Seminggu berlalu. Memang masa amat pantas meninggalkan jejak. Puas
sudah dia cuba melupakan wanita itu. Namun hampa. Kewujudannya tetap utuh
diperdu hatinya. Diusir keluar pun tidak berganjak. Tidak sedikit pun ingatan
berganjak dari peristiwa tempoh hari. Semakin dicuba, semakin bertambah kuat
ingatannnya. Semenjak hari itu, dia memang tidak pernah menghubungi wanita itu
walaupun hatinya meronta-ronta ingin mengetahui keadaannya. Sihatkah dia? Sudah berbaikkah dia dengan lelaki itu? Bagaikan
terbayang-bayang wajah sendu itu di tubir matanya. Ternampak-nampak sinar mata
yang basah itu dilayar retinanya. Tetapi akal warasnya tetap menghalang
keinginannya yang satu itu. Keinginan untuk mendengar dan bertanya khabar
tentang dirinya. Untuk apa diganggu tunang orang? Bakal menjadi isteri orang
tidak lama lagi! Apa yang mampu dilakukannya cumalah hanya menatap album
keratan gambar yang telah disimpan sejak sekian lama. Melihat kenangan yang
kian membekas dijiwanya.
Shahrul Riezman menyandarkan tubuhnya ke
kerusi di pejabatnya. Kepalanya masih lagi berserabut. Pegang ini tidak kena,
pegang itu salah. Seminggu sudah.....sepi dari khabar berita darinya,
membuatkan dia nanar tidak menentu. Hatta hanya memerhati tingkah laku
sahabatnya i sedari tadi. Dia sedar akan keresahan Shahrul Riezman seminggu
kebelakangan ini. Entah apa yang membuatkan sahabatnya itu resah, dia sendiri
tidak tahu puncanya. Selama ini tidak
pernah Shahrul Riezman berkeadaan
seperti ini. Memang pelik sangatlah bila
tiba-tiba Shahrul Riezman berubah perwatakan. Tidak ada angin, tidak ada ribut,
tiba-tiba Shahrul Riezman lebih banyak diam dari berkata.
“Kau ni kenapa, Man?” akhirnya keluar juga
pertanyaan itu dari mulutnya.
Shahrul Riezman mengangkat kepalanya.
Terlupa dia pada Hatta yang sudah hampir setengah jam duduk terconggok
dihadapannya.
“Kenapa, apa?” dia pula bertanya selamba.
Pura-pura menyemak fail pelanggan yang berada dihadapannya.
“Apa masalahnya sampai kau hilang fokus untuk kerja?” soal
Hatta lagi
“Masalah? Masalah apanya?” tanya Shahrul
Riezman kembali. Sekilas sorotan pandangannya ditujukan pada Hatta.
“Kau tulah. Macam kucing hilang anak je
aku tengok. Apa yang tak kena?” Hatta tersengih.
“Mana ada. Kau ni suka ada-adakan cerita.
Aku biasa je, mana ada masalah. Semua kerja aku tak ada sangkut pun” dalih
Shahrul Riezman. Masakan mahu diluahkan apa yang dia rasa pada Hatta. Masakan
mahu dikhabarkan bahawa selama ini dia mengejar-ngejar tunang orang. Memalukan sahaja!
“Kau tu macam mana? Dua minggu lagikan
majlisnya. Semuanya dah sedia? Dah cukup ilmu nak jadi suami orang?” Shahrul
Riezman cuba mengalihkan topik perbualan. Bimbang juga dia sekiranya Hatta terus-terusan
mencungkil rahsianya. Bila Hatta mula campur tangan, tambah pening kepalanya
nanti.
“Beres!. Semuanya dah sedia. Kau jangan
lupa pulak peranan kau jadi pengapit aku” Hatta bersuara ceria. Dua minggu lagi
dia akan melangsungkan perkahwinannya dengan gadis pilihan hati, Hayati yang
bekerja satu tempat dengan mereka.
“Hiesyy.... tak kan aku pulak! Carilah
orang lain. Aku ni dah tak sesuai jadi pengapit. Duduk atas pelamin sesuailah”
Hatta ketawa mendengar kata-kata itu. Sahabat yang merangkap ketuanya ini
memang sudah boleh dikategorikan bujang telajak di pejabatnya. Umur sudah masuk
keangka tigapuluhan tapi masih bujang. Entah apa yang tidak kena dengannya.
Hendak dikata tidak kacak, hmmmm ....bolehlah tahan. Mustahil tiada yang
tertawan melihat sinar mata yang menggoda itu.
