Sepanjang perjalanan mereka membisu. Melayan
perasaan sendiri dalam lalu lintas yang bergerak perlahan. Hari-hari minggu
begitu, memanglah banyak kenderaan di jalan raya. Baru sebentar tadi Syuhada
menerima pesanan dari Mazni mengatakan dia dan Aznah dalam perjalanan balik ke
Pontian. Dia masih menyimpan rasa tidak
puas hati terhadap lelaki disebelahnya ini. Tak pasal-pasal terpaksa duduk
sekereta dengan dia. Shahrul Riezman membelokkan keretanya ke kanan apabila
sampai di satu simpang. Syuhada menoleh ke arah Shahrul Riezman yang sedari
tadi menayangkan wajah tidak berdosanya itu. Macamlah bagus sangat! Tiada riak
bersalah langsung.
“Awak nak bawak saya ke mana ni?” akhirnya
dia bertanya jengkel.
“Punggur. Tempatnya tidaklah menarik tapi
bolehlah untuk menyejukkan hati awak” Syuhada terasa disindir namun dia
membatukan diri. Memang benar hatinya sedang panas mengelegak. Kalau tidak
kerana terserempak dengan Shahrul Riezman, sudah tentu dia sudah hampir sampai
ke rumahnya. Memanjakan diri berguling-guling dihadapan televisyen. Punah
harapannya untuk menikmati hari cuti sepuas-puasnya.
Punggur !. Bukan dia tidak pernah ke situ.
Apalah yang ada di situ. Pantai yang semakin terhakis dan pokok-pokok bakaunya
sudah banyak yang tumbang. Namun, tempat itu banyak mengukir kenangannya bersama
Zulhilmi. Ada sesuatu yang maha berat mula terukir di benaknya bila teringatkan
lelaki itu. Walau berkali hatinya
menegaskan dia tidak akan tewas untuk kali ini, namun ada ketika rasa hati
diamuk gusar. Kegusarannya menjadi berganda bila memikirkan campur tangan
ibunya. Dia tidak takut untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja namun tidak
ibunya.
“Saya tak nak singgah kat sini. Saya nak
balik sekarang, Riezman. Kalau awak memang berhajat nak menghayati keindahan
Pantai Punggur yang tak seindah mana tu, turunkan saya dekat jalan besar tu
aje. Saya boleh balik naik teksi” bantah Syuhada tiba-tiba. Entah mengapa
hatinya terasa serba tidak selesa. Kalau boleh, sampai bila-bila pun dia tidak
mahu lagi menjejakkan kakinya ke situ.
“Apa salahnya kita singgah sekejap. Awal
lagi, kan? Nak balik awal-awal pun bukan ada siapa-siapa dekat rumah tu” jawab
Shahrul Riezman tanpa memandang wajah wanita disebelahnya.
“Boleh tak sekali ini awak tak paksa saya.
Saya memang tak ada hati nak singgah mana-mana” Syuhada tidak mahu mengalah.
“Boleh tak sekali ini awak ikut saja
program yang telah saya aturkan?? Awak duduk diam-diam aje kat situ. Kan saya
yang pandu kereta ni” jawab Shahrul Riezman, juga tidak mahu mengalah. Tercabar
jugak ego lelakinya bila ada sahaja bantahan dari Syuhada. Ada sahaja yang
serba tidak kena pada wanita ini.
“Apalah malang nasib saya sampai boleh
terjebak dengan orang yang macam awak ni. Kusut tau kepala saya. Serabut!”
Syuhada mengeluh dihujung kata-katanya. Memang lelaki ini memang tidak pernah
reti bahasa. Dia sahaja yang betul. Kata dia sahaja yang harus dituruti.
“Hissh, apa malang pulak? Bertuah tau.
Mana ada lelaki yang sanggup ajak awak jalan-jalan makan angin petang-petang
macam ni” Shahrul Riezman tersengih-sengih menayangkan wajah kemenangannya.
“Saya tak inginlah nak berjalan-jalan
tanpa arah tujuan. Buang masa tau. Baik
saya duduk rumah tengok TV”
`Bolehlah kau berlagak, stereng kereta tu
kat tangan kau`......sakit benar hati Syuhada.
“Awak ni macam tak suka je dapat jumpa
saya”
“Tau pun” jawab Syuhada ringkas.
Shahrul Riezman meletakkan keretanya di
bawah sepohon pokok yang agak rendang tanpa mengendahkan bantahan Syuhada.
