Saturday, January 29, 2011

~~Bab 5~~

Waktu rehat hari itu, Syuhada di panggil oleh Guru Besar sekolahnya, Encik Abdul Majid. Syuhada tidak merasa apa-apa. Biasalah..ada masa kena berbincang dengan ketuanya tentang setiap aktiviti panitian yang akan dijalankan. Sebagai Ketua Panitia, dia menjadi saluran guru-guru di bawahnya.
“Silakan duduk Cikgu Syuhada” Syuhada menarik kerusi lalu duduk di hadapan Encik Abdul Majid.
“Pekara apa yang cikgu nak bincangkan dengan saya” tanya Syuhada hormat.

Encik Abdul Majid tersenyum. Syuhada sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dalam waktu kerja mereka bersikap professional. Di luar waktu kerja mereka mesra bagaikan satu keluarga. Syuhada sendiri pernah ke rumahnya. Membantu apa yang patut sewaktu majlis perkahwinan anak sulungnya. Sikap ringan tulang Syuhada amat menyenangkan. Kalaulah dia anak lelaki, ingin dijodohkan dengan Syuhada. Malangnya, ketiga-tiga cahaya matanya perempuan.
“Begini, ini ada satu kursus untuk ketua-ketua Panitia Sains di Ilham Resort Tanjung Tuan, Port Dickson. Syuhada kena pergi”
“Bila tu cikgu? Berapa lama?” hati Syuhada gembira. Sudah lama dia tidak pergi kursus.

Tuesday, January 25, 2011

~~Bab 4~~


             Syuhada sampai di rumahnya pukul sepuluh setengah malam. Ruzian dan Aznah yang berkongsi satu bilik sudah berada di bilik mereka sedangkan Mazni masih lagi menyemak buku pelajarnya. Letih menjalar keseluruh tubuh badan. Di ruang mata Syuhada hanya terbayangkan katilnya sahaja. Dia sudah menguap berkali-kali. Mengantuknya Tuhan saja yang tahu. Tanpa membuang masa, dia terus mencapai tuala dan terus ke bilik air. Segar terasa bila terkena air. Dia biarkan dirinya lama di bawah pancuran air. Ada sesuatu yang menghampiri hati kecilnya. Sudah lama dia cuba membuang perasaan itu. Namun ada waktu perasaan itu tetap menjengah. Resah !. Resah mengenangkan  seorang lelaki yang entah di mana.Ikatan sudah ndiputuskan namun entah mengapa ingatan pada lelaki itu tetap ada.
Syuhada tersentak bila pintu bilik air diketuk dari luar. Pantas dia menutup pili air pancuran itu. Baru terasa sejuk. Tangannya mula menggigil. Dia mencapai tuala lalu membalut tubuhnya. Dia membuka pintu. Mazni sedia menanti di situ.

~~Rindu~~

setelah kau pergi....
aku ditimpa hujan rindu
yang tidak bermusim
yang menitik dihujung rintik
yang membasahkan seluruh ruang rasa
.....rasa kasih dan cinta

Monday, January 24, 2011

~~Bukan milikku~~

seraut wajah itu....
dalam diam mengundang debar
walau puas akal mewajarkan hati
....minda menyabarkan tingkah
biar jangan terlihat
pada siapa yang terlihat
seraut wajah itu...
sering hadir
menyapa sepi
biar semua tahu
segala miliknya
indah disangkar bahagia
biar semua tahu
sampai bilapun dirinya
tidak mungkin aku miliki
sedaya cuba.....
menidakkan bicara hati
menyisihkan kehendak rasa
kerana debar rasa itu
tulus buatnya

