Sunday, July 31, 2011

Ramadhan datang lagi

Ramadhan datang lagi
Menjengah kamar taqwa....
Masihkah ia terkurung gelap
Dalam banyaknya terang cahaya
Mencari celah untuk mengirim sinar


Ramadhan datang lagi
Menghulur tali amal....
Masihkah ia terbiar tidak bersambut
Oleh kita yang tidak kenal mana punca
Lantaran sibuk mengejar larian waktu


Ramadhan datang lagi
Mengetuk dinding iman.....
Masihkan ia tetap diusir pergi
Jauh terusir dari relung hati
Yang terus percaya dengan bisik sendiri


Ramadhan datang lagi
Menghantar sebuah keberkatan
Menjamu selaut nikmat
Menghidang sekawah tenang
Membuka seluas ruang redha
Lantas.......
Masihkah perlu terus begini
Tetap berjeda di lantai leka!!!!!



Saturday, July 30, 2011

Bab 23


“Selepas keputusan STPM diumumkan dulu puas cikgu-cikgu sekolah cari Syu. Pihak sekolah dah sediakan borang IPTA untuk calon-calon yang layak. Tapi Syu tak ada. Terus hilang, sampai semua orang tak dapat nak cari” Puan Rosmah berkata sambil tangannya melipat  sejadah berwarna merah hati yang akan digubah menjadi  kelopak bunga. Terkilan sungguh dia diwaktu itu. Niat untuk membantu pelajar yang seorang ini dulu, tidak kesampaian. Sayang sungguh rasanya bila satu anugerah ini, terabai begitu sahaja.
“Masa tu saya dah kerja, Cikgu. Kerja kilang kat Senai. Setahun bekerja barulah saya isi borang maktab” ujar Syuhada perlahan. Memang waktu itu, dia tidak tahu pun nilai tiga principal A dan dua principal B yang tercatat dalam slip keputusannya.
“Kenapa tak mohon universiti  terus. Dengan keputusan yang Syu dapat, lebih dari layak”
“Cikgu kan tau macam mana keadaan saya masa tu. Banyak yang saya fikirkan. Saya langsung tak ada motivasi diri. Borang maktab tu pun jiran saya yang beri. Kalau tidak mungkin sampai sekarang saya masih kerja kilang” terang Syuhada perlahan.
“Syu kan boleh merujuk kepada guru-guru di sekolah. Ada unit bimbingan dan kaunseling yang boleh membantu” Puan Rosmah terkilan.
“Saya tahu. Tapi pada masa tu yang ada dalam kepala saya ialah duit. Saya nak cari duit. Kalaupun saya dapat masuk universiti pada masa tu, dapat biasiswa ….. cukup ke nak tampung segala keperluan saya nanti?  Perbelanjaannya lebih besar berbanding hanya masuk maktab perguruan. Lagipun saya ada adik-adik yang masih belajar” perlahan getar suara Syuhada mencetus hiba dihati tua Puan Rosmah. Perasaan kasih dan sayang sudah lama bertunas dihatinya buat Syuhada. Tambah-tambah lagi dia memang tidak mempunyai anak perempuan. Kalaulah diberi peluang Syuhada itu menjadi anak perempuannya, alangkah bagusnya. Tentu dia ada tempat untuk berkongsi cerita, menumpang manja. Manja anak lelaki dan manja anak perempuan, lain kesannya.
“Saya faham. Tapi tak apalah. Sekarang pun Syu dah jadi cikgu. Bila nak sambung belajar? Saya rasa elok Syu ambil PJJ, banyak program yang ditawarkan untuk guru-guru bukan siswazah yang ada sekarang. Kalau dah kahwin, dah beranak pinak nanti susah. Mana nak belajar, nak uruskan rumahtangga lagi”  suara Puan Rosmah penuh keibuan. Diam-diam Syuhada menyimpan rasa terharu. Teringat dia akan ibunya di kampung. Kenapa tidak ibunya begitu???? Kenapa kasih sayang ibunya terasa jauh???? Terlalu jauh sehingga tidak tergapai oleh tangannya.
“Niat tu memang ada, cikgu. Tapi nantilah dulu. Mungkin awal tahun depan”
“Atau Syuhada nak kahwin dulu” pertanyaan yang tidak diduga itu membuat hati Syuhada tersentak. Dia mengukir senyuman memandang Puan Rosmah. Kahwin??? Teringat akan majlis perkahwinan yang diusulkan oleh ibunya dan keluarga bekas tunangnya. Teringat pula pada Zulhilmi. Kenapa lelaki itu yang perlu menerima kecelaruan yang diwariskan itu?? Dan kenapa pula dia tidak mampu menerima keadaan Zulhilmi yang seumpama itu?? Aduhhh, banyaknya kenapa! Siapalah dia yang perlu mempersoalkan segala rentetan itu. Memang benarlah hidup ini kembarnya ujian. Datang dan datang lagi tanpa perhentian.
“Syu!” putus lamunannya mendengar nama dipanggil.
“Iye…..” sahutnya terpinga-pinga. Wajah Puan Rosmah dipandang.
“Tak hilang-hilang lagi perangai Syu yang kuat berangan tu ye. Syu ingatkan siapa?” soal Puan Rosmah merisik berita.
“Nak ingatkan sape pulak. Saya tengah fikir macam mana nak susun alat solek  dalam bekas ni” dalih Syuhada. Mustahil dia membuka cerita pada Puan Rosmah.
“Syu dah ada sesiapa ke?” risik Puan Rosmah lagi. Syuhada mengerutkan dahinya sambil memandang Puan Rosmah hairan. Soalan apa ni?
“Siapalah nakkan saya ni, cikgu”
“Kalau ada orang nak?” Puan Rosmah bertanya lagi. Syuhada menarik segaris senyum disudut bibirnya. Kalau ada orang nak??? Hisyy...nak merisik aku ke ni? Aduhhh, janganlah tanya soalan yang pelik-pelik macam ni.
“Sanggupkah dia terima saya seadanya, cikgu? Menerima segala kekurangan dan ketidakberadaan saya ini” tutur Syuhada perlahan. Berharap agar Puan Rosmah tidak melanjutkan isu `kalau ada orang nak` itu.

Puan Rosmah terkedu. Syuhada masih lagi seperti dulu. Sentiasa merasa rendah diri. Teringat dia sewaktu Syuhada menjadi anak muridnya dulu. Gadis itu tidak mempunyai ramai kawan. Sering menyendiri dan banyak masa terluangnya dihabiskan dengan membaca buku. Tidak pernah jumpa dia tanpa buku ditangannya. Jarang sekali dia nampak Syuhada di perpustakaan untuk mengulangkaji secara berkumpulan. Dia tidak meletakkan diri dimana-mana group study. Dan apa yang cukup menyayatkan hatinya, Syuhada sudah berkerja sewaktu dia di tingkatan dua. Bilakah masanya Syuhada mengulangkaji pelajarannya?.. Tidak penatkah dia?... Namun soalan itu hanya berlegar di hatinya. Mungkin berkat segala kesukaran itu, dia dibalas dengan kejayaan diluar jangkaan.

