datang sini. Cikgu telefon suruh datang ke rumah. Terus diajaknya saya ke sini. Jangan-jangan awak berkomplot dengan cikgu tak?” serkap jarang Syuhada mengundang ketawa Shahrul Riezman.
“Mana ada. Saya tak guna taktik kotor macam tu. Saya tak suka guna jalan shortcut” Shahrul Riezman berkata di hujung ketawanya.

 Shahrul Riezman mengajak Syuhada masuk ke dalam rumah. Tanpa banyak bicara Syuhada mengikut. Dari tidak berteman di luar baiklah dia mengikut. Mereka ke bilik pengantin. Hatta terkejut melihat kehadiran mereka. Syuhada bersalaman dengan Hayati. Sebentar saja mereka sudah kelihatan mesra.
“Man, kenapa aku tak tahu?” Hatta bertanya sambil membuka butang baju songketnya untuk digantikan dengan persalinan kedua. Teringat kata-kata Shahrul Riezman tempoh hari....tak ada maknanya aku couple dengan dia....Habis tu apa maknanya hari ini??
“Tahu apa?” tanya Shahrul Riezman pula.
“Sejak bila pulak kau dengan Syuhada ni? Aku tak tahu pun” Shahrul Riezman ketawa kecil sambil mengenyitkan matanya pada Syuhada. Syuhada membalas senyuman itu. Mereka kelihatan betul-betul seperti pasangan kekasih. Apa salahnya kalau sesekali berlakon. Tanpa skrip dan arahan sesiapa. Bukan calang-calang orang boleh buat tau....terlanjur ada peluang, apa salahnya tonjolkan bakat yang sudah lama terpendam.
“Sejak bila kita, Syu?” Shahrul Riezman bertanya sambil berdiri dekat dengan Syuhada. Terlalu dekat sehingga bahu mereka bersentuhan. Syuhada terpinga-pinga. Namun hanya sebentar.
“Takkan Hatta tak tau. Kata makan sepinggan, tidur sebantal. Masakan soal-soal hati macam ni tak share? Dah lama dah.... sejak saya dituduh nak curi kereta dia depan Parkson dulu tu, kan Riezman” sindir Syuhada selamba. Dah orang ajak berlakon....layan sajalah. Serentak mereka ketawa. Hayati yang tidak tahu menahu kes tersalah kereta itu pun turut ketawa.

Syuhada memerhati keadaan bilik pengantin. Indah dan romantik dengan dilatari tabir berwarna hijau berselang seli putih. Hijau… warna kegemarannya. Mengikut terapi warna....hijau adalah warna penyembuh kerana ia menyeimbangkan dan menstabilkan tenaga tubuh. Warna hijau juga adalah warna semulajadi yang melambangkan keseimbangan kasih sayang, kesihatan, kecantikan, kegembiraan dan pemikiran yang tegas. Dalam apapun keadaan, dia tetap akan memilih warna hijau sebagai pilihan utamanya. Tidak dijangka matanya terperangkap dalam sorotan mata Shahrul Riezman yang sedari tadi memerhati tingkah lakunya. Syuhada membalas renungan itu namun hanya sebentar. Sebentar kemudian dia membuang pandang. Tidak sanggup dia menatap renungan itu. Renungan yang boleh membuatkan jantungnya jatuh berkecai! Hancur berkeping-keping.

Sorry ye, Yati. Tak ada hadiah dari saya. Maklumlah saya ni tetamu tidak diundang. Main terjah je” mereka berempat ketawa. Mesra. Tidak sukar untuk Syuhada menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja walaupun baru sekali berjumpa. Mujur juga dia pernah berjumpa dengan Hatta walaupun sekadar dua kali. Tidaklah malu sangat.
“Saya dah letak nama kita berdua pada hadiah yang saya beri pada mereka sebab saya yakin awak mesti datang dengan mama” sekali lagi Syuhada mencari mata lelaki itu. Perkataan ‘kita berdua’ bergema dalam hatinya......kita....bukankah bermaksud satu perkongsian. Perkongsian rasa! Sorotan mata itu mengundang resah yang maha dalam. Lama mereka berkeadaan begitu. Memberi ruang sekali lagi kepada hati untuk berbicara sesama sendiri. Untuk mendalami apa makna getar yang tiba-tiba mengetuk-ngetuk dinding hati mereka.
“Abang risaulah, Yati. Ada pulak yang main-main mata kat bilik kita ni. Kita yang jadi pengantin, tak pasal-pasal orang lain pulak yang lemas nanti” Hatta bersuara nakal, tersengih-sengih memandang Shahrul Riezman. Memang sudah parah kawannya yang seorang ini.

