Saturday, July 16, 2011

Bab 21


Seminggu berlalu.  Memang masa amat pantas meninggalkan jejak. Puas sudah dia cuba melupakan wanita itu. Namun hampa. Kewujudannya tetap utuh diperdu hatinya. Diusir keluar pun tidak berganjak. Tidak sedikit pun ingatan berganjak dari peristiwa tempoh hari. Semakin dicuba, semakin bertambah kuat ingatannnya. Semenjak hari itu, dia memang tidak pernah menghubungi wanita itu walaupun hatinya meronta-ronta ingin mengetahui keadaannya. Sihatkah dia?  Sudah berbaikkah dia dengan lelaki itu? Bagaikan terbayang-bayang wajah sendu itu di tubir matanya. Ternampak-nampak sinar mata yang basah itu dilayar retinanya. Tetapi akal warasnya tetap menghalang keinginannya yang satu itu. Keinginan untuk mendengar dan bertanya khabar tentang dirinya. Untuk apa diganggu tunang orang? Bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi! Apa yang mampu dilakukannya cumalah hanya menatap album keratan gambar yang telah disimpan sejak sekian lama. Melihat kenangan yang kian membekas dijiwanya.

Shahrul Riezman menyandarkan tubuhnya ke kerusi di pejabatnya. Kepalanya masih lagi berserabut. Pegang ini tidak kena, pegang itu salah. Seminggu sudah.....sepi dari khabar berita darinya, membuatkan dia nanar tidak menentu. Hatta hanya memerhati tingkah laku sahabatnya i sedari tadi. Dia sedar akan keresahan Shahrul Riezman seminggu kebelakangan ini. Entah apa yang membuatkan sahabatnya itu resah, dia sendiri tidak tahu puncanya. Selama ini  tidak pernah Shahrul Riezman  berkeadaan seperti ini.  Memang pelik sangatlah bila tiba-tiba Shahrul Riezman berubah perwatakan. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba Shahrul Riezman lebih banyak diam dari berkata.

“Kau ni kenapa, Man?” akhirnya keluar juga pertanyaan itu dari mulutnya.
Shahrul Riezman mengangkat kepalanya. Terlupa dia pada Hatta yang sudah hampir setengah jam duduk terconggok dihadapannya.
“Kenapa, apa?” dia pula bertanya selamba. Pura-pura menyemak fail pelanggan yang berada dihadapannya.
“Apa masalahnya  sampai kau hilang fokus untuk kerja?” soal Hatta lagi
“Masalah? Masalah apanya?” tanya Shahrul Riezman kembali. Sekilas sorotan pandangannya ditujukan pada Hatta.
“Kau tulah. Macam kucing hilang anak je aku tengok. Apa yang tak kena?”  Hatta tersengih.
“Mana ada. Kau ni suka ada-adakan cerita. Aku biasa je, mana ada masalah. Semua kerja aku tak ada sangkut pun” dalih Shahrul Riezman. Masakan mahu diluahkan apa yang dia rasa pada Hatta. Masakan mahu dikhabarkan bahawa selama ini dia mengejar-ngejar tunang orang.  Memalukan sahaja!
“Kau tu macam mana? Dua minggu lagikan majlisnya. Semuanya dah sedia? Dah cukup ilmu nak jadi suami orang?” Shahrul Riezman cuba mengalihkan topik perbualan. Bimbang juga dia sekiranya Hatta terus-terusan mencungkil rahsianya. Bila Hatta mula campur tangan, tambah pening kepalanya nanti.
“Beres!. Semuanya dah sedia. Kau jangan lupa pulak peranan kau jadi pengapit aku” Hatta bersuara ceria. Dua minggu lagi dia akan melangsungkan perkahwinannya dengan gadis pilihan hati, Hayati yang bekerja satu tempat dengan mereka.
“Hiesyy.... tak kan aku pulak! Carilah orang lain. Aku ni dah tak sesuai jadi pengapit. Duduk atas pelamin sesuailah” Hatta ketawa mendengar kata-kata itu. Sahabat yang merangkap ketuanya ini memang sudah boleh dikategorikan bujang telajak di pejabatnya. Umur sudah masuk keangka tigapuluhan tapi masih bujang. Entah apa yang tidak kena dengannya. Hendak dikata tidak kacak, hmmmm ....bolehlah tahan. Mustahil tiada yang tertawan melihat sinar mata yang menggoda itu.
“Kaulah, mana ada orang lain lagi. Tinggal kau sorang je yang bujang. Tak kan aku nak suruh Razak yang sudah beranak dua tu pulak”
“Apa salahnya. Boleh saja. Alah, tak payah nak pengapit bagai. Kau duduk je berdua dengan Yati kat atas pelamin tu. Masakan kau tak jadi kahwin kalau tak ada pengapit” usik Shahrul Riezman sambil ketawa kecil.
“Nak lagi cantik, aku cadangkan kau pujuklah Syuhada jadi pengapit Yati. Memang sesuai sangat tu.  Manalah tahu kena tempiasnya nanti, tak kempunan aku makan nasi minyak kau” usul Hatta tiba-tiba.

Kelu lidah Shahrul Riezman  bila tiba-tiba nama Syuhada terkeluar dari mulut Hatta. Memang cantik sangatlah cadangan kau tu, Hatta......hatinya geram tiba-tiba. Memujuk wanita yang telah menjadi tunang lelaki lain untuk bergandingan dengannya menjadi pengapit pengantin.......hilang akal ke? Wanita yang nampak sangat lembut perwatakannya itu, dalam diam telah membohonginya. Sehingga hari ini dia masih belum dapat menerima kenyataan bahawa Syuhada itu adalah tunangan orang.
“Diam tu tandanya setuju, ye” Hatta membuat kesimpulan bila dilihatnya Shahrul Riezman tidak memberi tindakbalas pada cadangannya tadi. Lama Shahrul Riezman memandang wajah sahabatnya yang tidak tahu apa-apa tentang dia dan Syuhada.
“Tak payahlah. Dia bukan kenal Yati pun” bantahnya. Tidak mungkin dia akan melakukan perkara sebodoh itu. Menjatuhkan maruah dan memalukan diri sendiri. Untuk apa merayu jika hati tidak sudi?
“Nanti kita kenalkanlah. Bukannya susah pun” Hatta masih tidak puas hati.
“Aku tak setuju dengan cadangan kau. Buat apa kita nak libatkan orang yang baru kita kenal. Ramai lagi orang lain yang sesuai jadi pengapit Yati tu” keras suara Shahrul Riezman bagaikan menghantar mesej tersembunyi pada Hatta. Hatinya kehilangan rentak bila perihal Syuhada diperkatakan. Memikirkannya sahaja sudah membuatkan dia celaru....apatah lagi disebut-sebut namanya. Tambah haru biru rasa hatinya.
“Kau ni kenapa? Gaduh dengan dia ke?” Hatta mencari riak pada wajah dihadapannya. Seminggu ini wajah itu memang jarang senyum. Hendak mendengar dia bergurau seperti selalu pun amat payah.
“Gaduh pasal apa?” sekali lagi Hatta menghantar tanya.
“Banyaklah kau punya gaduh. Kau dah dekat satu jam duduk melepak kat sini tau. Kat luar tu tak ada kerja ke?” halus sungguh cara dia menghalau Hatta agar keluar dari biliknya. Tidak  mahu diasak dengan perbualan yang bertopikkan wanita itu lagi. Kian sesak nafasnya. Kepalanya terasa berat tiba-tiba.
“Aduhh bos, janganlah melampau sangat!. Sekarang ni waktu makan tau. Kronik betul penyakit kau, sampai waktu makan pun kau tak rasa apa-apa.  Dari pagi tadi berkurung dalam bilik, kau tak lapar ke?” tanya Hatta lagi.
Shahrul Riezman memandang jam ditangannya. Hampir pukul dua petang. Waktu makan pun sudah tersasar. Entah mengapa kebelakangan ini, perutnya berubah irama....jarang meminta-minta untuk diisi. Kenyang memanjang. Melihat makanan yang terhidang pun nafsunya tiada untuk menjamah.
“Kau dah makan?” wajah Hatta dipandang.
“Dah. Pergilah makan, ada masa lagi ni” Hatta memandang jam ditangannya sekilas.
“Aku malaslah nak keluar. Lagipun kenyang lagi”
Hatta hanya menggelengkan kepala mendengar alasan tidak logik Shahrul Riezman. Sudah hampir pukul dua petang masih kenyang? Memang sah sahabatnya yang seorang ini dibebani dengan masalah hati. Fikiran dan perbuatan tidak jalan seiiring. Lain yang disebut, lain yang dirasa. Segala organ yang berada dalam tubuh Shahrul Riezman  pasti sudah tidak berfungsi dengan betul.
“Sebab Syuhada ke?” nama itu disebut lagi.  Shahrul Riezman mengeluh dalam diam. Wajahnya diraup perlahan lalu tangannya melurut rambutnya ke belakang. Seorang Syuhada telah mencetuskan evolusi yang maha hebat pada sekeping hati miliknya. Dia cuba mengosongkan mindanya.....belajar untuk menyingkirkan seraut wajah itu jauh dari kotak fikirnya.
“Ceritalah. Kau pendam seorang diri pun, kau juga yang sakit” pujuk Hatta perlahan.
Shahrul Riezman masih mendiamkan diri. Pintu hatinya belum terbuka untuk bercerita pada sesiapa. Walau pada Hatta yang telah berkurun menjadi sahabatnya sekalipun. Dia lebih rela membiarkan ruang hampa yang bermukim dihatinya, dipendam sendiri. Rahsia hati.....biarlah hanya hati sendiri yang tahu. Walau hati sering bergetar bila teringat....biar hati sering tergurid bila merindu, namun wanita itu tetap telah menjadi milik orang lain. Untuk apa dikenang lagi.  Walau ada ketika jiwanya bagai ombak di tengah laut, apabila datang menderu terusung pergi segala beban ke gigi pantai. Namun singgahnya sekejap cuma. Ketika surut kembali, resah itu tetap menjadi miliknya. Rindu itu tetap mengepung ruang dadanya. Gelisah bila memikirkan tentang satu kehilangan. Hati terasa bagai digigit sesuatu.
“Kau duduk berkurung dalam bilik, berkeluh kesah seorang diri…. Kau ingat masalah kau boleh selesai ke?” Hatta bersuara lagi. Tidak puas hati selagi Shahrul Riezman belum membuka cerita. Sebelum ini mereka berkongsi rahsia, kenapa pulak kisah yang satu ini perlu disimpan sendiri. Buat merana hati sahaja bila dipendam seorang diri. Tak pasal-pasal nanti jadi mereng……jiwa kacau!
“Tak ada apalah. Yang kau nak pening-peningkan kepala fikirkan pasal aku buat apa” keras suara Shahrul Riezman. Tidak pernah hilang sikap yang suka mendesak dalam diri Hatta. Selalunya dia tidak kisah dengan sikap Hatta…tidak pernah bertunas rasa marah bila didesak-desak, tetapi kali ini dia benar-benar rimas.
Aku lagi pening tengok kau macam ni tau. Ini mesti sebab Syuhada. Tidak ada orang lain yang dapat mengubah emosi kau selain dia” provok Hatta lagi.
“Kau ingat dia saja yang ada dalam kepala aku ni. Aku tengok kucing bergaduh pun emosi aku berubah tau. Geram!” balas Shahrul Riezman acuh tidak acuh. Berhikayat pada Hatta tentang wanita itu, pasti mengundang banyak tanya. Bukan dia tidak kenal Hatta......pasti ke akar umbi dikoreknya.
“Kalau tidak pun......bagi aku nombor telefon dia, biar aku sendiri yang pelawa dia” Hatta menyimpan senyum melihat Shahrul Riezman yang semakin tidak puas hati dengannya. Dia yakin tebakan dia benar belaka. Kalau bukan Syuhada, siapa lagi yang mampu membuat Shahrul Riezman kusut macam ini.
“Yang kau beria-ia ni kenapa?” wajah Hatta dipandang geram.
“Tak salah kan kalau kita pelawa dia?”
“Salah tu tidak. Tapi tak sesuai” mencuka sudah wajah Shahrul Riezman melihat Hatta yang masih tidak mahu mengalah.
“Kenapa pulak? Kau kan couple dengan dia. Aku cuma nak memudahkan cara je. Manalah tau terbuka hatinya terima lamaran kau bila berada dalam majlis aku nanti” sengaja Hatta mengapi-apikan perasaan Shahrul Riezman.
“Cukuplah Hatta.  Tak payah sebut pasal dia lagi. Tak ada maknanya aku couple dengan dia”  Shahrul Riezman semakin berang.
“Kan betul aku cakap. Sebab Syuhada kan?” tebak Hatta lagi.
Shahrul Riezman memandang Hatta tanpa kata. Memang sukar untuk menyimpan rahsia dari lelaki yang bernama Hatta ini. Bukan baru sehari dua mereka berkawan. Sudah berkurun lama....mereka akrab melebihi hubungan adik-beradik. Setiap riak perubahan pasti dapat ditebak. Tetapi untuk berkongsi cerita kali ini, dia merasakan ini bukan masanya.
“Ceritalah. Sekurang-kurangnya kau akan rasa lega” pujuk Hatta perlahan.
Shahrul Riezman mengeluh perlahan. Serba salah dibuatnya.
“Nanti-nantilah aku cerita” putusnya.
Hatta tidak terkata.