Syuhada keluar dari kereta itu lalu terus duduk di sebuah kerusi kayu yang
tersedia di situ. Hatinya kian jengkel. Lelaki ini adakalanya terlebih
melampau. Macamlah dia ada hak untuk mengatur hidup seorang Syuhada.
Eieeee.....sakitnya hati! Tetapi bila memikirkan lelaki ini adalah budak lelaki
yang pernah menolongnya suatu ketika dulu, hatinya menjadi sejuk. Tidak mungkin
dia melupakan pertolongan itu.
Lama Syuhada memerhati kawasan sekeliling.
Tidak banyak berubah walaupun sudah bertahun dia tidak menjejakkan kaki ke situ
lagi. Tidak seperti perubahan yang melanda hidupnya. Desir angin yang menyapa
lembut kulit pipinya, terasa mendamaikan. Sebentar kemudian Shahrul Riezman
duduk di hadapannya sambil meletakkan dua gelas teh tarik dan sedikit goreng
pisang. Tidak habis-habis dengan aktiviti makan. Bukankah sebentar tadi sudah
makan. Mustahil tidak kenyang-kenyang. Entah bila lelaki itu pergi membeli, dia
sendiri pun tidak sedar.
“Dah ok?” wajah dihadapannya ditatap
lembut.
“KO!” keras suara itu menjawab.
“Yang ini masih macam dulu....garang!”
tatapan matanya masih lagi tidak beralih.
“Garang??” Syuhada mengerutkan dahinya.
“Awaklah. Garang macam singa. Dulu-dulu
selalu saya dengar budak-budak lelaki yang selalu melepak dekat simpang masuk
kampung awak bergosip pasal awak”
“Gosip?? Saya tak pernah tahu pun. Apa
yang selalu awak gosipkan dengan mereka?” Syuhada agak teruja mendengar cerita
baru yang tidak pernah dia tahu ini. Dia yang tidak popular pun kena gosip. Dia
yang tidak pernah sempat untuk beramah mesra dengan teman-teman sekampungnya
pun kena gosip???
“Saya tumpang dengar je”
“Apa yang mereka gosipkan?”
“Hmmm.....ramai juga peminat awak
dulu-dulu ye. Tapi orang garang macam awak, siapalah yang berani nak mengurat”
“Tak sangka orang lelaki pun suka
bergosip” gumam Syuhada perlahan.
Agak lama mereka berdiam diri. Shahrul
Riezman masih tidak membuang pandang. Tatapan matanya masih lagi pada seraut
wajah dihadapannya.
“Awak pernah datang sini?” Syuhada sekadar
mengangguk tanpa memandang lelaki dihadapannya. Tidak mahu dia terperangkap
dalam renungan lelaki itu. Letih bila larian nadinya menjadi tidak normal setiap
kali pandangan mata mereka bersatu.
“Kenapa diam? Awak marah saya ke?” Shahrul
Riezman bertanya pura-pura tidak tahu. Sedangkan melihat raut wajah itu sahaja,
dia sudah tahu ada amarah yang terpendam.
“Awak selalu buat keputusan untuk saya,
kan. Suka-suka hati awak nak bawak saja ke mana. Awak ingat saya ni apa? Awak tak ada hak tau” kata Syuhada geram.
Tidak berkelip mata Shahrul Riezman memandang bibir mungil itu berkata. Tidak
tahu kenapa dia tertarik benar pada setiap apa yang dimiliki oleh wanita ini.
“So,
bagilah hak itu pada saya. Saya
yakin saya mampu menjalankan peranan saya. Bagi saya satu peluang.... saya akan
buktikan dan awak tidak akan menyesal” serius sahaja kata-kata Shahrul Riezman.
“Awak nak peluang apa?....peluang
perniagaan?? Tapi saya bukan kontraktor yang dapat tawarkan tender dekat awak.
Atau awak nak suruh saya buat loan dengan
bank awak? Rasanya tak perlu lagi. Saya masih mampu menyara makan minum saya. So, peluang apa yang awak nak
sebenarnya?” Syuhada kalau bab memesongkan cerita, memang dia superbbbb. Kalau sawab soalan penulisan,
memang dapat markah lima sahaja.....markah kesian. Lari dari tajuk.
“Sweet
betul la awak ni. Saya suka!”
“Eh, simpan je la rasa suka tu. Tak payah
suka-suka. Saya tak suka la orang suka-suka dekat saya” balas Syuhada tanpa
perasaan. Lemah betul dia bila tiba-tiba bicara soal rasa suka. Tidak berkenan
langsung. Lebih-lebih lagi dengan lelaki yang bernama Shahrul Riezman ini.