Nah....ambik kau sebiji. Nak main mata, pergilah tempat lain. Ada pulak dekat bilik pengantin. Tidak boleh nak cover langsunglah dia orang ni. Kalau nak buat acara pandang-memandang pun agak-agaklah sikit. Cepat-cepat Syuhada melarikan matanya. Inilah perkara yang paling dia tidak suka bila berjumpa dengan Shahrul Riezman. Memang sorotan mata itu mengundang beribu warna dihatinya. Kalau spektrum warna itu ada tujuh.....warna dihatinya melebihi warna yang tujuh itu. Haruskah ?... soal hatinya berkali-kali. Haruskah dipergunakan keinginan Shahrul Riezman yang agak melampau itu untuk mengelakkan diri dari Zulhilmi? Wajarkah diterima sahaja lamaran tidak rasmi dari Shahrul Riezman.....be my wife, Syu....sudah dua kali frasa itu Shahrul Riezman lafazkan.

            Pasangan pengantin menukar pakaian untuk majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan beradap.  Syuhada dan Sahahrul Riezman sudah keluar dari bilik itu. Mereka ke khemah tetamu yang masih mengekalkan tema hijau putih. Tetamu masih ramai memenuhi khemah. Sebentar lagi pengantin akan keluar untuk acara memotong kek. Sudah tentu mereka sedang menunggu kedatangan orang yang diraikan.

            “Awak dah makan?” tanya Shahrul Riezman lembut. Sejuk hatinya melihat Syuhada. Gadis itu anggun dengan baju kebayanya. Kali pertama nampak Syuhada dengan baju kebaya. Boleh tahan! Dia memang tidak menduga ibunya akan mengajak Syuhada ke majlis itu. Lebih tidak disangka..setuju pulak Syuhada. Kalau dia yang mengajak, belum tentu Syuhada mahu. Sejak akhir-akhir ini ibunya begitu kerap bercerita tentang Syuhada. Sikit-sikit Syuhada. Tahulah Syuhada tu anak murid kesayangan dia.
            “Sudah, dengan cikgu tadi” Syuhada cuba berlagak selamba namun hati di dalam hanya ALLAH yang tahu. Berada disisi lelaki ini, hatinya  bergendang tidak menentu sepanjang masa. Mereka duduk di satu meja yang menghadap ke meja utama untuk pasangan pengantin makan berdamai. Meja makan beradap yang berbentuk U, diperhati dengan rasa teruja. Hiasan bunga mengikut warna tema, ukiran buah tembikai dan segala apa yang ada di meja pengantin itu, begitu menarik dipandangannya. Cantik dan berseni sekali.
            “Temankan saya makan. Saya belum makan sejak tadi. Lapar betul ni” ajak Shahrul Riezman.
            “Kesiannya. Hatta yang kahwin, awak yang tak lalu makan ye. Kena tempiasnya ke?” Syuhada mengusik nakal. Sesekali mengusik apa salahnya!

Shahrul Riezman merenungnya tajam. Sinar mata itu membuatkan Shahrul Riezman terpanar seketika. Melihat senyuman di bibir wanita ais dihadapannya ini …. dia resah. Rusuh tidak menentu. Berada dalam majlis seumpama itu bersama gadis yang selama ini sentiasa berada di hati, menimbulkan satu perasaan yang amat lain dihatinya. Keinginan untuk merealitikan apa yang dirasa, begitu menggebu-gebu. Mungkinkah?.. sedangkan dia tunangan orang. Keluhan hatinya hanya dia yang mengerti.

Mengikut teori yang entah dia baca dari buku mana tidak dalam dulu, dorongan rasa nafsu manusia dirangsang oleh tiga kelas kejadian iaitu hormon, rangsangan luaran dan aktiviti serebum di dalam otak seperti imaginasi, ingatan dan sebagainya. Dia akui akan kebenaran teori itu. Melihat Syuhada, mengingati gadis itu … dia dirangsang oleh satu rasa. Rasa yang menggigit jiwa lelakinya.

“Kalau ye pun lapar, tak kan nak makan saya kut” Syuhada tahu dirinya direnung tajam namun dia cuba berlagak tenang. Kalau dia turut melayan perasaan Shahrul Riezman, bimbang nanti dia yang terperangkap.
“Kalau boleh memang nak makan Syu. Kunyah halus-halus lepas tu saya telan. Kenyang sampai bila-bila!” balas Shahrul Riezman mengusik namun cukup untuk membuatkan wajah Syuhada merona merah. Cakap apa ni? Lelaki memang suka merapu yang bukan-bukan! Sungguh tidak sopan. Ada karang yang kena penendang silat Sarawak. Cakap ikut sedap mulut dia sahaja.
 “Mulalah tu nak merapu. Pergilah ambil nasi tu. Tadi kan kata lapar. Saya dah nak balik ni”
Shahrul Riezman bangun setelah mendengar kata-kata Syuhada. Dia mengambil nasi beriani yang disediakan bersama lauknya. Hidangan yang disediakan secara buffet itu nampak menyelerakan. Setelah mengambilkan Syuhada segelas air oren, dia duduk semula disebelah wanita itu. Kali ini lebih dekat. Syuhada kian gelisah. Tak duduk dekat-dekat tak boleh ke? Dahlah cuaca panas terik. Aduhhh....rimas sungguh!

