Thursday, November 12, 2015

~~Setelah Kau Pergi~~

Untuk apa menjelma kembali
Sedang kau pernah tinggalkan diriku
Untuk apa menagih kasih lagi
Setelah sayang yang kuberi
Kau buang begitu saja

Setelah kau pergi
Sekali pun tak pernah
Ku mengharap kau kembali lagi
Dalam hidup ku.... dalam hati ku

Setelah kau pergi
Aku masih ada DIA
Untuk aku mengadu duka
Tentang hati ku yang kau lukai

Hari-hari yang ku susuri
Biarpun sepi... biarpun sunyi
Tanpamu....
Namun...
Takkan pernah aku rebah
.... tanpa dirimu
Takkan aku goyah
.... tanpa kasihmu

Untuk apa merayu lagi
Pada diriku
Yang pernah kau tinggal pergi
Setelah kau hilang begitu saja
Aku masih utuh berdiri
Kerna aku masih ada DIA.

(12.11.2015/1.06pm)

Wednesday, November 11, 2015

~~Aku ingin pasrah~~

Pinjamkan aku bahumu
Aku ingin bersandar di situ
Mengeringkan air mata yang menitis laju
Izinkan aku rebahkan kepala
Memujuk hati dirantai resah
Menghalau duka yang masih berlagu

Pinjamkan aku masamu
Aku ingin meluah bicara
Menyusun kata yang memendam luka
Izinkan aku leraikan gelisah
Memujuk diri berpaksi pasrah
Meski curiga masih enggan pergi.

11.11.2015/8.38pm

Saturday, November 7, 2015




Pelajar UKM berdiskusi tentang Selamat Pagi Cinta dalam Program Persuratan Melayu.


Thursday, November 5, 2015

TENTANG SEPASANG KASUT


 "Sepasang kasut, meski berbeza kanan dan kiri, tetapi tetap berjalan menuju ke satu tujuan. Tetap menghala ke satu arah. Tetap seiring hingga ke garisan terakhir. Jika salah satu daripadanya hilang, maka tak adalah maknanya sebab yang sebelah lagi tak mempu berjalan sendirian."
KITA... harapnya begitu.

Saturday, February 22, 2014

Monday, October 21, 2013

BAB 4

Sayup melihat tebing
Tika hanyut dibawa arus
Tinggi gunung tak terdaki
Bila langkah kerap tersekat

            “Siap sekarang. Ikut papa pergi pejabat.” Keras dan kaku. Memang veto! Intonasi macam arahan untuk perkeja bawahan sahaja bunyinya.

            Afra yang baru hendak duduk, terpinga seketika. Wajah Tuan Kazim dan Puan Jasmine dipandang silih berganti. Dia yang baru turun dari bilik dan seperti biasa ingin bersarapan bersama-sama menarik kerusi lalu duduk perlahan-lahan. Pergi pejabat?

            “Maksud papa?” soalnya sambil menarik pinggan yang berisi roti bakar.

            “Dah dua bulan you habis belajar, dah sampai masanya fikirkan tentang masa depan. Sampai bila nak buang masa tak tentu hala.” Jelas Tuan Kazim.

            “Betul tu Afra. Sampai bila nak buang masa. Masa tak pernah tunggu kita. Setiap waktu yang berganjak, kita perlu fikirkan tentang kejayaan... tentang cara untuk menambah apa yang kita ada. Barulah nanti ada kedudukan untuk kita. Barulah orang tak pandang remeh pada kita.” Sambung Puan Jasmine.

            Afra masih tunduk. Memandang roti yang berada dipinggannya tanpa diusik. Memang itulah cara mama berfikir... sebab itu kedudukan mama tinggi sekarang ini. Sehingga terlupa pada nilai yang perlu ada dalam hati nurani. Sehingga terlupa berterima kasih pada hidupnya yang dulu. Dada Afra sebak tiba-tiba.

            “Afra dah ada perancangan untuk hidup Afra.” Kata Afra perlahan.

            “Okey, apa yang you nak buat. Cuba beritahu papa.”

            Afra menarik nafas. Menjeling sekilas ke arah Puan Jasmine. Berdoa dalam hati agar apa yang dirancangkan bakal diterima oleh orang tuanya.
            “Afra ingat nak bukak pusat penjagaan harian orang-orang tua... home care centre. Afra nampak keperluan adanya pusat seperti itu amat penting sekarang, lebih-lebih lagi di bandar besar macam tempat kita ni.” Jelas Afra.

            Arfa nampak mamanya menggeleng kepada. Papa pula diam tanpa reaksi yang positif. Namun yang jelas terakam di anak matanya... wajah itu tegang dan masam mengalahkan cuka.

            “Afra dah buat proposal.”

            “Mama tak setuju. Nak buat apa you nak susahkan diri. Syarikat papa dah kukuh, dah ada banyak cawangan... siapa nak teruskan usaha papa dan mama kalau bukan you. Kami bukannya ada anak lain.” Puan Jasmine memandang Afra tidak puas hati. Pusat penjagaan orang tua??? Bergelumang dengan orang tua? Apa bala yang anaknya tempah ni? Hidup dah senang depan mata... nak menyusahkan diri buat apa.

            “Afra tak minat dengan bidang pembinaan yang mama dan papa usahakan. Lagipun Hanif  kan ada. Dia kan dah lama jadi orang kanan papa. Lagipun dia kan anak saudara mama sendiri.”

            “Papa tetap dengan keputusan papa... you mesti kerja di syarikat papa. Mesti berganding bahu dengan Hanif teruskan apa yang dah papa mulakan. Esok lusa kalau kamu berdua sudah jadi suami isteri, lagi senang.” Tegas suara Tuan Kazim membuat Afra terkedu seketika.

            Suami isteri?... rupanya benar desas desus yang dia dengar beberapa bulan kebelakangan ini. Memang benar dia bakal dijodohkan dengan Hanif, anak Pak Long Jalil. Anak Tan Sri Jalil yang lebih tepat!

            “Hanif kan abang sepupu  Afra.”

            Puan Jasmine mendengus kasar. Wajah Afra yang sedang tunduk dipandang geram. Afra memang jarang menurut apa yang dia dan suaminya kata. Ada sahaja yang dibantah. Ada sahaja yang tidak dipersetujui. Kalau dulu dia tidak berkeras memaksa Afra menyambung pelajaran di UK, sudah tentu anaknya yang seorang itu sudah menyambung pelajaran di Jordan.  Kalau tidak ditegah, sudah pasti anaknya itu sudah bertudung labuh... jangan-jangan sudah berpurdah seperti Majidah. Umi Majidah!

            “You mesti kahwin dengan Hanif.”

            Afra mengangkat muka memandang Puan Jasmine yang sedang memandang kearahnya dengan pandangan yang mengancam.  Tanpa senyum dan langsung tiada aura mesra. Mereka seperti orang lain. Hubungan mereka bagai ada tembok yang menghalang segala kemesraan.

            Mesti?? Veto!

            Mesti?? Kawin paksa! Tipikal cerekarama melayu. Puan Jasmine terlupa agaknya zaman sudah jauh berubah.

Mesti kahwin dengan Hanif?? Hanif yang kacak bergaya itu?? Hanif yang ramai teman wanita itu?? Hanif abang sepupunya yang baik hati itu??

            “Afra tak boleh.” Perlahan suara Afra.

            “Kenapa? You dah ada orang lain? Dah bercinta dengan orang lain?”

            “Mama... kenapa mama nak paksa Afra? Afra tak boleh buat apa yang Afra tak suka. Tanpa berkahwin dengan Hanif pun, dia tetap boleh menjadi waris mama. Hanif abang saudara Afra, ma.” Perlahan dengan harapan dapat melembutkan hati Puan Jasmine.

“Anak perempuan adalah hak ibu bapa, Afra. Umi Majidah you tak ajar betapa wajib seorang anak menurut perintah ibu dan bapanya. Tiap-tiap hari berulang ke sana, takkan perkara asas macam tu pun you tak tahu. Apa sahaja yang you buat di Darul Hannan sana?” Suara Puan Jasmine mula meninggi. Sakit hatinya pada Umi Majidah dilampiaskan kepada Afra.

            “Jasmine... jangan berkeras sangat.” Tegur Tuan Kazim. Bimbang juga hatinya andai Afra semakin jauh dari mereka. Menunjukkan rasa tak suka mereka pada penghuni Darul Hannan adalah bukan langkah yang baik. Apa pun Afra pasti berpihak kepada Abi Daud dan Umi Majidah. Mereka tak boleh lupa bahawa sebahagian dari jiwa Afra ada di Darul Hannan.

            Afra menarik nafas panjang. Sekali lagi mamanya mengungkit tentang Darul Hannan. Menghina yang lebih tepatnya. Mama sudah lupa pada kebaikan Darul Hannan. Mama lupa Darul Hannan itu pernah menjadi tempat dia ditumpangkan. Diam-diam dia menelan hiba.

            “Kenapa nak libatkan umi? Umi tak ada kena mengena pun dengan apa yang kita bincangkan. Darul Hannan tak pernah mempengaruhi fikiran Afra.”

            “Hah... you tengok tu, tak habis-habis dia membela si Majidah tu. Baik sangat Darul Hannan tu di mata dia. Suka sangat dia dengan pondok buruk tu.” Puan Jasmine kian menyinga.

            “Papa tak pernah halang you ke sana. Tapi jangan sampai you terpengaruh dengan cara hidup mereka. Cara mereka berfikir tentang hidup, cara mereka menikmati hidup... tak sama dengan orang seperti kita.”

            Afra nanar seketika. Ayahnya pun sama.  Pandangan ayah dan ibunya tentang Darul Hannan sama. Mereka telah lupa pada sejarah mereka rupanya.

            “Apa yang tak sama pa? Agama kita sama dengan mereka. Tujuan hidup kita sepatutnya sama dengan mereka walaupun rezeki yang Allah bagi pada kita jauh lebih mewah dari mereka.”

            Tuan Kazim menolak kerusi dengan kasar. Dia berdiri sambil memandang Afra dengan wajah menahan marah. Anaknya ini sudah melampau! Sudah mula tunjuk pandai. Sudah pandai membandingkan mereka dengan penghuni Darul Hannan sana. Sedangkan sepatutnya Afra tahu bahawa perbezaan mereka umpama langit dengan bumi. Mereka di utara dan penghuni Darul Hannan itu jauh di selatan bumi.

            “Jangan cuba mengajar papa, Afra! Jangan sampai papa halang you dari berjumpa dengan mereka. Sampai hari ini papa biarkan you ke sana sebab si Majidah tu pernah memberi sedikit susu pada you.” Keras suara Tuan Kazim.

            Hati Afra bagai ditusuk duri sembilu. Si Majidah?? Ibu susuannya dipanggil Si Majidah? Sampainya hati papa! Begitu hina mereka di mata papa. Papa lupa ke pada jasa mereka? Memang Tuan Kazim yang mulia ini sengaja buat-buat lupa.

            “Bukan sedikit papa... dua tahun! Dua tahun Afra menyusu dengan umi. Papa sepatutnya ingat, tanpa susu dari Umi Majidah... mungkin Afra tak ada hari ini. Mungkin Afra sudah mati kelaparan masa bayi dulu. Susu yang umi beri sudah menjadi darah daging Afra, pa. Tergamak papa nak suruh Afra lupakan mereka.”

            Afra menjadi berani bila soal umi dibangkitkan. Wanita itu sudah diangkat sama taraf dengan ibunya. Umi Majidah yang berperanan seperti Halimatul Sa’diah. Dia bukan hendak menyebelahi umi tapi apa yang ibunya lakukan banyak yang tidak dia gemari. Banyak yang sumbang dimatanya. Apa salahnya hubungan baik yang ada dulu diteruskan. Kenapa mesti putuskan silatulrahim yang ada. Tidak ada ruginya kalau keluarga mereka berbaik-baik seperti dulu.

            “Berapa banyak yang mereka nak, papa boleh bayar balik harga susu yang mereka beri. Berkali-kali ganda papa boleh.” Angkuh suara Tuan Kazim memeranjatkan Afra. Sanggup ayahnya nak bayar harga susu yang diberi Umi Majidah.

            Astaghfirullah... papa! Bukan semua boleh dibeli dengan wang ringgit. Rasa sebak kian menghanyutkan hatinya. Mengalir titis-titis pedih ke seluruh urat nadinya. Ayahnya memang sudah berubah. Bukan Kazim yang tidak punya apa seperti bertahun dulu. Bukan Kazim yang berkawan rapat dengan Abi Daud dan Umi Majidah dulu. Harga kasih sayang mereka tiada nilainya pa... tubir mata mula terasa hangat.

            “Betul kata papa. Jangan kerana susu yang dia beri pada you... you terpaksa mengabdikan seluruh hidup you pada mereka. Darul Hannan bukan dunia kita, Afra. You tak perlu rasa terhutang budi pada mereka.” Sokong Puan Jasmine.

            Puan Jasmine pun begitu. Memang sehati sejiwa dengan suaminya. Puan Jasmine juga turut terlupa pada kisah yang pernah dikhabarkan padanya bertahun dulu. Ibunya itu pengsan selepas melahirkannya duapuluhlima tahun yang lalu. Terpaksa ditahan di ICU seminggu lamanya. Ditahan berminggu-minggu pula di wad akibat rahimnya yang rosak teruk sehingga terpaksa dibuang. Afra yang masih merah... yang langsung tidak mahu menyusu susu formula, terpaksa diserahkan kepada umi. Lima tahun lamanya dia tinggal bersama keluarga umi. Lima tahun dia membesar di Darul Hannan lantaran kesihatan ibunya benar-benar terganggu. Puan Jasmine mengalami ‘postnatal despression’. Ibunya memang sudah lupa pada semua hubungan jiwa yang cukup manis dulu. Afra terpaksa mengangkat bendera. Terpaksa mengalah dengan ayah dan ibunya.            


Wednesday, August 28, 2013

BAB 3

“Perkataan silat itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian dan pelajaran silat gayong itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi nikmat-nikmat kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan.” Suara Abi Daud yang menerangkan asas maksud silat pada murid-murid baru hanya sayup-sayup kedengaran ditelinganya. Titik tumpuannya saat ini tidak pada butir penerangan abi tapi pada sekujur tubuh yang terlihat jauh di hujung mata.

            “Hoi... resah saja malam ni, pasal?” tersentak dia dengan tepukan Firdaus dibahunya.

            “Okey saja. Macam biasa. Mana ada resah.”

            “Dengan aku jangan temberanglah. Apa yang menarik di hujung sana. Ada mahluk asing ke kat pondok tu?” soal Firdaus tanpa selindung. Bukan dia tidak perasan gerak anak mata Samir yang asyik terarah ke hujung sebelah sana.

            Samir ketawa perlahan. Firdaus begitulah selalunya. Tahu sahaja apa yang ada di benaknya. Sekilas anak mata bergerak pun dia tahu apa mahunya. Memang tak jalan kalau saja-saja bagi alasan.

            “Fokus kat abi... nanti tak fasal-fasal kena sembur.” Samir mengelak.

            Perbualan mereka terhenti bila abi mula menyambung penerangannya.

            “Seni silat ialah satu seni yang terhasil daripada kepintaran bangsa Melayu. Pemulaan pelajaran seni silat dalam masyarakat Melayu adalah sejajar dengan seruan Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra’d supaya umat Islam bersiap sedia menghadapi musuh dalam kekuatan yang termampu.”

            Suasana sepi seketika. Ahli baru dalam gelanggang abi adalah seramai tiga puluh orang. Terdiri dari sembilan belas orang lelaki dan selebihnya perempuan. Rata-rata berusia antara sembilan belas hingga duapuluhlima tahun. Firdaus dan Samir sendiri sudah diangkat sebagai pembantu abi.

            “Kau nak kenal tak, aku boleh kenalkan.” Tanya Firdaus berbisik.

            Samir berdehem perlahan. Dirinya ditegakkan. Kedua belah tangannya saling bertindih, diletakkan di atas dadanya... selesa berpeluk tubuh.

            “Ada-ada sahaja kau ni.”

            Hati mahu tapi mulut ditahan oleh rasa malu.

