Selepas menunaikan solat Subuh, Syuhada
merasa sangat segar. Kedinginan
semulajadi yang dirasai amat mendamaikan hati. Hilang segala celaru yang
menghuni singgahsana hati. Tidak rugi
bercuti di sini. Dengan menggenakan dress labuh dari kain jean dan
bertudung berwarna krim, Syuhada melangkah keluar dari biliknya. Bertemankan
sebuah novel di tangannya, dia duduk di kerusinya semalam. Tidak sabar hatinya
ingin melihat matahari terbit di ufuk timur. Pasti indah … bisik hatinya.
Bukankah yang indah itu sesuatu yang enak dipandang. Menimbulkan rasa nyaman bila dipandang. Dia tidak mahu
ketinggalan menikmati detik-detik itu.
Shahrul Riezman mengeliat. Lega rasanya.
Dia memusingkan pinggangnya ke kiri dan ke kanan. Sejurus
memandang ke kanan matanya menangkap sekujur tubuh Syuhada. Dia tersenyum. Bagaikan
ada rama-rama yang berterbangan di dinding hatinya. Tanpa berfikir panjang dia
mengambil kerusi lipatnya lalu berjalan ke arah Syuhada. Bersama gadis itu, rasa
sepinya bagaikan terusir pergi. Jika dikhabarkan hatinya sedang sepi......pasti
Hatta ketawa guling-guling. Apa yang Hatta tidak tahu adalah sepi yang sedang
dialaminya ini adalah suatu keadaan yang sepi dari perasaan yang kemudiannya
member suatu tindakbalas sebagai sesuatu yang hampa.
“Assalamualaikum …” sapanya mesra. Senyumannya berbunga di bibir. Segar
wajah Syuhada ditatap dengan mata lelakinya.
Syuhada mendongak. Sekadar menjawab salam
di dalam hati. Arg , Dia lagi !. Lagi-lagi dia.....Keluhnya. Menyibuk
betul......
“Saya nak duduk dengan awak kat sini”
Shahrul Riezman membuka kerusi lipatnya lalu duduk di sebelah kanan Syuhada. Dia memandang Syuhada. Diam aje? Kenapa
dia ni? Wajah tanpa emosi itu ditatap lama.
“Senyap aje” Syuhada memejamkan matanya
sambil meletakkan kepalanya di penyandar kerusi. Tidak sudi dia memandang wajah
lelaki itu. Tidak ingin mendengar suara lelaki itu. Shahrul Riezman mengambil
kesempatan itu menatap wajah Syuhada. Mata yang terpejam itu, alangkah
indahnya. Entah mengapa saat itu dia sangat gembira walaupun Syuhada lebih
dingin dari ketulan ais. Biar dia sedingin salju. Namun terasa
hidupnya lengkap tiba-tiba. Dia semakin yakin dengan mimpinya tidak lama dulu.
“Syuhada” suaranya tercetus perlahan.
Syuhada membuka matanya apabila mendengar suara itu. Seketika pandangan mata
mereka bertembung. Ada debar di dada. Ada getar yang terasa. Namun Syuhada
terus membuang pandang. Matanya ke arah kaki langit. Fajar mula menyingsing.
Indah!. Sinaran jingga itu lebih menarik perhatiannya. Betapa besar
kurniaanMU!. Betapa insan hanya hamba kerdil yang tidak mampu menduga takdir.
Subhanallah!
Shahrul Riezman mula menggaru dagunya.
Sukar untuk mentafsir sepi Syuhada. Tidak tahu bagaimana hendak memancing
suaranya. Tidak pernah dia jumpa perempuan yang terlalu dingin seperti Syuhada.
Tidak berperasaankah dia?
“Kenapa Syu? Awak macam ada masalah” suara
Shahrul Riezman kedengaran lagi. Syuhada menoleh sekilas. Dia mengeluh lagi.
“Masalah saya adalah awak. Tak boleh ke kalau
tak ganggu saya” keras suara Syuhada. Geram dengan sikap Shahrul Riezman yang
buat-buat tidak faham…..buat-buat dungu…atau memang betul-betul dungu. Aku tak suka kau ada dekat sini …. Jerit
hatinya berkali-kali.
“Tak boleh ke kalau kita berkawan, Syu?”
Syuhada memeluk tubuhnya sambil memandang Shahrul Riezman tajam. Shahrul
Riezman membalas dengan pandangan yang lembut. Akan aku tawan hatimu, Syuhada
….. bukannya susah pun hendak menlembutkan hati seorang wanita….getus hatinya
angkuh.
“Carilah orang lain. Buat masa ini saya
tidak berhajat hendak menambah koleksi kawan yang saya ada. Saya dah ramai kawan....kalau terlebih
ramai, tak terlayan pulak nanti” jawab Syuhada mendatar.
