Tuesday, May 31, 2011

Bab 16


           Masa pantas berlalu. Bulan April sudah pun menjelma. Majlis perkahwinan Sukri sudah pun berlangsung. Meriah seperti apa yang diinginkan oleh ibunya. Maklumlah anak sulung, anak kesayangan pula. Zainab sudah mampu tersenyum senang. Pertama kali membuat majlis, pastinya dia mahu yang meriah walaupun  dia sedar semuanya dengan pertolongan Syuhada. Kalau tidak kerana anak perempuannya itu, mungkin tidak akan ada majlis untuk hari ini. Syuhada sendiri merasa puas hati bila semuanya berjalan dengan lancar. Tiada kepuasan lain selain dari  kepuasan ibunya. Bukankah menggembirakan seorang ibu itu adalah sesuatu yang dituntut? Apalah sangat pengorbanannya itu. Namun di dalam hati dia tetap berharap agar Sukri mampu menunaikan janji-janjinya. Kalaupun tidak mampu melunaskan apa yang dijanji pada dirinya sekalipun.......cukuplah kalau dia mampu menguruskan hidupnya sendiri dengan sempurna tanpa menyusahkan orang lain lagi. Cukuplah Zainab menjadi tulang belakang Sukri selama ini. Diam-diam Syuhada menyimpan simpati buat ibunya.

Melihat Sukri dan Anita di atas pelamin tadi, hati Syuhada pilu sendiri. Bukannya dia cemburu tetapi terkilan akan nasib dirinya. Kalau tidak kerana Zulhilmi ditimpa musibah itu, sudah tentu majlis itu miliknya. Sudah tentu dialah pengantin perempuannya. Kalau tidak kerana Zulhilmi melupakan ikatan pertunangan mereka, sudah tentu dia sedang menganyam bahagia sekarang. Namun segala kepiluan itu tersimpan jauh di sudut hati. Meluah rasa hati hanya mengundang cemuh orang lain. Jadi, baiklah dipendam sendiri. Biarlah dia merasa sakitnya seorang diri. Siapalah yang akan mengerti biar beribu penjelasan diberi. Salah dan silap tetap dipihaknya. Kalaulah lelaki itu mampu memberi penjelasan atas apa sebenarnya yang berlaku, pasti dia tidak terdera seperti ini. Kalaulah dia tidak dibiarkan sendirian menghadapi semua ini, pasti tiada laluan sukar buatnya untuk menjelaskan segala kemelut ini.

“Syu, boleh along pinjam kereta Syu esok” pinta Sukri selamba. Syuhada merasa terganggu. Benar-benar terganggu. Sudah diberi betis, minta peha pula.
“Nak buat apa?”
“Biasalah pengantin baru, kan? Along kenalah pergi ke rumah saudara-mara kita dan Nita. Tak kan along nak naik motor aje, Malulah along” Sukri menjawab dengan muka selamba badaknya. Memang tidak cukup hati dan perasaan lelaki seorang ini. Suka sangat meminta ihsan dari orang lain. Payah sangat ke untuk berusaha sendiri???
Hati Syuhada bertambah geram. Meluat dengan sikap berlagak Sukri. Kalau Tidak ada, buatlah cara tidak ada. Hendak buat apa menyusahkan orang lain. Sudahlah satu kerja pun tidak mahu menolong. Dekat khemah luar sana, berlambak benda yang hendak dikemas. Dia sedap-sedap duduk di sini berkepit dengan isterinya. Macamlah tidak ada hari esok. Orang lain pulak yang bertungkus lumus dalam majlis dia.
“Esok kan Syu kerja. Kejap lagi Syu nak balik rumah Syu”
“Malam nanti along hantar Syu balik. Esok Syu naiklah bas pergi kerja” jawabnya mudah. Langsung tidak memikirkan hak dan perasaan orang lain. Syuhada terasa ingin menjerit. Menjerit kuat-kuat. Biar semua orang tahu apa yang terbuka dalam hatinya. Dia sudah bosan berkorban untuk orang lain. Dia sudah jelak mengalah dengan abangnya. Perlukah dia mengalah lagi dengan kehendak abangnya kali ini?
“Maaflah along. Kereta tu macam nyawa Syu. Kerja Syu bukan di sekolah saja. Merata tempat Syu pergi. Tambah lagi simpanan Syu dah habis sekarang ni. Syu nak baliklah. Syu tak dapat tolong along kali ni” sindir Syuhada perlahan.

Radang hatinya dengan sikap Sukri sudah tidak terungkap dengan kata-kata. Sejak dulu, dia sahaja yang sering mengalah dengan Sukri. Tidak terkira rasanya pertolongan yang diberikan. Sudahlah majlis perkahwinannya ditanggung. Syuhada tidak mengerti dengan sikap abangnya itu. Lelaki itu tidak pernah mengambil iktibar dia atas kesusahan keluarga mereka. Apakah kerana dia lahir dulu dari perut ibu mereka, maka dialah yang wajar mendapat segala-galanya??.....dan yang lain-lain wajib memberi apa yang dipinta?? Bukankah sepatutnya dia yang menunjukkan contoh yang baik??.....menjadi pelindung dan idola bagi adik-adin yang lain.

“Kau memang sombong, kan Syu? Baru ada kereta murah macam tu, dah berlagak” suara Sukri hinggap lagi dicuping telinga Syuhada.
Syuhada memandang tajam ke arah Sukri. Hatinya benar-benar panas. Sombongkah aku andai semua duit simpanan terpaksa dikeluarkan untuk kepentingan abangnya itu???? Berlagakkah dia setelah dia sanggup menidakkan haknya demi menjaga hati orang lain????
“Kereta murah pun kereta Syu sendiri. Tak  mintak sikit pun duit orang lain” luah Syuhada geram.
“Tak boleh ke kau bagi pinjam kereta kau pada along, Syu? Dia kan baru kahwin” suara ibunya pula menyapa. Mendengar kata-kata itu, hati Syuhada bagaikan terhempas kembali. Berkeping-keping jatuh. Aduhai emak.....yang dia nampak hanya along seorang sahaja.
“Syu gunalah, mak” balas Syuhada ringkas.
“Kau naiklah bas besok. Bukannya jauh pun sekolah kau tu” tambah Zainab lagi. Langsung tidak mengambil kira apa yang dirasa oleh anak perempuannya.
“Syu kan ada kelas sebelah petang. Macam mana Syu nak pergi rumah murid Syu kalau tak ada kereta” sedaya mungkin Syuhada merendahkan nada suaranya.
Syuhada semakin panas punggung. Kalau boleh saat itu juga dia mahu beredar. Tetapi dia tidak mahu terus-terusan memancing amarah ibunya. Bukan dia tidak tahu perangai ibunya. Kalau melibatkan Sukri, semuanya lelaki itu betul. Walau apa pun yang berlaku, ibunya akan tetap berpihak kepada abangnya itu. Maklumlah anak sulung. Anak harapan!.....Dia pun sedar sikap pilih kasih ibunya itu. Syuhada pun tahu, sifat pilih kasih adalah antara sifat semulajadi manusia dan berlaku tanpa  disedari. Ia berlaku hampir disetiap dimensi kehidupan. Biarlah….itu hak ibunya.
“Kelas tu kan boleh tangguh. Kau tak kesian ke pada abang kau? Masakan nak naik motor. Kalau hujan macam mana?” Zainab bersuara lagi. Simpati dia melihat wajah kehampaan Sukri. Dipandang pula Syuhada yang berwajah tegang. Dia tidak faham kenapa Syuhada terlalu berkira dengan abangnya itu.
“Mana boleh tangguh lagi, mak. Dah banyak hari Syu tinggalkan kelas. Syu betul-betul tak dapat nak bagi pinjam kereta Syu pada along” kali ini Syuhada cuba untuk tidak mengalah. Sudah puas dia menahan hati.....menyimpan perih, semata-mata untuk orang lain. Kenapa harus kesian pada along?...tanya hatinya bagi menjawab pertanyaan ibunya tadi. Manusia kalau terlalu banyak dikasihani, beginilah jadinya. Tahunya hanya meminta sahaja. Langsung tidak mahu berusaha sendiri.
“Kau memang tak mengenang budi, Syu. Sampai hati kau tak nak tolong along” suara ibunya kedengaran lagi.
Syuhada memejamkan matanya rapat-rapat. Menanam sabar dalam-dalam. Alangkah bagusnya andai ketika ini dia tidak mempunyai keupayaan untuk mendengar. Tidak sanggup rasanya mendengar kata-kata ibunya yang jauh dari pertimbangan akal. Tak mengenang budi???? Budi apa yang diperkatakan???? Pernahkan Sukri berbudi padanya??? Tahukah ibunya bahawa mengenang budi  adalah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksana oleh manusia. Mengenang budi bermakna terpaksa korbankan kepentingan diri untuk kebahagiaan orang lain. Pernahkah Sukri mengorbankan kepentingannya untuk kebahagiaan orang lain atau paling tidak pun untuk ibunya???  Tolonglah mak......jangan sampai Syu mengungkit segala-galanya........ keluh hatinya berkali-kali.
“Apa salahnya along yang naik bas. Syu kan kerja” Syuhada masih berlembut. Masih tahu batasnya sebagai seorang anak.
“Hissyyy....malulah aku nak naik bas, mak. Lagipun Anita mana pernah naik bas” sahut Sukri tiba-tiba.
Ueeekkkk.....hendak termuntah Syuhada mendengar kata-kata Sukri. Malu??? Sukri tahu malu?? Tahukah Sukri perasaan malu itu berkaitan dengan maruah, harga diri dan air mukanya seseorang. Orang yang ada perasaan malu bermaksud bahawa maruah, harga diri dan air mukanya terjaga rapi. Melihat tingkah Sukri…layakkah dia mengungkap kata malu itu sendiri?? Hati Syuhada kian jelek.
“Nak malu apanya. Keluarga mentua along pun tahu kan, along tak ada apa-apa?”
“Kau jangan nak kurang ajar dengan aku, Syu. Aku ni abang kau!” herdik Sukri tiba-tiba. Panas telinganya mendengar sindiran demi sindiran dari Syuhada.
Sudahnya Syuhada mendiamkan diri. Malas melayan karenah abangnya yang sentiasa mahu menang sendiri….yang sentiasa mendapat sokongan dari ibu mereka. Lebih baik dia berdiam diri. Cakap lebih-lebih nanti dicop anak kurang ajar dari ibunya pula.  Dia teringat pada sebuah hadis nabi “Nabi SAW bersabda: "Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh, ialah diam dan baik perangai." (Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim).  Berdiam diri lebih baik. Biarlah dia dikata kurang ajar oleh abangnya.
“Kau nak ke mana tu, Syu?” tanya Zainab keras bila melihat Syuhada bangkit dari duduknya. Syuhada terhenti lalu memandang ibunya.
“Syu nak balik, mak. Syu minta maaf sebab tak dapat bagi pinjam kereta Syu” Syuhada terus beredar tanpa memandang Sukri dan Anita. Zainab tidak terkata apa melihat sikap keras kepala anak perempuannya itu. Namun belum sempat dia bergerak jauh, kata-kata Sukri membakar lagi hatinya.
“Kau nak tau kenapa tunang kau lari dari kau????? Sebab perangai kau memang menyakitkan hati…kau tau tak?” berdesing telinga Syuhada mendengar kata-kata Sukri yang tidak pernah diduga itu.
“Mak tengoklah perangai dia…..sapa nakkan dia, kalau perangai pentingkan diri macam ni. Berkira sangat” tanpa rasa bersalah, Sukri menyambung lagi kata-katanya. Syuhada menggigit bibirnya menahan perasaan.
“Kerana perangai Syu yang pentingkan diri nilah, kau dapat kahwin hari ini, long. Along tau kan duit untuk majlis  ni duit Syu?” ujar Syuhada geram.
“Tengok tu mak, belum apa-apa dah mengungkit” Sukri masih tidak berpuas hati.
“Along yang paksa Syu untuk mengungkit”
“Kalau macam ni perangai kau, sampai bila pun kau tak berlaki. Ada tunang pun lari” Sukri semakin galak menyakitkan hati Syuhada.
“Kalau pun tak berlaki, Syu tak akan pernah menyusahkan orang lain” Syuhada terus melangkah laju. Ada butiran jernih yang ingin merembes keluar dari tubir matanya. Hatinya benar-benar diamuk pilu. Sampai hati along!.....Kalau orang lain yang mencemuh, dia tidak ambil pusing. Tetapi ini abangnya. Kata-kata itu keluar dari mulut abangnya…..darah dagingnya sendiri. Sampai hati along! Rintih hatinya lagi.
“Macam mana along nak pergi rumah keluarga nita, mak?” Sayup-sayup Syuhada dapat mendengar suara Sukri. Dasar anak manja…..cemuhnya dalam hati. Anak manja yang  sangat sukar untuk difahami, kerana semua keinginanya harus selalu dipenuhi dan susah mengenal kata tidak. Sekarang masih bolehlah mendongak ke langit sebab ibunya masih ada untuk memberi sokongan. Esok-esok kalau ibunya sudah lelah melayan karenahnya….barulah kau tahu langit itu tinggi atau rendah.