“Kita
bukan muda lagi Syu. Awak tentu dah cukup dewasa untuk memahami perasaan dan
keinginan saya” ke situ pula bicara Shahrul Riezman. Syuhada mengerutkan dahi
mendengar kata-kata itu. Lain macam benar lelaki ini. Hiesh....tak payahlah nak
serius sangat. Masa dan tempatnya tidak sesuai. Lagipun baru hari ini dia tahu
yang lelaki ini adalah anak Puan Rosmah.
“Kata-kata awak menakutkan saya, Riezman. Awak tak kenal siapa saya sebenarnya” Syuhada
bersuara perlahan. Dalam selamba, sebenarnya irama di hati sudah menjadi tidak
tentu arah. Namun dia keliru. Haruskah …..? Memberi peluang pada calon pilihan
Mazni. Menggantikan tempat Zulhilmi sebagai pengantin lelakinya. Namun yang
penting.......apakah penerimaan Zainab, ibunya.
“Kalau macam tu, ceritakan semuanya
tentang awak. Tapi bukankah kita dah kenal sebelas tahun yang lalu? Saya masih lagi
ingat Syuhada yang dulu.....yang malu-malu. Tak sangka dia ada di depan mata
saya sekarang. Tapi saya suka Syuhada yang ini…. lebih cantik. Lebih menggoda....bijak
dan manis” sempat lagi Shahrul Riezman
mengusik. Lain benar dengan Shahrul Riezman yang dulu.
“Terlebih gulalah pulak kata-kata awak.
Mulut awak memang manis, kan?. Macam ada ladang tebu kat tepi bibir tu, kan” balas
Syuhada geram. Lelaki memang selalu begitu. Selalu melihat pada tarikan
fizikal. Aku yang kurus kering ni pun dikata cantik......aku yang belum pernah
mempraktiskan suara halus gemersik pun dikata menggoda.......kalau nak mengayat
pun patut-patutlah Shahrul Riezman oiii.....diam-diam hati Syuhada mengutuk.
“Bila pulak awak rasa?” soal Shahrul
Riezman bersama satu ukiran senyuman pelik.
“Rasa apa?” tanya Syuhada tidak faham.
“Mulut saya lah. Tadi kan awak kata manis.
Bila awak rasa?” senyuman miang Shahrul Riezman kian melebar. Syuhada
membulatkan matanya. Ada jugak yang kena jirus dengan teh tarik tak cukup susu
ni.......
“Gatal!”
“Dengan awak seorang” ujarnya perlahan.
“Eieee, tolonglah jangan merapu
petang-petang macam ni. Sendat telinga saya ni nak dengar tau”
Shahrul Riezman memandang Syuhada. Syuhada
membalas pandangannya. Wajah Shahrul Riezman yang tenang dengan sorotan mata
yang redup tiba-tiba bagaikan menyentap hatinya. Seketika dia bagaikan hanyut
dengan renungan mata Shahrul Riezman. Lelaki penggoda kelas teratas ini memang
mampu membuat denyutan nadi Syuhada berlari kencang dengan irama yang dia
sendiri tidak tahu apa maknanya.
“Kita mungkin ditakdirkan ada jodoh, Syu.
Sebab itu terlalu banyak kebetulan yang melibatkan kita” Syuhada tersentak bila
Shahrul Riezman kembali bersuara. Jodoh????
“Boleh tak berhenti cakap benda-benda
mengarut ni. Tak mencabar minda langsunglah”
“Boleh tak awak serius, Syuhada. Cuba
jangan mengelak lagi” tergugah jugak kesabaran Shahrul Riezman dengan karenah
Syuhada. Dari dulu asyik mengelak. Benar-benar tidak terkesankah wanita ini
akan kehadirannya??
“Jangan terlalu cepat membuat tafsiran,
Riezman. Macam yang saya kata tadi … awak tak kenal saya. Sebelas tahun dulu
kita hanya saling memerhati. Tidak lebih dari itu. Kita tidak pernah kenal
antara satu sama lain. Nama pun tak tahu, kan?” Syuhada terkenang waktu itu.
Dia perasan dengan renungan lelaki itu setiap kali menghantar kelapa untuk
diparut di kedai makan Pak Cik Sahak, tempat dia bekerja sementara menunggu
waktu persekolahan pada sesi petang. Tiada perasaan lain di ketika itu kecuali
malu. Apatah lagi bila diketahui lelaki itu adalah anak Puan Rosmah, guru
kelasnya. Malu pada segala kekurangan yang ada padanya.
