Sunday, December 25, 2011

Bab 1


         

Wajah putih bersih bayi lelaki yang baru dilahirkan, direnung dengan segenap rasa. Hilang segala rasa sakit melahirkan, bila wajah sebesar tapak tangan itu damai dalam tidurnya. Tanpa diduga, rasa sayang….tunas kasih mula bertapak di mimbar hatinya. Sejak mereka ditolak keluar dari wad bersalin dan ditempatkan di wad 6 dua belas jam yang lalu, bayinya itu asyik tidur sahaja. Menurut kata doktor sebentar tadi, durasi tidur bayi yang baru lahir adalah sekitar enam belas jam dalam sehari. Mungkin sebentar lagi dia akan terjaga untuk menyusu.

Nurin Ardini masih menatap wajah bayinya yang sedikitpun tidak berkutik. Tidak terusik langsung dengan rasa sejuk bilik yang berhawa dingin itu. Segala-galanya baru bagi dia. Mujur juga ada Staff Nurse Suhaini yang sudi mengajar bagaimana mahu membedung bayi sekecil itu. Sungguh dia tidak tahu apa-apa tentang pengurusan bayi. Mujur juga ada Ibu Rasyidah yang sudi menyediakan segala kelengkapan bayi. Kain bedung, kain lampin, barut…… perkataan-perkataan itu pun tidak ada dalam kamus perbendaharaan katanya. Inikan pula mahu menggunakannya. Sungguh dia tidak tahu! Dia langsung tidak ada pengalaman menguruskan seorang bayi. Dan kehadiran bayi ini terlalu awal dalam hidupnya. Nurin Ardini mengeluh tiba-tiba. Hatinya disagat pilu yang teramat. Kepiluan yang terus menjeruk hati sehingga menjadi kering dan layu. Hampir-hampir tangkainya tanggal, menanti masa untuk tersungkur ke bumi. Mujur sahaja ada Ibu Rasyidah yang sudi memberi sedikit yakin dalam dirinya. Meniup bilah-bilah semangat dalam dirinya yang sudah kehilangan payung untuk berlindung.
“Hai baby…..” suara yang kedengaran tiba-tiba mengejutkan Nurin Adrini dari lamunan yang panjang.
“Puan sihat hari ini?” tanya doktor muda yang sedang mengira kadar denyutan nadi Nurin Adrini. Doktor Irdina. Nurin Adrini sekadar menganggukkan kepalanya. Wajah cantik doktor muda itu, dipandang sekilas.
“Baby asyik tidur je. Puan dah bagi dia susu?” tanya Doktor Irdina lagi. Nurin Adrini menggeleng pula. Masih tidak bersuara.
“Dah pandai menyusukan baby?” paras Nurin Adrini dibelek lama. Sejak semalam sudah terbetik musykil dihati kecilnya.
“Pandai jugak….Nurse Suhaini dah ajar malam tadi” jawab Nurin Adrini perlahan. Biarpun dia merasa kekok, namun dia tetap mahu mencuba. Merasa puas bila melihat bayinya tidur kekenyangan setelah menyusu. Tiba-tiba wajah arwah ibunya menyapa ruangan ingatan. Ada rembesan air mata di tubir matanya. Hatinya diseret kesal. Hiba yang teramat. Kalaulah arwah ibunya mellihat dia dalam keadaan yang begini……
“Tekanan darah Puan normal, baby pun sihat. So.. tengah hari nanti Puan boleh keluar. Suami Puan belum datang lagi?” lembut suara Doktor Irdina, membuatkan Nurin Ardini tersedar. Suami??????????? Ruang hatinya terus menjadi kosong bila perkataan itu disebut. Suami???????? Relung-relung hatinya luka lagi……luka yang tidak nampak darahnya. Luka yang hanya ada sakit dan perit. Luka yang tidak mungkin akan sembuh sampai bila-bila.