Pandangan Syuhada diarahkan ke pasangan pengantin yang baru keluar menuju ke meja jamuan yang berhampiran dengan mereka. Hatta mengangkat tangan ke arah mereka. Shahrul Riezman membalas sambil tersenyum. Syuhada leka memerhatikan pasangan tersebut. Melihat Hatta memimpin tangan Hayati, hatinya tersentuh. Terkenang segala nostalgia dalam hidupnya. Kalaulah Zulhilmi tidak melalui detik-detik itu ……pasti hidupnya tidak serusuh hari ini.

“Awak teringin ke?” Shahrul Riezman bertanya apabila dilihatnya Syuhada begitu asyik melihat pasangan pengantin itu. Cahaya di mata itu seolah-olah menceritakan sesuatu. Tetapi masih samar-samar.
“Teringin apa?” Syuhada bertanya tidak mengerti.
“Macam mereka” Shahrul Riezman mencari reaksi namun tidak ada apa-apa ekspresi di wajah itu. Memang Syuhada berwajah selamba. Seolah-olah tidak berperasaan. Maklumlah sudah terbentuk bongkah-bongkah ais dikotak hatinya. Agaknya kalau dicampak ke Gurun Sahara, baru mencair.
“Tak” Syuhada menjawab selamba.
“Tak teringin nak kahwin?” Shahrul Riezman bertanya lagi. Tidak puas hati dengan jawapan Syuhada. Dia sudah berhenti makan. Sudah kenyang perutnya.
“Tak” Syuhada masih lagi menjawab begitu. Bukan dia tidak tahu maksud pertanyaan lelaki itu. Akhirnya nanti dia juga yang terkena. Lelaki kaki putar belit seputar alam ini bukan boleh dipercayai.
“Habis tu kenapa bertunang?” pertanyaan Shahrul Riezman kali ini menyentuh hatinya.
‘Kau tak tahu apa-apa, Riezman!’ desis hatinya. Dulu Nik Rozana, kawan baiknya sewaktu di Sarawak, mengatakan dia perempuan yang paling pelik yang pernah ditemui. Rela menjadi tunang kepada seorang lelaki hanya kerana sepotong janji!
“Saja nak bertunang” Syuhada menjawab acuh tak acuh. Riezman masih menganggap dirinya tunangan orang. Biarkan! Mungkin keadaan akan lebih terkawal dalam situasi begini. Sekurang-kurangnya tiada yang menaruh harapan.
“Pelik!  Awak cintakan dia?”
 Syuhada menggigit bibirnya mendengar soalan itu. Cintakah aku pada Zulhilmi? Pernahkah dia menyerahkan seluruh perasaannya buat lelaki itu? Entah, dia tidak punya jawapan untuk soalan itu! Aghh,  untuk apa diungkit-ungkit lagi  kisah pertunangan itu? Hatinya menjerit pilu. Kisah yang tidak ada manisnya. Kisah yang hanya ada luka dan duka. Kisah yang hanya membuktikan kebodohannya. Hanya dia yang dikejar janji  sedangkan lelaki itu hilang dalam dunianya sendiri. Namun dia sedar, Shahrul Riezman tidak harus dipersalahkan. Dia tidak tahu apa-apa. Pertanyaan itu memang wajar untuk dirinya, setelah dia ditumbuk oleh Zulhilmi. Zulhilmi juga tidak bersalah. Dia yang terpilih diantara ahli keluarganya yang lain untuk melalui rentetan itu. Mungkin salahnya pada pertemuan mereka biar dia cukup tahu bahawa hakikat pertemuan dan perpisahan adalah atas kehendakNYA. Tidak mungkin ada pertemuan antara dia dan Zulhilmi kalau bukan dengan izinNYA.