“Saya memandang dengan hati, sama dengan hati
yang saya miliki sekarang” luah Shahrul Riezman perlahan.
“Saya tak faham” malas Syuhada memikirkan
kata-kata Shahrul Riezman. Memandang
dengan hati???...Hati ada mata ke???
“Awak ada di hati saya sejak dulu lagi” luah
Shahrul Riezman sambil mengukir senyum.
Jantung Syuhada bagaikan mahu luruh. Tidak
menyangka terlalu cepat Shahrul Riezman berani berterus terang. Gelojoh betul
dia ni.....tunggulah besok-besok kalau betul pun hendak membeli sekeping hati,
getus hati Syuhada. Wajah Shahrul Riezman dipandang sekilas.
“Sudahlah, tak habis lagi mengarut. Kita
cerita pasal lain. Saya tak berapa nak layan soal-soal yang melibatkan hati ni”
Syuhada membuang pandang ke laut lepas. Memang benar kata Shahrul Riezman .. tidak ada apa yang menarik pun di
Pantai Punggur ini. Pantai yang semakin tercemar dan kotor. Sebab itu tidak ada
pengunjung luar yang tahu tempat ini kecuali hanya anak-anak tempatan. Tetapi
kalau diusahakan secara komersial, rasanya tempat ini sesuai juga dijadikan
salah satu pusat rekreasi. Mungkin belum ada mana-mana pihak yang nampak
potensinya.
“Hati kering!” cetus Shahrul Riezman
perlahan.
“Kuat sikit, tak dengar apa awak cakap”
pinta Syuhada biar perkataan itu jelas dipendengarannya. `Hati
kering`........... mulut jahat betul!
“Awak ni hati kering......tak cukup
perasaan. Jelas?” Shahrul Riezman mendekatkan wajahnya ke arah Syuhada.
“Tak sangka awak tahu. Saya memang dah siap-siap
salai hati saya ni. Memang cukup kering dan tahan lama” Syuhada tidak dapat
menahan senyum dengan kata-katanya sendiri.
“Kita dah dewasa Syu. Nak buat apa
mengelak. Buat apa saya nak tipu hati saya. Bila saya kata saya rindukan awak
….. saya benar-benar maksudkannya. Bila saya kata saya ingin awak jadi isteri
saya....saya memang mahukannya” debaran di dada Syuhada kembali berlagu
mendengar kata-kata itu. Namun dia masih
lagi memandang ke arah lain. Takut untuk terus bertatapan dengan Shahrul Riezman.
“Tukar topik! Saya tak nak terlibat dengan
masalah hati awak” ujarnya tanpa membiarkan hatinya terus tersentuh.
“Masalah hati saya ni puncanya awak.
Samada awak rela atau tidak, awak mesti bertanggungjawab”
“Eh, suka-suka hati awak je nak salahkan
saya. Awak yang tak pandai jaga hati awak, awak tuduh saya puncanya” protes
Syuhada geram.
“Saya ingin berkongsi segala sesuatu
dengan awak, Syu” tanpa mempedulikan protes Syuhada, Shahrul Riezman meluahkan
apa yang dia rasa. Setelah dia mengetahui Syuhada adalah gadis yang sering
diperhatikannya sebelas tahun yang lalu, keinginannya bertambah kuat.
“Saya tak nak kongsi apa-apa dengan awak” balas
Syuhada pantas. Tanpa timbang rasa langsung.
“Saya ingin awak jadi isteri saya” Shahrul
Riezman berterus terang.
“Oooo....Ingin? Hanya satu keinginan?
Maksudnya kalau dapat okay, kalau tak dapat pun tak apa? Bukan dengan niat
bersunguh-sungguh? Tak apa, esok lusa rasa ingin awak tu hilanglah” Syuhada
bersuara selamba. Shahrul Riezman yang berada di hadapannya memandang geram.
Susah sungguh bercakap dengan wanita yang hati kering ini. Puas sudah dia mengayat,
sedikit pun tidak tersentuh.
“Awak mainkan kata-kata saya ye, Syu?”
“Mana
ada!. Tapi awak tak patut buat saya macam ni. Selama ini pun awak tak pernah
kata awak cintakan saya....sayangkan saya, kan?. Tiba-tiba cakap pasal isteri
bagai pulak. Tak masuk akal tau” ujar Syuhada tanpa perasaan. Jauh di sudut
hati dia tetap meragui setiap kata-kata lelaki itu. Memang tidak boleh diterima
akal warasnya. Atas dasar apa dia ingin aku jadi isterinya? Simpatikah? Simpati
kerana dialah gadis miskin sebelas tahun dulu. Personaliti Shahrul Riezman
tidak sedikit pun sama dengan budak lelaki anak Puan Rosmah dulu.