Friday, July 15, 2011

Bab 20


Sepanjang perjalanan mereka membisu. Melayan perasaan sendiri dalam lalu lintas yang bergerak perlahan. Hari-hari minggu begitu, memanglah banyak kenderaan di jalan raya. Baru sebentar tadi Syuhada menerima pesanan dari Mazni mengatakan dia dan Aznah dalam perjalanan balik ke Pontian. Dia masih  menyimpan rasa tidak puas hati terhadap lelaki disebelahnya ini. Tak pasal-pasal terpaksa duduk sekereta dengan dia. Shahrul Riezman membelokkan keretanya ke kanan apabila sampai di satu simpang. Syuhada menoleh ke arah Shahrul Riezman yang sedari tadi menayangkan wajah tidak berdosanya itu. Macamlah bagus sangat! Tiada riak bersalah langsung.

“Awak nak bawak saya ke mana ni?” akhirnya dia bertanya jengkel.
“Punggur. Tempatnya tidaklah menarik tapi bolehlah untuk menyejukkan hati awak” Syuhada terasa disindir namun dia membatukan diri. Memang benar hatinya sedang panas mengelegak. Kalau tidak kerana terserempak dengan Shahrul Riezman, sudah tentu dia sudah hampir sampai ke rumahnya. Memanjakan diri berguling-guling dihadapan televisyen. Punah harapannya untuk menikmati hari cuti sepuas-puasnya.

Punggur !. Bukan dia tidak pernah ke situ. Apalah yang ada di situ. Pantai yang semakin terhakis dan pokok-pokok bakaunya sudah banyak yang tumbang. Namun, tempat itu banyak mengukir kenangannya bersama Zulhilmi. Ada sesuatu yang maha berat mula terukir di benaknya bila teringatkan lelaki itu.  Walau berkali hatinya menegaskan dia tidak akan tewas untuk kali ini, namun ada ketika rasa hati diamuk gusar. Kegusarannya menjadi berganda bila memikirkan campur tangan ibunya. Dia tidak takut untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja namun tidak ibunya.
“Saya tak nak singgah kat sini. Saya nak balik sekarang, Riezman. Kalau awak memang berhajat nak menghayati keindahan Pantai Punggur yang tak seindah mana tu, turunkan saya dekat jalan besar tu aje. Saya boleh balik naik teksi” bantah Syuhada tiba-tiba. Entah mengapa hatinya terasa serba tidak selesa. Kalau boleh, sampai bila-bila pun dia tidak mahu lagi menjejakkan kakinya ke situ.
“Apa salahnya kita singgah sekejap. Awal lagi, kan? Nak balik awal-awal pun bukan ada siapa-siapa dekat rumah tu” jawab Shahrul Riezman tanpa memandang wajah wanita disebelahnya.
“Boleh tak sekali ini awak tak paksa saya. Saya memang tak ada hati nak singgah mana-mana” Syuhada tidak mahu mengalah.
“Boleh tak sekali ini awak ikut saja program yang telah saya aturkan?? Awak duduk diam-diam aje kat situ. Kan saya yang pandu kereta ni” jawab Shahrul Riezman, juga tidak mahu mengalah. Tercabar jugak ego lelakinya bila ada sahaja bantahan dari Syuhada. Ada sahaja yang serba tidak kena pada wanita ini.
“Apalah malang nasib saya sampai boleh terjebak dengan orang yang macam awak ni. Kusut tau kepala saya. Serabut!” Syuhada mengeluh dihujung kata-katanya. Memang lelaki ini memang tidak pernah reti bahasa. Dia sahaja yang betul. Kata dia sahaja yang harus dituruti.
“Hissh, apa malang pulak? Bertuah tau. Mana ada lelaki yang sanggup ajak awak jalan-jalan makan angin petang-petang macam ni” Shahrul Riezman tersengih-sengih menayangkan wajah kemenangannya.
“Saya tak inginlah nak berjalan-jalan tanpa arah  tujuan. Buang masa tau. Baik saya duduk rumah tengok TV”
`Bolehlah kau berlagak, stereng kereta tu kat tangan kau`......sakit benar hati Syuhada.
“Awak ni macam tak suka je dapat jumpa saya”
“Tau pun” jawab Syuhada ringkas.
Shahrul Riezman meletakkan keretanya di bawah sepohon pokok yang agak rendang tanpa mengendahkan bantahan Syuhada. Syuhada keluar dari kereta itu lalu terus duduk di sebuah kerusi kayu yang tersedia di situ. Hatinya kian jengkel. Lelaki ini adakalanya terlebih melampau. Macamlah dia ada hak untuk mengatur hidup seorang Syuhada. Eieeee.....sakitnya hati! Tetapi bila memikirkan lelaki ini adalah budak lelaki yang pernah menolongnya suatu ketika dulu, hatinya menjadi sejuk. Tidak mungkin dia melupakan pertolongan itu.

Lama Syuhada memerhati kawasan sekeliling. Tidak banyak berubah walaupun sudah bertahun dia tidak menjejakkan kaki ke situ lagi. Tidak seperti perubahan yang melanda hidupnya. Desir angin yang menyapa lembut kulit pipinya, terasa mendamaikan. Sebentar kemudian Shahrul Riezman duduk di hadapannya sambil meletakkan dua gelas teh tarik dan sedikit goreng pisang. Tidak habis-habis dengan aktiviti makan. Bukankah sebentar tadi sudah makan. Mustahil tidak kenyang-kenyang. Entah bila lelaki itu pergi membeli, dia sendiri pun tidak sedar.

