Shahrul Riezman
gelisah. Rasa keliru, celaru dan kadangkala biru. Entah mengapa seraut wajah
Syuhada, mengganggu akal fikirannya.
Menguasai minda sedarnya. Minda sedar yang sepatutnya mampu menguasai setiap
pemikiran. Ia juga sepatutnya
mampu memilih apa yang hendak difikirkan atau apa yang tidak hendak
difikirkan. Boleh menerima pemikiran dan juga boleh menolak pemikiran.
Dan pada ketika dan saat ini, minda sedarnya hanya memilih Syuhada untuk
difikirkan. Ada rasa rindu menjalar ke segenap urat nadi. Ketika hati mempunyai
keinginan yang kuat untuk bertemu terhadap sesuatu, seseorang atau kejadian,
disitulah rasa rindu muncul. Sebuah sensasi perasaan positif yang dimiliki oleh
setiap manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lainnya didunia termasuklah malaikat,
jin, haiwan apalagi tumbuhan. Si Romeo menghilangkan rasa rindunya dengan bertemu, Majnun pula
dengan syair indah, manakala Rabiatul Adawiyah dengan berserah diri pada sang
Pencipta. Hmmm… itulah cara-cara manusia menjinakkan rasa rindu dihati. Tapi
Shahrul Riezman?....Tidak tahu apa cara yang harus diaplikasikan untuk
menjinakkan rasa itu. Dia
melihat jam di tangannya. Baru pukul lapan malam. Spontan dia mencapai telefon
bimbitnya lalu cuba menghubungi wanita itu. Namun seperti yang diduga, Syuhada
tidak akan menjawab panggilan telefonnya. Merindui tunang orang! YA ALLAH
ampunkan dosaku. Namun berdosakah aku menyimpan rasa ini buat dia? Sedangkan
rasa yang satu ini seolah-olah sudah sebati dalam jiwanya. Memenuhi setiap
ruang relung hatinya.
Terngiang-ngiang di cuping telinganya sendiri tuduhan
yang dilemparkan ke atas Syuhada. Baru kini dia merasa kesal mengeluarkan kata-kata itu. Namun benar
seperti kata Syuhada … terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata … inilah
padahnya. Hipokrit!...Layakkah Syuhada digelar seperti itu? Tetapi betul ke lelaki itu tunang Syuhada? Kenapa Syuhada
nampak seperti ketakutan? Agh, mestilah takut!. Terserempak dengan tunang
sendiri sewaktu keluar dengan lelaki lain. Kantoi.....mahu tak mengelabah!
Hari minggu berikutnya, sekali lagi Syuhada dihubungi
oleh Puan Rosmah. Sekali lagi
Syuhada diajak datang ke rumahnya. Syuhada benar-benar serba salah. Dia tahu
hari inilah majlis perkahwinan itu akan berlangsung. Haruskah aku pergi? Dia
bertanya pada dirinya sendiri. Dia diajak pergi tanpa menerima kad undangan.
Beratnya hati. Pertimbangan akal waras mengatakan tidak wajar pergi. Namun bila
memikirkan jasa Puan Rosmah yang terlalu banyak pada dirinya dizaman
persekolahan dulu, dia mengetepikan perasaan hatinya. Meminggirkan jauh rasa
tidak selesanya. Menidakkan bahawa dia pergi tanpa ada yang menjemput.
Dengan berbaju kebaya biru laut berbunga kuning serta
bertudung sedondon dengan warna bunga bajunya, Syuhada pergi ke rumah itu
sekali lagi. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia pun memandu
keretanya menuju ke rumah Puan Rosmah. Hati dijengah rasa hairan bila melihat
keadaan rumah Puan Rosmah. Tidak ada apa-apa pun. Rumah itu kelihatan sunyi
sepi. Terlewat ke? Muka jam dipergelangan tangan dipandang sekali lagi. Baru
pukul dua belas setengah. Masakan lewat. Sekali lagi dia melihat nombor rumah
yang tercatat di tembok pagar rumah itu. Betul!