              “Orang tua Syu masih ada?” tanya Puan Rosmah tanpa menjawab soalan Syuhada tadi.
              Alhamdulillah, syukur……ucap Syuhada dalam hati.
              “Ada. Mak dan ayah masih ada. Masih tinggal di kampung yang sama”
              “Kenapa Syu tak duduk dengan mereka? Bukannya jauh sangat pun kalau berulang alik, kan?” Puan Rosmah bertanya lagi. Hairan dia bila memikirkan Syuhada lebih sanggup tinggal bersama kawan-kawan walaupun rumah kedua orang tuanya tidaklah jauh mana. Dia benar-benar ingin tahu tentang hidup Syuhada.
              Agak lama Syuhada membiarkan soalan itu tidak berjawab. Hatinya libang libu bila mengenangkan kedua emak dan ayahnya. Bukan dia tidak mahu tinggal bersama mereka. Siapa yang tidak mahu sentiasa berdekatan dengan emak dan ayah. Siapa yang tidak mahu berbuat baik dengan mereka selagi mereka ada. Siapapun tahu bahawa berbuat baik kepada kedua ibubapa merupakan ibadat yang wajib dan kedua besarnya atau mulianya selain dari menyembah Allah swt. Dalam  agama Islam sendiri, ianya merupakan perintah secara langsung dari Allah swt.  Memuliakan kedua ibubapa adalah satu amal yang paling tinggi darjatnya setelah mentauhidkan Allah swt.   Jika kita melanggar kewajipan berbuat baik terhadap keduanya, maka kita telah melakukan dosa kerana perintah Allah swt. Syuhada tahu itu. Tazkirah yang sering diselitkan oleh Utazah Maimunah dalam kuliah subuhnya masih berbekas sehingga kini.

              Puan Rosmah mengangkat kepala memandang Syuhada yang tiba-tiba diam. Hairan melihat raut wajah wanita itu yang tiba-tiba berubah.

              “Awak tak apa-apa, Syu?” soalnya.
              Syuhada menarik senyum biar dia yakin benar senyumannya itu berasa tawar. Tawar setawar-tawarnya.
              “Tak…..sebenarnya saya lebih suka berdikari, cikgu. Duduk sendiri kadang-kadang melatih kita menjadi lebih matang. Lagipun saya duduk dengan kawan-kawan. Macam duduk dengan keluarga jugak”

              Puan Rosmah angguk kepala. Anak muda zaman sekarang sememangnya ramai yang tidak betah duduk dengan orang tua. Hatta ibubapa sendiri. Syukur anaknya tidak begitu biarpun masing-masing sudah ada rumah sendiri.

              “Mak dengan ayah Syu tak kisah ke?”
              Syuhada sekadar menggelengkan kepala. Bukan ibunya tidak pernah bising. Tapi untuk apa duduk sebumbung andai tiap kali bertemu muka, mereka pasti bertegang urat. Dari seremeh-remeh perkara sehingga sebesar-besar isu, dia dan ibunya sentiasa tidak sependapat. Ada sahaja yang tidak kena.  Ada sahaja yang salah.

              “Boleh tak saya susun macam ni, cikgu?” Syuhada menunjukkan bekas yang telah dihias indah yang berisikan alat-alat solek dari jenama Clinique. Walaupun tidak sepenuh hati menyiapkan kerja-kerjanya, namun Syuhada tidak mahu gubahannya tidak sempurna. Baginya hantaran bukan sekadar memberi sesuatu kepada pihak sebelah sana. Ada makna yang lebih dalam dari itu……. Perhatian, kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan. Hantaran itu tanda kasih. Kasih yang diharap terikat sampai kehujung nyawa.

              “Dah cantik tu…… Syu memang ada bakat semulajadi dalam kerja-kerja kraftangan. Tengok ni, apa saja hasil sentuhan Syu, nampak menarik. Cantik!”
              Syuhada ketawa kecil. Macam ni pun cantik……
              “Betullah saya cakap ni. Ketawa pulak”
              “Apanya yang cantik, cikgu. Dah memang bekas ni yang cantik. Kita cuma perlu susun dan tambah aksesorinya saja”
              “Memanglah nampak mudah. Tapi kalau orang lain yang buat, belum tentu jadi macam ni” Puan Rosmah berpuas hati dengan hasil kerja mereka hari itu. Tidak sia-sia dia mengajak Syuhada membantunya. Nah… tengok saja hasilnya. Sangat membanggakan!
              “Bila majlisnya cikgu?” tanya Syuhada tiba-tiba.
              “Riezman tak pernah cerita apa-apa ke?” tanya Puan Rosmah pula.
              Syuhada menggaru hujung keningnya. Kenapa pulak tiba-tiba keluar nama Shahrul Riezman ni? Apa kena mengenanya dengan Shahrul Riezman?.
              “Hari Ahad minggu depan. Syu pergi sekali dengan saya ye”
              Pergi sekali?? Pergi ke mana??
              “Nak hantar ke mana?” soal Syuhada lagi.
              “Orang sini jugak. Sebelah taman je”
              “Insyaallah….kalau tak ada aral melintang, saya pergilah sekali dengan cikgu nanti” janji Syuhada separuh hati.

              Syuhada memandang jarum jam ditangannya. Sudah pukul empat setengah petang. Terlalu ralit mereka menyiapkan kerja-kerja mengubah sehingga tidak sedar hari sudah berganjak ke waktu asar.
              “Balik dululah, cikgu. Dah petang ni”
              “Dah nak balik ke? Apa salahnya lama-lama kat sini. Balik rumah pun bukannya ada sesiapa. Sekejap lagilah Syu” pinta Puan Rosmah. Terasa sayang pula dia hendak melepaskan Syuhada.
              Syuhada serba salah. Bimbang rasa hati untuk menunggu lebih lama. Tidak mahu terperangkap lagi.
              “Eh, saya balik dulu lah, cikgu. Nak singgah bandar sekejap”
              Sudah lama Syuhada tidak menjengah Badan Ilmiah Book Store. Sudah lama juga dia tidak membeli buku baru. Rambang matanya melihat susunan novel-novel melayu. Banyaknya buku baru!.....Baca sinopsis buku ini menarik, baca yang itu lagi menarik. Pening kepalanya hendak membuat pilihan. Sudah hampir dua jam dia berada di dalam kedai buku itu. Ditangannya sudah ada tiga buah buku yang bakal dibeli.
             