“Dah ok?” wajah dihadapannya ditatap lembut.
“KO!” keras suara itu menjawab.
“Yang ini masih macam dulu....garang!” tatapan matanya masih lagi tidak beralih.
“Garang??” Syuhada mengerutkan dahinya.
“Awaklah. Garang macam singa. Dulu-dulu selalu saya dengar budak-budak lelaki yang selalu melepak dekat simpang masuk kampung awak bergosip pasal awak”
“Gosip?? Saya tak pernah tahu pun. Apa yang selalu awak gosipkan dengan mereka?” Syuhada agak teruja mendengar cerita baru yang tidak pernah dia tahu ini. Dia yang tidak popular pun kena gosip. Dia yang tidak pernah sempat untuk beramah mesra dengan teman-teman sekampungnya pun kena gosip???
“Saya tumpang dengar je”
“Apa yang mereka gosipkan?”
“Hmmm.....ramai juga peminat awak dulu-dulu ye. Tapi orang garang macam awak, siapalah yang berani nak mengurat”
“Tak sangka orang lelaki pun suka bergosip” gumam Syuhada perlahan.
Agak lama mereka berdiam diri. Shahrul Riezman masih tidak membuang pandang. Tatapan matanya masih lagi pada seraut wajah dihadapannya.

“Awak pernah datang sini?” Syuhada sekadar mengangguk tanpa memandang lelaki dihadapannya. Tidak mahu dia terperangkap dalam renungan lelaki itu. Letih bila larian nadinya menjadi tidak normal setiap kali pandangan mata mereka bersatu.
“Kenapa diam? Awak marah saya ke?” Shahrul Riezman bertanya pura-pura tidak tahu. Sedangkan melihat raut wajah itu sahaja, dia sudah tahu ada amarah yang terpendam.
“Awak selalu buat keputusan untuk saya, kan. Suka-suka hati awak nak bawak saja ke mana. Awak ingat saya ni apa? Awak tak ada hak tau” kata Syuhada geram. Tidak berkelip mata Shahrul Riezman memandang bibir mungil itu berkata. Tidak tahu kenapa dia tertarik benar pada setiap apa yang dimiliki oleh wanita ini.
So, bagilah hak itu pada saya. Saya yakin saya mampu menjalankan peranan saya. Bagi saya satu peluang.... saya akan buktikan dan awak tidak akan menyesal” serius sahaja kata-kata Shahrul Riezman.
“Awak nak peluang apa?....peluang perniagaan?? Tapi saya bukan kontraktor yang dapat tawarkan tender dekat awak. Atau awak nak suruh saya buat loan dengan bank awak? Rasanya tak perlu lagi. Saya masih mampu menyara makan minum saya. So, peluang apa yang awak nak sebenarnya?” Syuhada kalau bab memesongkan cerita, memang dia superbbbb. Kalau sawab soalan penulisan, memang dapat markah lima sahaja.....markah kesian. Lari dari tajuk.
Sweet betul la awak ni. Saya suka!”
“Eh, simpan je la rasa suka tu. Tak payah suka-suka. Saya tak suka la orang suka-suka dekat saya” balas Syuhada tanpa perasaan. Lemah betul dia bila tiba-tiba bicara soal rasa suka. Tidak berkenan langsung. Lebih-lebih lagi dengan lelaki yang bernama Shahrul Riezman ini.
 “Kita bukan muda lagi Syu. Awak tentu dah cukup dewasa untuk memahami perasaan dan keinginan saya” ke situ pula bicara Shahrul Riezman. Syuhada mengerutkan dahi mendengar kata-kata itu. Lain macam benar lelaki ini. Hiesh....tak payahlah nak serius sangat. Masa dan tempatnya tidak sesuai. Lagipun baru hari ini dia tahu yang lelaki ini adalah anak Puan Rosmah.
“Kata-kata awak menakutkan saya, Riezman. Awak tak kenal siapa saya sebenarnya” Syuhada bersuara perlahan. Dalam selamba, sebenarnya irama di hati sudah menjadi tidak tentu arah. Namun dia keliru. Haruskah …..? Memberi peluang pada calon pilihan Mazni. Menggantikan tempat Zulhilmi sebagai pengantin lelakinya. Namun yang penting.......apakah penerimaan Zainab, ibunya.
“Kalau macam tu, ceritakan semuanya tentang awak. Tapi bukankah kita dah kenal sebelas tahun yang lalu? Saya masih lagi ingat Syuhada yang dulu.....yang malu-malu. Tak sangka dia ada di depan mata saya sekarang. Tapi saya suka Syuhada yang ini…. lebih cantik. Lebih menggoda....bijak dan manis” sempat lagi  Shahrul Riezman mengusik. Lain benar dengan Shahrul Riezman yang dulu.
“Terlebih gulalah pulak kata-kata awak. Mulut awak memang manis, kan?. Macam ada ladang tebu kat tepi bibir tu, kan” balas Syuhada geram. Lelaki memang selalu begitu. Selalu melihat pada tarikan fizikal. Aku yang kurus kering ni pun dikata cantik......aku yang belum pernah mempraktiskan suara halus gemersik pun dikata menggoda.......kalau nak mengayat pun patut-patutlah Shahrul Riezman oiii.....diam-diam  hati Syuhada mengutuk.
“Bila pulak awak rasa?” soal Shahrul Riezman bersama satu ukiran senyuman pelik.
“Rasa apa?” tanya Syuhada tidak faham.
“Mulut saya lah. Tadi kan awak kata manis. Bila awak rasa?” senyuman miang Shahrul Riezman kian melebar. Syuhada membulatkan matanya. Ada jugak yang kena jirus dengan teh tarik tak cukup susu ni.......
“Gatal!”
“Dengan awak seorang” ujarnya perlahan.
“Eieee, tolonglah jangan merapu petang-petang macam ni. Sendat telinga saya ni nak dengar tau”
 Shahrul Riezman memandang Syuhada. Syuhada membalas pandangannya. Wajah Shahrul Riezman yang tenang dengan sorotan mata yang redup tiba-tiba bagaikan menyentap hatinya. Seketika dia bagaikan hanyut dengan renungan mata Shahrul Riezman. Lelaki penggoda kelas teratas ini memang mampu membuat denyutan nadi Syuhada berlari kencang dengan irama yang dia sendiri tidak tahu apa maknanya.
“Kita mungkin ditakdirkan ada jodoh, Syu. Sebab itu terlalu banyak kebetulan yang melibatkan kita” Syuhada tersentak bila Shahrul Riezman kembali bersuara. Jodoh????
“Boleh tak berhenti cakap benda-benda mengarut ni. Tak mencabar minda langsunglah”
“Boleh tak awak serius, Syuhada. Cuba jangan mengelak lagi” tergugah jugak kesabaran Shahrul Riezman dengan karenah Syuhada. Dari dulu asyik mengelak. Benar-benar tidak terkesankah wanita ini akan kehadirannya??
“Jangan terlalu cepat membuat tafsiran, Riezman. Macam yang saya kata tadi … awak tak kenal saya. Sebelas tahun dulu kita hanya saling memerhati. Tidak lebih dari itu. Kita tidak pernah kenal antara satu sama lain. Nama pun tak tahu, kan?” Syuhada terkenang waktu itu. Dia perasan dengan renungan lelaki itu setiap kali menghantar kelapa untuk diparut di kedai makan Pak Cik Sahak, tempat dia bekerja sementara menunggu waktu persekolahan pada sesi petang. Tiada perasaan lain di ketika itu kecuali malu. Apatah lagi bila diketahui lelaki itu adalah anak Puan Rosmah, guru kelasnya. Malu pada segala kekurangan yang ada padanya.
“Saya memandang dengan hati, sama dengan hati yang saya miliki sekarang” luah Shahrul Riezman perlahan.
“Saya tak faham” malas Syuhada memikirkan kata-kata Shahrul Riezman.  Memandang dengan hati???...Hati ada mata ke???
“Awak ada di hati saya sejak dulu lagi” luah Shahrul Riezman sambil mengukir senyum.
Jantung Syuhada bagaikan mahu luruh. Tidak menyangka terlalu cepat Shahrul Riezman berani berterus terang. Gelojoh betul dia ni.....tunggulah besok-besok kalau betul pun hendak membeli sekeping hati, getus hati Syuhada. Wajah Shahrul Riezman dipandang sekilas.
“Sudahlah, tak habis lagi mengarut. Kita cerita pasal lain. Saya tak berapa nak layan soal-soal yang melibatkan hati ni” Syuhada membuang pandang ke laut lepas. Memang benar kata Shahrul Riezman .. tidak ada apa yang menarik pun di Pantai Punggur ini. Pantai yang semakin tercemar dan kotor. Sebab itu tidak ada pengunjung luar yang tahu tempat ini kecuali hanya anak-anak tempatan. Tetapi kalau diusahakan secara komersial, rasanya tempat ini sesuai juga dijadikan salah satu pusat rekreasi. Mungkin belum ada mana-mana pihak yang nampak potensinya.
“Hati kering!” cetus Shahrul Riezman perlahan.
“Kuat sikit, tak dengar apa awak cakap” pinta Syuhada biar perkataan itu jelas dipendengarannya. `Hati kering`........... mulut jahat betul!
“Awak ni hati kering......tak cukup perasaan. Jelas?” Shahrul Riezman mendekatkan wajahnya ke arah Syuhada.
“Tak sangka awak tahu. Saya memang dah siap-siap salai hati saya ni. Memang cukup kering dan tahan lama” Syuhada tidak dapat menahan senyum dengan kata-katanya sendiri.
“Kita dah dewasa Syu. Nak buat apa mengelak. Buat apa saya nak tipu hati saya. Bila saya kata saya rindukan awak ….. saya benar-benar maksudkannya. Bila saya kata saya ingin awak jadi isteri saya....saya memang mahukannya” debaran di dada Syuhada kembali berlagu mendengar  kata-kata itu. Namun dia masih lagi memandang ke arah lain. Takut untuk terus bertatapan dengan Shahrul Riezman.
“Tukar topik! Saya tak nak terlibat dengan masalah hati awak” ujarnya tanpa membiarkan hatinya terus tersentuh.
“Masalah hati saya ni puncanya awak. Samada awak rela atau tidak, awak mesti bertanggungjawab”
“Eh, suka-suka hati awak je nak salahkan saya. Awak yang tak pandai jaga hati awak, awak tuduh saya puncanya” protes Syuhada geram.
“Saya ingin berkongsi segala sesuatu dengan awak, Syu” tanpa mempedulikan protes Syuhada, Shahrul Riezman meluahkan apa yang dia rasa. Setelah dia mengetahui Syuhada adalah gadis yang sering diperhatikannya sebelas tahun yang lalu, keinginannya bertambah kuat.
“Saya  tak nak kongsi apa-apa dengan awak” balas Syuhada pantas. Tanpa timbang rasa langsung.
“Saya ingin awak jadi isteri saya” Shahrul Riezman  berterus terang.
“Oooo....Ingin? Hanya satu keinginan? Maksudnya kalau dapat okay, kalau tak dapat pun tak apa? Bukan dengan niat bersunguh-sungguh? Tak apa, esok lusa rasa ingin awak tu hilanglah” Syuhada bersuara selamba. Shahrul Riezman yang berada di hadapannya memandang geram. Susah sungguh bercakap dengan wanita yang  hati kering ini. Puas sudah dia mengayat, sedikit pun tidak tersentuh.
“Awak mainkan kata-kata saya ye, Syu?”
            “Mana ada!. Tapi awak tak patut buat saya macam ni. Selama ini pun awak tak pernah kata awak cintakan saya....sayangkan saya, kan?. Tiba-tiba cakap pasal isteri bagai pulak. Tak masuk akal tau” ujar Syuhada tanpa perasaan. Jauh di sudut hati dia tetap meragui setiap kata-kata lelaki itu. Memang tidak boleh diterima akal warasnya. Atas dasar apa dia ingin aku jadi isterinya? Simpatikah? Simpati kerana dialah gadis miskin sebelas tahun dulu. Personaliti Shahrul Riezman tidak sedikit pun sama dengan budak lelaki anak Puan Rosmah dulu.
            “Cinta orang dewasa Syu. Tak perlu diucap di bibir. Cukup untuk dirasa. Awak tak rasa apa-apa? Di sini?” Shahrul Riezman meletakkan tangan di dadanya. Syuhada memandang dengan wajah bersahaja biarpun kata-kata Shahrul Riezman tadi mencuit hati kecilnya. Cinta orang dewasa?? Cukup untuk dirasa??......Manis benar kata-kata makhluk lelaki ini.
            “Rasa apa? Rasa pahit air teh ni adalah....kurang susu!” Shahrul Riezman ketawa kecil sudahnya. Cukup faham dia dengan perangai Syuhada. Sentiasa mengelak bila diajak bercakap soal hati dan perasaan. Kadang-kadang dia pelik dengan sikap Syuhada. Ada waktu Syuhada memberi tindakbalas yang positif …. Menggoda. Namun ada ketikanya terlalu sukar untuk mencari reaksi di wajah sendu itu. Apa yang tersirat sebenarnya?
            “Awak memang Sweet, Syu”
“Awak ni tak romantiklah Riezman. Ada pulak main rasa-rasa. Zaman sekarang ni bahasa tubuh pun orang tak faham tau. Semuanya mesti ada dalam penyataan lisan. Awak kena buat surat rasmi yang menyatakan awak memang betul-betul sukakan saya, sayangkan saya dan cintakan saya. Barulah boleh dipercayai. Barulah boleh saya pertimbangkan sama ada nak ke tidak jadi isteri awak” Shahrul Riezman ketawa besar. Lawak betullah Syuhada ni. Surat rasmi konon!....Logik sangatlah tu. Beberapa orang yang ada berhampiran dengan mereka menoleh ke arah mereka.
“Ohhh .. awak ni jenis yang romantiklah ye. Kalau macam tu, kita kena kahwin cepatlah. Baru tau sejauh mana romantiknya saya. Nak tunjuk sekarang takut awak tak tahan....lagipun berdosa kalau nak terlebih romantik sekarang” Syuhada menjegilkan matanya mendengar kata-kata Shahrul Riezman.
“Gatal!”
“Siapa yang mulakan dulu” Shahrul Riezman tersenyum lawa. Memang kacak pun dia walau tidak setanding Remy Ishak.
“Saya rasa awak bukan budak lelaki yang dululah”
“Eh, kenapa pulak?”
“Budak lelaki tu nampak sopan je. Awak pulak.......ermmm...macam langit dengan bumi”
“Yang dulu tu belum akil baligh.....memanglah kena sopan-sopan gitu” balas Shahrul Riezman sambil ketawa-ketawa. Sudahnya Syuhada pun ikut ketawa sama. Terasa indahnya suasana petang itu bila ketawa mereka bersatu.

Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata sedang memerhatikan gelagat mereka sejak dari tadi. Sejak mereka duduk di situ sambil berbual dengan gaya yang agak mesra. Orang yang melihat pasti menyangka mereka adalah pasangan kekasih. Ketawa mesra begitu, tentulah sedang asyik berkasih. Hatinya bagaikan ditusuk belati yang maha tajam melihat kemesraan pasangan itu. Semakin dipandang, semakin bergelora rasa marahnya. Diam-diam dia mengepal penumbuknya. Patutlah kau berubah …. ? Desis hatinya marah. Dia berjalan menghampiri pasangan itu bila dilihatnya mereka mula bergerak untuk beredar meninggalkan tempat itu.

Syuhada terperanjat apabila tiba-tiba tangannya direntap dengan kasar sewaktu dia hendak membuka pintu kereta. Darahnya tambah berderau apabila terpandangkan wajah lelaki yang memegang tangannya dengan kuat itu. YA ALLAH, malapetaka apa pula yang menimpa ini!

“Hilmi? Apa Hilmi buat dekat sini?” tanya Syuhada dengan nada terketar-ketar....ketakutan luarbiasa walaupun sepatutnya dia tidak perlu ada rasa takut itu. Melihat wajah bengis lelaki itu, hatinya kalut.
“Sepatutnya aku yang tanya kau, apa yang kau buat dekat sini?” suara Zulhilmi kedengaran kasar. Amarahnya sudah memuncak. Bertahun dia menyimpan rindu …. bertahun jiwanya diamuk sengsara.....Ini rupanya balasan Syuhada. Syuhada mula merasa sebak. Lelaki ini betul-betul berubah. Tidak pernah dia dikasari seumpama ini sepanjang mereka bersama dulu.
Shahrul Riezman yang sudah masuk ke dalam kereta keluar semula. Dia memandang wajah Syuhada dan lelaki yang tidak dikenali itu silih berganti. Hilmi! … Bukankah nama itu yang pernah disebut oleh Syuhada sewaktu mereka di Tanjung Piai dulu? Lelaki yang disebut itu memang benar-benar wujud. Dan sekarang berada dihadapannya.
“Apa ni saudara? Tolong lepaskan tangan Syuhada” dia bersuara cuba mengendurkan suasana yang tegang. Dia dapat mengesan riak ketakutan di wajah Syuhada. Siapa lelaki itu? Apa hubungannya dengan Syuhada? … Hatinya tertanya-tanya sendiri.
“Kau diam!. Kau tahu tak siapa perempuan yang kau bawak ni? Dia tunang aku. Kau tahu tak???? Tak ada sesiapa yang boleh rampas dia dari aku” mencerlung biji mata Zulhilmi memandang Shahrul Riezman. Ikut rasa hati, mahu dicekiknya lelaki itu. Marahnya tidak dapat dibendung lagi. Patutlah beria-ia Syuhada menolak untuk berkahwin dengannya,..... sudah ada jantan lain rupanya!
Shahrul Riezman terkejut mendengar kata-kata itu. Tunang? Syuhada tunang lelaki itu? Syuhada sudah bertunang? Perasaannya bercampur aduk. Rasa hatinya bagaikan ditekan-tekan. Benarkah???? Dia sedang menjalin hubungan dengan tunang orang?? Ya ALLAH.... apa semua ni?
“Sudahlah Hilmi. Tolonglah lepaskan tangan Syu. Syu sakitlah” Syuhada cuba bersuara lembut. Dia semakin takut memikirkan sikap Zulhilmi. Benarkah dia sudah sembuh? Waraskah dia diketika ini? Ya Allah.....tolonglah, tolong selamat dia yang dalam keadaan tersepit itu.
“Apa yang Syu buat ni? Kita kan nak kahwin tak lama lagi. Buat apa Syu keluar dengan lelaki lain?” suara Zulhilmi lembut semula sambil memandang Syuhada. Fikirannya mula bercelaru. Kepalanya sakit tiba-tiba.
“Kita dah tak ada apa-apa ikatan Hilmi. Cubalah faham. Kita tak mungkin macam dulu lagi” Syuhada berhati-hati mengeluarkan kata-kata. Dia tidak mahu nanti kata-katanya akan menyinggung perasaan Zulhilmi. Shahrul Riezman sekadar memerhati. Sungguh benar dia tidak mengerti drama apa yang sedang ditonton.
“Kenapa? Sebab kau dah ada lelaki itu? Dia lebih baik dari aku kan? …. Tak sakit macam aku? Kau fikir kau boleh lepas dari aku, Syuhada. Sampai ke mati aku tak akan lepaskan kau” Syuhada tidak menduga kata-kata itu akan keluar dari mulut Zulhilmi.
“Kau ikut aku!” arah Zulhilmi lagi sambil menarik tangan Syuhada dengan kasar. Hilang sudah kesabarannya.
“Tolonglah Hilmi, lepaskan Syu. Syu nak balik” rayuan Syuhada langsung tidak dihiraukan. Shahrul Riezman yang melihat sedari tadi merasa tercabar. Rayuan Syuhada menimbulkan belas di hatinya.
“Hey… kau dengar tak apa dia kata. Lepaskan dia, dia tak nak ikut kau” jerkah Shahrul Riezman sambil menolak bahu Zulhilmi.
“Tak ada perempuan lain ke yang kau nak bawak selain dari tunang aku?? Dia tunang aku!” jerit Zulhilmi.
Zulhilmi memandang lelaki itu dengan geram. Amarahnya sudah berada di kemuncak. Dia melepaskan Syuhada. Tanpa diduga dia melepaskan satu tumbukkan ke muka Shahrul Riezman. Terkena di bibirnya. Shahrul Riezman terdorong ke belakang. Syuhada memegang lengan Shahrul Riezman untuk menghalangnya membalas tumbukkan itu. Beberapa orang lelaki berkejar ke arah mereka apabila melihat kekecohan itu.

