Saturday, May 28, 2011

Bab 14



Syuhada memandang jam di tangannya. 1.25 tengahari … lima minit lagi… bisik hatinya. Kira awallah ni. Selepas loceng berbunyi tadi dia bergegas keluar dari kawasan sekolah. Dia keluar dari keretanya lalu berjalan menuju ke arah kaki lima MayBank.
Shahrul Riezman sampai tepat pada masanya. Kebetulan dia dapat meletakkan keretanya bersebelahan dengan kereta Syuhada. Sama jenis dan Sama warna. Patutlah Syuhada tersilap kereta di pertemuan pertama mereka dulu. Tidak sukar untuk dia mengenali Syuhada. Namun benarkah itu Syuhada.  Terpegun dia dengan penampilan Syuhada hari ini. Lain dari kebiasaan. Benarkah wanita itu? Soal hatinya sekali lagi. Syuhada kelihatan anggun dengan baju kurung warna kuning air berbunga merah hati, bertudung sedondon dengan warna bunga bajunya dan berkasut tumit tinggi. Kerja kilang pun bergaya sampai macam itu sekali. Sungguh ada class. Dia keluar dari keretanya sambil mengamit Syuhada. Dia tersenyum menyambut kehadiran Syuhada yang juga tersenyum. Manis sungguh. Tanpa suara Syuhada terus masuk ke dalam kereta lelaki itu. Hatinya khuatir kalau-kalau ada orang yang mengenalinya melihat dia di situ. Shahrul Riezman turut masuk ke dalam keretanya. Lama dia memandang wajah putih bersih itu. Hanya memandang tanpa suara. Tujuh hari dia tidak dapat memandang wajah itu. Terasa rindunya terlerai satu persatu.
“Hello … nak tengok muka saya aje atau kita nak pergi lunch. Ataupun dah kenyang dengan tengok je muka saya ni?” Syuhada bersuara geram. Shahrul Riezman tersenyum.
“Kita lunch. Syu ada cadangan di mana?” tanya Shahrul Riezman perlahan. Masih lagi menatap wajah Syuhada. Tanpa sedar dia tidak lagi memanggil Syuhada dengan panggilan awak.
“Tak ada. Tapi kalau boleh tak nak di sekitar bandar” suaranya pun perlahan .. mengimbangi suara Shahrul Riezman. Dia dapat merasakan keakraban yang amat mesra. Dia dapat menghidu aroma yang dipakai oleh lelaki itu. Sudah tentu ianya mengundang debaran yang tidak menentu di hati. Dan itulah rasa yang paling tidak digemari. Rasa yang sekejap sejuk, sekejap panas. Dan rasa itu juga hanya dirasai bila lelaki ini ada hampir dengannya.
“Kenapa tak nak di bandar?  Takut siapa nampak?” Shahrul Riezman bertanya sinis. Dia dapat merasakan yang Syuhada sentiasa risau jika mereka dilihat berdua. Oleh siapa? Dia sendiri tidak pasti.
“Awak ni banyak tanyalah. Saya tak banyak masa tau. Around 3 o’clock saya nak balik” Syuhada mendengus perlahan. Banyak sangat tanya….
           
Kereta Shahrul Riezman mula bergerak perlahan. Di kepalanya sudah terbayang Kayu Ara Resort. Agak jauh dari Bandar Pontian namun tempat itu agak mendamaikan. Syuhada hanya berdiam diri sambil mendengar lagu ‘Pesan buat kekasih’ dendangan kumpulan Spring dari saluran radio yang dipasang oleh Shahrul Riezman. Suara mendayu-dayu Ameng betul-betul meninggalkan kesan di hatinya.
Jika ada kesilapanku 
Maafkanlah diriku oh sayang 
Dan izinkan aku bertanya 
Mengapa kau berubah hati 
Kiranya kau ada penggantiku 
Tetapi hidupmu tak bahagia 
Relaku memaafkanmu 
Dan menerimamu sayang 