              “Kat sini rupanya…”
              “Ooooo….. mak engkau jatuh tergolekkk!” terkejut sungguh Syuhada bila tiba-tiba ada suara dihujung telinganya. Pemilik suara itu sudah ketawa terkekeh-kekeh….. Ooo….melatah rupanya perempuan berhati ais ni.
              “Sibuk dekat sini buat apa?” jerkah Syuhada jengkel.
              “Kedai ni awak punya ke?”
              Syuhada menjeling tajam. Sakit hati bila kekhusyukannya memilih buku diganggu. Hisyy, macam tak ada tempat lain nak pergi. Kat mana orang ada,  dekat situlah dia nak menyibuk. Betul-betul mat interframe lah dia ni.
              “Cepatnya balik. Kenapa tak tunggu saya?” soal lelaki itu dihujung ketawanya.
              “Apahal pulak nak tunggu awak? Awak bukan suami saya kan?” hati Syuhada bertambah geram.
              “Dah siap ke kerja-kerja tadi?”
              “Semua beres. Jangan risau”
              “Tak sangka pulak awak pandai buat kerja-kerja macam tu” macam perli je ayat itu kedengaran dicuping telinga Syuhada.
              “Tengok oranglah. Banyak lagi kelebihan yang saya ada, cuma belum tunjuk je dekat awak”
              Kalau kau menjual, aku pun sudi membeli…..desis hati Syuhada.
              “Perghhhh, ayat tak boleh nak layan!.....berlagak ek
              “Kenapa tak ambik wedding planner je, kan senang. Tak payah nak susah-susah suruh cikgu buat tu semua”
              “Mama yang volunteer nak buat tu semua. Dia memang suka buat kerja-kerja lembut tangan macam tu”
              “Untung kan awak dapat mama macam cikgu Rosmah” tutur Syuhada perlahan. Hatinya tersentuh mengenangkan kelembutan dan pengertian yang ada dalam diri Puan Rosmah.
             
              Shahrul Riezman menatap lama wajah Syuhada yang sedang leka membelek sebuah buku. Dia ni memang betul-betul obsess dengan novel melayu.
              “Apa yang bestnya baca buku-buku macam ni?” soal Shahrul Riezman tanpa sedar. Syuhada mengangkat kepala menoleh sebentar ke arah Shahrul Riezman yang entah dari mana tahu dia berada disini.
              “Cubalah baca sekali. Awak akan ketagih untuk baca dan baca lagi”
              “Sampai macam tu sekali. Melampau jugak kalau dah sampai tahap ketagih” Shahrul Riezman menarik sebuah buku. `Sakitnya Sayang`….tulisan Norhayati Berahim.
             
              Derita jiwa itu tidak dapat lagi dibendung……tulisan di kulit buku itu dibaca perlahan. Seketika kemudian buku itu dihulurkan kepada Syuhada. Syuhada memandang tidak mengerti.
              “Yang ini tak nak beli?? Macam menarik je” senang hatinya melihat senyuman dihujung bibir Syuhada.
              “Dah lama beli. Dah baca dua tiga kali” balas Syuhada tanpa mengambil buku yang dihulurkan. Dah dua tiga kali baca…..Shahrul Riezman menggeleng perlahan. Memang betul-betul hantu novel.
              “Memang sakit menyimpan sayang” cetusnya perlahan.
              “Membendung derita lagi sakit”
              “Untuk apa dibendung?? Lepaskan derita itu pergi”
              Mereka saling berpandangan. Ada getar yang menjalar namun perit rasanya.
              “Ada rasa yang akan kekal terkurung sebagai satu hukuman” perlahan kata-kata Syuhada membuatkan Shahrul Riezman diam tidak terkata. Ada apa dengan Syuhada? Kenapa kata-katanya ada ketika terlalu sukar untuk difahami. Satu hukuman?? Apa maknanya??

              Mereka melangkah seiring menuju ke tempat dimana kereta mereka diparkir. Syuhada diam, Shahrul Riezman pun turut diam. Cuaca semakin redup. Angin petang yang menampar, terasa mendinginkan suhu sekitar. Mereka sudah sampai di kereta Syuhada. Syuhada sudah bersedia untuk membuka pintu keretanya namun serba salah bila melihat Shahrul Riezman masih berdiri hampir dengannya.

              “Saya nak balik” ujar Syuhada akhirnya.
              “Awak pergi sekali minggu depan?” soal Shahrul Riezman tiba-tiba.
              “Pergi mana?”
              “Mama tak ajak awak tadi?”
              “Ooo… ada. Insyaallah kalau saya lapang”
              Mereka diam lagi. Hilang kata-kata.  Syuhada sendiri bagaikan kekurangan kosa kata bila berhadapan dengan Shahrul Riezman kali ini.
              “Saya jalan dulu”
              “Okey, take care 
              Shahrul Riezman berlalu bila kereta Syuhada hilang dari pandangannya. Rasa dihati, hanya dia yang tahu.

Monday, July 25, 2011

Bab 22



Syuhada terjaga dari lenanya apabila terdengar bunyi burung-burung berkicauan. Selepas solat subuh tadi dia menyambung semula tidurnya. Bukannya selalu dapat peluang bangun lewat. Bila dihayati, terasa indah irama kicau sang burung menjadi halwa telinga. Tingkap di biliknya dibuka luas-luas. Deru angin terasa dingin menyapa kulit pipinya. Sejuk! Melihat panorama hijau di luar sana, sejuk mata memandang. Berharap agar nyaman udara pagi yang berhembus lembut mampu mengusir pergi kesedihan hatinya tetapi olakkan bayu itu tetap menghambat setiap ruang rasa. Terasa hati digigit pilu. Apabila musibah menimpa, perasaan mula tergugat. Fikiran turut terganggu dan fikiran bercelaru. Diri seolah-olah diselubungi kegelapan.

Cuti persekolahan sudah masuk  minggu kedua. Syuhada kehilangan rentak. Tidak tahu bagaimana harus dilalui masa yang beredar. Masakan mahu berehat di atas katil sepanjang masa. Bosan melewati masa yang sentiasa bergerak dan berlalu. Mengikut pepatah Arab `masa itu ibarat pedang, jika kita tidak menggunakannya untuk memotong, ia akan memotong kita`. Mazni dan Ruzian sejak semalam sudah pulang ke kampung masing-masing kerana kelas tambahan sudah pun berakhir. Syuhada serba-salah sendiri. Hendak balik ke kampung, khuatir andai Zulhilmi menjejaknya di situ. Hanya semalam Syuhada balik ke rumah kedua ibu bapanya. Itupun hanya sebentar. Melihat adik-adiknya yang sibuk dengan urusan masing-masing, dia mengambil keputusan untuk pulang semula kerumahnya.  Tidak betah tinggal lama-lama di sana. Tambah-tambah lagi dengan sikap ibunya yang tidak habis-habis menyebut tentang Zulhilmi.