Memang berbeza benar sikap Sukri jika dibandingkan dengan Syuhada walaupun jarak usia mereka hanya berselang tiga tahun. Bagi Syuhada langit tidak selalu cerah dan laut pula tidak pasang sepanjang masa. Ada hujan , ada kemarau, ada ribut malah ada taufan juga. Kehidupan yang mereka lalui ada pasang surut. Bukankah lebih baik menyimpan sedikit kerana kita tidak tahu bila era surut akan terjadi. Sebelum terjadi apa-apa, lebih baik bersiap sedia. Dia pelik dengan sikap Sukri yang tiada simpanan langsung. Kerja pula asyik bertukar. Ada saja yang tidak kena. Macam mana agaknya kehidupan rumah tangga mereka. Moga-moga dia akan berubah sikap......diam-diam dia memasang doa. Biar buruk manapun, Sukri tetap darah dagingnya. Berkongsi darah dan berkongsi air susu dari wanita yang sama.

“Nak ke mana ni kak?” tanya Rubiah, adik perempuannya saat mereka berselisih di pintu.
“Balik. Besok akak kerja”
“Besok kan boleh pergi kerja dari sini” pelik pula Rubiah memikirkan sikap Syuhada kali ini.
“Ermmm malaslah. Lagipun akak penatlah” dalih Syuhada. Malas dia memanjang-manjangkan cerita biar dia tahu adiknya ini sudah pasti memihak padanya.
“Dah tu sapa nak tolong kemas ni? Bisinglah mulut mak nanti”
“Awaklah yang kemas. Bukannya banyak pun. Tu, ajak sekali kakak ipar kesayangan awak” usik Syuhada sambil tersenyum-senyum melihat wajah cemberut adiknya.


Syuhada sampai di rumahnya sewaktu azan maghrib sedang berkumandang. Dia terus membersihkan diri untuk menghadapNYA. Teman-teman serumahnya yang lain berada di bilik masing-masing. Satu kemujuran bagi Syuhada. Kalau tidak berbagai persoalan yang perlu dijawab. Malam itu dia terus mengurung diri di biliknya. Suara gelak ketawa dari tingkat bawah sedikit pun tidak mengganggu lamunannya. Dia hanya ingin bersendiri. Saat ini dia tidak mampu mengaplikasikan kata-kata yang pernah diungkapkannya dulu........... tersenyum saat tertekan, tertawa saat hati sedang menangis, memaafkan saat terluka dan mempesona kerana mengampuni....... Dia terlupa bagaimana untuk ketawa sedang hatinya memang benar-benar terhiris.



Saturday, May 28, 2011

Cover 1


Bab 15


Sedari tadi Shahrul Riezman menyelonggar almari yang menempatkan album dan majalah lama. Rasanya sudah terlalu lama almari itu tidak diusik oleh sesiapa. Mana-mana yang diperlukan dari album dan majalah lama itu diambil dan dibawa masuk ke biliknya. Puan Rosmah sekadar memerhati dengan rasa pelik. Barang-barang dalam almari itu sudah terlalu lama tidak diusik. Entah apa yang dicari oleh Riezman, detik hatinya. Sebentar kemudian Shahrul Riezman keluar dari biliknya lalu menggabungkan diri menonton televisyen bersama Puan Rosmah. Dia merebahkan tubuhnya sambil meletakkan kepalanya di atas riba Puan Rosmah. Puan Rosmah mengelus-ngelus rambut anak kesayangannya.

“Man cari apa dekat almari tu” tanya Puan Rosmah sambil memandang wajah anaknya.
“Saja nak tengok gambar lama, mama”
 “Majalah lama tu buat apa pulak? Mama rasa semuanya majalah tahunan sekolah mama dulu. Mana ada kaitan dengan Man. Ada sesuatu yang cuba Man sorokkan dari mama ya?” tanya Puan Rosmah lagi. Dia sebenarnya kehairanan. Apa gunanya majalah tahunan sekolahnya itu? Apa pulak kepentingannya pada Shahrul Riezman.
“Tak ada apalah mama. Saja nak tengok gambar mama masa muda-muda dulu” jawab Shahrul Riezman berseloroh.
“Yelah sangat tu, bukan mama tak tahu perangai Man. Mesti ada sesuatu yang Man sorokkan dari mama ni. Cuba kongi dengan mama. Tapi tak apalah kalau Man tak bersedia nak cerita pada mama. Man kan dah besar. Dah 31 tahun. Man patutnya ……”
“Dah ada isteri....bermesra  dan berkasih sayang dengan isteri !” potong Shahrul Riezman sambil tergelak.
“Man dah hafal dah dialog mama tu. Mama jangan bimbang Man mesti kahwin tahun ni. Itupun kalau ada jodohah. Mama doakan jodoh Man dipermudahkan ye” Shahrul Riezman bersuara ceria. Terbayang di ruang matanya wajah Syuhada. Wajah sendu itu betul-betul menambat hatinya. Wajah itu memang benar-benar mirip  dengan wajah budak perempuan dalam majalah tadi. Dia pasti benar dengan redup pandangan itu. Diakah???? Tanya hatinya berkali-kali. Melihat kedua-dua wanita itu…yang satu didalam gambar dan satu lagi yang terakam dalam ingatan sekali imbas, ada persamaan. Apatah lagi, kedua-duanya berkaca mata berbingkai nipis dan sentiasa menunjukkan wajah berserta pandangan redup. Namun jauh di sudut hati Shahrul Riezman, dia yakin di sebalik setiap redup tenang wajah wanita itu… pasti ada pelbagai cerita yang tidak dikongsi dengan orang lain.
“Dengan gadis siang tadi ke? Mama dapat rasakan dia gadis yang baik. Suaranya lembut sekali bila cakap dengan mama tadi. Bila Man nak bawak dia jumpa mama? Jangan tunggu lama-lama Man, gadis yang baik biasanya ramai yang mengintai. Nanti Man juga yang gigit jari” Puan Rosmah mengusik anaknya.
“Hisyy mama ni.....baru dengar suara dah kata baik”
“Betul la...kita kan sentiasa kena baik sangka dengan orang lain. Kalau tak baik, mustahil Man sanggup tak balik makan dengan mama, kan. Sanggup pulak memandu sampai ke Kayu Ara Resort tu?” Provok Puan Rosmah lagi. Shahrul Riezman tersengih lawa mendengar kata-kata provokasi dari ibunya.
“Bila dia dah sedia nanti, Man bawaklah dia ke mari. Mama ni, dia pulak yang lebih-lebih”
Shahrul Rieman berdiri bila ada sorotan lampu kereta di hadapan pagar rumah mereka. Setelah mengambil kunci pintu, dia pun keluar untuk membuka pintu. Shahrul Azmi keluar dari  keretanya sebaik sahaja mematikan enjin diikuti isterinya dan dua orang anaknya. Aizat yang berusia sepuluh bulan terus sahaja mengagahkan tangannya ke arah Shahrul Riezman minta didukung apabila terpandangkan wajahnya. Shahrul Riezman mengambil Aizat dari dukungan ibunya. Dia mencium pipi Aizat sambil mengagah budak itu sehingga budak itu ketawa.