“Saya tak nak kawan dengan orang
lain. Saya nak kawan dengan awak” lembut suara
Shahrul Riezman. Syuhada mencebik. Dasar lelaki miang! Bila berkata lembut gigi
dari lidah!.
“Awak ni kan ibarat hidung tak mancung,
pipi tersorong-sorong. Orang tak nak...orang tak hingin....awak masih
terhegeh-hegeh. Tak malu ke?”
“Suka
hati awaklah nak kata apa, saya tak kisah. Saya tetap nak kawan dengan awak”
“Ikut suka awaklah. Tapi jangan salahkan
saya kalau awak kecewa nanti. Berkawan dengan saya memang membosankan” selesai
berkata, Syuhada bangun meluruskan pinggangnya. Tiba-tiba dia mendepangkan
tangan membiarkan wajah dan tubuhnya disapa bayu laut yang bertiup lembut.
Shahrul Riezman sekadar memerhati. Kalau ikut rasa hati lelakinya, ingin dia
dakap tubuh wanita yang kecil molek itu. Hmmmmm...kalau benar dia lakukan
seperti apa yang difikirkan... mahu dicampaknya dia ke tengah laut oleh
Syuhada.
“Syu ......” panggilnya bila dilihat Syuhada terus berdiri
kaku.
Syuhada masih sepi. Membiarkan segala apa
yang ada difikirannya dibawa angin lalu. Malas melayan karenah Shahrul Riezman
namun lelaki itu terus memburu dengan kata-kata yang sering mencuit hati
perempuannya. Sudah lama dia membiarkan hatinya tidak diusik oleh lelaki.
Shahrul Riezmankah yang akan menggantikan tempat Zulhilmi? Akan adakah lelaki
lain selepas Zulhilmi?
“Hilmi” Syuhada bagaikan baru tersedar
bila nama Zulhilmi melintas di kotak ingatannya. Sayu, pilu …. Semuanya
terhimpun dalam satu rasa.
Shahrul Riezman terkedu bila mendengar
nama lelaki meniti di bibir Syuhada. Hilmi? Siapa lelaki itu? Hatinya tiba-tiba
diusik oleh satu rasa. Cemburu !. Hai … untuk apalah menyimpan cemburu pada
wanita yang tidak diketahui rahsia hidupnya. Tanpa Syuhada sedari Shahrul
Riezman melangkah pergi.
Syukur … dia dah pergi, cetus hati Syuhada
bila mendengar derap langkah yang semakin menjauh di belakangnya. Syuhada duduk
semula lalu membuka novel yang dipegangnya sejak tadi. Sedang dia asyik membaca, datang seorang pelayan
resort bersama troli yang berisi hidangan pagi.
“Eh, maaf Encik. Saya tak ada buat pesanan pun. Mungkin Encik salah tempat”
pelayan itu tersenyum.
“Ini bilik B21 kan? Betullah. Ada seorang
lelaki yang buat pesanan ini”
“Siapa?” Syuhada keliru. Pemuda di
hadapanya sekadar mengangkat bahu lalu melangkah pergi. Syuhada memandang
hidangan di hadapannya. Perutnya belum terasa lapar. Seleranya belum terbuka.
“Saya harap hidangan ini menepati selera
awak” lelaki itu duduk di hadapan Syuhada. Syuhada memandang geram.
“Hati saya baru saja lega bila awak pergi.
Buat apalah awak datang sini lagi?” Syuhada menyandarkan tubuhnya di kerusi
sambil memandang lelaki di hadapannya dengan tajam.
“Jantung saya boleh gugur tau bila awak
pandang macam tu. Awak ni saja nak goda saya ke?” Shahrul Riezman mengusik.
Sengaja membakar hati Syuhada.
“Excuse
me Encik Shahrul Riezman. Nak goda awak? Tak pernah jadi agenda dalam hidup
saya pun” Syuhada berkata sebal.
“Yalah tu. Tapi cara awak merenung saya,
macam nak menggoda aje” Shahrul Riezman sengaja memancing amarah Syuhada.
Hatinya terhibur melihat rona merah di wajah wanita itu bila marah.
“Awak tergoda ke? Itu baru saya pandang,
belum yang lain-lain lagi” terlepas ketawa Shahrul Riezman mendengar jawapan yang
tidak diduga dari Syuhada . Syuhada
menjeling tajam.
“Yang lain-lain lagi, tu apa?” sengaja dia
mengusik.
Syuhada menggigit bibirnya sendiri.
Terlepas cakapkah aku? Argh, lelaki ! Gatal tak sudah-sudah. Shahrul Riezman
terus merenung tajam. Gembira hatinya bila Syuhada sudah mahu bercakap
dengannya. Biarlah bicaranya sepedas cili kampung. Tak kisah asalkan ada suara
yang menjadi halwa telinganya.