            “Daripada kau curi-curi tengok macam tu, baiklah kenal-kenal. Manalah tahu dua-dua tersangkut... love  in a first sight.” Usik Firdaus bersungguh. Jika mata sudah mencuri pandang begitu, pasti dalam hati ada rasa ingin. Apa salahnya dia menjadi orang tengah. Andai tersangkut... senang benar hatinya. Tidak jatuh ke mana adiknya itu nanti.

            “Samir... apa motto silat seni gayong kita?”

            Samir terpinga bila terasa rusuk kirinya disiku. Pantas dia menoleh ke arah Firdaus.

            “Abi tanya kau tu.”

            “Apa dia?” Memang titik tumpuannya hilang diusik sesuatu.

            “Motto silat.”

            “Ooo... motto silat seni gayong ini adik-adik ya, ‘kata bersahut, gayong bersambut’... jangan lupa tu.”

            Anak matanya berpindah dari seorang ke seorang murid baru abi yang sedang berdiri dalam keadaan senang diri.

            “Murid gayong tidak mencari musuh tetapi jika berhadapan dengan serangan musuh... berpantang mengundur walau selangkah.” Sambung Samir lagi.

            Abi melangkah menghampiri Samir lalu menepuk bahu kanan anak muda itu.

            “Bagus Samir. Masih merah apa yang telah dipelajari.” Puji abi.

            “Terima kasih abi.”

            “Baik. Gelanggang akan bermula sebentar lagi. Dengar sini baik-baik. Dalam gelanggang pun ada adabnya. Antara perkara yang perlu kamu patuhi semasa berada di gelanggang:

1. Tidak meludah
2. Tidak memakai alas kaki
3. Tidak bergurau senda
4. Meminta izin daripada guru gelanggang jika ingin keluar dari gelanggang
5. Menghormati rakan-rakan dalam latihan
6. Tidak makan dan minum ... dan semasa makan atau minum, bengkong, tengkolok dan sandang hendaklah ditanggalkan dan disimpan di tempat yang elok. Faham semua?” suara abi tegas memberi peringatan sesuai dengan ilmu persilatan yang ada didadanya.

            “Faham!” Sahut mereka serentak.

            Mereka mula bergerak mengikut arah yang diberi. Malam itu mereka akan belajar peringkat Tapak Gayong sahaja iaitu terdiri dari segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki, termasuk juga senaman anak harimau, elakan dan tangkapan kunci mati di mana ada duapuluh satu buah tapak kunci mati bagi menewaskan lawan tanpa menggunakan senjata.

            “Siapa?” sempat juga Samir membisik tanya sambil mengawasi pergerakan anak-anak murid abi. Firdaus ketawa perlahan.

            “Ingatkan tak berminat?”

            “Tanya saja.”

            “Bermula dari merisik khabar kan.”

            “Kau ni, imaginasi tinggilah Firr. Tanya kadangkala tidak berserta tujuan.”

            Firdaus berdehem. “Adik aku.”

            Samir mengerutkan dahi. Kalau tidak silap dia, anak abi dan umi cumalah Firdaus seorang. Yang ramai itu hanyalah anak-anak yatim yang dipelihara oleh mereka. Dari mana datangnya adik Firdaus.

            “Sejak bila pulak ada adik?”

            “Ada. Memang ada.”

            “Tak pernah nampak pun sebelum ini.”

            “Jodoh dah dekatlah tu. Sebab tu baru hari ini kau nampak dia.”

            “Iyelah sangat. Macamlah aku teringin sangat berabang iparkan kau.”

            Firdaus melepas ketawa. Bahu Samir yang sudah berumur tigapuluh tahun namun belum pernah kedengaran ada teman wanita itu dipeluk mesra.

            “Mmm... memang tak boleh. Kau kan lebih tua dari aku. Mana boleh kau panggil aku abang. Abang Firr yang macam adik aku panggil.”

            Samir menyiku perut Firdaus sehingga temannya itu terdorong ke belakang.

            “Betul ke adik kau? Entah-entah....”

            “Betul adik aku.”

            “Okey.”

            “Tak nak tanya lagi?”