“Dahlah tu Man, bawak si Aizat tu masuk. Sejuk kat luar ni” tegur abangnya. Shahrul Riezman membawa Aizat masuk ke rumah. Sejak abang longnya pindak ke Taman Megah, hubungannya dengan anak-anak abangnya menjadi rapat terutama dengan Aizat.
“Awak tu bila lagi nak mengelek anak sendiri, Man?” tanya Azida sambil tersenyum-senyum. Senang hatinya melihat hubungan akrab keluarga mertuanya.
“Susah-susah, Kak Long bagi saja Aizat ni pada saya. Buat teman saya” kata Shahrul Riezman sambil mengacah-acah tangannya ke muka Aizat.
“Mana boleh, Aizat kan adik Amar. Mana boleh uncle ambik” Amar, anak Shahrul Azmi yang sulung cuba menarik adiknya dari dukungan Shahrul Riezman.
“Kalau macam tu, Amar pun duduk dengan uncle, nak tak?” tanya Shahrul Riezman sambil meletakkan tangannya di bahu Amar. Amar mengetuk-getukkan jarinya ke dahi seolah-olah berfikir. Lama dia memandang wajah ayah saudaranya.
“Boleh juga. Uncle janji bawak Amar dengan adik jalan-jalan, makan-makan dan beli mainan” Shahrul Riezman menegakkan ibu jarinya tanda bersetuju. Bukannya susah hendak membeli jiwa anak-anak saudaranya. Umpan sahaja dengan barangan mainan dan makanan.....lekatlah mereka.
“Habis tu, papa macam mana kalau dah Amar dengan adik ikut uncle Man?” Shahrul Azmi pula mencelah.
“Papa kan ada mama. Tapi uncle tak ada sapa-sapa, kesian dia. Tak ade sape-sape nak temankan uncle jalan-jalan” Amar yang bijak berkata-kata itu terus menjawab. Mereka yang mendengar ketawa mendengar kata-kata Amar.
Uncle Man awak tu patutnya dah ada auntie, Amar” kata Puan Rosmah di hujung ketawanya.
“Mama ni ke situ pulak….dari tadi tak habis-habis”
“Betul tu Man, tengok Along dah ada dua pewaris. Kau nak tunggu apa lagi … kerja dah bagus, kereta dah ada, rumah pun dah ada. Cuma orang rumah aje yang tak ada” Shahrul Azmi memandang tepat ke wajah adiknya.
“Man kan muda lagi...”
“Muda apanya.....Man tu muda dua tahun je dari along tau” tangkis Puan Rosmah. Muda apanya kalau umur sudah masuk tiga puluhan.
“Sekarang ni bukan senang nak cari perempuan sebaik Kak Long.....sebaik mama.  Man tak nak terburu-buru nanti menyesal tak sudah. Tapi along jangan bimbanglah. Sampai seru nanti Man kahwinlah. Lagipun bukan senang nak cari isteri yang nak duduk dengan ibu mertua. Man mesti pastikan yang calon isteri Man nanti setuju duduk dengan mama” terang Man panjang lebar. Walaupun dia sudah memiliki rumah sendiri namun untuk meninggalkan ibunya seorang diri … dia tidak sampai hati. Ibu tetap ditangga teratas biar nanti dia sudah memiliki seorang isteri.
“Man, mama kan dah cakap banyak kali. Jangan risaukan mama. Mama tak kisah duduk sendiri. Man boleh kahwin dengan siapa saja, asalkan Man bahagia” kata Puan Rosmah perlahan. Sebak hatinya mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Mungkin kerana itu Shahrul Riezman  masih membujang sehingga kini. Namun jauh di sudut hatinya, dia bersyukur kepada ILAHI kerana mengurniakan kepadanya anak-anak yang baik. Anak-anak yang tidak pernah melupakannya sebagai seorang ibu meski masing-masing sudah mempunyai kedudukan yang baik.
“Tanggungjawab Man jaga mama. Calon isteri Man nanti mesti setuju duduk sini” kata Shahrul Riezman tegas.
“Tanggungjawab kita, Man. Tanggungjawab along....tanggungjawab Man. Kita jaga mama sama-sama” celah Shahrul Azmi. Terharu Puan Rosmah mendengar kata-kata anak-anaknya.
So, sekarang ini macam mana … Man dah ada calon-calonnya?” tanya Azida sekadar mengusik. Shahrul Riezman tersenyum meleret memandang abang dan kakak iparnya. Pasangan Pensyarah MRSM itu nampak begitu ideal sekali di matanya. Tanpa dipinta hati lelakinya terkenang pada wanita itu. Wanita yang begitu ayu dengan busananya siang tadi. Jiwanya terasa hangat.
“Senyum tu .. maknanya adalah” Shahrul Azmi membuat kesimpulan melihat senyuman adiknya. Lain macam sungguh senyum adiknya kali ini. Diam-diam dia merasa lega. Mereka hanya berdua beradik. Sudah lama dia ingin melihat adiknya berteman. Sekurang-kurangnya ada juga teman berbual ibunya nanti.
“Adalah tu long. Tapi adik along ni, kadang-kadang slow sangat. Mama nak tolong buat promosi, dia tak mahu” tokok Puan Rosmah dengan nada mengusik. Arghh mama......tak habis-habis nak buat promosi. Macamlah aku tak laku sangat........omel Shahrul Riezman dalam hatinya.
“Ermmm....entahlah. Nak kata ada, macam tak ada. Nak kata tak ada, rasa macam ada”
Ada masa dia tahu bahawa dia sangat merindukan seseorang,….seorang dia!  ketika dia
memikirkan dinginnya layanan wanita itu, hati hancur berkeping. Tetapi hanya dengan mendengar suara dari wanita itu, dapat menyatukan kembali kepingan hati tersebut. Memang pelik rentak hatinya kali ini. Ada bahagia walau seringkali terkilan.
“Hai…kenapa macam tak yakin jer?? Takkan dah hilang skill untuk mengurat
perempuan?” usik Shahrul Azmi.
Shahrul Riezman menggelengkan kepalanya mendengar usikan abangnya sambil
tersengih. Dia mana pernah mengurat perempuan. Barulah kali ini hatinya bagaikan benar-benar sudah terikat. Benar-benar kehilangan rentak. Tetapi berhadapan dengan seorang Syuhada, dia tidak tahu skill apa yang harus digunakan.
“Man, Kebanyakan lelaki fikir mereka ada 'skill' semulajadi untuk memikat wanita. Tapi,
mengikut kajian , lapan puluh lima peratus lelaki berkahir dengan kegagalan. Hampir setengah sudah gagal sebelum memulakan langkah pertama…”tambah  Shahrul Azmi lagi.
“Apalah along ni, sejak bila pulak buat kajian tentang cara memikat wanita pulak ni? Tak
payah nak guna skill bagailah. Kalau dah memang jodoh, tentu tak ke mana, kan?”
“Eh, mana boleh macam tu, Man. Mencari isteri dengan hanya mengharap tidak akan
membuahkan hasil. Sudahnya disambar orang lain. Mencari isteri dengan merayu-rayu adalah desperate…..dah terdesak sangat. Yang betulnya, Man kena lakukan secara berstrategi, sistematik dan saintifik” terang Shahrul Azmi bersungguh-sungguh.
  “Dahlah tu, Long. Tambah kusut kepala aku ni. Along dulu masa ngurat kak long, ada
gunakan strategi ke? …sistematik konon. Saintifik lagilah tak masuk akal. Apa along ingat nak cari isteri ni, macam nak buat PHD ke? Tapi…rasa-rasanya buat PHD lagi senang kut”
Pecah ketawa mereka mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Iyelah….buat PHD
mana ada melibatkan hati dan perasaan…yang sekejap sejuk….sekejap panas. Sekejap hangat….sekejap dingin. Soal hati inilah yang payah untuk diuruskan.

Payah sungguh matanya mahu lelap walaupun malam kian merangkak pergi. Majalah
lama yang diambilnya tadi sudah puas dibeleknya. Menatap seraut wajah yang ada di dalam majalah itu, hatinya  senang sahaja bergetar. Bagaikan buluh perindu yang menghasilkan suara merdu ketika ditiup. Aduh…kenapa boleh jadi macam ni? Menatap gambar itu seolah-olah Syuhada ada bersamanya. Bagaikan ada pertalian antara mereka berdua…..antara gambar yang sedang ditatapnya dan Syuhada.  Kedua-duanya mampu membuatkan hati lelakinya bergetar.
           
