Selepas mengunci keretanya, Syuhada menuju ke Badan Ilmiah Book Store. Sudah lama dia tidak membeli buku. Mungkin ada buku yang boleh memotivasikan diri atau novel terbaru. Agak lama dia berada di satu sudut. Di rak yang tersusun novel-novel penulis tempatan. Satu persatu dibeleknya novel yang ada di situ. Akhirnya dia memilih sebuah novel tulisan Kamariah Kamaruddin. Ilustrasi kulit yang cantik itu menarik minatnya. Benarkah kasih sayang tidak bersyarat? …. Ayat di kulit hadapan novel itu menyentuh hati kecilnya. Terkenang kembali kepada Zulhilmi. Akukah yang meletakkan syarat di atas kasih sayang yang tidak kesampaian ini? Sekeping hatinya diserbu pilu tiba-tiba.
Sedang dia leka membaca sinopsis yang berada di kulit belakang novel itu, tiba-tiba tubuhnya terdorong ke tepi. Terasa ada sesuatu yang besar melanggarnya. Cepat-cepat dia berpaut pada rak buku. Mujur tidak tumbang.
“Sorry Cik. saya tak ……” pandangan mereka bersatu. Syuhada cuba mengingati di mana dia pernah terjumpa lelaki ini. Sorotan mata leleki itu…….macam kenal, tapi siapa ye???
Dia bertambah pelik bila lelaki itu tahu namanya. Baru dia teringat di mana mereka pernah bertemu. Pertemuan yang semuanya secara kebetulan. Suaranya itu mengingatkan Syuhada kepada seseorang. Tak mungkinlah, desis hatinya. Tapi dari mana dia tahu nama aku? Rasanya tak pernah aku beritahu.
Shahrul Riezman masih lagi merenung Syuhada. Terlerai rindu yang terhimpun selama ini. Pertemuan yang keempat antara mereka walaupun tidak pernah dirancang. Dia bersyukur di atas kebetulan ini. Syuhada hanya memakai jean biru dan T-shirt longgar juga berwarna biru serta bertudung putih. Nampak ringkas namun tetap kelihatan bergaya.
“Awak tak sibuk ke hari ini?” Shahrul Riezman bertanya sambil mengekori Syuhada ke kuanter bayaran. ‘Esok saya sibuk’ teringat dia pada ayat itu. Diam-diam dia menyimpan geram.
Setelah membayar harga buku-buku yang dibelinya, Syuhada melangkah keluar dari Badan Ilmiah Book Store itu. Langkahnya laju menuju ke Pasar Raya Senyum. Ada keperluan alat tulis yang ingin dibelinya. Shahrul Riezman tetap mengekorinya. Syuhada berpaling apabila terasa dirinya diekori.
“Yang awak ikut ni kenapa? Saya ada ajak awak ke?” Shahrul Riezman ketawa. Dia suka cara Syuhada. Ayat yang digunakan, selamba tapi sering kali melucukan.
“Biarlah awak tak ajak, saya tetap nak ikut”
Memang tak tahu malu. Dasar muka tembok.
“Lantak awaklah. Malas saya nak layan”
Syuhada mula bergerak. Shahrul Riezman mengambil tempat di sisinya. Mereka melangkah seiring. Syuhada mula rasa kurang senang. Mulanya dia tidak kisah. Hendak ikut, ikutlah. Janji kau tak ganggu aku. Tapi setelah beberapa ketika mereka berjalan bersama, tiba-tiba ada debar di dadanya. Syuhada tidak mengerti. Ketinggian Riezman yang melebihinya membuatkan dia rasa selamat. Aroma yang dipakai Riezman menyenangkannya dan mendatangkan debar yang tidak menentu. Syuhada tidak suka keadaan itu. Dia ingin lari dari rasa yang mula dialami. Dia mengeluh perlahan. Aghh...aku tak ingin perasaan itu hadir lagi..
“Kenapa?” tanya Shahrul Riezman sambil memandang Syuhada di sisinya. Ketinggian Syuhada yang hanya separas bahunya membolehkan dia menatap wajah Syuhada sepuas hatinya.
“Kenapa apa?” Syuhada memang tidak mengerti maksud Riezman.
“Kenapa awak mengeluh? Tak suka saya temankan awak?”
“Boleh tak jangan ikut saya?” Syuhada bersuara perlahan. Kehadiran Shahrul Riezman benar-benar membuat dia tidak selesa.
“Tadi kata tak kisah” Lelaki itu tersenyum-senyum.
