Wednesday, August 28, 2013

BAB 3

“Perkataan silat itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian dan pelajaran silat gayong itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi nikmat-nikmat kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan.” Suara Abi Daud yang menerangkan asas maksud silat pada murid-murid baru hanya sayup-sayup kedengaran ditelinganya. Titik tumpuannya saat ini tidak pada butir penerangan abi tapi pada sekujur tubuh yang terlihat jauh di hujung mata.

            “Hoi... resah saja malam ni, pasal?” tersentak dia dengan tepukan Firdaus dibahunya.

            “Okey saja. Macam biasa. Mana ada resah.”

            “Dengan aku jangan temberanglah. Apa yang menarik di hujung sana. Ada mahluk asing ke kat pondok tu?” soal Firdaus tanpa selindung. Bukan dia tidak perasan gerak anak mata Samir yang asyik terarah ke hujung sebelah sana.

            Samir ketawa perlahan. Firdaus begitulah selalunya. Tahu sahaja apa yang ada di benaknya. Sekilas anak mata bergerak pun dia tahu apa mahunya. Memang tak jalan kalau saja-saja bagi alasan.

            “Fokus kat abi... nanti tak fasal-fasal kena sembur.” Samir mengelak.

            Perbualan mereka terhenti bila abi mula menyambung penerangannya.

            “Seni silat ialah satu seni yang terhasil daripada kepintaran bangsa Melayu. Pemulaan pelajaran seni silat dalam masyarakat Melayu adalah sejajar dengan seruan Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra’d supaya umat Islam bersiap sedia menghadapi musuh dalam kekuatan yang termampu.”

            Suasana sepi seketika. Ahli baru dalam gelanggang abi adalah seramai tiga puluh orang. Terdiri dari sembilan belas orang lelaki dan selebihnya perempuan. Rata-rata berusia antara sembilan belas hingga duapuluhlima tahun. Firdaus dan Samir sendiri sudah diangkat sebagai pembantu abi.

            “Kau nak kenal tak, aku boleh kenalkan.” Tanya Firdaus berbisik.

            Samir berdehem perlahan. Dirinya ditegakkan. Kedua belah tangannya saling bertindih, diletakkan di atas dadanya... selesa berpeluk tubuh.

            “Ada-ada sahaja kau ni.”

            Hati mahu tapi mulut ditahan oleh rasa malu.

            “Daripada kau curi-curi tengok macam tu, baiklah kenal-kenal. Manalah tahu dua-dua tersangkut... love  in a first sight.” Usik Firdaus bersungguh. Jika mata sudah mencuri pandang begitu, pasti dalam hati ada rasa ingin. Apa salahnya dia menjadi orang tengah. Andai tersangkut... senang benar hatinya. Tidak jatuh ke mana adiknya itu nanti.

            “Samir... apa motto silat seni gayong kita?”

            Samir terpinga bila terasa rusuk kirinya disiku. Pantas dia menoleh ke arah Firdaus.

            “Abi tanya kau tu.”

            “Apa dia?” Memang titik tumpuannya hilang diusik sesuatu.

            “Motto silat.”

            “Ooo... motto silat seni gayong ini adik-adik ya, ‘kata bersahut, gayong bersambut’... jangan lupa tu.”

            Anak matanya berpindah dari seorang ke seorang murid baru abi yang sedang berdiri dalam keadaan senang diri.

            “Murid gayong tidak mencari musuh tetapi jika berhadapan dengan serangan musuh... berpantang mengundur walau selangkah.” Sambung Samir lagi.

            Abi melangkah menghampiri Samir lalu menepuk bahu kanan anak muda itu.

            “Bagus Samir. Masih merah apa yang telah dipelajari.” Puji abi.

            “Terima kasih abi.”

            “Baik. Gelanggang akan bermula sebentar lagi. Dengar sini baik-baik. Dalam gelanggang pun ada adabnya. Antara perkara yang perlu kamu patuhi semasa berada di gelanggang:

1. Tidak meludah
2. Tidak memakai alas kaki
3. Tidak bergurau senda
4. Meminta izin daripada guru gelanggang jika ingin keluar dari gelanggang
5. Menghormati rakan-rakan dalam latihan
6. Tidak makan dan minum ... dan semasa makan atau minum, bengkong, tengkolok dan sandang hendaklah ditanggalkan dan disimpan di tempat yang elok. Faham semua?” suara abi tegas memberi peringatan sesuai dengan ilmu persilatan yang ada didadanya.

            “Faham!” Sahut mereka serentak.

            Mereka mula bergerak mengikut arah yang diberi. Malam itu mereka akan belajar peringkat Tapak Gayong sahaja iaitu terdiri dari segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki, termasuk juga senaman anak harimau, elakan dan tangkapan kunci mati di mana ada duapuluh satu buah tapak kunci mati bagi menewaskan lawan tanpa menggunakan senjata.

            “Siapa?” sempat juga Samir membisik tanya sambil mengawasi pergerakan anak-anak murid abi. Firdaus ketawa perlahan.

            “Ingatkan tak berminat?”

            “Tanya saja.”

            “Bermula dari merisik khabar kan.”

            “Kau ni, imaginasi tinggilah Firr. Tanya kadangkala tidak berserta tujuan.”

            Firdaus berdehem. “Adik aku.”