Getarannya menghasilkan frekuensi yang semakin lama semakin tinggi. Semakin lama wanita itu ada difikirannya, semakin tinggi pula frekuensinya. Kalau mengikut teori frekuensi Fizik, pada frekuensi sepuluh peringkat lapan akan menghasilkan gelombang radio. Dan jika lebih tinggi lagi, pada frekuensi sepuluh peringkat empat belas, akan menghasilkan gelombang cahaya. Agak-agak di mana boleh diletakkan frekuensi getar hatinya???

Maksudnya, jika Syuhada terus ada bersamanya,  lama kelamaan akan ada  cahaya di
dalam hatinya…..saat tahap frekuensi hatinya sudah mencapai frekuensi sepuluh peringkat lapan. Dan jika cahaya ini semakin menguat, maka ia akan merembes keluar menggetarkan seluruh bio elektron di dalam tubuhnya untuk mengikuti frekuensi cahaya tersebut. Hasilnya, tubuhnya akan mengeluarkan cahaya alias aura bahagia yang jernih. Dan jika frekuensi  itu semakin menguat, maka aura bahagia itu akan merembes semakin jauh mempengaruhi lingkungan sekitarnya. Apa yang penting, ia pasti turut membahagiakan mama dan along. Fikiran Shahrul Riezman semakin menerawang jauh. Ada ke patut perasaan yang dialami kini dikaitkan dengan teori Fizik seperti yang pernah dipelajari dulu.
Sedang dia leka melayan teori frekuensinya, pintu biliknya diketuk dari luar. Tidak lama
kemudian Shahrul Azmi sudah menjengukkan kepalanya. Tersenyum melihat adiknya yang masih tidak tidur dibawah cahaya lampu biliknya yang masih terang.
            “Orang ada isteri pun tidur lambat??” usik Shahrul Riezman bila abangnya sudah duduk di sofa di sudut biliknya.
            “Hahaha…..orang ada isteri memang biasa tidur lambat. Tapi orang yang tak ada isteri ni tidur lambat…luar biasa tau. Apa hal tak boleh tidur?” tanya Shahrul Azmi.
            “Orang tak ngantuk lagilah. Macam mana nak tidur?”
            “Along ada benda nak cakap dengan Man ni”
            “Macam serius aje along ni….apa bendanya?” tertanya-tanya juga Shahrul Riezman melihat wajah alongnya yang agak serius.
            “Hmmm….pasal mama. Janganlah Man rasa terbeban sebab jaga mama sampai tangguh-tangguh nak kahwin”
            Ooooo sebab mama….tentu along menyangka kata-katanya tadi punca mengapa sehingga kini dia masih tidak berteman lagi.
            “Hisyy along ni. Mana ada terbeban pun. Memang Man pilih nak tinggal terus dengan mama. Dahlah….along tak payah risaulah. Yang sebetulnya, memang belum sampai jodoh Man nak kahwin. Bukankah jodoh adalah perkara yang dah ditetapkan oleh Allah yang Maha Esa?” soal Shahrul Riezman perlahan.
            “Memang betullah tu. Tapi Allah mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan”
            “Perghhhh…..along kalau masuk bab ayat-ayat cinta ni, tak larat aku nak dengar” pecah ketawa mereka berdua.
            “Tengok brandlah dik…….kalau tak macam mana boleh dapat kak long kau tu”
            Hahahaha…..ketawa besar Shahrul Riezman. Tapi bukankah aku dan along sama brand???

Sekeping Hati Berbaur Rasa: ~~Bab 4~~

Sekeping Hati Berbaur Rasa: ~~Bab 4~~: " Syuhada sampai di rumahnya p..."

Bab 14



Syuhada memandang jam di tangannya. 1.25 tengahari … lima minit lagi… bisik hatinya. Kira awallah ni. Selepas loceng berbunyi tadi dia bergegas keluar dari kawasan sekolah. Dia keluar dari keretanya lalu berjalan menuju ke arah kaki lima MayBank.
Shahrul Riezman sampai tepat pada masanya. Kebetulan dia dapat meletakkan keretanya bersebelahan dengan kereta Syuhada. Sama jenis dan Sama warna. Patutlah Syuhada tersilap kereta di pertemuan pertama mereka dulu. Tidak sukar untuk dia mengenali Syuhada. Namun benarkah itu Syuhada.  Terpegun dia dengan penampilan Syuhada hari ini. Lain dari kebiasaan. Benarkah wanita itu? Soal hatinya sekali lagi. Syuhada kelihatan anggun dengan baju kurung warna kuning air berbunga merah hati, bertudung sedondon dengan warna bunga bajunya dan berkasut tumit tinggi. Kerja kilang pun bergaya sampai macam itu sekali. Sungguh ada class. Dia keluar dari keretanya sambil mengamit Syuhada. Dia tersenyum menyambut kehadiran Syuhada yang juga tersenyum. Manis sungguh. Tanpa suara Syuhada terus masuk ke dalam kereta lelaki itu. Hatinya khuatir kalau-kalau ada orang yang mengenalinya melihat dia di situ. Shahrul Riezman turut masuk ke dalam keretanya. Lama dia memandang wajah putih bersih itu. Hanya memandang tanpa suara. Tujuh hari dia tidak dapat memandang wajah itu. Terasa rindunya terlerai satu persatu.
“Hello … nak tengok muka saya aje atau kita nak pergi lunch. Ataupun dah kenyang dengan tengok je muka saya ni?” Syuhada bersuara geram. Shahrul Riezman tersenyum.
“Kita lunch. Syu ada cadangan di mana?” tanya Shahrul Riezman perlahan. Masih lagi menatap wajah Syuhada. Tanpa sedar dia tidak lagi memanggil Syuhada dengan panggilan awak.
“Tak ada. Tapi kalau boleh tak nak di sekitar bandar” suaranya pun perlahan .. mengimbangi suara Shahrul Riezman. Dia dapat merasakan keakraban yang amat mesra. Dia dapat menghidu aroma yang dipakai oleh lelaki itu. Sudah tentu ianya mengundang debaran yang tidak menentu di hati. Dan itulah rasa yang paling tidak digemari. Rasa yang sekejap sejuk, sekejap panas. Dan rasa itu juga hanya dirasai bila lelaki ini ada hampir dengannya.
“Kenapa tak nak di bandar?  Takut siapa nampak?” Shahrul Riezman bertanya sinis. Dia dapat merasakan yang Syuhada sentiasa risau jika mereka dilihat berdua. Oleh siapa? Dia sendiri tidak pasti.
“Awak ni banyak tanyalah. Saya tak banyak masa tau. Around 3 o’clock saya nak balik” Syuhada mendengus perlahan. Banyak sangat tanya….
           
Kereta Shahrul Riezman mula bergerak perlahan. Di kepalanya sudah terbayang Kayu Ara Resort. Agak jauh dari Bandar Pontian namun tempat itu agak mendamaikan. Syuhada hanya berdiam diri sambil mendengar lagu ‘Pesan buat kekasih’ dendangan kumpulan Spring dari saluran radio yang dipasang oleh Shahrul Riezman. Suara mendayu-dayu Ameng betul-betul meninggalkan kesan di hatinya.
Jika ada kesilapanku 
Maafkanlah diriku oh sayang 
Dan izinkan aku bertanya 
Mengapa kau berubah hati 
Kiranya kau ada penggantiku 
Tetapi hidupmu tak bahagia 
Relaku memaafkanmu 
Dan menerimamu sayang 