“Cinta
orang dewasa Syu. Tak perlu diucap di bibir. Cukup untuk dirasa. Awak tak rasa
apa-apa? Di sini?” Shahrul Riezman meletakkan tangan di dadanya. Syuhada
memandang dengan wajah bersahaja biarpun kata-kata Shahrul Riezman tadi mencuit
hati kecilnya. Cinta orang dewasa?? Cukup untuk dirasa??......Manis benar
kata-kata makhluk lelaki ini.
“Rasa apa? Rasa pahit air teh ni adalah....kurang
susu!” Shahrul Riezman ketawa kecil sudahnya. Cukup faham dia dengan perangai
Syuhada. Sentiasa mengelak bila diajak bercakap soal hati dan perasaan.
Kadang-kadang dia pelik dengan sikap Syuhada. Ada waktu Syuhada memberi
tindakbalas yang positif …. Menggoda. Namun ada ketikanya terlalu sukar untuk
mencari reaksi di wajah sendu itu. Apa yang tersirat sebenarnya?
“Awak
memang Sweet, Syu”
“Awak ni tak romantiklah Riezman. Ada
pulak main rasa-rasa. Zaman sekarang ni bahasa tubuh pun orang tak faham tau.
Semuanya mesti ada dalam penyataan lisan. Awak kena buat surat rasmi yang
menyatakan awak memang betul-betul sukakan saya, sayangkan saya dan cintakan
saya. Barulah boleh dipercayai. Barulah boleh saya pertimbangkan sama ada nak
ke tidak jadi isteri awak” Shahrul Riezman ketawa besar. Lawak betullah Syuhada
ni. Surat rasmi konon!....Logik sangatlah tu. Beberapa orang yang ada
berhampiran dengan mereka menoleh ke arah mereka.
“Ohhh .. awak ni jenis yang romantiklah
ye. Kalau macam tu, kita kena
kahwin cepatlah. Baru tau
sejauh mana romantiknya saya. Nak tunjuk sekarang takut awak tak tahan....lagipun
berdosa kalau nak terlebih romantik sekarang” Syuhada menjegilkan matanya
mendengar kata-kata Shahrul Riezman.
“Gatal!”
“Siapa yang mulakan dulu” Shahrul Riezman
tersenyum lawa. Memang kacak pun dia walau tidak setanding Remy Ishak.
“Saya rasa awak bukan budak lelaki yang
dululah”
“Eh, kenapa pulak?”
“Budak lelaki tu nampak sopan je. Awak
pulak.......ermmm...macam langit dengan bumi”
“Yang dulu tu belum akil
baligh.....memanglah kena sopan-sopan gitu” balas Shahrul Riezman sambil
ketawa-ketawa. Sudahnya Syuhada pun ikut ketawa sama. Terasa indahnya suasana
petang itu bila ketawa mereka bersatu.
Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata
sedang memerhatikan gelagat mereka sejak dari tadi. Sejak mereka duduk di situ
sambil berbual dengan gaya yang agak mesra. Orang yang melihat pasti menyangka
mereka adalah pasangan kekasih. Ketawa mesra begitu, tentulah sedang asyik
berkasih. Hatinya bagaikan ditusuk belati yang maha tajam melihat kemesraan
pasangan itu. Semakin dipandang, semakin bergelora rasa marahnya. Diam-diam dia
mengepal penumbuknya. Patutlah kau berubah …. ? Desis hatinya marah. Dia
berjalan menghampiri pasangan itu bila dilihatnya mereka mula bergerak untuk
beredar meninggalkan tempat itu.
Syuhada terperanjat apabila tiba-tiba
tangannya direntap dengan kasar sewaktu dia hendak membuka pintu kereta.
Darahnya tambah berderau apabila terpandangkan wajah lelaki yang memegang
tangannya dengan kuat itu. YA ALLAH, malapetaka apa pula yang menimpa ini!
“Hilmi? Apa Hilmi buat dekat sini?” tanya
Syuhada dengan nada terketar-ketar....ketakutan luarbiasa walaupun sepatutnya
dia tidak perlu ada rasa takut itu. Melihat wajah bengis lelaki itu, hatinya
kalut.
“Sepatutnya aku yang tanya kau, apa yang
kau buat dekat sini?” suara Zulhilmi kedengaran kasar. Amarahnya sudah
memuncak. Bertahun dia menyimpan rindu …. bertahun jiwanya diamuk sengsara.....Ini
rupanya balasan Syuhada. Syuhada mula merasa sebak. Lelaki ini betul-betul
berubah. Tidak pernah dia dikasari seumpama ini sepanjang mereka bersama dulu.
Shahrul Riezman yang sudah masuk ke dalam
kereta keluar semula. Dia memandang wajah Syuhada dan lelaki yang tidak
dikenali itu silih berganti. Hilmi! … Bukankah nama itu yang pernah disebut
oleh Syuhada sewaktu mereka di Tanjung Piai dulu? Lelaki yang disebut itu
memang benar-benar wujud. Dan sekarang berada dihadapannya.
“Apa ni saudara? Tolong lepaskan tangan
Syuhada” dia bersuara cuba
mengendurkan suasana yang tegang. Dia dapat mengesan riak ketakutan di wajah
Syuhada. Siapa lelaki itu? Apa
hubungannya dengan Syuhada? … Hatinya tertanya-tanya sendiri.
“Kau diam!. Kau tahu tak siapa perempuan
yang kau bawak ni? Dia tunang
aku. Kau tahu tak???? Tak ada
sesiapa yang boleh rampas dia dari aku” mencerlung biji mata Zulhilmi memandang
Shahrul Riezman. Ikut rasa hati, mahu dicekiknya lelaki itu. Marahnya tidak
dapat dibendung lagi. Patutlah beria-ia Syuhada menolak untuk berkahwin
dengannya,..... sudah ada jantan lain rupanya!
Shahrul Riezman terkejut mendengar
kata-kata itu. Tunang? Syuhada tunang lelaki itu? Syuhada sudah bertunang?
Perasaannya bercampur aduk. Rasa hatinya bagaikan ditekan-tekan. Benarkah????
Dia sedang menjalin hubungan dengan tunang orang?? Ya ALLAH.... apa semua ni?
“Sudahlah Hilmi. Tolonglah lepaskan tangan
Syu. Syu sakitlah” Syuhada cuba bersuara lembut. Dia semakin takut memikirkan sikap Zulhilmi.
Benarkah dia sudah sembuh? Waraskah dia diketika ini? Ya Allah.....tolonglah,
tolong selamat dia yang dalam keadaan tersepit itu.
“Apa yang Syu buat ni? Kita kan nak kahwin
tak lama lagi. Buat apa Syu keluar dengan lelaki lain?” suara Zulhilmi lembut
semula sambil memandang Syuhada. Fikirannya mula bercelaru. Kepalanya sakit
tiba-tiba.
“Kita dah tak ada apa-apa ikatan Hilmi.
Cubalah faham. Kita tak mungkin macam dulu lagi” Syuhada berhati-hati
mengeluarkan kata-kata. Dia tidak mahu nanti kata-katanya akan menyinggung
perasaan Zulhilmi. Shahrul Riezman sekadar memerhati. Sungguh benar dia tidak
mengerti drama apa yang sedang ditonton.
“Kenapa? Sebab kau dah ada lelaki itu? Dia lebih baik dari aku kan? …. Tak sakit
macam aku? Kau fikir kau boleh lepas dari aku, Syuhada. Sampai ke mati aku tak
akan lepaskan kau” Syuhada tidak menduga kata-kata itu akan keluar dari mulut
Zulhilmi.
“Kau ikut aku!” arah Zulhilmi lagi sambil
menarik tangan Syuhada dengan kasar. Hilang sudah kesabarannya.
“Tolonglah Hilmi, lepaskan Syu. Syu nak
balik” rayuan Syuhada langsung tidak dihiraukan. Shahrul Riezman yang melihat
sedari tadi merasa tercabar. Rayuan Syuhada menimbulkan belas di hatinya.
“Hey… kau dengar tak apa dia kata. Lepaskan dia, dia tak nak ikut kau” jerkah
Shahrul Riezman sambil menolak bahu Zulhilmi.
“Tak ada perempuan lain ke yang kau nak
bawak selain dari tunang aku?? Dia tunang aku!” jerit Zulhilmi.
Zulhilmi memandang lelaki itu dengan
geram. Amarahnya sudah berada di kemuncak. Dia melepaskan Syuhada. Tanpa diduga dia
melepaskan satu tumbukkan ke muka Shahrul Riezman. Terkena di bibirnya. Shahrul
Riezman terdorong ke belakang. Syuhada memegang lengan Shahrul Riezman untuk
menghalangnya membalas tumbukkan itu. Beberapa orang lelaki berkejar ke arah
mereka apabila melihat kekecohan itu.
