Zalimkah skrip yang terlakar buatnya pada hari itu? Hanya Allah Taala
sahaja yang tahu dan mengerti cerita hati yang tersirat di sebalik babak ke
babak yang silih berganti. Sungguh parah hatinya. Namun itulah Sunnatullah,
perjalanannya yang sudah ditulis. Kering sudah air mata Nurin Ardini. Menangisi
ketentuan yang langsung tidak terduga…..jauh dari jangkauan perancangannya. Yang
kedengaran hanyalah esak dan sedannya sahaja. Sesiapa yang memandangnya pun
turut merasa sebak. Mungkin benar, tatkala kehilangan….barulah menyedari bahawa
setiap anugerah itu sangat bermakna……sangat indah! Anugerah yang sebelum ini disesali, rupanya
begitu berbekas bila tiba-tiba terpaksa kehilangannya. Bertimpa-timpa rasa
kesal menerjah dinding hatinya. Kesal kerana pernah membenci janin yang saat
itu berada di dalam rahimnya. Mungkin kerana rasa benci itu, maka dia diambil
oleh yang Maha Pencipta….fikiran Nurin Ardini kian tidak menentu.
“Dia pun diambil dari aku, Iffa…” Nurin Ardini kejap dalam pelukan erat
Iffa Alwani. Seboleh mungkin dia tidak mahu Nurin Ardini terus hilang semangat
meski dia tahu dugaan ini menuntut bukan sedikit kekuatan jiwa sahabatnya.
Apabila datang dugaan dalam kehidupan, manusia seringkali mengeluh, tertekan
dan sehingga sampai satu tahap, hilang kawalan diri. Dia tidak mahu Nurin
Ardini begitu.
“Sabar Dini…….tabahkan hati. Semua ni dugaan buat kau. Allah sedang
menduga. Ingat Ustaz Zamri selalu berpesan pada kita bahawa setiap cabaran dan
ujian hidup itu adalah bukti kasih sayang Allah terhadap kita. Allah sayangkan
kau, Dini. Sebab itu dia beri ujian ini”
“Terlalu banyak dugaan untuk aku. Aku tak sanggup…..tak kuat, untuk terus
berdepan dengan kehilangan demi kehilangan. Belum sempat pun daftarkan
kelahirannya….dia dah pergi, Iffa. Pergi untuk selama-lamanya. Mungkin dia tahu
aku tak pernah harapkan kehadirannya dulu…..sebab itu dia pergi, kan Iffa?
Sebab itu dia tidak diizinkan terus hidup dengan aku” esakan Nurin Ardini kembali
terdengar. Hiba menyayat hati yang mendengar.
“Jangan menyesali takdir, Dini. Tak baik. Allah maha tahu apa yang baik
buat kita” Iffa Alwani tidak jemu memujuk. Simpati buat sahabatnya itu
menggunung tinggi. Dugaan datang bertimpa-timpa. Tidak sesaat pun ditinggalkan
Nurin Ardini yang masih dalam tempoh berpantang seorang diri.
“Dia pun tak sudi hidup dengan aku, Iffa” keluhan Nurin Ardini terdengar
lagi.
“Dia pun pergi tinggalkan aku, Iffa. Aku belum ada nama untuk dia. Kenapa dia diambil, Iffa?
Sejak mula dia lahir, aku dah sayangkan
dia, Iffa. Aku nak dia ada terus dengan aku. Hidup dengan aku”Iffa Alwani tidak terkata bila Nurin Adrini terus
merintih. Siapa pun yang berada di tempat Nurin Ardini, pasti perlu mencari
kecekalan yang luar biasa. Harus memiliki ketahanan jiwa yang tinggi.
Nurin Ardini perlu tabah. Walaupun ada beberapa pendapat yang berbeza
tentang konsep ketabahan namun definisinya tetap bermuara pada satu maksud
iaitu kemampuan untuk mengambil sikap terbaik menghadapi segala kondisi yang
ada, sama ada susah atau senang. Dalam Washiyatun ila kulli muslim, Ibnu Al-Qoyyim menjelaskan,
“Ketabahan itu ada tiga bentuk, iaitu ketabahan dalam menjalankan kewajiban, ketabahan dalam
menghindari yang haram dan ketabahan saat menghadapi
musibah.” Memang benar Nurin Ardini sedang diduga musibah.