Detik waktu terus bergerak namun Syuhada masih termangu di tepi tingkap biliknya. Rutin hidupnya yang sentiasa sibuk membuatkan dia lesu jika tiada kerja yang boleh dilakukan. Masanya banyak terluang untuk satu minggu ini. Kelas bimbingannya ditangguhkan kerana semua murid-muridnya  pergi bercuti bersama keluarga. Terasa hati dibungkus rindu. Namun tidak pasti rindu untuk siapa. Zulhilmi?...Amat mustahil! Dan andai rindu itu bukan untuk Zulhilmi, pastilah untuk seorang dia. Shahrul Riezman! Tiba-tiba Syuhada terkenangkan lelaki itu. Sejak kejadian tempoh hari … lelaki itu terus menyepi. Tiada lagi panggilan telefon darinya ….. tiada lagi pesanan-pesanan nakal yang dikirimkan.....pesanan yang acapkali mengusik jiwanya. Jauh hatikah dia? Memang wajar pun  berjauh hati. Bukankah dia yang  tidak berterus terang? Tapi …. Untuk apa berterus-terang. Adakah insan lain yang akan memahami segala rentetan ini? Jauh di sudut hati, dia merasa terkilan yang teramat. Shahrul Riezman tidak harus tahu! Dan yang pasti lelaki itu bukan sesiapa dalam hidupnya. Baru melihat sudah menjatuhkan hukum. Menuduhnya bukan-bukan.

Syuhada tersentak dari lamunannya bila telefon bimbitnya berbunyi. Matanya terarah ke jam di meja kecil tepi katilnya. Sudah pukul sepuluh pagi rupanya. Dia yang belum mandi lagi, mula merasa rimas. Dia mencapai telefon bimbitnya yang diletak di sebelah jam itu.

“Hmmm …. Siapa?” jawabnya malas.
“Syuhada … ini saya, Cikgu Rosmah” Syuhada tersentak. Cikgu Rosmah? Apa hendaknya? Dari mana dia dapat nombor telefon ini? Agh, … tentu pasti dari dia! Kenapa pulak Cikgu Rosmah harus dilibatkan. Syuhada menggaru hujung keningnya.
“Ya Cikgu. Cikgu apa khabar? Maaf ye, terkasar bahasa tadi” Syuhada ditimpa perasaan serba salah. Serba salah sebab Puan Rosmah adalah ibu kepada Shahrul Riezman. Serba-salah atas kejadian yang telah mengheret sekali anak lelaki kesayangan bekas gurunya itu.
“ Syuhada sedang buat apa?” tanya Puan Rosmah ramah.
“Tak ada apa Cikgu. Tengah bosan ni. Maklumlah cuti, nak berjalan pun kawan-kawan semua dah balik kampung. Tinggallah saya sorang” luah Syuhada jujur.
“Kalau macam tu, bolehlah tolong saya” beria-ia benar Puan Rosmah mengajak.
“Tolong apa tu, cikgu?”
“Tolong saya siapkan gubahan untuk hantaran. Saya tau Syu boleh buat kan” ajak Puan Rosmah penuh harap.

Lama Syuhada terdiam. Gubahan hantaran? Gubahan untuk siapa? Shahrul Riezmankah? Ada satu perasaan ngilu yang menyentuh tangkai hatinya namun dia tidak mengerti apakah perasaan itu. Mengapa pelik benar rasa hatinya bila mengingatkan lelaki itu meski telah berkali-kali dia menyakinkan diri bahawa Shahrul Riezman bukan sesiapa dalam hatinya. Ada apa dengan Shahrul Riezman sebenarnya?
“Boleh tak Syu? Daripada Syu bosan duduk rumah sorang-sorang, baik Syu datang sini tolong saya” suara di hujung talian mengejutkan Syuhada. Syuhada serba salah. Hendak ditolak, dia sudah terlepas cakap tadi. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Syuhada bersetuju juga.
Tidak sukar untuk Syuhada mencari  rumah Puan Rosmah melalui alamat yang diberi. Taman Kristal. Dia sudah terlalu biasa keluar masuk taman itu. Ada diantara pelajar-pelajarnya yang tinggal di taman itu. Salah sebuah rumah pelajarnya menjadi tempat mereka berkumpul untuk kelas tambahan itu diadakan. Tidak diduga pula Shahrul Riezman tinggal di kawasan yang sama. Dekat sahaja rupanya. Selang dua malam dia melintasi hadapan rumah ini. Tidak pernah  perasan pulak kereta Shahrul Riezman terparkir di garaj keretanya.
Syuhada memberhentikan keretanya di hadapan sebuah rumah yang bercat kuning air. Lama dia duduk mendiamkan diri di dalam keretanya. Hatinya berdebar tiba-tiba. Seraut wajah itu melintas dilayar matanya. Bagaimana kalau  terserempak dengan lelaki itu nanti? Berbolak-balik dia jadinya. Syuhada memandang jam ditangannya. Baru pukul sebelas setengah pagi. Agh… tentu dia masih berada di tempat kerjanya. Syuhada keluar dari keretanya apabila terpandang Puan Rosmah sedang membuka pintu utama. Puan Rosmah mengamitkan tangannya menyuruh Syuhada masuk. Syuhada menarik nafas panjang lalu dilepaskan satu-satu.... menenangkan hatinya sendiri. Semoga tiada takdir yang bakal menjeratnya hari ini.
“Apa khabar, Cikgu?” tanya Syuhada sopan sambil menyalami tangan Puan Rosmah.
“Baik. Syu pulak macam mana? Saya tengok, Syu makin kurus. Kerja kat sekolah banyak sangat ke?” tanya Puan Rosmah sambil mengajak Syuhada masuk.
“Mana ada, Cikgu. Saya memang macam ni” Syuhada menafikan walaupun hatinya bimbang. Bimbang sekiranya Puan Rosmah terus bertanya perihal dirinya. Tiada apa yang indah untuk diceritakan.

 Mereka terus menuju ke ruang tamu. Syuhada dapat melihat beberapa bekas gubahan hantaran yang telah siap digubah....dihias indah dengan bunga-bunga plastik.....bunga ros berwarna ungu dan putih. Terpesona matanya memandang. Sementara sebahagiannya lagi masih belum diusik. Sekali lagi hatinya tersentuh. Disentuh oleh suatu rasa yang terlalu sukar untuk diterjemah maknanya. Benarkah?