“Apa ni Hilmi, kenapa buat kecoh dekat
sini?” tanya salah seorang dari mereka. Syuhada memandang ke arah pemilik suara itu. Abang Bahar! Memang dia mengenali lelaki itu. Salah seorang ahli
keluarga Zulhilmi. Lelaki itu memandang Syuhada dengan sinis. Perempuan inilah
yang mengacaubilaukan hidup adik bungsunya itu. Perempuan inilah yang telah
meletakkan adiknya dalam satu garis hidup yang tidak menentu. Sungguh dia amat
membenci perempuan ini!..... Sejak dulu lagi dia memang tidak berkenan dengan
Syuhada.
“Maafkan Syu, abang Bahar. Syu tak tahu
Hilmi pun ada di sini. Syu tak bermaksud menyinggung hatinya” Syuhada berkata
kepada lelaki yang memegang Zulhilmi dengan nada yang amat perlahan.
Sesungguhnya dia amat menyesal dengan kejadian itu. Terlalu kesal!
Tanpa berkata apa-apa, lelaki itu menarik
Zulhilmi meninggalkan tempat itu. Hati Syuhada tersentuh melihat tindakan Bahar
yang langsung tidak mahu memandang wajahnya. Apakah mereka masih menyalahkan
aku? …. Ya ALLAH , apa yang harus aku lakukan? Hatinya merintih hiba.
`Zulhilmi....janganlah kau
apa-apa`....doanya dalam hati.
“Awak tak apa-apa?” tanya Shahrul Riezman
sambil menyentuh bahu Syuhada. Syuhada sekadar menggeleng lalu membuka pintu
kereta. Wajah Shahrul Riezman pun tidak sanggup dipandang. Sekali lagi dia
merasa tewas pada Shahrul Riezman. Ditewaskan oleh perasaan malu. Tidak
sepatutnya lelaki ini terjebak dalam kejadian ini. Tidak sepatutnya lelaki ini
melihat semua rentetan ini.
Tanpa bersuara dia terus masuk ke dalam
kereta. Tidak lama kemudian Shahrul Riezman turut masuk ke dalam kereta. Lama
dia mendiamkan diri sebelum menghidupkan enjin kereta. Dia menarik nafas
panjang. Kelopak matanya ditutup rapat. Persoalan di atas segala sikap Syuhada
selama ini terjawab sudah. Teka silangkatanya sudah lengkap. Dia meraup
wajahnya lalu beristigfar di dalam hati. Rupa-rupanya Syuhada tunangan orang.
Hatinya mengeluh berkali-kali. Dengan hati yang hancur berkecai, dia
menghidupkan enjin kereta lalu bergerak meninggalkan tempat yang tidak mungkin
akan dilupakan itu.
Bagi Syuhada, sekali lagi Punggur mengukir
sejarah dalam hidupnya. Kesal di hatinya bertimpa-timpa setiap kali terbayang
wajah Zulhilmi. Tabahkah lelaki itu menghadapi kenyataan ini? Jauh di sudut
hatinya, dia tetap menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak berkeras membantah
tatkala Shahrul Riezman membelokkan keretanya ke sini tadi. Bukannya dia tidak
tahu, Punggur adalah tempat Zulhilmi
melepak bersama geng-geng motosikalnya. Ke mana Zulhilmi hendak membawa diri
tatkala sunyi kalau bukan ke Punggur. Agh, … salah aku sendiri! Berkali-kali dia mengeluh menyalahkan diri
sendiri. Shahrul Riezman menjeling ke arahnya setiap kali gadis itu melepaskan
keluhan. Namun Syuhada bagaikan terlupa akan kehadiran lelaki di sebelahnya.
“Dekat mana rumah awak?” Syuhada terkejut
mendengar pertanyaan itu. Dia
bagaikan baru tersedar yang mereka masih berada di dalam kereta. Kepalanya
sarat dengan resah. Jiwa dan perasaannya ditekan dengan rasa gelisah. Ngeri
memikirkan tindakan dan nasib Zulhilmi selepas ini. Janganlah jadi seperti dulu
lagi.....dia sudah tidak sanggup dipersalahkan.
“Turunkan saya dekat depan sekolah agama
batu 41” jawab Syuhada perlahan. Dia merasa serba-salah untuk memandang wajah
Shahrul Riezman. Ada rasa terkilan di satu ruang dalam hatinya.
“Saya tanya, dekat mana rumah awak? Saya hantar sampai depan rumah” Suara Shahrul
Riezman agak keras … tidak puas hati dengan jawapan Syuhada tadi. Syuhada
tersentak. Terkejut melihat Shahrul Riezman yang berubah watak. Arghhh,
lelaki......memang selalu menyulitkan keadaan!
