Saturday, April 30, 2011

~~Bab 12~~



               Benar seperti telahannya. Wanita itu betul-betul kecil hati dengan pertanyaannya tempoh hari. Padan muka aku …. Desis hatinya. Telajak perahu boleh diundur, telajak kata .. inilah padahnya. Hati sendiri terjeruk. Merana menahan hati. Semua yang dilakukan serba tidak kena. Selepas kejadiaan itu mereka tidak pernah bertemu. Bercakap di telefon jauh sekali. Sudah berpuluh kali rasanya dia mendail nombor telefon rumah wanita itu namun tidak pernah berjawab. Ke mana mereka pergi? Tak kanlah keempat-empat mereka bersepakat. Boikot!...Mustahil Syuhada bercerita yang tidak-tidak. Wanita yang berat mulut itu mustahil akan bercerita tentang pertemuan mereka yang secara kebetulan di penghujung benua Asia tempoh hari.
Malah takdir pun seolah-olah tidak membenarkan lagi kebetulan di antara mereka. Kalau sebelum ini mereka sering terserempak tanpa dirancang.....tapi kini bayangnya langsung tiada dimana-mana. Aduhh.....dimana harus kujejaki dia??? Macam biskut chipsmore betul lah dia ni....kejap ada, sekejap tak ada......