            “Khusyuk betul Syu dengar lagu tu. Ada apa-apa ke?” tegur Shahrul Riezman bila dilihatnya Syuhada leka mendengar lagu kumpulan Spring itu.
            “Bagus kan lelaki tu, kekasih dia pergi pada lelaki lain pun, dia tetap mendoakan kekasihnya dan boleh menerimanya semula” tanpa sedar itu pula yang keluar dari mulutnya. Shahrul Riezman tergamam seketika. Tidak menyangka Syuhada akan berkata begitu.
            “Mencintai tak semestinya memiliki Syu. Kita akan bahagia melihat orang yang kita cintai tu bahagia” kata-kata Shahrul Riezman membuat Syuhada memandang wajahnya lama. Dia cuba mencari kebenaran pada kata-kata lelaki itu. Aduhai.....apa guna menyinta andai tidak bersatu???.... dia benar-benar tidak mengerti. Andai Zulhilmi kembali suatu hari nanti......dapatkah aku memaafkan dan menerimanya semula??????????
            “Kita dah sampai. Jom turun. Mesti Syu suka makan dekat sini” Syuhada turun dari kereta sambil memandang persekitarannya. Dia tidak pernah sampai di situ. Memang dia suka. Redupnya suhu sekitar.....padahal  cuaca bukan main terik lagi.
            “Inilah Kayu Ara Resort” suara Shahrul Riezman begitu hampir di telinganya. Aromanya begitu jelas di deria baunya. Syuhada tidak berani menoleh. Menoleh bererti dia akan bertatapan dengan mata itu.  Dia tidak sedar bila lelaki itu berdiri dekat  di sebelahnya.
            “Saya tak tahu pun ada tempat macam ni di Pontian” Syuhada mula melangkah. Shahrul Riezman melangkah seiring dengannya. Mereka mengambil tempat agak jauh dari kuanter makanan.
            Syuhada masih lagi memerhati di sekelilingnya. Dia tidak pernah menyangka ada restauran di bina di atas tasik buatan seperti ini di bandarnya. Deruan air pancut di tengah-tengah tasik itu mendamaikan serta menyejukkan suhu sekeliling yang agak panas. Shahrul Riezman mengambil kesempatan itu untuk menatap wajah Syuhada puas-puas. Tiba-tiba dia terpandang tanda nama Syuhada yang di pin pada hujung tudung sebelah kiri. Logo yang ada pada tanda nama itu mengingatkan dia kepada sesuatu. Kerja kilang konon.....kerja kilang pun pakai tanda nama ke????
“Cikgu Syuhada …” tercetus nama itu di bibirnya. Syuhada pantas menoleh ke arah Shahrul Riezman bila mendengar nama yang keluar dari mulut lelaki itu. Wajah tidak puas hati lelaki itu dipandang dengan selamba.
            “Syu tipu saya” protesnya geram.
            “Saya tak tipu, cuma tak beritahu perkara yang sebenar” Syuhada tersenyum di hujung kata-katanya sendiri.
            “Bunyinya lain … maknanya tetap sama kan??” Shahrul Riezman memulangkan kata-kata Syuhada dulu.  Akhirnya Syuhada ketawa bila dia pun teringat akan kata-kata itu.
            “Mana awak tahu?” tanya Syuhada di hujung ketawanya.
            “Logo Jabatan Pendidikan Negeri dekat name tag Syu tu saya kenal benar. Dah sebati dalam hidup saya” senang hati Shahrul Riezman melihat wajah ceria Syuhada. Bonus baginya bila Syuhada menunjukkan reaksi yang positif begini.
            “Kenapa tipu??”
            “Mana ada tipu....dulu pun saya pernah kerja kilang”
            “Lepas tu, tak pasal-pasal dia bawak diri. Konon-konon terasa hati, merajuk...”
            “Mana ada.....awak je yang pandai-pandai buat persepsi. Mana ada merajuk. Kalau saya nak merajuk pun tentulah pada yang sayang kan?” Syuhada buat muka selamba.
            “Saya sayang awak apa?”
            “Cukup-cukuplah merapu tu, Encik Shahrul Riezman. Hilang nilai sayang tu nanti kalau sering diluah pada tempat yang salah” Shahrul Riezman sekadar tersenyum mendengar kata-kata wanita itu. Tetapi hati kecil Syuhada tetap terkesan dengan frasa ‘saya sayang awak’. Benarkah sayang??....Sayang bagaimana??...Bukankah suatu ketika dulu, Zulhilmi pun meluahkan kata sayang???.....Benarlah kata orang.....bila hati menyentuh rasa yang sama, jiwa melahirkan  perasaan yang indah.. Bila kata mengusik, minda akal mengujudkan reaksi berbeza. ...
            “Saya masih tak puas hati....kenapa Syu cakap Syu kerja kilang?” pertanyaan yang sama sekali lagi.
            “Apa bezanya? Kalau saya kerja kilang kenapa??....cikgu pulak kenapa??”
            “Tak adalah kenapa.....kalau kerja kilang pun saya nak,....kalau cikgu pun saya tetap sudi” Syuhada tergelak mendengar jawapan Shahrul Riezman. Iyelah sangat tu......
            “Jangan terlalu banyak terlepas kata Riezman. Nanti tak larat nak tarik balik” balasnya sambil memandang wajah dihadapannya dengan agak lama.

            Hidangan yang mereka pesan tiba. Nasi putih, tom yam, telur dadar dan sedikit pencuci mulut betul-betul membuka selera mereka berdua. Shahrul Riezman menyendukkan nasi ke pinggan Syuhada. Syuhada terkesima. Tidak pernah seumur hidupnya seorang lelaki melayannya sebegitu. Budaya hidup keluarganya yang agak berbeza dengan orang lain tidak membolehkan dia melihat perlunya lelaki melayan kaum wanita dengan wajar. Lama dia memandang wajah Shahrul Riezman. Hatinya mula berlagu dengan irama yang dia sendiri tidak tahu akan maknanya.
            “Makanlah … saya tahu Syu lapar. Kalau boleh saya pun Syu nak makan, kan?” suara Shahrul Riezman mengejutkannya. Syuhada sekadar mencebik mendengar gurauan Shahrul Riezman. Tetapi memang pun dia lapar. Waktu rehat tadi dia hanya minum secawan  air dan sepotong kuih. Iyelah.....ada lunch date dengan lelaki inilah katakan.
            “Macam mana tempat ni? Kalau saya rasa resah....jiwa saya gelisah, saya selalu datang ke sini sebab di sini damai, tenang dan cuacanya agak sejuk” Shahrul Riezman berkata sambil menyenduk kuah tom yam ke dalam mangkuk kecil yang disediakan. Dan kemudian diletakkannya dihadapan Syuhada.
            “Saya tak pernah sampai sini. Tak pernah tau pun tempat ni ada. Saya pun suka tempat ni.  Hilang rasa penat bekerja tadi” Syuhada menjawab santai namun apa yang dikatakan itu memang benar. Kali pertama datang dia sudah suka tempat itu. Ketenangan dan kedamaian alam maya yang dirasakan, betul-betul mampu merehatkan fikirannya.
            “Awak selalu datang sini dengan siapa?” tanya Syuhada lagi apabila dilihatnya Shahrul Riezman begitu berselera menyuap nasi ke dalam mulutnya. Tomyamnya memang sedap. Cukup masam dan pedasnya.
            “Nak korek rahsia ke?” tanya Shahrul Riezman mengusik.
            “Eleh, mana ada. Saya tanya aje. Manalah tahu lelaki di sebelah saya ni sebenarnya suami orang atau tunang orang. Kalau tidak pun kekasih orang. Saya tak nak nanti ada orang yang berkecil hati dan tersalah anggap. Lebih teruk…tak pasal-pasal nanti saya kena serang” kata Syuhada jelas. Dia memang begitu orangnya. Cakapnya jelas dan tidak berbelit-belit. Dia memang suka berterus terang.
            “Tak payah risaulah. Syu tak mungkin mengecilkan hati sesiapa. Selalunya saya datang dengan Hatta. Tapi nampaknya lepas ni datang soranglah?”
            “Kenapa pulak?” tanya Syuhada kehairanan. Dia dapat meneka siapa Hatta yang dimaksudkan. Dia tidak pernah nampak Shahrul Riezman dengan orang lain kecuali dengan kawan lelakinya yang seorang itulah.
            “Hatta dah nak kahwin bulan depan”
            “Oh ya. Nanti bolehlah awak sampaikan ucapan tahniah saya pada dia ye. Awak bila lagi? Rasanya dah cukup syarat untuk jadi suami orang” tanpa disedari, Syuhada melemparkan pertanyaan.
            ‘Alamak! Kenapa mulut aku celupar sangat? Ada ke patut tanya soalan macam tu? Hisy, cari penyakit!’ Syuhada mengutuk dirinya sendiri.

            Syuhada sedar dirinya sedang diperhati. Sedaya mungkin dia berlagak selamba. Shahrul Riezman diam tanpa menjawab pertanyaan itu. Sekadar dibiarkan soalan itu berlalu pergi dibawa waktu yang berdetik tanpa henti. Masing-masing diam, membiarkan suasana hening. Hanya ditemani dengan suara deruan angin sepoi-sepoi bahasa dan irama pancutan air di tengah tasik sambil meneruskan suapan mereka.

            Syuhada menarik gelas berisi air sirap yang dipesannya tadi. Ketika tangannya ingin mencapai tisu, tidak terduga tangannya berlaga dengan tangan Shahrul Riezman yang kebetulan mempunyai tujuan yang sama. Shahrul Riezman sengaja membiarkan tangannya berada di atas tangan Syuhada lama. Syuhada mengalihkan pandangan pada tangannya. Dalam diam Shahrul Riezman merenung raut gadis di sebelahnya. Keningnya yang halus terbentuk kemas di atas kelopak mata yang redup. Mata gadis itu tidak bulat tetapi mata hitamnya penuh dan mampu menarik hati sesiapa sahaja yang merenung anggota deria itu. Segala apa yang dimliki oleh Syuhada mengingatkan dia kepada seseorang. Memang benar-benar mirip. Redup pandangan mata itu serupa benar milik seorang dia. Di mana dia sekarang?

            Bunyi deringan telefon bimbit Shahrul Riezman yang terletak di atas meja menyelamatkan keadaan. Syuhada menarik nafas lega. Sebentar tadi, tiba-tiba dia diserbu satu perasaan aneh. Namun dia tidak suka dengan perasaan aneh yang tiba-tiba menguasai hatinya itu. Dia menjeling ke arah Shahrul Riezman yang sedang menjawab panggilan telefonnya. Dia dapat melihat satu senyuman di hujung bibir lelaki itu. Tiba-tiba dia terasa bahunya dicuit.

            “Nah, mama nak cakap dengan bakal menantu dia” Shahrul Riezman menghulurkan telefon bimbitnya sambil tersenyum lawa.
            ‘Bakal menantu? Buang tabiat ke apa Riezman ni’ hatinya mengerutu sendiri.
            “Cakaplah Syu!” desak lelaki itu sambil meletakkan telefon bimbitnya di telinga Syuhada. Mahu tidak mahu, Syuhada terpaksa mengikut paksaannya bila suara di hujung talian mula kedengaran. Dengan agak kasar dia menepis tangan Shahrul Riezman lalu memegang sendiri telefon itu.
            “Assalamualaikum … Puan” dia memulakan bicaranya. Debaran di dadanya hanya Tuhan yang tahu. Namun rasa debar itu semakin menghilang bila suara di sebelah sana kedengaran mesra dan penuh keibuan.

            Dalam diam Shahrul Riezman memerhati dan mencuri dengar perbualan mereka. Puan ! Hatinya terasa lucu bila Syuhada memanggil ibunya dengan panggilan itu. Terlalu formal. Maklumlah cikgu. Lima minit kemudian, Syuhada meletakkan telefon itu di atas meja semula sambil merenung Shahrul Riezman tajam.