“Kenapa berdiri aje, Syu?  Marilah sini tengok barang-barang ni. Syu tentu banyak idea untuk gubah barang-barang ni” kata Puan Rosmah sambil mengajak Syuhada duduk disebelahnya. Mata tuanya dapat melihat keresahan di wajah Syuhada.
“Manalah saya reti nak gubah semua ni, Cikgu” Syuhada berkata sambil mengukir senyuman. Sekadar mengambil hati Puan Rosmah. Sedangkan hatinya memang tidak berkeinginan untuk melakukan kerja-kerja itu. Terasa berat untuk menyentuh segala jenis barang yang ada dihadapannya.
“Alah, masa sekolah dulu kan Syu selalu menang pertandingan gubahan. Sekarang ni tentu lebih kreatif kan?”
“Itu dulu, Cikgu. Sekarang ni dah lama saya tak buat benda-benda macam ni. Kekok pulak rasanya”
“Tak apa. Kita buat sama-sama. Kita yang buat dia, tentu jadi”

 Syuhada tidak ada pilihan lain. Hendak tak hendak dia terpaksa menunjukkan kepakarannya dalam kerja gubah-mengubah. Kalau diikutkan, bukan perlu sangat digubah barang-barang itu. Bekasnya sahaja sudah  kelihatan cantik dan mewah.  Mereka melakukan kerja-kerja mengubah itu bersama-sama sambil berbual-bual tentang isu-isu semasa terutama isu pendidikan. Segala macam dasar pendidikan mereka bualkan sehingga tidak sedar ada sepasang mata asyik memerhati dari arah pintu dengan perasaan yang bercampur baur. Tatkala melihat kereta yang terparkir di luar sana, dia sudah dapat meneka siapa yang datang. Patutlah beria-ia benar ibunya meminta nombor telefon wanita itu malam tadi. Secret mission apa pulak yang mama buat ni, soal hati kecilnya. Kaki melangkah namun hati bergelodak. Rasa rindu, rasa keliru dan rasa geram … menjadi satu dalam hatinya.

“Eh, Man! Bila sampai? Kenapa tak bagi salam? Terkejut mama” Puan Rosmah terkejut dengan kehadiran Shahrul Riezman yang tiba-tiba itu. Kebelakangan ini,  jarang anaknya itu balik waktu tengah hari. Bila tanya, sibuk katanya. Mimpi apa dia hari ini? Tiada pesan, tiada kata.....tiba-tiba muncul. Kerana Syuhadakah?
Syuhada apatah lagi. Mahu gugur tangkai hatinya saat mendengar nama Shahrul Riezman dibibir Puan Rosmah. Dia sudah berkira-kira untuk meninggalkan rumah itu sebelum waktu pejabat berakhir nanti untuk mengelakkan diri terserempak dengan lelaki itu. Tetapi sekarang … lelaki itu sudah berada di hadapannya!  Berdiri tegak sambil merenung tajam kearahnya. Masih ada sisa-sisa kemarahan dalam sinar yang tajam menikam terus ke jantung itu. Alamak....jantungnya sudah kehilangan rentak. Dia cuba bersikap tenang di atas pertemuan yang tidak diduga itu. Tetapi ALLAH sahaja yang tahu betapa berkocaknya hatinya diamuk resah. Diam-diam Puan Rosmah memerhati wajah dua insan di hadapannya. Reaksi mereka terlalu berbeza dengan pertemuan seminggu yang lalu. Agh, orang muda! Merajuk kan asam garam dalam percintaan…. Fikirnya. Tapi … benarkah mereka bercinta?

“Mama tak tahu Man nak balik. Man duduk dulu ye, mama siapkan makanan. Nanti kita boleh makan bersama-sama” Puan Rosmah bersuara apabila dilihatnya kedua-dua anak muda di hadapannya berwajah tegang. Langsung tidak bertegur sapa. Hanya pandang memandang. Mungkin hanya mereka yang faham bahasa mata. Tetapi kenapa agaknya kedua-dua mereka memandang dengan pandangan mengancam. Macam orang bergaduhlah pulak. Syuhada mengangkat muka.
“Saya tolong Cikgu, ye?” perlahan suaranya. Untuk apa dihiraukan Shahrul Riezman dengan pandangan mengancamnya. Dia datang atas undangan Puan Rosmah. Tidak ada kaitan langsung dengan lelaki itu. Cehhh....dia ingat aku gerunlah dengan dia!
“Eh, tak payah. Syu siapkan yang ini ye. Tinggal sikit lagi ini” larang Puan Rosmah sambil meninggalkan mereka. Suasana kembali sepi. Sesi pandang-memandang pun tidak ada. Syuhada memang betul-betul tidak menghiraukan kewujudan makhluk dihadapannya.
 Syuhada mengeluh dalam hati walaupun sering dia cuba menahan diri daripada sifat gelisah dan beremosi.....menahan lisan dari mengeluh.  Shahrul Riezman duduk di atas sofa betul-betul di hadapan Syuhada. Syuhada yang bersimpuh di atas lantai, dihujung kakinya,  merasa sangat tidak selesa. Macamlah tidak ada kerusi lain....hatinya mengerutu dalam diam. Lama mereka membiarkan suasana dibungkus sepi. Syuhada perasaan yang dirinya sedang direnung tajam. Dia langsung tidak berani mengangkat wajah. Bimbang dengan rasa hatinya sendiri.