“Kalau bukan kerana cinta.....mesti awak kena paksa bertunang” Shahrul Riezman membuat kesimpulan sendiri. Syuhada hanya diam, membiarkan Shahrul Riezman dengan anggapannya sendiri.
“Betul kan?” soalnya pula. Syuhada tetap diam. Tidak mungkin dia membuka cerita kepada Shahrul Riezman. Biarlah apa sahaja yang dilalui bersama lelaki bernama Zulhilmi menjadi rahsia peribadinya. Provasi untuk dia seorang.
“Siapa yang paksa?” soalan lagi dari Shahrul Riezman.
“Hisss...banyak tanyalah. Macam polis pencen pun ada”
“Susah sangat ke nak jawab”
“Bukannya susah....tapi memang tak nak jawab. Bukannya ada kena mengena dengan awak pun” keluh Syuhada. Malas melayan soalan Shahrul Riezman.
“Betul awak kena paksa?”
Syuhada melambaikan tangannya ke arah Puan Rosmah yang terjenguk-jenguk mencarinya. Hatinya lega melihat kedatangan Puan Rosmah. Bolehlah balik. Lemas dia berada dengan Shahrul Riezman lama-lama. Penat melayan hati yang berentak misteri. Bertambah penat mendengar soalan Shahrul Riezman yang bukan-bukan.
“Patutlah tak jumpa. Rupanya dekat sini” kata-kata itu lebih ditujukan untuk Shahrul Riezman. Puan Rosmah duduk di hadapan mereka. Letih.
“Mama tak cakap pun nak ajak tuan puteri kita ni” Shahrul Riezman berkata sambil tangan kanannya diletakkan di belakang kerusi Syuhada. Tersentuh sedikit bahu Syuhada yang duduk menyandar. Syuhada menegakkan tubuhnya. Gelisah dengan perlakuan Shahrul Riezman. Malu dengan pandangan Puan Rosmah. Apa kata cikgunya nanti? Aduhai Riezman, agak-agaklah. Masakan mahu ditayang pada semua orang perangai gatalnya itu.
“Saja mama tak cakap. Kalau cakap dengan Man tadi, tak ada pulak pengapit si Hatta. Asyik nak berkepit aje dengan Syu nanti” Puan Rosmah berkata lepas. Syuhada menahan malu mendengar kata-kata itu. Anak dan ibu ini memang sealiran betul. Butir kata sering meluncur tanpa ada tapisan. Memang betul-betul satu acuan.
Dalam hati Puan Rosmah, sebenarnya dia cukup senang melihat pasangan itu. Tidak sabar dia menunggu Shahrul Riezman membuka  mulut meminta dia agar meminang Syuhada. Sudah terlalu lama dia mengidamkan seorang menantu duduk dengannya. Kalau benar Syuhada orangnya… alangkah bertuahnya. Mereka boleh serasi dalam banyak perkara.

“Dah boleh balik, cikgu?” Syuhada bertanya sambil memandang wajah Puan Rosmah. Wanita itu menganggukkan kepalanya. Memang sungguh dia sudah keletihan. Hati Syuhada lega.
“Tak nak balik sekali dengan saya?” Shahrul Riezman bertanya sambil sebelah tangannya bermain-main dengan gelas di depannya. Sebelah tangannya masih lagi di belakang Syuhada.
“Taklah. Nanti lambat sangat. Kawan-kawan saya tentu dah sampai. Besok kan dah sekolah. Lagipun kereta kita kan lain-lain. Tak ada maknanya kalau balik sekali”
 Puan Rosmah ketawa kecil mendengar kata-kata Syuhada. Dia dapat merasakan yang Syuhada sentiasa mengelak untuk bersama anak terunanya sedangkan Shahrul Riezman nampaknya bersungguh-sungguh. Kenapa?. Bertepuk sebelah tangan ke? soal hati kecilnya. Namun dibiarkan saja persoalan itu. Dia yakin Shahrul Riezman cukup bijak untuk menangani persoalan itu.
“Yelah Man. Mama pun dah letih ni” Syuhada merasa lega yang teramat.
“Mama baliklah dulu, bawak kereta Man. Syu biarlah saing Man”
“Boleh jugak. Bolehlah, ye Syu” dah agak dah. Puan Rosmah mesti menyokong cadangan anaknya itu. Emak borek, tentulah anak rintik kan. Eh....emak borek ke????
“Balik sekali lah cikgu. Kita kan datang sama-sama. Mana boleh pergi dengan orang lain, balik dengan orang lain pulak” ujar Syuhada selamba. Cukup mustahil dia memenuhi kehendak dua beranak ini. Hendak buat apa duduk dengan Shahrul Riezman lama-lama. Sudahlah soalan mengalahkan wartawan melodi.
“Kalau macam tu, jom lah. Mama dah tak larat ni”
Mereka berdua bangun untuk meninggalkan tempat itu. Namun belum pun sempat melangkah, Syuhada terasa hujung bajunya ditarik. Dia menoleh ke arah Shahrul Riezman. Puan Rosmah menjeling faham lalu terus melangkah.

