Masa pantas berlalu. Bulan April sudah pun
menjelma. Majlis perkahwinan Sukri sudah pun berlangsung. Meriah seperti apa
yang diinginkan oleh ibunya. Maklumlah anak sulung, anak kesayangan pula. Zainab
sudah mampu tersenyum senang. Pertama kali membuat majlis, pastinya dia mahu yang
meriah walaupun dia sedar semuanya
dengan pertolongan Syuhada. Kalau tidak kerana anak perempuannya itu, mungkin
tidak akan ada majlis untuk hari ini. Syuhada sendiri merasa puas hati bila
semuanya berjalan dengan lancar. Tiada kepuasan lain selain dari kepuasan ibunya. Bukankah menggembirakan
seorang ibu itu adalah sesuatu yang dituntut? Apalah sangat pengorbanannya itu.
Namun di dalam hati dia tetap berharap agar Sukri mampu menunaikan
janji-janjinya. Kalaupun tidak mampu melunaskan apa yang dijanji pada dirinya
sekalipun.......cukuplah kalau dia mampu menguruskan hidupnya sendiri dengan
sempurna tanpa menyusahkan orang lain lagi. Cukuplah Zainab menjadi tulang
belakang Sukri selama ini. Diam-diam Syuhada menyimpan simpati buat ibunya.
Melihat Sukri dan Anita di atas pelamin
tadi, hati Syuhada pilu sendiri. Bukannya dia cemburu tetapi terkilan akan
nasib dirinya. Kalau tidak kerana Zulhilmi ditimpa musibah itu, sudah tentu
majlis itu miliknya. Sudah tentu dialah pengantin perempuannya. Kalau tidak
kerana Zulhilmi melupakan ikatan pertunangan mereka, sudah tentu dia sedang
menganyam bahagia sekarang. Namun segala kepiluan itu tersimpan jauh di sudut
hati. Meluah rasa hati hanya mengundang cemuh orang lain. Jadi, baiklah
dipendam sendiri. Biarlah dia merasa sakitnya seorang diri. Siapalah yang akan
mengerti biar beribu penjelasan diberi. Salah dan silap tetap dipihaknya.
Kalaulah lelaki itu mampu memberi penjelasan atas apa sebenarnya yang berlaku,
pasti dia tidak terdera seperti ini. Kalaulah dia tidak dibiarkan sendirian
menghadapi semua ini, pasti tiada laluan sukar buatnya untuk menjelaskan segala
kemelut ini.
“Syu, boleh along pinjam kereta Syu esok” pinta
Sukri selamba. Syuhada merasa terganggu. Benar-benar terganggu. Sudah diberi
betis, minta peha pula.
“Nak buat apa?”
“Biasalah pengantin baru, kan? Along
kenalah pergi ke rumah saudara-mara kita dan Nita. Tak kan along nak naik motor
aje, Malulah along” Sukri menjawab dengan muka selamba badaknya. Memang tidak
cukup hati dan perasaan lelaki seorang ini. Suka sangat meminta ihsan dari
orang lain. Payah sangat ke untuk berusaha sendiri???
Hati Syuhada bertambah geram. Meluat
dengan sikap berlagak Sukri. Kalau Tidak ada, buatlah cara tidak ada. Hendak
buat apa menyusahkan orang lain. Sudahlah satu kerja pun tidak mahu menolong.
Dekat khemah luar sana, berlambak benda yang hendak dikemas. Dia sedap-sedap
duduk di sini berkepit dengan isterinya. Macamlah tidak ada hari esok. Orang
lain pulak yang bertungkus lumus dalam majlis dia.
“Esok kan Syu kerja. Kejap lagi Syu nak
balik rumah Syu”
“Malam nanti along hantar Syu balik. Esok
Syu naiklah bas pergi kerja” jawabnya mudah. Langsung tidak memikirkan hak dan
perasaan orang lain. Syuhada terasa ingin menjerit. Menjerit kuat-kuat. Biar
semua orang tahu apa yang terbuka dalam hatinya. Dia sudah bosan berkorban
untuk orang lain. Dia sudah jelak mengalah dengan abangnya. Perlukah dia
mengalah lagi dengan kehendak abangnya kali ini?