Majlis perkahwinan itu tidak di buat di sini ke? Hatinya tertanya
sendiri. Sebentar kemudian, kelihatan Puan Rosmah keluar dengan berpakaian
cantik . Berbaju kurung, bertudung lengkap dan membawa beg tangan. Masih anggun
seperti dulu-dulu jugak.
“Kita nak ke mana ni, cikgu?” Syuhada bertanya keliru.
“Ke rumah Hatta lah, hari ni kan majlis persandingan dia
dengan Hayati” mereka masuk ke dalam kereta Syuhada. Syuhada menepuk dahinya.
Tersasar jauh sangkaan yang membelit jiwanya.
“Hatta ke yang nak kahwin?”
“Laa....Riezman tak bagi tau ke?” hairan Puan Rosmah
dengan pertanyaan Syuhada. Syuhada tak tahu
arah tujuan mereka hari ini ke? Sangkanya Syuhada sudah tahu.
“Hantaran yang kita buat hari tu untuk Hatta ke?”
“Yelah. Itu pun Riezman tak beritahu Syu?” Syuhada tersenyum sendiri. Entah mengapa, hatinya
yang sering sendat kebelakangan ini,
terasa lapang mendengar berita itu.
“Saya ingatkan anak teruna cikgu yang nak kahwin”
cetusnya perlahan.
Puan Rosmah melepaskan tawa. Pelik melihatkan hubungan
anak muda berdua ini. Masing-masing sibuk hendak berkias bagai. Sudahnya
tersalah tafsir. Jarang yang betul bila terpaksa meneka dalam kesamaran. Suka
sangat memendam rasa....sudahnya diri sendiri merana. Bukan dia tidak perasaan
perubahan Shahrul Riezman seminggu dua kebelakangan ini.
“Man cakap dia yang nak kahwin ke?” Puan Rosmah
menggeleng kepala melihat Syuhada sekadar tersenyum.
“Tak adalah dia cakap. Tapi manalah tau kan. Dia kan dah
sampai umur wajib kahwin tu” ujar Syuhada selamba. Puan Rosmah ketawa lagi.
Memang pun Shahrul Riezman anaknya itu sudah sampai umur wajib kahwin.
Tapi....hai, entahlah. Apalah yang lambat sangat tindakannya.
“Dia dah ajak Syu kahwin ke?” provok Puan Rosmah.
“Hah?” mujur tidak terlepas stereng kereta dari pegangan
Syuhada dek terkejut dengan pertanyaan tanpa isyarat Puan Rosmah itu.
“Iyelah... kut korang berdua dah merancang senyap-senyap”
tambah Puan Rosmah lagi tanpa peduli dengan warna wajah Syuhada yang sudah
merona merah. Malu diterjah begitu.
Syuhada senyap tidak terkata. Malu pun ada. Diterjah
dengan soalan tanpa kias, tanpa berlapik...terpercik juga peluh didahinya. Sepuluh minit kemudian
mereka sampai di rumah Hatta. Kemeriahan
jelas terasa. Ramai tetamu yang hadir. Mereka tiba sewaktu pasangan pengantin
sedang bersanding. Terpukau seketika Syuhada melihat penampilan Shahrul Riezman
yang berdiri disisi Hatta di atas pelamin. Bukan pasangan mempelai yang anggun
duduk diatas pelamin yang menjadi fokus matanya. Dari jauh dia dapat rasakan
yang lelaki itu turut memandang kearahnya.
Syuhada hanya berdiri di satu sudut. Mula merasa tidak selesa kerana tidak
mengenali sesiapa dimajlis itu. Puan Rosmah sudah menghilang ke dalam rumah.
Hendak diturut terasa malu. Matanya memandang sekeliling mencari seseorang.