            “Khusyuk betul Syu dengar lagu tu. Ada apa-apa ke?” tegur Shahrul Riezman bila dilihatnya Syuhada leka mendengar lagu kumpulan Spring itu.
            “Bagus kan lelaki tu, kekasih dia pergi pada lelaki lain pun, dia tetap mendoakan kekasihnya dan boleh menerimanya semula” tanpa sedar itu pula yang keluar dari mulutnya. Shahrul Riezman tergamam seketika. Tidak menyangka Syuhada akan berkata begitu.
            “Mencintai tak semestinya memiliki Syu. Kita akan bahagia melihat orang yang kita cintai tu bahagia” kata-kata Shahrul Riezman membuat Syuhada memandang wajahnya lama. Dia cuba mencari kebenaran pada kata-kata lelaki itu. Aduhai.....apa guna menyinta andai tidak bersatu???.... dia benar-benar tidak mengerti. Andai Zulhilmi kembali suatu hari nanti......dapatkah aku memaafkan dan menerimanya semula??????????
            “Kita dah sampai. Jom turun. Mesti Syu suka makan dekat sini” Syuhada turun dari kereta sambil memandang persekitarannya. Dia tidak pernah sampai di situ. Memang dia suka. Redupnya suhu sekitar.....padahal  cuaca bukan main terik lagi.
            “Inilah Kayu Ara Resort” suara Shahrul Riezman begitu hampir di telinganya. Aromanya begitu jelas di deria baunya. Syuhada tidak berani menoleh. Menoleh bererti dia akan bertatapan dengan mata itu.  Dia tidak sedar bila lelaki itu berdiri dekat  di sebelahnya.
            “Saya tak tahu pun ada tempat macam ni di Pontian” Syuhada mula melangkah. Shahrul Riezman melangkah seiring dengannya. Mereka mengambil tempat agak jauh dari kuanter makanan.
            Syuhada masih lagi memerhati di sekelilingnya. Dia tidak pernah menyangka ada restauran di bina di atas tasik buatan seperti ini di bandarnya. Deruan air pancut di tengah-tengah tasik itu mendamaikan serta menyejukkan suhu sekeliling yang agak panas. Shahrul Riezman mengambil kesempatan itu untuk menatap wajah Syuhada puas-puas. Tiba-tiba dia terpandang tanda nama Syuhada yang di pin pada hujung tudung sebelah kiri. Logo yang ada pada tanda nama itu mengingatkan dia kepada sesuatu. Kerja kilang konon.....kerja kilang pun pakai tanda nama ke????
“Cikgu Syuhada …” tercetus nama itu di bibirnya. Syuhada pantas menoleh ke arah Shahrul Riezman bila mendengar nama yang keluar dari mulut lelaki itu. Wajah tidak puas hati lelaki itu dipandang dengan selamba.
            “Syu tipu saya” protesnya geram.
            “Saya tak tipu, cuma tak beritahu perkara yang sebenar” Syuhada tersenyum di hujung kata-katanya sendiri.
            “Bunyinya lain … maknanya tetap sama kan??” Shahrul Riezman memulangkan kata-kata Syuhada dulu.  Akhirnya Syuhada ketawa bila dia pun teringat akan kata-kata itu.
            “Mana awak tahu?” tanya Syuhada di hujung ketawanya.
            “Logo Jabatan Pendidikan Negeri dekat name tag Syu tu saya kenal benar. Dah sebati dalam hidup saya” senang hati Shahrul Riezman melihat wajah ceria Syuhada. Bonus baginya bila Syuhada menunjukkan reaksi yang positif begini.
            “Kenapa tipu??”
            “Mana ada tipu....dulu pun saya pernah kerja kilang”
            “Lepas tu, tak pasal-pasal dia bawak diri. Konon-konon terasa hati, merajuk...”
            “Mana ada.....awak je yang pandai-pandai buat persepsi. Mana ada merajuk. Kalau saya nak merajuk pun tentulah pada yang sayang kan?” Syuhada buat muka selamba.
            “Saya sayang awak apa?”
            “Cukup-cukuplah merapu tu, Encik Shahrul Riezman. Hilang nilai sayang tu nanti kalau sering diluah pada tempat yang salah” Shahrul Riezman sekadar tersenyum mendengar kata-kata wanita itu. Tetapi hati kecil Syuhada tetap terkesan dengan frasa ‘saya sayang awak’. Benarkah sayang??....Sayang bagaimana??...Bukankah suatu ketika dulu, Zulhilmi pun meluahkan kata sayang???.....Benarlah kata orang.....bila hati menyentuh rasa yang sama, jiwa melahirkan  perasaan yang indah.. Bila kata mengusik, minda akal mengujudkan reaksi berbeza. ...
            “Saya masih tak puas hati....kenapa Syu cakap Syu kerja kilang?” pertanyaan yang sama sekali lagi.
            “Apa bezanya? Kalau saya kerja kilang kenapa??....cikgu pulak kenapa??”
            “Tak adalah kenapa.....kalau kerja kilang pun saya nak,....kalau cikgu pun saya tetap sudi” Syuhada tergelak mendengar jawapan Shahrul Riezman. Iyelah sangat tu......
            “Jangan terlalu banyak terlepas kata Riezman. Nanti tak larat nak tarik balik” balasnya sambil memandang wajah dihadapannya dengan agak lama.