“Saya rasa awak tentu lebih arif. Lelaki
seperti awak tentu lebih banyak pengalaman, kan?” Syuhada berkata sinis.
Shahrul Riezman ketawa lagi. Dia tahu Syuhada sengaja mengenakannya.
“Awak ada pengalaman dengan lelaki seperti
saya ke?” tanya Shahrul Riezman menduga. Sudah lama dia ingin tahu. Sejak
mengenali Syuhada, satu sikapnya yang dapat ditafsir ialah prajudis terhadap
lelaki. Anti lelaki ke dia ni? Atau pernah kecewa?
“Tak ada kena mengena dengan awak” Syuhada
masih lagi dengan sikap selambanya.
“Tak apa …….. nanti saya akan tahu juga. So …”
“So?”
“Friends”
aju Shahrul Riezman sambil menghulurkan tangan kanannya pada Syuhada.
Syuhada membiarkan huluran tangan itu
disambut angin lalu.
“Syuhada …” Syuhada mengangkat wajahnya
lalu menatap lelaki di hadapannya. Lama. Bagaikan mencari sejalur keikhlasan di
wajah itu. Bukan baru kali ini mereka bertemu. Sudah banyak kali bertemu dalam
kebetulan. Namun baru kali ini Syuhada berkesempatan menilai seraut wajah itu.
Syuhada tersenyum nipis.
“Kita ni adik abang ke, perlu bersalam bagai?”
Shahrul Riezman terkedu. Dia terlupa.
Fikirnya Syuhada seperti gadis-gadis lain yang kerap ditemui. Akhirnya dia
ketawa kecil untuk menutup malunya.
“Maknanya, mulai sekarang kita jadi kawan.
Awak tak akan menyesal jadi kawan saya” Shahrul Riezman berkata sejurus selepas huluran tangannya ditarik.
Syuhada akur. Apa salahnya berkawan … sekadar mengisi ruang
kosong yang ada. Asalkan rutin hidupnya tidak diganggu.
“Sekarang, kita makan dulu” ujar Shahrul
Riezman sambil tersenyum. Bahagia rasa hatinya.
Untuk pertama kalinya Syuhada membalas
senyuman itu dengan ikhlas. Biarlah … tak luak apa pun kalau berkawan dengan
dia. Jangan dia perasaan sudahlah ….. bisik hati Syuhada. Sudah letih dia
bertekak dengan lelaki itu setiap kali mereka terserempak. Kali ini biarlah dia
mengalah. Mengalah dengan menerima Shahrul Riezman sebagai kawannya.
“Dah sudah ke? Sikitnya awak makan” tegur
Shahrul Riezman bila dilihatnya Syuhada menolak pinggannya ke tepi.
“Saya
tak biasa breakfast seawal ini. Tapi
sebab nak jaga hati awak, saya pun makanlah”
“Nak
jaga hati saya? Awak ni kiranya masih ada lagi nilai-nilai murni dalam hati
awak tu ye” Shahrul Riezman mengusik lagi.
“Awak ingat saya ni apa?”
“Tapi sebelum ni …. Tak pernah pun awak
fikirkan perasaan orang lain. Dia orang tu kecik hati ke, sakit hati ke … awak
main belasah je” ejek Shahrul Riezman.
Syuhada membulatkan matanya memandang
Shahrul Riezman. Lebih-lebih pulak mamat ni. Suka-suka hati dia nak mengutuk aku........
“Amboi-amboi sedapnya mulut awak bercakap.
Cuma hati dan perasaan awak aje yang tak pernah saya fikirkan. Hati orang lain,
perasaan orang lain tetap saya ambil kira” Syuhada membela diri.
“Kenapa tak pernah fikirkan hati dan
perasaan saya” Shahrul Riezman menduga lagi. Bebola matanya mencari reaksi pada
wajah itu. Namun wajah itu tetap selamba. Seperti hari-hari kelmarin.
“Untuk apa?” pertanyaan Syuhada membuatkan
Shahrul Riezman sendiri terkedu. Hajat hendak menduga, rupanya hati sendiri
terduga.
Shahrul Riezman membiarkan soalan itu tidak
berjawab. Sementara Syuhada
pula tidaklah beria-ia dengan soalan itu. Namun jauh disudut hatinya mula
merasai kehadiran lelaki ini. Kebetulan yang melampau di antara mereka tidak
diketahui apa hikmahnya.
“Awak
fikirkan apa?” akhirnya Sharul Riezman memecahkan kebisuan di antara mereka.
“Awak”
Syuhada memberanikan diri memandang tepat ke anak mata Shahrul Riezman. Shahrul
Riezman membalas sambil tersenyum lembut.
“Kenapa?”
Shahrul Riezman bertanya perlahan sambil mendekatkan mukanya ke muka Syuhada.
