Tuesday, January 25, 2011

~~Bab 4~~


             Syuhada sampai di rumahnya pukul sepuluh setengah malam. Ruzian dan Aznah yang berkongsi satu bilik sudah berada di bilik mereka sedangkan Mazni masih lagi menyemak buku pelajarnya. Letih menjalar keseluruh tubuh badan. Di ruang mata Syuhada hanya terbayangkan katilnya sahaja. Dia sudah menguap berkali-kali. Mengantuknya Tuhan saja yang tahu. Tanpa membuang masa, dia terus mencapai tuala dan terus ke bilik air. Segar terasa bila terkena air. Dia biarkan dirinya lama di bawah pancuran air. Ada sesuatu yang menghampiri hati kecilnya. Sudah lama dia cuba membuang perasaan itu. Namun ada waktu perasaan itu tetap menjengah. Resah !. Resah mengenangkan  seorang lelaki yang entah di mana.Ikatan sudah ndiputuskan namun entah mengapa ingatan pada lelaki itu tetap ada.
Syuhada tersentak bila pintu bilik air diketuk dari luar. Pantas dia menutup pili air pancuran itu. Baru terasa sejuk. Tangannya mula menggigil. Dia mencapai tuala lalu membalut tubuhnya. Dia membuka pintu. Mazni sedia menanti di situ.
“Apa Syu buat lama-lama dalam bilik air?”
“Syu mandilah Kak Maz. Buat apa lagi”
“Jangan amalkan mandi malam Syu. Tak baik untuk kesihatan. Tu ada panggilan untuk Syu. Cepat sikit, dah lama dia tunggu”
“Siapa pulak yang telefon malam-malam ni? Menyibuk betullah” runggut Syuhada.
Syuhada bagai tidak percaya. Tidak pernah dia menerima panggilan selewat itu. Lainlah kalau Aznah atau Mazni sendiri. Waktu-waktu begini memang masa mereka bergayut. Dengan malas dia melangkah menuruni tangga. Telefon yang terletak di meja kecil di kaki tangga itu diangkat. Syuhada duduk di anak tangga yang terakhir.
“Syu cakap” dia berkata sebaik sahaja gagang telefon diletak di cuping telinga kanannya.
“Syuhada…. Sorry saya ganggu awak malam-malam macam ni” Syuhada mengamati suara itu. Cuba mengingati di mana dia pernah mendengar suara itu. Macam pernah dengar tapi tak tahu di mana.
“Boleh saya tahu siapa?”
“Shahrul” Shahrul? Mana aku ada kawan nama Shahrul.
“Saya rasa awak silap orang kut. Saya tak kenal awak. Saya tak ada kawan pun nama Shahrul” balas Syuhada malas.
Shahrul Riezman ketawa kecil. Suara Syuhada lebih merdu bila didengar dari hujung talian. Gemersik suara itu mengetarkan hati lelakinya. Patutlah suara perempuan itu aurat!. Dengar suara sahaja sudah membangkitkan rasa.
“Saya tak silap orang. Saya pernah jumpa awak tiga kali”
“Setiap hari saya jumpa ramai orang. Saya tak perasan awak yang mana satu. Anak awak pelajar saya ke?” tanya Syuhada tulus.
Syuhada mula terasa sejuk. Tubuhnya hanya dibaluti tuala. Di luar pula hujan sedang turun. Matanya benar-benar mengantuk.
“Saya pernah bagi kad pada awak.”
Sorry En Shahrul. Saya betul-betul mengantuk ni”
Syuhada memutuskan talian tanpa sebarang pamitan. Malas dia melayan panggilan dari orang yang tidak dikenali. Dia menaiki anak tangga dan terus masuk ke dalam biliknya. Menukar pakaian tidur dan terus tidur.
Shahrul Riezman terpinga-pinga bila Syuhada meletakkan telefon tanpa sebarang ucapan. Pelik dia dengan gadis yang seorang itu. Banyak sangat ke kerja dia? Menurut Mazni tengah hari tadi, Syuhada hanya akan berada di rumah selepas pukul sepuluh malam. Apa kerja dia sebenarnya? Namun begitu dia sudah cukup puas hati apabila Mazni mahu bekerjasama dengannya. Mulanya dia malu hendak berterus terang dengan Mazni. Egonya perlu juga dijaga. Mujurlah ada Hatta yang mempunyai banyak pengalaman dalam dunia perempuan.
“En Riezman mesti pastikan yang Syuhada tidak akan tahu saya berkomplot dengan En Riezman. Kalau dia tahu habislah saya” pinta Mazni bila dia menceritakan pekara sebenar.
“Dia tu garang ke?” Tanya Shahrul Riezman.
“Encik akan tahu bila encik kenal dia”
Syuhada …… indah nama itu, sesuai benar dengan orangnya. Terasa ada rindu yang menjalar di hatinya. Shahrul Riezman sendiri tidak mengerti kenapa dengan Syuhada dia cepat berkenan sedangkan gadis itu tidak pernah menunjukkan reaksi positif. Dia juga dapat merasakan ada laluan yang sukar untuk dia lalui bagi memenangi hati Syuhada. Mungkin sikap Syuhada yang terlalu dingin. Namun kedinginan sikapnya itulah yang menguatkan lagi keinginannya. Ada sesuatu di mata Syuhada. Sinar redup dan tulus yang membuat dia benar-benar jatuh hati.