Sunday, January 23, 2011

~~Bab 3~~

              Syuhada duduk di satu kerusi di tepi dinding. Orang yang ramai di dalam bank itu membuatkan dia sakit kepala. Serabut otaknya. Dijelingnya Mazni yang duduk disebelahnya sambil memeriksa buku banknya.
            “Lambat lagi ke nombor Kak Maz?” Mazni berpaling. Memandang Syuhada yang kelihatan tidak bermaya.Mungkin penat.
            “Lambat lagi Syu. Nombor 235. Sekarang ni baru 184. Syu letih ke?” terasa menyesal di hatinya kerana mengajak Syuhada menemaninya tadi. Bukan dia tidak tahu kepenatan Syuhada. Jadual Syuhada  sentiasa padat berbanding dengan orang lain.
            “Tak apalah kak. Syu bukannya letih cuma bosan. Kalau bawak novel tadi boleh jugak baca. Duduk saja macam ni, emm memamglah mengantuk”.
            “Kelas Syu pukul berapa?”
            “Lambat lagi. Pukul 4.30 nanti”

~~biarkan aku disini~~

biarkan aku disini
mencari serpih hatiku yang berkeping jatuh
membawa kisah hidupku jauh dari semua
menutup lukaku yang kian robek
merawat jiwaku yang semakin rapuh

Saturday, January 22, 2011

~~Bab 2~~

            Hari minggu. Satu-satunya hari cuti bagi Syuhada. Rumahnya sunyi sepi. Mazni sejak semalam balik ke kampungnya di Kota Tinggi. Ruzian dan Aznah ke Bandar Johor Bahru. Ke Plaza Kotaraya katanya. Tinggallah Syuhada seorang. Dia pun berkira-kira untuk keluar sebentar lagi.
            Setelah membayar harga barang keperluan diri yang dibelinya, Syuhada bergegas kelaur. Sesak nafasnya bila terpaksa beratur panjang di kuanter bayaran. Pantas dia bergerak ke arah tempat letak keretanya. Dia mengeluarkan alarm karetanya lalu ditekan butang berwarna biru. Sekali ditekan tidak berbunyi. Tekan kali kedua pun tidak berbunyi. Tanpa berfikir panjang, Syuhada pun memasukkan anak kunci untuk membuka bonet keretanya.  Tiba-tiba kereta itu mengeluarkan bunyi yang tidak disangka. Bunyi alat penggera kecemasan. Syuhada panik.
            “Excuse me.Cik buat apa dengan kereta saya” Syuhada terperanjat bila mendengar suara garau di belakangnya. Terlepas beg plastik Parkson yang dijinjingnya. Sepantas kilat dia menoleh ke belakang.
            “Kereta awak? Ya ke? saya ingat kereta saya”  Syuhada kaget. Benarkah apa yang dikata oleh lelaki itu? Tidak mungkin dia tersalah kereta. Syuhada melihat nombor pendaftaran kereta itu. Sah!. Bukan kereta dia. Tiba-tiba terasa malu lantas mengangkat muka memandang lelaki di hadapannya. Pandangan mereka bersatu agak lama. Ada senyum di bibir lelaki itu. Sekali lagi Syuhada kaget. Sorotan mata lelaki itu macam pernah dilihat. Macam pernah dikenali. Namun dia tidak ingat di mana. Seraut wajah itu serasa dekat dihatinya. Mereka masih berpandangan. Senyuman lelaki itu mengusik rasa hatinya.
            “Sorry ye. Saya tak perasan tadi” tutur Syuhada perlahan lalu mengorak langkah. Meninggalkan tempat itu sambil cuba mengingati tempat keretanya di letak tadi.
            “Eh, Cik …. Nanti dulu …” panggil lelaki dibelakangnya.
Namun Syuhada tetap meneruskan langkah tanpa berpaling lagi. Dia terus menuju ke keretanya di barisan kedua tempat letak kereta itu. Menyesali diri kenapa kesilapan itu harus berlaku. Mujurlah orang tidak ramai. Kalau tidak hanya mengundang malu sahaja.
            “Hey Man, yang kau tengok dia macam nampak hantu kenapa?” Shahrul Riezman tersentak. Menoleh ke arah Hatta yang menepuk bahunya tadi. Lama dia membisu. Apa yang dilihat sebentar tadi seperti tidak masuk akal.
            “Kau ingat tak mimpi yang aku cerita minggu lepas” Hatta kelihatan berfikir. Sebentar kemudian dia tersenyum.
            “Dia ke?” Shahrul Riezman menggangguk. Hatta macam tidak percaya. Teringat dia pada sepotong mimpi yang pernah diceritakan oleh temannya itu.
            “Seiras. Betul-betul seiras. Baju, tudung  yang dia pakai pun sama” Aku akan cari dia ….. tekad Shahrul Riezman dalam hati.
            “Betul ke Man? Kau jangan terlalu taksub dengan mimpi. Tapi kalau dia, tak rugi kau. Cantik!”
            “Tak mungkin aku silap. Memang dia. Cuma dalam mimpi aku dia tersenyum. Tapi yang tadi tu, langsung tak senyum. Macam sombong aje?” Shahrul Riezman masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin. Sebentar kemudian Hatta duduk di sebelahnya.