“Kenapa aku yang tak punya apa-apa
ini, terus-terusan diduga Iffa?? Apa salah…apa dosa aku? Kenapa aku terus
dihukum takdir?” soal Nurin Ardini bertalu-talu.
“Jangan persoalkan takdir kita, Dini. Kita mesti redha dengan segala
ketetapanNYA. Sebagai hamba, kita tidak berhak untuk mempersoalkannya. Tak baik
terusan mengeluh macam ni. Meratap hiba macam orang tak ada pegangan. Kau kena
redha. Semua ini ketentuan Allah. Apa saja yang kita ada, adalah kepunyaanNYA.
DIA berhak mengambilnya bila-bila masa yang DIA mahu. Kau kena tabah. Istighfar
banyak-banyak” nasihat Iffa Alwani meresap juga ke dalam jiwa Nurin Ardini. Benar dia harus tabah, perlu sabar dan wajib
redha. Arwah ibunya pernah berkata bahawa ketabahan adalah anugerah yang Allah
ciptakan sebagai sikap kemulian, ibarat pedang yang tidak pernah patah, bala
tentera yang tidak pernah kalah dan juga umpama benteng kukuh yang tidak pernah
hancur.
“Kau tak nak beritahu pada ayah
dia, Dini. Atau sekurang-kurangnya pada Umi atau Abi. Mereka ada hak untuk
tahu. Arwah baby darah daging mereka. Sekejap lagi jenazah akan dikebumikan.
Aku telefon Umi, ye” tanya Iffa Alwani perlahan. Nurin Ardini menggeleng laju.
“Mereka tidak perlu tahu” keras
suara Nurin Ardini tetap dengan pendiriannya.
“Sebab merekalah nasib aku jadi
macam ni” sambung Nurin Ardini perlahan.
“Kau masih menyimpan dendam,
Dini. Kau seolah-olah tak percaya pada Qada dan Qadar Allah. Kau tak redha
dengan takdir yang tertulis untuk kau, Dini?” Iffa Alwani turut sebak. Bimbang
hatinya andai Nurin Ardini mengalah dengan permainan takdir hidup yang telah
tersurat buatnya. Terus menyalahkan takdir!
“Insyaallah aku redha dengan
semua ketentuan ini. Tapi aku tetap masih belum bersedia untuk berhadapan
dengan keluarga mereka. Aku belum berupaya melupakan setiap apa yang lelaki itu
buat pada aku. Aku hilang segala-galanya kerana dia” putus Nurin Ardini menutup
bicara.
Bercakap tentang konsep redha
memang mudah. Tetapi untuk melaksanakan redha terutamanya saat ditimpa musibah
yang maha hebat seperti ini, sungguh-sungguh pahit. Nurin Ardini teringat arwah
ibunya pernah berkata bahawa yang pahit itulah ubat yang paling mujarab untuk
memulih dan menyedarkan kita tentang hakikat penciptaan kita di dunia ini yang
sudah pasti mempunyai tujuan.
Hujan gerimis mengiringi
perjalanan mereka ke tanah perkuburan. Suasana sekeliling seolah-olah turut bersimpati dengan takdir
yang menimpa Nurin Adrini. Angin seperti telah hilang lengasnya, mengalir dalam
diam di sela daun pokok. Nurin Adrini ikut mengiringi jenazah anak
lelakinya yang baru berusia sepuluh hari. Keadaan dirinya yang belum sembuh
sepenuhnya, langsung tidak dihiraukan. Apa yang penting, dia ingin melihat anaknya sehingga ke detik yang terakhir
dengan gendang hati yang membisu pilu.
“Kau okey, Dini?” bisik Iffa
Alwani di tepi telinganya. Nurin Ardini sekadar mengangguk biar bahagian bawah
perutnya mulai terasa berbisa. Sudah terlalu lama dia berdiri di bawah sekaki
payung bersama hujan yang terus merintik halus. Melihat pengurusan pengebumian
dengan rasa hati yang teramat hiba. Saat talkin dibaca, jiwanya menjerit ngilu.