“Suami Puan tak ada di sini?” ayat tanya itu menyapa lagi cuping telinganya. Mereka berpandangan seketika. Doktor Irdina mengerutkan dahi. Keliru memikirkan makna diam ibu muda dihadapannya itu. Sejak nama Nurin Ardini didaftarkan untuk ditempatkan di wad bersalin, dia tidak nampak pun kelibat seorang lelaki yang layak digelar sebagai suami wanita muda ini.
“Puan?”
Nurin Ardini menundukkan wajahnya. Terasa tebal kulit pipinya. Malu untuk berterus terang pada doktor cantik yang masih berdiri di tepi katilnya.
“Sekejap lagi keluarga saya datang. Saya dah boleh balik, kan doktor?”
Doktor Irdina mengangguk sambil tersenyum. Mengerti bahawa Nurin Ardini sedang menyembunyikan sesuatu. Namun siapalah dia untuk terusan mendesak walaupun teringin benar rasa hatinya mengetahui mengapa raut wajah Nurin Ardini bersalut sendu tatkala soal suami dibangkitkan. Perasaannya disapa simpati buat Nurin Ardini. Baru berusia Sembilan belas tahun sudah bergelar ibu. Terlalu muda untuk memikul tanggunjawab rumahtangga yang padanya terlalu banyak menuntut pengorbanan dari seorang wanita.
Doktor Irdina berlalu ke katil yang seterusnya setelah menitipkan beberapa nasihat buat Nurin Ardini. Pandangan Nurin Ardini kembali jatuh pada bayi disebelahnya. Matanya yang terpejam rapat, bibirnya yang comel kemerahan dan keningnya yang halus terbentuk, benar-benar menyentuh tangkai hatinya. Dan bila pandangannya jatuh pada hidung yang terukir indah menghiasi wajah putih bersih itu, dia teringat kembali pada seraut wajah. Menghantar seluruh ruang ingatannya pada lelaki yang telah mengubah hampir tiga ratus enam puluh darjah arah kehidupannya. Kalaulah tangkai hatinya boleh patah, sudah lama ia terputus…..tanggal dan gugur dari tangkainya.
“Hoi…..mengelamun je…” Nurin Ardini tersentak dengan suara yang tiba-tiba menyergah cuping telinganya.
“Mana ada. Kau baru sampai ke? Dah tak reti bagi salam…..main sergah je. Ibu mana?”
“Hehehe…Ibu ada dengan Doktor Irdina kat sana tu. Kau termenungkan apa?? Aku tengok kusut je muka kau ni” Iffa Alwani menatap wajah sahabatnya lama. Garis-garis luka kian terserlah diwajah kusam Nurin Ardini. Kesian sahabatnya yang seorang ini.
“Kau okey tak ni?.....Sekejap lagi boleh discharge kan?” khuatir Iffa Alwani bila melihat Nurin Ardini lebih banyak diam. Diam Nurin Ardini bermakna dia sedang memendam rasa. Memendam rasa seorang diri memang tidak baik untuk Nurin Ardini dalam keadaan dia yang sebegini. Menurut ibunya tadi, hati dan perasaan orang yang dalam pantang bersalin sensitif dan cepat terasa.
“Aku okey la. Dah tak sabar nak balik rumah. Kau ingat enjoy ke duduk kat sini. Seksa tau nak turun naik katil ni” tutur Nurin Ardini cuba menyembunyikan duka.
“Aku cuba untuk percaya kata-kata kau. Apa pun, aku harap kau jangan tunjukkan muka kusut kau tu kat depan ibu. Nanti dia risau. Tak pasal-pasal darah tinggi dia naik. Kita jugak yang susah nanti” pinta Iffa Alwani perlahan.
“Aku memang dah banyak susahkan kau, Iffa. Susahkan ibu. Aku tak patut libatkan kau dalam masalah aku. Tapi aku tak ada sapa-sapa, Iffa. Aku cuma ada kau, ada ibu. Kalaulah mama aku masih hidup, tentu dia kecewa dengan aku, Iffa” Nurin Ardini kembali sebak. Mengepung rasa rindu yang tidak pernah padam pada arwah ibunya, membuatkan jiwanya longlai tiba-tiba.