            “Puas hati” marahnya geram.
            “Marah? Janganlah ambik hati. Ini baru langkah pertama” Shahrul Riezman menjawab santai sambil menyandarkan tubuhnya pada penyandar kerusi. Wajah berona merah itu dipandang dengan segenap rasa. Andailah kau dapat merasai apa yang aku rasa................
            “Tak ! Tak marah. Saya suka, maklumlah dapat cakap dengan bakal ibu mertua, kan?” Syuhada masih lagi menyimpan geram. Namun bila mengingatkan suara perempuan tadi yang lembut, tenang dan mesra, hatinya sejuk. Dia menyedut semula minumannya tadi.
            “Hah … macam nilah yang saya suka. Esok saya bawak Syu jumpa mama ye”  sakat Shahrul Riezman lagi tanpa peduli kata-kata Syuhada yang bernada sindiran tadi.
            Syuhada hampir tersedak. Tegukannya terhenti. Shahrul Riezman ketawa senang hati. Sesaat dua berlalu, dia kembali menyedut minumannya. Sekilas dia menjeling jam di pergelangan tangannya. 2.30 petang. Dia harus pulang. Shahrul Riezman faham dengan tindak tanduk wanita itu. Tanpa di suruh dia pun berdiri dan menunggu Syuhada berdiri sebelum memulakan langkah.
            Mereka meninggalkan Kayu Ara Resort dengan rasa puas hati. Terutamanya Shahrul Riezman. Setelah seminggu menjejaki Syuhada akhirnya kesabarannya di balas dengan pertemuan ini. Sungguh lumayan. Memang manis buah sabar itu.

            “Saya ada jawapan untuk soalan Syu tadi, nak dengar tak?” Shahrul Riezman bersuara memecahkan keheningan di antara mereka. Dia menjeling wanita di sebelahnya sekilas.
            “Soalan apa?” tanya Syuhada tidak mengerti. Apa soalan aku tadi???
            “Syarat untuk menjadi seorang suami. Cuma satu saja syarat yang belum dipenuhi”
            Hati Syuhada berdetik semula. Dia tidak menyangka Shahrul Riezman akan menimbulkan persoalan itu semula.
            “Apa dia?” Syuhada menggigit bibirnya sendiri. Kenapalah gatal sangat mulut aku ini.
            “Persetujuan dari calon isteri !” sekali lagi Shahrul Riezman menjeling wanita di sisinya. Kali ini Syuhada memberanikan diri membalas pandangannya dengan wajah selamba.
            “Dah mintak persetujuaan dia ke belum?” tanya Syuhada tenang. Cuba mengusir jauh-jauh tanggapannya terhadap lelaki itu.
            “Dah. Dah dua kali saya offer dia jadi isteri saya. Tapi dia buat-buat tak faham” Shahrul Riezman memberhentikan keretanya apabila sampai di lampu isyarat. Dia mengambil peluang itu untuk menoleh ke  arah Syuhada.
            “Kalau macam tu, nampaknya awak kenalah berusaha lebih. Mungkin tawaran awak tu tak kena caranya” Syuhada berkata jujur. Mungkin betul Shahrul Riezman sedang memenangi hati seseorang. Dan dia adalah tempat meluahkan masalahnya. Apa salahnya dibantu.
            “Kalau Syu, apa caranya?” tanya Shahrul Riezman perlahan.
            “Buat apa tanya saya pulak. Setiap wanita tak sama citarasanya. Cara nak menawarkan gelaran isteri pada saya dah tentu tak sama dengan cara calon isteri awak”
            “Tak apalah. Saya tanya Syu. Mana tau saya dapat idea nanti” kereta Shahrul Riezman bergerak semula apabila lampu isyarat sudah bertukar ke warna hijau. Tidak sampai satu kilometer lagi mereka akan sampai ke tempat kereta Syuhada diletakkan.
            Lama Syuhada terdiam. Sebetulnya dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Setelah kehilangan ikatan pertama, dia tidak pernah bermimpi untuk menerima lamaran lain dari mana-mana lelaki. Akhirnya mereka sampai di hadapan MayBank. Shahrul Riezman meletakkan keretanya bersebelahan dengan kereta Syuhada yang kebetulan kosong. Mereka berpandangan seketika.

            “Syu belum jawab soalan saya” Shahrul Riezman masih menagih jawapan.
            “Entah. Saya tak ada jawapan. Okaylah …. Thanks atas lunch tadi. Anywhere .. sampaikan salam saya pada Puan Rosmah” sebaik sahaja habis berkata-kata Syuhada membuka pintu kereta di sebelahnya. Namun dia terpaksa mematikan niatnya untuk terus turun bila terdengar Shahrul Riezman masih lagi bersuara.
            “Syu, this is our first dating. Macam mana tempat tadi, ada value tak?” Syuhada mengerutkan dahi tanda tak faham. Akhirnya dia sekadar mengangkat bahu lalu keluar dari kereta lelaki itu.
            First dating??? Dating ke tadi?? Hai.....entahlah. Lelaki itu memang penuh teka teki. Namun satu yang nyata memang lelaki itu bijak bermain kata. Tetapi adakalanya kata-kata hanya menggambarkan suatu maksud tetapi bukan maksud itu sendiri. Ya.. kadang kala kita terperangkap pada kata-kata yang sempat mengusik kenyamanan perasaan kita. Syuhada sedar, mustahil lelaki seperti itu meletak harapan pada hubungan mereka yang entah apa coraknya. Dan dia sendiri tidak akan pernah menawarkan hati dan memberi harapan pada hubungan ini.

Monday, May 9, 2011

Bab 13


Quarters Guru Lot JKR Batu 41 riuh semula. Sesi  persekolahan untuk semester kedua akan bermula esok. Mazni sampai dari kampungnya sejak pagi tadi. Ruzian dan Aznah baru sahaja sampai. Hanya Syuhada yang belum nampak batang hidungnya. Selalunya dialah orang yang pertama yang akan sampai.
            Riuh mereka bercerita setelah seminggu tidak berjumpa. Ada sahaja cerita yang ingin dikongsikan.  Sedang rancak mereka bercerita, Syuhada muncul bersama bungkusan plastik di tangannya.
“Amboi, orang jauh , baru sampai?” Syuhada ketawa kecil mendengar sindiran Ruzian.  Memanglah dia  yang paling jauh.....tidak sampai empat puluh lima minit sudah sampai. Jauh sungguh tu.............
            “Saja aku bagi peluang you all sampai dulu. Selalunya aku yang menyambut, sekali- sekala teringin juga rasa disambut. Tentu seronok kan? Tentu kau orang tertunggu-tunggu kepulangan aku kan? Selalunya akulah yang jadi tukang bukak pintu. Hari ini ada orang yang bukakkan pintu untuk aku. Rasanya lain tau” sambut Syuhada sambil berjalan menuju ke dapur. Dia memasukkan makanan yang dibeli ke dalam mangkuk dan kemudian keluar bersama empat biji pinggan.
            “Dari mana?” tanya Mazni sebaik saja Syuhada duduk di sebelahnya.
            “Dari kampung terus ke Bandar. Beli rojak asma ni. Makanlah …. Kau orang tentu rindu rojak asma Pontian kan. Kat tempat kau orang mana ada yang istimewa macam ni” Syuhada menyenduk rojak asma dari mangkuk dan meletakkannya ke dalam pinggan. Dihulurkannya pinggan itu kepada teman-temannya.
            “Macam mana cuti.... Seronok?” tanya Aznah. Masing-masing saling memandang. Namun yang paling ketara wajah Ruzian yang berseri-seri.
            “Aku nampak macam ada benda berkilat-kilat kat jari manis kawan kita. Kau nampak tak Az? Jangan-jangan dia dah disambar helang tak?” usik Syuhada bila pandangan matanya memang jelas.
            “Kalau disambar helang tentu aku tak ada kat sini. Sebenarnya waktu cuti hari tu aku sempat bertunang. Aku dah jadi tunang orang kau tau” kata Ruzian sambil menggoyang-goyangkan tangan kirinya. Patutlah wajahnya ceria semacam. Sudah menjadi tunangan orang rupanya.
            “Wow …. Bahagianya. Betul tak jangkaan aku hari tu. Kau orang jangan tak tahu, aku ni ada deria ke-enam” Syuhada berkata sambil membelek-belek cincin di jari manis Ruzian. Jauh di sudut hatinya teringat cincin pertunangannya dulu yang masih dalam simpanannya. Aduhai kenangan …. Pergilah… bisik hatinya berkali-kali. Pergilah jauh dari hidupku.......usah kau jengah lagi ruang hati yang telah robek terluka ini.
            “Tahniah Yan. Siapa agaknya yang bertuah dapat mencuri hati anak manja Encik Rejab ni” Mazni pula bersuara. Dia turut bahagia melihat wajah ceria Ruzian.
            “Hisham … classmate Yan masa form six dulu. Dia baru balik dari US” jawab Ruzian malu-malu. Dia sendiri tidak menyangka cinta pertamanya mampu bertahan sehingga ke hari ini.
            “Bila majlisnya?” tanya Aznah pula.
            End of this year. Kau orang mesti datang. Kalau tak datang, siap!” mereka semua ketawa.