“Kaulah, mana ada orang lain lagi. Tinggal
kau sorang je yang bujang. Tak kan aku nak suruh Razak yang sudah beranak dua
tu pulak”
“Apa salahnya. Boleh saja. Alah, tak payah
nak pengapit bagai. Kau duduk je berdua dengan Yati kat atas pelamin tu. Masakan
kau tak jadi kahwin kalau tak ada pengapit” usik Shahrul Riezman sambil ketawa
kecil.
“Nak lagi cantik, aku cadangkan kau
pujuklah Syuhada jadi pengapit Yati. Memang sesuai sangat tu. Manalah tahu kena tempiasnya nanti, tak
kempunan aku makan nasi minyak kau” usul Hatta tiba-tiba.
Kelu lidah Shahrul Riezman bila tiba-tiba nama Syuhada terkeluar dari
mulut Hatta. Memang cantik sangatlah cadangan kau tu, Hatta......hatinya geram
tiba-tiba. Memujuk wanita yang telah menjadi tunang lelaki lain untuk
bergandingan dengannya menjadi pengapit pengantin.......hilang akal ke? Wanita
yang nampak sangat lembut perwatakannya itu, dalam diam telah membohonginya.
Sehingga hari ini dia masih belum dapat menerima kenyataan bahawa Syuhada itu
adalah tunangan orang.
“Diam tu tandanya setuju, ye” Hatta
membuat kesimpulan bila dilihatnya Shahrul Riezman tidak memberi tindakbalas
pada cadangannya tadi. Lama Shahrul Riezman memandang wajah sahabatnya yang
tidak tahu apa-apa tentang dia dan Syuhada.
“Tak payahlah. Dia bukan kenal Yati pun”
bantahnya. Tidak mungkin dia akan melakukan perkara sebodoh itu. Menjatuhkan
maruah dan memalukan diri sendiri. Untuk apa merayu jika hati tidak sudi?
“Nanti kita kenalkanlah. Bukannya susah
pun” Hatta masih tidak puas hati.
“Aku tak setuju dengan cadangan kau. Buat
apa kita nak libatkan orang yang baru kita kenal. Ramai lagi orang lain yang
sesuai jadi pengapit Yati tu” keras suara Shahrul Riezman bagaikan menghantar
mesej tersembunyi pada Hatta. Hatinya kehilangan rentak bila perihal Syuhada
diperkatakan. Memikirkannya sahaja sudah membuatkan dia celaru....apatah lagi
disebut-sebut namanya. Tambah haru biru rasa hatinya.
“Kau ni kenapa? Gaduh dengan dia ke?” Hatta
mencari riak pada wajah dihadapannya. Seminggu ini wajah itu memang jarang
senyum. Hendak mendengar dia bergurau seperti selalu pun amat payah.
“Gaduh pasal apa?” sekali lagi Hatta
menghantar tanya.
“Banyaklah kau punya gaduh. Kau dah dekat
satu jam duduk melepak kat sini tau. Kat luar tu tak ada kerja ke?” halus
sungguh cara dia menghalau Hatta agar keluar dari biliknya. Tidak mahu diasak dengan perbualan yang bertopikkan
wanita itu lagi. Kian sesak nafasnya. Kepalanya terasa berat tiba-tiba.
“Aduhh bos, janganlah melampau sangat!.
Sekarang ni waktu makan tau. Kronik betul penyakit kau, sampai waktu makan pun
kau tak rasa apa-apa. Dari pagi tadi
berkurung dalam bilik, kau tak lapar ke?” tanya Hatta lagi.
Shahrul Riezman memandang jam ditangannya.
Hampir pukul dua petang. Waktu makan pun sudah tersasar. Entah mengapa
kebelakangan ini, perutnya berubah irama....jarang meminta-minta untuk diisi.
Kenyang memanjang. Melihat makanan yang terhidang pun nafsunya tiada untuk
menjamah.
“Kau dah makan?” wajah Hatta dipandang.
“Dah. Pergilah makan, ada masa lagi ni”
Hatta memandang jam ditangannya sekilas.
“Aku malaslah nak keluar. Lagipun kenyang
lagi”
Hatta hanya menggelengkan kepala mendengar
alasan tidak logik Shahrul Riezman. Sudah hampir pukul dua petang masih
kenyang? Memang sah sahabatnya yang seorang ini dibebani dengan masalah hati.
Fikiran dan perbuatan tidak jalan seiiring. Lain yang disebut, lain yang
dirasa. Segala organ yang berada dalam tubuh Shahrul Riezman pasti sudah tidak berfungsi dengan betul.
“Sebab Syuhada ke?” nama itu disebut
lagi. Shahrul Riezman mengeluh dalam
diam. Wajahnya diraup perlahan lalu tangannya melurut rambutnya ke belakang.