“Syyyy…..dahlah. Jangan layan sangat perasaan sedih. Kau kan dalam pantang, tak elok tau. Aku tetap ada untuk kau, Dini. Aku tak peduli apa orang lain kata tentang kau, aku tetap percaya kau sahabat yang terbaik buat aku. Aku tak akan biarkan kau seorang diri membesarkan baby ini, Dini. Kita jaga dia sama-sama, ye” janji Iffa Alwani ikhlas.
Nurin Ardini kian terharu mendengar kata-kata Iffa Alwani. Terharu kerana masih ada seorang sahabat yang tetap sudi bersamanya. Biar dalam susah mahupun dalam senang. Sanggup menerima dia walau dalam apapun keadaannya.
“Terima kasih, Iffa” mereka berpelukan erat.
“Ada drama apa pulak kat sini? Ada adegan peluk-peluk pulak tu” usik Ibu
Rasyidah yang baru sampai. Bahagia benar hatinya melihat keakraban dua anak gadis dihadapannya. Ikatan perasaan mereka mengalahkan saudara seibu seayah. Nurin Ardini pantas mengambil tangan Ibu Rasyidah lalu dikucup lama.
“Terima kasih ibu” tuturnya perlahan. Ibu Rasyida duduk disisinya lalu memeluk erat bahunya.
“Sama-sama. Tahniah sebab selamat melahirkan baby yang cute ni. Maknanya ibu dah jadi nenek lah ye” Ibu Rasyidah mengangkat bayi yang masih dalam ikatan kain bedungnya. Wajah mulus yang putih bersih itu ditatap lama. Ada rasa bahagia di kotak hatinya walau tidak dapat dinafikan, sebahagian hatinya menyimpan rasa simpati dan kesal yang tidak berkesudahan.
“Iffa, kemas barang-barang Dini. Kita dah boleh keluar sekarang. Dini turun katil perlahan-lahan ye. Jaga-jaga kaki tu” Ibu Rasyidah meletak bayi Nurin Ardini. Dia turut membantu Nurin Ardini turun dari katil.
Sejam kemudian mereka selamat sampai di rumah. Di rumah teres dua tingkat itulah tempat Nurin Ardini berteduh sejak dia kehilangan segala-galanya. Memang nasibnya masih dikira beruntung jika dibandingkan dengan gadis-gadis yang senasib dengannya. Kalaulah tidak ada Iffa Alwani dan Ibu Rasyidah, pasti hidupnya musnah sama sekali. Mungkin terus terbiar di lorong-lorong sepi tanpa ada yang sudi mengutip.
“Dini duduk di bilik bawah saja ye. Ibu dah kemaskan bilik itu pagi tadi. Orang dalam pantang tidak boleh banyak bergerak, apatah lagi turun naik tangga. Boleh kan?” tanya Ibu Rasyidah sambil memandang wajah bersih dihadapannya. Nurin Ardini semakin banyak diam. Menjadi lebih pendiam dari hari-hari sebelumnya.
“Dini tak kisah, ibu. Kat mana-mana pun Dini tak kisah. Asalkan ibu dan Iffa ada dekat dengan Dini” emosi Nurin Ardini hiba tiba-tiba. Juring matanya terasa hangat. Keikhlasan dua beranak yang sanggup menerima segala kepayahannya, sunguh-sungguh menyentuh hati.
“Kami sentiasa ada dengan kau, Dini. Kami dah anggap kau macam keluarga kami sendiri. Kita hadapi semua ini sama-sama” Iffa Alwani memeluk bahu Nurin Ardini erat.
“Terima kasih Iffa…..terima kasih Ibu…” luah Nurin Ardini terharu.
“Dah, jom berehat dalam bilik. Dini kena banyak berehat. Pulihkan semula tenaga yang dah hilang tu. Ibu nak ke dapur jerang nasi” Ibu Rasyidah beredar ke dapur. Sementara Iffa Alwani dan Nurin Ardini berlalu masuk ke bilik.