            Samir mengerutkan dahi. Kalau tidak silap dia, anak abi dan umi cumalah Firdaus seorang. Yang ramai itu hanyalah anak-anak yatim yang dipelihara oleh mereka. Dari mana datangnya adik Firdaus.

            “Sejak bila pulak ada adik?”

            “Ada. Memang ada.”

            “Tak pernah nampak pun sebelum ini.”

            “Jodoh dah dekatlah tu. Sebab tu baru hari ini kau nampak dia.”

            “Iyelah sangat. Macamlah aku teringin sangat berabang iparkan kau.”

            Firdaus melepas ketawa. Bahu Samir yang sudah berumur tigapuluh tahun namun belum pernah kedengaran ada teman wanita itu dipeluk mesra.

            “Mmm... memang tak boleh. Kau kan lebih tua dari aku. Mana boleh kau panggil aku abang. Abang Firr yang macam adik aku panggil.”

            Samir menyiku perut Firdaus sehingga temannya itu terdorong ke belakang.

            “Betul ke adik kau? Entah-entah....”

            “Betul adik aku.”

            “Okey.”

            “Tak nak tanya lagi?”

            “Malas. Lagipun belum ada kepentingan.”

            Sekali lagi Firdaus ketawa.

            “Cepat sangat give up. Sebab tu jadi bujang terlajak.” Selamba sahaja Firdaus mengutuk.

            “Weii... belum terlajak lagi. Kita ni lelaki... lagi matang lagi tinggi saham tau.”

Samir turut ketawa. Tidak terasa sedikit pun dengan kutukan Firdaus. Tahu sangat dengan perangai Firdaus. Mulutnya memang ‘busuk’ tapi hatinya ‘wangi’. Memang Firdaus dari keturunan yang ‘wangi’ hatinya. Lihat sahaja abi dan umi. Membina Darul Hanan semata-mata untuk menolong anak-anak yatim piatu yang tiada tempat berlindung. Tanpa biaya dari mana-mana pihak pulak tu. Abi dan umi hanyalah pesara pegawai kerajaan kumpulan sokongan. Kalau ada yang lebih pun, hanyalah beberapa ekar tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Kata abi, rezeki yang ada perlulah diagih dan dikongsi dengan mereka yang memerlukan. Tidak ada yang menjadi papa kedana dengan memelihara anak-anak yatim.

            “Dia Afra.” Beritahu Firdaus tiba-tiba.

            “Afra? Siapa?”

            “Kita sedang bercakap tentang amoi yang kau bedah siasat tengahari tadi ke?”

            Firdaus meluru menghantar serangan namun tangkas dielak oleh Samir. Tangan kanan Firdaus ditangkap lantas dipulas ke belakang.

            “Afra.” Tubuh Firdaus ditolak ke hadapan.

            “Ya, Afra.”

            “Unik. Jarang dengar.”

            “Kau masih tangkas walaupun dah lama tak masuk gelanggang.”

            “Gerak langkah musuh dah sebati dalam diri aku. Setiap gerak dapat aku baca.”

            “Dahlah... abi dah nak tutup gelanggang.”

            Mereka kembali ke kedudukan asal. Abi sedang memberi kata-kata penutup kepada murid-murid silatnya. Diselit juga kata-kata nasihat. Memang abi tak pernah jemu memberi nasihat. Mereka bersurai beberapa ketika selepas itu.

            “Tidur sini Samir? Sudah lama kamu tak bermalam di pondok abi.” Abi duduk di pangkin yang ada di bawah pokok manggis.

            “Eh, taklah abi. Dah janji dengan ibu nak keluar sama-sama esok.”

            “Iyelah. Pandu kereta tu baik-baik. Dah jauh malam ni.” Pesan abi.

            “Minta diri dulu abi. Salam saya buat umi ya. Assalamualaikum.”

            Samir bergerak ke keretanya selepas bersalam dengan Abi Daud. Firdaus mengekorinya dari belakang.

            “Bila datang lagi?” tanya Firdaus sebaik sahaja pintu kereta dibuka Samir.

            “Kalau tak ada kes... hujung minggu ni.”

            Samir berjeda. Ada sesuatu di perdu hati, namun terasa malu untuk diluah dalam bentuk perkataan.

            “Afra.” Sebutnya tanpa diduga.

            “Malam tigabelas purnama.” Firdaus tergeleng-geleng.

Memang dasyat penangan adiknya. Baru nampak kelibat sudah tersebut-sebut. Yang lebih dasyat... disebut-sebut pula oleh Samir. Lelaki yang belum pernah membuka pintu hatinya untuk mana-mana perempuan. Lelaki yang kaku dan beku bila berhadapan dengan perempuan. Lelaki yang mengaku dadanya belum pernah bergetar bila dipandang oleh mana-mana perempuan.

            “Nak aku panggil dia?”

            “Janganlah ingat aku terdesak sangat.”

            “Ooo... tak ye?” Firdaus tersengih-sengih.

            “Ada jodoh... malam tigabelas purnama.” Samir berkata perlahan.


            Ya, malam tigabelas purnama... bisik hati Samir sambil menghidupkan enjin keretanya. Sebentar kemudian keretanya bergerak meninggalkan Darul Hanan. Firdaus ditinggalkan dengan dahi berkerut.

2 comments: