Sunday, September 9, 2018


BAB 10
Hapuskan jejak yang membawa luka
Benamkan saja tanpa ada sisa

            Kereta Afkar masih tidak bergerak walaupun bayang kereta Ayuni sudah lama hilang dari pandangan matanya. Rasa hati Afkar seakan serba tidak kena. Dia sendiri hairan mengapa. Melihat pintu kedai dobi yang sentiasa terbuka lebar, dia seolah-olah masih melihat tubuh lemah yang terduduk di situ tadi. Cuba dibuang imej yang mengganggu kotak fikirannya dengan membuka radio kereta, namun wajah layu itu masih juga datang menjengah layar matanya. Seketika kemudian dia menggerakkan kereta keluar dari petak parkir. Dia nekad menurut kata hatinya petang itu.
            Afkar melangkah laju ke kaunter pendaftaran. Bertanya sesuatu di situ dan kemudiannya masuk ke ruang menunggu. Anak matanya meliar mencari lelaki berbaju kelabu. Apabila anak matanya sudah berjaya menemui apa yang dicari, dia menarik nafas lega. Perlahan-lahan langkah dibawa menghampiri lelaki itu.
            “Saya nak cakap dengan awak sikit.” Tanpa salam, Afkar mengeluarkan kata-kata itu.
            Pyan mengangkat kepada apabila terasa lelaki yang baru berdiri tegak di hadapannya itu bercakap dengannya. Dia? Lelaki tadi? Bukankah ini Encik… Encik Afkar? Benar. Tanda nama yang dipakainya pun masih melekat di dada kirinya.
            “Encik Afkar kan?”
            Dahi Afkar berkerut. Wajah yang mendongak ke arah dia itu, diamati seketika. Siapa? Tentu lelaki muda ini kenal pada dia. Pyan? Teringat Inara menyebut nama Pyan tadi. Pelajar aku ke? Hati Afkar bertanya sendiri. Tetapi dia memang tidak dapat mengecam siapa lelaki yang dia yakini adik Inara itu.
            “Inara tu kakak awak?” Afkar yakin soalan Pyan tadi tak perlu jawapan.
            “Encik Afkar kenal Inara? Kenal kakak saya?” Pyan balas dengan soalan juga.
            Afkar angguk.
            “Macam mana kenal? Saya tak tahu pun kak long ada kawan lelaki.”
            Afkar masukkan kedua tangannya ke dalam kocek seluar. “Saya selalu basuh baju di dobi dia.”
            “Ooo… jadi nak apa dengan Inara?” Pyan rapatkan kedua tangan ke dadanya. Hati jadi hairan dengan tingkah pensyarah yang dianggap misteri ini.  Cuma selalu basuh baju di dobi, tapi buat apa cari sampai ke sini?
            “Saya ada tawaran untuk dia.”
            “Tawaran? Apa?”
            “Dia tak ada suami kan?”
            Dada Pyan bagai dibaling ketulan batu. Anak mata membulat tajam.  Mempersoalkan ada atau tidak suami Inara, sangat-sangat mencabar wibawa dia. Lebih-lebih lagi persoalan begitu datang daripada orang luar. Maruah Inara bagai dicarik-carik.
“Pernah ke dia kata dia tak ada suami?”
            “Tak…”
            “Maknanya Encik Afkar tak ada hak nak tanya apa-apa! Langsung tak ada. Kami tak kenal siapa encik, … jangan pandai-pandai membuat andaian. Jangan sesuka hati mempersoalkan tentang diri Inara.” Pyan berdiri. Sakit hatinya apabila perihal Inara keluar dari mulut orang yang tidak ada kena mengena dengan mereka. “Inara tu kak long saya. Biar saya yang uruskan. Ada suami atau tidak, tak perlu orang luar tahu!”