            “Malas. Lagipun belum ada kepentingan.”

            Sekali lagi Firdaus ketawa.

            “Cepat sangat give up. Sebab tu jadi bujang terlajak.” Selamba sahaja Firdaus mengutuk.

            “Weii... belum terlajak lagi. Kita ni lelaki... lagi matang lagi tinggi saham tau.”

Samir turut ketawa. Tidak terasa sedikit pun dengan kutukan Firdaus. Tahu sangat dengan perangai Firdaus. Mulutnya memang ‘busuk’ tapi hatinya ‘wangi’. Memang Firdaus dari keturunan yang ‘wangi’ hatinya. Lihat sahaja abi dan umi. Membina Darul Hanan semata-mata untuk menolong anak-anak yatim piatu yang tiada tempat berlindung. Tanpa biaya dari mana-mana pihak pulak tu. Abi dan umi hanyalah pesara pegawai kerajaan kumpulan sokongan. Kalau ada yang lebih pun, hanyalah beberapa ekar tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Kata abi, rezeki yang ada perlulah diagih dan dikongsi dengan mereka yang memerlukan. Tidak ada yang menjadi papa kedana dengan memelihara anak-anak yatim.

            “Dia Afra.” Beritahu Firdaus tiba-tiba.

            “Afra? Siapa?”

            “Kita sedang bercakap tentang amoi yang kau bedah siasat tengahari tadi ke?”

            Firdaus meluru menghantar serangan namun tangkas dielak oleh Samir. Tangan kanan Firdaus ditangkap lantas dipulas ke belakang.

            “Afra.” Tubuh Firdaus ditolak ke hadapan.

            “Ya, Afra.”

            “Unik. Jarang dengar.”

            “Kau masih tangkas walaupun dah lama tak masuk gelanggang.”

            “Gerak langkah musuh dah sebati dalam diri aku. Setiap gerak dapat aku baca.”

            “Dahlah... abi dah nak tutup gelanggang.”

            Mereka kembali ke kedudukan asal. Abi sedang memberi kata-kata penutup kepada murid-murid silatnya. Diselit juga kata-kata nasihat. Memang abi tak pernah jemu memberi nasihat. Mereka bersurai beberapa ketika selepas itu.

            “Tidur sini Samir? Sudah lama kamu tak bermalam di pondok abi.” Abi duduk di pangkin yang ada di bawah pokok manggis.

            “Eh, taklah abi. Dah janji dengan ibu nak keluar sama-sama esok.”

            “Iyelah. Pandu kereta tu baik-baik. Dah jauh malam ni.” Pesan abi.

            “Minta diri dulu abi. Salam saya buat umi ya. Assalamualaikum.”

            Samir bergerak ke keretanya selepas bersalam dengan Abi Daud. Firdaus mengekorinya dari belakang.

            “Bila datang lagi?” tanya Firdaus sebaik sahaja pintu kereta dibuka Samir.

            “Kalau tak ada kes... hujung minggu ni.”

            Samir berjeda. Ada sesuatu di perdu hati, namun terasa malu untuk diluah dalam bentuk perkataan.

            “Afra.” Sebutnya tanpa diduga.

            “Malam tigabelas purnama.” Firdaus tergeleng-geleng.

Memang dasyat penangan adiknya. Baru nampak kelibat sudah tersebut-sebut. Yang lebih dasyat... disebut-sebut pula oleh Samir. Lelaki yang belum pernah membuka pintu hatinya untuk mana-mana perempuan. Lelaki yang kaku dan beku bila berhadapan dengan perempuan. Lelaki yang mengaku dadanya belum pernah bergetar bila dipandang oleh mana-mana perempuan.

            “Nak aku panggil dia?”

            “Janganlah ingat aku terdesak sangat.”

            “Ooo... tak ye?” Firdaus tersengih-sengih.

            “Ada jodoh... malam tigabelas purnama.” Samir berkata perlahan.


            Ya, malam tigabelas purnama... bisik hati Samir sambil menghidupkan enjin keretanya. Sebentar kemudian keretanya bergerak meninggalkan Darul Hanan. Firdaus ditinggalkan dengan dahi berkerut.