“Apa ni Hilmi, kenapa buat kecoh dekat sini?” tanya salah seorang dari mereka. Syuhada memandang ke arah pemilik suara itu. Abang Bahar! Memang dia  mengenali lelaki itu. Salah seorang ahli keluarga Zulhilmi. Lelaki itu memandang Syuhada dengan sinis. Perempuan inilah yang mengacaubilaukan hidup adik bungsunya itu. Perempuan inilah yang telah meletakkan adiknya dalam satu garis hidup yang tidak menentu. Sungguh dia amat membenci perempuan ini!..... Sejak dulu lagi dia memang tidak berkenan dengan Syuhada.
“Maafkan Syu, abang Bahar. Syu tak tahu Hilmi pun ada di sini. Syu tak bermaksud menyinggung hatinya” Syuhada berkata kepada lelaki yang memegang Zulhilmi dengan nada yang amat perlahan. Sesungguhnya dia amat menyesal dengan kejadian itu. Terlalu kesal!

Tanpa berkata apa-apa, lelaki itu menarik Zulhilmi meninggalkan tempat itu. Hati Syuhada tersentuh melihat tindakan Bahar yang langsung tidak mahu memandang wajahnya. Apakah mereka masih menyalahkan aku? …. Ya ALLAH , apa yang harus aku lakukan? Hatinya merintih hiba. `Zulhilmi....janganlah kau  apa-apa`....doanya dalam hati.

“Awak tak apa-apa?” tanya Shahrul Riezman sambil menyentuh bahu Syuhada. Syuhada sekadar menggeleng lalu membuka pintu kereta. Wajah Shahrul Riezman pun tidak sanggup dipandang. Sekali lagi dia merasa tewas pada Shahrul Riezman. Ditewaskan oleh perasaan malu. Tidak sepatutnya lelaki ini terjebak dalam kejadian ini. Tidak sepatutnya lelaki ini melihat semua rentetan ini.

Tanpa bersuara dia terus masuk ke dalam kereta. Tidak lama kemudian Shahrul Riezman turut masuk ke dalam kereta. Lama dia mendiamkan diri sebelum menghidupkan enjin kereta. Dia menarik nafas panjang. Kelopak matanya ditutup rapat. Persoalan di atas segala sikap Syuhada selama ini terjawab sudah. Teka silangkatanya sudah lengkap. Dia meraup wajahnya lalu beristigfar di dalam hati. Rupa-rupanya Syuhada tunangan orang. Hatinya mengeluh berkali-kali. Dengan hati yang hancur berkecai, dia menghidupkan enjin kereta lalu bergerak meninggalkan tempat yang tidak mungkin akan dilupakan itu.

Bagi Syuhada, sekali lagi Punggur mengukir sejarah dalam hidupnya. Kesal di hatinya bertimpa-timpa setiap kali terbayang wajah Zulhilmi. Tabahkah lelaki itu menghadapi kenyataan ini? Jauh di sudut hatinya, dia tetap menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak berkeras membantah tatkala Shahrul Riezman membelokkan keretanya ke sini tadi. Bukannya dia tidak tahu, Punggur adalah tempat  Zulhilmi melepak bersama geng-geng motosikalnya. Ke mana Zulhilmi hendak membawa diri tatkala sunyi kalau bukan ke Punggur. Agh, … salah aku sendiri! Berkali-kali dia mengeluh menyalahkan diri sendiri. Shahrul Riezman menjeling ke arahnya setiap kali gadis itu melepaskan keluhan. Namun Syuhada bagaikan terlupa akan kehadiran lelaki di sebelahnya.

“Dekat mana rumah awak?” Syuhada terkejut mendengar pertanyaan itu. Dia bagaikan baru tersedar yang mereka masih berada di dalam kereta. Kepalanya sarat dengan resah. Jiwa dan perasaannya ditekan dengan rasa gelisah. Ngeri memikirkan tindakan dan nasib Zulhilmi selepas ini. Janganlah jadi seperti dulu lagi.....dia sudah tidak sanggup dipersalahkan.
“Turunkan saya dekat depan sekolah agama batu 41” jawab Syuhada perlahan. Dia merasa serba-salah untuk memandang wajah Shahrul Riezman. Ada rasa terkilan di satu ruang dalam hatinya.
“Saya tanya, dekat mana rumah awak? Saya  hantar sampai depan rumah” Suara Shahrul Riezman agak keras … tidak puas hati dengan jawapan Syuhada tadi. Syuhada tersentak. Terkejut melihat Shahrul Riezman yang berubah watak. Arghhh, lelaki......memang selalu menyulitkan keadaan!
“Tak payah! Turunkan saya di tepi jalan saja” keras juga suara Syuhada. Tak payah nak tunjuk baik...aku bukan harap sangat simpati kau.......hatinya diamuk geram. Sakit hati kerana Shahrul Riezmanlah yang memaksa dia singgah di Punggur tadi.
“Degil, keras kepala, hipokrit!” Shahrul Riezman melepaskan rasa sakit hatinya. Syuhada memandang wajahnya geram bercampur hiba.
“Awak tak ada hak cakap macam tu”
“Memang. Memang saya tak ada hak. Tapi itulah gambaran diri awak, Syu. Saya tak tau apa yang terjadi antara awak dengan tunang awak. Tapi kalau saya tunang awak pun saya akan marah kalau awak keluar dengan lelaki lain” air mata mula bergenang di kelopak mata Syuhada apabila mendengar kata-kata itu keluar dari rekahan bibir Shahrul Riezman. Lelaki itu pun menyalahkan dia! Tanpa tahu cerita sebenar, lelaki itu telah meletakkan semua kesalahan dipihaknya.
“Awak yang ajak saya ikut awak, Riezman. Saya tidak pernah menawarkan apa-apa untuk awak” Syuhada bersuara perlahan. Dia merasa benar-benar letih melalui semua kejadian ini.
“Ya, saya akui. Tapi saya tak tahu awak dah bertunang. Kalau saya tau, tak mungkin saya akan lakukannya. Saya tak mungkin mengganggu tunang orang. Ramai lagi perempuan lain yang nakkan saya” suara Shahrul Riezman masih lagi kedengaran kasar.  Angkuh benar kata-katanya.
Okey, fine. Saya terpaksa ikut segala paksaan  awak, saya yang salah. Memang semuanya salah saya. Siapa yang paksa saya ikut awak pergi Punggur tu kalau bukan awak. Saya memang tak nak ke situ tadi” Syuhada mula berjauh hati.
“Patutlah beria-ia tak nak ke situ. Takut tertangkap dengan tunang sendiri kan?” tuduh Shahrul Riezman tanpa timbang rasa.
“Turunkan saya  depan sekolah tu” hati Syuhada bagaikan dicincang lumat. Tiada beza Shahrul Riezman dengan orang lain.
Shahrul Riezman memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan sekolah seperti yang dipinta oleh Syuhada. Dia memandang sekeliling. Tak nampak pun kawasan perumahan di sini. Mana rumah dia?
“Terima kasih untuk segala penghinaan, Encik Shahrul Riezman” ucap Syuhada sambil memandang lelaki yang sering mengusik hatinya kebelakangan ini.
Shahrul Riezman membalas pandangannya. Lama mereka berpandangan. Seakan ingin disentuh kesan air mata di pipi Syuhada. Hatinya diamuk pilu tiba-tiba. Syuhada.....seru hatinya tidak menentu.
“Kenapa awak main-mainkan saya, Syu?” tanya Shahrul Riezman perlahan. Luluh hatinya menatap sinar bening mata itu. Syuhada menggelengkan kepalanya tanpa kata.
“Kenapa awak tak pernah bagi tau yang awak dah bertunang, Syu. Nak kahwin tak lama lagi!” sambungnya lagi.
Hatinya pilu. Hati Syuhada lagilah pilu. Rahsia di hati … hanya dia yang tahu. Air mata yang bergenang tadi mula merembes keluar menuruni pipinya. Shahrul Riezman terkesima. Syuhada melangkah keluar tanpa menjawab pertanyaan itu. Dia terus melangkah bersama air mata yang semakin laju. Shahrul Riezman memandang wanita itu sehingga bayangnya hilang  dari pandangan. Inikah akhirnya? Akan hilangkah seorang Syuhada dari hidupnya????

Sesampainya dia di rumah, Puan Rosmah terkejut melihat kesan lebam di bibir Shahrul Riezman. Puas dia bertanya namun anak itu hanya mendiamkan diri. Puan Rosmah hairan sendiri. Sewaktu ditinggalkannya tadi, Shahrul Riezman elok sahaja bersama Syuhada. Apa yang terjadi? Siapa yang menumbuk anaknya itu? Sikap Shahrul Riezman yang hanya berdiam diri tambah mengelirukannya.