            “Oh ya Syu, Kak Maz ada telefon masa cuti hari tu tapi tak berjawab. Syu tak ada ke?Syu berulang dari kampong ke sepanjang cuti?” Syuhada terdiam seketika. Memang sejak balik dari Tanjung Piai tempoh hari, satu panggilan pun tidak dijawabnya. Tidak menyangka pula Mazni akan menelefon.
            “Ada tapi Syu tak angkat” jawabnya perlahan.
            “Kenapa pulak?. Sejak bila pulak ada sindrom malas nak angkat telefon ni” tanya Aznah sambil bergurau.
            “Selalunya bila telefon bunyi, Syu ada kat atas. Malaslah Syu nak turun semula. Lagipun Syu aktifkan handphone je. Senang bila students cari Syu. Nombornya ada Syu tulis di meja telefon sana. Lupa nak pesan sebelum cuti hari tu. Nanti kalau ada sapa-sapa cari Syu, bagi aje nombor tu” alasan yang munasabah. Syuhada merasa lega bila kawan-kawannya dapat menerima alasannya.
            “Sejak bila terbuka hati gunakan handphone....bukan ke kau tak suka guna....Handphone kau pun dah lama terperap je dalam laci.Compiusss aku ni......,” usik Aznah.
            “Jangan nak serabutkan kepala kau pulak,Az....dah aku rasa nak guna, aku guna je la,”
            “Aku pun pelik la......baru seminggu kita tinggalkan dia...dia dah mula suka benda yang dia tak suka. Mesti ada apa-apa ni,” tambah Ruzian pula.
            “Suka hati kau orang la nak fikir apa,”
            “Jangan-jangan kau kena sampuk dengan hantu air masa kau bercuti kat Tanjung Piai?...Tu la aku dah kata, tak pernah orang beria-ia nak bercuti kat tempat macam tu tau. Jauh terceruk kat hujung benua tu” duga Aznah pula.
            “Bukan setakat hantu air.......segala jenis hantu dah menyampuk kat aku ni,” ujar Syuhada selamba. Tiba-tiba terkenang pada peristiwa yang secara kebetulan berlaku disana.
            “Ada apa kat sana?....Kau jumpa Shahrul Riezman ke?” Syuhada tersentak dengan pertanyaan Ruzian. Yan pun ada deria ke enam ke???
            “Hmmmm....lelaki itu!!” gumamnya perlahan.
            “Kenapa dengan lelaki itu??...Betul ke dia ada kat sana??” tanya Aznah teruja.
            “Hisyy...mana ade. Kau orang ni kan, tak habis-habis dengan lelaki itu. Macamlah dia tu lelaki Melayu terakhir. Sudah-sudahlah gosip pasal dia . Tak ade faedahnya pun”              

            Mereka beredar ke bilik masing-masing apabila azan Maghrib kedengaran. Syuhada mengambil giliran terakhir untuk mandi. Sebenarnya cuti bagi dirinya tidak bermakna apa-apa. Hanya sehari semalam sahaja dia bercuti di Tanjung Piai. Hari Isnin sehingga Sabtu dia sudah sibuk dengan kelas bimbingannya. Siang di sekolah untuk Projek Hikmah anjuran Yayasan Pelajaran Negeri bagi pelajar-pelajar yang akan menghadapi UPSR bulan September nanti. Sebelah malam pula sibuk dengan personal tution untuk pelajar-pelajarnya.
Syuhada menunaikan solat Maghrib dihujung waktunya. Sementara menunggu azan Isya’, dia membuka surah Yassin. Itulah caranya untuk dia menghilangkan resah di hati. Resah yang entah bila akan berakhir. Resah yang sering menidakkan keinginan perasaannya. Sedang khusuk membaca, telefon bimbitnya berbunyi namun dibiarkan sahaja. Kalau panggilan itu penting tentu dia telefon semula …. Fikirnya.
Sebaik sahaja dia menanggalkan telekungnya selepas solat Isya’ telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Pantas dia mencapainya.

“Assalammualaikum” dia bersuara sebaik sahaja melekapkan telefonnya ke telinga.
“Waalaikummussalam…. Akhirnya dapat juga saya cakap dengan awak. Awak apa khabar Syu?” tidak sukar untuk Syuhada mengenali suara di hujung sana. Suara yang agak gemersik milik lelaki itu sudah hampir seminggu tidak didengari. Argh, lelaki ini!
“Macam mana awak dapat nombor saya” tanya Syuhada tidak puas hati. Bila lelaki itu sudah tahu nombornya, pasti hari-hari seterusnya dia tidak akan tenang.
“Baru tadi kawan awak bagi tau. Syu apa khabar?” tanya lelaki itu sekali lagi. Intonasi suara itu betul-betul membuat Syuhada tidak selesa. Terasa diri diberi perhatian. Tetapi dia tidak memerlukan langsung sikap ambil tahu itu. Tidak perlu ada sesiapa mengambil tahu tentang dirinya. Dia lebih senang berada dilandasannya sendiri.
“Saya baik. Tak perlu awak risau” tanpa sedar dia menjawab perlahan. Tidak marah-marah seperti selalu. Mungkin kerana ketenangan yang diperolehi berkat bacaan Yassin tadi.
“Saya risau. Betul-betul risau. Dahlah awak tinggalkan saya, panggilan saya pun awak tak jawab. Kenapa Syu? Marah awak tak habis lagi?”
“Saya tinggalkan awak???  Perghhhh.....betul-betul Sadis bunyinya kan. Tak ada sebab saya nak tinggalkan awak” Syuhada tersenyum di hujung kata-katanya sendiri.
“Habis tu .. hari tu …. Sampai hati awak tinggalkan saya macam tu aje”
“Saya memang booking chalet tu untuk satu malam aje. Pukul 3.00 saya check out” jelas Syuhada tanpa rasa bersalah. Betullah seperti yang dikata.
“Kenapa tak beritahu saya?” Shahrul Riezman masih lagi tidak puas hati
“Dah awak tak tanya...tak kan saya nak terhegeh-hegeh bagi tau..? Nanti tak pasal-pasal awak tuduh saya yang bukan-bukan” terdengar suara ketawa di hujung talian.
“Awak permainkan saya ya, Syu. Tak apa, ada ubi ada batas……”
“Ada lori ada bas” pantas Syuhada menyambung.
“Tengok tu……sampai hati awak, ye Syu….”
“Saya tak permainkan sesiapa. Saya ada rutin hidup saya sendiri. Setiap saat ada agendanya. Hari tu … awak tetapkan waktu lunch dan dinner ikut rutin awak. Saya tak boleh buat apa”
“Dah tu kenapa tak jawab panggilan saya? Tiap-tiap hari saya telefon awak. Bukan sekali….berkali-kali tau” lelaki itu masih lagi tak berpuas hati.
“Lepas balik dari sana saya, aktifkan telefon ni. Semua panggilan menggunakan talian rumah saya tak jawab. Lagipun cuti sekolah kan....saya tak fikir ada orang akan cari saya. Puas hati Encik Shahrul Riezman” Syuhada menyebut nama itu perlahan. Terasa ada debar dihatinya bila menyebut nama itu. Debar yang sekejap datang dan sekejap menghilang. Debar yang dia sendiri tidak tahu apa maknanya.
            “Kita keluar Syu” perlahan juga suara Shahrul Riezman. Rindunya menggunung. Seminggu dia nanar tidak mendapat khabar berita dari Syuhada. Keinginan untuk menatap seraut wajah itu, terlalu sukar untuk dibendung.
            “Saya tak ada masa. Sibuk!”
            “Kita keluar sekarang. Saya ambil awak. Rumah awak kat mana?”
            “Awak tahu jawapan saya kan. Okay … times up. Saya banyak kerja malam ni” Tit. Syuhada mematikan talian. Dah aku layan … lebih-lebih pulak. Ada ke patut nak ajak aku keluar malam-malam macam ni. Dasar lelaki … hatinya mengerutu.
Syuhada membuka almarinya. Mengeluarkan lima pasang baju kurung yang akan dipakainya untuk mengajar sepanjang minggu. Hanya malam ini dia ada banyak masa untuk menggosok pakaian. Esok dia sudah mula sibuk dengan kelasnya. Belum pun sempat dia mengambil seterika, telefonnya berbunyi menandakan ada pesanan baru diterima.

                        Redup wajahmu …… hatiku merindu
Your future husband

Syuhada tersenyum membaca SMS yang diterima. Tak habis-habis merapu …. Macamlah dia tu betul-betul bakal suami aku …. Desis hatinya. Redup ke wajah aku ni??? Lelaki itu memang pandai mengayat. Namun jauh di sudut hatinya memang tidak dapat dinafikan … dia mula merasakan kehadiran lelaki itu. Lelaki itu yang tiba-tiba hadir.  Dia berkira-kira untuk membalas SMS  itu.

                        Rindumu tersalah alamat …

Shahrul Riezman tersenyum membaca SMS yang dihantar oleh Syuhada. Dia tidak menyangka dengan respon Syuhada sebentar tadi. Tidak negatif seperti selalu. Tidak mengapalah walau nadanya dingin dan sinis.....asalkan dia masih sudi memberi tindakbalas. Bukankah hati seorang wanita itu umpama kerak nasi??...lama-lama nanti lembutlah ia.

                        Kita jumpa esok. I miss you so much.

Telefon Syuhada berbunyi sekali lagi. Syuhada yang sedang menggosok baju kedua membiarkan saja telefon bimbitnya. Pasti dia …. Desisnya.