“Buat apa datang?” Shahrul Riezman bertanya kaku. Syuhada sudah mengagak. Mustahil Shahrul Riezman akan bersorak  gembira dengan kehadirannya. Mustahil juga dia tertunggu-tunggu akan pertemuan mereka.
“Cikgu telefon suruh datang” dia menjawab perlahan. Masih lagi tidak memandang lelaki itu. Untuk apa dipandang andai hanya mengundang rasa tidak selesa?
“Bukan sengaja nak ambil perhatian mama?” Shahrul Riezman bertanya sinis.
“Tak ada sebab untuk itu” Syuhada menjawab selamba. Namun hatinya geram dengan tuduhan melulu itu. Suka-suka hati dia je....
“Ada! Setelah saya mendiamkan diri, tak layan awak, tentu mama yang jadi sasaran, kan?” Shahrul  Riezman masih lagi belum merasa puas. Sakit hati Syuhada mendengarnya. Dia memberanikan diri menentang wajah di hadapannya. Wajahnya mula merona merah. Marah!
“Perlu ke saya buat macam tu?” soalnya geram.
“Perlu! Hidup awak kan penuh agenda” tanpa sedar kata-kata itu memang sangat menguris hati Syuhada.
“Tolonglah Riezman. Saya tak pernah pun tergila-gilakan awak. Tak perlu saya gunakan sapa-sapa untuk menarik perhatian lelaki seperti awak”  Syuhada sedaya upaya mengawal nada suaranya, bimbang didengari Puan Rosmah. Shahrul Riezman mula tersenyum melihat rona merah di wajah Syuhada. Teringat dia pada musim-musim awal pertemuan mereka. Wajah sebegitulah yang mengamit rindunya di saat mata ingin dipejamkan. Rona merah diwajah itulah yang mencuit hati lelakinya. Membuatkan dia terkenang-kenang.
“Ye ke? Tapi saya tengok awak beria-ia sangat buat baik dengan mama saya” Shahrul Riezman masih galak menyimbah minyak.
“Salah ke? Puan Rosmah kan cikgu saya” tidak puas hati sungguh Syuhada dengan sikap Shahrul Riezman kali ini.
“Tapi cikgu awak tu mama saya” alasan yang tidak boleh diterima oleh Syuhada. Kalau mama dia sekalipun kenapa????
“Pernah ke saya terhegeh-hegeh nakkan awak sebelum ini?” pantang Syuhada bila ada orang menghulur tali.
“Awak tak ke? Kalau tak, masakan sanggup dating dengan saya walaupun tahu status diri” Shahrul Riezman mula menyalakan api.
Dating?? Sawan ke hilang ingatan? Bila masa kita dating? Bukan ke awak yang selalu menyibuk mengejar saya? Bukan ke awak yang selalu perangkap saya? Pernah ke saya dengan rela hati ikut awak keluar?” api yang Shahrul Riezman nyalakan kian marak. Syuhada meniup sama sehingga haba disekitar ruang tamu itu sudah melebihi dua puluh lapan darjah celcius.
“Awak kejam, Syu” tuduh Shahrul Riezman tanpa timbang tara.
“Perlu kejam untuk orang seperti awak. Awak yang menggadai hati sendiri, bila tak mampu nak tebus balik….kenapa salahkan orang lain?” sinis kata-kata Syuhada memanaskan cuping telinga Shahrul Riezman.
“Sepatutnya awak happy sebab dah berjaya mencalar-balarkan hati saya, tapi saya tengok awak macam merana je? Tak kan ada tunang pun makan hati kut? Atau merana sebab rindukan saya?” Shahrul Riezman menduga riak wanita dihadapannya. Itulah sebenarnya yang   berada di hati. Melihat riak di wajah Syuhada sebenarnya dia keliru. Mengapa tiada riak bahagia pun di wajah wanita itu. Bukankah mereka bakal berkahwin tak lama lagi? Bukankah wanita yang bakal menjadi raja sehari harus berseri-seri wajahnya? Ke mana seri di wajah Syuhada menghilang?
“Riezman” Syuhada memanggil nama itu perlahan. Shahrul Riezman menoleh ke arahnya sambil mengangkat keningnya. Rindunya dia pada seraut wajah itu!
“Pasal hari tu..... saya minta maaf. Tak pasal–pasal bibir awak yang bengkak” ujar Syuhada perlahan. Tidak guna bertekak dengan lelaki ini. Sementelah berada di rumahnya. Dan Puan Rosmah itu bekas guru kelasnya. Esok-esok mereka pasti akan berjumpa lagi.
“Saya dah maafkan. Tapi saya perlukan penjelasan” tersentuh hati lelakinya mendengar ucap maaf itu. Bagaikan ada cecair salju mengalir ke dalam relung-relung hatinya. Sejuk! Memang benar sebuah kemaafan mampu memadamkan api amarah dan dendam.
“Cikgu tak tanya ke kenapa bibir awak bengkak hari itu? Tentu cikgu fikir yang bukan-bukan pasal saya”  Syuhada bertanya tanpa menghiraukan kata-kata Shahrul Riezman tadi. Penjelasan? Penjelasan apa yang perlu diberi? Dia tidak mempunyai apa-apa penjelasan buat masa ini.
“Tanya” Shahrul Riezman menjawab sepatah.
“Habis tu awak kata apa?” Syuhada bertanya ingin tahu.
“Saya kata ……. Hmmm, love bite” Shahrul Riezman berkata perlahan sambil mengukir senyuman menggoda. Syuhada membulatkan matanya. Tindakan spontannya membuatkan Shahrul Riezman ketawa.
“Betul sangatlah tu” memang betul-betul kena sampuk Si Shahrul Riezman ni. Kena sampuk dengan hantu tengah hari. Love bite konon! Love bite hantu raya!
“Betullah. Tak kan saya nak cakap kena penumbuk dengan tunang awak. Mahu mengamuk mama sebab saya kacau tunang orang” jelas Shahrul Riezman bersungguh. Syuhada sekadar mencebik. Macamlah aku percaya sangat…….getus hatinya geram.
“Apa khabar tunang awak?” tanya Shahrul Riezman tanpa rasa.
“Hmmm……tanyalah sendiri” malas Syuhada melayan.
“Bak sini nombor dia. Biar saya call tanya dia”
“Carilah sendiri”
“Kalau saya dapat?”
“Awak nak cakap apa dengan dia?”
“Saya nak mintak dia lepaskan awak untuk saya” bisik Shahrul Riezman perlahan.
“Awak lagi kejam…. Selfish
Shahrul Riezman memandang Syuhada lama. Selfish….bergema perkataan itu dalam kepalanya.
“Bahagia awak ada dengan saya, Syu” tuturnya perlahan. Amat perlahan namun amat jelas pada pendengaran Syuhada. Hati bergetar tetapi dia tetap menidakkan hati yang mula tersentuh.
“Jangan melankolik sangat boleh tak?.....saya tak boleh nak layan lah”
“Sukar untuk buang rasa ini bila ia sudah bertapak di sini” Shahrul Riezman menunjukkan dadanya. Syuhada menyimpan rasa saat pandangan mata mereka bersatu. Entah untuk kali ke berapa, hati tersentuh lagi. Rasa yang sudah bertapak di situ?????

Puan Rosmah menghampiri mereka sebelum sempat Syuhada membalas kata-kata Shahrul Riezman. Suka hatinya mendengar gelak ketawa Shahrul Riezman tadi. Bahagia si anak, bahagialah dirinya. Sudah seminggu rumah mereka sepi dari gelak ketawa Shahrul Riezman.

“Makanan dah siap, mari kita makan” ajak Puan Rosmah kepada mereka.
“Cikgu, saya balik dululah. Lain kali saya datang lagi” kata Syuhada sambil berdiri.
“Makan dulu Syuhada. Saya memang dah masak untuk Syu tadi. Tak sangka pulak Man balik. Rezeki kita makan sama-sama hari ini” Syuhada serba salah dengan permintaan itu. Satu situasi yang amat sukar bagi dirinya. Kalaulah lelaki ini tidak ada, mustahil dia menolak ajakan Puan Rosmah disaat perutnya sudah mendendangkan lagu berirama keroncong.
“Marilah, Syu. Tak baik tau tolak rezeki” ajak Shahrul Riezman pula. Kali ini nadanya lembut. Syuhada memandang dengan hati yang hangat bergetar.  Namun dia sudah tidak kuasa untuk memikirkan apa-apa. Puan Rosmah menarik tangan Syuhada ke ruang makan. Syuhada terpaksa menurut.

