BAB
10
Hapuskan
jejak yang membawa luka
Benamkan
saja tanpa ada sisa
Kereta Afkar masih tidak bergerak
walaupun bayang kereta Ayuni sudah lama hilang dari pandangan matanya. Rasa
hati Afkar seakan serba tidak kena. Dia sendiri hairan mengapa. Melihat pintu
kedai dobi yang sentiasa terbuka lebar, dia seolah-olah masih melihat tubuh
lemah yang terduduk di situ tadi. Cuba dibuang imej yang mengganggu kotak
fikirannya dengan membuka radio kereta, namun wajah layu itu masih juga datang
menjengah layar matanya. Seketika kemudian dia menggerakkan kereta keluar dari
petak parkir. Dia nekad menurut kata hatinya petang itu.
Afkar melangkah laju ke kaunter
pendaftaran. Bertanya sesuatu di situ dan kemudiannya masuk ke ruang menunggu.
Anak matanya meliar mencari lelaki berbaju kelabu. Apabila anak matanya sudah
berjaya menemui apa yang dicari, dia menarik nafas lega. Perlahan-lahan langkah
dibawa menghampiri lelaki itu.
“Saya nak cakap dengan awak sikit.”
Tanpa salam, Afkar mengeluarkan kata-kata itu.
Pyan mengangkat kepada apabila
terasa lelaki yang baru berdiri tegak di hadapannya itu bercakap dengannya.
Dia? Lelaki tadi? Bukankah ini Encik… Encik Afkar? Benar. Tanda nama yang dipakainya
pun masih melekat di dada kirinya.
“Encik Afkar kan?”
Dahi Afkar berkerut. Wajah yang
mendongak ke arah dia itu, diamati seketika. Siapa? Tentu lelaki muda ini kenal
pada dia. Pyan? Teringat Inara menyebut nama Pyan tadi. Pelajar aku ke? Hati
Afkar bertanya sendiri. Tetapi dia memang tidak dapat mengecam siapa lelaki
yang dia yakini adik Inara itu.
“Inara tu kakak awak?” Afkar yakin
soalan Pyan tadi tak perlu jawapan.
“Encik Afkar kenal Inara? Kenal
kakak saya?” Pyan balas dengan soalan juga.
Afkar angguk.
“Macam mana kenal? Saya tak tahu pun
kak long ada kawan lelaki.”
Afkar masukkan kedua tangannya ke dalam
kocek seluar. “Saya selalu basuh baju di dobi dia.”
“Ooo… jadi nak apa dengan Inara?” Pyan rapatkan kedua tangan ke dadanya. Hati
jadi hairan dengan tingkah pensyarah yang dianggap misteri ini. Cuma selalu basuh baju di dobi, tapi buat apa
cari sampai ke sini?
“Saya ada tawaran untuk dia.”
“Tawaran? Apa?”
“Dia tak ada suami kan?”
Dada Pyan bagai dibaling ketulan
batu. Anak mata membulat tajam. Mempersoalkan ada atau tidak suami Inara,
sangat-sangat mencabar wibawa dia. Lebih-lebih lagi persoalan begitu datang
daripada orang luar. Maruah Inara bagai dicarik-carik.
“Pernah
ke dia kata dia tak ada suami?”
“Tak…”
“Maknanya Encik Afkar tak ada hak
nak tanya apa-apa! Langsung tak ada. Kami tak kenal siapa encik, … jangan
pandai-pandai membuat andaian. Jangan sesuka hati mempersoalkan tentang diri
Inara.” Pyan berdiri. Sakit hatinya apabila perihal Inara keluar dari mulut
orang yang tidak ada kena mengena dengan mereka. “Inara tu kak long saya. Biar
saya yang uruskan. Ada suami atau tidak, tak perlu orang luar tahu!”