“Itu tadi. Sekarang ni saya kisah. Lagipun kat sini ramai orang kenal saya. Tak elok. Nanti orang akan kata yang bukan-bukan. Saya tak suka” Syuhada berterus terang.
“Oooo macam tu ye. Awak ni kira famouslah kat Bandar kita ni. Biarlah orang-orang yang kenal awak tu nampak. Boleh saya tumpang glamour sekali” Shahrul Riezman masih lagi ingin mengusik. Syuhada menjeling menahan geram. Memang tak reti bahasa!!
Mereka sampai di bahagian alat tulis. Syuhada memilih beberapa batang pen merah dan hitam serta beberapa examination pad. Shahrul Riezman sekadar memerhati. Dia ni student ke? Tapi mana ada IPTA di sini jauh sekali kolej swasta. Sebentar kemudian Syuhada membayar harga barangan yang dibelinya. Hajat di hati hendak ke bahagian pakaian wanita. Tapi terasa malu pada lelaki yang masih setia mengekorinya. Dia turun ke bawah dan terus melangkah keluar dari pasar raya Senyum yang semakin sesak dengan orang ramai.
“Saya dah nak balik ni.Awak masih nak ikut?” Syuhada menyindir.
“Boleh juga” jawab Shahrul Riezman selamba.
Syuhada membulatkan matanya memandang Shahrul Riezman. Tak reti bahasa betul. Shahrul Riezman tersenyum melihat gelagat Syuhada.
“Saya akan tetap ikut awak selagi awak tak temankan saya makan. Lagipun dah pukul 2.10. Kita lunch. Saya lapar ni”
“Awak yang lapar awaklah pergi makan”
“Please Syu. Kali ini aje”
Syuhada memandang wajah Shahrul Riezman. Agak lama mereka bertatapan. Simpati pula rasanya. Sebenarnya perut dia pun sudah berkeroncong. Kalau dia tidak terjumpa dengan Shahrul Riezman tadi, sudah lama dia ke KFC atau pun MB.
“Okay. Untuk kali ini sahaja” persetujuan Syuhada disambut dengan senyum lebar Shahrul Riezman.
Mereka melangkah ke salah sebuah kedai makan yang terdapat di bangunan itu. Mereka sepakat memilih masakan Cina. Makanan yang disediakan adalah secara buffet. Banyak meja yang kosong. Maklumlah, masa untuk lunch sudah tersasar jauh. Shahrul Riezman memilih meja makan yang agak jauh dari meja hidangan. Syuhada terpaksa akur.
“Tadi kata tak lapar” tegur Shahrul Riezman bila dilihatnya laju Syuhada menyuap makanan ke mulutnya. Syuhada rasa tersindir.
“Awak nak saya berhenti dan tinggalkan awak?” duga Syuhada geram.
Dia merenung Lelaki di hadapannya tajam. Dah aku temankan makan banyak komplen pulak. Shahrul Riezman tersenyum lalu menyedut air tembikainya.
“Lama saya tak nampak awak. Awak pergi mana?”
“Dalam Bandar ni ada ramai orang. Bukan hanya awak dan saya. Wajarlah awak tak nampak saya. Lagipun rumah awak lain. Rumah saya lain” Shahrul Riezman memandang geram. Ada sahaja jawapan yang keluar dari bibirnya.
“Syuhada ….”
“Oh ya. Satu pekara …… mana awak tahu nama saya?” Syuhada menolak pinggannya ke tepi. Perutnya sudah penuh.
Kepala Shahrul Riezman ligat mencari idea. Apa aku nak kelentong ni. Tak kan aku nak cakap Mazni beritahu aku. Mereka telah berjanji tidak akan membocorkan rahsia. Tiba-tiba pandangannya tertumpu ke arah pintu masuk kedai makan itu. Ada tiga orang perempuan yang sedang bergerak ke arah mereka. Dia menarik nafas lega.
“Amboi Syu, patutlah beria-ia nak keluar seorang”
Syuhada terkejut bukan main. Terlupa pada soalannya tadi. Tidak menduga akan bertemu dengan mereka bertiga. Baru terasa kecilnya bandar Pontian. Dengan Shahrul Riezman sendiri sudah tiga kali mereka terserempak.
“Duduklah Kak Maz, Az, Yan. Kau orang jangan salah sangka. Ini bukan salah Syu. Dia nilah ….. rela hati nak jadi bodyguard tak bergaji” mereka tersenyum-senyum melihat Syuhada yang serba-salah.
Shahrul Riezman berwajah selamba. Katalah apa kau nak kata, asalkan kau lupa soalan tadi. Dia langsung tak ada idea nak jawab soalan tadi.
