Dia sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa dia bukan Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim Alaihis-Salam. Siti Hajar yang menggambarkan keyakinan seorang isteri solehah kepada Allah Azza wa Jalla, tunduk akan perintahNYA dan tidak menjadi bingung walau tidak dihirau suami. Siti Hajar yang yakin bahawa Allah tidak akan membiarkannya seorang diri walau dia diletakkan di tempat yang tidak ada air. Dia tahu dia tidak sesabar Siti Hajar.
Dia bukan Siti Hajar.
Dia tidak sehebat itu.
“Perkahwinan merupakan bentuk hubungan rumah tangga yang paling agung, maka Islam melengkapinya dengan berbagai tanggungan, memberi hak kepada setiap pasangan. Jika kewajipan masing-masing terlaksana, pasti akan tercipta ketenangan dan kebahagiaan.”
Dia teringat pada pesan arwah ibunya sehari sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Terimbas semula wajah sayu arwah ibunya saat izin diberi.
“Kita tak ada sesiapa, ibu khuatir andai Adni dipersia.”
Wajah ibunya dipandang lama. Adni menarik nafas dalam-dalam.
“Insya-Allah Irfan Zaim tak akan persiakan Adni. Bukan sehari dua kami kenal.” Adni menanam yakin.
“Benar. Sudah bertahun kamu berkasih. Namun tidak sehari pun ibu Zaim restu akan hubungan kalian. Datin Kamalia tetap tak sudi bermenantukan Adni. Walau tinggi bergunung pun kasih Zaim pada Adni, ibu tetap bimbang.”
Adni kembali memeluk tubuhnya. Angin malam yang menampar terasa sejuk hingga ke tulang. Ibu.....bimbang ibu jadi nyata...bisiknya pada gelap malam. Tubir matanya terasa hangat tiba-tiba. Sungguh dia tidak punya sesiapa untuk mengadu. Ayah sudah lama pergi. Malah tidak sempat pun mewalikannya. Ibu pula.....menyusul arwah ayah selepas enam bulan dia sah menjadi isteri Zaim Irfan. Lantas pada siapa harus dia berkeluh resah? Pada siapa harus dia berkongsi rasa?
Zaim Irfan?? Suaminya itu????
Entah! Aduhai....isteri apakah dia sehingga suami di mana pun dia tidak tahu. Nafas berat dihambur keluar. Kasar sahaja bunyinya.
Dia bukan Siti Hajar
Dia tidak seyakin wanita hebat itu.
Malah untuk mencontohi kesabaran wanita agung itu pun serasa tidak mampu.
Segala-galanya bermula amat pantas dan sedikit sukar dikutip ingatan itu semula. Satu per satu. Seringkali dia bertanya pada diri, adakah dia sedang bermimpi atau sedang berenang di lautan hakikat?
Dia barangkali bermimpi jika masih tidur.
Namun bila sedar, hari-harinya mulai sepi. Tiada siapa hendak diajak bicara. Dan yang tinggal hanya ruang-ruang kosong. Rutin itu pula berulang-ulang. Bermula hari demi hari, kemudian berganjak ke minggu dan sehingga hari ini sudah makan berbulan lamanya....akhirnya dia sedar dia tidak bermimpi. Tidak pernah bermimpi pun.
Dia masih bernafas, masih bernyawa malah masih mampu berjalan di muka bumi.
Dia mesti meneruskan kehidupan.
“Adni janji dengan ibu..... tak akan rebah walau dipersia suatu hari nanti. Adni mesti seyakin Siti Hajar saat dia ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di tengah-tengah Kota Mekah yang kering kontang. Yakin bahawa Allah tidak akan melalaikan dan menyia-nyiakan Adni. Adni janji dengan ibu ya.” Jari-jemarinya ibu genggam erat.
Adni memejamkan mata erat-erat. Wajah arwah ibu terbayang lagi. Kata-kata arwah ibu dua minggu sebelum dia pergi kembali terngian-ngiang. Arwah ibu bagaikan sudah terhidu apa yang akan berlaku. Mata tua itu bagaikan dapat melihat ketidaksempurnaan rumah tangga yang dibinanya.
Benar ibu. Benar kata-kata ibu.
Bukan mudah mempertahankan kasih andai ada yang benci.
Sukar untuk meneruskan cinta andai ada yang tidak suka.
Jam tiga pagi. Dia terjaga dari tidur, berpeluh sekujur tubuh dan terasa lelah bagaikan baru menghabiskan larian seratus meter. Ada debaran kuat menghentak dinding dada. Dia beristighfar berkali-kali untuk menghapuskan ketakutan yang menceroboh diri. Agar istighfar itu dapat membuka hati dan melapangkan jiwa yang terasa sempit tiba-tiba.
Dia yakin dia sedang diusik syaitan. Wajah Zaim Irfan dan ibu mertuanya yang datang dan pergi sesuka hati itu hanya mainan tidur. Dia berkalih ke lambung kanan. Melihat kosong ruang itu, hati tersentuh pilu tiba-tiba.
Abang, Adni rindukan abang!
Dia menolak kain selimut. Bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Sepuluh minit kemudia dia sudah siap bertelekung....mengangkat takbir. Mahu menyerah diri hanya kepada Allah. Resah gelisah jiwa, hanya solat penawar terbaik. Hanya itu yang mampu dia lakukan.
************
“Abang tidur mana malam tadi?” soalnya.
Zaim Irfan memandang wajah isterinya. Dipandang lama. Serasa sudah lama dia tidak menatap wajah itu. Ya....ada rindu yang berdesir. Rindu yang tidak mungkin pernah padam. Rindu yang hanya untuk Adni. Perlahan dia menapak menghampiri isterinya yang sedang menuang air Nescafe ke dalam cawam. Sejurus kemudian sebuah kucupan jatuh di dahi isterinya. Lama bibirnya mendarat di situ.
Adni nanar seketika. Keliru! Jiwa kian keliru. Ada waktu Zaim Irfan hangat seperti dulu. Namun ada ketika suaminya itu bagai hanyut dibuai resah. Apa sebenarnya??
“Adni tunggu abang malam tadi?” soalnya setelah duduk di kerusi.
Mata mereka bersatu seketika sebelum Zaim Irfan membuang pandang menekur meja.
Adni yang masih ingin menatap sinar mata suaminya terpaksa akur. Rindu yang sudah lama berkampung di dada belum pun terlerai sepenuhnya. Ah, aku juga rindu ditatapmu suami!
“Mama sihat?”
Zaim Irfan mengangkat kepala semula. Soalan Adni menjentik hatinya.
“Adni tahu abang tidur rumah mama?”
Adni mengangguk. Wajah resah suaminya dipandang segenap rasa. Tidak berkurang sedikit pun rasa sayang dan kasih buat lelaki bernama Zaim Irfan ini. Rasa kasih sayang yang mewujudkan ketenangan jiwa. Memandang wajah suaminya sahaja sudah mampu mengenyahkan kesusahan, turut mententeramkan hati dan berupaya menyingkirkan rasa bosan yang kadang-kadang datang. Cukup dengan hanya memandang wajahnya.
“Abang minta maaf.” Pinta Zaim Irfan perlahan.
“Jangan cakap macam tu. Abang tak pernah salah pada Adni. Adni bahagia dengan abang.”
Cinta kita hanya ada bahagia, abang!
Dada Zaim Irfan sebak mendengar kata balas isterinya. Wajah putih bersih itu dipandang lagi. Rasa kasihnya tidak pernah menyusut. Malah kian bertambah setiap hari berganjak. Allah sedang menguji kita, Adni.....bisik hatinya lirih. Adni bahagia dengan abang.... jiwanya terus dibungkus sebak. Ya, cinta kita hanya ada bahagia, Adni!
“Mama sihat?” soal Adni sekali lagi.
Ada keluh di bibir Zaim. Lama dia tunduk merenung meja. Ada perbalahan di kotak fikir. Bukan dia tidak mahu berbuat baik dengan mama. Dia mahu sesungguhnya. Tapi kata dua yang mama beri...di luar kemampuannya untuk memilih. Menduakan Adni??? Sunguh, hatinya tidak mampu!
