Ini bukan kali pertama dia berada
digelanggang silat Abi Daud. Namun tidak pernah sekali pun dia melihat wajah
yang satu itu.
Sahabat abang Firrkah itu?
Kelihatan sangat akrab mereka
berdua. Tumpuan Afra yang duduk di pondok kayu sebelah kiri masih tidak
berganjak dari melihat dua orang lelaki yang berdiri di tengah-tengah
gelanggang. Tajam anak matanya lebih terarah pada lelaki yang tidak pernah
dilihatnya sebelum ini.
Siapa dia??
Cukup segak dan tangkas. Apatah lagi
tatkala dia menyusun bunga silat. Lengkap bersampin dan bertanjak, persis
pahlawan Melayu zaman silam. Entah kenapa anak matanya hanya nampak lelaki itu
walau ke mana dia menoleh. Afra tergeleng-geleng. Dah kenapa dengan dirinya
hari ini?
“Kenapa?”
Tersentak Afra dengan teguran Umi
Majidah.
“Err, tak apa-apa umi.”
“Tu yang tergeleng-geleng?”
Afra ketawa perlahan. Nampak sahaja
umi. Dalam cahaya suram-suram lampu Kalimantan 18Watt pun nampak gerak-gerinya
yang serba tidak seperti selalu.
“Dari tadi mengintai siapa?” duga
umi lagi.
“Hah?” kalut Afra dibuatnya.
Tertangkap saat diri sedang mengintai anak teruna orang. Aduh... malu sungguh!
Umi ni pun... sajalah tu.
“Dok mengintai yang mana satu?
Mustahil pulak abang Firr kan. Ada yang berkenankah? Boleh umi risikkan.” Usik
Umi Majidah selamba.
Semakin
berkisar duduk Afra dibuatnya. Ada desir hangat diwajahnya. Terasa pijar
tiba-tiba. Tidak tahu hendak dicampak ke mana rasa malunya itu. Umi mengulum
senyum. Wajah merah menahan malu itu dijeling sekilas.
“Pandai saja umi ni. Orang sukalah
tengok mereka tu. Nampak berseni bila mereka menangkis serangan dan menghantar
buah pukul.”
“Bukan selama ini tak minat ke?” Umi masih tersenyum-senyum.
“Mana ada! Orang minatlah.”
“Kalau minat kenapa tak turut serta?
Tak teringin seperti srikandi kat tengah-tengah gelanggang sana? Mampu
mempertahan diri bila diusik... tidak gentar bila berhadapan dengan pembuli
wanita.”
Afra melepas keluh. Wajah umi dipandang
lama. Siapa yang tidak teringin seperti itu? Memiliki ilmu mempertahankan diri
sebagai perisai... benteng tubuh andai ada waktu terjebak dengan musibah yang
tidak terduga.
“Orang nak tapi mama dan papa tak
izin.” Tutur Afra perlahan.
Umi Majidah mengangguk perlahan. Dia
faham. Dia tahu Afra anak emas. Anak tunggal keluarga kaya itu. Hatinya diusik
pilu saat terkenang pada keluarga Afra. Papa dan mama Afra terutamanya. Mereka
pernah rapat... pernah mengaku saudara juga. Namun putaran waktu telah mengubah
keakraban hubungan mereka. Anjakan masa rupanya mampu merampas segala hubungan
yang ada.
“Umi faham. Tentu ada sebab kenapa
mereka tak beri izin Afra terlibat dalam dunia silat. Silat kan kasar. Bimbang
hilang lemah lembut Afra barangkali. Lagi pulak Afra kan anak tunggal mereka.
Puteri tunggal.”
Afra tidak membalas kata-kata umi.
Benar atau tidak hanya mama dan papanya sahaja yang tahu. Hanya mereka yang ada
alasannya. Berulangkali meminta izin namun jawapannya tetap sama. TIDAK BOLEH!.
Untuk apa belajar silat? Tidak ada untungnya. Hanya membuang waktu... membuat
fikiran terkongkong dan tidak berkembang. Silat hanya untuk orang yang tidak
ada tamadun dalam hidup.
Argh, papa... mama! Fikiran mereka
memang tidak sealiran. Ada sahaja yang bercanggah. Kalau berkeras, pasti
berakhir dengan pertengkaran sudahnya.
“Dia memang seorang lelaki yang
hebat. Melihat wajahnya sahaja pun hati boleh berasa tenang dan tertarik.”
Suara umi kembali menyapa telinganya.
Afra kembali berpaling ke arah umi.
Dia?? Lelaki hebat?? Tapi....
“Siapa umi?” ada kerutan didahinya.
“Lelaki yang Afra intai tadi.” Jawab
umi selamba. Afra berdehem kecil. Umi
memang pandai mengusik hatinya yang masih hijau.
“Siapa dia? Orang tak pernah nampak
pun.” Terlanjur umi memberi laluan... apa salahnya bertanya. Orang kata kalau
malu bertanya sesat jalan. Cewahh....
“Samir. Dah lama tamat berguru dengan
abi... tapi tak pernah lupa datang sini setiap kali gelanggang dibuka. Dia
rapat dengan abang Firr.”
Samir?? Nama milik lelaki itu!
Memang asing nama itu ditelinganya. Samir... dia ulang sekali lagi. Entah
kenapa... sendiri pun tak tahu.
“Ooo...”
“Dia selalu juga datang sini. Cuma
kebetulan malam ni Afra nampak dia.”
“Hmm... dahlah umi, tak payah cerita
fasal dia. Orang bukan kenal pun.”
“Tak apa. Esok-esok kenallah tu.”
“Orang nak masuklah. Nak tengok
adik-adik. Dah masa untuk mereka tidur ni.”
Selepas mengucup tangan umi, Afra
bingkas berdiri. Sebelum melangkah sempat lagi dia menoleh ke tengah
gelanggang. Serasa ada mata yang turut memandang kearahnya. Seolah-olah bersatu
tatapan mata dari kejauhan. Tiada angin, tiada rebut... tangkai hatinya tiba-tiba
terasa bergetar. Debaran – denyut – detak jantung yang tiba-tiba menggila.
Tidak ketahuan dari mana puncanya. Enggan menunggu lebih lama lagi, Afra
mengorak langkah sambil memegang dadanya yang terasa aneh tanpa punca yang
munasabah. Berdetak sebab lelaki itu?
Hati Afra lebih tenang di Darul
Hanan. Ruang kosong dalam kotak hatinya terisi dengan kehadiran
penghuni-penghuni di situ. Dia tidak pernah sunyi dari tazkirah abi dan umi, kata usik dari abang Firrnya dan
juga celoteh dari duabelas kanak-kanak yang berusia dari lapan hingga limabelas
tahun yang telah kehilangan tempat bergantung. Anak-anak yatim piatu. Memang
abi dan umi mempunyai hati yang murni. Dipelihara anak-anak itu seperti anak
sendiri.
Abi selalu berkata bahawa kita perlu
memahami hakikat ‘buhul aqidah’, tempat kembalinya semua ikatan. Buhul yang
mengikat antara seseorang dengan yang lain yang tidak dilihat oleh nasab dan
kekeluargaan yang menjadikan itu lebih besar dan utama dari sekadar ikatan
kekeluargaan yang hambar tanpa makna yang jelas. Ramai orang yang lebih selesa
berteman dengan orang lain yang satu visi dalam perjuangan mereka, namun tidak
mampu menjadi orang yang terdekat dalam keluarga sendiri. Seperti dirinya
sendiri...yang lebih dekat dengan apa
yang ada di Darul Hanan.
No comments:
Post a Comment