Saturday, February 22, 2014
Monday, October 21, 2013
BAB 4
Sayup melihat
tebing
Tika hanyut
dibawa arus
Tinggi gunung
tak terdaki
Bila langkah
kerap tersekat
“Siap sekarang. Ikut papa pergi
pejabat.” Keras dan kaku. Memang veto! Intonasi macam arahan untuk perkeja bawahan sahaja bunyinya.
Afra yang baru hendak duduk,
terpinga seketika. Wajah Tuan Kazim dan Puan Jasmine dipandang silih berganti.
Dia yang baru turun dari bilik dan seperti biasa ingin bersarapan bersama-sama
menarik kerusi lalu duduk perlahan-lahan. Pergi pejabat?
“Maksud papa?” soalnya sambil
menarik pinggan yang berisi roti bakar.
“Dah dua bulan you habis belajar,
dah sampai masanya fikirkan tentang masa depan. Sampai bila nak buang masa tak tentu hala.” Jelas Tuan Kazim.
“Betul tu Afra. Sampai bila nak
buang masa. Masa tak pernah tunggu kita. Setiap waktu yang berganjak, kita
perlu fikirkan tentang kejayaan... tentang cara untuk menambah apa yang kita
ada. Barulah nanti ada kedudukan untuk kita. Barulah orang tak pandang remeh
pada kita.” Sambung Puan Jasmine.
Afra masih tunduk. Memandang roti
yang berada dipinggannya tanpa diusik. Memang itulah cara mama berfikir...
sebab itu kedudukan mama tinggi sekarang ini. Sehingga terlupa pada nilai yang
perlu ada dalam hati nurani. Sehingga terlupa berterima kasih pada hidupnya
yang dulu. Dada Afra sebak tiba-tiba.
“Afra dah ada perancangan untuk
hidup Afra.” Kata Afra perlahan.
“Okey, apa yang you nak buat. Cuba
beritahu papa.”
Afra menarik nafas. Menjeling
sekilas ke arah Puan Jasmine. Berdoa dalam hati agar apa yang dirancangkan
bakal diterima oleh orang tuanya.
“Afra ingat nak bukak pusat
penjagaan harian orang-orang tua... home care centre. Afra nampak keperluan adanya pusat seperti itu amat penting sekarang,
lebih-lebih lagi di bandar besar macam tempat kita ni.” Jelas Afra.
Arfa nampak mamanya menggeleng
kepada. Papa pula diam tanpa reaksi yang positif. Namun yang jelas terakam di anak matanya... wajah itu tegang dan masam mengalahkan cuka.
“Afra dah buat proposal.”
“Mama tak setuju. Nak buat apa you
nak susahkan diri. Syarikat papa dah kukuh, dah ada banyak cawangan... siapa
nak teruskan usaha papa dan mama kalau bukan you. Kami bukannya ada anak lain.”
Puan Jasmine memandang Afra tidak puas hati. Pusat penjagaan orang tua???
Bergelumang dengan orang tua? Apa bala yang anaknya tempah ni? Hidup dah senang depan mata... nak menyusahkan diri buat apa.
“Afra tak minat dengan bidang
pembinaan yang mama dan papa usahakan. Lagipun Hanif kan ada. Dia kan dah lama jadi orang kanan
papa. Lagipun dia kan anak saudara mama sendiri.”
“Papa tetap dengan keputusan papa...
you mesti kerja di syarikat papa. Mesti berganding bahu dengan Hanif teruskan
apa yang dah papa mulakan. Esok lusa kalau kamu berdua sudah jadi suami isteri,
lagi senang.” Tegas suara Tuan Kazim membuat Afra terkedu seketika.
Suami isteri?... rupanya benar desas
desus yang dia dengar beberapa bulan kebelakangan ini. Memang benar dia bakal
dijodohkan dengan Hanif, anak Pak Long Jalil. Anak Tan Sri Jalil yang lebih
tepat!
“Hanif kan abang sepupu Afra.”
Puan Jasmine mendengus kasar. Wajah
Afra yang sedang tunduk dipandang geram. Afra memang jarang menurut apa yang
dia dan suaminya kata. Ada sahaja yang dibantah. Ada sahaja yang tidak
dipersetujui. Kalau dulu dia tidak berkeras memaksa Afra menyambung pelajaran
di UK, sudah tentu anaknya yang seorang itu sudah menyambung pelajaran di
Jordan. Kalau tidak ditegah, sudah pasti
anaknya itu sudah bertudung labuh... jangan-jangan sudah berpurdah seperti
Majidah. Umi Majidah!