Sejak pasangan pengantin itu turun dari pelamin dan beredar ke bilik, mungkin
untuk sesi bergambar, dia tidak nampak pun bayang lelaki itu.
“Cari saya ye?” Syuhada terperanjat mendengar suara yang
begitu hampir di telinganya.
YA ALLAH … bagus sangatlah perangai yang boleh membunuh
ni.
Syuhada memerhati lelaki disebelahnya. Kacak sungguh dia hari ini. Siap berkot dan bertali
leher. Maklumlah pengapit pengantin lelaki. Sejuk sedikit hatinya. Lelaki itu
pun turut memerhatikan dirinya. Lama mereka berkeadaan begitu. Saling memerhati
sambil hati saling memuji. Entah
bila kata hati akan bersambut dan melangkah seiring.
“Saya ingat awak yang kahwin” Shahrul Riezman mengerutkan
dahi mendengar kata-kata itu.
“Mama tak bagi tau ke?”
Laaa.....memang padanlah dua beranak ni. Si ibu menyangka
begini. Si anak pulak menyangka begitu. Sealiran betul. Sehati sejiwa.
“Kalau saya yang kahwin, kenapa?” tanya Shahrul Riezman
menduga.
“Saya ucapkan tahniah” jawab Syuhada selamba. Shahrul
Riezman ketawa kecil.
“Tak sedih?”
“Pasal apa pulak nak sedih. Gembira adalah. Orang
mendirikan masjid, kita wajib rasa gembira tau” jawab Syuhada tanpa perasaan.
“Macam mana nak kahwin, calon isteri belum kata setuju”
Syuhada terperangkap dalam renungan Shahrul Riezman. Hatinya berdebar. Dia mula merasa gelisah. Resah bila
terasa rahsia hati bagaikan discan.
Calon isteri????
“Carilah calon yang boleh jawab....ya, saya terima”
Syuhada masih bermain kata.
“Awak dah setuju ke?” Shahrul Riezman sendiri merasa
pelik dengan dirinya. Dia tahu Syuhada tunang orang tapi dia tetap merasakan
Syuhada akan menjadi miliknya. Satu keyakinan yang dia sendiri tidak tahu entah
dari mana datangnya.
“Saya ke calonnya?” Shahrul Riezman memandang geram
mendengar soalan Syuhada yang boleh dikategorikan mengada-ngada itu. Sudah
geharu, cendana pula........
“Kenapa tak cakap nak datang? Boleh datang sekali tadi”
Shahrul Riezman bertanya sambil matanya meratah puas-puas wajah wanita
dihadapannya. Seminggu tak jumpa …. Hatinya merindu tiada siapa yang tahu!
“Tak tahu pun nak datang sini. Cikgu telefon suruh datang
ke rumah. Terus diajaknya saya ke sini. Jangan-jangan awak berkomplot dengan
cikgu tak?” serkap jarang Syuhada mengundang ketawa Shahrul Riezman.
“Mana ada. Saya tak guna taktik kotor macam tu. Saya tak
suka guna jalan shortcut” Shahrul
Riezman berkata di hujung ketawanya.
Shahrul Riezman
mengajak Syuhada masuk ke dalam rumah. Tanpa banyak bicara Syuhada mengikut.
Dari tidak berteman di luar baiklah dia mengikut. Mereka ke bilik pengantin.
Hatta terkejut melihat kehadiran mereka. Syuhada bersalaman dengan Hayati.
Sebentar saja mereka sudah kelihatan mesra.
“Man, kenapa aku tak tahu?” Hatta bertanya sambil membuka
butang baju songketnya untuk digantikan dengan persalinan kedua. Teringat
kata-kata Shahrul Riezman tempoh hari....tak ada maknanya aku couple dengan dia....Habis tu apa
maknanya hari ini??
“Tahu apa?” tanya Shahrul Riezman pula.
“Sejak bila pulak kau dengan Syuhada ni? Aku tak tahu
pun” Shahrul Riezman ketawa kecil sambil mengenyitkan matanya pada Syuhada.
Syuhada membalas senyuman itu. Mereka kelihatan betul-betul seperti pasangan
kekasih. Apa salahnya kalau sesekali berlakon. Tanpa skrip dan arahan sesiapa.
Bukan calang-calang orang boleh buat tau....terlanjur ada peluang, apa salahnya
tonjolkan bakat yang sudah lama terpendam.
“Sejak bila kita, Syu?” Shahrul Riezman bertanya sambil
berdiri dekat dengan Syuhada. Terlalu dekat sehingga bahu mereka bersentuhan.
Syuhada terpinga-pinga. Namun hanya sebentar.
“Takkan Hatta tak tau. Kata makan sepinggan, tidur
sebantal. Masakan soal-soal hati macam ni tak share? Dah lama dah.... sejak saya dituduh nak curi kereta dia
depan Parkson dulu tu, kan Riezman” sindir Syuhada selamba. Dah orang ajak
berlakon....layan sajalah. Serentak mereka ketawa. Hayati yang tidak tahu
menahu kes tersalah kereta itu pun turut ketawa.
Syuhada memerhati keadaan bilik pengantin. Indah dan
romantik dengan dilatari tabir berwarna hijau berselang seli putih. Hijau…
warna kegemarannya. Mengikut terapi warna....hijau adalah warna penyembuh kerana ia
menyeimbangkan dan menstabilkan tenaga tubuh. Warna hijau juga adalah warna semulajadi yang melambangkan
keseimbangan kasih sayang, kesihatan, kecantikan, kegembiraan dan pemikiran
yang tegas. Dalam apapun keadaan, dia tetap akan memilih warna hijau sebagai
pilihan utamanya. Tidak
dijangka matanya terperangkap dalam sorotan mata Shahrul Riezman yang sedari
tadi memerhati tingkah lakunya. Syuhada membalas renungan itu namun hanya
sebentar. Sebentar kemudian dia membuang pandang. Tidak sanggup dia menatap
renungan itu. Renungan yang boleh membuatkan jantungnya jatuh berkecai! Hancur
berkeping-keping.
“Sorry ye,
Yati. Tak ada hadiah dari saya. Maklumlah saya ni tetamu tidak diundang. Main
terjah je” mereka berempat ketawa. Mesra. Tidak sukar untuk Syuhada menjalin
hubungan dengan sesiapa sahaja walaupun baru sekali berjumpa. Mujur juga dia
pernah berjumpa dengan Hatta walaupun sekadar dua kali. Tidaklah malu sangat.
“Saya dah letak nama kita berdua pada hadiah yang saya
beri pada mereka sebab saya yakin awak mesti datang dengan mama” sekali lagi
Syuhada mencari mata lelaki itu. Perkataan ‘kita berdua’ bergema dalam
hatinya......kita....bukankah bermaksud satu perkongsian. Perkongsian rasa!
Sorotan mata itu mengundang resah yang maha dalam. Lama mereka berkeadaan
begitu. Memberi ruang sekali lagi kepada hati untuk berbicara sesama sendiri.
Untuk mendalami apa makna getar yang tiba-tiba mengetuk-ngetuk dinding hati
mereka.
“Abang risaulah, Yati. Ada pulak yang main-main mata kat
bilik kita ni. Kita yang jadi pengantin, tak pasal-pasal orang lain pulak yang
lemas nanti” Hatta bersuara nakal, tersengih-sengih memandang Shahrul Riezman.
Memang sudah parah kawannya yang seorang ini.
Nah....ambik kau sebiji. Nak main mata, pergilah tempat
lain. Ada pulak dekat bilik pengantin. Tidak boleh nak cover langsunglah dia orang ni. Kalau nak buat acara
pandang-memandang pun agak-agaklah sikit. Cepat-cepat Syuhada melarikan
matanya. Inilah perkara yang paling dia tidak suka bila berjumpa dengan Shahrul
Riezman. Memang sorotan mata itu mengundang beribu warna dihatinya. Kalau
spektrum warna itu ada tujuh.....warna dihatinya melebihi warna yang tujuh itu.