Puan Rosamah duduk di kepala meja dan menyuruh Syuhada duduk di kerusi berhampiran dengannya. Tanpa disuruh, Shahrul Riezman duduk di sebelah Syuhada. Begitu hampir sehingga terhidu aroma yang dipakai dideria baunya. Diam-diam Syuhada menyimpan debar. Haru sungguh. Aduhai hati....duduk diam-diam sudahlah. Janganlah berlari tanpa irama....sekejap laju, sekejap perlahan. Betul-betul tak boleh nak handle.
“Makanlah Syuhada. Jangan ditengok aje lauk-lauk tu” tegur Puan Rosmah bila dilihatnya Syuhada hanya menguis-nguis nasi di pinggannya. Jelas ketara kegelisahan di wajah Syuhada namun Shahrul Riezman pula dilihatnya ceria. Dua riak wajah yang berbeza namun nampak serasi di mata tuanya. Ada apa dengan mereka?
“Syu kena makan banyak sikit, Syu tu kurus sangat!” kata Shahrul Riezman pula sambil meletakkan seketul ayam masak merah ke pinggan Syuhada. Syuhada terkesima. Puan Rosmah buat-buat tidak nampak.

 Shahrul Riezman perasan dengan perubahan fizikal Syuhada. Gadis itu kelihatan agak kurus. Tentunya kesan dari peristiwa tempoh hari. Apakah lelaki itu masih tidak memaafkan Syuhada? Aku sendiri …. Sukar untuk mengerti hati sendiri. Kata maaf yang disebut tadi sememangnya ikhlas, cuma rasa terkilan bila terasa diri seolah dipermainkan. Benarkah Syuhada mempermainkan perasaannya sedangkan selama ini hanya dia yang memburu wanita ini? Memang benar wanita ini tidak pernah terhegeh-hegeh hendakkan dia. Adilkah wanita ini yang dipersalahkan? Namun yang pasti, seraut wajah miliknya masih lagi menghiasi kamar hati. Masih teguh dan utuh ia bertapak di situ.
“Saya boleh ambil sendiri, Riezman” Syuhada menghantar isyarat sebagai tanda tidak perlu Shahrul Riezman melayan dia begitu.
Sebentar kemudian, Shahrul Riezman mengambil pula seekor ketam masak lemak lalu diletakkannya di pinggan Syuhada. Syuhada memandangnya geram. Tak faham Bahasa ke dia ni …
“Tolong kopekkan untuk saya” dia berkata sambil tersengih-sengih. Syuhada bertambah geram. Mengada-ngada …. Hatinya mengerutu. Mentang-mentanglah Puan Rosmah ada di sini. Sesuka hati dialah hendak buat apa.
“Kopeklah sendiri!” Syuhada mengangkat ketam itu lalu diletakkan pula di pinggan Shahrul Riezman.
“Tengok ni mama, keluarkan isi ketam untuk bakal suami pun tak nak” Shahrul Riezman sengaja bersuara kuat. Bakal suami?....Shahrul Riezman mengutuk diri sendiri. Mengaku bakal suami pada bunga yang mekar di laman orang....bunga larangan! Tak ke kerja gila namanya tu. Bukan calang-calang orang yang berani mengeluarkan kenyataan berani mati seumpama ini. Kalaulah Puan Rosmah tahu............

Puan Rosmah menggelengkan kepala melihat telatah anaknya sementara Syuhada pula hanya mendiamkan diri sambil hatinya menjerit pilu. Bakal suami? Sampai bila kau hendak bermain kata dengan aku, Riezman ? …… Sampai bila hendak memberi harapan palsu pada Puan Rosmah?.......Entah apa pula lakonan lelaki itu kali ini. Bertahanlah hati! Sabar....bukankah sabar itu umpama sinar mentari.

“Dahlah tu Man. Biarlah Syu tu makan. Kalau asyik nak melayan kerenah Man, hilang seleranya nanti” Syuhada tersenyum mendengar pembelaan Puan Rosmah ke atas dirinya. Lelaki ini memang tidak boleh diberi muka. Terlebih mengada-ngada.
“Sukalah tu, mama menangkan dia” Syuhada mematikan senyumannya bila mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Hisy… macam budak-budak. Agaknya memang macam ini perangai anak bungsu. Manja ! Manja yang tidak kena pada tempatnya.
“Tak baik usik anak dara orang lebih-lebih, Man. Kalau dah suka...tunggu apa lagi. Cakap je bila, biar mama masuk meminang” kata-kata Puan Rosmah membuatkan kedua-dua mereka terkedu. Masuk meminang?? Meminang tunangan orang?.....Aduhhh, kepala Shahrul Riezman berat tiba-tiba.
“Hah, kenapa diam pulak?”
Mereka tetap tidak bersuara. Memandang hidangan tanpa kata. Puan Rosmah memandang mereka berdua silih berganti. Memang ada sesuatu dalam hubungan mereka berdua ini. Namun mata akalnya tidak dapat meneka apa sebenarnya.
“Syu teruskan makan dengan Man, ye. Saya nak berehat sekejap. Lepas zohor nanti kita sambung balik kerja-kerja kita” Puan Rosmah memandang Syuhada. Sengaja dia ingin memberi ruang kepada dua anak muda yang kelihatan dimatanya sedang membendung masalah itu.
“Kalau macam tu, saya balik dululah Cikgu. Petang nanti saya datang semula. Rumah yang saya duduk tu bukannya jauh dari sini” Syuhada mula merasa tidak selesa. Resah dihatinya hadir lagi. Tinggal berdua dengan lelaki ini walaupun untuk waktu yang singkat, cukup mendera hati dan perasaannya. Ada sesuatu yang terbuku.
“Eeh, tak payahlah! Buat penat je nak berulang-alik.  Man, nanti tunjukkan bilik tamu pada Syu, ye. Syu boleh sembahyang kat situ” Puan Rosmah berkata seraya berlalu meninggalkan mereka berdua. Syuhada tiada pilihan lain. Terasa seolah-olah kehidupan tidak banyak menawarkan pilihan buatnya.

Selera Syuhada terputus di situ. Sedangkan Shahrul Riezman masih lagi laju suapannya. Syuhada mengeluh perlahan. Dia sendiri merasa hairan kenapa dia harus terjebak dalam keluarga Puan Rosmah sebegini jauh. Mengenali lelaki ini, menyemarakkan rasa yang telah lama hilang dari hatinya. Namun kehadiran semula Zulhilmi  setelah sekian lama menghilang, menyebabkan dia merasa serba salah. Apatah lagi setelah Shahrul Riezman mengetahui sedikit cerita hidupnya. Hatinya tersayat pilu. Malu untuk berkongsi cerita dengan lelaki yang dipandang tinggi ini.
“Ambilkan saya air, Syu!” Syuhada tersentak. Dia mengambil segelas air di sebelahnya lalu dihulurkan kepada Shahrul Riezman.

Shahrul Riezman tidak terus mengambil gelas itu, tetapi dalam diam menatap wajah wanita disebelahnya. Segumpal rindu yang terhimpun dihatinya ingin dihambur keluar namun apalah dayanya. Bagaikan segumpal awan berakar mengundang bayang, bayang rasa terpendam cuma. Entah dimana kasih... dimana sayang, telah ditunggu berkurun lama.
 Sewaktu mengambil gelas dari tangan Syuhada, sengaja dia menyentuh jari jemari wanita itu. Sekali lagi Syuhada tersentak. Pantas dia menarik tangannya tanpa memandang wajah Shahrul Riezman.