“Abang....”
Berjeda mereka beberapa saat. Seketika masing-masing bagaikan melayan perasaan. Resah mereka berpunca hanya satu. Mama Zaim Irfan! Ibu mertua Adni!
“Maafkan abang kalau Adni rasa terpinggir.” Lemah lontar suaranya.
“Adni faham. Abang kan belahan jiwa mama dan arwah papa. Papa pun baru saja meninggal. Memang wajar abang selalu temankan mama.” Sejujurnya begitu. Cuba mengusir semua prasangka. Menanam sangka baik sebagai pagar di dinding hatinya. Meminggir jauh-jauh rasa terbuang.
“Andai sampai masa nanti abang tak mampu mempertahankan Adni, kita berserah pada Allah.”
Adni terpanar. Mimpi menjelang subuh tadi datang semula. Apakah mimpi itu mahu memberi petunjuk? Agar dia mampu mempersiap siagakan perisai jiwa. Supaya dia tidak rebah andai ada ujian yang menduga.
“Adni tetap isteri abang yang terbaik. Sampai bila-bila tetap kekal begitu. Tak mungkin ada yang mampu merubah perasaan abang terhadap Adni. Tapi syurga abang tetap ada dengan mama.” Ada sebak yang memberat di hujung suara Zaim.
Adni turut dibungkus sebak. Pantas dia berpindah duduk di sini Zaim. Digenggam erat jari jemari sasa suaminya. Dia ingin mencontohi Ummul Mukminin Saidatina Khadijah Khuwailid, yang sentiasa tenang dan menenangkan jiwa Rasulullah SAW dikala sedih dan gelisah.
“Adni faham. Abang jangan bantah cakap mama. Ikut saja cakap mama. Adni tak nak abang jauh dari bau syurga. Adni tetap ada dengan abang selagi abang perlu Adni.” Pujuk Adni lembut.
Berjeda lagi. Mereka berpandangan lagi. Duhai isteri....tahukah kau apa pintanya mama? Tubir mata hangat tiba-tiba. Semakin nanar jiwa Adni melihat mata Zaim yang mulai berkaca.
Cinta umpama sehelai sutera
Lembut dalam genggaman
Kian menghalus mengakar sukma
*******
“Adni? Kenapa baru sampai?”
Tersentak Adni. Bubar resahnya. Tanpa menoleh, dengan hanya mendengar derap langkah yang semakin mendekat, dia sudah tahu siapa yang empunya suara. Dia tersenyum. Tetap mahu menyembunyikan muram di mata, yang mungkin boleh terzahir dari pancar sinar mata.
“Zaim tahu kamu datang?”
Adni menggeleng. Sudah dipinta agar kedatangannya dirahsiakan, maka itulah yang dilakukan. Walau dia tahu langkahnya berdosa tanpa izin Sang Suami. Adni keras berdiri. Kaku. Serba kekok. Huluran tangannya pun tidak disambut. Jijik benar wanita itu memandangnya.
“Mama apa khabar?” canggung sungguh suaranya. Terlihat cebikan di hujung bibir ibu mertuanya. Hati....bersabarlah. Orang yang sabar menjadi kesayangan Allah.
“Kau tahu kenapa aku suruh kau datang ke mari?” Angkuh benar intonasi suaranya.
“Tak tahu mama. Mama nak suruh Adni buat apa?”
“Hei, panggil aku Datin Kamalia! Dah berapa kali aku ingatkan kau. Jangan bermama-mama dengan aku. Kau tak layak!” Kasar sungguh bahasanya.
Sabar....
Dia perlu mencontohi kesabaran Siti Hajar.
Dia tiada pilihan...
Inilah sebahagian ujian yang perlu dihadapi bila cinta yang dipilih.
Ingat....cinta itu hanya ada bahagia!
“Baik datin.....andai itu dapat memudahkan keadaan. Buat datin gembira.” Tidak ada gunanya membantah. Sementelah diri memang tidak pernah mendapat tempat di hati.