“Kenapa tak baca Syu?” Mazni yang kebetulan baru masuk ke bilik Syuhada menegur.
“Karang jelah, Kak Maz. Syu tengah sibuk ni. Kalau berlengah-lengah gosok baju ni....nanti bila elektrik melambung. Pembaziran sumber tenaga....kan tak bagus tu” Syuhada membiarkan Mazni duduk di atas katilnya. Mazni merenung Syuhada yang masih leka dengan kerjanya. Belas dia melihat sahabatnya yang satu ini. Namun dia kagum dengan kemampuan Syuhada dalam merentasi rentetan hidupnya bersendirian.
“Siapa Syu …. Buah hati Syu ke?” Syuhada tergelak spontan mendengar pertanyaan Mazni.
“Buah hati Syu? Manalah Syu ada buah hati Kak Maz. Buah epal hijau adalah” Mazni turut sama ketawa. Faham benar dia tentang sikap Syuhada dengan isu yang satu ini.
“Syu ada. Cuma saja tak nak bagi dia peluang” Syuhada berhenti menggosok baju. Dia memandang Mazni sekilas. Cuba mencari maksud yang ingin disampaikan oleh teman serumahnya.
“Syu dah lama kehilangan dia, Kak Maz” cetusnya lirih. Mazni terkesima. Lain yang cuba disampaikan, lain pula tanggapan Syuhada.
“Kak Maz minta maaf Syu. Bukan dia yang Kak Maz maksudkan. Dia dah jadi sejarah hidup Syu. Buat apa nak dikenang lagi.  Syu pun dah redha dengan takdir yang menimpa Syu kan?” lama Syuhada terdiam. Mazni serba salah. Menyesal dia membangkitkan isu tersebut. Namun dia perlu menyedarkan Syuhada.....Syuhada perlu membebaskan hati dan perasaannya dari penjara kenangan silam.
“Entahlah Kak Maz. Bila teringatkan dia, Syu rasa sedih sangat. Syu yakin dia betul-betul sayangkan Syu. Tapi kenapa kami mesti melalui keadaan macam ni. Kalaulah Syu tak tinggalkan dia dulu.....” Syuhada cuba menahan air matanya dari merembes keluar. Sudah terlalu lama dia menyimpan rasa sedih namun tidak seorang pun yang tahu. Kalau ada yang tahu pun,.....tidak mungkin akan ada seorang yang dapat meyelami apa yang dirasai.
“Itu kerja Allah Syu. Hanya dia yang tahu apa hikmahnya di atas segala dugaan yang Syu lalui”
“Syu tahu. Cuma Syu rasa terkilan. Sekejap aje Syu dengan dia, lebih kurang dua bulan. Itulah saat yang paling gembira buat kami. Selebihnya Syu memendam rasa. Dia pulak …… Syu tak tahu apa-apa pun tentang dia. Syu tak faham kenapa semua orang nak sembunyikan perkara yang sebenar dari Syu. Syu langsung tak berhak tahu apa-apa.”
“Dahlah tu. Kak Maz faham apa yang Syu rasa. Tapi Syu kena bagi peluang pada diri Syu. Bagi peluang juga pada lelaki yang ingin membahagiakan Syu” Mazni berkata sambil menepuk bahu Syuhada. Syuhada menoleh sekilas ke arah Mazni.  `lelaki yang ingin membahagiakan Syu`......pelik je bunyinya.
“Aikkk …. Lain macam aje bunyinya tu. Ada orang upah ke?” Syuhada mula tersenyum. Itulah Syuhada yang Mazni kenali sejak dua tahun yang lalu. Moodnya boleh bertukar sekelip mata. Sukar untuk orang lain tahu apa yang tersirat di hatinya. Sukar untuk orang lain larut dalam kesedihannya.
“Sejak bila pulak meragui Kak Maz?” tanya Mazni sambil tersenyum-senyum.
“Sudah gerahu cendana pula. Sejak bila pulak Kak Maz pandai berkompromi dengan Manager bank tu. Syu tak suka tau Kak Maz buat macam tu”
“Tapi Syu sukakan dia kan ….. Kak Maz rasa kan, dia memang sesuai dengan Syu. Sama cantik …. Sama manis. Pendek kata serba serba macam pinang dibelah dua”
“Mulalah mengarut tu. Syu tak ada hati pun dekat dia” Syuhada mencebikkan bibirnya. Namun jauh di sudut hatinya, ada rasa senang menyelinap di sanubari bila teringatkan peristiwa di Tanjung Piai tempoh hari.
“Ye ke? Tapi tak pa … yang penting dia ada hati kat Syu. Syu bagilah dia peluang. Esok-esok Syu tentu jatuh hati kat dia. Kak Maz tengok dia okay apa” bersungguh-sungguh Mazni meyakinkan Syuhada. Sungguhpun dia tidak berapa mengenali Shahrul Riezman namun sekilas pandang dia yakin dengan kesungguhan lelaki itu.
“Dah, dah … tak payah nak lambung dia lebih-lebih kat Syu. Hati Syu dah jatuh dulu. Sekarang ni dah bersepah-sepah entah kat mana-mana ….” Mazni ketawa mendengar kata-kata Syuhada.
“Tak apa ….. hati Syu yang bersepah-sepah tu nanti tentu Shahrul Riezman yang jumpa. Biar dia punggut, kemudian kutip dan cantumkan semula. Lepas tu pulangkan balik pada Syu” Syuhada pun turut ketawa.
“Kak Maz ni lawaklah. Dahlah Syu nak cari bahan untuk tution esok. Jom kita turun” Syuhada mula berdiri sedangkan Mazni masih duduk di atas katilnya. Syuhada mengerutkan dahi tanda tidak faham.
Massage tu tak nak baca ke?”
“Nantilah” namun belum sempat mereka keluar dari bilik itu, sekali lagi telefon itu berbunyi. Mazni tersenyum penuh erti sedangkan Syuhada hanya selamba.
“Kak Maz turun dululah. Cakap tu elok-elok. Jangan marah-marah” Mazni berkata sambil menutup pintu bilik Syuhada. Syuhada mengambil telefon bimbitnya lalu melihat nombor yang tertera.
“Assalamualaikum” tegurnya sewaktu melekap telefon itu di telinganya.
“Waalaikummussalam. … Syu buat apa tu?” tanya suara di hujung talian.
“Laa .. buat apa lagi. Cakap dengan awaklah. Tak kanlah tengah tidur kut?”  terdengar suara ketawa di hujung sana.
“Dah baca massage saya?” Shahrul Riezman bertanya penuh harapan.
“Belum. Tak sempat baca awak dah call” Syuhada berdalih.
“Saya dah agak. Tak apa … awak baca sekarang, lima minit lagi saya telefon semula” Shahrul Riezman mematikan talian telefon. Walaupun agak terkilan namun dia terpaksa bersabar dengan Syuhada. Bukankah kesabaran itu manis buahnya.

                        Kita jumpa esok. I miss you so much.

Syudaha membaca sebaris ayat yang tertera di telefonnya. Entah mengapa hatinya di serbu debar lagi. Rindu ! Syuhada termenung. Menatap kata-kata itu lama. Sudah lama rasa debar seumpama itu tidak hadir dalam dirinya. Benarkah dirinya dirindui lagi oleh seorang lelaki?? YA ALLAH … mungkinkah? Dia meraup mukanya bila telefon bimbitnya kembali berbunyi. Dia memicit butang hijau lalu mendekatkan telefonnya ke telinga tanpa suara.
“Dapat massage saya. I really means it. Kita jumpa esok” Syuhada dapat merasakan nada suara Shahrul Riezman agak berlainan. Lebih mesra dan akrab. Dadanya kian dipalu debar. Aduh,...sukarnya untuk dimengerti. Sukarnya untuk memahami bahasa hati....lebih sulit bila bahasa hatinya telah dinodai oleh luka dulu.
“Saya sibuk …” dalihnya perlahan.
“Alasan …… tak kan 24 jam sibuk. Tak kan lunch time pun tak ada” walaupun bernada protes namun suara itu masih kedengaran lembut.
“Kerja saya bukannya office hour macam awak” Syuhada masih lagi menghindar. Dia seolah-olah takut dengan kata hatinya sendiri. Berkali-kali dia menidakkan perasaan yang hadir. Berkali-kali dia menafikan rentak hatinya yang kian terusik.....berkali-kali juga dia membiarkan hatinya berbisik tanpa sambutan......
“Kerja kilang sekalipun tak kan tak ada masa untuk lunch. Please Syu. Saya tak ada niat tak baik dengan awak. I just want to be your friend
Kerja kilang????????...Syuhada ketawa dalam hati.
“Ajaklah orang lain. Orang macam awak tentu ramai kawan kan”
“Kalau saya nak ajak orang lain, saya tak akan pelawa awak. Saya nak jumpa awak …. Saya nak lunch dengan awak. Saya nak berbual-bual dengan awak… bukan orang lain” suara Shahrul Riezman lemah namun tegas. Lama Syuhada terdiam. Mindanya ligat mencerna akan kewajaran menerima pelawaan lelaki itu.
“Ok. Tunggu saya depan May Bank tepat 1.30 tengah hari.” akhirnya Syuhada mengalah.
Thanks Syu. I will be there” Suara Shahrul Riezman gementar. Cuba menyembunyikan gembira hatinya.
“1.30 sharp tau…..lambat saya blah”
“perghhh…..demand, tak boleh handle tu. Jumpa esok. Take care Syu”

Syuhada meletakkan telefon bimbitnya selepas agak lama memegangnya. Suara Shahrul Riezman sudah lama menghilang….namun hangatnya suara itu ditelinganya masih terasa. Dia merebahkan tubuhnya di atas tilam di katilnya. Dia termangu seketika. Benarkah firasatnya terhadap Shahrul Riezman? Mungkinkah dia sendiri tersalah anggap dengan apa yang cuba dinyatakan oleh lelaki itu? Rindu bagaimanakah yang dirasai oleh Shahrul Riezman? Rindu kekasih? Atau rindu seorang sahabat? Akhirnya Syuhada mengeluh sendiri.