Haruskah ?... soal hatinya berkali-kali. Haruskah dipergunakan keinginan
Shahrul Riezman yang agak melampau itu untuk mengelakkan diri dari Zulhilmi?
Wajarkah diterima sahaja lamaran tidak rasmi dari Shahrul Riezman.....be my wife, Syu....sudah dua kali frasa
itu Shahrul Riezman lafazkan.
Pasangan
pengantin menukar pakaian untuk majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan
beradap. Syuhada dan Sahahrul Riezman
sudah keluar dari bilik itu. Mereka ke khemah tetamu yang masih mengekalkan
tema hijau putih. Tetamu masih ramai memenuhi khemah. Sebentar lagi pengantin
akan keluar untuk acara memotong kek. Sudah tentu mereka sedang menunggu
kedatangan orang yang diraikan.
“Awak
dah makan?” tanya Shahrul Riezman lembut. Sejuk hatinya melihat Syuhada. Gadis
itu anggun dengan baju kebayanya. Kali pertama nampak Syuhada dengan baju
kebaya. Boleh tahan! Dia memang tidak menduga ibunya akan mengajak Syuhada ke
majlis itu. Lebih tidak disangka..setuju pulak Syuhada. Kalau dia yang
mengajak, belum tentu Syuhada mahu. Sejak akhir-akhir ini ibunya begitu kerap
bercerita tentang Syuhada. Sikit-sikit Syuhada. Tahulah Syuhada tu anak murid
kesayangan dia.
“Sudah,
dengan cikgu tadi” Syuhada cuba berlagak selamba namun hati di dalam hanya
ALLAH yang tahu. Berada disisi lelaki ini, hatinya bergendang tidak menentu sepanjang masa.
Mereka duduk di satu meja yang menghadap ke meja utama untuk pasangan pengantin
makan berdamai. Meja makan beradap yang berbentuk U, diperhati dengan rasa
teruja. Hiasan bunga mengikut warna tema, ukiran buah tembikai dan segala apa
yang ada di meja pengantin itu, begitu menarik dipandangannya. Cantik dan
berseni sekali.
“Temankan
saya makan. Saya belum makan sejak tadi. Lapar betul ni” ajak Shahrul Riezman.
“Kesiannya.
Hatta yang kahwin, awak yang tak lalu makan ye. Kena tempiasnya ke?” Syuhada mengusik nakal. Sesekali
mengusik apa salahnya!
Shahrul Riezman merenungnya tajam. Sinar mata itu
membuatkan Shahrul Riezman terpanar seketika. Melihat senyuman di bibir wanita
ais dihadapannya ini …. dia resah. Rusuh tidak menentu. Berada dalam majlis
seumpama itu bersama gadis yang selama ini sentiasa berada di hati, menimbulkan
satu perasaan yang amat lain dihatinya. Keinginan untuk merealitikan apa yang
dirasa, begitu menggebu-gebu. Mungkinkah?.. sedangkan dia tunangan orang.
Keluhan hatinya hanya dia yang mengerti.
Mengikut teori yang entah dia baca dari buku mana tidak
dalam dulu, dorongan rasa nafsu manusia dirangsang oleh tiga kelas kejadian iaitu
hormon, rangsangan luaran dan aktiviti serebum di dalam otak seperti imaginasi,
ingatan dan sebagainya. Dia akui akan kebenaran teori itu. Melihat Syuhada,
mengingati gadis itu … dia dirangsang oleh satu rasa. Rasa yang menggigit jiwa
lelakinya.
“Kalau ye pun lapar, tak kan nak makan saya kut” Syuhada
tahu dirinya direnung tajam namun dia cuba berlagak tenang. Kalau dia turut
melayan perasaan Shahrul Riezman, bimbang nanti dia yang terperangkap.