Manzi tersenyum meleret bila bertembung dengan Syuhada pagi itu. Syuhada hairan. Aku pakai baju terbalik ke? tanya hati kecilnya. Mereka sudah siap berpakaian untuk ke tempat kerja masing-masing. Untuk ke tempat kerja mereka hanya menaiki satu kereta. Kadang-kadang kereta Mazni. Adakala kereta Syuhada. Walaupun tidak satu tempat  tetapi sekolah tempat mereka mengajar berdekatan.
“Siapa malam tadi tu, Syu?” Mazni bertanya sambil memandang Syuhada yang sedang mengangkat mug milonya. Syuhada mengerutkan dahinya tanda tidak faham.
“Alah, yang telefon malam tadi tulah, kau ni lembat betullah” Ruzian dan Aznah memandang Mazni dan Syuhada silih berganti. Mereka tidak tahu pokok persoalan yang diperkatakan.
“Ohh itu. Entah, Syu pun tak tahu” Syuhada menjawab sambil lewa. Mazni menggeleng.
“Syu tak cakap dengan dia ke?”
“Sekejap aje. Syu ngantuk sangat, Syu pun letak telefon dan tidur”
“Tak patut Syu buat dia macam tu” keluh Mazni.
“Habis tu, Kak Maz nak suruh Syu buat macam mana? Nak layan dia macam putera raja”
“Taklah sampai macam tu. Tapi hajat orang Syu, tak baik hampakan” Syuhada memandang Mazni hairan. Tidak faham kenapa teman serumahnya itu beria-ia membela lelaki yang tidak dikenali itu.
“Kenal pun tidak. Nak layan buat apa. Entah-entah orang gila” Syuhada merunggut perlahan.
“Eh, eh,  apa ni? Kami tak faham apa yang kau orang merepekkan ni” Ruzian mencelah. Masih lagi memandang Mazni dan Syuhada.
“Syu ni, ada orang berkenan kat dia, dia buat tak tahu aje”
“Takkan Kak Maz tak tahu lagi perangai si Syu ni. Dulu-dulu lagi ramai orang berkenan kat dia, dia aje buat tak reti. Tu siapa tu, haa …. Cikgu Jefri sampai sekarang masih lagi menanti. Mana tahu kut-kut terbuka pintu hati Syu terima dia” Aznah pula bersuara.
Syuhada sekadar mencebik. Terbayang wajah Jefri, rakan sekerja Aznah di ruang matanya. Bolehlah tahan.....tapi hati tidak berkenan...nak buat macam mana.
“Dah dia orang berkenan. Takkan Syu yang salah kut? Syu tak suruh pun mereka semua tu berkenan kat Syu. Dahlah jom pergi, dah lambat ni. Hari ini kan ada assembly”

Syuhada bangun lalu mencapai begnya. Yang lain mengikut lantas bergerak menuju ke kereta Mazni. Hari ini giliran Mazni membawa kereta. Syuhada duduk di sebelah Mazni. Fikirannya melayang jauh. Mengingati panggilan malam tadi. Puas dia mengingat nama lelaki itu tetapi tidak berjaya. Dia betul-betul tak ingat. Mungkin sebab terlalu mengantuk. Agh, biarlah!. Yang aku menyemakkan kepala otak dengan memikirkan siapa lelaki itu buat apa?

No comments:

Post a Comment