            Puan Rosmah keluar dari dapur sambil menatang dulang berisi air oren. Sudah sedari tadi dia memerhatikan keresahan anak bujangnya itu. Entah berapa kali beranda rumah itu diukur tanpa kayu pengukur. Berjalan keulu dan ke hilir. Jarang dia melihat anaknya yang happy go lucky itu berkeadaan seperti itu. Puan Rosmah duduk di bangku sambil terus memerhatikan anaknya. Lama dia duduk tanpa bersuara.
            “Man …. Mari duduk dengan mama sini. Pening kepala mama tengok Man mundar mandir macam ni” Shahrul Riezman tersentak. Tidak disedari langsung kehadiran mamanya. Terlalu asyik mencerna minda mencari idea sehingga derap langkah mamanya pun tidak kedengaran.
            “Mama ni, terkejut Man tau. Lain kali panggillah lembut-lembut sikit. Kalau Man ada sakit jantung mahunya rebah kat sini. Ha .. sapa yang susah. Mama juga yang susah kan?” Shahrul Riezman duduk disebelah Puan Rosmah sambil melentokkan kepalanya ke bahu ibunya.
            “Sudah … sudah… dah besar panjang macam ni pun nak manja lagi. Tak malu ke ditengok orang” Puan Rosmah menolak lembut kepala Shahrul Riezman. Anak bujang yang sudah terlajak umur ini memang betul-betul manja.
            “Alah mama ni. Bukannya ada orang lain pun. Kalau bukan dengan mama, dengan siapa lagi Man nak bermanja. Tak kan nak bermanja dengan Kak Long kut. Tak pasal-pasal nanti Man kena hambat dengan abang long”.
            “Awak tu patutnya sudah beristeri. Bermanja …. Berkasih sayang dengan isteri. Ini tidak, entah sampai bila nak membujang. Dah masuk dalam kategori bujang telajak ni tau” Puan Rosmah mula mengatur strategi. Sudah puas dia menyuruh Shahrul Riezman berkahwin. Namun tidak pernah diendahkan. Entah siapa yang ditunggu. Kerjaya sudah mantap, rumah pun dah tersedia......tapi permaisuri yang ditunggu tidak juga kunjung tiba.
            “Hisyy mama ni..... sensitif tau sebut bujang terlajak tu. Mana ada terlajaknya. Man baru 31 tahun, muda lagi la”
            “Muda apa bendanya Man.....along tu baru 32 tahun tau, anak dah dua. Beza setahun je dengan Man”
            “Sapalah yang nak dekat Man ni mama……” Shahrul Riezman mengeluh. Terkenang pada Syuhada. Ke mana kau menghilang Syu ?…. Lirih hatinya. Dia rindu tiba-tiba. Rindu pada seraut wajah selamba itu. Lesung pipit yang baru dilihat sekali.....alangkah manisnya. Syuhada sangat menarik dengan perwatakannya yang tersendiri.
            “Aiekkk …. Punyalah handsome anak mama ni, tak ada yang berkenan ke? Mama carikan nak? Dekat sekolah mama dulu, ramai cikgu-cikgu perempuan baru posting. Man nak yang macam mana. Yang tinggi …. Yang rendah …. Yang putih …. Yang hitam manis. Man cakap aje. Yang lain-lain mama uruskan” bersungguh-sungguh Puan Rosmah.
            “Agh, mama ni. Macam mengidam sangat nak ada menantu. Kak Long tu kan dah ada. Cucu pun dah ada. Entah-entah mama dah jemu melayan Man tak. Dah tak suka Man duduk sini” Shahrul Riezman mula meneguk air oren yang ada di hadapannya.
            “Ke situ pulak budak bertuah ni. Jangan nak berdrama dengan mama la. Cuba Man tengok abang dengan kak long. Man tak teringin ke macam tu?”
            “Teringin pun mama, nak buat macam mana. Orang tak sudi” Puan Rosmah mula menangkap sesuatu. Dia memandang Shahrul Riezman sambil tersenyum-senyum.
            “Laa…yang mama tersengih-sengih ni kenapa? Macam la Man ada buat lawak”
            “Siapa yang tak sudi dengan Man. Cuba cakap dengan mama, nanti mama tolong promosikan Man pada dia” Shahrul Riezman tergelak melihat telatah ibunya. Ada ke aku nak dipromosikan. Kalau ya pun mama nak buat promosi, betul tentu Syuhada akan tertarik dengan iklan mama. Bukankah wanita itu beku hatinya??? Kalau dicampakkan ke Kutub Utara sekalipun, tentu dia dapat bertahan....tidak akan mati kesejukan. Bukankah suhu perasaan wanita itu sama dengan suhu dekat Kutub Utara sana???
            “Dahlah mama. Belum sampai jodoh lagi. Mama jangan bimbanglah ada jodoh nanti Man kahwinlah. Tapi yang pasti mama pasti berkenan dengan pilihan Man” Shahrul Riezman memeluk bahu ibunya. Semenjak ayahnya meninggal dua tahun lepas, hubungan mereka dua beranak bertambah akrab.
            “Man dah ada pilihan ye?” Shahrul Riezman mengangguk pasti. Biarlah mama yakin bahawa dia memang sudah ada pilihan walau hatinya sendiri buntu.
            “Bawalah ke sini. Biar kami berkenalan. Mama tak kisah siapapun pilihan Man, asalkan Man bahagia” lega hati Puan Rosmah  dengan kenyataan anaknya. Sekurang-kurangnya Shahrul Riezman sudah berteman. Sekurang-kurangnya dia tahu anaknya itu lelaki normal......masih mempunyai keinginan untuk beristeri.
            “Nak bawak sini macam mana..... Man tak tahu nak cari dia dekat mana” Shahrul Riezman melepaskan geram di hatinya. Sudah seminggu dia kehilangan jejak.
            “Laa, apa ni Man. Mama tak fahamlah. Tadi kata dah ada. Lepas tu tak tau nak cari kat mana. Mana satu yang betul ni. Ada ke tidak ni? Man saja nak mainkan mama ye?” Puan Rosmah sebenarnya keliru. Shahrul Riezman sekadar mengeluh. Belas hati ibunya melihatkan keadaan dia yang begitu.
            “Cuba Man cerita pada Mama apa yang berlaku dalam hidup Man kebelakangan ini. Mama tengok sejak Man balik dari bercuti di Tanjung Piai, Man resah semacam aje. Apa masalah Man sebenarnya? Siapa yang rosakkan hati anak mama ni?” Puan Rosmah mengelus bahu anaknya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran anak terunanya itu. Namun dia cukup sedar yang Shahrul Riezman cukup perahsia tentang hal-hal peribadinya. Sukar benar dia hendak berkongsi tentang perkara-perkara yang melibatkan hati dan perasaan.
            “Tak ada apalah mama. Mama jangan risau. Kalau Man dah confirm dengan that girl, mama orang pertama yang akan tahu” sebenarnya dia malu hendak menceritakan masalahnya. Mahunya mama kata aku bertepuk sebelah tangan nanti. Tak cukup hari dia diketawakan nanti. Bukan Shahrul Riezman tidak tahu sikap ibunya.
            “Istimewa sangat ke dia sampai anak mama sasau macam ni” Shahrul Riezman sekadar mengangguk. Memang Syuhada istimewa. Istimewa dimatanya. Puan Rosmah tersenyum lebar. Dia yakin dengan pilihan Shahrul Riezman. Pastinya bukan calang-calang orang. Kalau tidak masakan dia menunggu sehingga sekarang … usianya sudah menjangkau 31 tahun.
            “Perlukan bantuan mama?” tanya Puan Rosmah perlahan.
            “Belum lagi mama. Kalau dah terdesak nanti, pasti mama calonnya” Puan Rosmah ketawa kecil. Faham benar sikap anak bongsunya itu.


No comments:

Post a Comment