Miss you, Syu” cukup perlahan Shahrul Riezman bersuara namun begitu hampir  dan jelas kalimah itu dipendengaran Syuhada. 
Dada Syuhada bergetar hebat. Rindu?... Perlukah rasa itu hadir lagi? Tanpa dipinta kelopak matanya digenangi air. Untuk apa ada rindu sedangkan dia semakin menjauh? Untuk apa ada rindu andai jalannya kian berliku. Shahrul Riezman memang pandai membuat perasaannya terbuai.  Tanpa menoleh ke arah Shahrul Riezman, Syuhada bangun dan terus ke dapur menuju ke sinki. Beberapa biji pinggan mangkuk  kotor yang ada di sinki, dibasuh sekali. Derap kaki di belakang kembali meresahkannya. Dia ingin cepat-cepat menghabiskan kerjanya, lalu pergi dari situ. Namun belum sempat berbuat apa-apa, Shahrul Riezman sudah berada di sebelahnya. Dekat sekali. Sehingga bahu mereka bersentuhan. Syuhada gelisah.
“Basuhkan pinggan saya, boleh?” pinta Shahrul Riezman bersahaja.
 Tanpa bersuara Syuhada mengambil pinggan yang dihulurkan. Setelah segalanya selesai, dia berkira-kira untuk pergi dari situ. Namun Shahrul Riezman menghulurkan kakinya menghalang pergerakan Syuhada. Syuhada terpaksa akur. Dia berada betul-betul di hadapan Shahrul Riezman. Ruang dapur basah yang agak sempit itu menyukarkan dia bergerak jauh dari lelaki itu.

“Tepilah, saya nak lalu” Syuhada bersuara perlahan. Lemas dia dengan sorotan mata Shahrul Riezman yang tajam itu. Dasar lelaki! Tak habis-habis hendak menggoda. Memang penggoda kelas atasan ni. Tidak sedikit pun peluang yang ada dibiarkan begitu sahaja.
“Awak selalu macam ni, Syu. Melarikan diri sebelum perkara yang kita bincangkan selesai” Shahrul Riezman bersuara tidak puas hati. Sepasang kening yang indah itu ditatap lama. Turun ke mata…. Menatap sinar mata yang kian pudar cahayanya.
“Tak kan awak tak kenal saya lagi. Saya ni kan degil, keras kepala dan hipokrit. Segala perkara yang saya cakap tak boleh dipercayai. Maklumlah hipokrit ….. bermuka-muka. Talam bukan saja dua muka....lima enam muka mungkin” puas hati Syuhada dapat mengeluarkan kata-kata itu.

Shahrul Riezman tersentak mendengar kata-kata Syuhada. Dia teringat akan kata-kata itu. Tuduhan yang dilemparkan pada wanita itu rupanya meninggalkan kesan di hatinya. YA ALLAH! Shahrul Riezman melurut rambutnya yang tidak gatal. Dia memerhati wanita di hadapannya lama. Hatinya mula berkata-kata. Ada sesuatu dalam diri wanita ini yang mampu membuat dia merenungnya tanpa jemu.

“Saya minta maaf pasal hari tu. Saya betul-betul terkejut. Saya tak bermaksud nak cakap macam tu. Awak patut faham apa yang saya rasa” luahnya perlahan.
“Ada empat perkara yang tidak boleh ditarik balik, Riezman. Salah satunya adalah kata-kata yang dilafazkan. Sejuta maaf saya beri pun tak dapat menghilangkan kesan yang ada di hati ini” Syuhada meletakkan tangan di dadanya.

Tanpa isyarat Shahrul Riezman mengambil tangan Syuhada lalu digenggamnya erat.  Kesalnya tidak terhingga. Syuhada terpaku dengan perlakuan yang tidak diduga itu. Lama mereka berpandangan. Ada rasa aneh dalam hati Syuhada tatkala membalas pandangan lelaki di hadapannya. Namun bila teringat akan tujuan dia datang ke situ, perasaan itu menjauh. Semakin lama, semakin menghilang. Syuhada menarik tangannya dari genggaman Shahrul Riezman. Namun genggaman Shahrul Riezman terlalu kuat. Dia menahan kepiluan di hatinya. Dia tidak mahu merangsang perasaan aneh yang membuat dia semakin merasa gelisah . Syuhada gagahkan diri. Air mata yang ingin jatuh ditahan sedaya mungkin.
YA ALLAH kuatkanlah hati hamba-MU ini. Syuhada kesal kerana memberi ruang kepada Shahrul Riezman menyentuh tangannya.
“Lepas” ujarnya sepatah. Namun Shahrul Riezman tetap kaku memegang tangannya.
“Lepaskan” sekali lagi dia meminta.
“Kenapa Syu? Kenapa mesti tipu diri sendiri? Tanpa ucapan pun saya tahu, awak rasa apa yang saya rasa. Kenapa tak nak bagi peluang pada diri kita?” Shahrul Riezman masih lagi tidak berganjak dari tempatnya.
“Cukuplah tu, Riezman. Tak payahlah bermain kata lagi dengan saya. Kita harus sedar siapa diri kita. Bukan saya menipu diri sendiri. Tapi kita sering dimain-mainkan oleh perasaan sendiri” Syuhada bersuara tenang.
Shahrul Riezman mengerutkan dahi tanda tidak memahami maksud kata-kata  itu. Syuhada memberi isyarat agar Shahrul Riezman memberi laluan kepadanya.
“Betul ke lelaki itu tunang Syu?”
Syuhada terus melangkah tanpa memberi jawapan kepada soalan itu. Tiada ertinya sekarang. Beberapa langkah kemudian, dia berhenti dan menoleh semula kearah Shahrul Riezman.
“Hantaran kat depan tu bukan awak punya ye?” soalnya perlahan.
Shahrul Riezman mengerutkan dahi namun seketika kemudian ada segaris senyuman terukir disudut bibirnya.
“Kenapa?” hanya sepatah. Dia nampak Syuhada menggeleng.
“Tanya je” Syuhada kembali melangkah.
“Mama kan baru nak masuk meminang. Masakan dah ready dengan barang hantaran” Shahrul Riezman sudah berada di sebelah Syuhada. Melangkah seiring.
“Awak takut saya bertunang dengan orang lain?” soalnya sambil mencari riak.
“Mana ada kisah” perlahan Syuhada menjawab. Namun senyuman Shahrul Riezman kian melebar. Bagaikan ada rama-rama kecil terbang dan hinggap di kelopak hatinya.

Setelah Shahrul Riezman balik semula ke pejabatnya, Syuhada dan Puan Rosmah meneruskan kerja-kerja menggubah. Kalau boleh Syuhada ingin menghabiskan kerja-kerjanya hari ini kerana dia tidak bercadang untuk datang lagi ke rumah itu untuk hari berikutnya.