            Hidangan yang mereka pesan tiba. Nasi putih, tom yam, telur dadar dan sedikit pencuci mulut betul-betul membuka selera mereka berdua. Shahrul Riezman menyendukkan nasi ke pinggan Syuhada. Syuhada terkesima. Tidak pernah seumur hidupnya seorang lelaki melayannya sebegitu. Budaya hidup keluarganya yang agak berbeza dengan orang lain tidak membolehkan dia melihat perlunya lelaki melayan kaum wanita dengan wajar. Lama dia memandang wajah Shahrul Riezman. Hatinya mula berlagu dengan irama yang dia sendiri tidak tahu akan maknanya.
            “Makanlah … saya tahu Syu lapar. Kalau boleh saya pun Syu nak makan, kan?” suara Shahrul Riezman mengejutkannya. Syuhada sekadar mencebik mendengar gurauan Shahrul Riezman. Tetapi memang pun dia lapar. Waktu rehat tadi dia hanya minum secawan  air dan sepotong kuih. Iyelah.....ada lunch date dengan lelaki inilah katakan.
            “Macam mana tempat ni? Kalau saya rasa resah....jiwa saya gelisah, saya selalu datang ke sini sebab di sini damai, tenang dan cuacanya agak sejuk” Shahrul Riezman berkata sambil menyenduk kuah tom yam ke dalam mangkuk kecil yang disediakan. Dan kemudian diletakkannya dihadapan Syuhada.
            “Saya tak pernah sampai sini. Tak pernah tau pun tempat ni ada. Saya pun suka tempat ni.  Hilang rasa penat bekerja tadi” Syuhada menjawab santai namun apa yang dikatakan itu memang benar. Kali pertama datang dia sudah suka tempat itu. Ketenangan dan kedamaian alam maya yang dirasakan, betul-betul mampu merehatkan fikirannya.
            “Awak selalu datang sini dengan siapa?” tanya Syuhada lagi apabila dilihatnya Shahrul Riezman begitu berselera menyuap nasi ke dalam mulutnya. Tomyamnya memang sedap. Cukup masam dan pedasnya.
            “Nak korek rahsia ke?” tanya Shahrul Riezman mengusik.
            “Eleh, mana ada. Saya tanya aje. Manalah tahu lelaki di sebelah saya ni sebenarnya suami orang atau tunang orang. Kalau tidak pun kekasih orang. Saya tak nak nanti ada orang yang berkecil hati dan tersalah anggap. Lebih teruk…tak pasal-pasal nanti saya kena serang” kata Syuhada jelas. Dia memang begitu orangnya. Cakapnya jelas dan tidak berbelit-belit. Dia memang suka berterus terang.
            “Tak payah risaulah. Syu tak mungkin mengecilkan hati sesiapa. Selalunya saya datang dengan Hatta. Tapi nampaknya lepas ni datang soranglah?”
            “Kenapa pulak?” tanya Syuhada kehairanan. Dia dapat meneka siapa Hatta yang dimaksudkan. Dia tidak pernah nampak Shahrul Riezman dengan orang lain kecuali dengan kawan lelakinya yang seorang itulah.
            “Hatta dah nak kahwin bulan depan”
            “Oh ya. Nanti bolehlah awak sampaikan ucapan tahniah saya pada dia ye. Awak bila lagi? Rasanya dah cukup syarat untuk jadi suami orang” tanpa disedari, Syuhada melemparkan pertanyaan.
            ‘Alamak! Kenapa mulut aku celupar sangat? Ada ke patut tanya soalan macam tu? Hisy, cari penyakit!’ Syuhada mengutuk dirinya sendiri.