Syuhada menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Menjauhkan jarak di antara mereka
walaupun di dadanya mula dipalu debar.
“Entah.
Pelik !”
“Apa
yang pelik?”
“Kita,
Hmm … maksud saya kenapa awak suka mengekori saya?” Shahrul Riezman mengerutkan
dahinya.
“Awak
rasa macam ru?”
“Ya”
“Awak
tak rasa suka ke dapat jumpa saya. Bukan senang kita nak jumpa. Ada orang tu
asyik mengelak saja. Saya suka tau dapat jumpa dengan awak” Shahrul Riezman
merenung Syuhada. Syuhada selamba.
“
Encik Shahrul Riezman, saya tahu apa yang awak nak dari saya. Tapi tak
ada apa-apa yang ingin saya tawarkan pada awak. So, just leave me alone”
“Apa yang saya nak dari awak?”
Shahrul Riezman tersenyum nakal. Bahagia hatinya dapat mengusik Syuhada.
Syuhada menggigit bibirnya. Geram.
“Okay, apa yang awak nak dari saya?”
“Saya nak awak. Hidup dengan awak. Be my wife, Syu” bicara Shahrul Riezman
yakin. Lahir dari hatinya yang
ikhlas. Syuhada membuang pandang ke laut lepas sambil mengeluh. Kali kedua
Shahrul Riezman menawarkan padanya ‘be my
wife’. Bersungguhkah dia? Argh, lelaki ini.....tak tahu pun asal usul aku,
buruk baik aku....senang-senang nak offer aku jadi bini dia......dah terdesak
sangat agaknya.
Teringat kembali kepada Zulhilmi. Lelaki
itu pun dulu beria-ia padahal mereka baru kenal tiga bulan. Sehingga akhirnya
dia sendiri yang terikat dengan janji yang entah apa-apa.
“Kenapa
saya, Riezman?. Pergilah cari orang lain yang lebih besedia jadi isteri awak.
Jangan buang masa mengejar saya” luah Syuhada tanpa menoleh ke arah Shahrul
Riezman.
“Hati ini yang memilih dan takdir yang
menentukan” Shahrul Riezman menunjukkan
jari telunjuknya ke dada.
Syuhada memandang sekilas. Terkesan dengan
perkataan ‘takdir yang menentukan’ dihatinya. Pertemuaan yang sering tidak
diduga ini … takdirkah yang menentukan? Takdir juga yang menentukan perjalanan
hidupnya dan Zulhilmi begitu. Tiba-tiba rona wajahnya berubah mendung. Shahrul
Riezman terkesima melihat perubahan yang tiba-tiba itu. Seperti ada sesuatu
yang tersembunyi jauh di sudut hati Syuhada dan dia terlalu ingin tahu apakah
sesuatu itu. Bening matanya seperti ada luka yang maha dalam.
“Syuhada”
Shahrul Riezman memanggil perlahan. Syuhada mengangkat wajah bertatapan dengan lelaki di hadapannya.
“Kenapa
Syu? Awak nampak muram. Kalau awak tak suka dengan kata-kata saya tadi, just ignore it. Tapi please, terimalah saya sebagai kawan
awak” Syuhada sekadar mengangguk.
Kali pertama dia merasa ikhlas menerima kehadiran
Shahrul Riezman. Hanya sebagai kawan, tak apalah …… bisik hatinya.
“Awak
holiday sorang aje? Mana kawan-kawan
yang lain?”
“Taklah, saya kan holiday dengan awak. Tak kan dia orang nak ganggu” terasa diri
dipermainkan, Shahrul Riezman merenung tajam gadis di hadapannya. Kasihnya
menggunung tetapi tidak terluah. Dia kagum dengan Syuhada …. Moodnya boleh bertukar sekelip mata.
“Boleh tolong tak?” Syuhada bersuara
perlahan. Menahan getar yang tiba-tiba datang. Shahrul Riezman mengecilkan
matanya.
“Tolong jangan pandang saya macam tu” pecah
ketawa Shahrul Riezman. Syuhada menggigit bibirnya. Geram.
“Kenapa? Bukan ke yang indah itu untuk
dinikmati. Saya sedang menikmati keindahan itu” lembut suara Shahrul Riezman.
Suka betul dia memandang wajah Syuhada ketika itu.
“Yang
indah .. itu. Cuba pandang sebelah timur sana. Cahaya jingga matahari yang sedang naik. Saya suka tengok
pemandangan itu. Sebab tu pagi-pagi lagi saya dah tunggu dekat sini” Shahrul
Riezman menoleh memandang ke arah timur yang ditunjukkan oleh Syuhada. Dalam diam
dia merasa aneh. Sebentar kemudian dia menatap Syuhada semula.