“Maaflah along. Kereta tu macam nyawa Syu. Kerja Syu bukan di
sekolah saja. Merata tempat Syu pergi. Tambah lagi simpanan Syu dah habis
sekarang ni. Syu nak baliklah.
Syu tak dapat tolong along kali ni” sindir Syuhada perlahan.
Radang hatinya dengan sikap Sukri sudah tidak
terungkap dengan kata-kata. Sejak dulu, dia sahaja yang sering mengalah dengan
Sukri. Tidak terkira rasanya pertolongan yang diberikan. Sudahlah majlis
perkahwinannya ditanggung. Syuhada tidak mengerti dengan sikap abangnya itu.
Lelaki itu tidak pernah mengambil iktibar dia atas kesusahan keluarga mereka. Apakah
kerana dia lahir dulu dari perut ibu mereka, maka dialah yang wajar mendapat
segala-galanya??.....dan yang lain-lain wajib memberi apa yang dipinta??
Bukankah sepatutnya dia yang menunjukkan contoh yang baik??.....menjadi pelindung
dan idola bagi adik-adin yang lain.
“Kau memang sombong, kan Syu? Baru ada
kereta murah macam tu, dah berlagak” suara Sukri hinggap lagi dicuping telinga
Syuhada.
Syuhada memandang tajam ke arah Sukri.
Hatinya benar-benar panas. Sombongkah aku andai semua duit simpanan terpaksa
dikeluarkan untuk kepentingan abangnya itu???? Berlagakkah dia setelah dia
sanggup menidakkan haknya demi menjaga hati orang lain????
“Kereta murah pun kereta Syu sendiri.
Tak mintak sikit pun duit orang lain”
luah Syuhada geram.
“Tak boleh ke kau bagi pinjam kereta kau
pada along, Syu? Dia kan baru kahwin” suara ibunya pula menyapa. Mendengar
kata-kata itu, hati Syuhada bagaikan terhempas kembali. Berkeping-keping jatuh.
Aduhai emak.....yang dia nampak hanya along seorang sahaja.
“Syu gunalah, mak” balas Syuhada ringkas.
“Kau naiklah bas besok. Bukannya jauh pun
sekolah kau tu” tambah Zainab lagi. Langsung tidak mengambil kira apa yang
dirasa oleh anak perempuannya.
“Syu kan ada kelas sebelah petang. Macam
mana Syu nak pergi rumah murid Syu kalau tak ada kereta” sedaya mungkin Syuhada
merendahkan nada suaranya.
Syuhada semakin panas punggung. Kalau
boleh saat itu juga dia mahu beredar. Tetapi dia tidak mahu terus-terusan
memancing amarah ibunya. Bukan dia tidak tahu perangai ibunya. Kalau melibatkan
Sukri, semuanya lelaki itu betul. Walau apa pun yang berlaku, ibunya akan tetap
berpihak kepada abangnya itu. Maklumlah anak sulung. Anak harapan!.....Dia pun
sedar sikap pilih kasih ibunya itu. Syuhada pun tahu, sifat pilih kasih adalah antara sifat semulajadi manusia
dan berlaku tanpa disedari. Ia berlaku
hampir disetiap dimensi kehidupan. Biarlah….itu hak ibunya.
“Kelas tu kan boleh tangguh. Kau tak
kesian ke pada abang kau? Masakan nak naik motor. Kalau hujan macam mana?”
Zainab bersuara lagi. Simpati dia melihat wajah kehampaan Sukri. Dipandang pula
Syuhada yang berwajah tegang. Dia tidak faham kenapa Syuhada terlalu berkira
dengan abangnya itu.
“Mana boleh tangguh lagi, mak. Dah banyak
hari Syu tinggalkan kelas. Syu betul-betul tak dapat nak bagi pinjam kereta Syu
pada along” kali ini Syuhada cuba untuk tidak mengalah. Sudah puas dia menahan
hati.....menyimpan perih, semata-mata untuk orang lain. Kenapa harus kesian
pada along?...tanya hatinya bagi menjawab pertanyaan ibunya tadi. Manusia kalau
terlalu banyak dikasihani, beginilah jadinya. Tahunya hanya meminta sahaja.