“Eh, duduklah. Boleh juga saya kenal kawan-kawan Syu” pelawa Shahrul Riezman bersahaja.
Shahrul Riezman berdiri lalu duduk semula di sebelah Syuhada. Jarak mereka yang agak dekat membuat dada Syuhada berdebar semula. Hairan. Mengapa pula ada perasaan seumpama itu sedangkan baru pertama kali mereka keluar bersama. Itupun secara kebetulan.
“Kau tak kisah ke, Syu?” tanya Ruzian mengusik.
“Please Yan. Ini not our dating. Aku kalau nak dating tak kan kat sini kut. Tak ada value” Syuhada berkata sambil menjeling ke arah lelaki di sisinya. Sharul Riezman tersenyum.
Tak ada value ………bisik hatinya. Tunggulah aku akan cari tempat yang ada sentimental value.
Mereka bertiga mengambil tempat di hadapan Syuhada dan Shahrul Riezman. Mazni memandang Shahrul Riezman sambil mengejipkan matanya. Sharul Riezman tersenyum dan mengangguk. Mujurlah perbuatan mereka tidak disedari yang lain. Mereka hanya memesan minuman. Terlalu lama di Pasar Raya Senyum menyebabkan mereka terasa dahaga. Hendak makan perut masih terasa kenyang.
“You all dari mana? Kenapa tak cakap nak keluar? Boleh Syu tunggu tadi”
“Agenda kau selalu tak sama dengan agenda kami Syu. Kau tu sibuk memanjang. Nanti sedap-sedap berjalan, kau sibuk nak balik” Aznah bersuara. Syuhada tersenyum faham.
“Asyik bercakap ….. kau tak nak kenalkan bodyguard kau pada kami ke?” Ruzian mencelah. Perkataan bodygaurd ditekankan sedikit.
“Betul Syu. Tak kan awak tak kenalkan saya pada mereka” Sharul Riezman pula bersuara. Dia tahu Syuhada sudah terperangkap.
Syuhada menggigit bibirnya. Hendak dikenalkan macam mana. Nama dia pun aku tak tahu. Syuhada memandang Mazni, Aznah dan Ruzian silih berganti. Hai ….. kenapalah aku terserempak dengan kau orang? ….. keluh hatinya.
“Awak okay ke, Syu?”
“Itulah awak, saya suruh pergi tak nak pergi. Nak kenalkan macam mana nama awak pun saya tak tahu”
Syuhada melepaskan geram. Pecah ketawa mereka berempat. Ketawa Sharul Riezman paling kuat. Syuhada memandang mereka dengan perasaan jengkel. Lebih-lebih lagi pada Shahru Riezman.
“Tak tahu nama tapi dah keluar makan sama. Kau ni betul-betul peliklah Syu. Jangan-jangan dia ni perompak bersiri yang selalu kau kata tu” Aznah bersuara dengan nada bergurau.
Shahrul Riezman tersentak bila perkataan ‘perompak bersiri’ disebut Aznah. Dia tahu siapa yang dimaksudkannya. Tapi dia yakin Syuhada tidak tahu siapa ‘perompak bersiri’ yang sebenarnya. Dan dia bercadang meneruskan sandiwaranya.
“Saya Riezman. Syuhada aje yang buat-buat tak kenal Saya. Saya dah lama kenal dia” Shahrul Riezman memandang Mazni sambil tersenyum. Hanya Mazni yang tahu cerita sebenar.
Riezman. Ulang Syuhada dalam hati. Yang telefon tiap-tiap malam, nama dia Shahrul. Suara mereka macam sama tapi orangnya berbeza. Macam mana agaknya wajah Shahrul. Sekacak Riezmankah …. Hati Syuhada berkata-kata sendiri.
“Alamak.... Syu dah lambat” Syuhada kelam kabut berdiri. Shahrul Riezman terpinga-pinga. Tanpa berkata apa-apa lagi Syuhada terus melangkah.
“Dia nak pergi mana tu?” tanya Shahrul Riezman hairan.
“Dia memang macam tu. Sibuk 24 jam” jelas Mazni tanpa menjawab pertanyaan Riezman. Biarlah dia tahu dari Syuhada sendiri.
Selepas meminta diri, Shahrul Riezman meninggalkan tempat itu. Langkahnya pantas mengejar Syuhada. Tetapi hampa. Bayang Syuhada sudah tidak dapat dilihat. Tanpa membuang masa dia terus menju ke keretanya. Walaupun terkilan dengan sikap Syuhada namun dia berpuas hati dengan perkembangan hari ini.
No comments:
Post a Comment