“Atau awak takut jatuh cinta pada saya” cetusnya
perlahan. Syuhada mendengar
namun wajahnya selamba. Debar yang diusir pergi, singgah lagi dihatinya. Jatuh
cinta pada Shahrul Riezman? Mungkinkah? Masih adakah perasaan cinta dihatinya? Setelah diri dipermainkan oleh
sandiwara hidup Zulhilmi?
“Lepas
ni temankan saya, boleh?” Shahrul Riezman bertanya lagi. Peluang yang ada tak
mungkin dia lepaskan.
“Ke mana?” tanya Syuhada acuh tak acuh.
“Pergi memancing dekat pulau sana tu” Syuhada
berfikir sejenak. Kemudian memandang wajah Shahrul Riezman yang masih menunggu
jawapannya.
“Ada extra
pancing? Saya suka juga memancing”
“
Ada tapi dalam boot kereta. Saya
ambil sekarang. Awak pergi tukar skrit tu dengan seluar. Nak pergi sana tak
boleh pakai skrit” Shahrul Riezman bersuara tegas. Cuba menutup rasa gembira
yang tak terhingga. Dia tidak menyangka Syuhada akan setuju.
“Tahu. Kalau pakai macam ni memang cari
penyakit. Lebih-lebih lagi
pergi dengan awak. Entah boleh diharap, entah tidak” terlepas lagi ketawa
Shahrul Riezman mendengar kata-kata Syuhada. Tidak habis-habis dengan buruk
sangka! Prajudis!....
“Pasti boleh. Saya pelindung awak. Seekor
nyamuk pun tak akan gigit awak” suara Shahrul Riezman terlalu perlahan namun
jelas dipendengarannya. Debar dihati mengasak lagi.
“Iyelah tu........kata memang manis kan?”
“Tak rasa lagi dah tau manis.....hmmm
hebatlah deria rasa awak” Shahrul Riezman tersenyum-senyum.
“Hisyyy.....sudahlah awak, saya nak tukar
baju ni”.
Mereka
beredar setelah berjanji untuk bertemu semula setengah jam kemudian. Syuhada
menukar dressnya dengan seluar jean dan T-shirt longgar. Disapunya losyen
penahan cahaya matahari dilengannya untuk mengelakkan sun-burn. Bila dia membuka pintu, Shahrul Riezman sudah berdiri di
hadapan pintu biliknya. Syuhada tersenyum. Ikhlas. Dan entah untuk kali
keberapa, Shahrul Riezman terpanar. Gelodak rasa di hati kian membara.
“Cepatnya.
Parking kereta dekat mana?”
“Tak sabar nak memancing dengan awak”
Syuhada tergelak kecil. Yelah tu … desis hatinya.
“Shall we …” Syuhada mula mengorak
langkah. Shahrul Riezman menuruti langkahnya.
“Wanginya
awak. Awak pakai minyak wangi apa ni,
Syu?”
Langkah
Syuhada terhenti. Seingatnya, dia tidak memakai minyak wangi. Bukannya dia
tidak tahu hukum seorang perempuan memakai minyak wangi kalau bukan untuk
suaminya.
“Kenapa?” tanya Shahrul Riezman pelik.
“Eh, wangi ke saya? Berdosa pulak rasanya”
nada suara Syuhada separuh kesal.
“Berdosa kenapa pulak ni ?” Shahrul
bertambah pelik.
“Yelah, kitakan bukan muhrim. Haram
seorang perempuan menarik perhatian lelaki yang bukan muhrimnya dengan bau
wangian” Shahrul Riezman tergelak. Walaupun apa yang dikatakan oleh Syuhada di
akui kebenarannya namun dia tetap pelik dengan seorang Syuhada.
“Dahlah, saya bergurau aje tadi. Jomlah kita pergi. Matahari semakin tinggi
tu, nanti seekor ikan pun tak dapat”
Mereka
melangkah menuju ke arah bot yang disediakan oleh pihak chalet. Syuhada gembira
bukan main. Sejak balik dari Sarawak, inilah kali pertama dia menaiki bot.
Teringat dia semasa menjalani praktikum
di Kapit. Sebulan sekali dia akan menaiki feri untuk ke Sibu. Pengalaman
di jalan raya tak sama dengan pengalaman di jalan air. Sepuluh minit kemudian,
mereka sampai ke tempat yang dituju. Tiada apa yang menarik di Pulau Penambang
yang terletak betul-betul berhampiran dengan Singapura. Kali pertama Syuhada
menjejakkan kaki ke situ. Kelihatan sekumpulan lelaki sedang memancing tidak
jauh dari mereka. Tiba-tiba Syuhada bagaikan baru tersedar.
“Ya
Allah, Riezman, sepatutnya saya tak ikut awak ke sini” suaranya perlahan. Shahrul Riezman mengerutkan dahinya tanda
tidak faham.
“Kenapa?”
“Tengok tu. Semuanya lelaki. Saya sorang
perempuan……” Shahrul Riezman tergelak sebelum sempat Syuhada menghabiskan
kata-katanya.