Teringat arwah ibunya. Betapa ketika itu teganya hati membiarkan jenazah ibu disemadikan
tanpa diiringi sedangkan dialah satu-satunya anak ibu. Empangan matanya pecah
lagi. Berjurai air mata membasahi pipi. Nurin Ardini mengigit bibirnya kuat.
Menahan esak. Mengumpul sebak.
“Kita balik, Dini. Kau nampak
pucat sangat” ajak Iffa Alwani. Khuatir dia melihat Nurin Ardini yang sedang
menahan esak.
“Aku nak tunggu sampai selesai.
Selepas ini, aku tidak akan nampak dia lagi sampai bila-bila”
“Kau semakin lemah. Tak boleh
macam ni, Dini. Kau baru sepuluh hari bersalin. Kita balik ye” pujuk Iffa
Alwani lembut.
“Aku nak tengok anak aku, Iffa.
Aku nak dia tahu yang aku sayangkan dia. Aku baru nak bina hidup aku
semula….dengan anak aku. Tapi dia dah tak ada, Iffa. Macam mana aku nak hidup
sedangkan semua yang aku miliki, hilang satu persatu. Aku sedih, Iffa. Sedih
sangat-sangat” Nurin Ardini tidak mampu menahan esak. Sedu sedannya mengamit
simpati sesiapa yang berada hampir dengannya. Nurin Ardini yang baru berusia
Sembilan belas tahun telah kehilangan ibunya sembilan bulan yang lalu. Dan hari
ini dia kehilangan pula anak yang baru sepuluh hari dilahirkan. Sesiapa yang
mengetahui rentetan ini, sudah pasti menyimpan simpati yang menggunung.
“Kita balik dulu, Dini.
Semuanya sudah selesai. Esok kita datang lagi. Hujan pun dah mula kasar ni”
pujuk Ibu Rasyidah pula. Sungguh dia bimbang keadaan Nurin Ardini yang masih
lemah. Wajahnya pucat dan lenggok jalannya pun masih selangkah selangkah. Luka
bersalin belum sembuh sepenuhnya.
Tanpa suara, Nurin Ardini cuba
berdiri. Sudah hampir satu jam dia bersimpuh di sisi perkuburan arwah anaknya.
Terasa berat hatinya untuk meninggalkan kawasan itu, namun bisa di bahagia
bawah perutnya semakin kerap datang.
Semakin mencengkam pedihnya. Sesekali dia memegang perutnya, mengharap agar
rasa bisa itu, menghindar pergi. Nurin Ardini berjaya berdiri dengan dibantu
Iffa Alwani, namun baru selangkah dia menggerakkan kakinya, tiba-tiba pandangan
matanya gelap. Di situ juga dia rebah. Mujur sempat disambut Iffa Alwani.
“Ibuuu….Dini pengsan!” laung
Iffa Alwani pada Ibu Rasyidah yang berada beberapa langkah di hadapan mereka.
Ibu Rasyidah berpaling lalu terkocoh-kocoh berlari mendapatkan mereka.
“Ya ALLAH….Dini. Kenapa ni nak?”
paras Nurin Ardini dibelek dengan perasaan cemas.
“Kita bawak ke hospital, ibu”
cadang Iffa Alwani. Ibu Rasyidah mengangguk setuju.
Sekali lagi Nurin Ardini
ditempatkan di wad 6, Hospital Ampang. Keadaannya memang amat membimbangkan.
Pucat dan langsung tidak bertenaga. Doktor Irdina yang masih mengingati salah
seorang pesakitnya itu, tenang mengambil tekanan darah dan bacaan suhu badan
Nurin Ardini.
“Kenapa dengan Nurin Ardini,
Puan? Tekanan darahnya sangat rendah” tanya Doktor Irdina sambil memandang Ibu
Rasyidah. Ibu Rasyidah menyeka air mata. Sayu hatinya melihat keadaan Nurin
Ardini yang begitu. Masih terbayang-bayang di layar matanya, tingkah Nurin
Ardini sewaktu menyusukan bayinya. Bibirnya yang sering terkumat-kamit tanpa
suara seolah-olah menceritakan lara hati pada bayi yang belum mengerti apa-apa.