“Nak apa lagi?” Syuhada bertanya sambil memandang Shahrul Riezman. Shahrul Riezman memandang wajah itu dalam-dalam. Ada sesuatu dari dalam dirinya yang tidak terluah. Hangat dan sentiasa basah hatinya.
“Baliklah dengan saya” pintanya.
“Rayuan ditolak. Saya tak sudi”
“Sombong. Sombong sangat nanti masuk lombong, tau” giat Shahrul Riezman geram.
“Masuk lombong lagi selamat dari duduk dengan awak”
“Sampai hati....”
“Tak ada hati. Titik! Saya nak balik sekarang”
Take care” mengalah juga dia akhirnya. Syuhada mengerutkan dahi mendengar kata-kata itu tanda tidak faham namun dia tetap menghadiahkan secebis senyuman buat Shahrul Riezman lalu mengorak langkah. Orang berbudi, apa salahnya dia berbahasa.
“Lain kali, jangan buat macam ni lagi depan cikgu” ujar Syuhada sebelum melangkah.
“Buat apa???”
“Suka-suka hati tarik baju orang, duduk dekat-dekat, letak tangan kat belakang saya.....saya tak suka”
“Kenapa?” Shahrul Riezman bertanya pura-pura tidak mengerti.
“Malu! Puan Rosmah tu cikgu saya”
“Kalau belakang dia boleh buat, kan?” Syuhada menjegilkan mata. Shahrul Riezman ketawa kecil.
Hisy…. Tak faham-faham. Syuhada buntu memikirkan sikap Shahrul Riezman.

Saturday, July 30, 2011

Bab 23


“Selepas keputusan STPM diumumkan dulu puas cikgu-cikgu sekolah cari Syu. Pihak sekolah dah sediakan borang IPTA untuk calon-calon yang layak. Tapi Syu tak ada. Terus hilang, sampai semua orang tak dapat nak cari” Puan Rosmah berkata sambil tangannya melipat  sejadah berwarna merah hati yang akan digubah menjadi  kelopak bunga. Terkilan sungguh dia diwaktu itu. Niat untuk membantu pelajar yang seorang ini dulu, tidak kesampaian. Sayang sungguh rasanya bila satu anugerah ini, terabai begitu sahaja.
“Masa tu saya dah kerja, Cikgu. Kerja kilang kat Senai. Setahun bekerja barulah saya isi borang maktab” ujar Syuhada perlahan. Memang waktu itu, dia tidak tahu pun nilai tiga principal A dan dua principal B yang tercatat dalam slip keputusannya.
“Kenapa tak mohon universiti  terus. Dengan keputusan yang Syu dapat, lebih dari layak”
“Cikgu kan tau macam mana keadaan saya masa tu. Banyak yang saya fikirkan. Saya langsung tak ada motivasi diri. Borang maktab tu pun jiran saya yang beri. Kalau tidak mungkin sampai sekarang saya masih kerja kilang” terang Syuhada perlahan.
“Syu kan boleh merujuk kepada guru-guru di sekolah. Ada unit bimbingan dan kaunseling yang boleh membantu” Puan Rosmah terkilan.
“Saya tahu. Tapi pada masa tu yang ada dalam kepala saya ialah duit. Saya nak cari duit. Kalaupun saya dapat masuk universiti pada masa tu, dapat biasiswa ….. cukup ke nak tampung segala keperluan saya nanti?  Perbelanjaannya lebih besar berbanding hanya masuk maktab perguruan. Lagipun saya ada adik-adik yang masih belajar” perlahan getar suara Syuhada mencetus hiba dihati tua Puan Rosmah. Perasaan kasih dan sayang sudah lama bertunas dihatinya buat Syuhada. Tambah-tambah lagi dia memang tidak mempunyai anak perempuan. Kalaulah diberi peluang Syuhada itu menjadi anak perempuannya, alangkah bagusnya. Tentu dia ada tempat untuk berkongsi cerita, menumpang manja. Manja anak lelaki dan manja anak perempuan, lain kesannya.
“Saya faham. Tapi tak apalah. Sekarang pun Syu dah jadi cikgu. Bila nak sambung belajar? Saya rasa elok Syu ambil PJJ, banyak program yang ditawarkan untuk guru-guru bukan siswazah yang ada sekarang. Kalau dah kahwin, dah beranak pinak nanti susah. Mana nak belajar, nak uruskan rumahtangga lagi”  suara Puan Rosmah penuh keibuan. Diam-diam Syuhada menyimpan rasa terharu. Teringat dia akan ibunya di kampung. Kenapa tidak ibunya begitu???? Kenapa kasih sayang ibunya terasa jauh???? Terlalu jauh sehingga tidak tergapai oleh tangannya.
“Niat tu memang ada, cikgu. Tapi nantilah dulu. Mungkin awal tahun depan”
“Atau Syuhada nak kahwin dulu” pertanyaan yang tidak diduga itu membuat hati Syuhada tersentak. Dia mengukir senyuman memandang Puan Rosmah. Kahwin??? Teringat akan majlis perkahwinan yang diusulkan oleh ibunya dan keluarga bekas tunangnya. Teringat pula pada Zulhilmi. Kenapa lelaki itu yang perlu menerima kecelaruan yang diwariskan itu?? Dan kenapa pula dia tidak mampu menerima keadaan Zulhilmi yang seumpama itu?? Aduhhh, banyaknya kenapa! Siapalah dia yang perlu mempersoalkan segala rentetan itu. Memang benarlah hidup ini kembarnya ujian. Datang dan datang lagi tanpa perhentian.
“Syu!” putus lamunannya mendengar nama dipanggil.
“Iye…..” sahutnya terpinga-pinga. Wajah Puan Rosmah dipandang.
“Tak hilang-hilang lagi perangai Syu yang kuat berangan tu ye. Syu ingatkan siapa?” soal Puan Rosmah merisik berita.
“Nak ingatkan sape pulak. Saya tengah fikir macam mana nak susun alat solek  dalam bekas ni” dalih Syuhada. Mustahil dia membuka cerita pada Puan Rosmah.
“Syu dah ada sesiapa ke?” risik Puan Rosmah lagi. Syuhada mengerutkan dahinya sambil memandang Puan Rosmah hairan. Soalan apa ni?
“Siapalah nakkan saya ni, cikgu”
“Kalau ada orang nak?” Puan Rosmah bertanya lagi. Syuhada menarik segaris senyum disudut bibirnya. Kalau ada orang nak??? Hisyy...nak merisik aku ke ni? Aduhhh, janganlah tanya soalan yang pelik-pelik macam ni.
“Sanggupkah dia terima saya seadanya, cikgu? Menerima segala kekurangan dan ketidakberadaan saya ini” tutur Syuhada perlahan. Berharap agar Puan Rosmah tidak melanjutkan isu `kalau ada orang nak` itu.