“Tak payah! Turunkan saya di tepi jalan saja” keras juga suara Syuhada. Tak payah nak
tunjuk baik...aku bukan harap sangat simpati kau.......hatinya diamuk geram.
Sakit hati kerana Shahrul Riezmanlah yang memaksa dia singgah di Punggur tadi.
“Degil, keras kepala, hipokrit!” Shahrul
Riezman melepaskan rasa sakit hatinya. Syuhada memandang wajahnya geram
bercampur hiba.
“Awak tak ada hak cakap macam tu”
“Memang. Memang saya tak ada hak. Tapi
itulah gambaran diri awak, Syu. Saya tak tau apa yang terjadi antara awak
dengan tunang awak. Tapi kalau saya tunang awak pun saya akan marah kalau awak
keluar dengan lelaki lain” air mata mula bergenang di kelopak mata Syuhada
apabila mendengar kata-kata itu keluar dari rekahan bibir Shahrul Riezman. Lelaki
itu pun menyalahkan dia! Tanpa tahu cerita sebenar, lelaki itu telah meletakkan
semua kesalahan dipihaknya.
“Awak yang ajak saya ikut awak, Riezman.
Saya tidak pernah menawarkan apa-apa untuk awak” Syuhada bersuara perlahan. Dia
merasa benar-benar letih melalui semua kejadian ini.
“Ya, saya akui. Tapi saya tak tahu awak
dah bertunang. Kalau saya
tau, tak mungkin saya akan lakukannya. Saya tak mungkin mengganggu tunang
orang. Ramai lagi perempuan lain yang nakkan saya” suara Shahrul Riezman masih
lagi kedengaran kasar. Angkuh benar kata-katanya.
“Okey,
fine. Saya terpaksa ikut segala
paksaan awak, saya yang salah. Memang
semuanya salah saya. Siapa yang paksa saya ikut awak pergi Punggur tu kalau
bukan awak. Saya memang tak nak ke situ tadi” Syuhada mula berjauh hati.
“Patutlah beria-ia tak nak ke situ. Takut
tertangkap dengan tunang sendiri kan?” tuduh Shahrul Riezman tanpa timbang
rasa.
“Turunkan saya depan sekolah tu” hati Syuhada bagaikan
dicincang lumat. Tiada beza Shahrul Riezman dengan orang lain.
Shahrul Riezman memberhentikan keretanya
betul-betul di hadapan sekolah seperti yang dipinta oleh Syuhada. Dia memandang
sekeliling. Tak nampak pun kawasan perumahan di sini. Mana rumah dia?
“Terima kasih untuk segala penghinaan,
Encik Shahrul Riezman” ucap Syuhada sambil memandang lelaki yang sering
mengusik hatinya kebelakangan ini.
Shahrul Riezman membalas pandangannya.
Lama mereka berpandangan. Seakan ingin disentuh kesan air mata di pipi Syuhada.
Hatinya diamuk pilu tiba-tiba. Syuhada.....seru hatinya tidak menentu.
“Kenapa awak main-mainkan saya, Syu?” tanya
Shahrul Riezman perlahan. Luluh hatinya menatap sinar bening mata itu. Syuhada
menggelengkan kepalanya tanpa kata.
“Kenapa awak tak pernah bagi tau yang awak
dah bertunang, Syu. Nak kahwin tak lama lagi!” sambungnya lagi.
Hatinya pilu. Hati Syuhada lagilah pilu.
Rahsia di hati … hanya dia yang tahu. Air mata yang bergenang tadi mula merembes keluar menuruni pipinya. Shahrul
Riezman terkesima. Syuhada melangkah keluar tanpa menjawab pertanyaan itu. Dia
terus melangkah bersama air mata yang semakin laju. Shahrul Riezman memandang
wanita itu sehingga bayangnya hilang
dari pandangan. Inikah akhirnya? Akan hilangkah seorang Syuhada dari
hidupnya????
Sesampainya dia di rumah, Puan Rosmah
terkejut melihat kesan lebam di bibir Shahrul Riezman. Puas dia bertanya namun
anak itu hanya mendiamkan diri. Puan Rosmah hairan sendiri. Sewaktu
ditinggalkannya tadi, Shahrul Riezman elok sahaja bersama Syuhada. Apa yang
terjadi? Siapa yang menumbuk anaknya itu? Sikap Shahrul Riezman yang hanya berdiam
diri tambah mengelirukannya.
No comments:
Post a Comment