            Syuhada sedar dirinya sedang diperhati. Sedaya mungkin dia berlagak selamba. Shahrul Riezman diam tanpa menjawab pertanyaan itu. Sekadar dibiarkan soalan itu berlalu pergi dibawa waktu yang berdetik tanpa henti. Masing-masing diam, membiarkan suasana hening. Hanya ditemani dengan suara deruan angin sepoi-sepoi bahasa dan irama pancutan air di tengah tasik sambil meneruskan suapan mereka.

            Syuhada menarik gelas berisi air sirap yang dipesannya tadi. Ketika tangannya ingin mencapai tisu, tidak terduga tangannya berlaga dengan tangan Shahrul Riezman yang kebetulan mempunyai tujuan yang sama. Shahrul Riezman sengaja membiarkan tangannya berada di atas tangan Syuhada lama. Syuhada mengalihkan pandangan pada tangannya. Dalam diam Shahrul Riezman merenung raut gadis di sebelahnya. Keningnya yang halus terbentuk kemas di atas kelopak mata yang redup. Mata gadis itu tidak bulat tetapi mata hitamnya penuh dan mampu menarik hati sesiapa sahaja yang merenung anggota deria itu. Segala apa yang dimliki oleh Syuhada mengingatkan dia kepada seseorang. Memang benar-benar mirip. Redup pandangan mata itu serupa benar milik seorang dia. Di mana dia sekarang?

            Bunyi deringan telefon bimbit Shahrul Riezman yang terletak di atas meja menyelamatkan keadaan. Syuhada menarik nafas lega. Sebentar tadi, tiba-tiba dia diserbu satu perasaan aneh. Namun dia tidak suka dengan perasaan aneh yang tiba-tiba menguasai hatinya itu. Dia menjeling ke arah Shahrul Riezman yang sedang menjawab panggilan telefonnya. Dia dapat melihat satu senyuman di hujung bibir lelaki itu. Tiba-tiba dia terasa bahunya dicuit.

            “Nah, mama nak cakap dengan bakal menantu dia” Shahrul Riezman menghulurkan telefon bimbitnya sambil tersenyum lawa.
            ‘Bakal menantu? Buang tabiat ke apa Riezman ni’ hatinya mengerutu sendiri.
            “Cakaplah Syu!” desak lelaki itu sambil meletakkan telefon bimbitnya di telinga Syuhada. Mahu tidak mahu, Syuhada terpaksa mengikut paksaannya bila suara di hujung talian mula kedengaran. Dengan agak kasar dia menepis tangan Shahrul Riezman lalu memegang sendiri telefon itu.
            “Assalamualaikum … Puan” dia memulakan bicaranya. Debaran di dadanya hanya Tuhan yang tahu. Namun rasa debar itu semakin menghilang bila suara di sebelah sana kedengaran mesra dan penuh keibuan.

            Dalam diam Shahrul Riezman memerhati dan mencuri dengar perbualan mereka. Puan ! Hatinya terasa lucu bila Syuhada memanggil ibunya dengan panggilan itu. Terlalu formal. Maklumlah cikgu. Lima minit kemudian, Syuhada meletakkan telefon itu di atas meja semula sambil merenung Shahrul Riezman tajam.

            “Puas hati” marahnya geram.
            “Marah? Janganlah ambik hati. Ini baru langkah pertama” Shahrul Riezman menjawab santai sambil menyandarkan tubuhnya pada penyandar kerusi. Wajah berona merah itu dipandang dengan segenap rasa. Andailah kau dapat merasai apa yang aku rasa................
            “Tak ! Tak marah. Saya suka, maklumlah dapat cakap dengan bakal ibu mertua, kan?” Syuhada masih lagi menyimpan geram. Namun bila mengingatkan suara perempuan tadi yang lembut, tenang dan mesra, hatinya sejuk. Dia menyedut semula minumannya tadi.
            “Hah … macam nilah yang saya suka. Esok saya bawak Syu jumpa mama ye”  sakat Shahrul Riezman lagi tanpa peduli kata-kata Syuhada yang bernada sindiran tadi.
            Syuhada hampir tersedak. Tegukannya terhenti. Shahrul Riezman ketawa senang hati. Sesaat dua berlalu, dia kembali menyedut minumannya. Sekilas dia menjeling jam di pergelangan tangannya. 2.30 petang. Dia harus pulang. Shahrul Riezman faham dengan tindak tanduk wanita itu. Tanpa di suruh dia pun berdiri dan menunggu Syuhada berdiri sebelum memulakan langkah.
            Mereka meninggalkan Kayu Ara Resort dengan rasa puas hati. Terutamanya Shahrul Riezman. Setelah seminggu menjejaki Syuhada akhirnya kesabarannya di balas dengan pertemuan ini. Sungguh lumayan. Memang manis buah sabar itu.