“Kalau boleh memang nak makan Syu. Kunyah halus-halus lepas
tu saya telan. Kenyang sampai bila-bila!” balas Shahrul Riezman mengusik namun
cukup untuk membuatkan wajah Syuhada merona merah. Cakap apa ni? Lelaki memang
suka merapu yang bukan-bukan! Sungguh tidak sopan. Ada karang yang kena
penendang silat Sarawak. Cakap ikut sedap mulut dia sahaja.
“Mulalah tu nak
merapu. Pergilah ambil nasi tu. Tadi
kan kata lapar. Saya dah nak balik ni”
Shahrul Riezman bangun setelah mendengar kata-kata
Syuhada. Dia mengambil nasi beriani yang disediakan bersama lauknya. Hidangan
yang disediakan secara buffet itu
nampak menyelerakan. Setelah mengambilkan Syuhada segelas air oren, dia duduk
semula disebelah wanita itu. Kali ini lebih dekat. Syuhada kian gelisah. Tak
duduk dekat-dekat tak boleh ke? Dahlah cuaca panas terik. Aduhhh....rimas
sungguh!
Pandangan Syuhada diarahkan ke pasangan pengantin yang
baru keluar menuju ke meja jamuan yang berhampiran dengan mereka. Hatta
mengangkat tangan ke arah mereka. Shahrul Riezman membalas sambil tersenyum.
Syuhada leka memerhatikan pasangan tersebut. Melihat Hatta memimpin tangan
Hayati, hatinya tersentuh. Terkenang segala nostalgia dalam hidupnya. Kalaulah
Zulhilmi tidak melalui detik-detik itu ……pasti hidupnya tidak serusuh hari ini.
“Awak teringin ke?” Shahrul Riezman bertanya apabila
dilihatnya Syuhada begitu asyik melihat pasangan pengantin itu. Cahaya di mata
itu seolah-olah menceritakan sesuatu. Tetapi masih samar-samar.
“Teringin apa?” Syuhada bertanya tidak mengerti.
“Macam mereka” Shahrul Riezman mencari reaksi namun tidak
ada apa-apa ekspresi di wajah itu. Memang Syuhada berwajah selamba. Seolah-olah
tidak berperasaan. Maklumlah sudah terbentuk bongkah-bongkah ais dikotak
hatinya. Agaknya kalau dicampak ke Gurun Sahara, baru mencair.
“Tak” Syuhada menjawab selamba.
“Tak teringin nak kahwin?” Shahrul Riezman bertanya lagi.
Tidak puas hati dengan jawapan Syuhada. Dia sudah berhenti makan. Sudah kenyang
perutnya.
“Tak” Syuhada masih lagi menjawab begitu. Bukan dia tidak tahu maksud pertanyaan lelaki itu. Akhirnya nanti dia juga yang terkena. Lelaki kaki putar
belit seputar alam ini bukan boleh dipercayai.
“Habis tu kenapa bertunang?” pertanyaan Shahrul Riezman kali ini menyentuh hatinya.
‘Kau tak tahu apa-apa, Riezman!’ desis hatinya. Dulu Nik
Rozana, kawan baiknya sewaktu di Sarawak, mengatakan dia perempuan yang paling
pelik yang pernah ditemui. Rela menjadi tunang kepada seorang lelaki hanya
kerana sepotong janji!
“Saja nak bertunang” Syuhada menjawab acuh tak acuh. Riezman masih menganggap dirinya tunangan orang. Biarkan!
Mungkin keadaan akan lebih terkawal dalam situasi begini. Sekurang-kurangnya
tiada yang menaruh harapan.
“Pelik! Awak
cintakan dia?”
Syuhada menggigit
bibirnya mendengar soalan itu. Cintakah
aku pada Zulhilmi? Pernahkah dia menyerahkan seluruh perasaannya buat lelaki
itu? Entah, dia tidak punya jawapan untuk soalan itu! Aghh, untuk apa diungkit-ungkit lagi kisah pertunangan itu? Hatinya menjerit pilu.