“Takut ke ?” tanya Shahrul Riezman
tersenyum-senyum.
“Saya nak baliklah. Pak Cik bot tu masih
ada lagi” Syuhada memusingkan tubuhnya namun belum sempat dia memanggil lelaki yang membawa bot tadi, lengannya sudah
disambar Shahrul Riezman. Wanita itu terperanjat bukan kepalang. Macam-macam
perkara buruk terlintas di kepalanya. Bukannya dia kenal sangat dengan Shahrul
Riezman. Shahrul Riezman memandang tepat ke arah anak mata Syuhada. Syuhada
semakin cemas.
“Saya
kan ada. Apa yang hendak ditakutkan. Maruah awak tanggungjawab saya, Syu”
Shahrul Riezman bersuara lembut. Cuba mewujudkan rasa yakin dalam diri Syuhada.
Dia pun perasaan keadaan itu.
Namun dia yakin Syuhada akan selamat bersamanya. Syuhada mulai senyum bila
ternampak sebuah bot sedang menghampiri pulau itu. Ada tiga orang perempuan di dalam bot itu. Lega
hatinya.
“Pakar
motivasi kata, jangan percaya pada orang yang kata percayalah” katanya selamba.
Wajah cemasnya tadi sudah bertukar kepada ceria. Hajat untuk memancing pasti
tercapai.
“Itu
pakar motivasi kata. Kalau Shahrul Riezman yang kata, memang boleh percaya”
“Yelah
tu. Dah … jom kita ke batu besar tu. Saya dah tak sabar nak dapat ikan ni” mereka
mula mengorak langkah menuju ke arah batu besar yang ditunjukkan oleh Syuhada.
Shahrul Riezman memasang umpan di mata
kail pancingnya. Syuhada pun melakukan perkara yang sama. Seumur hidupnya
inilah kali pertama dia memancing. Dia memang suka melakukan sesuatu yang baru.
Boleh dijadikan bahan cerita untuk pelajar-pelajarnya.
“Sebelum
kita campakkan mata pancing ni ke air, kita buat peranjian dulu”
“Perjanjian apa pulak ni?”
“Siapa yang paling sikit dapat ikan, kena belanja lunch dan dinner untuk
hari ini”
“Mana
boleh macam tu. Ini my firsf experience
tau. Awak tentu dah biasa memancing.
Mana aci. Dah tentu awak
menang” Syuhada memprotes. Dalam diam dia mula menyedari sesuatu. Shahrul
Riezman memang mempunyai agendanya sendiri. Tadi sarapan, sekarang memancing.
Lepas ni lunch, lepas tu dinner. Agenda yang tersusun.
“Tak
tentu juga Syu. Mungkin ikan tu lebih tertarik pada awak. Maklum saja awak cute”
Syuhada ketawa lepas. Ada-ada saja Riezman, fikirnya. Masakan ikan tahu yang
memancing itu cute atau tidak.
Kali pertama Shahrul Riezman melihat
Syuhada ketawa. Lesung pipit
dikedua-dua belah pipinya jelas terserlah. Ada debar yang mengasak naluri lelakinya.
Teringin dia menyentuh pipi yang mulus itu. Bibir yang jarang tersenyum itu
begitu menggoda.
“Tak
naklah. Tak fair” Syuhada bersuara
perlahan bila menyedari dirinya diperhati. Sebagai seorang wanita yang sudah
dewasa, bukan sukar untuk dia mengerti makna renungan lelaki.
“Ok,
kalau tak fair, kita tukar. Siapa
yang paling banyak dapat ikan, dia yang belanja” sekali lagi Syuhada ketawa.
Akhirnya Shahrul Riezman pun turut ketawa. Bahagia rasa hatinya dapat bersama
dengan wanita yang hadir dalam mimpinya. Walaupun semuanya tidak dirancang.
Jauh di sudut hati dia yakin ….. inilah jodohnya.
“Bunyinya lain kan, Riezman. Tapi maknanya
tetap sama. Awak saja nak
perangkap saya” Syuhada duduk bila merasakan batu itu sesuai untuk diduduki.
Shahrul Riezman mengambil tempat disebelahnya sambil menghulurkan mata
pancingnya ke air. Begitu hampir sehingga Syuhada dapat menghidu aroma yang
dipakainya. Tanpa dipinta debaran itu hadir lagi. Masing-masing membisu melayan
perasaan sendiri. Shahrul Riezman dengan rasa bahagia dan Syuhada dengan
pelbagai rasa.
“Awak
kerja apa,Syu?” Syuhada berfikir sejenak.
“Kilang.
Operator pengeluaran” jawabnya selamba. Shahrul Riezman menoleh memandang
wajahnya dari sisi. Namun seperti biasa, sukar untuk mencari reaksi di wajah
itu.