“Kau kena banyak rehat, Dini. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Nanti kita sama-sama cari nama untuk baby boy yang cute ni ye” ujar Iffa Alwani sambil meletak bayi yang sedari tadi dalam dukungannya ke katil bayi yang diletakkan di sudut bilik. Nurin Ardini duduk di birai katil. Kedua belah kakinya terasa lenguh. Sengal seluruh tubuhnya belum surut lagi.
“Macam mana kita nak daftarkan nama dia Iffa, sedangkan surat nikah pun aku tak ada” luah Nurin Ardini tiba-tiba. Lama mereka berpandangan. Masalah itulah yang selama ini membebani fikiran Nurin Ardini. Apa butiran yang harus diisi dalam ruangan maklumat bapa dalam sijil kelahiran anaknya itu nanti.
“Kau tetap tak mahu beritahu dia? Dia ada hak, Dini. Anak ini pun ada hak. Kita perlu beritahu dia” pujuk Iffa Alwani lembut.
Nurin Ardini menekur lantai. Perdu hati diserbu pilu. Hak??? Hak apa yang mahu dituntut dari lelaki itu??? Sekali dia diusir, tidak mungkin dia akan memunculkan diri lagi. Tidak untuk seumur hidupnya. Biar segala-galanya berkubur walaupun limpahan kasih sayang di rumah mewah itu seringkali mengamit ruang sepinya. Rasa rindu hanya mampu terkurung dalam bingkai pilu. Memang benar, bila kita rindu yang sangat dalam, barulah kita tahu seberapa besar makna dan erti seseorang itu bagi kita. Nurin Ardini hanya mampu menyimpan rindu….pada Umi dan pada Abinya.
“Dini?”
“Dia tidak pernah mahukan hak itu, Iffa. Dia sengaja perangkap aku. Atas dasar apa???...Aku sendiri pun tak tahu”
“Mungkin dia akan ubah fikiran bila nampak anak ini? Mungkin hatinya akan lembut. Kita beritahu dia ye” pujuk Iffa Alwani lagi.
“Mungkin??? Mungkin Iffa? Aku tak sanggup maruah aku tercalar lagi dengan apa pun kemungkinan. Kalau dia dengan mudah menghancurkan hidup aku, aku sejuta kali tak ingin berdepan dengan dia lagi. Aku tidak ingin jumpa dengan dia lagi sepanjang usia aku”
“Dah tu, macam mana nak daftarkan kelahiran bayi kau ni?? Kau sanggup tengok butiran ‘maklumat bapa tidak diperolehi’ dalam ruang maklumat bapa dalam sijil kelahiran anak kau, Dini?”
Nurin Ardini merenung wajah bayinya lama. Rasa pilu bersatu dengan rasa simpati terhadap bayinya sendiri.
“Aku buntu, Iffa”
“Kau tergamak biarkan anak kau dianggap anak tidak sah taraf sedangkan dia ada bapa yang sah, Dini?” pertanyaan Iffa Alwani yang agak keras merentap hati Nurin Ardini. Jiwanya tersagat lagi. ‘Anak tidak sah taraf”? …… dia meraup wajahnya berkali-kali. Rasa ngilu dihatinya lebih pedih dari rasa sakit melahirkan semalam.
“Dahlah…..kau rehat dulu. Kita bincang lain kali. Kita ada masa sebulan untuk membuat keputusan tentang hal ini. Apapun keputusan yang bakal kau ambil nanti, kau kena fikir tentang kebajikan anak kau, Dini. Bayi ini tak bersalah. Aku keluar dulu ye. Nanti aku bawak makanan untuk kau”
“Tak payah layan aku macam ni, Iffa. Aku boleh makan kat dapur je nanti”
“Mana boleh! Kau baru bersalin dua hari tau. Tak boleh banyak bergerak. Bentan nanti, kau jugak yang susah. Lagipun, kita masih muda. Banyak lagi perkara yang hendak kita buat. Kalau kau tak jaga diri kau sendiri, siapa lagi yang kau harapkan?”