“Bayinya sudah tidak ada,
doktor” jelas Ibu Rasyidah perlahan. Doktor Irdina mengerutkan dahinya tanda
tidak faham.
“Maksud puan?” soalnya meminta
penjelasan.
“Bayinya baru meninggal selepas
subuh tadi. Dini pengsan ditanah perkuburan tadi”
“Inalillahi Wainailaihi Rojiun”
agak lama Doktor Irdina terdiam. Seakan masih terbayang saat kepayahan Nurin
Ardini melalui proses bersalin. Nurin Ardini yang melalui semua kepayahan di
bilik bersalin seorang diri, tanpa mahu ada sesiapa menemaninya. Dan baru
sepuluh hari, bayinya sudah tiada. Lama wajah yang masih terpejam erat itu,
dipandang dengan rasa hati yang tersentuh.
Bayi merupakan manusia yang
baru lahir sampai umur dua belas tahun, namun tidak ada batasan yang pasti.
Kematian bayi dalam tempoh duapuluh tujuh hari pertama hidupnya, dikenali
dengan istilah kematian neonatal.
“Tekanan darahnya sangat
rendah. Dia terpaksa ditahan di wad sehingga tekanan darahnya normal semula.
Ada beberapa risiko yang perlu diambil berat, lebih-lebih lagi dia masih
terlalu baru melahirkan” jelas Doktor Irdina setelah agak lama mendiamkan diri.
“Kami sudah melarang dia dari
mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Tapi Dini tetap berkeras sehingga kami
tidak sampai hati untuk tidak mengizinkannya” ujar Ibu Rasyidah dalam kesal.
“Saya faham, Puan. Dia terlalu
muda untuk melalui semua ini. Maaf saya bertanya…….suaminya di mana?” soalan
yang tidak diduga dari Doktor Irdina membuatkan Ibu Rasyidah dan Iffa Alwani
saling berpandangan.
“Dini dalam tanggungjawab kami,
Doktor. Apa sahaja yang berkaitan dengannya, Doktor boleh beritahu atau bincang
dengan kami” balas Ibu Rasyidah tanpa menjawab soalan Doktor Irdina. Tidak
mungkin dia membuka cerita tanpa izin dan pengetahuan Nurin Ardini.
“Kami akan pantau dia di sini
agar dia tidak mengalami postnatal depression” tambah Doktor Irdina. Yakin
pasti ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh dua orang wanita dihadapannya.
“Postnatal depression?” soal
Iffa Alwani tidak mengerti.
“Ya…wanita
yang mengalami postnatal depression biasanya
disebabkan oleh rasa kecewa kerana menyedari keadaan selepas menjadi ibu tidak
seperti yang diharapkan. Nurin Ardini baru kehilangan bayinya
sedangkan di waktu ini, dia sudah selesa dengan kehadiran bayinya. Dikhuatiri
dia tidak mampu mengawal emosinya” terang doktor muda itu lagi.
Masalah tekanan emosi dan mental yang di alami oleh golongan wanita yang
dikenali sebagai "postnatal depression" adalah
merupakan suatu bentuk penyakit yang berlaku kepada wanita yang melahirkan
anak. Jika tekanan ini dibiarkan berlarutan berkemungkinan ia akan menambahkan
lagi kekusutan fikiran bahkan boleh menjadi tidak siuman.
“Kita tunggu dia terjaga nanti. Sekarang dia
sedang tidur. Dia dalam keadaan yang sangat letih, fizikal dan jiwanya. Apa
yang lebih perlu sekarang ialah perhatian dan kasih sayang yang kita tunjukkan
padanya. Harap-harap dia dapat melalui semua ini dengan tabah” Ibu Rasyidah
mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Doktor Irdina.
Enam jam kemudian, Nurin Ardini
mula terjaga. Remang petang sudah pun sampai ke penghujung. Hanya menanti sinar
jingga senja melabuhkan tirai. Nurin Ardini membawa matanya ke segenap ruang.
Seperti pernah dihuni tempat itu. Warna katil, dinding dan juga tabir yang
menjadi pemisah antara katil…seperti pernah dilihat. Ditelusuri memori
ingatannya. Hospital!.....ya, di hospital inilah tempat dia melahirkan janin
yang dikandung. Entah ke mana rasa hatinya, mengalir dalam perjalanan yang
melelahkan. Ada sesuatu yang membuatkan dadanya berkecamuk, kembali dia luruh
dalam linang air mata. Jiwanya menjerit seakan tercampak ke dalam lumpur yang
pekat, sehingga tidak mampu untuk bangkit.