“Betul
ke?” tanya Shahrul Riezman sangsi.
“Kenapa? Tak percaya atau malu? Maklumlah awak tu manager bank, saya ni
siapa kan?” Syuhada tersenyum sendiri dengan kata-katanya.
“Ke
situ pulak. Ada saya cakap macam tu? Boleh pulak cuti. Selalunya orang kerja kilang
susah nak cuti”
“Apa
pulak tak bolehnya. Cuti tahun saya banyak lagi. Saya ambillah. Awak
pulak? Bank tutup ke?” kata-kata Syuhada mengundang ketawa Shahrul Riezman.
“Bank tak tutup. Saya yang cuti.
Jodoh membawa saya ke sini” suara Shahrul Riezman lembut. Masih lagi menatap
wajah selamba di sisinya.
Lama Syuhada diam. Kebetulan yang
terlalu sering ini dianggap jodoh oleh Shahrul Riezman. Tiba-tiba dia merasa batang pancingnya berat.
Dengan tenaga yang ada dia merentap batang pancingnya. Ada seekor ikan di mata
kailnya. Dia tersenyum gembira memandang Shahrul Riezman yang masih belum
mendapat seekor ikan pun. Tanpa meminta bantuan dari Shahrul Riezman, Syuhada
cuba mencabut ikan dari mata kailnya. Namun kerana tiada pengalaman, tidak
terduga mata kail yang tajam itu tertusuk ke ibu jarinya. Syuhada terjerit
kecil. Terasa pedihnya jari apabila tertusuk benda tajam.
Tanpa
membuang masa, Shahrul Riezman menarik tangan Syuhada. Lukanya kecil sahaja dan
darah yang mengalir keluar tidaklah banyak mana. Namun didorong oleh perasaan
kasih, Syuhada yang terluka dia yang terasa. Setelah mengesat darah yang keluar
dengan sapu tangan miliknya, dia menghisap ibu jari Syuhada. Syuhada terkejut
bukan sedikit. Debaran menggila dihatinya. Dia cuba menarik tangannya namun
pegangan Shahrul Riezman terlalu erat.
“Kenapa
awak buat saya macam ni, Riezman. Awak saja ambil kesempatan” Wajahnya merona merah. Malu, geram …. Bersatu
dalam hatinya.
“No, saya bukan ambil kesempatan. Tapi
mak saya kata, Kalau kita hisap tempat yang luka macam yang saya buat tadi,
akan mempercepatkan pengaliran darah berhenti” Shahrul Riezman berkata sambil
tersengih-sengih. Suka benar dia melihat wajah syuhada yang merona merah itu.
“Saya
tak suka awak buat macam tu” sekali lagi Syuhada cuba menarik tangannya. Namun masih lagi tidak berjaya.
Lelaki itu masih memegang erat tangannya.
“Buat
macam mana?” usik Shahrul Riezman.
“Macam
tadilah” Syuhada bersuara geram.
“Itu
baru saya hisap jari, belum yang lain-lain lagi …”
“Awak
….” jerit Syuhada dengan mata membulat.
“Kalau
macam ni, suka?” Shahrul Riezman mengucup tapak tangan Syuhada lembut. Bukan
sekali tapi tiga kali. Syuhada menarik tangannya apabila terasa genggaman
Shahrul Riezman mulai longgar.
Debaran yang menggila di dadanya, membuatkan
Syuhada tidak mampu berkata-kata. Ya, Allah, perasaan apakah ini? Jangan
biarkan aku begini. Jangan biarkan perasaan itu hadir lagi dalam hidupku …..
jerit hati kecilnya. Untuk menghilangkan rasa gugup yang amat ketara, Syuhada
menghulurkan semula mata pancingnya ke dalam air setelah dipasang umpan.
“Awak
tentu orang kaya, kan Syu?” terdengar lagi suara di sebelahnya. Syuhada keliru
mendengar pertanyaan itu. Kenapa mesti timbul soal kaya atau miskin …. Tanya
hatinya. Tiba-tiba dia teringatkan Zulhilmi, lelaki yang tidak pernah bertanya
tentang itu semua. Aduhai Hilmi … mengapa takdir kita begini? Hatinya merintih.
Pedih menusuk sehingga ruang yang paling dalam dihatinya.
“Kenapa
diam Syu? Awak marah saya ke?” Shahrul Riezman bersuara lagi apabila Syuhada
hanya membisu. Syuhada menoleh ke sisi … memberanikan diri memandang tepat ke
wajah Shahrul Riezman. Dia cuba membuang jauh-jauh perasaan yang berkocak di
hatinya.
“Kaya
atau miskin … itu syarat penting untuk jadi kawan awak?” soalnya sinis.
“Eh,taklah.