Puan Rosmah terkedu. Syuhada masih lagi seperti dulu. Sentiasa merasa rendah diri. Teringat dia sewaktu Syuhada menjadi anak muridnya dulu. Gadis itu tidak mempunyai ramai kawan. Sering menyendiri dan banyak masa terluangnya dihabiskan dengan membaca buku. Tidak pernah jumpa dia tanpa buku ditangannya. Jarang sekali dia nampak Syuhada di perpustakaan untuk mengulangkaji secara berkumpulan. Dia tidak meletakkan diri dimana-mana group study. Dan apa yang cukup menyayatkan hatinya, Syuhada sudah berkerja sewaktu dia di tingkatan dua. Bilakah masanya Syuhada mengulangkaji pelajarannya?.. Tidak penatkah dia?... Namun soalan itu hanya berlegar di hatinya. Mungkin berkat segala kesukaran itu, dia dibalas dengan kejayaan diluar jangkaan.

              “Orang tua Syu masih ada?” tanya Puan Rosmah tanpa menjawab soalan Syuhada tadi.
              Alhamdulillah, syukur……ucap Syuhada dalam hati.
              “Ada. Mak dan ayah masih ada. Masih tinggal di kampung yang sama”
              “Kenapa Syu tak duduk dengan mereka? Bukannya jauh sangat pun kalau berulang alik, kan?” Puan Rosmah bertanya lagi. Hairan dia bila memikirkan Syuhada lebih sanggup tinggal bersama kawan-kawan walaupun rumah kedua orang tuanya tidaklah jauh mana. Dia benar-benar ingin tahu tentang hidup Syuhada.
              Agak lama Syuhada membiarkan soalan itu tidak berjawab. Hatinya libang libu bila mengenangkan kedua emak dan ayahnya. Bukan dia tidak mahu tinggal bersama mereka. Siapa yang tidak mahu sentiasa berdekatan dengan emak dan ayah. Siapa yang tidak mahu berbuat baik dengan mereka selagi mereka ada. Siapapun tahu bahawa berbuat baik kepada kedua ibubapa merupakan ibadat yang wajib dan kedua besarnya atau mulianya selain dari menyembah Allah swt. Dalam  agama Islam sendiri, ianya merupakan perintah secara langsung dari Allah swt.  Memuliakan kedua ibubapa adalah satu amal yang paling tinggi darjatnya setelah mentauhidkan Allah swt.   Jika kita melanggar kewajipan berbuat baik terhadap keduanya, maka kita telah melakukan dosa kerana perintah Allah swt. Syuhada tahu itu. Tazkirah yang sering diselitkan oleh Utazah Maimunah dalam kuliah subuhnya masih berbekas sehingga kini.

              Puan Rosmah mengangkat kepala memandang Syuhada yang tiba-tiba diam. Hairan melihat raut wajah wanita itu yang tiba-tiba berubah.