Seorang Syuhada telah mencetuskan evolusi yang maha hebat pada sekeping hati
miliknya. Dia cuba mengosongkan mindanya.....belajar untuk menyingkirkan seraut
wajah itu jauh dari kotak fikirnya.
“Ceritalah. Kau pendam seorang diri pun,
kau juga yang sakit” pujuk Hatta perlahan.
Shahrul Riezman masih mendiamkan diri.
Pintu hatinya belum terbuka untuk bercerita pada sesiapa. Walau pada Hatta yang
telah berkurun menjadi sahabatnya sekalipun. Dia lebih rela membiarkan ruang
hampa yang bermukim dihatinya, dipendam sendiri. Rahsia hati.....biarlah hanya
hati sendiri yang tahu. Walau hati sering bergetar bila teringat....biar hati
sering tergurid bila merindu, namun wanita itu tetap telah menjadi milik orang
lain. Untuk apa dikenang lagi. Walau ada ketika jiwanya bagai ombak di tengah laut, apabila datang
menderu terusung pergi segala beban ke gigi pantai. Namun singgahnya sekejap
cuma. Ketika surut kembali, resah itu tetap menjadi miliknya. Rindu itu tetap
mengepung ruang dadanya. Gelisah bila memikirkan tentang satu kehilangan. Hati
terasa bagai digigit sesuatu.
“Kau duduk berkurung dalam bilik, berkeluh kesah seorang
diri…. Kau ingat masalah kau boleh selesai ke?” Hatta bersuara lagi. Tidak puas
hati selagi Shahrul Riezman belum membuka cerita. Sebelum ini mereka berkongsi
rahsia, kenapa pulak kisah yang satu ini perlu disimpan sendiri. Buat merana
hati sahaja bila dipendam seorang diri. Tak pasal-pasal nanti jadi mereng……jiwa
kacau!
“Tak ada apalah. Yang kau nak pening-peningkan kepala
fikirkan pasal aku buat apa” keras suara Shahrul Riezman. Tidak pernah hilang
sikap yang suka mendesak dalam diri Hatta. Selalunya dia tidak kisah dengan
sikap Hatta…tidak pernah bertunas rasa marah bila didesak-desak, tetapi kali
ini dia benar-benar rimas.
“Aku lagi pening
tengok kau macam ni tau. Ini mesti sebab Syuhada. Tidak ada orang lain yang
dapat mengubah emosi kau selain dia” provok Hatta lagi.
“Kau ingat dia saja yang ada dalam kepala
aku ni. Aku tengok kucing bergaduh pun emosi aku berubah tau. Geram!” balas
Shahrul Riezman acuh tidak acuh. Berhikayat pada Hatta tentang wanita itu,
pasti mengundang banyak tanya. Bukan dia tidak kenal Hatta......pasti ke akar
umbi dikoreknya.
“Kalau tidak pun......bagi aku nombor
telefon dia, biar aku sendiri yang pelawa dia” Hatta menyimpan senyum melihat
Shahrul Riezman yang semakin tidak puas hati dengannya. Dia yakin tebakan dia
benar belaka. Kalau bukan Syuhada, siapa lagi yang mampu membuat Shahrul
Riezman kusut macam ini.
“Yang kau beria-ia ni kenapa?” wajah Hatta
dipandang geram.
“Tak salah kan kalau kita pelawa dia?”
“Salah tu tidak. Tapi tak sesuai” mencuka
sudah wajah Shahrul Riezman melihat Hatta yang masih tidak mahu mengalah.
“Kenapa pulak? Kau kan couple dengan dia. Aku cuma nak
memudahkan cara je. Manalah tau terbuka hatinya terima lamaran kau bila berada
dalam majlis aku nanti” sengaja Hatta mengapi-apikan perasaan Shahrul Riezman.
“Cukuplah Hatta. Tak payah sebut pasal dia lagi. Tak ada
maknanya aku couple dengan dia” Shahrul Riezman semakin berang.
“Kan betul aku cakap. Sebab Syuhada kan?”
tebak Hatta lagi.
Shahrul Riezman memandang Hatta tanpa
kata. Memang sukar untuk menyimpan rahsia dari lelaki yang bernama Hatta ini.
Bukan baru sehari dua mereka berkawan. Sudah berkurun lama....mereka akrab
melebihi hubungan adik-beradik. Setiap riak perubahan pasti dapat ditebak.
Tetapi untuk berkongsi cerita kali ini, dia merasakan ini bukan masanya.
“Ceritalah. Sekurang-kurangnya kau akan
rasa lega” pujuk Hatta perlahan.
Shahrul Riezman mengeluh perlahan. Serba
salah dibuatnya.
“Nanti-nantilah aku cerita” putusnya.
Hatta tidak terkata.
No comments:
Post a Comment