Bukan begitu. Cuma saya kagum dengan awak. Kerja kilang pun mampu pakai kereta wira” Shahrul
Riezman berkata ikhlas.
“Simpan
saja rasa kagum awak tu, saya tak perlukan. Jomlah kita balik. Panaslah”
Syuhada mula menggulung tali pancingnya. Kalau boleh dia ingin cepat sampai di
biliknya.
“Nanti
dulu. Kita selesaikan dulu hal kita”
“Hal apa?”
“Saya
tahu awak terasa hati dengan kata-kata saya tadi. Please forgive me. Saya tak bermaksud seperti yang awak sangka”
Shahrul Riezman diburu rasa kesal. Setelah hatinya cukup yakin … dia tidak mahu
kehilangan jejak lagi.
“Saya tak sangka apa-apa. Lumrah manusia. Nabi pun pesan, kalau nak
berkawan biarlah yang sekufu. Taklah macam ayam dengan itik. Satu pihak cakap
A, satu pihak lagi faham B…susah kan?” Shahrul Riezman benar-benar terpukul
dengan kata-kata Syuhada yang bersahaja. Dia memandang wajah di hadapannya.
Semakin dipandang semakin kuat keinginannya.
“Jomlah
balik. Atau saya balik dulu. Bot dah ada tu” Syuhada mula berdiri. Kelam kabut
Shahrul Riezman mengemas alatan memancingnya. Kesal hatinya Tuhan sahaja yang
tahu.
Sepanjang
perjalanan mereka membisu. Syuhada hanya memandang ke laut. Sesekali jarinya
mencecah air. Hati kecilnya tetap terasa dengan pertanyaan Shahrul Riezman
tadi. Kalau Shahrul Riezman tahu keadaan keluarganya ….. yang miskin
segala-galanya. Sudahlah miskin harta, tandus pula kasih sayang … entah apa
agaknya tanggapan Shahrul Riezman.
Melihat
Syuhada diam, Shahrul Riezman terus dihambat rasa kesal. Akhirnya mereka tiba
di chalet. Shahrul Riezman tetap mengekori Syuhada walaupun wanita itu tidak
mengendahkannya.
“Saya
tunggu awak pukul 2.00 nanti. Kita lunch sama-sama” Syuhada memandang wajah
Shahrul Riezman lama. Lelaki
yang mampu mengetarkan naluri wanitanya sebentar tadi tersenyum lembut.
“Tak
payah. Saya mampu bayar makan minum saya sendiri” jawabnya sinis Hati
memberontak namun sedaya mungkin dia cuba menepis kata hati.
“Saya
tak kata nak belanja awak. Saya
kata …. Kita lunch sama-sama. Awak
bayar makanan awak, saya bayar makanan saya” Shahrul Riezman masih cuba
memancing mood Syuhada. Dalam hati
Syuhada terasa ingin ketawa. Sepanjang pagi bersama, dia sudah dapat
menjangkakan tindakan Shahrul Riezman. Pandai bermain kata.
“Tak apalah. Awak lunch sendiri saya lunch sendiri. Apa pun
terima kasih kerana ajak saya memancing tadi. Satu pengalaman yang cukup berharga
buat saya. Saya nak masuk ni” kata Syuhada sambil membuka pintu biliknya.
“Syu,
nanti dulu !” agak tinggi suara Shahrul Riezman menghalang langkah Syuhada dari
masuk ke biliknya. Syuhada membatukan diri menanti Shahrul Riezman meneruskan
kata-katanya.
“Hubungan
kita baru saja bermula, Syu . Kalau sikap awak macam ni susahlah. Saya dah
minta maaf tadi. Saya terlepas cakap. Kalau awak nak marah saya, marahlah. Tapi tolonglah jangan mendiamkan diri
macam ni” lama-lama Shahrul Riezman geram dengan Syuhada. Hati batu …. Desis
hatinya.
“Awak
bercakap tentang hubungan yang mana ni Encik Shahrul Riezman. Kita tak ada
apa-apa hubungan dan tak mungkin akan ada hubungan” tegas suara Syuhada.
Langsung tidak mempedulikan reaksi kalut di wajah Shahrul Riezman.
“Kenapa
tidak? Awak bukan tunang atau isteri sesiapa” Syuhada memandang Shahrul Riezman
tajam. Shahrul Riezman tidak mahu mengalah. Dia membalas pandangan Syuhada. Lama
mereka bertatapan.
“Awak
pasti?” tanya Syuhada perlahan lalu meloloskan diri masuk ke biliknya.
Shahrul
Riezman terkesima. Dia meramas rambutnya yang tidak gatal. Kalau selama ini dia
tidak pernah merasa tidak dipedulikan oleh mana-mana wanita namun kali ini dia
betul-betul merasa tercabar. Seorang Syuhada betul-betul membuat hatinya tidak
karuan.
No comments:
Post a Comment