              “Awak tak apa-apa, Syu?” soalnya.
              Syuhada menarik senyum biar dia yakin benar senyumannya itu berasa tawar. Tawar setawar-tawarnya.
              “Tak…..sebenarnya saya lebih suka berdikari, cikgu. Duduk sendiri kadang-kadang melatih kita menjadi lebih matang. Lagipun saya duduk dengan kawan-kawan. Macam duduk dengan keluarga jugak”

              Puan Rosmah angguk kepala. Anak muda zaman sekarang sememangnya ramai yang tidak betah duduk dengan orang tua. Hatta ibubapa sendiri. Syukur anaknya tidak begitu biarpun masing-masing sudah ada rumah sendiri.

              “Mak dengan ayah Syu tak kisah ke?”
              Syuhada sekadar menggelengkan kepala. Bukan ibunya tidak pernah bising. Tapi untuk apa duduk sebumbung andai tiap kali bertemu muka, mereka pasti bertegang urat. Dari seremeh-remeh perkara sehingga sebesar-besar isu, dia dan ibunya sentiasa tidak sependapat. Ada sahaja yang tidak kena.  Ada sahaja yang salah.

              “Boleh tak saya susun macam ni, cikgu?” Syuhada menunjukkan bekas yang telah dihias indah yang berisikan alat-alat solek dari jenama Clinique. Walaupun tidak sepenuh hati menyiapkan kerja-kerjanya, namun Syuhada tidak mahu gubahannya tidak sempurna. Baginya hantaran bukan sekadar memberi sesuatu kepada pihak sebelah sana. Ada makna yang lebih dalam dari itu……. Perhatian, kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan. Hantaran itu tanda kasih. Kasih yang diharap terikat sampai kehujung nyawa.

              “Dah cantik tu…… Syu memang ada bakat semulajadi dalam kerja-kerja kraftangan. Tengok ni, apa saja hasil sentuhan Syu, nampak menarik. Cantik!”
              Syuhada ketawa kecil. Macam ni pun cantik……
              “Betullah saya cakap ni. Ketawa pulak”
              “Apanya yang cantik, cikgu. Dah memang bekas ni yang cantik. Kita cuma perlu susun dan tambah aksesorinya saja”
              “Memanglah nampak mudah. Tapi kalau orang lain yang buat, belum tentu jadi macam ni” Puan Rosmah berpuas hati dengan hasil kerja mereka hari itu. Tidak sia-sia dia mengajak Syuhada membantunya. Nah… tengok saja hasilnya. Sangat membanggakan!
              “Bila majlisnya cikgu?” tanya Syuhada tiba-tiba.
              “Riezman tak pernah cerita apa-apa ke?” tanya Puan Rosmah pula.
              Syuhada menggaru hujung keningnya. Kenapa pulak tiba-tiba keluar nama Shahrul Riezman ni? Apa kena mengenanya dengan Shahrul Riezman?.
              “Hari Ahad minggu depan. Syu pergi sekali dengan saya ye”
              Pergi sekali?? Pergi ke mana??
              “Nak hantar ke mana?” soal Syuhada lagi.
              “Orang sini jugak. Sebelah taman je”
              “Insyaallah….kalau tak ada aral melintang, saya pergilah sekali dengan cikgu nanti” janji Syuhada separuh hati.

              Syuhada memandang jarum jam ditangannya. Sudah pukul empat setengah petang. Terlalu ralit mereka menyiapkan kerja-kerja mengubah sehingga tidak sedar hari sudah berganjak ke waktu asar.
              “Balik dululah, cikgu. Dah petang ni”
              “Dah nak balik ke? Apa salahnya lama-lama kat sini. Balik rumah pun bukannya ada sesiapa. Sekejap lagilah Syu” pinta Puan Rosmah. Terasa sayang pula dia hendak melepaskan Syuhada.
              Syuhada serba salah. Bimbang rasa hati untuk menunggu lebih lama. Tidak mahu terperangkap lagi.
              “Eh, saya balik dulu lah, cikgu. Nak singgah bandar sekejap”
              Sudah lama Syuhada tidak menjengah Badan Ilmiah Book Store. Sudah lama juga dia tidak membeli buku baru. Rambang matanya melihat susunan novel-novel melayu. Banyaknya buku baru!.....Baca sinopsis buku ini menarik, baca yang itu lagi menarik. Pening kepalanya hendak membuat pilihan. Sudah hampir dua jam dia berada di dalam kedai buku itu. Ditangannya sudah ada tiga buah buku yang bakal dibeli.
             