            “Saya ada jawapan untuk soalan Syu tadi, nak dengar tak?” Shahrul Riezman bersuara memecahkan keheningan di antara mereka. Dia menjeling wanita di sebelahnya sekilas.
            “Soalan apa?” tanya Syuhada tidak mengerti. Apa soalan aku tadi???
            “Syarat untuk menjadi seorang suami. Cuma satu saja syarat yang belum dipenuhi”
            Hati Syuhada berdetik semula. Dia tidak menyangka Shahrul Riezman akan menimbulkan persoalan itu semula.
            “Apa dia?” Syuhada menggigit bibirnya sendiri. Kenapalah gatal sangat mulut aku ini.
            “Persetujuan dari calon isteri !” sekali lagi Shahrul Riezman menjeling wanita di sisinya. Kali ini Syuhada memberanikan diri membalas pandangannya dengan wajah selamba.
            “Dah mintak persetujuaan dia ke belum?” tanya Syuhada tenang. Cuba mengusir jauh-jauh tanggapannya terhadap lelaki itu.
            “Dah. Dah dua kali saya offer dia jadi isteri saya. Tapi dia buat-buat tak faham” Shahrul Riezman memberhentikan keretanya apabila sampai di lampu isyarat. Dia mengambil peluang itu untuk menoleh ke  arah Syuhada.
            “Kalau macam tu, nampaknya awak kenalah berusaha lebih. Mungkin tawaran awak tu tak kena caranya” Syuhada berkata jujur. Mungkin betul Shahrul Riezman sedang memenangi hati seseorang. Dan dia adalah tempat meluahkan masalahnya. Apa salahnya dibantu.
            “Kalau Syu, apa caranya?” tanya Shahrul Riezman perlahan.
            “Buat apa tanya saya pulak. Setiap wanita tak sama citarasanya. Cara nak menawarkan gelaran isteri pada saya dah tentu tak sama dengan cara calon isteri awak”
            “Tak apalah. Saya tanya Syu. Mana tau saya dapat idea nanti” kereta Shahrul Riezman bergerak semula apabila lampu isyarat sudah bertukar ke warna hijau. Tidak sampai satu kilometer lagi mereka akan sampai ke tempat kereta Syuhada diletakkan.
            Lama Syuhada terdiam. Sebetulnya dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Setelah kehilangan ikatan pertama, dia tidak pernah bermimpi untuk menerima lamaran lain dari mana-mana lelaki. Akhirnya mereka sampai di hadapan MayBank. Shahrul Riezman meletakkan keretanya bersebelahan dengan kereta Syuhada yang kebetulan kosong. Mereka berpandangan seketika.

            “Syu belum jawab soalan saya” Shahrul Riezman masih menagih jawapan.
            “Entah. Saya tak ada jawapan. Okaylah …. Thanks atas lunch tadi. Anywhere .. sampaikan salam saya pada Puan Rosmah” sebaik sahaja habis berkata-kata Syuhada membuka pintu kereta di sebelahnya. Namun dia terpaksa mematikan niatnya untuk terus turun bila terdengar Shahrul Riezman masih lagi bersuara.
            “Syu, this is our first dating. Macam mana tempat tadi, ada value tak?” Syuhada mengerutkan dahi tanda tak faham. Akhirnya dia sekadar mengangkat bahu lalu keluar dari kereta lelaki itu.
            First dating??? Dating ke tadi?? Hai.....entahlah. Lelaki itu memang penuh teka teki. Namun satu yang nyata memang lelaki itu bijak bermain kata. Tetapi adakalanya kata-kata hanya menggambarkan suatu maksud tetapi bukan maksud itu sendiri. Ya.. kadang kala kita terperangkap pada kata-kata yang sempat mengusik kenyamanan perasaan kita. Syuhada sedar, mustahil lelaki seperti itu meletak harapan pada hubungan mereka yang entah apa coraknya. Dan dia sendiri tidak akan pernah menawarkan hati dan memberi harapan pada hubungan ini.

No comments:

Post a Comment