Langsung tidak mahu berusaha sendiri.
“Kau memang tak mengenang budi, Syu.
Sampai hati kau tak nak tolong along” suara ibunya kedengaran lagi.
Syuhada memejamkan matanya rapat-rapat. Menanam
sabar dalam-dalam. Alangkah bagusnya andai ketika ini dia tidak mempunyai
keupayaan untuk mendengar. Tidak sanggup rasanya mendengar kata-kata ibunya
yang jauh dari pertimbangan akal. Tak mengenang budi???? Budi apa yang
diperkatakan???? Pernahkan Sukri berbudi padanya??? Tahukah ibunya bahawa mengenang
budi adalah sesuatu yang terlalu sukar untuk
dilaksana oleh manusia. Mengenang budi bermakna terpaksa korbankan kepentingan
diri untuk kebahagiaan orang lain. Pernahkah Sukri mengorbankan kepentingannya
untuk kebahagiaan orang lain atau paling tidak pun untuk ibunya??? Tolonglah mak......jangan sampai Syu
mengungkit segala-galanya........ keluh hatinya berkali-kali.
“Apa salahnya along yang naik bas. Syu kan
kerja” Syuhada masih berlembut. Masih tahu batasnya sebagai seorang anak.
“Hissyyy....malulah aku nak naik bas, mak.
Lagipun Anita mana pernah naik bas” sahut Sukri tiba-tiba.
Ueeekkkk.....hendak termuntah Syuhada
mendengar kata-kata Sukri. Malu??? Sukri tahu malu?? Tahukah Sukri perasaan malu itu berkaitan
dengan maruah, harga diri dan air mukanya seseorang. Orang yang ada perasaan
malu bermaksud bahawa maruah, harga diri dan air mukanya terjaga rapi. Melihat
tingkah Sukri…layakkah dia mengungkap kata malu itu sendiri?? Hati Syuhada kian
jelek.
“Nak malu apanya. Keluarga
mentua along pun tahu kan, along tak ada apa-apa?”
“Kau jangan nak kurang ajar
dengan aku, Syu. Aku ni abang kau!” herdik Sukri tiba-tiba. Panas telinganya
mendengar sindiran demi sindiran dari Syuhada.
Sudahnya Syuhada mendiamkan
diri. Malas melayan karenah abangnya yang sentiasa mahu menang sendiri….yang
sentiasa mendapat sokongan dari ibu mereka. Lebih baik dia berdiam diri. Cakap
lebih-lebih nanti dicop anak kurang ajar dari ibunya pula. Dia teringat pada sebuah hadis nabi “Nabi
SAW bersabda: "Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan
semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh, ialah diam dan baik
perangai." (Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim). Berdiam
diri lebih baik. Biarlah dia dikata kurang ajar oleh abangnya.
“Kau nak ke
mana tu, Syu?” tanya Zainab keras bila melihat Syuhada bangkit dari duduknya.
Syuhada terhenti lalu memandang ibunya.
“Syu nak balik,
mak. Syu minta maaf sebab tak dapat bagi pinjam kereta Syu” Syuhada terus
beredar tanpa memandang Sukri dan Anita. Zainab tidak terkata apa melihat sikap
keras kepala anak perempuannya itu. Namun belum sempat dia bergerak jauh,
kata-kata Sukri membakar lagi hatinya.
“Kau nak tau
kenapa tunang kau lari dari kau????? Sebab perangai kau memang menyakitkan
hati…kau tau tak?” berdesing telinga Syuhada mendengar kata-kata Sukri yang
tidak pernah diduga itu.
“Mak tengoklah
perangai dia…..sapa nakkan dia, kalau perangai pentingkan diri macam ni.
Berkira sangat” tanpa rasa bersalah, Sukri menyambung lagi kata-katanya.
Syuhada menggigit bibirnya menahan perasaan.
“Kerana
perangai Syu yang pentingkan diri nilah, kau dapat kahwin hari ini, long. Along
tau kan duit untuk majlis ni duit Syu?”
ujar Syuhada geram.