Kisah yang tidak ada manisnya. Kisah yang hanya ada luka dan duka. Kisah yang
hanya membuktikan kebodohannya. Hanya dia yang dikejar janji sedangkan lelaki itu hilang dalam dunianya
sendiri. Namun dia sedar,
Shahrul Riezman tidak harus dipersalahkan. Dia tidak tahu apa-apa. Pertanyaan
itu memang wajar untuk dirinya, setelah dia ditumbuk oleh Zulhilmi. Zulhilmi
juga tidak bersalah. Dia yang terpilih diantara ahli keluarganya yang lain
untuk melalui rentetan itu. Mungkin salahnya pada pertemuan mereka biar dia
cukup tahu bahawa hakikat pertemuan dan perpisahan adalah atas kehendakNYA.
Tidak mungkin ada pertemuan antara dia dan Zulhilmi kalau bukan dengan izinNYA.
“Kalau bukan kerana cinta.....mesti awak kena paksa
bertunang” Shahrul Riezman membuat kesimpulan sendiri. Syuhada hanya diam,
membiarkan Shahrul Riezman dengan anggapannya sendiri.
“Betul kan?” soalnya pula. Syuhada tetap diam. Tidak
mungkin dia membuka cerita kepada Shahrul Riezman. Biarlah apa sahaja yang
dilalui bersama lelaki bernama Zulhilmi menjadi rahsia peribadinya. Provasi
untuk dia seorang.
“Siapa yang paksa?” soalan lagi dari Shahrul Riezman.
“Hisss...banyak tanyalah. Macam polis pencen pun ada”
“Susah sangat ke nak jawab”
“Bukannya susah....tapi memang tak nak jawab. Bukannya
ada kena mengena dengan awak pun” keluh Syuhada. Malas melayan soalan Shahrul
Riezman.
“Betul awak kena paksa?”
Syuhada melambaikan tangannya ke arah Puan Rosmah yang
terjenguk-jenguk mencarinya. Hatinya lega melihat kedatangan Puan Rosmah.
Bolehlah balik. Lemas dia berada dengan Shahrul Riezman lama-lama. Penat
melayan hati yang berentak misteri. Bertambah penat mendengar soalan Shahrul
Riezman yang bukan-bukan.
“Patutlah tak jumpa. Rupanya dekat sini” kata-kata itu
lebih ditujukan untuk Shahrul Riezman. Puan Rosmah duduk di hadapan mereka.
Letih.
“Mama tak cakap pun nak ajak tuan puteri kita ni” Shahrul
Riezman berkata sambil tangan kanannya diletakkan di belakang kerusi Syuhada.
Tersentuh sedikit bahu Syuhada yang duduk menyandar. Syuhada menegakkan
tubuhnya. Gelisah dengan perlakuan Shahrul Riezman. Malu dengan pandangan Puan
Rosmah. Apa kata cikgunya nanti? Aduhai Riezman, agak-agaklah. Masakan mahu
ditayang pada semua orang perangai gatalnya itu.
“Saja mama tak cakap. Kalau cakap dengan Man tadi, tak
ada pulak pengapit si Hatta. Asyik nak berkepit aje dengan Syu nanti” Puan
Rosmah berkata lepas. Syuhada menahan malu mendengar kata-kata itu. Anak dan
ibu ini memang sealiran betul. Butir kata sering meluncur tanpa ada tapisan.
Memang betul-betul satu acuan.
Dalam hati Puan Rosmah, sebenarnya dia cukup senang
melihat pasangan itu. Tidak sabar dia menunggu Shahrul Riezman membuka mulut meminta dia agar meminang Syuhada.
Sudah terlalu lama dia mengidamkan seorang menantu duduk dengannya. Kalau benar
Syuhada orangnya… alangkah bertuahnya. Mereka boleh serasi dalam banyak
perkara.