“You mesti kahwin dengan Hanif.”
Afra mengangkat muka memandang Puan
Jasmine yang sedang memandang kearahnya dengan pandangan yang mengancam. Tanpa senyum dan langsung tiada aura mesra. Mereka seperti orang lain. Hubungan mereka bagai ada tembok yang menghalang segala kemesraan.
Mesti?? Veto!
Mesti?? Kawin paksa! Tipikal
cerekarama melayu. Puan Jasmine terlupa agaknya zaman sudah jauh berubah.
Mesti
kahwin dengan Hanif?? Hanif yang kacak bergaya itu?? Hanif yang ramai teman
wanita itu?? Hanif abang sepupunya yang baik hati itu??
“Afra tak boleh.” Perlahan suara
Afra.
“Kenapa? You dah ada orang lain? Dah
bercinta dengan orang lain?”
“Mama... kenapa mama nak paksa Afra?
Afra tak boleh buat apa yang Afra tak suka. Tanpa berkahwin dengan Hanif pun,
dia tetap boleh menjadi waris mama. Hanif abang saudara Afra, ma.” Perlahan dengan harapan dapat melembutkan hati Puan Jasmine.
“Anak
perempuan adalah hak ibu bapa, Afra. Umi Majidah you tak ajar betapa wajib
seorang anak menurut perintah ibu dan bapanya. Tiap-tiap hari berulang ke sana,
takkan perkara asas macam tu pun you tak tahu. Apa sahaja yang you buat di
Darul Hannan sana?” Suara Puan Jasmine mula meninggi. Sakit hatinya pada Umi Majidah dilampiaskan kepada Afra.
“Jasmine... jangan berkeras sangat.”
Tegur Tuan Kazim. Bimbang juga hatinya andai Afra semakin jauh dari mereka. Menunjukkan rasa tak suka mereka pada penghuni Darul Hannan adalah bukan langkah yang baik. Apa pun Afra pasti berpihak kepada Abi Daud dan Umi Majidah. Mereka tak boleh lupa bahawa sebahagian dari jiwa Afra ada di Darul Hannan.
Afra menarik nafas panjang. Sekali
lagi mamanya mengungkit tentang Darul Hannan. Menghina yang lebih tepatnya.
Mama sudah lupa pada kebaikan Darul Hannan. Mama lupa Darul Hannan itu pernah
menjadi tempat dia ditumpangkan. Diam-diam dia menelan hiba.
“Kenapa nak libatkan umi? Umi tak
ada kena mengena pun dengan apa yang kita bincangkan. Darul Hannan tak pernah
mempengaruhi fikiran Afra.”
“Hah... you tengok tu, tak
habis-habis dia membela si Majidah tu. Baik sangat Darul Hannan tu di mata dia.
Suka sangat dia dengan pondok buruk tu.” Puan Jasmine kian menyinga.
“Papa tak pernah halang you ke sana.
Tapi jangan sampai you terpengaruh dengan cara hidup mereka. Cara mereka
berfikir tentang hidup, cara mereka menikmati hidup... tak sama dengan orang
seperti kita.”
Afra nanar seketika. Ayahnya pun
sama. Pandangan ayah dan ibunya tentang Darul Hannan sama. Mereka telah lupa pada sejarah mereka rupanya.
“Apa yang tak sama pa? Agama kita
sama dengan mereka. Tujuan hidup kita sepatutnya sama dengan mereka walaupun
rezeki yang Allah bagi pada kita jauh lebih mewah dari mereka.”
Tuan Kazim menolak kerusi dengan
kasar. Dia berdiri sambil memandang Afra dengan wajah menahan marah. Anaknya
ini sudah melampau! Sudah mula tunjuk pandai. Sudah pandai membandingkan mereka dengan penghuni Darul Hannan sana. Sedangkan sepatutnya Afra tahu bahawa perbezaan mereka umpama langit dengan bumi. Mereka di utara dan penghuni Darul Hannan itu jauh di selatan bumi.
“Jangan cuba mengajar papa, Afra!
Jangan sampai papa halang you dari berjumpa dengan mereka. Sampai hari ini papa
biarkan you ke sana sebab si Majidah tu pernah memberi sedikit susu pada you.”
Keras suara Tuan Kazim.
Hati Afra bagai ditusuk duri
sembilu. Si Majidah?? Ibu susuannya dipanggil Si Majidah? Sampainya hati papa!
Begitu hina mereka di mata papa. Papa lupa ke pada jasa mereka? Memang Tuan Kazim yang mulia ini sengaja buat-buat lupa.
“Bukan sedikit papa... dua tahun! Dua
tahun Afra menyusu dengan umi. Papa sepatutnya ingat, tanpa susu dari Umi
Majidah... mungkin Afra tak ada hari ini. Mungkin Afra sudah mati kelaparan
masa bayi dulu. Susu yang umi beri sudah menjadi darah daging Afra, pa. Tergamak papa nak suruh Afra lupakan mereka.”
Afra menjadi berani bila soal umi
dibangkitkan. Wanita itu sudah diangkat sama taraf dengan ibunya. Umi Majidah
yang berperanan seperti Halimatul Sa’diah. Dia bukan hendak menyebelahi umi
tapi apa yang ibunya lakukan banyak yang tidak dia gemari. Banyak yang sumbang
dimatanya. Apa salahnya hubungan baik yang ada dulu diteruskan. Kenapa mesti putuskan silatulrahim yang ada. Tidak ada ruginya kalau keluarga mereka berbaik-baik seperti dulu.
“Berapa banyak yang mereka nak, papa
boleh bayar balik harga susu yang mereka beri. Berkali-kali ganda papa boleh.”
Angkuh suara Tuan Kazim memeranjatkan Afra. Sanggup ayahnya nak bayar harga
susu yang diberi Umi Majidah.
Astaghfirullah... papa! Bukan semua
boleh dibeli dengan wang ringgit. Rasa sebak kian menghanyutkan hatinya.
Mengalir titis-titis pedih ke seluruh urat nadinya. Ayahnya memang sudah
berubah. Bukan Kazim yang tidak punya apa seperti bertahun dulu. Bukan Kazim
yang berkawan rapat dengan Abi Daud dan Umi Majidah dulu. Harga kasih sayang
mereka tiada nilainya pa... tubir mata mula terasa hangat.
“Betul kata papa. Jangan kerana susu
yang dia beri pada you... you terpaksa mengabdikan seluruh hidup you pada
mereka. Darul Hannan bukan dunia kita, Afra. You tak perlu rasa terhutang budi
pada mereka.” Sokong Puan Jasmine.
Puan Jasmine pun begitu. Memang
sehati sejiwa dengan suaminya. Puan Jasmine juga turut terlupa pada kisah yang
pernah dikhabarkan padanya bertahun dulu. Ibunya itu pengsan selepas
melahirkannya duapuluhlima tahun yang lalu. Terpaksa ditahan di ICU seminggu
lamanya. Ditahan berminggu-minggu pula di wad akibat rahimnya yang rosak teruk
sehingga terpaksa dibuang. Afra yang masih merah... yang langsung tidak mahu
menyusu susu formula, terpaksa diserahkan kepada umi. Lima tahun lamanya dia
tinggal bersama keluarga umi. Lima tahun dia membesar di Darul Hannan lantaran
kesihatan ibunya benar-benar terganggu. Puan Jasmine mengalami ‘postnatal despression’.
Ibunya memang sudah lupa pada semua hubungan jiwa yang cukup manis dulu. Afra
terpaksa mengangkat bendera. Terpaksa mengalah dengan ayah dan ibunya.
Wednesday, August 28, 2013
BAB 3
“Perkataan
silat itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan
bunga-bunga tarian dan pelajaran silat gayong itu pula dimaksudkan kepada
buahnya yang sebenar, yang mengandungi nikmat-nikmat kesaktian yang
menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan.”
Suara Abi Daud yang menerangkan asas maksud silat pada murid-murid baru hanya
sayup-sayup kedengaran ditelinganya. Titik tumpuannya saat ini tidak pada butir
penerangan abi tapi pada sekujur tubuh yang terlihat jauh di hujung mata.
“Hoi... resah saja malam ni, pasal?”
tersentak dia dengan tepukan Firdaus dibahunya.
“Okey saja. Macam biasa. Mana ada
resah.”
“Dengan aku jangan temberanglah. Apa
yang menarik di hujung sana. Ada mahluk asing ke kat pondok tu?” soal Firdaus
tanpa selindung. Bukan dia tidak perasan gerak anak mata Samir yang asyik
terarah ke hujung sebelah sana.
Samir ketawa perlahan. Firdaus
begitulah selalunya. Tahu sahaja apa yang ada di benaknya. Sekilas anak mata
bergerak pun dia tahu apa mahunya. Memang tak jalan kalau saja-saja bagi
alasan.
“Fokus kat abi... nanti tak
fasal-fasal kena sembur.” Samir mengelak.
Perbualan mereka terhenti bila abi
mula menyambung penerangannya.
“Seni silat ialah satu seni yang
terhasil daripada kepintaran bangsa Melayu. Pemulaan pelajaran seni silat dalam
masyarakat Melayu adalah sejajar dengan seruan Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra’d
supaya umat Islam bersiap sedia menghadapi musuh dalam kekuatan yang termampu.”
Suasana sepi seketika. Ahli baru
dalam gelanggang abi adalah seramai tiga puluh orang. Terdiri dari sembilan
belas orang lelaki dan selebihnya perempuan. Rata-rata berusia antara sembilan
belas hingga duapuluhlima tahun. Firdaus dan Samir sendiri sudah diangkat
sebagai pembantu abi.
“Kau nak kenal tak, aku boleh kenalkan.”
Tanya Firdaus berbisik.
Samir berdehem perlahan. Dirinya
ditegakkan. Kedua belah tangannya saling bertindih, diletakkan di atas
dadanya... selesa berpeluk tubuh.
“Ada-ada sahaja kau ni.”
Hati mahu tapi mulut ditahan oleh
rasa malu.
“Daripada kau curi-curi tengok macam
tu, baiklah kenal-kenal. Manalah tahu dua-dua tersangkut... love
in a first sight.” Usik Firdaus bersungguh. Jika mata sudah mencuri
pandang begitu, pasti dalam hati ada rasa ingin. Apa salahnya dia menjadi orang
tengah. Andai tersangkut... senang benar hatinya. Tidak jatuh ke mana adiknya
itu nanti.
“Samir... apa motto silat seni
gayong kita?”
Samir terpinga bila terasa rusuk
kirinya disiku. Pantas dia menoleh ke arah Firdaus.
“Abi tanya kau tu.”
“Apa dia?” Memang titik tumpuannya
hilang diusik sesuatu.
“Motto silat.”
“Ooo... motto silat seni gayong ini
adik-adik ya, ‘kata bersahut, gayong bersambut’... jangan lupa tu.”
Anak matanya berpindah dari seorang
ke seorang murid baru abi yang sedang berdiri dalam keadaan senang diri.
“Murid gayong tidak mencari musuh
tetapi jika berhadapan dengan serangan musuh... berpantang mengundur walau
selangkah.” Sambung Samir lagi.
Abi melangkah menghampiri Samir lalu
menepuk bahu kanan anak muda itu.
“Bagus Samir. Masih merah apa yang
telah dipelajari.” Puji abi.
“Terima kasih abi.”
“Baik. Gelanggang akan bermula
sebentar lagi. Dengar sini baik-baik. Dalam gelanggang pun ada adabnya. Antara
perkara yang perlu kamu patuhi semasa berada di gelanggang:
1.
Tidak meludah
2.
Tidak memakai alas kaki
3.
Tidak bergurau senda
4.
Meminta izin daripada guru gelanggang jika ingin keluar dari gelanggang
5.
Menghormati rakan-rakan dalam latihan
6.
Tidak makan dan minum ... dan semasa makan atau minum, bengkong, tengkolok dan
sandang hendaklah ditanggalkan dan disimpan di tempat yang elok. Faham semua?”
suara abi tegas memberi peringatan sesuai dengan ilmu persilatan yang ada
didadanya.
“Faham!” Sahut mereka serentak.
Mereka mula bergerak mengikut arah
yang diberi. Malam itu mereka akan belajar peringkat Tapak Gayong sahaja iaitu
terdiri dari segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki, termasuk juga senaman
anak harimau, elakan dan tangkapan kunci mati di mana ada duapuluh satu buah
tapak kunci mati bagi menewaskan lawan tanpa menggunakan senjata.
“Siapa?” sempat juga Samir membisik
tanya sambil mengawasi pergerakan anak-anak murid abi. Firdaus ketawa perlahan.
“Ingatkan tak berminat?”
“Tanya saja.”
“Bermula dari merisik khabar kan.”
“Kau ni, imaginasi tinggilah Firr.
Tanya kadangkala tidak berserta tujuan.”
Firdaus berdehem. “Adik aku.”
Samir mengerutkan dahi. Kalau tidak
silap dia, anak abi dan umi cumalah Firdaus seorang. Yang ramai itu hanyalah
anak-anak yatim yang dipelihara oleh mereka. Dari mana datangnya adik Firdaus.
“Sejak bila pulak ada adik?”
“Ada. Memang ada.”
“Tak pernah nampak pun sebelum ini.”
“Jodoh dah dekatlah tu. Sebab tu
baru hari ini kau nampak dia.”
“Iyelah sangat. Macamlah aku
teringin sangat berabang iparkan kau.”
Firdaus melepas ketawa. Bahu Samir
yang sudah berumur tigapuluh tahun namun belum pernah kedengaran ada teman
wanita itu dipeluk mesra.
“Mmm... memang tak boleh. Kau kan
lebih tua dari aku. Mana boleh kau panggil aku abang. Abang Firr yang macam
adik aku panggil.”
Samir menyiku perut Firdaus sehingga
temannya itu terdorong ke belakang.
“Betul ke adik kau? Entah-entah....”
“Betul adik aku.”
“Okey.”
“Tak nak tanya lagi?”
“Malas. Lagipun belum ada
kepentingan.”
Sekali lagi Firdaus ketawa.
“Cepat sangat give up. Sebab tu jadi bujang terlajak.” Selamba sahaja Firdaus mengutuk.
“Weii... belum terlajak lagi. Kita
ni lelaki... lagi matang lagi tinggi saham tau.”
Samir
turut ketawa. Tidak terasa sedikit pun dengan kutukan Firdaus. Tahu sangat
dengan perangai Firdaus. Mulutnya memang ‘busuk’ tapi hatinya ‘wangi’. Memang Firdaus
dari keturunan yang ‘wangi’ hatinya. Lihat sahaja abi dan umi. Membina Darul
Hanan semata-mata untuk menolong anak-anak yatim piatu yang tiada tempat
berlindung. Tanpa biaya dari mana-mana pihak pulak tu. Abi dan umi hanyalah
pesara pegawai kerajaan kumpulan sokongan. Kalau ada yang lebih pun, hanyalah
beberapa ekar tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Kata abi, rezeki yang
ada perlulah diagih dan dikongsi dengan mereka yang memerlukan. Tidak ada yang
menjadi papa kedana dengan memelihara anak-anak yatim.
“Dia Afra.” Beritahu Firdaus
tiba-tiba.
“Afra? Siapa?”
“Kita sedang bercakap tentang amoi
yang kau bedah siasat tengahari tadi ke?”
Firdaus meluru menghantar serangan
namun tangkas dielak oleh Samir. Tangan kanan Firdaus ditangkap lantas dipulas
ke belakang.
“Afra.” Tubuh Firdaus ditolak ke
hadapan.
“Ya, Afra.”
“Unik. Jarang dengar.”
“Kau masih tangkas walaupun dah lama
tak masuk gelanggang.”
“Gerak langkah musuh dah sebati
dalam diri aku. Setiap gerak dapat aku baca.”
“Dahlah... abi dah nak tutup
gelanggang.”
Mereka kembali ke kedudukan asal.
Abi sedang memberi kata-kata penutup kepada murid-murid silatnya. Diselit juga
kata-kata nasihat. Memang abi tak pernah jemu memberi nasihat. Mereka bersurai
beberapa ketika selepas itu.
“Tidur sini Samir? Sudah lama kamu
tak bermalam di pondok abi.” Abi duduk di pangkin yang ada di bawah pokok
manggis.
“Eh, taklah abi. Dah janji dengan ibu
nak keluar sama-sama esok.”
“Iyelah. Pandu kereta tu baik-baik.
Dah jauh malam ni.” Pesan abi.
“Minta diri dulu abi. Salam saya
buat umi ya. Assalamualaikum.”
Samir bergerak ke keretanya selepas
bersalam dengan Abi Daud. Firdaus mengekorinya dari belakang.
“Bila datang lagi?” tanya Firdaus
sebaik sahaja pintu kereta dibuka Samir.
“Kalau tak ada kes... hujung minggu
ni.”
Samir berjeda. Ada sesuatu di perdu
hati, namun terasa malu untuk diluah dalam bentuk perkataan.
“Afra.” Sebutnya tanpa diduga.
“Malam tigabelas purnama.” Firdaus
tergeleng-geleng.
Memang
dasyat penangan adiknya. Baru nampak kelibat sudah tersebut-sebut. Yang lebih
dasyat... disebut-sebut pula oleh Samir. Lelaki yang belum pernah membuka pintu
hatinya untuk mana-mana perempuan. Lelaki yang kaku dan beku bila berhadapan
dengan perempuan. Lelaki yang mengaku dadanya belum pernah bergetar bila
dipandang oleh mana-mana perempuan.
“Nak aku panggil dia?”
“Janganlah ingat aku terdesak
sangat.”
“Ooo... tak ye?” Firdaus
tersengih-sengih.
“Ada jodoh... malam tigabelas
purnama.” Samir berkata perlahan.
Ya, malam tigabelas purnama... bisik
hati Samir sambil menghidupkan enjin keretanya. Sebentar kemudian keretanya
bergerak meninggalkan Darul Hanan. Firdaus ditinggalkan dengan dahi berkerut.
Thursday, August 22, 2013
BAB 2
Ini bukan kali pertama dia berada
digelanggang silat Abi Daud. Namun tidak pernah sekali pun dia melihat wajah
yang satu itu.
Sahabat abang Firrkah itu?
Kelihatan sangat akrab mereka
berdua. Tumpuan Afra yang duduk di pondok kayu sebelah kiri masih tidak
berganjak dari melihat dua orang lelaki yang berdiri di tengah-tengah
gelanggang. Tajam anak matanya lebih terarah pada lelaki yang tidak pernah
dilihatnya sebelum ini.
Siapa dia??
Cukup segak dan tangkas. Apatah lagi
tatkala dia menyusun bunga silat. Lengkap bersampin dan bertanjak, persis
pahlawan Melayu zaman silam. Entah kenapa anak matanya hanya nampak lelaki itu
walau ke mana dia menoleh. Afra tergeleng-geleng. Dah kenapa dengan dirinya
hari ini?
“Kenapa?”
Tersentak Afra dengan teguran Umi
Majidah.
“Err, tak apa-apa umi.”
“Tu yang tergeleng-geleng?”
Afra ketawa perlahan. Nampak sahaja
umi. Dalam cahaya suram-suram lampu Kalimantan 18Watt pun nampak gerak-gerinya
yang serba tidak seperti selalu.
“Dari tadi mengintai siapa?” duga
umi lagi.
“Hah?” kalut Afra dibuatnya.
Tertangkap saat diri sedang mengintai anak teruna orang. Aduh... malu sungguh!
Umi ni pun... sajalah tu.
“Dok mengintai yang mana satu?
Mustahil pulak abang Firr kan. Ada yang berkenankah? Boleh umi risikkan.” Usik
Umi Majidah selamba.
Semakin
berkisar duduk Afra dibuatnya. Ada desir hangat diwajahnya. Terasa pijar
tiba-tiba. Tidak tahu hendak dicampak ke mana rasa malunya itu. Umi mengulum
senyum. Wajah merah menahan malu itu dijeling sekilas.
“Pandai saja umi ni. Orang sukalah
tengok mereka tu. Nampak berseni bila mereka menangkis serangan dan menghantar
buah pukul.”
“Bukan selama ini tak minat ke?” Umi masih tersenyum-senyum.
“Mana ada! Orang minatlah.”
“Kalau minat kenapa tak turut serta?
Tak teringin seperti srikandi kat tengah-tengah gelanggang sana? Mampu
mempertahan diri bila diusik... tidak gentar bila berhadapan dengan pembuli
wanita.”
Afra melepas keluh. Wajah umi dipandang
lama. Siapa yang tidak teringin seperti itu? Memiliki ilmu mempertahankan diri
sebagai perisai... benteng tubuh andai ada waktu terjebak dengan musibah yang
tidak terduga.
“Orang nak tapi mama dan papa tak
izin.” Tutur Afra perlahan.
Umi Majidah mengangguk perlahan. Dia
faham. Dia tahu Afra anak emas. Anak tunggal keluarga kaya itu. Hatinya diusik
pilu saat terkenang pada keluarga Afra. Papa dan mama Afra terutamanya. Mereka
pernah rapat... pernah mengaku saudara juga. Namun putaran waktu telah mengubah
keakraban hubungan mereka. Anjakan masa rupanya mampu merampas segala hubungan
yang ada.
“Umi faham. Tentu ada sebab kenapa
mereka tak beri izin Afra terlibat dalam dunia silat. Silat kan kasar. Bimbang
hilang lemah lembut Afra barangkali. Lagi pulak Afra kan anak tunggal mereka.
Puteri tunggal.”
Afra tidak membalas kata-kata umi.
Benar atau tidak hanya mama dan papanya sahaja yang tahu. Hanya mereka yang ada
alasannya. Berulangkali meminta izin namun jawapannya tetap sama. TIDAK BOLEH!.
Untuk apa belajar silat? Tidak ada untungnya. Hanya membuang waktu... membuat
fikiran terkongkong dan tidak berkembang. Silat hanya untuk orang yang tidak
ada tamadun dalam hidup.
Argh, papa... mama! Fikiran mereka
memang tidak sealiran. Ada sahaja yang bercanggah. Kalau berkeras, pasti
berakhir dengan pertengkaran sudahnya.
“Dia memang seorang lelaki yang
hebat. Melihat wajahnya sahaja pun hati boleh berasa tenang dan tertarik.”
Suara umi kembali menyapa telinganya.
Afra kembali berpaling ke arah umi.
Dia?? Lelaki hebat?? Tapi....
“Siapa umi?” ada kerutan didahinya.
“Lelaki yang Afra intai tadi.” Jawab
umi selamba. Afra berdehem kecil. Umi
memang pandai mengusik hatinya yang masih hijau.
“Siapa dia? Orang tak pernah nampak
pun.” Terlanjur umi memberi laluan... apa salahnya bertanya. Orang kata kalau
malu bertanya sesat jalan. Cewahh....
“Samir. Dah lama tamat berguru dengan
abi... tapi tak pernah lupa datang sini setiap kali gelanggang dibuka. Dia
rapat dengan abang Firr.”
Samir?? Nama milik lelaki itu!
Memang asing nama itu ditelinganya. Samir... dia ulang sekali lagi. Entah
kenapa... sendiri pun tak tahu.
“Ooo...”
“Dia selalu juga datang sini. Cuma
kebetulan malam ni Afra nampak dia.”
“Hmm... dahlah umi, tak payah cerita
fasal dia. Orang bukan kenal pun.”
“Tak apa. Esok-esok kenallah tu.”
“Orang nak masuklah. Nak tengok
adik-adik. Dah masa untuk mereka tidur ni.”
Selepas mengucup tangan umi, Afra
bingkas berdiri. Sebelum melangkah sempat lagi dia menoleh ke tengah
gelanggang. Serasa ada mata yang turut memandang kearahnya. Seolah-olah bersatu
tatapan mata dari kejauhan. Tiada angin, tiada rebut... tangkai hatinya tiba-tiba
terasa bergetar. Debaran – denyut – detak jantung yang tiba-tiba menggila.
Tidak ketahuan dari mana puncanya. Enggan menunggu lebih lama lagi, Afra
mengorak langkah sambil memegang dadanya yang terasa aneh tanpa punca yang
munasabah. Berdetak sebab lelaki itu?
Hati Afra lebih tenang di Darul
Hanan. Ruang kosong dalam kotak hatinya terisi dengan kehadiran
penghuni-penghuni di situ. Dia tidak pernah sunyi dari tazkirah abi dan umi, kata usik dari abang Firrnya dan
juga celoteh dari duabelas kanak-kanak yang berusia dari lapan hingga limabelas
tahun yang telah kehilangan tempat bergantung. Anak-anak yatim piatu. Memang
abi dan umi mempunyai hati yang murni. Dipelihara anak-anak itu seperti anak
sendiri.
Abi selalu berkata bahawa kita perlu
memahami hakikat ‘buhul aqidah’, tempat kembalinya semua ikatan. Buhul yang
mengikat antara seseorang dengan yang lain yang tidak dilihat oleh nasab dan
kekeluargaan yang menjadikan itu lebih besar dan utama dari sekadar ikatan
kekeluargaan yang hambar tanpa makna yang jelas. Ramai orang yang lebih selesa
berteman dengan orang lain yang satu visi dalam perjuangan mereka, namun tidak
mampu menjadi orang yang terdekat dalam keluarga sendiri. Seperti dirinya
sendiri...yang lebih dekat dengan apa
yang ada di Darul Hanan.
Subscribe to:
Posts (Atom)