“Tengok tu mak,
belum apa-apa dah mengungkit” Sukri masih tidak berpuas hati.
“Along yang
paksa Syu untuk mengungkit”
“Kalau macam ni
perangai kau, sampai bila pun kau tak berlaki. Ada tunang pun lari” Sukri
semakin galak menyakitkan hati Syuhada.
“Kalau pun tak
berlaki, Syu tak akan pernah menyusahkan orang lain” Syuhada terus melangkah
laju. Ada butiran jernih yang ingin merembes keluar dari tubir matanya. Hatinya
benar-benar diamuk pilu. Sampai hati along!.....Kalau orang lain yang mencemuh,
dia tidak ambil pusing. Tetapi ini abangnya. Kata-kata itu keluar dari mulut
abangnya…..darah dagingnya sendiri. Sampai hati along! Rintih hatinya lagi.
“Macam mana
along nak pergi rumah keluarga nita, mak?” Sayup-sayup Syuhada dapat mendengar
suara Sukri. Dasar anak manja…..cemuhnya dalam hati. Anak manja yang sangat sukar untuk difahami,
kerana semua keinginanya harus selalu dipenuhi dan susah mengenal kata tidak.
Sekarang masih bolehlah mendongak ke langit sebab ibunya masih ada untuk memberi
sokongan. Esok-esok kalau ibunya sudah lelah melayan karenahnya….barulah kau
tahu langit itu tinggi atau rendah.
Memang berbeza benar sikap Sukri jika
dibandingkan dengan Syuhada walaupun jarak usia mereka hanya berselang tiga
tahun. Bagi Syuhada langit tidak selalu cerah dan laut pula tidak pasang
sepanjang masa. Ada hujan ,
ada kemarau, ada ribut malah ada taufan juga. Kehidupan yang mereka lalui ada
pasang surut. Bukankah lebih baik menyimpan sedikit kerana kita tidak tahu bila
era surut akan terjadi. Sebelum terjadi apa-apa, lebih baik bersiap sedia. Dia pelik dengan sikap Sukri yang tiada
simpanan langsung. Kerja pula asyik bertukar. Ada saja yang tidak kena. Macam
mana agaknya kehidupan rumah tangga mereka. Moga-moga dia akan berubah sikap......diam-diam
dia memasang doa. Biar buruk manapun, Sukri tetap darah dagingnya. Berkongsi
darah dan berkongsi air susu dari wanita yang sama.
“Nak ke mana ni kak?” tanya Rubiah, adik
perempuannya saat mereka berselisih di pintu.
“Balik. Besok akak kerja”
“Besok kan boleh pergi kerja dari sini”
pelik pula Rubiah memikirkan sikap Syuhada kali ini.
“Ermmm malaslah. Lagipun akak penatlah”
dalih Syuhada. Malas dia memanjang-manjangkan cerita biar dia tahu adiknya ini
sudah pasti memihak padanya.
“Dah tu sapa nak tolong kemas ni?
Bisinglah mulut mak nanti”
“Awaklah yang kemas. Bukannya banyak pun.
Tu, ajak sekali kakak ipar kesayangan awak” usik Syuhada sambil
tersenyum-senyum melihat wajah cemberut adiknya.
Syuhada sampai di rumahnya sewaktu azan
maghrib sedang berkumandang. Dia terus membersihkan diri untuk menghadapNYA.
Teman-teman serumahnya yang lain berada di bilik masing-masing. Satu kemujuran
bagi Syuhada. Kalau tidak berbagai persoalan yang perlu dijawab. Malam itu dia
terus mengurung diri di biliknya. Suara gelak ketawa dari tingkat bawah sedikit
pun tidak mengganggu lamunannya. Dia hanya ingin bersendiri. Saat ini dia tidak
mampu mengaplikasikan kata-kata yang pernah diungkapkannya dulu........... tersenyum saat tertekan,
tertawa saat hati sedang menangis, memaafkan saat terluka dan mempesona kerana
mengampuni....... Dia terlupa bagaimana untuk ketawa sedang hatinya memang
benar-benar terhiris.
No comments:
Post a Comment