“Alhamdulillah….Dini dah sedar”
satu suara menyapa gegendang telinganya.
“Ibu…..Dini dekat hospital?”
masih terlalu lemah suara itu kedengaran.
Ibu Rasyidah mengangguk sambil
mengelap wajah Nurin Ardini dengan tuala lembap.
“Kenapa ibu?” Nurin Ardini
mengerutkan dahinya.
“Dini pengsan tadi” Ibu
Rasyidah menghulur senyum. Namun wajah Nurin Ardini masih keliru.
“Pengsan?” Nurin Ardini membuka
tingkap ingatannya semula. Imej orang ramai berdiri sambil memegang payung….di
suatu kawasan yang lapang dan sunyi. Semakin jelas imej sekujur tubuh kecil
berbalut kain putih. Tubir matanya panas lagi. Sesaat kemudian menitis
sudah air mata dipipinya.
“Anak Dini, ibu. Anak Dini dah
tak ada. Sudah meninggal!!!!” Esakannya mula kedengaran. Bibirnya digigit kuat.
Ada rasa ngilu yang maha pedih diperdu hatinya. Dinding-dinding hatinya seakan
mengeluarkan darah. Pedih!! Teramat pedih!
Ibu Rasyidah menarik tubuh
Nurin Ardini ke dalam pelukannya. Nurin Ardini erat dalam dakapannya. Belakang
Nurin Ardini diusap perlahan. Cuba menyalur sedikit semangat buat gadis itu.
“Sabar Dini. Allah tahu itu
yang terbaik buat arwah baby dan juga Dini. Jangan rasa tersiksa dengan apa
yang telah diambil olehNYA. Dini kena kuat, kena tabah. Jangan pernah takut
menghadapi takdir yang datang. Mungkin disebaliknya, takdir yang paling
menyakitkan ini adalah satu titik yang paling berharga yang dapat mengubah
hidup Dini ke arah yang lebih sempurna”
“Dini merasa sangat bersalah
pada arwah baby, ibu”
“Dini tak buat apa-apa yang
salah”
“Dini tak pernah ikhlas
mengizinkan dia duduk di dalam rahim Dini selama sembilan bulan. Dini bencikan
dia sebagaimana Dini bencikan orang yang menyebabkan dia ada dalam rahim Dini.
Dini berdosa dengan rasa itu, ibu” Nurin Ardini kembali teresak. Memang dia
berat hati membawa kandungannya selama tigapuluenam minggu. Kandungan itu tidak
pernah dipinta. Kandungan itu mengikat segala pergerakannya sehingga dia
terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran.
“Syyyy……ibu faham…..”
“Dini pernah tak mahukan dia,
sebab itu dia pergi tinggalkan Dini, ibu” Nurin Ardini terus mengongoi hiba.
Seawal dia tahu dia mengandung, dia sudah menyesali nasibnya. Menganggap janin
yang dikandungnya bakal menambahkan lara.
“Ibu harap Dini terus tabah. Jangan
tenggelamkan rasa hati dalam luka. Pasti
ada hikmah disebalik semua ini yang seharusnya kita mengerti dan memahaminya”
nasihat Ibu Rasyidah tenang. Dia tahu Nurin Ardini kuat. Dia yakin Nurin Ardini
mampu melepasi dugaan ini.
“Ibu dan Iffa sentiasa ada
dengan Dini. Jangan toleh ke belakang….Dini masih ada hidup yang lebih cerah.
Ingat pada tawaran yang Dini tangguhkan dulu. Sekarang Dini kena fokus ke arah
itu” Sambung Ibu Rasyidah. Sebagai salah seorang kaunselor di sebuah sekolah
menengah, serba sedikit dia tahu cara untuk menangani individu seperti Nurin
Ardini.
“Anak Dini dah mati, ibu.