“Bagus. Aku nak kau izinkan Zaim bernikah satu lagi. Dengan wanita pilihan aku. Dari keturunan baik-baik dan sama taraf dengan kami.”
Wahai Allah...pinjamkan aku kekuatan untuk terus berdiri.
Pedih.
Dia sangat terluka sebenarnya.
Sejenak dia menenangkan diri. Tiada sudahnya dia membantah. Dia harus terima segalanya dengan reda. Bukankah itu yang dituntut oleh Allah? Disuruh Rasulullah? Dia mesti terima seadaanya. Reda dan penuh kepasrahan? Bukankah arwah ibu pernah menitip pesan. Perlu setabah Siti Hajar andai sampai saat ditinggal dipertengahan jalan. Perlu cekal andai tetap memilih cinta tanpa restu.
“Abang setuju?” soalnya perlahan.
“Wajib setuju. Ini perintah ibunya. Aku sudah beralah dengan memberi izin untuk dia bernikah dengan kau. Kali ini dia wajib mengikut perintah aku. Lagipun...kau tak mampu bagi apa-apa pun pada dia.”
Sekali lagi dia ditampar luka. Jiwa wanitanya terasa bagai disiat-siat. Terhiris pilu. Usia perkahwinan mereka baru mencecah usia setahun. Masih terlalu awal untuk menghukum ‘tidak mampu bagi apa-apa pun pada dia’.
“Terpulang pada abang. Saya ikut apa saja keputusannya.”
“Aku tak mintak dia ceraikan kau pun dah cukup bagus.”
“Terpulang juga pada abang. Cinta saya pada dia bukan untuk mengheret dia ke pentas derita. Kasih saya pada dia bukan untuk melihat dia hidup dalam keadaan serba salah. Saya cuma nak dia bahagia.”
Seusai berkata, dia melangkah pergi. Pecah juga empangan matanya bila kereta menyusur keluar dari rumah agam yang tersergam indah itu. Benar dia tidak setaraf dengan mereka. Dia hanyalah berasal dari rumah teres yang serba sederhana.
******
Dia menyeluruhi ruang kamar yang terasa dingin. Kamar kasih terasa mententeramkan. Di dinding, matanya terpaku pada ayat kerusi yang bertekat benang emas dalam frame ringkas juga berwarna keemasan.
“Kamar kasih buat kita selamanya. Khusus untuk isteri abang yang setia dan cantik ni.” Suara Zaim tiba-tiba menghampir. Sudah berkali ayat itu diulang. Mengambil tempat di sisi isterinya. Wajah manis dengan sinar mata suram itu ditatap.
“Kenapa pandang macam tu?”
“Rindu untuk menatap wajah bak bidadari syurga. Tapi kenapa ada mendung yang bertandang?”
Adni menarik nafas. Hati disagat ngilu. Aku juga rindu ditatapmu!
“Rasa kosong bila kita saling menghindar. Rasa pedih bila abang nampak sinar mata Adni mulai suram. Abang rindu pada tatapan kita yang hangat, yang membuai-buai perasaan abang.”
Diam. Khali sejenak.
Ada sesuatu yang mengganggu akal fikirnya sejak seminggu selepas dia pergi ke rumah agam itu. Memang benar sudah hampir seminggu dia menghindar. Mahu mencari diri. Juga benar sudah hampir seminggu dia mengelak dari ditatap Zaim. Bimbang andai hati tidak rela melepas lelaki itu pergi.
“Adni tunggu abang serahkan borang untuk Adni tandatangan.”
Zaim nanar. Hampir putus tangkai jantungnya.
“Adni.....”
“Adni ada jumpa mama.”
“Mama panggil Adni? Apa mama cakap?”
Adni mendekati jendela. Pagi masih dini. Dedaun masih dibasahi embun. Dia mendongak merenung langit yang nampak tenang. Namun mengapa hatinya terusan berkocak? Mengapa tidak mampu setenang langit?
“Abang ikutlah kehendak ibu. Adni tak apa-apa.” Lirih suaranya.