              “Kat sini rupanya…”
              “Ooooo….. mak engkau jatuh tergolekkk!” terkejut sungguh Syuhada bila tiba-tiba ada suara dihujung telinganya. Pemilik suara itu sudah ketawa terkekeh-kekeh….. Ooo….melatah rupanya perempuan berhati ais ni.
              “Sibuk dekat sini buat apa?” jerkah Syuhada jengkel.
              “Kedai ni awak punya ke?”
              Syuhada menjeling tajam. Sakit hati bila kekhusyukannya memilih buku diganggu. Hisyy, macam tak ada tempat lain nak pergi. Kat mana orang ada,  dekat situlah dia nak menyibuk. Betul-betul mat interframe lah dia ni.
              “Cepatnya balik. Kenapa tak tunggu saya?” soal lelaki itu dihujung ketawanya.
              “Apahal pulak nak tunggu awak? Awak bukan suami saya kan?” hati Syuhada bertambah geram.
              “Dah siap ke kerja-kerja tadi?”
              “Semua beres. Jangan risau”
              “Tak sangka pulak awak pandai buat kerja-kerja macam tu” macam perli je ayat itu kedengaran dicuping telinga Syuhada.
              “Tengok oranglah. Banyak lagi kelebihan yang saya ada, cuma belum tunjuk je dekat awak”
              Kalau kau menjual, aku pun sudi membeli…..desis hati Syuhada.
              “Perghhhh, ayat tak boleh nak layan!.....berlagak ek
              “Kenapa tak ambik wedding planner je, kan senang. Tak payah nak susah-susah suruh cikgu buat tu semua”
              “Mama yang volunteer nak buat tu semua. Dia memang suka buat kerja-kerja lembut tangan macam tu”
              “Untung kan awak dapat mama macam cikgu Rosmah” tutur Syuhada perlahan. Hatinya tersentuh mengenangkan kelembutan dan pengertian yang ada dalam diri Puan Rosmah.
             
              Shahrul Riezman menatap lama wajah Syuhada yang sedang leka membelek sebuah buku. Dia ni memang betul-betul obsess dengan novel melayu.
              “Apa yang bestnya baca buku-buku macam ni?” soal Shahrul Riezman tanpa sedar. Syuhada mengangkat kepala menoleh sebentar ke arah Shahrul Riezman yang entah dari mana tahu dia berada disini.
              “Cubalah baca sekali. Awak akan ketagih untuk baca dan baca lagi”
              “Sampai macam tu sekali. Melampau jugak kalau dah sampai tahap ketagih” Shahrul Riezman menarik sebuah buku. `Sakitnya Sayang`….tulisan Norhayati Berahim.
             
              Derita jiwa itu tidak dapat lagi dibendung……tulisan di kulit buku itu dibaca perlahan. Seketika kemudian buku itu dihulurkan kepada Syuhada. Syuhada memandang tidak mengerti.
              “Yang ini tak nak beli?? Macam menarik je” senang hatinya melihat senyuman dihujung bibir Syuhada.
              “Dah lama beli. Dah baca dua tiga kali” balas Syuhada tanpa mengambil buku yang dihulurkan. Dah dua tiga kali baca…..Shahrul Riezman menggeleng perlahan. Memang betul-betul hantu novel.
              “Memang sakit menyimpan sayang” cetusnya perlahan.
              “Membendung derita lagi sakit”
              “Untuk apa dibendung?? Lepaskan derita itu pergi”
              Mereka saling berpandangan. Ada getar yang menjalar namun perit rasanya.
              “Ada rasa yang akan kekal terkurung sebagai satu hukuman” perlahan kata-kata Syuhada membuatkan Shahrul Riezman diam tidak terkata. Ada apa dengan Syuhada? Kenapa kata-katanya ada ketika terlalu sukar untuk difahami. Satu hukuman?? Apa maknanya??

              Mereka melangkah seiring menuju ke tempat dimana kereta mereka diparkir. Syuhada diam, Shahrul Riezman pun turut diam. Cuaca semakin redup. Angin petang yang menampar, terasa mendinginkan suhu sekitar. Mereka sudah sampai di kereta Syuhada. Syuhada sudah bersedia untuk membuka pintu keretanya namun serba salah bila melihat Shahrul Riezman masih berdiri hampir dengannya.

              “Saya nak balik” ujar Syuhada akhirnya.
              “Awak pergi sekali minggu depan?” soal Shahrul Riezman tiba-tiba.
              “Pergi mana?”
              “Mama tak ajak awak tadi?”
              “Ooo… ada. Insyaallah kalau saya lapang”
              Mereka diam lagi. Hilang kata-kata.  Syuhada sendiri bagaikan kekurangan kosa kata bila berhadapan dengan Shahrul Riezman kali ini.
              “Saya jalan dulu”
              “Okey, take care 
              Shahrul Riezman berlalu bila kereta Syuhada hilang dari pandangannya. Rasa dihati, hanya dia yang tahu.