Sepuluh hari saja dia dipinjamkan pada Dini. Kenapa, dia mati, ibu??? Dini
banyak dosa ke, ibu???” emosi Nurin Ardini kian tidak menentu. Dia terus larut
dalam rasa kecewa yang jurangnya amat dalam.
“Jangan fikir macam tu, Dini.
Dini sedang diajar tentang redha dan sabar”
“Dini menyesal sebab menyimpan
rasa tidak suka pada kandungan Dini dulu. Dini rasa berdosa, ibu” perasaan
kesal masih lagi menghimpit ruang rasa Nurin Ardini.
“Ibu faham. Dini ada sebab
untuk rasa macam tu. Tapi kalau Dini masih menyimpan sesal, bermakna Dini tidak
redha dengan takdir yang ditentukan. Itu tidak baik Dini” pujuk Ibu Rasyidah
perlahan.
Nurin Ardini tunduk. Percaya
kepada Qada’ dan Qadar……Bukan dia menidakkan rukun Iman yang keenam itu. Qada’
Mubram adalah ketentuan Allah Taalah yang pasti berlaku dan tidak dapat
dihalang oleh sesuatu apa pun. Mati pasti akan berlaku. Memang benar, Allah
menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar
perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini.
“Cepat sangat dia pergi, ibu…..
Belum puas Dini menyusukan dia, menatap wajahnya yang bersih…..sinar matanya
yang buat Dini rasa sayang sangat dekat dia, ibu. Macam mana Dini nak hidup
tanpa mendengar tangisannya???” tubir mata Nurin Ardini terasa hangat kembali.
Menari-nari wajah kecil itu di layar matanya. Ternampak-nampak bibir comel yang
hanya menangis sewaktu dahaga susu.
“Sabar banyak-banyak, Dini.
Allah lebih sayangkan dia. Itu yang lebih baik buatnya” entah untuk kali yang
ke berapa, kata-kata semangat itu meniti di bibir Ibu Rasyidah.
“Dini tahu…… Allah ambil dia
sebab Dini selalu mengeluh, selalu tangguhkan untuk daftar kelahirannya. Sebab
sijil nikah itu tidak ada pada Dini. Dia tak nak susahkan Dini, ibu. Tapi……Dini
tak patut buat dia macam itu, kan ibu. Dini sepatutnya ikut cakap Iffa.
Beritahu keluarga Umi……tapi Dini tak kuat nak berdepan dengan mereka, ibu” air
mata jatuh lagi membasahi pipi Nurin Ardini yang masih kelihatan pucat.
Ibu Rasyidah kembali memeluk
Nurin Ardini erat-erat. Rasa kesal dan perasaan bersalah tidak seharusnya
dibiarkan terus menghuni kotak hati kawan baik anaknya itu, yang sudah dianggap
seperti anak perempuannya sendiri.
“Dini rehat dulu ye. Apa pun
yang berlaku, Dini perlu ingat bahawa Allah sedang mengaturkan yang terbaik
buat Dini”
Lama Nurin Ardini mendiamkan
diri. Membiarkan masa berjeda membawa rasa hiba hatinya.
“Terima kasih, ibu. Ibu dan
Iffa sentiasa ada saat Dini merasa Dini tidak termampu walau untuk merangkak
sekalipun”
“Dini kena ikhlaskan diri
dengan sentiasa berdoa kepadaNYA. Luahkan segala isi hati Dini kepadaNYA. Ibu
dan Iffa sentiasa ada untuk Dini…..sampai bila-bila. Dini dah ibu anggap macam
anak Dini, sendiri” Ibu menghulur senyum buat Nurin Ardini.
Nurin Ardini menyimpan sebak.
Dalam terharu dia memanjat syukur pada Ilahi kerana telah mengurniakan seorang
lagi ibu setelah dia kehilangan ibu kandungnya, Puan Fatimah. Bagaimana dia rebah dengan kehilangan
anaknya, mungkin begitulah yang arwah ibunya rasa sewaktu musibah itu datang menimpa.
Malah….mungkin lebih dahsyat lagi. Ampunkan Dini, ibu…………
wah,,best lh cter nie,,cpt2 smbung ye..
ReplyDeleteTq... manuskrip ini sdh diterima penerbitan JS. .Insya allah terbit bln feb.
ReplyDelete