Zaim mendekat. Belakang Adni dipandang. Sakit! Dinding-dinding hati bagaikan berdarah luka.
“Saya teringin nak jumpa wanita itu. Teringin nak berkenalan dengan wanita yang menjadi pilihan mama. Tentu dia sehebat Saidatina Khadijah binti Khuwailid.” Bibir digigit kuat. Agar mampu menghalang duka dari terhambur keluar. Dia mahu setabah Siti Hajar! Reda apa adanya.
“Jangan buat abang macam ni Adni. Abang tak mampu. Seluruh ruang dalam jiwa abang hanya ada Adni. Mustahil ada wanita lain. Adnilah yang sehebat Khadijah. Yang tahu Rabb-nya, taat pada abang malah sentiasa ingin menjaga kebahagiaan kita.”
Adni berpaling. Menghadap wajah rusuh suaminya. Simpati sungguh rasa hati. Wajah yang selalu kacak dan memikat hati bagai sudah seperti daun layu tanpa baja lewat kebelakangan ini. Ngilunya hati melihat wajah kesayangan begitu.
“Syurga abang ada pada mama. Adni tak nak ada apa-apa terjadi pada abang. Dua bulan kebelakangan ini rumahtangga kita sentiasa suram. Abang perasan tak? Siapa tahu kalau abang ikut kemahuan mama, cahaya dalam rumah kita kembali bersinar. Abang membantah pun, jiwa kita tak akan pernah aman.”
“Adni tak sayang abang lagi? Sehingga sanggup menyerahkan abang pada orang lain. Apa Adni dah jemu mengasihi abang?”
Luruh hatinya mendengar kata-kata Zaim. Adni tak akan pernah berhenti mengasihi abang. Zaim lelaki yang baik. Hampir sempurna sebagai seorang suami. Apa salahnya dia berkorban sedikit agar lelaki kesayangannya ini terus dijanjikan Syurga Firdaus.
“Jangan pertikai kasih sayang Adni pada abang. Tapi abang juga pernah kata, dalam setiap sesuatu yang kita miliki, ada hak orang lain di situ. Setiap rezeki datang bersama tanggungjawab. Jadi kita mesti pulangkan semula kepada yang berhak.”
“Apa akan jadi pada kita Adni. Pada cinta kita?”
“Tak ada apa-apa yang akan berubah. Adni akan tetap menjadi isteri abang selagi abang mahu. Cinta Adni pada abang tetap menyala selagi matahari muncul dengan sinarnya.”
“Adni tak akan sisihkan abang nanti?”
Adni mengerutkan dahi. Sepatutnya dia yang merasa begitu. Bimbang bakal tersisih bila Zaim sudah mendapat yang baru.
“Abang sudah berjumpa dengan seorang Khadijah untuk diri sendiri. Hati abang tidak mahu pada yang lain. abang bimbang tidak mampu melunaskan tanggungjawab..... Memberi dia hak sebagai seorang isteri.” Terus terang Zaim membuatkan Adni sedikit tersentak.
Angin menderu tiba-tiba. Terasa perit di kulit pipi. Angin kasar yang datang seolah-olah menyindir dirinya......terlalu ghairah mimpikan payung emas sedang jiwa suami yang terdera tidak diambil kira. Ya Allah.....di landasan manakah aku ini?
******
“Adni cantik dalam warna hijau ni.” Puji-pujian Zaim masih segar dalam ingatan. Gambar mereka dalam hijau sedondon itu dibesarkan dan dibingkai cantik, digantung elok di tengah-tengah ruang tamu rumah mereka. Sedari tadi matanya terpaku di bingkai gambar itu. Manis dalam aura bahagia.
Argh, lagi-lagi Zaim yang diingat!
Mungkin suaminya itu sudah usai melafaz akad untuk kali kedua. Ijab dan Kabul bersama wanita lain pula. Apakah Zaim turut memuji dengan puji-pujian yang pernah dibisikkan di telinganya. Ada semilir desir jahat di perdu hati. Namun wanita mana yang tidak diusik cemburu? Wanita mana tidak disimbah iri? Isteri-isteri Rasulullah yang dijanjikan syurga pun pernah menyimpan cemburu pada Saidatina Aisyah.....inikan pula dia yang hanya insan biasa.