Bab 19


Hari minggu datang lagi. Hari kedua dalam cuti pertengahan penggal persekolahan. Hari yang ditunggu oleh semua golongan guru. Namun begitu ramai diantara guru-guru terutama yang mengajar kelas-kelas peperiksaan terpaksa mengorbankan  cuti mereka di minggu pertama. Mereka perlu mengadakan kelas tambahan untuk pelajar-pelajar mereka. Syuhada, Ruzian dan Mazni menghadapi situasi yang sama. Hanya Aznah yang terlepas dari tanggungjawab itu. Itu pun kerana dia merupakan ustazah di sekolahnya.
Sejak dari pukul sepuluh pagi tadi mereka berada di Summit, Batu Pahat. Mazni yang beria-ia mengajak Syuhada dan Ruzian ke komplek membeli belah itu. Bosan katanya bila seharian duduk terperap di rumah. Syuhada lebih suka menghabiskan masanya di Popular Book Store. Sedangkan Mazni dan Ruzian masih lagi berlegar-legar di tingkat dua. Dari tadi Syuhada leka membelek buku Motivasi ‘Nak Ke Tak Nak’ tulisan DR.HM TUAH ISKANDAR Al-Haj . Hendak dibeli terasa tidak berbaloi kerana buku itu sudah ada di perpustakaan sekolahnya. Dia sendiri sudah beberapa kali membacanya. Ada beberapa bab di dalam buku itu yang benar-benar menarik minatnya. Dan bab itulah yang sedang dibacanya sekarang sehingga dia langsung tidak  menghiraukan keadaan sekeliling.

“Maaf  Cik, boleh saya tumpang lalu?” Syuhada mengangkat mukanya bila terdengar suara seorang perempuan. Lama dia memandang wajah dihadapannya. Macam kenal. Tidak mungkin pelanduk serupa.
“Ini Cikgu Rosmah kan?” tanya Syuhada meminta kepastian. Perempuan dihadapannya memandang Syuhada agak lama.
“Ya. Saya Cikgu Rosmah. Cik ni macam saya kenal. Tapi sapa ye?”
“Cikgu tak kenal saya lagi? Saya Syuhada, pelajar cikgu sejak tingkatan empat lagi” jelas Syuhada sambil menyalami dan tunduk mencium tangan Puan Rosmah. Gembira hatinya dapat bertemu semula dengan salah seorang guru yang dikaguminya.
 “Syuhada?  Ye,  ye, saya ingat. Diantara lima orang pelajar terbaik masa STPM 1999 kan? Hampir tujuh tahun kita tak jumpa. Mari kita cari tempat yang lebih selesa. Boleh berbual panjang” ajak Puan Rosmah gembira. Selepas Syuhada mengambil keputusan STPMnya tujuh tahun lalu, dia cuba menjejaki anak muridnya ini namun tidak berjaya. Takdir Tuhan, mereka bertemu semula selepas tujuh tahun. Anak muridnya ini sudah banyak berubah. Baik dari segi penampilan mahupun raut wajah.
                                                                                             
Mereka sekadar ke Keanny Rogers di tingkat kedua. Selepas memesan minuman dan sedikit makanan ringan, Syuhada kembali mendapatkan Puan Rosmah. Teruja dia untuk berbual panjang dengan bekas gurunya itu. Mereka duduk di meja yang agak  jauh dari pelanggan lain. Lebih selesa untuk mereka berbual.
“Cikgu masih tinggal di rumah dulu?” tanya syuhada selepas mereka bertanya khabar masing-masing.
“Selepas suami saya pencen, kami pindah ke Pontian. Saya pun dah pencen tahun lepas. Tak payahlah panggil saya cikgu lagi. Dah tak jadi cikgu pun”
“Eh, mana boleh cikgu. Gelaran tu kekal sampai bila-bila. Kerana jasa guru-guru yang mendidiklah, telah mewarnakan perjalanan hidup saya hingga ke tahap ini” luah Syuhada bersemangat.
“Syuhada kerja apa sekarang? Saya tengok bukan main bergaya lagi. Berubah hampir sembilan puluh lima peratus. Cuma tahi lalat dan lesung pipit tu je tak berubah. Kalau tidak kerana tahi lalat itu, saya pun tak kenal” Puan Rosmah suka melihat penampilan Syuhada sekarang. Memang berbeza dari zaman persekolahan dulu. Diam-diam dia menyimpan impian. Impian seorang ibu!......Wanita ini memang selalu menyejukkan hatinya sejak dulu…sejak dia masih bergelar pelajar sekolah.
“Berubah ke cikgu? Dulu saya tak cantik kan? …. Jerawat pun penuh satu muka. Maklumlah dulu tu zaman gerhana, gerhanalah penampilan saya. Sekarang ni bulan cerah, cerahlah saya. Kan cikgu selalu kata …. Persekitaran mempengaruhi personaliti seseorang individu. Sekarang saya sudah berada di persekitaran yang lebih selesa. Dikelilingi oleh orang-orang yang ada personaliti. Alahamdulillah” luah Syuhada senang hati.
Puan Rosmah ketawa senang dengan kata-kata Syuhada. Memang dia selalu berkata kepada murid-muridnya dahulu ‘kalau hendak menjadi individu yang pandai, carilah kawan-kawan yang pandai, kalau hendak berjaya, duduklah di kalangan mereka yang berjaya’.... Syuhada masih ingat semua itu.
“Syuhada kerja apa?” Puan Rosmah mengulang soalannya tadi.
“Oh ya …. Tadi tu tak menjawab soalan kan, cikgu? Saya mengajar di Sk  Bandar”
“Cikgu jugalah ye. Tapi saya rasa …. Syuhada boleh capai lebih dari itu kalau.....” bicara Puan Rosmah terhenti bila telefon bimbitnya berbunyi. Puan Rosmah menjawab panggilan itu sebentar. Syuhada hanya memerhati. Dalam diam dia kagum dengan Puan Rosmah. Cikgunya itu masih kelihatan sihat dan muda walaupun sudah pencen. Dia amat menghargai Puan Rosmah …… seorang guru yang sering membakar semangatnya. Guru yang sentiasa memberi kata perangsang buatnya untuk meneruskan sekolah biarpun dihimpit bermacam kesukaran.
“Anak saya Syuhada. Dia ada di tingkat atas. Kejap lagi sampailah dia ke sini. Bolehlah saya kenalkan dengan awak” kata Puan Rosmah setelah selesai bercakap di telefon.
“Anak Cikgu yang pinjamkan buku-bukunya pada saya ke, cikgu?” tanya Syuhada teruja. Di ruang matanya terbayang seorang pemuda yang sering memerhatikannya sewaktu dia berusia lima belas tahun dulu. Puan Rosmah mengangguk.
“Kenapa Syuhada tidak masuk universiti terus lepas STPM dulu?” tanya Puan Rosmah. Jauh disudut hatinya merasa sedikit terkilan kerana Syuhada hanya meneruskan pelajarannya di Maktab perguruan sedangkan dengan keputusan yang diperolehi, dia layak untuk mendapat tempat yang lebih baik.
“Ini pun dah seribu syukur, cikgu. Saya masuk maktab pun setahun lewat dari kawan-kawan yang lain. Saya kerja dulu” jelas Syuhada. Memang jauh disudut hatinya, dia pun terkilan. Namun apakan daya. Tetapi setiap percaturan yang telah ditetapkan olehNYA pasti ada hikmah.
“Syuhada dah kahwin?” Syuhada tersentak dengan pertanyaan itu. Kahwin lagi?....Tidak habis-habis dengan isu perkahwinan. Atau dalam usia sepertinya, memang perkahwinan adalah topik yang paling relevan diperkatakan. Mentaliti masyakarat tentang isu yang satu ini memang belum pernah berubah. Hatinya tersentak sekali lagi bila terpandangkan lelaki yang berdiri di belakang Puan Rosmah. Pandangan mata mereka bersatu. Dia pun ada di sini?....Menyibuk betul! Tidak cukup dibandar Pontian, sampai ke sini si mamat ni mengekori aku?......... hati Syuhada merunggut jengkel. Tapi betul ke dia mengekori aku??? Atau sekali lagi Kak Maz menjadi informer dia??
“Dia akan kahwin dengan saya, mama. Tak lama lagi” lelaki itu menjawab bagi pihak Syuhada sambil tersenyum-senyum mengusik.  Ada riak terkejut di wajah Puan Rosmah. Apatah lagi Syuhada. Wajahnya mula merona merah. Malu pada Puan Rosmah. Berdebar dengan kata-kata itu. Biarpun kata-kata itu hanya dianggap gurauan melampau, namun tetap ada debaran yang singgah dihatinya. Teringat dia perbualannya dengan Mazni minggu lepas. Lelaki inilah yang dicalonkan oleh Mazni untuk menjadi pengantin lelakinya dalam usaha untuk melepaskan diri dari Zulhilmi. Lelaki itu berwajah selamba namun serius sambil menarik kerusi duduk di sebelah Syuhada. Syuhada mula merasa resah. Gelisah bila dirinya terus diperhati oleh Puan Rosmah. Shahrul Riezman memanggil Puan Rosmah, mama?.....maksudnya?
“Mama tak faham, cuba jelaskan Man. Syuhada ni ke yang Man sebut-sebut selalu” tanya Puan Rosmah mahukan kepastian.
Yes mama. Inilah calon menantu yang selalu Man janjikan dengan mama” jawab Shahrul Riezman sambil menjeling Syuhada dengan ekor matanya. Terasa seperti mahu luruh jantung Syuhada. Shahrul Riezman anak Puan Rosmah? Lelaki yang sering memerhatikannya dengan sorotan mata yang tajam bertahun dulu adalah Shahrul Riezman? Satu lagi kebetulan yang betul-betul mengelirukannya. Calon menantu?????.......kenapalah terlalu kerap kata-kata mengarut dari lelaki ini hinggap dicuping telinganya?
“Syuhada ke yang cakap dengan saya di telefon tempoh hari?” tanya Puan Rosmah masih lagi belum mahu  percaya.
“Kalau yang bercakap dengan mama Riezman masa kami lunch dekat Kayu Ara Resort tempoh hari,  memanglah saya cikgu. Tapi saya tak tahu Riezman ni anak cikgu” jawab Syuhada perlahan. Dadanya ditampar dengan seribu satu macam perasaan.......yang banyaknya perasaan malu. Malu pada lelaki ini. Lelaki ini pernah melihat dia dalam keadaan yang tidak sempurna. Daif!.   Malu juga pada Puan Rosmah. Secara tidak langsung dia telah berkawan dengan anak bujang bekas gurunya itu. Berkawan??? Benarkah mereka berkawan.
“Cikgu? Syu panggil mama, cikgu?” tanya Shahrul Riezman geli hati sambil memandang wajah Syuhada.
“Yelah. Puan Rosmah kan cikgu saya” Syuhada cuba berlagak selamba walaupun sebenarnya dia malu dengan bekas cikgunya. Malu yang teramat sangat. Entah apalah agaknya anggapan Puan Rosmah nanti.
“Ehh..kejap-kejap....macam mana mama boleh kenal dengan Syu?” Shahrul Riezman pula yang keliru.
“Cuba Man tengok betul-betul Syu ni. Man tak ingat dia ke?” tanya Puan Rosmah pula. Shahrul Riezman memandang wajah Syuhada lama. Menilik setiap demensi wajah wanita itu. Sinar redup mata itu dan tautan kening yang menarik itu bukankah milik seseorang yang dia kenali.
“Syu ni ke murid yang mama........” Shahrul Riezman terdiam lama. Terasa ada sesuatu yang indah dihatinya. Keindahan yang hanya dia seorang tahu apa maknanya. Terasa ada sebuah taman yang dihiasi mekar wangian bunga sedang terbina di relung-relung hatinya. Terukir sebuah senyuman dibibirnya.
“Yang apa?” Puan Rosmah pelik bila tiba-tiba Shahrul Riezman terdiam lama. Shahrul Riezman tersenyum lagi. Wajah Syuhada dipandang sepenuh hati. Awaklah wanita itu, Syu..........
“Hiesyyy...awak ni kenapa? Pelik betul senyuman awak tu. Ni adalah benda nak mengenakan saya” Syuhada serba tidak kena dengan pandangan aneh Shahrul Riezman. Hatinya mula diserbu dengan rasa yang suhunya sekejap sejuk dan sekejap hangat. Rasa macam hendak demam pulak.
“Jadi....... mama dah jumpalah murid kesayangan mama ye”  dia tidak menyangka inilah gadis yang sentiasa dicari sejak kembali dari luar negeri dulu. Patutlah sorotan mata itu macam pernah dilihat. Patutlah dia mempunyai perasaan yang sama sewaktu menatap gambar seorang gadis yang terdapat dalam majalah sekolah ibunya....... Syuhada dan gadis itu adalah orang yang sama.