Thursday, January 20, 2011

~~Bab 1~~

           Semalaman Syuhada berfikir. Sakit kepalanya. Hati yang terluka bertambah pedih rasanya. Hampir tiga tahun dia sudah menjadi tunang Zulhilmi. Satu tempoh yang cukup lama. Namun Zulhilmi sekeluarga tidak pernah menghiraukan kedudukannya. Dia bagaikan digantung tidak bertali. Melukut di tepi gantang. Setiap kali ke rumah Zulhilmi, dia hanya diminta bersabar. Sampai bila? Bila di minta alamat tempat Zulhilmi berubat tidak pula diberitahu. Syuhada merasakan harga dirinya bagai dicarik-carik. Diperkotak-katik sesuka hati. Betapa silapnya dia dulu kerana sanggup berjanji.
            Kali ini Syuhada nekad. Bila dia memberitahu keputusannya kepada emaknya, Zainab menyokong penuh. Sudah lama dia pendam hasrat itu. Tetapi tidak sampai hati untuk memberitahu kepada Syuhada. Memang Syuhada tidak menyebut tentang Zulhilmi kalau tidak ditanya.
            “Mak ikut kau sekali ye Syu” Zainab memandang Syuhada yang telah siap berpakaian.
            “Tak payahlah mak, biar Syu uruskan sendiri”
            “Nanti mereka kata kau tak tahu adat”
            “Biarlah apa yang mereka nak kata. Syu dah puas menahan rasa, mak” Syuhada bersuara perlahan. Zainab sekadar menggeleng. Dia tidak menyangka Syuhada mampu menghadapi semua ini bersendirian.
            “Mak bimbangkan kau Syu”
            “Mak jangan bimbangkan Syu. Syu tahu apa yang Syu buat”

            Dengan berbekalkan keyakinan diri, Syuhada ke rumah itu lagi. Ini yang terakhir, bisik hatinya. Sudah cukup lama dia memberi peluang walau sejak dia tahu penyakit sebenar Zulhilmi, hatinya sudah tawar terhadap lelaki itu. Sedalam mana pun dia cuba untuk memenuhi janjinya terhadap Zulhilmi, namun untuk hidup bersama dalam sebuah rumahtangga …. Dia akan berfikir lebih dari seribu kali. Boleh bahagia ke hidup kalau kewarasan fikiran hanya bergantung pada ubat penenang yang dibekalkan oleh doktor? Sering pertanyaan itu berlegar dalam fikirannya. Syuhada memandang wajah Mustika dan Rahmah di hadapannya. Dia menarik nafas panjang sebelum memulakan kata-kata.

            “Mak Cik, Kak Mus ….. Syu datang ni sebenarnya nak pulangkan cincin pertunangan kami dulu”
Syuhada merenung cincin yang dipegangnya kemudian diletakkan cincin itu di atas meja di hadapan mereka. Mereka berdua terkejut walaupun sudah menduga perkara itu pasti terjadi.
            “Syu dah ada orang lain?” pertanyaan Mustika di luar dugaan Syuhada. Sebentar kemudian dia mengangguk. Mungkin ini alasan terbaik untuk dia melepaskan diri.
            “Kerja apa?” Mustika bertanya lagi. Syuhada berfikir sejenak.
            “Bank” terkeluar jawapan itu dari bibirnya. Ingin tergelak tetapi ditahan. Tidak seorang pun orang bank yang dikenali.
            “Sepadan kan dengan Syu. Anak Mak Cik tu apalah yang ada” sayu suara Rahmah mengeluarkan kata. Syuhada memandang wajah itu lama-lama. Hatinya terkilan. Tidak nampakkah pengorbanan aku selama ini?.. hati kecilnya memprotes.
            “Syu tak pandang itu semua Mak Cik. Tapi tiga tahun Syu tunggu, satu tempoh yang cukup lama. Melebihi tempoh yang kita janjikan dulu. Sekarang ni, hati Syu dah tawar. Dah tak ada rasa apa-apa pada Hilmi” Syuhada menundukkan mukanya. Ada air mata yang ingin keluar. Tiga tahun dia membazir masa untuk lelaki yang hilang dirinya.
            “Kalau tiga tahun Syu sanggup tunggu, kenapa Syu tak sanggup tunggu dalam sikit masa lagi?” pinta Rahmah penuh mengharap.
            “Sampai bila? Syu ni perempuan Mak Cik. Syu dah habiskan banyak masa untuk Hilmi. Sedangkan Hilmi bagaikan tak wujud langsung. Kalau dia dah baik sekalipun, sukar untuk Syu terima dia sebagai seorang suami. Syu tak sanggup menanggung risiko selepas perkahwinan kami. Syu harap Mak Cik faham”
Rahmah terdiam. Mustika merenung Syuhada. Sebagai seorang perempuan dia faham perasaan Syuhada. Dia juga maklum keadaan adiknya, Zulhilmi. Kalau dia di tempat Syuhada sekalipun belum tentu dia akan sesabar Syuhada. Dia melihat Syuhada sebagai perempuan yang sempurna. Ayu, bekerjaya dan lemah lembut. Tidak mustahil ramai lelaki yang menginginkannya.
“Mak Cik tolong sampaikan salam Syu pada Hilmi bila dia sembuh nanti. Katakan padanya, Syu minta maaf banyak-banyak” dada Syuhada sebak tiba-tiba. Rasa bersalahnya pada Zulhilmi hadir lagi. Dan dia tidak pernah berniat untuk mengingkari janji yang dia sendiri lafazkan. Namun apakan daya. Segala rasa yang terhimpun terpaksa dipendamkan jauh-jauh di lubuk hatinya.
“Sudahlah Syu. Kak Mus faham. Ini semua bukan salah Syu. Bukan juga salah Hilmi. Dia tidak meminta jadi begini. Kak Mus tahu, dia memang betul-betul sayang pada Syu. Dia selalu sebut nama Syu bila Kak Mus jumpa dia di sana. Tapi keadaan tidak mengizinkan untuk dia balik ke sini dan jumpa Syu”
Air mata Syuhada gugur akhirnya bila mendengar kata-kata Mustika. ….Dia memang betul-betul sayang pada Syu …… kata-kata itu terngiang-ngiang di cuping telinganya. Teringat pada memori yang mereka lalui dulu. Memang dia tidak dapat nafikan kasih sayang yang Zulhilmi curahkan.
            “Syu minta maaf pada Mak Cik sekeluarga kalau ada perbuatan Syu selama ini yang melukakan hati Mak Cik sekeluarga” Syuhada mencapai tangan Rahmah lalu diciumnya. Rahmah meraih Syuhada ke dalam pelukkannya. Dia pun menangis sama. Terkilan kerana tidak dapat bermenantukan gadis sebaik Syuhada.
            “Bila Syu nak kahwin?” Mustika bertanya lagi bila keadaan sudah reda.
            “Dalam masa terdekat ini” Syuhada menjawab tanpa berfikir panjang.
            “Jangan lupa jemput kami” Rahmah bersuara lirih. Dia tidak menyalahkan Syuhada. Cuma dia rasa terkilan. Syuhada sekadar mengangguk meneruskan pembohongannya.
            Balik ke rumahnya Syuhada terus mengurungkan diri di dalam bilik. Pertanyaan dari rakan-rakannya dibiarkan sepi. Dia ingin bersendirian. Wajahnya nampak tenang namun hatinya tetap terluka. Kecewa putus tunang. Putus tunang dalam usia dua puluh lima tahun. Sesuatu yang memeritkan. Biarpun dia sendiri yang memutuskan. Ikatan pertamanya hanya sekadar sekerat jalan. Itu pun penuh ranjau yang berliku. Di awal pertemuan, dia sedikit pun tidak menyangka masalah yang dihadapi oleh Zulhilmi. Dia seperti lelaki normal yang lain. Mungkin kerana dia ditinggalkan walau hakikatnya hanya sementara, membuatkan perasaannya tertekan. Sedikit sebanyak Syuhada masih tetap menyalahkan diri sendiri. Pukul sepuluh malam barulah Syuhada keluar dari biliknya. Menggabungkan diri dengan teman-teman serumahnya menonton televisyen.
            “Kau kenapa Syu? Sakit ke?” Mazni bertanya. Hairan dengan perangai Syuhada hari ini. Balik sahaja dari kampung terus berkurung dalam bilik. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Syuhada. Sudahlah langsung tidak berkata walau sepatah perkataan.
            “Syu ke rumah Hilmi pagi tadi. Syu pulangkan cincin pertunangan kami” Syuhada berterus terang.
            Mereka saling berpandangan. Sukar untuk mempercayai tindakan Syuhada namun bagi mereka itulah jalan yang terbaik. Terlalu lama Syuhada mengabdikan diri dengan ikatan yang pada pandangan mereka tidak menjamin masa depan. Hanya S
y
uhada yang mempertahankan. Sungguh hairan Syuhada sanggup mempertaruhkan seluruh hidupnya hanya kerana sepotong janji.
            “Kami tetap menyokong kau Syu” Aznah bersuara sambil menggenggam erat tangan Syuhada. Yang lain menganguk setuju.
            “Syu rasa bersalah pada Zulhilmi sekeluarga. Kalau Syu tak tinggalkan dia dulu tentu pekara ini tidak berlaku” lirih suara Syuhada.
            “Jangan salahkan diri Syu. Ini semua takdir yang telah ditentukan. Kalau Syu tak tinggalkan dia dulu pun, belum tentu pekara ini tidak berlaku. Kak Maz percaya setiap kejadian pasti ada hikmahnya” Mazni mengelus bahu Syuhada perlahan. Syuhada sudah seperti adiknya. Sakit Syuhada dia tetap terasa.
            “Syu, ada cikgu kat sekolah aku tu selalu tanya pasal kau. Bolehlah aku kenalkan kau orang berdua” Ruzian bersuara pula. Dia tersenyum meleret memandang Syuhada. Syuhada menjegilkan matanya ke arah Ruzian. Itulah pekara yang paling dia tidak suka. Menyampah betul  rasanya bila ada yang cuba memadankan dia dengan sesiapa.
            “Tak payahlah Yan. Kau cakap aje pada dia aku  tak berminat. Atau kau ajelah yang ambil dia”
            Seperti biasa Syuhada tetap meneruskan kerja-kerjanya dengan sebaik mungkin. Kesibukannya melayan karenah pelajar-pelajarnya membuatkan dia terlupa pada luka di hatinya. Habis waktu mengajar dia akan sibuk dengan kelas tambahannya. 

~~~biar pertama kali~~

pertama kali.....
melihat dirimu disitu
berdiri dan kaku melihat aku
hati bagai hilang irama
benar aku terpesona
pertemuan ini....
yang pertama namun atas rela kita
setelah cuba kumencari petunjuk
setelah lelah aku menanti dia
setelah dia tidak yakin rasa hati sendiri
pertama kali.....
suaramu singgah menyapa
menyata yakin gerak hati
aku tanpa perlu curiga
memilih hadirmu dengan redha
kerana dalam tidurku
juga ada dirimu......

(19.1.2011)