Ada ketukan di daun pintu. Siapa pula?? Mustahil Zaim balik ke rumah ini. Bukankah ini malam pertama mereka? Bibir bawahnya digigit kuat sehingga terasa perit. Ada rasa ngilu yang tidak mampu diterjemah dengan kata-kata.
Menapak juga ke pintu. Sebaik pintu di buka.....tergamam dia tanpa kata. Wajah pasangan yang berdiri rapat di muka pintu, dipandang dengan mata berkaca. Bohong andai hati tidak tersagat luka.
“Boleh abang masuk?” suara Zaim jauh dikerongkong. Tatapan mata sedikitpun tidak dialih dari wajah Adni.
Adni berganjak ke sisi. Memberi ruang untuk mereka melintasi pintu.
“Kenalkan ini Hanan. Hanan..... ini Adni.” Sukar situasinya. Wajah keduanya dipandang silih berganti. Keduanya bergelar isteri dengan darjat yang berbeza di teratak hati.
Mereka bertukar senyum. Hanan menghulur tangan, disambut hangat oleh Adni. Ini isteri suami kebanggaannya. Harus diterima dengan wajar. Hanan....yang bermaksud rezeki atau barkah. Pasti Allah mengutus Hanan dalam hidup mereka untuk keberkatan yang lebih. Tidak ditakdirkan sesuatu andai tiada kebaikan disebaliknya.
Hanan terpana melihat senyum Adni. Inilah wajah kesayangan sang suami yang baru menikahinya beberapa jam yang lalu. Wajah teduh dan manis. Patutlah Zaim Irfan bahagia walau tiada restu dari Mama. Wajah seteduh itu, ditambah tingkah sesejuk embun di dini pagi...pasti sahaja mampu menyimbah tenteram dalam hati yang gelisah.
Hanan menarik Adni ke dalam pelukannya. Di dakap erat-erat tubuh langsing itu. Sejurus kemudian terdengar esak kecil. Kian lama kian memberat.
Adni terkesima.
Zaim tersentak kecil.
Tubuh kurus Hanan, Adni pimpin ke sofa.
“Kenapa Hanan?” soalnya keliru. Mengapa perlu menitiskan air mata di malam pengantin?
“Maafkan Hanan. Hanan pinjam suami Adni sekejap. Sekejap saja tapi pasti tetap meninggalkan kesan luka yang dalam. Di hati Adni juga abang Zaim. Hanan minta maaf abang. Hanan pentingkan diri sendiri.” Suara Hanan tenggelam timbul.
Adni terpinga-pinga. Kenapa keadaan menjadi terbalik? Sepatutnya dialah yang menggonggoi hiba bila kasih suami terpaksa berbagi dengan orang lain. Sepatutnya Hanan disimbah bahagia. Adni memberi isyarat mata agar Zaim duduk dan memujuk tenang pada Hanan, isteri yang baru dinikahinya.
Zaim resah. Kaku seluruh urat sarafnya. Bagaimana mahu dipujuk Hanan? Dia bagai hilang kemahiran untuk memujuk wanita jika wanita itu bukan Adni, wanita pertama yang mengusik debar jiwa lelakinya.
“Kenapa bawak Hanan balik sini? Inikan malam abang dan dia. Kenapa sampai hati abang lukakan hatinya?” soal Adni dalam nada berbisik.
“Hanan.....maafkan saya kalau awak tak selesa dengan keadaan kita.” Zaim duduk di sisi Hanan. Namun tangannya tetap kaku untuk menyentuh tubuh wanita itu.
“Jangan minta maaf pada Hanan. Hanan yang minta dibawa ke mari. Hanan yang mahu berjumpa dengan jiwa hati abang. Adni memang syurga untuk abang. Hanan tak nampak bahagia di mata abang bila Adni tak ada di depan abang.”
Adni dipasung hairan.
