“Perkataan
silat itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan
bunga-bunga tarian dan pelajaran silat gayong itu pula dimaksudkan kepada
buahnya yang sebenar, yang mengandungi nikmat-nikmat kesaktian yang
menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan.”
Suara Abi Daud yang menerangkan asas maksud silat pada murid-murid baru hanya
sayup-sayup kedengaran ditelinganya. Titik tumpuannya saat ini tidak pada butir
penerangan abi tapi pada sekujur tubuh yang terlihat jauh di hujung mata.
“Hoi... resah saja malam ni, pasal?”
tersentak dia dengan tepukan Firdaus dibahunya.
“Okey saja. Macam biasa. Mana ada
resah.”
“Dengan aku jangan temberanglah. Apa
yang menarik di hujung sana. Ada mahluk asing ke kat pondok tu?” soal Firdaus
tanpa selindung. Bukan dia tidak perasan gerak anak mata Samir yang asyik
terarah ke hujung sebelah sana.
Samir ketawa perlahan. Firdaus
begitulah selalunya. Tahu sahaja apa yang ada di benaknya. Sekilas anak mata
bergerak pun dia tahu apa mahunya. Memang tak jalan kalau saja-saja bagi
alasan.
“Fokus kat abi... nanti tak
fasal-fasal kena sembur.” Samir mengelak.
Perbualan mereka terhenti bila abi
mula menyambung penerangannya.
“Seni silat ialah satu seni yang
terhasil daripada kepintaran bangsa Melayu. Pemulaan pelajaran seni silat dalam
masyarakat Melayu adalah sejajar dengan seruan Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra’d
supaya umat Islam bersiap sedia menghadapi musuh dalam kekuatan yang termampu.”
Suasana sepi seketika. Ahli baru
dalam gelanggang abi adalah seramai tiga puluh orang. Terdiri dari sembilan
belas orang lelaki dan selebihnya perempuan. Rata-rata berusia antara sembilan
belas hingga duapuluhlima tahun. Firdaus dan Samir sendiri sudah diangkat
sebagai pembantu abi.
“Kau nak kenal tak, aku boleh kenalkan.”
Tanya Firdaus berbisik.
Samir berdehem perlahan. Dirinya
ditegakkan. Kedua belah tangannya saling bertindih, diletakkan di atas
dadanya... selesa berpeluk tubuh.
“Ada-ada sahaja kau ni.”
Hati mahu tapi mulut ditahan oleh
rasa malu.
“Daripada kau curi-curi tengok macam
tu, baiklah kenal-kenal. Manalah tahu dua-dua tersangkut... love
in a first sight.” Usik Firdaus bersungguh. Jika mata sudah mencuri
pandang begitu, pasti dalam hati ada rasa ingin. Apa salahnya dia menjadi orang
tengah. Andai tersangkut... senang benar hatinya. Tidak jatuh ke mana adiknya
itu nanti.
“Samir... apa motto silat seni
gayong kita?”
Samir terpinga bila terasa rusuk
kirinya disiku. Pantas dia menoleh ke arah Firdaus.
“Abi tanya kau tu.”
“Apa dia?” Memang titik tumpuannya
hilang diusik sesuatu.
“Motto silat.”
“Ooo... motto silat seni gayong ini
adik-adik ya, ‘kata bersahut, gayong bersambut’... jangan lupa tu.”
Anak matanya berpindah dari seorang
ke seorang murid baru abi yang sedang berdiri dalam keadaan senang diri.
“Murid gayong tidak mencari musuh
tetapi jika berhadapan dengan serangan musuh... berpantang mengundur walau
selangkah.” Sambung Samir lagi.
Abi melangkah menghampiri Samir lalu
menepuk bahu kanan anak muda itu.
“Bagus Samir. Masih merah apa yang
telah dipelajari.” Puji abi.
“Terima kasih abi.”
“Baik. Gelanggang akan bermula
sebentar lagi. Dengar sini baik-baik. Dalam gelanggang pun ada adabnya. Antara
perkara yang perlu kamu patuhi semasa berada di gelanggang:
1.
Tidak meludah
2.
Tidak memakai alas kaki
3.
Tidak bergurau senda
4.
Meminta izin daripada guru gelanggang jika ingin keluar dari gelanggang
5.
Menghormati rakan-rakan dalam latihan
6.
Tidak makan dan minum ... dan semasa makan atau minum, bengkong, tengkolok dan
sandang hendaklah ditanggalkan dan disimpan di tempat yang elok. Faham semua?”
suara abi tegas memberi peringatan sesuai dengan ilmu persilatan yang ada
didadanya.
“Faham!” Sahut mereka serentak.
Mereka mula bergerak mengikut arah
yang diberi. Malam itu mereka akan belajar peringkat Tapak Gayong sahaja iaitu
terdiri dari segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki, termasuk juga senaman
anak harimau, elakan dan tangkapan kunci mati di mana ada duapuluh satu buah
tapak kunci mati bagi menewaskan lawan tanpa menggunakan senjata.
“Siapa?” sempat juga Samir membisik
tanya sambil mengawasi pergerakan anak-anak murid abi. Firdaus ketawa perlahan.
“Ingatkan tak berminat?”
“Tanya saja.”
“Bermula dari merisik khabar kan.”
“Kau ni, imaginasi tinggilah Firr.
Tanya kadangkala tidak berserta tujuan.”
Firdaus berdehem. “Adik aku.”
Samir mengerutkan dahi. Kalau tidak
silap dia, anak abi dan umi cumalah Firdaus seorang. Yang ramai itu hanyalah
anak-anak yatim yang dipelihara oleh mereka. Dari mana datangnya adik Firdaus.
“Sejak bila pulak ada adik?”
“Ada. Memang ada.”
“Tak pernah nampak pun sebelum ini.”
“Jodoh dah dekatlah tu. Sebab tu
baru hari ini kau nampak dia.”
“Iyelah sangat. Macamlah aku
teringin sangat berabang iparkan kau.”
Firdaus melepas ketawa. Bahu Samir
yang sudah berumur tigapuluh tahun namun belum pernah kedengaran ada teman
wanita itu dipeluk mesra.
“Mmm... memang tak boleh. Kau kan
lebih tua dari aku. Mana boleh kau panggil aku abang. Abang Firr yang macam
adik aku panggil.”
Samir menyiku perut Firdaus sehingga
temannya itu terdorong ke belakang.
“Betul ke adik kau? Entah-entah....”
“Betul adik aku.”
“Okey.”
“Tak nak tanya lagi?”
“Malas. Lagipun belum ada
kepentingan.”
Sekali lagi Firdaus ketawa.
“Cepat sangat give up. Sebab tu jadi bujang terlajak.” Selamba sahaja Firdaus mengutuk.
“Weii... belum terlajak lagi. Kita
ni lelaki... lagi matang lagi tinggi saham tau.”
Samir
turut ketawa. Tidak terasa sedikit pun dengan kutukan Firdaus. Tahu sangat
dengan perangai Firdaus. Mulutnya memang ‘busuk’ tapi hatinya ‘wangi’. Memang Firdaus
dari keturunan yang ‘wangi’ hatinya. Lihat sahaja abi dan umi. Membina Darul
Hanan semata-mata untuk menolong anak-anak yatim piatu yang tiada tempat
berlindung. Tanpa biaya dari mana-mana pihak pulak tu. Abi dan umi hanyalah
pesara pegawai kerajaan kumpulan sokongan. Kalau ada yang lebih pun, hanyalah
beberapa ekar tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Kata abi, rezeki yang
ada perlulah diagih dan dikongsi dengan mereka yang memerlukan. Tidak ada yang
menjadi papa kedana dengan memelihara anak-anak yatim.
“Dia Afra.” Beritahu Firdaus
tiba-tiba.
“Afra? Siapa?”
“Kita sedang bercakap tentang amoi
yang kau bedah siasat tengahari tadi ke?”
Firdaus meluru menghantar serangan
namun tangkas dielak oleh Samir. Tangan kanan Firdaus ditangkap lantas dipulas
ke belakang.
“Afra.” Tubuh Firdaus ditolak ke
hadapan.
“Ya, Afra.”
“Unik. Jarang dengar.”
“Kau masih tangkas walaupun dah lama
tak masuk gelanggang.”
“Gerak langkah musuh dah sebati
dalam diri aku. Setiap gerak dapat aku baca.”
“Dahlah... abi dah nak tutup
gelanggang.”
Mereka kembali ke kedudukan asal.
Abi sedang memberi kata-kata penutup kepada murid-murid silatnya. Diselit juga
kata-kata nasihat. Memang abi tak pernah jemu memberi nasihat. Mereka bersurai
beberapa ketika selepas itu.
“Tidur sini Samir? Sudah lama kamu
tak bermalam di pondok abi.” Abi duduk di pangkin yang ada di bawah pokok
manggis.
“Eh, taklah abi. Dah janji dengan ibu
nak keluar sama-sama esok.”
“Iyelah. Pandu kereta tu baik-baik.
Dah jauh malam ni.” Pesan abi.
“Minta diri dulu abi. Salam saya
buat umi ya. Assalamualaikum.”
Samir bergerak ke keretanya selepas
bersalam dengan Abi Daud. Firdaus mengekorinya dari belakang.
“Bila datang lagi?” tanya Firdaus
sebaik sahaja pintu kereta dibuka Samir.
“Kalau tak ada kes... hujung minggu
ni.”
Samir berjeda. Ada sesuatu di perdu
hati, namun terasa malu untuk diluah dalam bentuk perkataan.
“Afra.” Sebutnya tanpa diduga.
“Malam tigabelas purnama.” Firdaus
tergeleng-geleng.
Memang
dasyat penangan adiknya. Baru nampak kelibat sudah tersebut-sebut. Yang lebih
dasyat... disebut-sebut pula oleh Samir. Lelaki yang belum pernah membuka pintu
hatinya untuk mana-mana perempuan. Lelaki yang kaku dan beku bila berhadapan
dengan perempuan. Lelaki yang mengaku dadanya belum pernah bergetar bila
dipandang oleh mana-mana perempuan.
“Nak aku panggil dia?”
“Janganlah ingat aku terdesak
sangat.”
“Ooo... tak ye?” Firdaus
tersengih-sengih.
“Ada jodoh... malam tigabelas
purnama.” Samir berkata perlahan.
Ya, malam tigabelas purnama... bisik
hati Samir sambil menghidupkan enjin keretanya. Sebentar kemudian keretanya
bergerak meninggalkan Darul Hanan. Firdaus ditinggalkan dengan dahi berkerut.