“Baiklah cik doktor tak bertauliah. Saya ikut je kata doktor, ye” jawab Nurin Ardini dalam gurauan. Malas dia hendak mendengar leteran sahabatnya itu. Kalau dibantah, lagi panjang leterannya nanti. Bernanah telinganya nanti.
Iffa Alwani berlalu. Meninggalkan Nurin Ardini sendiri merenung masa. Terasa pantasnya masa berlalu. Seolah baru semalam semua rentetan itu berlaku. Terkenang saat-saat akhir dia di rumah mewah Datuk Mazlan. Masih terbayang wajah luka arwah ibunya, Fatimah, saat peristiwa hitam itu singgah di celah-celah hidupnya. Ampunkan Dini, ibu……….rintih hatinya berkali-kali. Dini tak salah…..
“Kenapa Dini sanggup buat ibu macam ni?? Dini tak kesiankan ibu ke?” suara arwah ibunya masih terdengar-dengar di deria dengarnya. Menghiris luka hatinya hingga ke relung yang paling dalam.
“Dini tak salah ibu. Dini tak buat apa-apa. Percayalah cakap Dini, ibu”
“Macam mana ibu nak percaya Dini? Semua orang dalam rumah ini nampak apa yang Dini dan Rifqi buat. Sampai hati Dini buat ibu macam ni. Dini sedar tak kita hanya menumpang dalam rumah besar ini. Sampai hati Dini lukakan hati Umi….hati Abi…..” Puan Fatimah bersuara lirih. Sesal datang bertimpa-timpa. Kalaulah dia tahu musibah ini akan berlaku, pasti tidak akan ditinggalkan Nurin Ardini seorang diri di rumah tadi. Pasti akan dibawanya Nurin Ardini.
“Ampunkan Dini, ibu…..” Nurin Ardini memeluk ibunya erat. Rasa kesal dan marah menunjal-nunjal kotak hatinya. Kalau diikut rasa hatinya, mahu sahaja lelaki itu ditampar dan diterajang dengan segenap rasa.
“Ibu tak boleh kata apa lagi, Dini. Esok lepas Zohor, Dini kena nikah dengan Rifqi. Abi sedang menguruskan semuanya. Dini dah hampakan ibu, hampakan Umi….dan semua orang yang sayangkan Dini. Puas hati Dini kan???” tempelak ibunya lagi.
“Ya Allah ibu…tolonglah Dini, ibu. Dini tak mahu nikah dengan dia…..dengan sesiapa pun. Dini nak belajar lagi ibu…..” meraung Nurin Ardini dengan keputusan Datuk Mazlan, lelaki yang dipanggil Abi olehnya.
“Ibu tak boleh buat apa. Ini keputusan Datuk dan Datin. Muktamad!”
“Ibu……ibu tolonglah pujuk Umi dan Abi. Dini tak mahu ibu. Tolonglah Dini ibu….” rayu Nurin Ardini dalam esak tangisnya.
“Ibu dah cukup malu dengan apa yang terjadi. Ibu kecewa sangat…..Dini keluarlah dari bilik ibu ini. Tinggalkan ibu sendiri” Puan Fatimah naik ke atas katil. Membaringkan tubuhnya lalu menutup tubuhnya dengan kain selimut. Nurin Ardini tiada pilihan. Melangkah keluar meninggalkan ibunya yang sudah tidak mahu memandang wajahnya lagi.
Tangisan bayi membuatkan Nurin Ardini kembali ke alam sedar. Dikesatnya sisa air mata yang masih berbekas dipipinya. Menangis macam mana sekalipun, apa yang pernah dimilikinya satu ketika dulu, tidak mungkin dapat diraih kembali. Merintih macam mana sekalipun, ibunya tidak akan hidup kembali.

3 comments:

  1. nice intro...hope dini daftarkan anak die..biarlah suami dini nak ckp ape sekalipun, jnji anak dini anak sah taraf...

    ReplyDelete