Ada apa dengan Hanan sebenarnya? Wanita pilihan mama untuk suaminya ini kelihatan terseksa. Ada sengsara yang terzahir dari lirih suaranya. Bahu Hanan disentuh lembut.
“Hanan boleh kongsi dengan saya apa yang ada dalam hati Hanan. Hanan boleh anggap saya kawan Hanan kalau Hanan mahu.” Sejujurnya itulah. Tersentuh hatinya melihat keadaan wanita yang sepatutnya bahagia di hari penikahannya ini.
“Hanan kecik hati dengan abang ya?” soal Zaim pula. Dia kekok sesungguhnya. Terlalu sedikit komunikasi antara mereka sejak mereka diperkenalkan oleh keluarga.
“Hanan setuju untuk bernikah dengan abang sebab Hanan tahu hidup Hanan tak panjang. Bila-bila masa Hanan akan pergi abang...Adni. Hanan mahu pergi sebagai seorang isteri agar nanti ada yang sudi sedekahkan Al-Fatihah buat Hanan.”
Masa berjeda.
Sepi mengisi ruang.
Hati Zaim bagai ditekan-tekan.
Adni cuba mengerti rasa hati.
“Hanan ada barah otak. Sedar pun bila sudah sampai peringkat kritikal. Ini pun sudah melebihi tempoh yang doktor beri. Hanan terima abang untuk puaskan hati mama sebab sejak dulu lagi memang mama mahu Hanan jadi menantu mama. Hanan tahu abang bahagia dengan Adni. Kalau boleh Hanan tak mahu mama ganggu lagi bahagia abang. Hanan juga harap dengan sedikit pertolongan Hanan ini, abang kekal dalam reda seorang ibu. Adni, Hanan cuma pinjam abang. Mungkin untuk sehari, mungkin seminggu atau mungkin juga sebulan. Hanan tak akan meminta cinta dari abang.”
Pecah empangan air mata Adni. Berjurai jatuh membasahi pipi. Tubuh Hanan didakap sekali lagi. Kali ini kian erat.
Subhanallah....Maha Suci Allah. Masih ada wanita yang hatinya seputih Hanan.
“Hanan isteri abang. Hanan berhak mendapat cinta abang.” Bisik Adni di telinga Hanan.
Dari belakang Hanan, Adni merenung anak mata Zaim. Melihat lelaki itu mengangguk, hatinya mengucap syukur. Lalu diserahnya Hanan ke dalam pelukkan Zaim. Kata Zaim.....dalam setiap sesuatu yang kita miliki, ada hak orang lain di situ. Pasti ada hak Adni dalam Zaim yang dia miliki.
********
Benar kata Hanan....dia hanya meminjam Zaim untuk seketika. Agar Zaim terlepas dari terusan menjadi anak yang tidak direda ibu sendiri. Selepas seminggu dia terlantar di hospital, dia dijemput Ilahi. Dijemput pergi dalam keadaan yang sempurna. Di saat dia masih lengkap bertelekung seusai menunaikan solat subuh, sempat dibisikkan syahadah di telinganya oleh Zaim, manakala jari jemari bertaut erat dalam genggaman Adni.
“Tahniah Adni. Insya-Allah bayi ini nanti akan melembutkan hati mama.” Luhur ucapan Hanan di hujung sembang mereka malam tadi.
Janji Allah itu pasti.....wanita yang baik pasti untuk lelaki yang baik. Lihat sahaja Hanan. Tinggi peribadinya, baik tutur pekertinya dan tetap reda dalam kepasrahannya. Memang telah dijanjikan Allah untuk Zaim yang hampir sempurna sebagai imam mereka berdua. Hati Adni dijentik insaf. Ada masa terasa kerdilnya diri. Ada waktu mengucap syukur atas hadirnya Hanan yang cuma seketika di celah-celah hidup mereka. Tidak dijadikan Allah sesuatu melainkan ada kebaikan disebaliknya. Alhamdulillah.....cinta mereka hanya ada bahagia.
Aidah Bakri
10 Mei 2012
9.27pm
No comments:
Post a Comment