“Syu dengan Man ni dah lama berkawan ke?” tanya Puan Rosmah sambil memandang wajah kedua-duanya.
“Sebenarnya bukan berkawan pun cikgu. Cuma selalu jugak kami terserempak kat bandar. Sekolah tempat saya mengajar kan kat tengah-tengah bandar” ujar Syuhada menjelaskan keadaan. Memang betul pun dia tidak berkawan  dengan Shahrul Riezman. Dia sendiri tidak tahu apa nama yang sesuai untuk hubungan antara mereka.
“Ehh, tak payahlah Syu panggil mama saya cikgu. Pelik benar bunyinya” pinta Shahrul Riezman tiba-tiba.
“Kenapa pulak pelik, Puan Rosmah ni kan bekas guru saya. Cikgu tak kisah kan?” bantah Syuhada tidak puas hati. Aku punya sukalah nak panggil apa! Puan Rosmah menggelengkan kepalanya sambil tersenyum bahagia.
“Itu dulu. Sekarang ni, mama kan bakal ibu mertua Syu” ujar Shahrul Riezman selamba membuatkan Syuhada terkedu malu. Wajahnya mula berona merah. Shahrul Riezman sudah mula membuat perangai tidak betulnya itu.
“Awak jangan lebih-lebih boleh tak?” Syuhada bersuara perlahan namun sempat sampai dipendengaran Puan Rosmah. Shahrul Riezman kalau bercakap memang tidak bertapis. Apa yang dirasa, itulah yang diluah.
“Dahlah tu, Man. Mama sebenarnya masih terkejut dengan semua ini. Syuhada, betul ke awak dengan Riezman …”
“Saya tak tahu dia anak cikgu, kalau saya tahu ……”
“Kalau Syu tahu, dah lama Syu terima tawaran saya kan?” Shahrul Riezman cepat-cepat memotong kata-kata Syuhada. Tanpa sedar Syuhada mencubit tangan Shahrul Riezman geram. Tetapi sepantas kilat juga Shahrul Riezman menyambar jari-jarinya. Pandangan mereka bersatu sekali lagi. Namun akhirnya Syuhada tersipu malu bila menyedari pandangan mata Puan Rosmah masih mlekat memandangnya.
“Maaf cikgu. Saya sebenarnya tak cukup sabar dengan Riezman ni. Terlebih mengada-ngada” Puan Rosmah ketawa senang. Melihat keceriaan di wajah Shahrul Riezman, dia yakin dengan kebenaran kata-kata Shahrul Riezman. Impian yang mula terlakar dimindanya tadi, hakikatnya telah dilakar terlebih dahulu oleh anak terunanya. Semoga bertemu jodoh mereka berdua....doanya didalam hati.
“Tawaran apa pulak ni, Man?” Puan Rosmah terasa ingin tahu. Tidak pernah Shahrul Riezman seramah hari ini melayan wanita-wanita yang pernah dikenalinya.
“Eh, tak ada apalah cikgu. Dia ni memang suka merapu” pintas Syuhada pantas. Khuatir juga dia andai Shahrul Riezman merapu yang bukan-bukan. Lelaki ini bukan boleh diharap sangat. Bercakap ikut sedap mulut sahaja. Dia memang macam ni ke?? Tapi dulu bukan ke dia Cuma tahu diam. Hampir-hampir bisu!

Telefon bimbit Puan Rosmah berbunyi lagi. Butir perbualan Puan Rosmah dengan pemanggil sedikit sebanyak dapat ditangkap oleh Syuhada. Rupa-rupanya mereka tidak datang berdua.
“Nampaknya saya terpaksa beredar dulu, Syuhada. Memandangkan Syuhada dah jadi kawan Riezman, jangan lupa datang ke rumah saya. Saya tunggu tau” Syuhada sekadar mengangguk sambil berdiri lalu menyalami dan mencium tangan Puan Rosmah. Shahrul Riezman yang memandang, terkesima. Sejuk hati lelakinya, walaupun dia tahu perbuatan itu lumrah bagi seorang murid sebagai tanda menghormati gurunya. Shahrul Riezman turut bangun sambil menuruti langkah ibunya sehingga ke pintu lif tanpa meninggalkan kata-kata buat Syuhada.
“Okay Man, mama balik dengan abang dan kak long kau. Jangan lepaskan gadis sebaik dia dan jangan balik jauh-jauh malam” kata Puan Rosmah sambil menepuk bahu anak lelakinya. Shahrul Riezman tersenyum sambil menghantar ibunya pergi dengan pandangan mata. Yesss....mama dah bagi lampu hijau.

Setelah mereka pergi, Syuhada masih lagi duduk di situ. Termanggu sendiri. Akal dan fikirannya seolah-olah terhenti kaku. Termenung jauh memikirkan peristiwa sebentar tadi. Langsung tidak terjangkau oleh akal fikirnya yang dangkal akan kebetulan seumpama itu. Shahrul Riezman? … kenapa hanya lelaki itu yang hadir dalam takdir hidupnya selepas ikatan pertunangan antara dia dengan Zulhilmi terputus? Kenapa Shahrul Riezman, anak Puan Rosmah harus ada dekat dalam hatinya? Haruskah dipertimbangkan kehadiran lelaki itu dalam hidupnya seperti yang selalu disebut-sebut oleh  Mazni?  Perlukah diterima tawaran lelaki itu? Be my wife, Syu ...... seakan-akan bergema frasa itu dibenaknya.