“Dah boleh balik, cikgu?” Syuhada bertanya sambil
memandang wajah Puan Rosmah. Wanita itu menganggukkan kepalanya. Memang sungguh
dia sudah keletihan. Hati Syuhada lega.
“Tak nak balik sekali dengan saya?” Shahrul Riezman
bertanya sambil sebelah tangannya bermain-main dengan gelas di depannya.
Sebelah tangannya masih lagi di belakang Syuhada.
“Taklah. Nanti lambat sangat. Kawan-kawan saya tentu dah
sampai. Besok kan dah sekolah. Lagipun kereta kita kan lain-lain. Tak ada
maknanya kalau balik sekali”
Puan Rosmah ketawa
kecil mendengar kata-kata Syuhada. Dia dapat merasakan yang Syuhada sentiasa
mengelak untuk bersama anak terunanya sedangkan Shahrul Riezman nampaknya
bersungguh-sungguh. Kenapa?. Bertepuk sebelah tangan ke? soal hati kecilnya.
Namun dibiarkan saja persoalan itu. Dia
yakin Shahrul Riezman cukup bijak untuk menangani persoalan itu.
“Yelah Man. Mama pun dah letih ni” Syuhada merasa lega
yang teramat.
“Mama baliklah dulu, bawak kereta Man. Syu biarlah saing
Man”
“Boleh jugak. Bolehlah, ye Syu” dah agak dah. Puan Rosmah
mesti menyokong cadangan anaknya itu. Emak borek, tentulah anak rintik kan.
Eh....emak borek ke????
“Balik sekali lah cikgu. Kita kan datang sama-sama. Mana
boleh pergi dengan orang lain, balik dengan orang lain pulak” ujar Syuhada
selamba. Cukup mustahil dia memenuhi kehendak dua beranak ini. Hendak buat apa
duduk dengan Shahrul Riezman lama-lama. Sudahlah soalan mengalahkan wartawan
melodi.
“Kalau macam tu, jom lah. Mama dah tak larat ni”
Mereka berdua bangun untuk meninggalkan tempat itu. Namun
belum pun sempat melangkah, Syuhada terasa hujung bajunya ditarik. Dia menoleh
ke arah Shahrul Riezman. Puan Rosmah menjeling faham lalu terus melangkah.
“Nak apa lagi?” Syuhada bertanya sambil memandang Shahrul
Riezman. Shahrul Riezman memandang wajah itu dalam-dalam. Ada sesuatu dari
dalam dirinya yang tidak terluah. Hangat dan sentiasa basah hatinya.
“Baliklah dengan saya” pintanya.
“Rayuan ditolak. Saya tak sudi”
“Sombong. Sombong sangat nanti masuk lombong, tau” giat
Shahrul Riezman geram.
“Masuk lombong lagi selamat dari duduk dengan awak”
“Sampai hati....”
“Tak ada hati. Titik! Saya nak balik sekarang”
“Take care” mengalah
juga dia akhirnya. Syuhada mengerutkan dahi mendengar kata-kata itu tanda tidak
faham namun dia tetap menghadiahkan secebis senyuman buat Shahrul Riezman lalu
mengorak langkah. Orang berbudi, apa salahnya dia berbahasa.
“Lain kali, jangan buat macam ni lagi depan cikgu” ujar
Syuhada sebelum melangkah.
“Buat apa???”
“Suka-suka hati tarik baju orang, duduk dekat-dekat,
letak tangan kat belakang saya.....saya tak suka”
“Kenapa?” Shahrul Riezman bertanya pura-pura tidak
mengerti.
“Malu! Puan Rosmah tu cikgu saya”
“Kalau belakang dia boleh buat, kan?” Syuhada menjegilkan
mata. Shahrul Riezman ketawa kecil.
Hisy…. Tak faham-faham. Syuhada buntu memikirkan sikap
Shahrul Riezman.