“Tunggu saya ye?” suara lembut itu begitu hampir di telinganya. Dia terkejut bukan kepalang. Lelaki yang masih tersenyum di hadapannya dipandang hairan. Aroma yang melekat pada tubuh lelaki itu, tiba-tiba menggetarkan naluri wanitanya. Syuhada menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Mengapa lain benar rasa hatinya hari ini.
“Tak balik lagi ke? Cikgu balik dengan siapa?” tanya Syuhada hairan. Shahrul Riezman tersenyum. Baru Syuhada perasaan lelaki itu mempunyai senyuman yang manis. Baru juga Syuhada perasan, senyuman itu sama dengan senyuman budak lelaki yang  selalu memandangnya bertahun dulu. Tetapi kenapa baru hari  ini perasaan? Bukan Shahrul Riezman tidak pernah tersenyum pun sebelum ini.
“Mama balik dengan along sekeluarga. Saya balik dengan awak” wajah wanita di hadapannya dipandang puas-puas. Terlerai segala rindu. Sudah agak lama mereka tidak berjumpa. Terserempak pun tidak pernah lagi. Hanya berhubung melalui telefon. Itupun jarang mendapat balasan. Bukannya senang hendak mendengar suara Syuhada, apatah lagi mengajaknya  keluar. Ada sahaja alasan yang tidak munasabah.
“Saya tak sangka awak anak Cikgu Rosmah” lembut suara Syuhada menampar pendengaran Shahrul Riezman. Damainya hati.
“Apa bezanya saya anak Cikgu Rosmah atau bukan?” Shahrul Riezman masih lagi merenung wajah  dihadapannya.
“Tak ada bezanya. Cuma saya tak sangka”
“Patutlah sejak kali pertama saya jumpa awak, saya rasa awak macam ada hutang sesuatu dengan saya” bulat mata Syuhada mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Hutang???????? Hutang apa?
“Hutang???? Mana pernah saya berhutang dengan awak” sangkal Syuhada pantas.
“Cuba awak ingat baik-baik......ada tak barang saya yang awak simpan?”
“Ooooo.....awak nak semula ke harta-harta awak tu?” sindir Syuhada. Eleh...setakat buku-buku yang sudah tidak ada nilainya pun sibuk diungkit-ungkit.
“Mestilah. Harta saya tu....sangat-sangat bernilai tau” jawab Shahrul Riezman bersungguh-sungguh.
“Saya masih tak percaya yang awak ni adalah budak lelaki yang selalu melepak kat warung Pak Sahak dulu” luah Syuhada bila melihat perwatakan Shahrul Riezman yang sudah jauh berbeza. Memang masa mampu mengubah segala-galanya. Budak lelaki yang dulu  sangat pendiam orangnya, sedangkan Shahrul Riezman terlebih peramah pula. Peramah yang tidak kena pada tempatnya.
“Tapi awak sukakan saya datang melepak kat warung tu. Awak tertunggu-tunggu kedatangan saya, kan” usik Shahrul Riezman sambil tersengih-sengih nakal.
“Eleh....awak je yang perasan. Saya tak heran pun awak datang ke tidak” balas Syuhada menyampah.
“Tak sangka kan kita dapat berjumpa lagi” sambung Syuhada lagi.
“Kenapa? Awak tak suka?”
 “Saya akan terkenang memori zaman remaja saya bila melihat awak, melihat Puan Rosmah. Satu zaman yang ingin saya lupakan terus dari diari kehidupan saya” Syuhada berkata sambil memusing-musingkan straw di gelasnya. Entah mengapa ada rasa hiba yang tiba-tiba menjengah kamar hatinya. Sejarah warung Pak Sahak  tersimpan utuh direlung hatinya. Kalau boleh, dia tidak mahu ingat-ingat lagi. Tiada indahnya kenangan itu untuk disimpan lama-lama dalam kotak ingatannya.
“Syu pandang  saya” seru Shahrul Riezman perlahan. Dia faham apa yang cuba Syuhada sampaikan. Syuhada mengangkat mukanya lambat-lambat. Lama pandangan mata mereka bertaut. Seolah-olah ada bicara dari tautan mata itu...yang hanya mereka berdua sahaja mengerti. Hati Syuhada menyimpan debar.
“Setiap memori ada keindahannya tersendiri, Syu. Kita mesti hargai setiap apa yang pernah kita lalui dan kita juga mesti bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang.  Jangan rasa rendah diri. Setiap manusia ada bahagiannya di muka bumi ini. Dan setiap individu dugaannya berbeza dengan individu lain” luah Shahrul Riezman ikhlas. Syuhada tersenyum mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Tenang sedikit  hatinya.
“Pandai awak bercakap ….. maklumlah anak cikgu” Syuhada mengusik. Shahrul Riezman ketawa lepas. Ada rasa damai dihatinya bila mendengar Shahrul Riezman ketawa.
“Tak betul tu. Saya pandai bercakap sejak berkenan dengan seorang cikgu” Syuhada ketawa kecil bila Shahrul Riezman sudah mula menunjukkan belangnya semula. Terserlah lesung pipit di kedua belah pipinya. Shahrul Riezman menyulam Resah. Ketawa Syuhada kedengaran begitu menggoda ditelinganya.
“Cikgu tu berkenan kat awak tak? Atau awak saja yang bergendang seorang. Ditimpa perasaan, awak kan memang suka perasan” Syuhada mengusik lagi. Kali ini Shahrul Riezman memandangnya serius. Keinginannya bukan mainan pada wanita ini. Kenapa tidak mahu mengerti?
“Dia pun berkenan tapi tak nak mengaku. Dia menipu hatinya sendiri..... buat-buat tak kisah pada saya sedangkan saya tahu dia bahagia bila dekat dengan saya” luah Shahrul Riezman perlahan. Syuhada tunduk bila mendengar kata-kata Shahrul Riezman. Aku menipu hatiku sendiri …… benarkah?......Aku bahagia bila dekat dengannya?
“Saya dah lama dekat sini. Tentu Kak Maz dan Aznah cari. Saya pergi dulu ye, Riezman” Syuhada berdiri sebaik sahaja habis berkata. Namun Shahrul Riezman sempat menarik pergelangan tangannya. Syuhada terkesima. Tanpa dipinta, sentuhan itu mengundang getaran yang maha hebat di hatinya. Bagaikan ada renjatan elektrik yang mengalir deras dalam salur-salur darahnya.
“Tak payah cari mereka. Saya dah jumpa tadi. Mereka tahu saya dengan awak” Syuhada menarik tangannya dari pegangan Shahrul Riezman lalu duduk semula.
“Ini tangan saya tau. Saya tak suka awak sentuh atau pegang tangan saya sesuka hati awak” ujar Syuhada geram sambil mengembangkan kelima-lima jarinya dihadapan muka Shahrul Riezman.
“Sentuh sikit pun nak marah....”
“Habis tu awak nak suruh saya suka, gembira. Peganglah Riezman....pegang lama-lama...macam tu” potong Syuhada keras.
Hahahaha......ketawa besar Shahrul Riezman mendengar kata-kata Syuhada yang agak lucu ditelinganya. Syuhada memang sudah berubah. Tambah menarik dan lebih menggoda. Menggoda????
“Mana awak jumpa mereka? Saya nak balik dengan mereka”
“Di tingkat atas tadi, sebelum saya telefon mama. Saya memang cadang nak cari awak lepas jumpa mama. Tapi tak sangka awak dengan mama. Tak perlu bimbang Syu, saya dah cakap dengan mereka, awak balik dengan saya” Shahrul Riezman mengukir senyum melihat raut wajah dihadapannya berubah. Tentu tidak puas hati.
            “Kenapa suka-suka hati buat keputusan untuk saya. Awak pasti ke saya nak balik dengan awak?” soal Syuhada geram.
            “Apa salahnya balik dengan saya?”
            “Salahnya saya tak nak!. Saya datang dengan kawan-kawan saya, balik pun saya nak dengan mereka. Ada faham?? Aatau orang bank memang tak faham bahasa mudah macam tu”
            “Memang tak faham! Tak sangka awak ni degil orangnya, ye. Dulu-dulu tu bukan main lemah lembut lagi” Shahrul Riezman tidak mahu mengalah. Sudah terlanjur berjumpa, apalah salahnya berlama-lama. Lagipun hari minggu. Bukan ada sesiapa hendak marah pun.
            “Awak pun dulu bukan main pendiam lagi. Macam ada emas kat dalam mulut. Main pandang-pandang je…..tapi sekarang macam murai tercabut ekor la pulak” balas Syuhada pula.
            Hahaha….Shahrul Riezman ketawa lagi. Sudahnya Syuhada pun turut ketawa. Cukup indah bila mengenang mereka pernah memiliki memori bersama walaupun waktu itu tiada kata-kata mesra yang terungkap.
            “Jadi……awak balik dengan saya?” tanya Shahrul Riezman dihujung tawanya.
            “Saya ada pilihan lain ke?” soal Syuhada geram.
            “Tak ada. Pilihan awak cuma satu……balik dengan saya!” jelas Shahrul Riezman tersengih-sengih.
            “Kalau cuma ada satu…itu bukan pilihan namanya. Itu arahan dari lelaki kuku besi” balas Syuhada sakit hati.
            “Jangan lupa, awak ada hutang  yang belum selesai dengan lelaki kuku besi ni tau” Syuhada sekadar mencebikkan bibirnya mendengar kata-kata Shahrul Riezman.
            “Seksi bibir awak buat macam tu. Buatlah selalu, saya suka” tidak habis-habis Shahrul Riezman mengusik.
            Syuhada membulatkan matanya. Lelaki ini memang tidak pernah puas mencari pasal dengannya.
            “Awak memang tak layak jadi anak Puan Rosmah tau. Cakap ikut sedap mulut je ye. Ataupun ada fius yang dah tak berfungsi dalam kepala awak tu” balas Syuhada geram.
            “Hmmmm.. kalaulah saya tau awak ni budak perempuan yang dulu….” ujar Shahrul Riezman tiba-tiba. Syuhada mengerutkan dahi tanda tidak mengerti.
            “Apa awak nak buat?”
            “Rahsia” jawab Shahrul Riezman sepatah sambil tersenyum-senyum.
            “Okay, tak kisah. Simpanlah rahsia awak tu sampai bila-bila. Agak-agak kita nak bermalam kat sini ye?” sindir Syuhada. Sudah berkali-kali dia memandang jam ditangannya.
“Saya okay je kalau awak tak  kisah” Shahrul Riezman menjawab selamba. Suka benar dia melihat wajah masam-masam manis dihadapannya.
Arghhh,…..geramnya!. Betul-betul dia ini spesies yang selamba badak. Disindir pun tak reti-reti.
“Kalau awak nak tidur sini, tidurlah sorang-sorang ye. Saya nak balik sekarang” Syuhada bingkas berdiri, mencapai beg tangannya lalu melangkah pergi.